Oleh Shaiful Annuar Khalid
Cadangan Kementerian Kerja Raya melaksanakan kaedah bekerja dari rumah atau telekerja melibatkan seramai 35 pelukis pelan Jabatan Kerja Raya (JKR) bakal direalisasikan Januari ini.
Projek perintis ini bertujuan meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos-kos berkaitan pengangkutan.
Kaedah bekerja dari rumah ini adalah antara inisiatif terbaru khususnya oleh JKR selari dengan perubahan semasa.
Kaedah ini sudah dilaksanakan di negaranegara maju tetapi masih baru di negara kita ini. Kerja dari rumah ini adalah satu daripada beberapa kaedah bertujuan mewujudkan kerja yang fleksibel.
Selari dengan perkembangan teknologi, khususnya Internet, beberapa bentuk kerja fleksibel sudah dilaksanakan di beberapa negara maju seperti masa kerja anjal, pejabat maya serta perkongsian kerja.
Oleh kerana kaedah kerja dari rumah masih baru di negara kita, kebimbangan yang dilahirkan oleh beberapa pihak seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) serta Yayasan Kerjaya Malaysia (YKM) sememangnya mempunyai asas.
Aspek-aspek seperti disiplin kerja, penerimaan kakitangan terlibat, perubahan suasana kerja serta kos-kos yang terlibat wajar diperhalusi.
Penubuhan jawatankuasa pemantau dilihat mampu memastikan kaedah kerja dari rumah berjalan dengan sempurna.
Organisasi yang mempunyai rancangan untuk memperkenalkan kerja fleksibel seperti kerja dari rumah perlu memahami tujuan perlaksanaannya dan bagaimana perubahan tersebut boleh membantu organisasi serta sejauh manakah ia mampu meningkatkan kepuasan kerja.
Kakitangan juga perlu memahami sepenuhnya matlamat kerja fleksibel tersebut.
Pelaksanaan kerja dari rumah juga sudah tentu memerlukan organisasi menyediakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi terutamanya kemudahan Internet kepada kakitangan terlibat.
Begitu juga dengan kemudahan alat tulis dan sistem sokongan teknologi maklumat.Pelaksanaan kaedah bekerja baru ini haruslah berpandukan kepada prosedur yang jelas agar matlamat sesuatu tugas dicapai sepenuhnya.
Kaedah ini juga menunjukkan bahawa Kementerian Kerja Raya bersedia untuk meletakkan kepercayaan terhadap sekumpulan kakitangan mereka yang patut dicontohi oleh organisasi lain.
Beberapa perubahan yang berlaku pada hari ini seharusnya membuatkan kita bersedia untuk mengubah paradigma sedia ada.
Mungkin dalam masa 10 atau 15 tahun lagi, kita seharusnya bersedia untuk menerima hakikat bahawa komitmen dan prestasi kakitangan bukan lagi bergantung kepada keberadaan mereka di pejabat.
Penggunaan kaedah bekerja dari rumah bukan sekadar untuk menjaga alam sekitar sahaja. Ia juga mampu meningkatkan kecekapan organisasi serta strategi untuk bertindak balas terhadap perubahan dan cabaran.
Beberapa cabaran yang dihadapi oleh golongan pekerja memerlukan intervensi organisasi seperti pelaksanaan kerja yang fleksibel. Antara cabaran tersebut ialah konflik di antara kerja dan keluarga serta bertambahnya bilangan pekerja yang terdiri daripada ibu atau bapa tunggal.
Mereka ini harus menjalankan dua peranan serentak iaitu mencari nafkah dan menjaga kebajikan keluarga. Selain itu kerana semakin bertambahnya bilangan pekerja yang mempunyai kemahiran tetapi tidak mampu memberikan komitmen sepenuhnya untuk berada di tempat kerja.
Seharusnya ini semua akan membuka lebih banyak ruang kepada usaha mereka bentuk semula kerja yang konvensional kepada kerja lebih fleksibel.
Justeru itu, usaha JKR ini perlu dilihat dari aspek positif. Pelaksanaan dan kejayaannya bukan sahaja menjadi tumpuan lain-lain organisasi tetapi juga diperhati dengan penuh minat oleh ahli-ahli akademik.
Ini adalah kerana kajian akademik mendapati kerja fleksibel menyumbang kepada kualiti kerja dan produktiviti tinggi serta kesetiaan. Akibat daripada beberapa perubahan dan cabaran tadi, trend sebegini dijangka berterusan di masa depan.
Justeru itu, organisasi harus bersedia bahawa sesetengah kerja memerlukan koordinasi yang minimum, kakitangan masih mampu untuk memenuhi keperluan tugas rasmi biarpun tidak berada secara fizikal di pejabat.
Apa yang penting ialah wujudnya sifat saling mempercayai serta prosedur yang jelas bagi memastikan objektif sesuatu tugas bukan sahaja dipenuhi tetapi kualiti kerja juga lebih tinggi.
Pada masa hadapan organisasi harus melihat kerja fleksibel sebagai strategi untuk berdepan dengan cabaran-cabaran sumber manusia.
Ia termasuklah dalam soal kekurangan pekerja mahir dan berkelayakan, kekurangan pekerja pengeluaran, masalah brain drain serta kekurangan pekerja yang mempunyai ciri-ciri keusahawanan.
Dengan peningkatan persaingan dan suasana pasaran yang bergerak pantas, organisasi kini berdepan dengan cabaran untuk menarik dan mengekalkan kakitangan terbaik.
Bakal pekerja berkemahiran tinggi sememangnya lebih mudah memilih majikan yang menawarkan pakej ganjaran kewangan menarik.
Namun bukan semua organisasi mampu menawarkan ganjaran kewangan berdaya saing. Organisasi juga memahami bahawa terdapat banyak sebab kakitangan meletak jawatan.
Kenaikan gaji dan pangkat mungkin mampu menyekat kakitangan dari melepaskan jawatan yang bakal merugikan majikan.
Namun ia masih belum cukup untuk memenuhi keperluan sebilangan kakitangan yang inginkan keseimbangan di antara kerja dan kehidupan di luar kerja.
Seseorang kakitangan melepaskan jawatan atas banyak sebab. Antaranya ialah minat, cabaran, peluang, pembangunan kerjaya dan fleksibiliti. Kemampuan organisasi untuk mereka bentuk kerja yang memungkinkan seseorang individu mencapai keseimbangan di antara kerjaya dan gaya hidup.
Kaedah yang mesra pekerja seperti yang bakal dilaksanakan oleh JKR patut dilihat sebagai projek perintis yang patut menjadi ikutan mengikut kesesuaian sesuatu jawatan. Yang penting, 35 pelukis pelan berkenaan harus membuktikan kaedah ini juga mampu dilaksanakan dengan jayanya oleh kakitangan sektor awam.
Kita yakin segala prosedur telah sedia ada dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak terutamanya yang melibatkan sasaran kerja.
Polisi yang jelas merangkumi aspek-aspek seperti kerahsiaan, aspek keselamatan, kesihatan pekerja, perbelanjaan, penjagaan peralatan yang dimiliki oleh organisasi, lokasi bekerja serta piawaian prestasi adalah perlu bagi memastikan kejayaan sistem baru ini.
Segala bentuk kegusaran seperti yang dilaporkan seperti kos elektrik, suasana kerja yang berbeza dan tahap disiplin perlu diatasi dengan baik agar matlamat dicapai.
Jika projek perintis JKR ini berjaya, ia bakal membuka minda pihak-pihak lain untuk turut menerima konsep kerja fleksibel.
Tepat sekali kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kejayaan projek perintis ini harus diukur berdasarkan faedah kepada organisasi serta kepada kehidupan pekerja.
Konsep bekerja seperti ini jika berjaya dan diterima, bakal membuka ruang kerja untuk golongan lain seperti orang kurang upaya serta ibu tunggal yang mampu bekerja tetapi kurang berkemampuan dari segi mobiliti.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara Perlis
Utusan Online: 23/12/2009)
No comments:
Post a Comment