Di sebalik pelbagai reaksi yang diterima terhadapnya, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), terbukti berjaya membuahkan hasil seperti dihasratkan. PKLN yang kini memasuki Kumpulan 1 Siri 7/2010 nyata berkesan menanamkan nilai murni dan budaya positif di kalangan lepasan sekolah menengah di negara ini. Memang ada kelemahan dalam pelaksanaannya, terutama pada peringkat awal tetapi selepas beberapa tahun, ia semakin kemas dan diterima baik masyarakat yang mahu melihatkan secara objektif. Bukti yang jelas ialah pelatih menjalani program itu dilihat mempunyai semangat patriotik, kerjasama dan jati diri yang ampuh. Berbeza dengan pendapat segelintir ibu bapa yang sangsi dengan keberkesanan PLKN, rata-rata pelatih memperakui bahawa menjalani program itu ialah antara pengalaman paling bermakna sepanjang hidup mereka. Menyedari kelebihan itu, kita berharap semua pihak selepas ini lebih 'berlapang dada' dengan pelbagai isu membabitkan PLKN. Ia penting kerana selepas enam tahun dilaksanakan, sudah tiba masanya penambahbaikan dibuat kepada kurikulum program itu untuk memastikan ia mampu memberi manfaat maksimum. Modul latihannya juga harus diselaraskan dengan tuntutan persekitaran yang semakin berubah, manakala penerapan elemen baru harus disambut dengan positif.
Paling penting, hita harap selepas ini isu PLKN tidak lagi dipolitikkan dengan pelbagai polemik fahaman sempit berorientasikan perkauman atau keagamaan. Selama hari ini pun, ia tidak pernah menjadi isu di kalangan pelatih yang berbeza latar belakang, sebaliknya hanya dijadikan modal segelintir kelompok tertentu untuk menjayakan agenda peribadi mereka. Itulah sebabnya, ketika isu seperti modul latihan penggunaan senjata api mahu diperkenalkan dalam PLKN, ada pihak yang melenting sedangkan rata-rata pelatih amat teruja mengikutinya. Demikian juga halnya kali ini apabila kerajaan berhasrat memperkenalkan modul pendidikan seks kepada pelatih, pelbagai suara sumbang mula kedengaran. Ia memaksa cadangan dibuat untuk menukar namanya kepada pendidikan gender. Memang isu pendidikan seks di kalangan remaja perlu ditangani dengan berhati-hati tetapi pada masa yang sama, ia harus dilihat secara objektif. Kerajaan tentunya sedar dan mengambil kira pelbagai aspek dalam menyediakan kurikulum itu dan bantahan membuta-tuli terhadapnya tidak akan membawa manfaat. Memang kita harus bersikap terbuka terhadap pandangan umum tetapi apalah maknanya jika hanya berdebat pada nama yang digunakan. Kita tidak boleh terlalu kolot atau takut dengan bayang-bayang sendiri kerana realitinya, remaja hari ini sudah jauh lebih terbuka mindanya. Sama ada kita sanggup atau enggan mengakuinya, ia tidak mengubah hakikat dan kongkongan keterlaluan akan hanya menyebabkan mereka terus terdedah kepada budaya negatif tanpa sebarang bimbingan.
(Berita Harian Online, 5/1/2010)
No comments:
Post a Comment