Penulis: Corrado G. M Letta
Tahun: 2008
Penerbit: Kementerian Luar Negeri, Putrajaya, Malaysia.
Muka Surat: 722
Buku ini boleh dianggap sebagai ‘kitab’ hubungan Malaysia dengan negara-negara Kesatuan Eropah. Dibahagikan kepada volum satu dan dua, ia dimuatkan dengan maklumat padat kedudukan terkini di antara Malaysia dan negara-negara tersebut.
Prof Letta menyusun kandungan buku ini dengan memperkenalkan Malaysia secara lengkap merangkumi kedudukan geografi, etnik, sejarah, kemerdekaan, identiti, politik, ekonomi, media dan dasar-dasar luar. Bagi Eropah, ia menenkankan keperluan penubuhan Kesatuan Eropah, struktur organisasi dan masa depan kesatuan itu.
Banyak aspek yang ditonjolkan oleh penulis yang memberi dimensi baru dalam menilai hubungan dua hala Malaysia dan Kesatuan Eropah. Salahs atu aspek yang menarik ialah persepsi orang Malaysia terhadap Eropah. Beliau menceritakan kisah dua orang rakyat Malaysia yang telah pergi ke Britain dan ditanya bagaimana persepsi mereka berdua terhadap negara tersebut.
‘Orang English kelihatan tenang, pentingkan status dan anti Perancis. Orang Perancis terlalu licik, kelihatan canggih dan anti English.orang Scottish kedekut dan menipu. Orang Irish pula amat ringkas dan mesra. Orang Belanda sangat bermaklumat dan kelihatan bersungguh-sungguh. Kerap kali ada hubungan sayang-benci di antara orang English dan lain-lainnya. Orang English dianggap memberi barang-barang yang kurang berkualiti kepada orang Belanda.’
‘Memandu di sepanjang jalan, kita dapat lihat pelbagai jenis kereta yang lebih murah jika dibandingkan dengan Malaysia. Oleh kerana minyak sangat mahal di Britain, mereka memiliki pelbagai pilihan khususnya kenderaan kecil. Namun mereka tidak memiliki Proton, simbol kebanggaan negara. Amat memeranjatkan kerana harga kereta di Britain adalah separuh berbanding di Malaysia biarpun tukaran wang yang sangat berbeza iaitu nisbah 7:1. Kita bernasib baik kerana ada Proton. Jika tidak, kita tidak ada kereta sama sekali. Hal yang berbeza mengenai pengguna Malaysia ialah kita dapat memilih yang paling murah atau paling mahal. Tengah-tengah tidak ada. Kebanyakan harga di pasaran Eropah adalah di tengah-tengah.’
Persepsi masyarakat Eropah terhadap Malaysia tidak dapat lari daripada melihat kedudukan masyarakat Islam yang membentuk 60 peratus penduduk negara. Justeru, Malaysia menyediakan satu kajian kes yang menarik tentang bagaimana memahami keupayaan Islam untuk melakukan reformasi ke atas kebudayaan muslim, membina nilai-nilai Islam dan ethos dalam persekitaran moden. Begitu juga dengan masa depan gerakan Islam di Malaysia yang banyak bergantung pada jelmaan semula kreativiti dan bergerak seiring dengan nilai-nilai tradisi sedia ada.
Dalam konteks persepsi Eropah terhadap Malaysia, mereka bersetuju hubungan etnik adalah satu elemen yang sangat menarik kerana Malaysia dapat mengurus hubungan etniknya dengan baik dan berkesan. Dalam pengamatan mereka, tahap toleransi etnik di Sabah dan Sarawak lebih baik berbanding di Semenanjung Malaysia.
Banyak lagi maklumat yang dipaparkan dalam buku ini menyentuh peranan kerajaan Malaysia dalam meningkatkan dagangan dan daya saing negara. Malah dalam sesetengah keadaan seperti kadar penembusan internet dan persekitaran hidup, rakyat Malaysia lebih bertuah berbanding sesetengah negara Eropah yang lain.
Buku tebal ini sangat baik diketengahkan sebagai panduan dan rujukan kepada usahawan yang bercita-cita meluaskan empayar perniagaan mereka di Eropah, menjadi bahan penyelidikan kepada pelajar siswazah yang ingin melihat perkembangan ekonomi Malaysia dari perspektif hubungan dua hala dan juga bagaimana Malaysia sebagai sebuah negara kecil dan sedang membangun dapat meletakkan dirinya dalam posisi bersaing di peringkat antarabangsa.Di peringkat institusi pengajian tinggi, buku ini juga menjadi rujukan kepada pensyarah untuk meluaskan horizon ilmu dalam kalangan pelajar mereka.
No comments:
Post a Comment