Wednesday, January 27, 2010

MI2010 anjakan inovasi tempatan

Oleh Laupa Junus
pengarang@utusan.com.my

Siapakah Mark Zuckerberg? Berapa ramai yang mengenalinya?

Beliau merupakan seorang pelajar universiti telah mencipta satu laman sosial aitu Facebookyang seterusnya kini menjadi satu fenomena di seluruh dunia.

Hasil dari penciptaan laman web berkenaan, Mark Zukerberg merupakan salah seorang bilionair muda hasil penemuan yang inovatif.

Mengapa manusia perlu kepada inovasi? Inovasi merupakan cara atau pendekatan baru dalam melakukan sesuatu.

Perkataan inovasi sering dikaitkan dengan proses dan tidak semestinya bergantung kepada ciptaan baru dan ia juga yang merevolusikan tamadun manusia.

Demikian pentingnya inovasi dan pengaruhnya dalam kehidupan manusia dan atas sebab itu jugalah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah diberi tanggungjawab untuk menerajui usaha transformasi, berpaksikan ekonomi dipacu oleh inovasi dengan matlamat meningkatkan daya saing, kemajuan dan pertumbuhan ekonomi lestari dalam era globalisasi pada tahun ini.

Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjelaskan betapa pentingnya inovasi dalam Bajet 2010 lalu, beliau telah mengisytiharkan pada tahun ini sebagai Tahun Inovasi dan Kreativiti atau dikenali sebagai Malaysia Inovatif 2010 (MI2010).

Penganjuran MI2010 adalah seiring dengan hasrat Perdana Menteri untuk melakukan perubahan melalui inovasi secara menyeluruh untuk membawa negara ke tahap ekonomi yang lebih maju; 'Innovative Leadership for 1United, Innovative Malaysia'.

Tujuan MI2010 diadakan adalah bagi meningkatkan kesedaran dan memupuk budaya inovasi di kalangan rakyat Malaysia ke arah penghasilan kekayaan, penjanaan ilmu dan kesejahteraan rakyat.

MOSTI sebagai penyelaras utama dengan penyertaan kementerian-kementerian dan Rakan Inovasi dalam menjayakan MI2010.

Rasanya masih belum terlambat bagi Malaysia memanfaatkan bidang tersebut sebagai pendekatan mencapai model ekonomi baru yang berpaksikan inovasi, kreativiti dan nilai tinggi.

Meskipun wujud beberapa kekangan ke arah itu yang boleh membantutkan iltizam kerajaan, antaranya peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara relatifnya kecil iaitu hanya 0.64 peratus berbanding tiga atau empat peratus di negara maju.


Selain itu, jumlah penyelidik sehingga 11 Januari lalu menunjukkan bahawa nisbah saintis, penyelidik dan jurutera (RSE) bagi 10,000 tenaga kerja adalah 18.2 adalah rendah, masih belum terlambat bagi MOSTI untuk berusaha ke arah itu.

Pada masa sama, inovasi tempatan berhadapan dengan stigma masyarakat bahawa produk import lebih baik dan jauh lebih berkualiti.

Bagaimanapun iltizam itu kementerian dinyatakan oleh menterinya, Datuk Seri Dr. Maximus J. Ongkili yang menyasarkan akan meningkatkan bajet R&D kepada melebihi satu peratus dan lebih menarik mahu meningkatkan jumlah inovasi yang dikomersialkan.

''MOSTI meletakkan sasaran peningkatan sebanyak 10 peratus produk yang dipatenkan tahun ini daripada 160 produk yang dipatenkan (sebelum ini)," katanya.

Ketika ini pula kadar pengkomersialan ialah 3.4 peratus.

MOSTI akan terus mempergiatkan aktiviti R&D dengan berorientasikan keperluan pasaran bagi menghasilkan produk yang mempunyai nilai komersial

Bagi mencapai matlamat tersebut, MOSTI telah mengenal pasti bidang-bidang keutamaan dan bidang pertumbuhan baru seperti tenaga diperbaharui, nanoteknologi, perubahan iklim dan bioinformatik.

Selain usaha pengkomersialan, yang lebih penting daripada itu ialah bagaimana memupuk kreativiti kerana inovasi dan bidang tersebut amat berkait rapat.

Ongkili berkata, usaha akan terus diperhebat bagi memupuk daya kreativiti khususnya di peringkat muda.

Kata beliau, anak tempatan tidak kurang hebatnya dalam pelbagai bidang sehingga mencapai tahap antarabangsa. Mereka sepatutnya menjadi role model kejayaan kepada golongan muda.

Beberapa nama boleh dijadikan contoh tetapi yang lebih penting lebih ramai yang mengikuti jejak langkah mereka yang telah berjaya dan kerajaan memainkan peranan mengembangkan bakat-bakat ini.


Anugerah Inovasi Negara (AIN) yang diadakan sejak beberapa tahun kebelakangan mungkin boleh dijadikan kayu ukur pemupukan daya kreativiti dan penjanaan inovasi tetapi yang lebih signifikan ialah meningkatkan persekitaran kondusif untuk bakat tempatan terus berkarya.

Ramai daripada kita menganggap inovasi ialah produk semata-mata sebaliknya, faktor yang lebih mustahak ialah supaya keupayaan sistem pendidikan dan latihan diberi perhatian bagi memastikan modal insan yang dijana mempunyai pengetahuan, kemahiran dan menepati keperluan pasaran.

''Mungkin sudah sampai masanya pengenalan mata pelajaran mengenai kreativiti, inovasi dan berfikir kreatif ditekankan sebagaimana yang telah dilaksanakan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Korea Selatan dan Singapura yang memandang berat mata pelajaran tersebut dalam sistem pendidikannya," kata Ongkili.

Beliau menegaskan, inovasi memerlukan empat bahagian iaitu pendidikan, penyelidikan dan pembangunan serta insentif dan pemasaran sebelum faktor luaran lain seperti keadaan ekonomi sekarang ini yang boleh memberikan kesan terhadap industri.

Beliau juga berpendapat, inovasi seharusnya dimasyarakatkan demi memastikan ia dekat di hati rakyat dan mudah diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Memasyarkatkannya terlebih dahulu adalah penting sebelum membudayakannya dalam kehidupan harian.

Justeru, portal MyIdeas (www.myideas.com.my) telah dilancarkan oleh Perdana Menteri bagi 'mengutip' idea dari seluruh pelosok negara, ditapis dan diambil idea-idea yang mempunyai nilai komersial.

Ia merupakan salah satu usaha radikal kerajaan dalam mendekati rakyat bagi memastikan kreativiti dan idea mereka diiktiraf.

Sejajar dengan itu, MOSTI telah mendekatkan inovasi yang dihasilkan kepada pengguna di peringkat akar umbi dan kini terdapat 13 projek komuniti berasaskan inovasi telah dilaksanakan untuk membantu penduduk kawasan luar bandar untuk meningkat pendapatan.

Antara projek yang sedang dilaksanakan di beberapa kawasan Parlimen dan mendapat hasil yang lumayan ialah projek minyak kelapa dara (VCO), baja organik, makanan ternakan haiwan dan projek penternakan ikan kelah.

Pada tahun ini, MOSTI turut merancang untuk memperluaskan program seperti ini di enam puluh kawasan Parlimen yang akan dikenal pasti kelak.

Pendek kata, inovasi tidak seharusnya dilihat kepada aktiviti yang menjurus kepada sains dan teknologi semata-mata.

Inovasi meliputi definisi yang lebih luas di mana ia juga amat penting di dalam bidang pendidikan, kesihatan, perbankan dan sebagainya. Inovasi juga boleh dijadikan sebagai gaya hidup di kalangan rakyat.

Tema bagi MI2010 ialah "Meraikan Kreativiti."

Program dan aktiviti MI2010 melibatkan 14 kementerian utama meliputi Kementerian Pelajaran; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Pengajian Tinggi; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta dan Kementerian Belia dan Sukan.

Kementerian lain termasuk Kementerian Pelancongan; Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Pertahanan; Kementerian Kesihatan; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

No comments:

Post a Comment