Walaupun terdapat kemajuan yang pesat dan laba ekonomi, beberapa cabaran masih wujud bagi kanak-kanak dan golongan muda. Tunjangnya ialah isu ketaksamaan, baik sosial mahupun ekonomi, kerana hal ini akan mengakibatkan peminggiran sesetengah golongan masyarakat.
“…Setiap anak yang lahir seharusnya dibesarkan dalam persekitaran yang sihat, dibekalkan dengan segala perlindungan yang perlu daripada penyakit, menerima asuhan, penjagaan dan kasih sayang yang sewajarnya, menerima pendidikan am dan pendidikan tinggi setakat yang boleh, menerima kemahiran yang sesuai dalam bidang yang perlu, disemai dengan budaya dan nilai kemanusiaan”.
Wawasan 2020 Malaysia
Pertumbuhan penduduk yang pesat bersama-sama kadar pembangunan dan pengindustrian yang hebat telah meningkatkan kadar pembandaran. Bilangan penduduk bandar telah melambung daripada 37% pada tahun 1981 kepada 57% pada tahun 2000 dan kepada 63% pada tahun 2005. Walaupun pembandaran biasanya menghasilkan lebih banyak peluang pendidikan, penambahbaikan dalam status wanita dan kanak-kanak, jangka hayat yang meningkat dan mengurangkan kadar kematian bayi, ia juga boleh membawa pelbagai risiko, ancaman dan tekanan.
Cabaran yang berkaitan dengan pembandaran di Malaysia termasuklah bertambahnya jurang dalam hubungan keluarga dan pengasingan serta masalah sosial dan alam sekitar seperti penyalahgunaan dadah, jenayah, penempatan setinggan dan kesesakan lalu lintas. Malangnya, kanak-kanak dan golongan muda adalah di kalangan yang paling mudah terpengaruh dan terdedah kepada ancaman ini. Isu-isu berikut dan kesannya terhadap kanak-kanak dan golongan muda menjadi kebimbangan utama kepada Kerajaan dan UNICEF pada waktu ini:
-Bertambahnya kelaziman HIV/AIDS dengan penggandaan setiap tiga tahun bagi kes HIV yang dilaporkan.
-Bertambahnya laporan kekejaman terhadap kanak-kanak dan golongan muda termasuk penderaan seks.
-Bertambahnya kesalahan juvenil.
-Bertambahnya penyalahgunaan dadah.
-Kekurangan masa ibu bapa untuk pemeliharaan kanak-kanak dan penjagaan golongan muda dan kekurangan perkhidmatan yang berkualiti bagi penjagaan dan pembangunan zaman awal kanak-kanak.
-Kemalangan dan kecederaan menjadi sebab utama kecacatan dan kematian kanak-kanak.
-Jurang yang semakin ketara antara terkaya 20% dengan termiskin 20% dan implikasinya yang mungkin terhadap kemandirian, perlindungan, pembangunan dan penyertaan kanak-kanak.
-Pergerakan penghijrahan penduduk mengakibatkan sejumlah besar kanak-kanak yang tidak berdaftar, dan kadangkala tidak kelihatan
Sumber: Unicef Malaysia
No comments:
Post a Comment