Perlembagaan Persekutuan dianggap sebagai 'kitab' bagi sesebuah negara berdaulat. Ia menitikberatkan keselamatan insan atau khususnya keselamatan rakyat dan juga keselamatan negara. Konsep dan prinsip keselamatan rakyat dan keselamatan negara ini pula berasaskan sejarah serta jati diri atau identiti golongan rakyat yang terbesar sekali jumlahnya. Dan di Malaysia, bangsa Melayu yang beragama Islam dan Bumiputera adalah majoriti.
Di dalam sesebuah negara, politik dan keselamatan tidak dapat dipisahkan. Tumpuan kepada politik tanpa menghiraukan sudut keselamatan boleh mengucar-kacirkan negara. Terlalu berpolitik tanpa menghiraukan keselamatan dan strategi pertahanan/keamanan dalam negara pasti akan menimbulkan kekeliruan dan menggugat kestabilan pemerintahan.
Malaysia telah mengamalkan dasar berkecuali sejak ia tertubuh dan justeru tidak memberi penekanan kepada pertahanan. Walaupun belanjawan ketenteraan diperuntukan setiap tahun tetapi ia hanya merupakan belanjawan penyelenggaraan dan logistik tanpa menghiraukan pembinaan military arsenal.
Jelas Malaysia bukanlah negara membina ketenteraan. Namun suasana berubah bukan disebabkan oleh ancaman luar tetapi dalaman. Ancaman dalaman menjadi begitu ketara apabila Anwar Ibrahim dipecat lantas menubuhkan angkatan reformasi yang memburukkan lagi keadaan.
Ruang dan kesempatan ini disambut baik oleh kumpulan anti-establishment dan anasir-anasir yang masih lagi menyokong perjuangan dan membawa ideologi komunis.
Keadaan negara sekarang telah membawa kita kepada suasana perang dingin. Perang dingin selalunya berlaku antara satu kuasa dengan kuasa yang lain tetapi di Malaysia, perang dingin terjadi antara kaum yang menjadi rakyat. Kalau di Rusia dan Amerika Syarikat perang dingin adalah di antara pemerintahan Khuruschev dan John F. Kennedy di mana negara masing-masing berjauhan jaraknya, di Malaysia ia adalah antara Melayu dan Cina yang hidup bersama.
Rakyat Melayu sudah mula marah apabila kaum Cina mempertikaikan hak Melayu - dengan cara sengaja dan berpura-pura tidak faham undang-undang dan Perlembagaan. Sudah menjadi menteri sejak sekian lama masih lagi buat tak faham, sengaja melukakan hati orang Melayu. Contohnya Tan Sri Lim Keng Yaik yang mengatakan Ketuanan Melayu sudah tidak ada tempat lagi dalam negara ini. (Rujuk "Tiada Ruang Untuk Ketuanan Melayu"- Malaysia Kini, 9 Disember 2009)
Dalam menangani fahaman dan pengaruh komunis, Malaysia tidak memerlukan satu arsenal atau armada yang besar. Kekuatan yang ada sudah memadai. Yang penting adalah pendekatan pemimpin negara untuk mengatasi perang dingin ini. Setiap keputusan daripada pemimpin akan memberi implikasi yang positif atau sebaliknya dalam mempengaruhi hala tuju negara.
Dan ketika ini, kita berada persimpangan, salah pilih simpang segala usaha yang kita bina selama ini akan hancur.
Meminda ISA merupakan satu keputusan politik yang tidak bijak tanpa mengambil kira keselamatan negara. Kumpulan-kumpulan pelampau malahan orang Melayu sendiri tidak berterima kasih atas keselesaan yang diperolehi hasil wujudnya Akta Keselamatan Dalam Negeri.
ISA adalah senjata utama dan pemusnah kepada rangkaian komunis dan pendokong yang membawa ideologi ini. Apabila kerajaan tunduk kepada desakan meminda atau memansuhkan ISA, puak pelampau akan beranggapan mereka sudah berjaya dan kuat menganggap kerajaan sudah lemah.
Dalam keadaan sekarang, keputusan keselamatan mesti dibuat segera. Contohnya Amerika telah memperkukuhkan kubunya di Alaska. Memperkemaskan pertahanan dan persediaan serangan jarak jauh di Israel. Mempertingkatkan kelengkapan armada ke-7 tentera lautnya di Atlantik. Memperkuatkan pertahanan tentera di Jepun, Korea Selatan dan Filipina. Ini adalah keputusan keselamatan (security decisions) bukan political decisions.
Lee Kuan Yew telah membuat satu keputusan keselamatan yang bijak apabila mengharamkan buku-buku Mandarin dan menutup sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina di Singapura dan memperkenalkan sekolah satu aliran iaitu Inggeris.
Dipandang dari sudut politik, tindakan Kuan Yew janggal, zalim dan anti nasionalisme tetapi beliau telah mengutamakan keselamatan negara - "security of the country is a paramount important" yang mengatasi kepentingan orang lain.
Pada 8 Mei 1969, satu keputusan politik yang amat 'buruk' dalam sejarah negara telah dibuat oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Keputusan yang menyemarakkan api perkauman antara Melayu dan Cina yang telah mempercepatkan peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969.
Keputusan itu juga menjadi faktor penyudah atau conclusive factor kepada DAP dan komunis yang telah meletak pemimpin besar kita di bawah telunjuk mereka, malah nasihat Ketua Polis Negara yang pakar dalam keselamatan tidak dihiraukan.
Pada 9 Mei 1969 negara telah melihat satu perarakan raksasa dianjur oleh Parti Buruh, DAP, Gerakan dan anasir bawah tanah PKM. Lebih 10,000 orang Cina terlibat membawa sepanduk "Darah Bayar Darah" dicat dengan warna merah. Polis telah tidak dibenarkan masuk campur kononnya takut berlaku huru-hara.
Satu keputusan yang langsung tidak menghiraukan hari mengundi/pilihan raya umum pada esoknya iaitu 10 Mei 1969. Inilah akibat kepentingan politik didahulukan apabila negara sedang dalam krisis. Keputusan tersebut bukan sekadar mengecewakan orang Melayu bahkan orang Cina sendiri yang mengamalkan kedamaian.
Pemimpin kita tidak boleh salahkan orang luar jika sesuatu yang buruk berlaku. Sejarah telah membuktikan keruntuhan sesebuah negara adalah kelemahan dalaman. Ketika ini, keputusan keselamatan sangat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat agar keamanan negara terus terjamin.
Fenomena sekarang menyaksikan rakyat keliru. Malah ada juga pemimpin-pemimpin negara yang keliru. Jika sesuatu ketegasan tidak dibuat, kestabilan keselamatan mungkin tidak terjamin dan sudah tentu politik tidak berfungsi lagi sebagaimana yang diharapkan. Jika ini berlaku, konsep 1Malaysia tidak dapat direalisasikan.
Persoalan politik dan pembangunan negara patut diketepikan buat sementara. Keutamaan harus diberi kepada keselamatan, apa guna ada mahligai tinggi jika negara hancur lebur.
Oleh sebab itulah Perlembagaan Persekutuan memaktubkan bahawa agama rasmi kita adalah agama Islam, bahasa rasmi kita adalah bahasa Melayu, ketua negara kita adalah Yang di-Pertuan Agong dan pribumi iaitu orang Melayu dan Bumiputera mempunyai hak dan keistimewaan di negara ini.
Seluruh peruntukan Perlembagaan ini tidak boleh dipinda melainkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu. Maksudnya jika peruntukkan-peruntukkan ini cuba diganggu-gugat atau cuba diperkecil-kecilkan oleh mana-mana pihak, maka Raja-Raja Melayu berhak untuk mempertahankannya.
Hakikatnya begitu kerana jika soal-soal membabitkan Islam, Melayu dan Bumiputera dipersoalkan oleh rakyat Malaysia yang berlainan keturunan, maka soal-soal ini boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan dan juga keselamatan negara. Oleh sebab itu, seluruh rakyat Malaysia wajib memahami prinsip dan konsep kenegaraan dan juga prinsip dan konsep keselamatan negara di Malaysia.
Dalam konteks kontroversi mengenai penggunaan kalimah Allah di dalam Bible contohnya, pihak-pihak yang memperjuangkan isu ini jangan lupa akan implikasinya kepada Perlembagaan Persekutuan, kepada keselamatan masyarakat dan kepada keselamatan negara. Memang yang diperjuangkan adalah isu agama. Apa yang dibangkang oleh umat Islam juga adalah isu agama tetapi jika isu ini menerima sokongan sesetengah pihak, tentu sekali isu ini membakar kemarahan umat Islam dan boleh mengancam keselamatan negara.
Itulah hakikatnya kerana jati diri Melayu dan Islam yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan, bila mula diperkotak-katikkan oleh rakyat minoriti bukan Islam - akan bermakna pihak minoriti ini mempermain-mainkan Perlembagaan negara, mempersendakan jati diri Melayu dan memperlekehkan kemuliaan Islam. Jika dibiarkan berlarutan, keselamatan rakyat pelbagai agama akan tergugat dan keselamatan negara akan terancam.
Dengan itu, saya harap semua pihak yang sedang memperjuangkan isu kalimah Allah dalam Bible memberhentikan tindakan mereka supaya jati diri Melayu dan Islam yang dilindungi Perlembagaan tidak dipersendakan, supaya Perlembagaan negara tidak diperlekehkan, supaya keharmonian rakyat berbilang kaum tidak tergugat dan keselamatan negara tidak terancam. Kepada pihak ini "Tiada maaf bagimu!"
Begitu juga dengan isu-isu yang mempersoalkan kuota pemilikan Bumiputera sebanyak 30 peratus, soal keunggulan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara, status sekolah-sekolah kebangsaan, soal pemberian biasiswa kepada pelajar-pelajar Bumiputera dan lain-lainnya.
Seluruh perkara ini adalah membabitkan jati diri Melayu dan Bumiputera yang menjadi majoriti di Malaysia, yang sejarah silam mereka dijadikan asas-asas penting dalam konsep prinsip kenegaraan dan keselamatan negara.
Oleh itu, jangan ada pihak yang cuba-cuba mengukuhkan jati diri etnik mereka dengan menceroboh jati diri Melayu, Islam dan Bumiputera yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Pihak-pihak bukan Melayu, bukan Islam dan bukan Bumiputera mesti insaf. Jika kami orang Melayu, orang Islam dan orang Bumiputera menentang pengukuhan jati diri etnik minoriti di Malaysia, kita bukannya perkauman, bukan racist dan bukannya religious-fanatic.
Kita menentang apa jua usaha meroboh dan mencerobohi jati diri Melayu, Islam, Bumiputera yang dilindungi Perlembagaan kerana jika status-quo jati diri ini berubah atau dicerobohi, keselamatan masyarakat akan tergugat dan keselamatan negara akan terancam.
Dalam kontroversi penggunaan kalimah Allah, ada pihak mempersoal mengapa di Indonesia boleh kalimah ini digunakan di gereja-gereja, tetapi Malaysia pula cuba melarangnya. Kepada pihak yang membawa hujah ini saya tegaskan, konsep dan prinsip jati diri dan keselamatan negara di sesebuah negara asing jangan dijadikan asas kepada konsep dan prinsip jati diri dan keselamatan di Malaysia.
Konsep serta prinsip jati diri dan keselamatan negara di Malaysia ikut ukuran Malaysia, ikut sensitiviti Malaysia, ikut Perlembagaan Malaysia. Di mana bumi kita pijak, di situ langit kita junjung! Indonesia ikut cita rasa Indonesia! Malaysia ikut sensitiviti Malaysia. Jati diri dan keselamatan negara Malaysia adalah hak umat majoriti Malaysia yang jadi asas dan tunggaknya!
Oleh itu, saya harap seluruh rakyat Malaysia perlu sentiasa menginsafi implikasi kenyataan, desakan, tuntutan dan tindakan mereka terhadap jati diri umat majoriti di Malaysia dan juga terhadap keselamatan negara. Negara ini masih muda. Struktur kenegaraan kita masih rapuh.
Dalam keadaan seperti ini, jangan sekali-kali ada kelompok minoriti cuba-cuba melukakan hati kelompok majoriti. Dalam keadaan seperti ini jangan sekali-kali ada pihak cuba menceroboh identiti pihak majoriti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dengan itu juga, pihak-pihak dalam kerajaan juga perlu tidak bertolak ansur dengan mana-mana usaha yang mencerobohi identiti kaum majoriti Malaysia. Setiap keputusan yang diambil, baik daripada segi apa sekalipun, perlu diputuskan berasaskan keselamatan negara serta keseluruhan Perlembagaan Persekutuan. Perkiraan mengenai kesaksamaan dan hak asasi juga perlu dipertimbangkan dari sudut keselamatan negara yang asasnya adalah keunggulan identiti masyarakat majoriti di Malaysia.
Akhir sekali, kerajaan mesti bertegas, soal identiti kaum majoriti Malaysia perlu terus dipelihara dan dipertahankan. Soal identiti kaum majoriti Malaysia perlu dijadikan satu daripada core values atau nilai masyarakat yang dilindungi keselamatannya. Mana-mana pihak yang mempersenda, memperlekeh atau mempersoalnya perlu diletak di bawah pemantauan keselamatan atau disifatkan sebagai perang keselamatan insan dan keselamatan negara pada setiap masa.
(Utusan Online, 25/1/2010)
No comments:
Post a Comment