Perubahan taraf hidup dan keinginan mencapai kualiti hidup yang lebih baik adalah idaman setiap orang biarpun di mana saja mereka tinggal. Orang kampung ingin memperbaiki taraf hidup mereka dengan memiliki pelbagai peralatan moden seperti yang dimiliki oleh penduduk di bandar. Manakala orang di bandar ingin pula merasai kedamaian dan kedinginan suasana kampung biarpun mereka telah memiliki segala keperluan sebagai penduduk bandar.
Bagi tempoh masa yang panjang, persoalan terhadap kehidupan dikumpulkan kepada tiga masalah major iaitu communal of life, kerja dan kasih sayang. Apa sahaja jawapan yang kita berikan terhadap ketiga-tiga persoalan di atas akan memancarkan cara gaya hidup yang dapat diperlihatkan di dalam seluruh kehidupan kita. Budaya, sikap, seni ataupun kepercayaan agama sangat jelas boleh dikongsi bersama di dalam ketiga-tiga persoalan ini.
Persediaan hidup dalam sepanjang kitaran hidup kita sama ada ianya betul atau salah, bermula dari hari pertama kita bersama ibu dan bapa. Mereka kedualah yang akan menentukan hala tuju dan masa depan anak- kecil mereka. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud, “Anak-anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Nasrani ataupun Majusi” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah). Secara semula jadipun, ibu bapa adalah rakan kongsi terbaik untuk memberikan pengalaman terbaru kepada anak-anak mereka.
Dalam proses pembesaran dan pembangunan yang dilalui, dengan perubahan demi perubahan menjadikan kita terdedah kepada pelbagai cabaran dan halangan. Perubahan ini boleh menyebabkan seseorang itu menuju ke arah kejayaan dalam hidup dan juga boleh membawa kekecewaan dan kehancuran hidupnya. Mahu ataupun tidak, perubahan ini menggambarkan sikap dan corak pemikiran kita terhadap kehidupan, gembira, sedih, kecewa, bimbang dan sunyi khususnya kepada mereka yang rasa tertekan kerana sesuatu sebab. Dengan keadaan inilah, berlakunya pelbagai rasa tidak puas hati dan sanggup bertindak di luar batas kebiasaan. Mengambil jalan singkat untuk menyelesaikan masalah tanpa dibimbing fikiran yang rasional akan menyebabkan penyesalan yang tiada kesudahan.
Apakah yang menjadi punca kepada hilangnya sifat pemaaf dan kasih sayang dalam diri seseorang sehingga sanggup mengambil jalan mudah melepaskan api kemarahan dengan mendatangkan mudarat kepada orang lain? Ke mana hilangnya nilai kasih sayang dan kesediaan berbincang untuk menyelesaikan masalah? Individu yang tidak dapat mengawal emosi kadangkala mampu bertindak di luar jangkauan pemikiran biasa.
Berita mengenai kes-kes kematian sepertimana yang dilaporkan oleh media massa kadangkala menyentak sedikit perhatian kita terhadap perkembangan yang berlaku di dalam masyarakat pada hari ini. Kejadian-kejadian ini sedikit sebanyak menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat dan tertanya-tanya apakah yang sedang berlaku. Apakah dengan pesatnya perkembangan pembangunan negara kita dan masyarakat harus menerima berita-berita sedih seperti ini setiap hari?
Hilang Pertimbangan
Sewaktu kita kanak-kanak, amatlah mudah bagi kita untuk menyatakan perasaan dan keperluan kita kepada orang lain khususnya ibu bapa. Keadaan ini akan berubah apabila kita bercampur dan bergaul dengan pelbagai jenis orang dan belajar daripada persekitaran. Kadangkala kita terkeliru dan sukar untuk membezakan di antara perasaan dan apa yang kita fikirkan kerana kerapkali fikiran dan perasaan bercampur baur. Kita lebih kerap mendengar apa yang dinyatakan oleh fikiran dan tidak pada apa yang dinyatakan oleh hati dan jiwa ataupun suara hati.
Jika ingin membersihkan sisa-sisa emosi yang negatif ini, kita wajar melepaskan emosi tersebut kerana ia lebih baik daripada menafikan perasaan sebenar kita. Jika kita menafikan perasaan ini, kita akan mudah tergugah. Tenaga-tenaga positif akan terhalang dan keadaan seperti serba tidak kena. Orang yang cerdik tidak akan membiarkan perasaannya berlalu begitu sahaja tanpa mengetahui apa yang dirasainya. Dia mengetahui dan menghargai perasaannya sebelum melepaskannya keluar. Ketika inilah ‘celik emosi” wajar menjadi panduan bagi mengatasi rasa marah, panas baran dan memberontak yang melulu.
Mereka yang mudah marah patut belajar mendengar kata hati yang bersandarkan pada akal yang waras, bukannya mengambil jalan mudah sehingga menyusahkan diri di kemudian hari.
Kita tidak perlu marah biarpun perkara tersebut remeh kerana sedikit sahaja rasa marah yang ditunjukkan seperti meninggikan suara dan wajah yang garang, ia sudah cukup menyakitkan hati orang lain. Bukan sekadar hilang kawalan diri, malah hilang kedamaian dan keharmonian hidup. Jika seorang bapa menujukkan kemarahannya di hadapan anak-anaknya, kelak bapa ini akan melihat anak-anaknya membesar sebagai seorang yang pemarah, sama seperti bapanya.
Menjadi marah adalah sifat orang yang tidak matang. Kanak-kanak umumnya cepat hilang marahnya dan kita wajar belajar mengawal perasaan marah bila umur semakin meningkat. Kerapkali juga saya bertanya kepada rakan-rakan apakah yang mereka fikir dan rasa tentang marah. Ada yang memberi pendapat dengan menyatakan bahawa sangat perlu khususnya ketika mempertahankan hak dan maruah diri, mendapatkan peluang-peluang dan mempertahankan kebenaran. Bagi yang berpendapat tidak perlu untuk marah, mereka berfikir lebih baik menggunakan pendekatan tunggu dan lihat untuk mempastikan objektif yang dikehendaki akan tercapai.
Bagaimanapun, umumnya setiap kali kita menafikan rasa marah, keadaan ini meningkatkan rasa tertekan. Bila kita mampu untuk melepaskan rasa marah, kita mula menerima diri yang sebenarnya. Setelah kita mula menerima keadaan marah, amatlah mudah untuk menyalurkan perasaan marah itu pada tempatnya. Keadaan ini penting kerana bermakna kita tidak lagi menyimpan perasaan dendam. Peristiwa guru bertumbuk di hadapan pelajar juga tidak akan berulang jika betul dan tepat marah itu disalurkan. Membiarkan emosi marah berlalu dengan beredarnya masa adalah sesuatu yang sukar tetapi ia tidak menyakitkan kerana timbulnya sakit ini hanya apabila berterusan menafikan emosi sebenar marah kita.
Kunci kepada transformasi dari marah ke redha ialah kesediaan menerima keadaan diri sendiri. Belajar untuk bertanya pada diri sendiri apa yang kita mahukan dan bertindak berdasarkan kemahuan itu tanpa menyusahkan orang lain. Apabila redha dan sabar membunga di dalam diri, marah dan dendam tidak akan bersarang lagi di dalam jiwa manusia yang merdeka.
Maaf
Maaf mempunyai daya tarikan untuk meleraikan dua orang yang bersengketa. Ia menyuburkan perhubungan dan menyegarkan kembali emosi yang sedikit kecewa. Apabila kita bertindak memaafkan seseorang yang telah dikecewakan, kita memberi mereka suatu hadiah yang sangat indah, hebat dan bermakna.
Memaafkan bukan sekadar amalan tradisi sosial semata-mata, malah ia bertindak sebagai suatu tanda hormat dan empati kepada individu yang telah melakukan kesilapan dan kesalahan. Ia juga mempunyai keupayaan meruntai rasa marah, melerai salah faham dan membina kembali jambatan kemesraan.
Bagi dua orang yang saling menyimpan perasaan dendam akibat persaingan, cemburu, salah faham dan kecewa, saling bermaaf-maafan dapat membentuk dan mengekalkan gaya hidup yang sihat. Setiap hubungan yang dinikmati akan membina kemesraan seterusnya menanam kepercayaan dan keyakinan. Bertindak memaafkan kesilapan dan kesalahan orang lain adalah tindakan paling bijak yang boleh kita lakukan untuk diri sendiri, rakan-rakan dan juga perhubungan itu sendiri.
Kepentingan Memberi Maaf
Setiap masa tanpa kita sedar, kita sering melakukan kesilapan dan mengharapkan agar kesilapan itu diperbetulkan. Sebahagian daripada kita mempunyai kecenderungan merasa bersalah atau malu apabila melakukan kesilapan atau kesalahan biar sekecil mana sekalipun. Apabila meminta maaf, kita akan merasa lebih selesa dan tidak lagi berada dalam keadaan tertekan. Jika maaf kita diterima, seolah-olah kita kembali menghargai setiap detik kehidupan dan masuk kembali ke alam kehidupan yang lebih ceria.
Terdapat lima alasan peri pentingnya memberi maaf :
1. Memaafkan orang lain menunjukkan tanda hormat.
2. Memaafkan menunjukkan keupayaan mengambil tanggungjawab di atas setiap tindakan.
3. Memaafkan menunjukkan yang kita mengambil berat perasaan orang lain.
4. Memaafkan menunjukkan sifat timbang rasa yang tidak berbelah bahagi.
5. Memaafkan kesalahan orang lain mengelakkan kita daripada menjadi ancaman kepadanya dan menghilangkan rasa marah serta dendam yang berpanjangan.
Cuba kita fikirkan betapa hebatnya perasaan kita selepas memaafkan kesilapan orang lain. Mungkin kita akan lebih mesra dengannya dan mencetuskan perhubungan yang baru dan berkekalan.
Kepentingan Menerima Maaf
Perlu juga difikirkan juga bahawa keupayaan menerima maaf juga sangat penting. Apabila kia menerima maaf daripada seseorang, kita juga menyatakan :
1. Penghargaan terhadap individu tersebut mengenai kekesalannya di atas apa yang telah berlaku.
2. Kepercayaan kita terhadap kemaafan yang sesungguhnya dan mengharapkan agar kesilapan tersebut tidak diulangi.
3. Keupayaan untuk memahami dan melimpahkan rasa kasihan.
4. Melahirkan hasrat untuk individu berkenaan bertaubat dan berubah sikap.
5. Kesungguhan kita untuk memberi maaf.
Semua kepentingan di atas adalah suatu yang sangat hebat untuk dilaksanakan. Mereka yang menerima maaf akan merasai suatu keyakinan yang kuat dan dapat membina budaya pemaaf dengan harapan orang yang melakukan kesilapan itu akan belajar daripada kesilapannya dan berubah menjadi individu yang lebih baik. Melalui cara inilah nilai diri dan maruah seseorang itu dapat dibentuk dengan lebih cepat dan berkesan.
No comments:
Post a Comment