Monday, August 31, 2009

Pendatang asing Cina di Eropah: perspektif Eropah (1)

Pengenalan

Perbincangan tentang topik ini boleh menimbulkan keadaan tidak selesa dan hingar-bingar serta memberi kesan ke atas emosi pembaca. Ia juga menyerlahkan bagaimana perlembagaan Eropah memilih pendekatan sendiri untuk bertindak balas ke atas persekitaran politik dan ekonomi mereka. Justeru, untuk memilih dan menyesuaikan dasar yang menepati kehendak masyarakat Eropah, ia mengambil masa yang panjang dan memenatkan.

Pandangan Eropah terhadap orang Cina

Perkataan ‘Cina’ dalam kebanyakan masyarakat Eropah adalah gambaran pelbagai imej seperti negara China, jenis makanan, copstik, Chinatown (pekan Cina), tempat berkerumun, Dataran Tianammen dan Bruce Lee. Jadi, reaksi dalaman ini boleh digunakan untuk membina jambatan kognitif yang difikirkan oleh masyarakat Eropah apabila mereka mendengar perkataan ‘Cina’.

Orang Eropah tahu Cina bukanlah ada di negara China sahaja malah berselerakan di seluruh benua itu. Mereka merasainya setiap hari sama ada semasa bercuti di Amsterdam atau Paris, ataupun tinggal di London atau Manchester.

Sebahagian besar penduduk Eropah pasti pernah melawat Amsterdam lebih daripada sekali. Chinatown di bandar itu telah melalui proses transformasi yang menukarkannya daripada dikenali sebagai ‘daerah lampu merah.’ Kerja-kerja pembinaan semula bangunan dan perataan jalan, metamorfosis daerah itu bergerak daripada kawasan yang tidak dihormati menjadi sebuah kawasan yang menggamit kehadiran sesiapa sahaja yang melaluinya. Gerombolan pelancong dari Eropah dapat merasainya apabila mereka mula membeli-belah, melihat gelagat penjual ubat yang cuba memujuk dengan mengatakan ubat herba dari Asia dapat mengubat semua jenis penyakit, kewujudan sekolah seni mempertahankan diri dan itik salai yang bergantungan di restoran Cina.

Di Paris, perkataan Cina kedapatan di sebalik restoran-restoran Cina atau muzium yang terletak di Avenue Foch, Musee d’Ennery. Salah satu daripada muzium seni Cina yang terkenal, Musee Guinet, memiliki 200 tema dalam pertunjukannya di samping simpanan filem dan gambar dalam perpustakaan.

Daripada keagungan Liverpool Imperial Arch ke Chinatown di London, di situ terdapat pintu gerbang Cina yang melambangkan tuah dan kemakmuran, berdiri kukuh menojah langit di Faulkner Street, Manchester sebagai tanda negara Britain yang pelbagai etnik. Orang Cina menjadi sebahagian daripadanya. Sungguhpun Chinatown adalah tempat yang riuh dan menyesakkan, keadaannya berlawanan dengan gambaran umum masyarakat Cina di Britain yang seringkali digelar ‘minoriti tersembunyi’. Tambahan pula mereka perlu berusaha untuk mendapat hak sama rata dalam sistem negara itu dengan mengubah pemikiran terhadap negara asal kerana imej dalam pemikiran adalah refleksi kepada gambaran geografi sebenar.


Selepas mengalami pengalaman mental daripada perkataan ‘Cina’ dengan melawat Chinatown di Amsterdam, Paris, Manchester atau London, berbelanja di kios yang berbelit-belit atau merasai makanan lazat di restoran Cina, gambaran mental yang masih wujud ialah imej tunggal di Chinatown. Kita meninggalkan Chinatown dengan sesuatu yang menarik: pandangan yang menyatakan pendatang ini mencetuskan kacau-bilau dan pengotor. Justeru, kita mungkin menghadapi masalah untuk menerangkan tingkah laku sebenarnya terhadap pengalaman di Chinatown ini.

Justeru, amat sukar untuk menerangkan apakah sebenarnya Chinatown. Ia boleh dipertimbangkan sebagai daerah kecil dalam kota metropolitan Eropah, berhampiran pusat bisnes, didiami sebahagian besar etnik Cina di luar China, menguasai rantaian gedung perniagaan- farmasi, restoran; di samping reka bentuk tulisan Cina berganding dengan tulisan Inggeris. Di belakang gudang-gudang bisnes ini adalah tempat tinggal pendatang Cina yang mencari pendapatan.

Di Manila dan Bangkok, rumah-rumah kedai adalah pemandangan biasa. Tingkat pertama dijadikan stor simpanan barang dan tingkat kedua menjadi tempat tinggal. Di sesetengah bandar, terdapat lebih daripada satu Chinatown seperti di Paris. Di Kuala Lumpur, kampung-kampung Cina berkembang menjadi bandar.

Media dan industri filem sering menggambarkan Chinatown sebagai tempat berpenduduk padat, sangat teruk dan dibebani dengan masalah sosial. Ciri-cirinya tidak dapat membantu kita untuk memahami apakah sebenarnya Chinatown atau siapakah orang-orang Cina yang menetap di Eropah. Bagi orang bukan Cina, gambaran Chinatown adalah tempat yang sentiasa hidup tetapi penuh misteri, tertutup, berbahaya dan sesak. Namun bagi orang Cina, Chinatown adalah tempat mereka berinteraksi dan membina hubungan sosial pelbagai fungsi.

Cina yang diam di Chinatown adalah Cina seberang laut. Siapakah Cina seberang laut ini?

Secara tradisi, setiap orang Cina yang tinggal di luar sempadan Republik China dikenali sebagai Hua-Chiao atau Cina seberang laut. Sebagai golongan pendatang yang bergerak ke seluruh dunia sejak 5000 tahun lalu, Cina mengekalkan warisan, tradisi dan adat resam ke mana saja mereka pergi. Hasilnya, Chinatown di Eropah kelihatan sama dengan dua perkara utama: apa yang mereka boleh buat dan siapakah mereka.

Isu pertama adalah kuasa ekonomi dan politik. Diaspora ini merentas dari San Fransisco hingga ke Singapura dengan jumlah kekayaan lebih daripada US$1.5 trilion. Mereka digelar sebagai kelas ekonomi ketiga terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat dan Jepun. Bagaimanapun kekuatan ekonomi ini tidak menunjukkan kecenderungan kuasa politik kerana rantaian kekayaan ini tidak ada kesatuan dan tidak pernah ada cita-cita ke arah itu.

Isu kedua menyatakan dengan jelas, siapakah diri mereka. Golongan ini adalah mereka yang tidak memberikan sebarang persepsi terhadap usaha bercampur dengan penduduk tempatan. Akibat langsung ialah berlakunya diskriminasi terhadap mereka secara berterusan. Atau lebih tepat lagi, disebabkan pencapaian ekonomi mereka, masyarakat setempat memberi perhatian berlebihan dan menimbulkan rasa cemburu. Justeru, ramai daripada mereka ini menjadi sasaran keganasan dek dengki dan iri hati. Daripada menjadi anugerah, kekayaan yang berjaya dinikmati bertukar menjadi pemusnah. Tambahan pula sikap kerajaan tempatan yang menyasarkan mereka dengan percubaan memiliknegarakan kekayaan yang dimiliki sama ada secara sah ataupun tidak sah. Orang Cina yang berharta ini cuba menyembunyikan kekayaan itu dengan memindahkannya ke seberang laut atau mengambil sikap tidak menonjolkan diri. Kebanyakan mereka terlibat dalam bidang kejuteraan dan perniagaan ini datang dari wilayah Fujian dan Guangdong.

Menjahit telekung untuk keselesaan

Selepas bersara, kebanyakan orang akan berehat panjang sama ada selalu berjemaah di masjid, makan angin, mengambil cucu di sekolah setiap hari atau berniaga. Pesara yang berniaga lebih baik kerana dia sudah ada jaringan bakal pelanggan yang terdiri daripada rakan-rakan sepejabat, saudara-mara dan adik-beradik yang beranak cucu.

Bagi makcik Sabariah, 63 tahun, minat membuat telekung pada peringkat awal hanyalah untuk suka-suka sahaja bagi mengisi masa lapang selepas bersara. Dia ada sedikit asas dalam jahitan dan memilih telekung sebagai permulaan. Pelanggan awalnya ialah saudara-mara, anak-anak dan rakan-rakan yang tahu.

Tiga tahun selepas itu, beliau memberanikan diri untuk menerima tempahan di samping membaiki telekung pelanggan. Kejayaan makcik Sabariah terletak pada kesabaran, minat dan rasa tanggungjawab. Jadi, rasa penat dan pengorbanan menyediakan telekung yang terbaik kepada pelanggan dan orang ramai akhirnya berbalas juga apabila dapat menjenamakan Sabariah Telekung.

Masa kerja ialah selepas subuh dan berhenti apabila masuk waktu solat. Kadangkala berterusan sehingga pukul 2 pagi.

Pelanggan menyukai jahitan makcik Sabariah kerana keselesaan jahitan pada bahagian dagu dan dahi. Kemahiran menjahit telekung khususnya pada dua bahagian ini memerlukan latihan dan maklum balas beterusan daripada pemakainya supaya bahagian muka telekung lebih kemas, selesa dan sedap dipakai.

Minat yang pada awalnya digerakkan oleh hobi dan suka-suka akhirnya menjadi bisnes yang berjaya. Sambutan dan sokongan daripada pelanggan, saudara-mara dan rakan-rakan menjadikan makcik Sabariah serius untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa apa sahaja bidang yang kita ceburi, insya Allah pasti akan berjaya jika sentiasa berusaha, berdoa dan bertawakkal. Untuk memajukan diri dalam bisnes, kerajinan dan minat menjadi prasyarat tambahan.

Sunday, August 30, 2009

Kemiskinan bandar

Dalam Islam, kemiskinan perlu ditentang habis-habisan kerana ia dikatakan boleh membawa manusia menghampiri kekufuran. Seorang ahli falsafah British, George Bernard Shaw menulis bahawa kemiskinan adalah jenayah yang paling dahsyat. Segala kejahatan yang ada, katanya, berkumpul dalam kemiskinan.

Di Malaysia, Awang melihat, usaha membanteras kemiskinan telah menjadi sebahagian daripada dasar integral kerajaan sejak negara merdeka 52 tahun lalu.

Apabila Perdana Menteri, Najib Tun Razak mengumumkan Jumaat lalu mengenai peruntukan kerajaan sebanyak RM100 juta dalam bentuk saham amanah untuk keluarga miskin di bandar- bandar di negara ini, ia sebenarnya merupakan manifestasi iltizam kerajaan dalam menangani kemiskinan.

Rakyat Malaysia wajar bersyukur kerana mewarisi sebuah negara yang berupaya menikmati kedamaian dan kemakmuran hasil daripada usaha berterusan kerajaan membantu golongan miskin melalui sistem pendidikan, strategi perbandaran, dasar ekonomi dan peluang-peluang keusahawanan. Bayangkan apa akan berlaku kepada negara ini, yang mempunyai kompleksiti etnik dan wilayah, jika majoriti rakyatnya dibiarkan kekal dalam kemiskinan dengan segala kejahatan terkandung di dalamnya.

Peruntukan RM100 juta dalam bentuk saham amanah itu adalah sebahagian daripada program kerajaan untuk membasmi kemiskinan bandar. Pada tahun lalu kerajaan telah pun memperuntukkan RM100 juta melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk program kredit mikro golongan miskin di bandar-bandar.

Takrif kemiskinan berbeza antara luar bandar dan bandar. Di luar bandar negara ini, sesebuah isi rumah dikategorikan miskin tegar jika mereka memperoleh pendapatan di bawah RM666 sebulan iaitu garis kemiskinan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Di bandar, isi rumah yang memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan dan memiliki aset kurang daripada RM50,000 sudah boleh dikategorikan sebagai miskin bandar dan mereka boleh terlibat dengan projek pinjaman kredit mikro AIM.

Maklumat awal mengenai projek kredit mikro AIM itu amat memberangsangkan. Setakat ini sebanyak 14,339 isi rumah miskin di bandar-bandar di seluruh negara yang berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan telah terlibat dalam pinjaman untuk membaiki sosioekonomi masing-masing. Kira-kira 7,745 orang daripadanya ialah golongan miskin bandar di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Setakat ini sebanyak RM33 juta daripada peruntukan RM100 juta telah dikeluarkan untuk membantu orang miskin bandar meningkatkan pendapatan mereka melalui projek-projek ekonomi kecil di bawah Program Kewangan Mikro Bandar. Kadar bayaran balik program itu, yang perlu dibuat secara mingguan, amat menakjubkan iaitu pada kadar 99.4 peratus. Mana-mana ahli perbankan akan terpesona dengan kadar bayaran balik itu.

Ertinya, daripada 14,339 isi rumah miskin bandar di negara ini yang memperoleh pinjaman kredit mikro AIM, sebanyak 99.4 peratus membayar semula pinjaman. Mereka membuat pinjaman awal RM3,000 - yang kemudian boleh ditingkatkan kepada RM20,000 - dan membayarnya semula dalam tempoh antara tiga bulan hingga setahun. Jumlah peminjam yang tertunggak bayaran balik cuma seramai 84 orang.

Orang miskin bandar yang menyedari potensi mereka sebenarnya boleh dipercayai, sebagaimana juga yang telah dibuktikan oleh golongan miskin di luar bandar. Berdasarkan pengalaman AIM yang terlibat dengan program pembasmian kemiskinan melalui kredit mikro, sesebuah isi rumah miskin dapat keluar daripada kemiskinan selepas tiga kali mereka memperoleh pembiayaan kredit mikro.

Jika pemantauan dalam program membasmi kemiskinan dilakukan dengan teliti, Awang yakin lebih 14,000 isi rumah miskin di bandar di negara ini akan dapat keluar daripada kemiskinan dalam tempoh kurang tiga tahun.

Strategi kerajaan dalam pembasmian kemiskinan bandar bersifat progresif. Pinjaman digunakan untuk menambah pendapatan keluarga miskin. Pendapatan yang lebih tinggi membolehkan mereka merancang kewangan, memperluaskan perniagaan kecil, menabung dan kemudian membeli aset termasuk rumah sendiri di kawasan bandar. Ia disuburkan lagi dengan strategi lain dalam bidang pendidikan dan peluang ekonomi.

Dengan tambahan peruntukan RM100 juta dalam bentuk saham amanah yang diumumkan oleh Najib kelmarin, jika ia dilaksanakan secara bersepadu dengan program kredit mikro seperti yang ditawarkan oleh AIM, tidak ada pihak boleh mempersoalkan komitmen kerajaan kepada golongan miskin tidak kira di mana sahaja mereka tinggal.

Pihak-pihak tertentu, termasuk pembangkang, mungkin mendakwa kerajaan belum cukup komited untuk membantu rakyat miskin. Dalam konteks ini, yang kita perlu sedar ialah kerajaan boleh membantu rakyat yang miskin harta, tetapi tidak banyak yang boleh ditolong jika mereka terpedaya oleh orang yang miskin jiwa.

Awang Selamat

(Utusan Online, 30/8/2009)

Saturday, August 29, 2009

Chamomilla

Simptom utama mental dan emosi seperti kanak-kanak yang meradang, tidak dapat rehat dan kembung perut. Pesakit cenderung berwatak lemah-lembut, tenang, lembam dan sembelit. Chamomilla sesuai untuk orang yang sensitif, mudah meradang, dahaga, panas dan kebas. Terlalu sensitif kerana kopi dan tembakau. Tidak dapat menanggung sakit dan kebas. Malam berpeluh.

Fikiran: Bimbang, resah; sedih dan mengerang walaupun untuk hal yang remeh-temeh. Tekanan pada fikiran; selalu sakit hingga pengsan. Rasa sukar, risau dengan menderita. Perasaan resah tidak sabar-sabar. Mudah naik darah, merengek, tidak dapat rehat; kanak-kanak mahu macam-macam tapi dibuang bila dapat. Kanak-kanak menangis, berhenti bila didukung. Tidak dapat buat apa yang dikata.

Kepala: Keliru di tengah hari dengan tekanan pada mata. Pening selepas makan dan bangun dari tempat tidur, cenderung pitam. Serangan berdenyut-denyut sekejap di sebelah kepala. Tekanan dari ubun-ubun kepala ke dahi dan sisi pipi; teruk bila fikirkan sesuatu. Peluh berair dan melekit yang panas di dahi.

Mata: Kelopak mata rasa menyucuk-nyucuk, mata putih kekuningan. Panas dalam mata.

Telinga: Berdering. Rasa sakit, bengkak dan panas. Sakit menyucuk-nyucuk.

Hidung: Sensitif dengan bau. Radang sebabkan bersin diikuti rasa panas kering; tersumbat, hidung berair dan tidak dapat tidur.

Muka: Sebelah pipi merah dan lagi pucat dan sejuk. Menyucuk-myucuk di rahang melarat ke dalam telinga dan sekitar gigi. Berpeluh selepas makan. Sakit gigi teruk selepas minum air suam dan sebabkan gangguan-gangguan tertentu. Kanak-kanak hendak tumbuh gigi.

Mulut: Bibir pecah dan mengelupas. Sakit gigi berdenyut-denyut kerana sejuk, lepas makan atau tinggal dalam bilik. Teruk kerana panas tempat tidur dan selepas minum air suam. Sakit gigi semasa datang haid atau hamil. Sakit gigi jika sebarang benda panas dimasukkan ke dalam mulut. Rasa gigi terlalu panjang. Gigi reput dengan cirit-birit, bau seperti telur busuk. Malam meleleh air liur.

Kerongkong: Rasa sesak sekejap-sekejap di farinks. Kerongkong luka dengan bengkak kalenjar parotid. Bengkak kalenjar submaksilari.

Perut: Enggan makan. Haus dengan air sejuk. Muntah. Bibir rasa pahit. Sendawa. Abdomen kembung. Cengkaman dalam kawasan pusat dan sakit sikit di belakang. Kentut dengan pipi merah dan berpeluh panas. Sakit abdomen dari sisi ke sisi, sekitar pusat, mula dari kanan ke kiri. Rasa sakit, tidak boleh duduk dan sangat menderita; seperti disiat-siat.

Tahi: Terang, nipis; panas, bau seperti telur busuk. Buasir, sangat sakit, berdarah dan rasa terbakar.

Seks Perempuan: Faraj rasa terbakar. Pundi-pundi kencing tumpah darah. Discaj melimpah keluar dengan darah gelap beku, sakit seperti bersalin. Darah haid gelap, bergumpal, keluar tiba-tiba. Pesakit tidak dapat bertolak ansur dengan kesakitan yang dialami. Pedih kerana keputihan. Mengancam hendak gugurkan kandungan. Sakit hendak bersalin sekejap-sekejap; sakit kaki bawah. Organ-organ ketat dan sempit; tidak dapat menahan sakit.

Pernafasan: Suara serak, batuk kerana kehadiran lendir dalam trakea. Radang, kering batuk; sesak nafas kerana kesesakan dalam dada, keluar kahak pahit pada sebelah siang. Batuk kerana radang dalam saluran pernafasan pada sebelah malam. Radang atau batuk berterusan di bawah bahagian atas tulang rusuk. Sesak di bahagian atas dada. Rasa menyucuk dan ditikam dalam dada memaksa pesakit menjerit; susah bersuara dan mungkin mengalami sesak nafas.

Jantung: Degupan perlahan tetapi kadar dan kelajuan tidak sama.

Kakitangan/Belakang: Sakit reumatik sebabkan tidak boleh tidur sebelah malam; terpaksa berjalan-jalan mengambil angin. Tapak kaki rasa terbakar sebelah malam.

Kulit: Menggelembung; tidak sihat, setiap kecederaan akan membentuk kudis yang bernanah. Terbakar dan rasa pedih kerana ulser di sebelah malam; rasa cakaran dan sensitif bila disentuh. Ruam merah di pipi. Rasa gatal di tempat-tempat berpeluh. Jaundis.

Tidur: Tidak nyenyak; tidur baring sahaja; menguap, mula menangis, merengek dan merepek.

Demam: Seluruh tubuh sejuk dengan panas di muka dan mata serta pernafasan panas. Menggigil kesejukan. Panas dan sejuk silih berganti di banyak tempat. Panas dalam kepala dan muka. Peluh mencurah-curah. Berpeluh semasa tidur. Di atas kepala; bau masam dan rasa menyucuk dalam kulit. Kulit lembap dan rasa terbakar.

Konstitusi: Gugup; sensitif dengan kopi, candu dan narkotik; bayi baru lahir; cabut gigi; chlorotics; orang muda.

Sebab Musabab: Marah; demam; kopi; narkotik; cabut gigi.

Simptom Utama: Meradang; merengek; tidak sabar; pemarah; rasa haus hendak air sejuk.

Melarat: Marah; senja; sebelum tengah malam; tempat terbuka; angin kencang; sendawa; sebelum sarapan pagi; semasa keluarkan hingus; kanak-kanak selepas dapat demam; perempuan datang haid dan hamil; bila bergerak; semasa baring; ubat dadah; semasa berpeluh; semasa atau selepas demam scarlet; semasa tidur; semasa berak.

Lega: Berpuasa, didukung; cuaca panas lembap; selepas berpeluh.

Patologi: Kebas; sakit gigi; gigi hendak tumbuh; berpeluh malam; sangat dahaga; cirit-birit (kanak-kanak); sakit telinga; jaundis pada kanak-kanak.

Friday, August 28, 2009

Dasar Wanita Negara

Latar belakang

Wanita terdiri daripada hampir separuh penduduk Malaysia. Sumbangan mereka sama ada sebagai isteri, ibu serta pekerja yang mempunyai gaji, di dalam pembangunan bangsa dan negara adalah amat penting. Mereka bukan sahaja memainkan peranan utama di dalam pembentukan generasi akan datang malah melupakan sumber ekonomi yang penting.

Buat masa ini, mereka merupakan satu pertiga daripada jumlah tenaga buruh. Dari segi penyertaan buruh, penyertaan wanita meningkat dari 37.2 peratus dalam tahun 1970 kepada 46.7 peratus dalam tahun 1990. Di sektor luar bandar dan pertanian, wanita terus merupakan faktor penting. Gunatenaga wanita juga telah bertambah dengan banyaknya di dalam sektor pembuatan terutamanya dalam sektor tekstail dan elektronik. Di sektor perkhidmatan seperti perkhidmatan masyarakat, sosial, persendirian serta sektor awam, penyertaan wanita juga kian meningkat. Wanita juga telah lama memainkan peranan yang aktif di bidang politik negara. Mereka merupakan kumpulan pengundi yang kuat dan sering memainkan peranan sebagai penarik pengundi.

Kerajaan telah lama mengiktiraf sumbangan besar wanita di dalam pembangunan negara. Oleh itu kerajaan sentiasa menggalakkan penyertaan mereka dalam proses pembangunan negara dengan membuka peluang-peluang yang lebih luas bagi menceburi bidang sosial, ekonomi dan politik. Beberapa institusi telah ditubuhkan untuk mengintegrasikan wanita ke dalam aliran utama pembangunan. Majlis Penasihat Kebangsaan Mengenai Integrasi Wanita Dalam Pembangunan (NACIWID) di Jabatan Perdana Menteri telah ditubuhkan pada tahun 1976 bagi menterjemahkan pelan tindakan sedunia mengenai wanita dalam pembangunan negara.

Pada tahun 1983, Urusetia Hal Ehwal Wanita (HAWA) telah ditubuhkan untuk mengawasi dan menilai perkhidmatan-perkhidmatan yang dibekalkan oleh sektor awam dan swasta bagi faedah kaum wanita. Selain daripada bertindak sebagai pusat maklumat utama mengenai hal ehwal wanita, HAWA juga berfungsi sebagai urusetia kepada NACIWID.

Sistem penyampaian pelbagai perkhidmatan sokongan untuk wanita telah diperkukuhkan lagi melalui aktiviti organisasi-organisasi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun-pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan beberapa Lembaga Kemajuan Wilayah. Penubuhan sebuah agensi amanah bukan kerajaan iaitu Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) turut membantu mempertingkatkan penyertaan kaum wanita terutamanya di luar bandar di dalam aktiviti-aktiviti ekonomi bukan ladang.

Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain juga memainkan peranan yang penting ke arah meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti-aktiviti ekonomi dan sosial.


NGO seperti Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita (NCWO), Perkumpulan Wanita (Wl), Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI), Pertubuhan Bantuan Wanita Islam dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam serta pertubuhan-pertubuhan wanita yang lain telah menyediakan berbagai program pembangunan berbentuk jayadiri dan kemudahan-kemudahan sokongan yang lain.


Rasional

Menyedari pelbagai peranan wanita dalam keluarga, masyarakat, ekonomi dan politik negara, kerajaan mengakui bahawa strategi-strategi yang khusus perlu dibentuk bagi melibatkan wanita secara berkesan dalam proses pembangunan supaya potensi wanita dapat dioptimumkan. Usaha gigih perlu diambil untuk membantu wanita melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan sosial dan ekonomi yang utama. Ini memerlukan satu dasar bagi memberi panduan serta arah haluan dalam segala usaha pembangunan supaya kepentingan dan penyertaan wanita tidak terabai dan diintegrasikan sumbangan mereka dalam proses pembangunan negara.

Menyedari hakikat inilah kerajaan telah menggubal Dasar Wanita Negara (DWN) dalam tahun 1989. Penggubalan dasar ini memperjelaskan kesungguhan kerajaan ke arah membantu penyertaan wanita dalam arus pembangunan negara dengan lebih bermakna. DWN menyediakan garis panduan bagi mengintegrasikan sumbangan wanita dalam proses pembangunan negara.

Objektif-objektif Dasar Wanita Negara ialah:

(i) untuk menjamin perkongsian yang saksama di antara lelaki dan wanita dalam pemilikan sumber dan maklumat, di samping mendapatkan peluang dan faedah dari pembangunan; dan


(ii) untuk mengintegrasikan kaum wanita ke dalam semua sektor pembangunan negara selaras dengan kemampuan dan keperluan mereka bagi tujuan meningkatkan mutu kehidupan, membasmi kemiskinan, menghapuskan kejahilan dan buta huruf serta memastikan negara berada dalam keadaan aman dan makmur.

Strategi-strategi Pelaksanaan

Bagi membantu pihak perancangan dan pelaksanaan Dasar Wanita Negara (DWN), beberapa strategi dibentuk bagi menjamin kecekapan, keberkesanan, keselarasan dan keseragaman dasar dan tindakan sperti berikut:

(a) Memperkukuhkan Unit Hal Ehwal Wanita (HAWA) Sebagai Jentera Pembangunan Negara jentera negara bagi kemajuan wanita ialah HAWA yang kini diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Sosial. Adalah wajar HAWA dipertingkatkan kuasa dan tarafnya dengan mewujudkan perhubungannya dengan setiap Kementerian, mengadakan penyelaras di setiap negeri supaya dapat bertindak dengan lebih berkesan mengenai hal ehwal wanita.

(b) Mengorientasikan Dasar dan Tindakan Agensi Kerajaan Supaya Memasukkan Proses Perancangan, Pelaksanaan dan Pengawasaan Program-program Pengintegrasian Wanita. Dalam penggubalan dasar, perundangan, peraturan dan program oleh apa juga sektor atau agensi, pertimbangan mestilah dibuat tentang sumbangan dan implikasinya terhadap wanita; impak dan kesan yang negatif terhadap wanita hendaklah diawasi. Satu sistem penyelarasan dan kawalan bagi program-program yang komprehensif hendaklah diwujudkan bagi mengelakkan kesan-kesan negatif dan juga bagi mengesani rintangan dan masalah, sama ada dari segi undang-undang, mahupun dari segi amalan, supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi mengatasinya. Semua program pembangunan mestilah mempunyai strategi yang menguntungkan wanita; penglibatan wanita di semua peringkat, daripada peringkat awal perancangan hingga ke peringkat penilaian, di peringkat nasional dan di peringkat tempatan hendaklah terjamin.

(c) Pendidikan dan Latihan Untuk Menyedarkan Pihak Pentadbiran Kerajaan Mengenai Isu Wanita. Bagi membangkitkan kesedaran dan komitmen institusi dan agensi kerajaan, program latihan kepekaan jantina gender sentisizing dipelbagai peringkat hendaklah diadakan. Program latihan mengenai wanita dan pembangunan hendaklah diadakan berterusan untuk kakitangan kerajaan.

(d) Penglibatan Badan-badan Bukan Kerajaan. Kerajaan hendaklah berusaha melibatkan semua organisasi bukan kerajaan dan badan-badan sukarela dalam program dan tindakan pembangunan wanita. Bantuan kewangan, teknikal, nasihat dan institusi hendaklah diperuntukkan berterusan kepada persatuan-persatuan wanita bagi menggalakkan dan mempertingkatkan perkhidmatan mereka.

(e) Membasmi Diskriminasi dan Mengambil Tindakan Tegas Langkah-langkah khusus hendaklah diambil bagi membasmi diskriminasi terhadap wanita. Kelemahan-kelemahan undang-undang bagi menjamin hak wanita hendaklah dibaiki. Tumpuan khas hendaklah dihalakan kepada kawasan-kawasan kurang maju di luar bandar, wanita yang tidak berdaya dan cacat serta wanita diberi peluang pendidikan.

(f) Memajukan dan Menyelaras Penyelidikan Mengenal Isu Wanita Menyedari hakikat bahawa kurangnya data dan maklumat mengenai kedudukan wanita sebenarnya, maka kerajaan hendaklah menggalak dan membantu penyelidikan dan kajian mengenai wanita. Di samping itu kerajaan hendaklah menentukan bahawa segala pengumpulan data dan maklumat oleh pelbagai sektor dan agensi kerajaan mengasing-asingkan butiran maklumat mengikut jantina.

(g) Peruntukan Anggaran Belanjawan Kerajaan hendaklah menentukan bahawa Kementerian-kementerian dan Agensi-agensi yang berkenaan menggunakan peruntukan yang telah diluluskan dengan mengubahsuai tindakan bagi memenuhi program dan projek pembangunan wanita.

Pelan Tindakan Mengikut Sektor

(a) Jentera Nasional Bagi Pengintegrasian Wanita Dalam Pembangunan

(i) HAWA hendaklah mempunyai hubungan yang berfungsi dengan semua Kementerian lain. Ia hendaklah bertindak sebagai pusat penyelaras, pengesan, dan pemeroses isu-isu untuk dikemukakan kepada NACIWID untuk mendapat pandangan, nasihat dan syor-syor untuk tindakan pihak kerajaan dan pihak-pihak lain yang berkenaan;

(ii) Usaha bagi memperkukuhkan HAWA hendaklah termasuk program- program latihan pegawai dan kakitangan urusetia supaya HAWA akan bertambah cekap dan dinamik; dan

(iii) Pengagihan bekalan kewangan sewajar dengan tugas dan fungsi HAWA yang lebih luas ini hendaklah ditentukan.

(b) Kesihatan

(i) Mewujudkan satu dasar kesihatan negara yang mengambil kira keperluan dan taraf kesihatan kaum wanita. Konsep kesihatan yang komprehensif hendaklah meliputi aspek kesihatan jasmani, mental dan emosi;

(ii) Satu mekanisma hendaklah diwujudkan bagi memudahkan penyertaan berbilang sektor bagi menjamin penyebaran perkhidmatan kesihatan yang sama rata di semua kawasan, serta menentukan usaha yang cekap dan berkesan sejajar dengan prioriti-prioriti tempatan;

(iii) Menggalakkan perkembangan ilmu dan amalan perubatan cara moden dan tradisional;

(iv) Melaksanakan dasar yang berkesan tentang penagihan dan penggunaan dadah dengan melibatkan semua pihak dan lapisan;

(v) Mengadakan undang-undang yang dapat memberi perlindungan kepada pesakit daripada pihak-pihak yang tidak bertanggunjawab dalam memberi rawatan dan ubatan. Mangsa-mangsa rogol dan keganasan hendalah diberi perlindungan daripada publisiti yang meruntuhkan maruah dan keperibadian mereka; dan

(vi) Mengkaji undang-undang yang sedia ada, atau menggubal undang undang baru bagi melindungi wanita akan pekerjaan-pekerjaan yang membahayakan kesihatan.

(c) Pendidikan dan Latihan

(i) Menhapuskan gambaran-gambaran yang merendahkan maruah dan imej wanita;

(ii) Memudahkan penyertaan wanita dalam bidang-bidang yang diminati;

(iii) Meyakinkan wanita untuk mengambil peluang latihan bagi menceburkan diri dalam lapangan sains dan teknologi moden;

(iv) Memasukkan pendidikan kekeluargaan dalam semua kursus pendidikan dan latihan kerjaya untuk lelaki dan wanita;

(v) Menyemak dasar pengambilan dan pelaksanaan tugas institusi bagi menjamin diskriminasi terhadap wanita tidak diamalkan;

(vi) Meluaskan lagi peluang-peluang latihan vokasional untuk wanita serta mengiktiraf kemahiran-kemahiran wanita dalam bidang latihan dan pekerjaan;

(vii) Menekankan institusi pendidikan dewasa serta peluang pendidikan sepanjang hidup agar kaum wanita dapat terus mengembangkan pengetahuan dan kemahiran mereka; dan

(viii) Institusi-institusi swasta hendaklah diawasi supaya mereka tidak meneruskan diskriminasi terhadap wanita ataupun mengekalkan gambaran-gambaran yang menghinakan penyertaan wanita. Dasar Wanita Negara hendaklah meliputi semua sektor, baik kerajaan mahupun bukan kerajaan.

(d) Undang-undang

(i) Menyemak dan mengemaskini undang-undang yang kurang berkesan;

(ii) Melibatkan wanita dalam penggubalan pelaksanaan undang- undang;

(iii) Mengadakan biro pengaduan dan nasihat yang mudah didapati untuk wanita;

(iv) Memberi pengetahuan mengenai hak individu disisi undang- undang;

(v) Menggubal undang-undang perlindungan daripada keganasan rumahtangga, pemberhentian dan eksploitasi dalam pekerjaan dan bagi mangsa rogol dan keganasan; dan

(vi) Mewujudkan undang-undang keluarga yang saksama yang memelihara dan mempertahankan hak ibu kandung dan bagi menyelesaikan pertikaian keluarga dengan adil dan berperikemanusiaan.

(e) Pekerjaan

(i) Dipertingkatkan penyertaan wanita dalam bidang pekerjaan, sosial, ekonomi dan politik;

(ii) Perlu diadakan perkongsian saksama tentang manfaat pembangunan;

(iii) Perlu diperbanyakkan peluang pekerjaan, khususnya bagi wanita yang miskin dan tidak mempunyai punca pencarian nafkah hidup;

(iv) Perlu ada 'job description' bagi semua jenis pekerjaan dan penentuan gaji yang sewajamya, tanpa perbezaan jantina;

(v) Perlu diadakan undang-undang perlindungan untuk semua jenis pekerjaan;

(vi) Perlu diamalkan prinsip gaji sama untuk pekerjaan yang sama; dan

(vii) Perlu dihapuskan diskriminasi terhadap wanita dalam peluang- peluang kenaikan pangkat, latihan lanjutan dan pembuatan keputusan.

(f) Politik

(i) Kerajaan hendaklah mengadakan perundangan dan pentadbiran untuk menentukan penglibatan wanita sepenuhnya dalam bidang politik negara, dan untuk menambahkan pengambilan, pencalonan dan penempatan wanita pada kedudukan penentuan dasar di peringkat kebangsaan, negeri dan tempatan sehingga perwakilan saksama tercapai; dan

(ii) Kerajaan hendaklah juga menentukan sokongannya terhadap kemunculan lebih ramai wanita ke peringkat perundangan dan eksekutif dalam Parlimen, Dewan Undangan Negeri, Kerajaan Tempatan dan badan-badan lain.

(g) Media

(i) Meningkatkan penglibatan wanita dalam semua aspek perkembangan media seperti dasar perancangan program dan perkhidmatan, penggendalian projek-projek pembangunan;

(ii) Menjalankan analisis jantina atas semua program supaya dapat mengesan penyertaan wanita sebagai penerbit, sebagai pengguna media massa dan penerima kesan media seluruhnya;

(iii) Mengikis pendapat dan kesan-kesan negatif terhadap wanita dalam program iklan dan pendapat yang disiarkan; dan

(iv) Menggunakan pengaruh media bagi memupuk sikap dan nilai positif terhadap wanita dan sumbangannya.

(h) Agama

(i) Mendapatkan pandangan wanita dalam membentuk fatwa yang melibatkan wanita dan isu wanita;

(ii) Menggalakkan penyertaan wanita dalam semua aktiviti agama;

(iii) Mewujudkan perbincangan antara pelbagai agama sebagai usaha mencapai persefahaman;

(iv) Menjadikan agama sebagai asas ke arah pemodenan masyarakat berbilang kaum; dan

(v) Mewujudkan suasana perkongsian hidup yang sihat di kalangan wanita dan lelaki.

(i) Kebudayaan

(i) Penyertaan wanita dalam bidang seni perlu mendapat perhatian bagi mengembangkannya;

(ii) Kemudahan dan galakan hendaklah diberi kepada wanita untuk menyertai semua kegiatan budaya dan seni;

(iii) Diskriminasi dalam bidang seni dan budaya hendaklah dihapuskan;

(iv) Penyertaan wanita dalam Majlis Perundingan Kebudayaan Kebangsaan hendaklah dipertingkatkan; dan

(v) Amalan yang melibatkan wanita secara 'tokenism' atau bagai melepaskan batuk ditangga diberhentikan.

Penutup

Penggubalan DWN ini mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan lagi penyertaan wanita di dalam pembangunan secara lebih berkesan, sistematik dan bermakna. Memandangkan bahawa wanita memainkan peranan yang penting di dalam dan di luar rumah serta merupakan sumber ekonomi yang penting, matlamat kerajaan adalah untuk menjadikan wanita sebagai rakan yang sama penting dalam usaha membina negara.

Faktor penentu di selatan Thai

Pada 19 September 2006, dunia dikejutkan dengan rampasan kuasa di Thailand yang dilakukan oleh pihak tentera. Tindakan berkenaan dilaksanakan atas arahan Jeneral Sonthi Boonyaratglin.

Walaupun ada kesempatan untuk menjadi Perdana Menteri ketika itu, namun Sonthi berjiwa besar apabila menyerahkan kepada rakyat menentukan kerajaan seterusnya bagi menggantikan kerajaan yang dipimpin oleh Thaksin Shinawatra.

Kini setelah bersara dari bidang ketenteraan, Sonthi menumpukan perhatian untuk membawa keamanan di selatan Thailand. Bagi Sonthi, konflik di wilayah itu harus ditamatkan segera, apatah lagi dengan komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan yang ada sekarang.

Dalam pertemuan khas dengan wartawan Mingguan Malaysia ZULKIFLEE BAKAR di Hotel Imperial, Pattani, Thailand, Sonthi memberikan pandangan mengenai pergolakan di wilayah itu. Sonthi berpendapat, walaupun usaha untuk melihat kedamaian di wilayah berkenaan masih jauh namun ia harus diusahakan demi masa depan umat Islam.

Wawancara itu diadakan sehari sebelum Sonthi melancarkan penubuhan Parti Matubhum atau Parti Bumiputera yang bakal menjadi ‘kenderaan’ politiknya.

--------------------------------------------------------------------------------

MINGGUAN: Apakah pandangan Jeneral berhubung keadaan di selatan Thailand sekarang?

SONTHI: Secara peribadi sebagai seorang jeneral tentera yang bersara, saya berpendapat kejadian keganasan di wilayah berkenaan semakin menurun berbanding dahulu. Walaupun terdapat kemusnahan harta benda setiap kali keganasan berlaku, namun ia perkara biasa. Apa yang penting tindakan ganas tidak lagi meningkat.

Pada masa ini, kita lihat kerajaan menggunakan kekuatan anggota tentera yang agak berlebihan. Bagi saya, langkah itu boleh menjadi alasan kepada pihak musuh untuk meningkatkan tindak balas kerana merasakan kedudukan mereka terancam.

Selain itu, kehadiran anggota tentera yang ramai juga akan mewujudkan pelbagai bentuk pergaulan dengan masyarakat yang sukar untuk dikawal. Keadaan ini akan menimbulkan pandangan masyarakat yang akan mengaitkan tingkah laku anggota tentera dengan perkara-perkara yang tidak baik.

Ada yang berpandangan melalui kehadiran tentera itu, ia akan mampu mengurangkan tindakan keganasan oleh puak pemisah, apa pandangan Jeneral?

SONTHI: Tidak juga. Ia kerana sebenarnya kehadiran anggota tentera yang ramai telah membolehkan pihak musuh menjadikannya sebagai alasan untuk melancarkan serangan. Bagi saya, cara menyelesaikan masalah hendaklah melalui pendekatan politik bukan ketenteraan. Sebab itu saya tegaskan, cara yang terbaik ialah menggunakan masyarakat untuk menyelesaikan masalah, pihak tentera hanya bertanggungjawab menjaga keselamatan nyawa dan harta benda sahaja.

Dalam usaha menyelesaikan konflik di selatan Thailand, apa yang paling penting, ia mesti dilaksanakan mengikut garis panduan yang jelas dan melibatkan masyarakat setempat. Ini termasuklah penglibatan oleh Ketua Kampung, Penggawa, Jawatankuasa Kemajuan Kampung, pemimpin masyarakat dan pemimpin agama.

Namun begitu kita harus memahami usaha untuk mewujudkan keamanan yang kekal di wilayah tersebut sudah pasti memerlukan tempoh masa yang panjang. Apatah lagi dengan sikap sebahagian besar daripada masyarakat setempat tidak mahu terlibat dalam usaha ini.

Sebenarnya, mereka yang terlibat dengan kumpulan pengganas tidak ramai. Saya percaya kalau kita berjaya mengurangkan tuntutan masyarakat dan memberi keadilan kepada mereka, keamanan mampu dicapai dalam tempoh yang pendek.

Selain itu, saya juga yakin mereka yang terlibat melancarkan tindakan keganasan akan berubah sikap suatu hari nanti apabila usia mereka semakin meningkat dan berkeluarga. Selain itu keamanan juga akan wujud apabila masyarakat mendapat layanan dengan adil. Ini asas untuk mewujudkan keamanan, tetapi dalam situasi sekarang mustahil untuk menghentikan pergolakan atau keganasan dengan serta-merta.

Bolehkan Jeneral jelaskan apa yang dimaksudkan dengan keadilan?

SONTHI: Keadilan yang dimaksudkan adalah dari segi perundangan, bukan melalui tindakan kekerasan. Undang-undang Thailand mengambil masa yang panjang untuk mendakwa dan menjatuhkan hukuman bagi sesuatu kes. Semuanya bergantung kepada bukti yang dikemukakan. Oleh itu kita mesti menggunakan undang-undang untuk mendapat keadilan.

Tetapi kalau dilihat dari segi keadilan itu, kes di Takbai contohnya, apabila ia dibawa ke mahkamah, keputusan akhirnya tidak menyebelahi rakyat dan ini menyebabkan mereka menganggap tidak mendapat keadilan. Adakah perkara ini akan menyulitkan lagi proses keamanan?

SONTHI: Dalam kes Takbai atau mana-mana kes yang dibicarakan, mahkamah perlu mempunyai bukti yang kukuh dan saksi sebelum menjatuhkan hukuman ke atas pelaku terbabit.

Bagaimanapun, pada pendapat saya secara peribadi, kerajaan yang ada pada hari merupakan kerajaan yang begitu berhati-hati dalam melaksanakan undang-undang dan telah melaksanakan dengan betul dan telus.

Bagaimana pula dengan usaha mengadakan rundingan dengan puak bersenjata supaya mereka menghentikan tindakan ganas mereka?

SONTHI: Sebenarnya semua pihak dalam kerajaan ingin mengadakan rundingan, namun perbincangan tidak wujud atau tidak dapat dilakukan. Ia disebabkan pihak yang melakukan keganasan tidak mendedahkan diri mereka.

Kalau berdasarkan kepada jawapan itu, bermakna harapan untuk melihat kedamaian itu masih jauh, apa komen Jeneral?

SONTHI: Tidak jauh jika kumpulan bawah tanah mempunyai susunan organisasi yang tertentu dan memiliki ketua. Jika ini dapat dilakukan sudah pasti rundingan dengan pihak kerajaan mampu dilaksanakan.

Tetapi ketika ini, apa yang diharapkan itu tidak ada memandangkan di kalangan puak pemisah sendiri sama ada PULO atau BRN tidak bersatu. Kita tidak tahu siapa ketua sebenar mereka.

Jadi bagaimana pihak kerajaan Thailand hendak berunding dengan kumpulan pemisah?

SONTHI: Walaupun di pihak kerajaan, mereka bersedia berunding dan banyak agensi boleh berbuat demikian tetapi ia tidak dapat dilaksanakan. Semuanya bergantung kepada puak pemisah. Kita tidak tahu dengan siapa harus berunding memandangkan mereka (puak pemisah) banyak kelompok. Apabila datang berbincang didapati mereka itu bukan puak pemisah yang sebenar. Hakikatnya, sehingga ke saat ini masyarakat di dalam tiga wilayah selatan Thailand itu sendiri tidak pernah sebut mengenai rundingan dengan puak pemisah. Ia disebabkan setakat ini penduduk tidak berasa mereka terancam.

Sejauh mana masyarakat menerima dan menyokong usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan?

SONTHI: Secara peribadi masyarakat menyokong usaha kerajaan. Sebenarnya masalah tuntutan kemerdekaan merupakan satu propaganda kumpulan pengganas. Mereka melihat ia cara mudah untuk mempengaruhi masyarakat, terutama di kalangan mereka yang mempunyai masalah dan tidak mendapat keadilan.

Dalam menghadapi masalah di selatan Thailand, apakah kerajaan Thailand pada pandangan Jeneral boleh memberikan jaminan keselamatan jika puak pemisah menyerah diri?

SONTHI: Sebenarnya sistem menyerah diri adalah tertakluk kepada undang-undang negara.

Tidak ada sesiapapun yang boleh bertindak di luar batas undang-undang. Apabila menyerah diri, mereka terpaksa diproses mengikut undangan-undang. Pihak polis akan membuat soal siasat, sekiranya mempunyai bukti yang kukuh mereka terlibat dalam jenayah dan sebagainya mereka akan didakwa dan dibicarakan di mahkamah.

Bagaimana Jeneral melihat komitmen yang diberikan oleh negara jiran terutamanya Malaysia dalam membantu menyelesaikan konflik di selatan?

SONTHI: Secara peribadi, saya berpendapat rakyat Thailand melihat Malaysia adalah sebuah negara Islam yang amat maju. Mereka cuba melihat Malaysia sebagai sebuah negara contoh untuk membina corak kehidupan orang Islam. Malaysia telah banyak memberi bantuan kepada pihak Thailand, tetapi mungkin tidak secara menyuruh. Di peringkat bawahan mereka sentiasa ada perhubungan dan pemberian bantuan.

Dalam keadaan konflik yang berlanjutan sekarang, adakah perlu Persidangan Negara Islam (OIC) terlibat?


SONTHI: Semasa berlaku keganasan dan terdapat beberapa peristiwa yang didakwa masyarakat Islam tidak mendapat keadilan, pihak OIC telah datang ke Thailand. Salah satu prinsip yang dipegang oleh OIC ialah di mana sahaja masyarakat Islam tidak mendapat keadilan mereka akan datang untuk memberi bantuan dan pertolongan.

Bagaimanapun, dakwaan berlakunya diskriminasi atau penindasan ke atas orang Islam di selatan Thailand boleh dipertikaikan kerana dari segi pentadbiran ia dikuasai oleh 80 peratus hingga 90 peratus umat Islam. Ini termasuklah bagi jawatan Gabenor, Pegawai Daerah, Ketua Kampung, Penggawa, Jawatankuasa Kemajuan Wilayah dan Jawatankuasa Kemajuan Kampung.

Tetapi kalau dilihat dari laporan media baru-baru ini, ada pihak termasuk kerajaan Thailand tidak begitu selesa kalau OIC campur tangan di selatan Thailand?

SONTHI: Maklumat itu mungkin tidak benar kerana Setiausaha Agung OIC sendiri datang berbincang dengan saya di Bangkok lebih dari satu jam berkaitan dengan masalah di selatan.

Selepas bersara, adakah Jeneral mempunyai hasrat untuk menceburkan diri dalam bidang politik?

SONTHI: Kalau lihat di Malaysia terdapat parti orang Melayu, parti orang Cina, parti orang India dan sebagainya, tetapi di Thailand tidak ada begitu. Di Thailand terdapat orang Islam seramai 10 peratus dari seluruh penduduk negara. Umat Islam yang tinggal di Thailand seharusnya bersatu dan memikirkan sesuatu untuk pembangunan dan kemajuan ummah.

Oleh itu saya berhasrat untuk mewujudkan sebuah parti yang selain memperjuangkan nasib semua rakyat, ia juga bertujuan membantu menaikan taraf hidup umat Islam. Suasana di Thailand berbeza dengan Malaysia iaitu Muslim di Thailand tidak mempunyai kelulusan, oleh yang demikian taraf hidup dan ekonomi mereka tidak begitu baik dan menyebabkan orang Islam tidak ada kemajuan.


Adakah misi Jeneral untuk membangunkan orang Islam di Selatan Thailand atau bagaimana?

SONTHI: Sebenarnya orang Islam di tiga wilayah Selatan Thailand hanya lebih kurang 1.7 orang sahaja, sedangkan umat Islam di Thailand secara keseluruhannya lebih kurang lima hingga tujuh juta orang. Kita mesti menggabungkan umat Islam dari seluruh negara. Walaupun Parti Matubhum yang saya tubuhkan bukan parti Islam tetapi umat Islam paling ramai menganggotainya.

Jeneral membuat keputusan untuk menceburkan diri dalam politik, kenapa ia tidak dilakukan ketika berlaku rampasan kuasa dahulu, di mana Jeneral boleh terus menjadi Perdana Menteri?

SONTHI: Jika itu saya lakukan sudah pasti dalam sistem demokrasi, saya akan dilabelkan sebagai kuku besi. Saya tidak berhasrat berbuat demikian pada masa itu kerana apa yang penting bagi saya ialah menyelamatkan rakyat. Saya serahkan kepada mereka menentukan siapa yang mereka mahu untuk memimpin negara, itu lebih demokrasi.

Tetapi tidakkah perbuatan merampas kuasa itu sudah melanggar lunas-lunas demokrasi itu sendiri?

SONTHI: Sebenarnya ukuran kepada demokrasi itu mempunyai banyak perkara. Persoalannya, apakah ketika saya melakukan rampasan kuasa itu, kerajaan yang sedia ada benar-benar mengamalkan demokrasi? Bagaimana dengan perbuatan mereka membeli undi ketika pilihan raya? Bagi saya, persoalan sama ada kerajaan pada masa itu mengamalkan demokrasi atau tidak, hanya rakyat Thailand sahaja yang mengetahuinya. Namun begitu saya memahami pihak di luar melihat ia dari sudut berbeza.

Apakah harapan Jeneral kepada masyarakat Islam di selatan Thailand?

SONTHI: Mereka perlu bersatu untuk menjadi kumpulan yang kuat. Kita akan cuba untuk memajukan orang Islam dalam pelbagai bidang serta mempunyai peranan dalam politik.

(Utusan Online, 23/8/2009)

Melayu dalam Perlembagaan

Sejak akhir ini ada kecenderungan oleh pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan keistimewaan yang diberikan kepada orang-orang Melayu.

Mereka menuntut kedudukan yang sama dengan orang Melayu daripada pelbagai segi padahal keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu bukanlah mengambil hak kaum-kaum lain.

Ada pihak yang mempertikaikan kenapa orang Melayu diberi keistimewaan sedangkan Melayu juga asalnya pendatang yang datang ke negara ini. Hakikatnya banyak pihak melupakan sejarah yang mencatatkan pengorbanan orang Melayu memberi kerakyatan kepada bukan Melayu semasa mencapai kemerdekaan.

Pertikaian tentang hak keistimewaan orang Melayu terus dibangkitkan walaupun dalam Perlembagaan menyebut tentang hak-hak tersebut. Pada masa yang sama Perlembagaan tidak mendiskriminasi kaum-kaum tertentu kerana Perlembagaan mendapat persetujuan semua pihak.

Kita juga memberikan pengkelasan yang tidak tepat apabila menganggap tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India menjadi tonggak di negara ini.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah menjelaskan, dalam Perlembagaan menyebut bangsa Malaysia terdiri daripada lima kaum iaitu Orang Asli, Melayu, Bumiputera Sabah serta Bumiputera Sarawak dan kaum-kaum lain.

“Saya syorkan kita berhentilah menggunakan istilah Melayu, Cina, India ini kerana dari sudut Perlembagaan tidak ada disebutkan kaum Cina dan India. Namun kita yang memberikan kedudukan kepada mereka,” tegas Mohd Noor ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia Ku Seman Ku Hussain dan Hafizahril Abdul Hamid khamis lalu.

-------------------------------------------------------------------------------
MINGGUAN: Disebabkan banyak pihak tidak faham kedudukan Melayu dalam Perlembagaan, boleh Datuk huraikan perkara ini?

MOHD NOOR: Saya ingin terangkan dahulu perkara-perkara penting tentang orang Melayu di dalam Perlembagaan. Saya melihat banyak NGO-NGO Melayu sekarang ini bertindak dalam keadaan marah dan bukan menjawab mengikut undang-undang.

Kerana itu pertama sekali saya ingin menjelaskan dalam perkara satu, negara ini perlu dikenali dalam Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan nama Malaysia. Malaysia ini asalnya dari perkataan Malaya. Malaya itu mengikut Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dahulu adalah Persekutuan Tanah Melayu. Sepatutnya ia habis di situ. Oleh itu negara ini dikenali dunia sebagai Tanah Melayu dan tidak disebut sebagai Persekutuan Tanah Melayu.

Nama Malaysia adalah termasuk Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Itu istilah sebenar mengikut Perlembagaan. Tidak timbul masalah apabila disebut Semenanjung, Sabah dan Sarawak walaupun dilihat sebagai berbeza kerana sebagai sebuah negara ia akan tetap disebut Malaysia. Contohnya Orang Asli hanya terdapat di Semenanjung seperti orang Senoi, Jakun dan Negrito. Orang Asli adalah aborigin bagi Semenanjung. Di Sabah dan Sarawak tidak ada Orang Asli. Ini hakikatnya. Penduduk di Sabah dan Sarawak dipanggil native (bumiputera). Orang Melayu juga bukan Orang Asli. Orang Melayu juga native (bumiputera). Kita sama dengan orang Sabah dan Sarawak dalam konteks kita adalah native di Semenanjung dan setaraf dengan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Mereka inilah yang datang selepas Orang Asli. Native ini jugalah yang diistilahkan indigenous people. Orang yang datang kemudian dipanggil imigran. Semua 28 suku kaum di Sabah dan Sarawak termasuklah Iban, Penan, Dayak dan sebagainya native. Dahulu native ini dikenali sebagai anak negeri namun kini ia dikenali sebagai bumiputera.

Boleh Datuk terangkan perbezaan antara indigenous dan aborigin dalam Perlembagaan?

MOHD NOOR: Ada dua perbezaan yang besar antara aborigin dan indigenous . Aborigin adalah penduduk asli negara ini dan indigenous paling sesuai untuk ditafsir ialah peribumi dan mereka ini dilihat bersesuaian dengan keadaan dan sekeliling mereka. Oleh itu adalah jelas orang Melayu dan native di Sabah dan Sarawak adalah sama sebagai peribumi. Maka bumiputera itu adalah terjemahan kepada native. Oleh itu jangan kata orang yang lahir di situ adalah bumiputera tetapi sebenarnya tidak. Begitu juga orang Cina dan India yang lahir di sini, mereka bukan bumiputera. Ini kerana bumiputera bukan sahaja lahir di sini tetapi keadaan hidupnya adalah bersesuaian dengan keadaan sekelilingnya.

Apakah yang lebih tepat untuk mengkelaskan misalnya Melayu, Cina dan India di negara ini dalam konteks Perlembagaan?

MOHD NOOR: Kesilapan besar kita ialah hanya mengenali bangsa sebagai Melayu, Cina dan India. Apakah kerana orang Melayu datang dahulu kemudian orang Cina dan kemudian India? Atau kerana orang Melayu paling ramai kemudian diikuti Cina dan India? Beritahu saya manakah negara yang tidak ada bangsa? Sama ada bangsa itu integral iaitu ada bangsa lain yang menumpang tetapi masih lagi disebut sebagai bangsa seperti bangsa Indonesia, bangsa Filipina, bangsa British, Perancis, Jerman dan sebagainya.

Menurut Perlembagaan, bangsa Malaysia terdiri daripada lima kaum. Maka bangsa Melayu itu diturun taraf kepada kaum. Namun kaum Melayu adalah teras di negara ini dan kita ajak kaum lain untuk bekerjasama sebagai bangsa Malaysia. Lima kaum itu terdiri daripada, pertama Orang Asli, kedua orang Melayu, ketiga kaum bumiputera Sarawak, keempat kaum bumiputera Sabah dan kelima adalah kaum-kaum lain.


Apabila menurunkan taraf orang Melayu kepada kaum, orang Cina dan India juga diturunkan taraf kepada “kaum-kaum lain”. Saya bercakap mengikut Perlembagaan dan jika kita menganggap teras negara ini terdiri dari kaum Melayu, Cina dan India, itu adalah salah. Di mana definasi Cina dan India di dalam Perlembagaan? Dalam Perlembagaan ada disebut orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Bumiputera Sarawak. Macam mana hendak definisikan Cina dan India di negara ini jika sudah terdapat negara asal mereka dan keturunan mereka di sana. Oleh itu maknanya mereka ini bangsa Malaysia yang ada hubung kaitnya dengan soal bahasa, budaya, keturunan dan sebagainya dengan negara asal mereka. Sama ada mereka hendak terima atau tidak, itu adalah hakikatnya. Orang Melayu pun jatuh nombor dua dan bumiputera di tempat ketiga. Ini berlaku kerana dari segi sejarahnya Orang Asli ini lebih dahulu sampai, lepas orang Melayu barulah kaum-kaum lain sampai ke negara ini.

Tidak lama dulu ada pihak menghujahkan bahawa Melayu juga pendatang kerana penduduk asal adalah Orang Asli. Apa komen Datuk?

MOHD NOOR: Semasa empayar China dahulu kalau berpindah dari Han ke Chin atau dari Beijing pergi ke selatan hingga ke Mongolia adakah mereka berpindah dari satu negeri ke satu negeri? Mereka tidak berpindah tetapi hanya bergerak sekitar empayarnya. Begitu juga orang Melayu hanya berada di alam Melayu. Sejak kerajaan Sri Wijaya dahulu kita pernah mempunyai satu empayar agung yang meliputi Indonesia, Brunei, Filipina sebagai satu dunia Melayu. Oleh itu kita tidak berpindah hanya bergerak sekitar dunia Melayu. Namun apa yang berlaku sekarang ini adalah akibat penjajah Barat yang memecah-belahkan dunia Melayu. Indonesia diberi kepada Belanda, Tanah Melayu diberi kepada Inggeris. Jika tidak dipecahkan, dunia Melayu bersatu tetapi akibat penjajahan Barat ini kita berpecah belah. Jadi kenapa ada pihak berkata Melayu datang dari luar? Melayu hanya bergerak berkelompok di sekitar dunia Melayu ini.


Tetapi yang pasti orang Cina dan India bukan dari kelompok itu. Jika mereka kata Melayu seperti mereka, itu tidak benar. Yang sebenarnya adalah agama. Memang orang Melayu dulu beragama Hindu namun kemudian memeluk agama Islam tetapi bukan berasal dari India. Orang Melayu di sini kita gunakan istilah Nusantara yang bermaksud nusa antara nusa-nusa.

Jadi, maksud Datuk kita mesti melihat dari sejarah dan bukan keadaan sekarang yang dipisah-pisahkan?

MOHD NOOR: Orang Indonesia berhijrah ke Malaysia dari satu alam Melayu ke satu alam Melayu yang lain. Saya ingin bertanya adakah orang India yang berpindah dari Tamil Nadu ke Goa boleh dikatakan pendatang? Bukankah pelik jika orang Melayu yang bergerak dari Indonesia ke Tanah Melayu jadi pendatang? Kita kena melihat dari segi sejarah bukan pada masa sekarang. Jika sekarang sudah tentu berdasarkan undang-undang imigresen dianggap sebagai pendatang. Jika kita lihat sebelum penjajah memecah- belahkan kita, dunia sebelah sini adalah alam Melayu. Namun kini hakikatnya orang dari semua lima kaum tadi, kedudukan Orang Asli, orang Melayu dan bumiputera termasuklah bumiputera Sabah dan Sarawak terpinggir berbanding kaum-kaum lain. Itulah yang saya sedihkan. Oleh itu kita berhentilah menggunakan istilah Melayu, Cina, India ini kerana dari sudut Perlembagaan tidak ada disebutkan kaum Cina dan India. Namun kita yang memberikan kedudukan kepada mereka. Yang disebut ialah kedudukan orang Melayu dan Melayu disebut sebanyak 54 kali dalam Perlembagaan. Cina dan India langsung tidak disebut dalam Perlembagaan. Mereka harus sedar tentang perkara ini. Oleh itu kita harus sebut dengan jelas kedudukan ini, sama ada kita semua adalah bangsa Malaysia atau pun mereka hanyalah sekadar kaum-kaum lain saja.

Adakah Perlembagaan kita mendiskriminasikan kedudukan kaum-kaum lain ini?

MOHD NOOR: Perkara ini tidak berlaku kerana Perlembagaan ini dipersetujui oleh semua pihak ketika mula-mula digubal. Maknanya tidak ada diskriminasi jika semua pihak bersetuju. Perkara ini tidak patut timbul sama sekali malahan mereka patut akur bahawa Perlembagaan tidak langsung menyebut tentang kaum Cina dan India. Kita ambil contoh Barack Obama, beliau memperkenalkan dirinya sebagai African-American. Cuba beritahu yang mana penting dalam istilah tersebut? Jika kita melihat kepada nahu bahasa, adjektif adalah yang menerangkan kata nama. Jika kita lihat ada kaum Cina mengaku mereka sebagai Malaysian Chinese, Malaysia yang menjadi adjektif dan Chinese menjadi kata kerja. Jika dilihat kata kerja itu lebih penting dari adjektif. Oleh itu kita dapat lihat nama Chinese lebih penting daripada nama Malaysian. Ini menunjukkan mereka lebih berbangga dengan nama Chinese diletakkan di depan bukan Malaysian.

Apa mesej Datuk daripada contoh di atas?

MOHD NOOR: Bagi mereka nama Chinese yang lebih penting daripada Malaysian. Orang Cina sangat berbangga dengan tamadun mereka yang maju. Oleh itu, di mana mereka berada mereka lebih berbangga dengan kedudukan dan tamadun mereka. Maka kita harus memberitahu mereka ini bahawa mereka adalah Chinese Malaysian supaya mereka tahu mereka menghargai negara ini dan bertindak sebagai bangsa Malaysia.

Bagaimana dengan kedudukan raja-raja Melayu?


MOHD NOOR: Raja-raja Melayu ini merupakan yang empunya Semenanjung Tanah Melayu. Mereka ini memerintah secara mutlak. Walaupun mereka memerintah tetapi tetap ada penasihat seperti bendahara, temenggung dan sebagainya. Namun akibat dari peranan penjajah semua ini dimanipulasi hinggalah kita mencapai kemerdekaan. Sebenarnya raja yang memerintah. Kuasa memerintah terletak kepada raja dan bukan Perdana Menteri. Raja yang memerintah dan Perdana Menteri mengurus tadbir negara. Cara pemerintahan itu ialah pertama raja sendiri yang memerintah. Kedua raja memerintah mengikut nasihat. Ketiga raja memerintah melalui Perdana Menteri. Namun raja adalah berperlembagaan dan tidak lagi seperti dahulu. Kini kuasa raja hanya terhad kepada tiga sahaja iaitu yang pertama melantik Perdana Menteri. Kedua, raja yang memperkenankan pembubaran Parlimen. Ketiga apabila raja ingin mengadakan Persidangan Majlis Raja-Raja maka mereka mempunyai kuasa untuk memanggil mesyuarat tersebut.

Bagaimana pula dengan kontrak sosial yang membawa kepada kemerdekaan negara ini?

MOHD NOOR: Kontrak sosial bukanlah istilah undang-undang. Ia satu perjanjian antara kaum-kaum di negara ini di mana orang Melayu memberi kerakyatan sebanyak 800,000 kepada orang Cina dan India semasa kita menuntut kemerdekaan dahulu. Mereka ini subject to British colony di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Mereka ini bukan warganegara negara ini ketika itu. Maka penjajah British memberi syarat jika mahukan kemerdekaan mereka ini perlu diberi kewarganegaraan. Oleh itu sebagai balasan, orang Melayu perlu diakui mempunyai kedudukan istimewa sebagai peribumi di negara ini. Tiga keistimewaan harus diberi kepada orang Melayu iaitu pentadbiran negara ini diberi kepada orang Melayu. Pelajaran dan biasiswa diberi kepada orang Melayu dan permit dan perniagaan diberikan kepada orang Melayu. Ini kerana orang Melayu keciciran dalam banyak bidang. Dahulu penjajah buat sekolah di kawasan bandar. Oleh sebab itu orang Cina ramai yang pandai manakala orang Melayu pula ramai yang tinggal di kampung, asalkan dapat makan pakai serta dapat mereka beribadat, itu sudah cukup. Namun apabila merdeka orang Melayu ini tidak mahu lagi keciciran dalam semua segi.

Bagaimana pula dengan hak keistimewaan orang Melayu selepas 52 tahun merdeka?

MOHD NOOR: Jika kita lihat raja-raja kita dahulu berpandangan jauh telah memikirkan untuk menubuhkan Rejimen Askar Melayu untuk menjaga keselamatan orang Melayu kemudian ditubuhkan pula undang-undang rezab tanah Melayu. Semua ini dilakukan atas nama kebimbangan sekiranya sesuatu berlaku terhadap orang Melayu. Saya istilahkan dua tiga serangkai, rangkai pertama ini saya namakan warisan orang Melayu iaitu Raja Berperlembagaan, agama Islam dan Bahasa Melayu. Definisi orang Melayu ialah orang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan adat Melayu yang mewakili raja-raja Melayu.

Seterusnya rangkai yang satu lagi saya namakan pusaka orang Melayu. Pertamanya ialah Askar Melayu, kedua tanah rezab Melayu dan yang terakhir kedudukan istimewa orang Melayu. Ia dinamakan pusaka kerana ini merupakan peninggalan pemimpin kita dahulu. Oleh itu semua usaha ini perlu diteruskan dan dipertahankan oleh semua orang Melayu.


(Utusan Online, 23/8/2009)

Kunta Kinte: Perlembagaan, kontrak sosial dan perdamaian

Menjelang sambutan ulang tahun Kemerdekaan yang ke-52 pada 31 Ogos ini, elok kalau Kunta Kinte cakap sikit mengenai Perlembagaan negara kita. Bukan apa, kalau kita tak cakap nanti ada yang lupa atau tak tahu langsung.

Lagipun Kunta Kinte rasa kerana tidak faham Perlembagaanlah maka tambah ramai orang yang pertikai itu dan ini sampai berbunyi dan berbau perkauman.

Hari ini dah jadi macam satu penyakit. Kalau orang Melayu tuntut hak, ada yang kata itu perkauman. Tapi bila orang bukan Melayu tuntut hak, itu hak mereka. Kacau.

Kunta Kinte ada baca dan dengar orang pertikai Perlembagaan, kontrak sosial dan hak istimewa orang Melayu. Ini bahaya. Tidak kiralah ia dibuat sebab tidak faham Perlembagaan atau dengan tujuan menghasut.


Kunta Kinte sedih bila seorang cendekiawan yang sangat dihormati di negara kita berdebat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan berkata kontrak sosial tidak pernah wujud. Kunta Kinte tak sampai hati nak ulang sebut nama dia.

Tapi bukan semua orang macam itu. Orang yang celik sejarah dan arif dalam hal undang-undang macam Allahyarham Profesor Tan Sri Dr Ahmad Ibrahim mengaku adanya kontrak sosial. Alhamdulillah.

Dalam rencana berjudul ‘Prinsip-Prinsip Perlembagaan Islam dan Perlembagaan Malaysia’ Allahyarham Profesor Tan Sri Dr Ahmad Ibrahim, antara lain, berkata:

“Perlembagaan Persekutuan di Malaysia adalah hasil daripada persetujuan yang telah dicapai antara penduduk di Malaysia dari kalangan Melayu, Cina dan India yang digubal atas asas persetujuan tersebut. Perlembagaan Malaysia bukan saja dokumen perundangan malah ia adalah kontrak sosial dan perjanjian perdamaian.”

Bila Kunta Kinte dengar atau baca ada orang pertikai hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, Kunta Kinte selalu rujuk kepada Perkara 153 Perlembagaan Malaysia yang antara lain, berbunyi: “Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.”

Perenggan lain pula, antara lain, menegaskan adalah tugas Yang di-Pertuan Agong “melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.”

Dan antara perkara yang difikirkan munasabah diberi taraf perizaban itu termasuklah jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya.

Jadi bila ada orang Melayu atau bukan Melayu yang pertikai hak Raja-Raja Melayu membuat keputusan, menegur dan menasihati, Kunta Kinte kata tolonglah baca Perlembagaan. Jangan tuduh buta tuli saja. Tak baik dan bahaya.

Oleh sebab itulah sejak akhir-akhir ini kita dengar dan kita baca banyak Raja-Raja Melayu yang bagi nasihat jangan pertikai Perlembagaan dan perjanjian sosial.

Dulu Raja-Raja kita tak titah atau jarang titah macam itu fasal pentadbiran kuat serta tegas jadi orang yang keras kepala pun tak berani sangat nak tunjuk belang atau naik tocang. Sekarang ini kepala kita pun dah ada yang berani luku.

Orang Melayu dari dulu sampai sekarang sangat bertolak-ansur. Sebab itulah mereka sanggup terima pendatang asing dari Benua China dan India jadi warga negara. Orang Melayu dan Raja-Raja mereka sangat percaya terhadap perundingan dengan Inggeris sehingga Perlembagaan pun ditulis oleh pakar-pakar asing iaitu Lord Reid (Inggeris), Sir William McKell (Australia), Hakim B Malik (India), Hakim Abdul Hamid (Pakistan) dan Sir Ivor Jennings (Inggeris).

Itu pun ada lagi sesetengah rakyat keturunan pendatang yang hari ini kata Melayu tak adil, Perlembagaan hambar dan macam-macam lagi. Peliknya ada juga orang Melayu yang kata betul. Ini Melayu sumpah-sumpah.

Kunta Kinte rasa bukan fasal Melayu tak adil atau Perlembagaan kita hambar, tapi fasal bangsa Melayu nampak lemah akibat berpecah-belah dan pentadbiran yang dipimpin oleh orang Melayu nampak tidak cekap, tidak bersih dan tidak amanah.

Jadi orang Melayu, kaum-kaum Bumiputera dan orang Islam kenalah fikir balik soal perpaduan dan soal amanah supaya bilangan yang banyak itu menjadi punca kekuatan dan bangsa Melayu dihormati. Janganlah fasal politik, kebebasan dan hasutan, kita pecah-belah dan jadi alat.

Jangan sekali-kali kita lupa dan kita wajib ingatkan saudara kita daripada keturunan pendatang pesanan Allahyarham Profesor Tan Sri Dr Ahmad Ibrahim yang Perlembagaan Malaysia juga adalah perjanjian perdamaian. Malaysia tidak akan aman damai kalau Perlembagaan terus dipertikai dan dicabar.

Merdeka, Merdeka, Merdeka.

(Berita Harian Inline, 28/8/2009)

Wednesday, August 26, 2009

Urut kaki untuk kesihatan

Kaki kita sentiasa digunakan untuk bergerak ke sana-sini, berlari, menyepak atau menekan sesuatu. Kaki juga yang menjadi penghubung dari satu tempat ke tempat lain. Kaki yang baik adalah kaki yang sentiasa dijaga. Untuk menjaga kaki ini, Sazani, seorang yang cacat penglihatan mencari kerja dengan mengurut kaki pelanggan yang datang ke pusat rawatan badan di Brickfields.

Kemahiran mengurut kaki yang ada pada Sazani sangat memuaskan hati ramai pelanggan. Ada di antara mereka yang telah dua tahun mendapatkan khidmat beliau kerana lenggok dan sentuhan tangannya sangat serasi.

Sazani mendapat latihan ini di Persatuan orang Buta Malaysia (MAB) dan dari semasa ke semasa berusaha meningkatkan kemahirannya mengurut dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Beliau tidak sahaja mengambil upah mengurut di situ, sebaliknya ada pelanggan yang meminta beliau ke hotel. Di situ bukan sahaja seorang pelanggan, malah dua atau tiga orang. Biasanya Sazani mengenakan bayaran RM40 hingga RM50 seorang. Jika ada tiga orang, wang yang diperolehi sudah cukup untuk belanja makan anak-beranaknya selama seminggu.

Sazani bercita-cita hendak memiliki premis perniagaan sendiri supaya dapat berdikari. Sehingga kini dia masih mengumpulkan wang untuk merealisasikan cita-citanya itu.

Tuesday, August 25, 2009

SMS ramadhan

Ketibaan ramadhan kali ini, penulis menerima banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh rakan-rakan baru dan lama. Ia mengingatkan kepada keperluan melengkapkan puasa dan mendapatkan seberapa banyak kelebihan beramal dalam bulan ini.

Berikut adalah antara beberapa SMS yang diterima.

“Salam Ramadhan A Mubarak, semoga dapat kita menunaikan ibadah puasa pd tahun hijrah ini dga penuh keberkatan. Amin...” (Datuk Prof, UM)

“Ya Allah, seketika di akhir bulan ini, Insya Allah muncul ramdn yg ceria. Engkau muliakan & sayangi penerima ucapan ini, berkati keluarganya, sihatkan tubuh badannya, limpahkan rezekinya, jauhkan drp fitnah, penganiayaan & penghinaan, suburkan benih keimanan dgn penuh rasa kasih sayang serta taqwa, makbulkan cita2nya yg murni. Amin Ya Rabbal A’lamin. Selamat Menyambut Ramdhn Almubarak – Drpd ust mahadi dan norliah kudus.” (Norliah UTeM)

“Selamat menyambut ketibaan bulan ramadhan ... dan Al-QN ... surah Al Baqarah 183 ... Wahai org2 yg biman ... diwjibkan kaatas kamu bpuasa sbgaimana dwajibkn kaatas org2 yg tdahulu dr kamu, supaya kamu btakwa ... sama2lah kita mgambil ikhtibar n mhayatinya ... dr hj sulaiman” (HAL Sulaiman Terengganu).

“Selamat berbuka puasa kpd anda & sekeluarga.” (Subra ISM)

“Salam randhan al-mubarak, jika terlanjur perbuatan. Pohon ampun dan maaf, smoga ramdhan kali ini lebih bermakna untuk kita semua. Ikhlas dr: Hadi ism.” (Hadi ISM)

“(Puasa itu) pd bln Ramadhan yang diturunkan al-quran pd bln itu utk pertunjuk bg msia n bbrapa ktrngan dr petunjuk yg mbezakan aantra yg haq dgn yg batil. Brgsiapa yg hadir d antra kmu di bulan Ramadhan, hndklah dia berpuasa ... (2:185)” (HAL Mubarak)

SMS begini sangat memberi kesan kepada jiwa penulis kerana doa dan ingatan mereka yang berterusan. Setiap kali ramadhan, ucapan-ucapan begini menjadikan kita lebih bersemangat untuk menambah amal baik secara zahir mahupun batin.

Perkembangan teknologi maklumat menjadikan ucapan selamat lebih pantas. Hanya dengan menaip beberapa patah perkataan atau mengunjurkan ucapan sedia ada, kita sudah dapat menyampaikan ucapan yang ringkas tetapi penuh makna kepada sahabat-sahabat kita. Harga satu SMS juga murah dan boleh dihantar kepada ramai orang seperti ibu bapa, adik-beradik, tokoh-tokoh agama, jiran-jiran, kawan sekerja, guru atau klien bisnes. Walaupun kaedah SMS kurang nilai sentimental seperti kad ucapan sebenar, setidak-tidaknya ia memberi gambaran awal bahawa pengirim mengingati kita dan menghargai persahabatan yang dijalin selama ini.

SMS ramadhan sebaik-baiknya dikembangkan lagi kepada nasihat, ingat mengingat, galakan beramal atau petikan ayat-ayat al-quran dan hadis supaya ia menjadikan setiap gerak-geri kita mempunyai nilai ibadah. Secara tidak langsung, SMS ramadhan memberi pahala kepada pengirim dan penerimanya. Bagi setiap SMS seperti ini yang diterima, penulis membalasnya dengan ucapan ‘Aminn...’

Monday, August 24, 2009

Ramadan satu di Masjid Besi dan ramadan dua di Serambi Mekah

Di dalam kegelapan malam, Masjid Besi memancar indah umpama kilauan emas dari dalam sangkar, cahayanya memancar menerangi tebing tasik di antara dua jambatan di Putrajaya. Keindahan Masjid Besi menarik minat penduduk Putrajaya untuk menunaikan solat tarawih pada satu ramadan ini. Berpusus-pusu kanak-kanak lelaki dan perempuan bersama ibu bapa masing-masing mencari ruang bagi memenuhi saf hadapan, betul-betul di belakang imam.

Pertama kali melangkah ke Masjid Besi, terasa indah dan hebatnya binaan ini. Mimbar masjid dan pintu gerbang di dewan solat utama dengan tulisan ayat-ayat suci al-quran di cermin besar melambangkan kebebasan jiwa dan fikiran umat Islam Malaysia setelah Masjid Kampung Hulu dibina di Melaka pada tahun 1728. Selepas Portugis menjajah Melaka, penjajah itu memusnahkan peninggalan rumah-rumah ibadat bukan kristian di Melaka termasuklah masjid.

Catatan dari wikipedia.com mencatatkan maklumat berikut berkenaan masjid ini.

“Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, sebelum ini digelar Masjid Besi, ialah sebuah masjid
yang terletak di Presint 3, Putrajaya, Malaysia. Masjid ini yang mula dibina sejak April 2004 siap sepenuhnya pada Ogos 2009 dan dibuka pada hari Jumaat, malam Awal Ramadan 1430H. Masjid ini dibina bagi menampung sekitar 24,000 penduduk dan penjawat kerajaan sekitar pusat bandar serta kawasan Presint 2, 3, 4 dan 18. Masjid ini yang mempunyai keluasan sekali ganda berbanding Masjid Putra, yang terletak kira-kira 2.2 km ke utara, bakal menjadi mercu tanda baru Putrajaya.

Masjid ini direka berdasarkan 3 konsep iaitu angin, sederhana dan telus. Kira-kira 6,000 tan
keluli digunakan bagi pembinaan tersebut yang mewakili kira-kira 70 peratus manakala selebihnya adalah konkrit.

Masjid Besi mempunyai keistimewaan yang tersendiri antaranya tiada pemasangan kipas
ataupun alat penyaman udara di dalamnya, sebaliknya menggunakan gas penyejuk (gas district cooling atau GDC). Selain itu, masjid ini turut menggunakan Seni Bina Jaringan Wayar (Architectual Wire Mesh).

Anyaman Masyrabiah yang diimport dari Jerman
danChina (turut dipasang pada Stadium Bernabéu di Madrid dan perpustakaan negara Perancis yang dikenali Bibliothèque nationale de France yang terletak di Paris). Pintu gerbang masuk juga menggunakan konkrit bertulang kaca (GRC) bagi mempertingkat integriti sesebuah struktur serta kaca hablur bagi menjadikan masjid kelihatan berwarna putih dari jauh.

Perjalanan menuju ke masjid akan menyeberangi sebuah jejantas yang menghubungkan Dataran Putrajaya ke kawasan masjid ini yang dikenali sebagai Kiblat Walk seluas 13,639 m². Jejantas ini dihiasi dengan kolam air seolah-olah berada di kawasan kota istana purba
Alhambra. Hiasan dalamannya dilatari ukiran Asma Ul Husna menggunakan tulisan kaligrafi dari jenis Khat Thuluth. Pintu utama menuju ke ruang solat utama terukir ayat suci al-quran dari Surah Al-Israa’ ayat ke-80.

Ini ditambah lagi dengan pembinaan dinding mihrab yang diperbuat daripada panel kaca setinggi kira-kira 13 m juga diimport dari
Jerman yang terukir 2 baris ayat dari Surah Al-Baqarah pada bahagian kanan dan Surah Ibrahim di sebelah kiri. Uniknya, dinding mihrab ini tidak memantulkan kesan dari pancaran sebarang cahaya atau lampu menjadikan ukiran kaligrafi ayat suci berkenaan yang berwarna keemasan itu kelihatan jelas dan seolah-olah terapung di udara. Bahagian tepi bumbungnya sepanjang 40 kaki pula mampu mengelakkan jemaah yang bersolat di luar dewan solat utama terkena tempias hujan.

Kemudahan yang disediakan ialah ruang solat termasuk dewan utama, dewan terbuka dan dewan solat muslimat, tiga unit kuaters dua tingkat tiga bilik untuk kakitangan masjid, sepuluh unit bazar atau ruang niaga di dalam kawasan masjid, bilik pameran yang mampu memuatkan 250 orang, dapur, bilik orang kenamaan, bilik penyelenggaraan, bilik jenazah, pejabat, bilik kawalan audio visual dan ruang letak kereta bawah tanah.”

Paling menarik ialah masjid ini mempunyai banyak tangga bergerak (escalator) untuk membawa jemaah ke ruang solat utama dan dewan solat muslimat. Tidak banyak masjid di Malaysia ini yang menyediakan kemudahan seperti ini. Di Brunei, hanya masjid Jame Asr dan Masjid Sultan Omar Ali Saifudin yang ada tangga bergerak, itu pun hanya satu.

Meletakkan kaki di atas permaidani putih bercorak kotak memberi ketenangan kepada penulis untuk melaksanakan solat dengan khusyuk. Pemilihan warna putih ini bertepatan dengan corak keseluruhan pembinaan masjid ini yang mementingkan kesucian dan kebersihan jiwa apabila menjadi tetamu rumah Allah.

Lokasinya di pinggir tasik memberi ketenangan jiwa yang berganda-ganda kerana jauh dari riuh-rendah kenderaan. Hembusan angin segar yang bertiup dari tasik menambahkan lagi kekhusyukan solat serta rasa rendah diri di hadapan Allah. Keriuhan suara anak-anak kecil yang turut menunaikan solat tarawih tidak memberi bekas kepada jiwa yang sememangnya mengharapkan agar ramadan ini diterima.

Ramadan dua penulis telah berada di Kelantan, negeri Serambi Mekah. Hujan yang turun renyai-renyai di Kota Bharu tidak menghalang penulis untuk bergegas ke Dataran Stadium Sultan Mohd Ke-IV. Khemah Terawih yang besar mampu memuatkan seramai 2,000 jemaah. Program ini merupakan program kerajaan negeri dan dikendalikan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sebagai sebahagian daripada program pelancongan ibadah (ibadah tourism) yang telah dimulakan pada tahun lepas.

Penulis bertuah kerana solat terawih malam kedua ini diimamkan oleh Syaikh Ahmad Rejab Al-Fayyumi dari Mesir. Alunan al-quran yang dibacanya sangat jelas, ada turun naik dan kadangkala menggerunkan. Namun ia memberi kepuasan maksimum kerana jarang-jarang imam solat terawih yang boleh membaca ayat-ayat al-quran dengan penuh penghayatan dan menaikkan bulu roma walaupun tidak faham bahasa Arab.

Usai empat rakaat, tazkirah pendek disampaikan oleh seorang ustaz muda berkenaan dengan alihan kiblat dari Baitulmaqdis ke Mekah. Urus setia telah menyediakan sebuah buku catatan kecil berwarna hijau lengkap dengan ruang nama dan nombor telefon untuk diisi oleh jemaah. Setiap helaian mencatatkan tajuk-tajuk yang akan disampaikan mengikut hari ramadan sehingga hari ke-30. Usaha ini dilihat dapat membantu kefahaman jemaah menyegarkan kembali pengetahuan mereka terhadap sejarah Islam, meningkatkan kefahaman ke atas isu-isu kehidupan dan menyeru jemaah menjadikan Islam sebagai cara hidup.

Di antara ramadan di Putrajaya dan Kota Bharu, masing-masing memberi pengalaman baru kepada penulis untuk merasai suasana berbeza dan menakjubkan. Keindahan ramadan ada di mana-mana saja kepada mereka yang ingin mencari hikmah dan fadilatnya.

Sunday, August 23, 2009

Perjuangan Umno sia-sia apabila hak orang Melayu makin terhakis

oleh Tan Sri Sanusi Junid

Akta Lucut Kerakyatan 'ajar' pihak pertikai keistimewaan Raja, Bumiputera


Selepas British dengan pihak sekutunya memenangi Perang Dunia Kedua, maka keghairahan untuk meningkatkan kuasa penjajahan di seluruh dunia bertambah. Pihak British umpamanya sudah berhasrat untuk mewujudkan gagasan Malayan Union di Semenanjung Tanah Melayu.

Pada waktu itu, orang Melayu telah bangkit menentang gagasan Malayan Union dan menubuhkan Umno (11 Mei 1946).

Setelah melihat bagaimana Jepun, satu bangsa dari timur dan bukan berasal Eropah menduduki Malaya dan menundukkan British pada peringkat awal peperangan, maka bibit inginkan kemerdekaan telah tersemai di hati sanubari orang Melayu.

Apabila perpaduan Melayu sudah kukuh untuk memperjuangkan kemerdekaan, maka orang keturunan Cina dan India pun menubuhkan parti MIC (Ogos, 1946) dan MCA (27 Februari 1949) untuk bersama-sama dengan Umno, memperjuangkan kemerdekaan melalui parti Perikatan yang dianggotainya.

Antara 1946 dan 1951 ada dua aliran pemikiran di dalam Umno yang boleh dipilih untuk menuju kemerdekaan. Tetapi niat untuk merdeka tetap ada pada semua pihak. Malah, pihak komunis pun telah berhasrat untuk menjadi juara kemerdekaan dengan cara bersenjata.

Dua aliran pemikiran telah membara di kalangan pemimpin Melayu untuk memperjuangkan kemerdekaan bagi Malaya. Aliran pemikiran pertama ialah seperti perjuangan Umno yang mahu memerdekakan Malaya sebagai sebuah Negara Persekutuan yang demokratik dengan sistem Raja Berperlembagaan. Aliran pemikiran kedua ialah dengan cara bergabung dengan Indonesia dalam apa yang dinamakan di Malaya sebagai 'Melayu Raya' dan di Indonesia disebut 'Indonesia Raya'. Gagasan ini merangkumi, selain Malaya dan Indonesia, termasuk juga negeri dan wilayah lain dalam dunia Melayu di Nusantara.

Rancangan ini dipelopori di Indonesia oleh tokoh seperti Sukarno dan Muhammad Hatta, sementara di Malaya pula idea ini didukung, antara lain, oleh tokoh seperti Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Ahmad Boestamam dan Burhanuddin Al-Helmi yang ditemui oleh Sukarno dan Hatta di Taiping pada waktu Sukarno dan Hatta singgah dalam perjalanan dari Kemboja ke Aceh. (Rujukan: Memoir Dr. Soeharto doktor peribadi Sukarno dan bukan Presiden Suharto).

Tujuan Sukarno dan Hatta ke Aceh ialah untuk meyakinkan pemimpin Aceh supaya tidak menerima tawaran kemerdekaan oleh Belanda kepada Aceh kerana kemerdekaan Aceh secara terpisah dari Indonesia, hanya akan memanjangkan tempoh penjajahan Belanda ke atas Indonesia dan ia akan menghalang rancangan penubuhan Melayu Raya.

Oleh kerana rancangan penubuhan Melayu atau Indonesia Raya inilah maka Bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan Indonesia.

Empat pemimpin Aceh daripada kalangan ulama yang terdiri daripada Tengku Muhammad Dawud Beureu-Eh, Tengku Haji Hasballah Inderaputi, Tengku Haji Hassan Keurung Kale dan Tengku Haji Jakfar Siddiq Lamjabat telah menyokong gagasan untuk menyatupadukan umat Melayu Islam di Nusantara dan sanggup menolak tawaran kemerdekaan oleh Belanda untuk Aceh berjuang bersama dengan wilayah Indonesia yang lain menuju kemerdekaan.

Persatuan Ulama Seluruh Aceh (Pusa) di bawah pimpinan Tengku Muhammad Dawud Beureu-Eh dan tiga ulama tadi sudah bersetuju menjadi sebahagian daripada Indonesia bersyaratkan:

· Indonesia dijadikan sebuah Persekutuan dan bukan sebuah Republik,
· Indonesia berdiri sebagai sebuah negara Islam, dan

· Aceh dibenarkan terus berautonomi dalam kegiatan ekonominya.

(Rujukan: Biography Tengku Muhammad Dawud Beureu-Eh oleh Mohd Nur El Ibrahimy dan wawancara dengan beliau)

Tidak terlaksananya janji inilah yang menyebabkan keadaan politik di Aceh terus bergolak untuk kesekian lamanya.

Empat tokoh Melayu yang berjumpa dengan Sukarno dan Hatta di Taiping ialah pemimpin Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Nama 'Melayu Malaya' telah digunakan untuk membezakan antara Melayu Semenanjung dengan Melayu di Indonesia.

Sukarno memberitahu empat pemimpin di Aceh tadi bahawa PKMM di Malaya juga sudah setuju untuk Malaya tidak merdeka secara terpisah daripada Melayu Raya.

Apabila Umno mengisytiharkan hasrat untuk memperjuangkan kemerdekaan Malaya secara tersendiri, pihak PKMM telah menarik diri daripada Umno kerana perjuangan Umno akan mewujudkan negara Persekutuan yang beraja dan bukan sebuah republik.

Pihak komunis pula terus berjuang menentang British pada mulanya dan kemudian menentang pemerintah Malaya yang merdeka sehinggalah tamat darurat.

Parti PKMM telah diharamkan oleh penjajah British kerana berhaluan kiri. Tokoh PKMM kemudian muncul semula dalam gelanggang politik melalui Parti Buruh aliran sosialis di bawah pimpinan Ahmad Boestamam, Parti Islam di bawah pimpinan Dr Burhanuddin Al Helmy. Ada sebuah parti lagi yang bersifat nasionalis yang dipimpin oleh tokoh keturunan Indonesia bernama Persatuan Melayu Semenanjung (PMS) yang dipimpin Bung Kahar dan Setiausaha Agungnya, Bung Isa.

Parti PMS diharamkan ketika konfrontasi Indonesia kerana mereka menyebelahi Indonesia dan beberapa orang pemimpin mereka telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Malah, ada rancangan untuk membunuh Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Lee Kuan Yew dalam jangka masa peristiwa konfrontasi.

Selepas Malaya merdeka perlawanan debat antara sejarawan Melayu ialah siapalah pejuang kemerdekaan yang sebenar. Walaupun kemerdekaan yang dicapai ialah mengikut model Umno, tetapi PKMM tetap mendakwa sumbangannya cukup besar dalam menghembus semangat merdeka.

Terbukti di dalam sejarah bahawa sumbangan PKMM untuk menghembuskan semangat kemerdekaan adalah besar, tetapi Umno lah dan bukan PKMM yang memerdekakan Malaya. Dakwaan sumbangan PKMM ini dibuat oleh pengarang di kalangan keluarga mereka.

Rakyat Malaya tidak pernah terfikir mengenai dakwaan Chin Peng, di dalam bukunya, bahawa beliau juga penyumbang kepada kemerdekaan Malaya. Dakwaan Chin Peng dan penyokongnya mudah ditangkis, lebih-lebih lagi kerana orang Melayu yang beragama Islam tidak menganggap negara itu merdeka jika berideologi komunis.

Bagi orang Melayu, Parti Komunis Malaya tidak dapat memerdekakan Malaya kerana mereka yang menganut fahaman komunis itu sendiri sebenarnya sedang dijajah ideologinya kerana komunis bukan agama asal mereka dan bukan fahaman asli bangsa penganutnya.

Perjuangan Umno ialah untuk:
· Menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,
· Menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara,
· Menuntut hak istimewa bagi orang Melayu,
· Mewujudkan negara demokrasi berparlimen; dan

· Menabalkan sistem Raja Berperlembagaan.

Apa yang dikatakan oleh PKMM sebagai kemerdekaan yang sebenar, pada pandangan saya, ialah sistem republik yang tidak beraja.

Kecuali di Pulau Pinang dan di kota dan bandar, Parti Buruh yang kemudian menjadi Parti Sosialis Rakyat Malaysia dan sebelum bergabung dengan PKR mereka menjadi Parti Rakyat, mereka bukan saingan besar kepada Umno dan Perikatan.

Bagi parti PMIP, yang kini menjadi parti Pas ketidakpuasannya dengan kemerdekaan yang sudah dicapai ialah kerana negara ini bukan negara syariah. Saingannya ialah sama ada ia lebih Islam daripada Umno.

Dalam perlawanan debat atas tajuk 'siapa lebih memperjuangkan agama' cerdik pandai agama daripada Umno dan Pas sentiasa mengkritik satu sama lain dalam ceramah dan pidato mereka. Perlawanan debat yang berterusan ini memberi kesan negatif kepada generasi muda yang tidak pernah mendengar adanya kebaikan pada ahli agama dan yang didengar ialah keburukan yang dilemparkan antara cerdik pandai agama daripada Umno dan Pas.

Untuk jangka masa yang cukup lama permusuhan Pas dengan Umno ialah sekitar siapa yang lebih Islam. Kemuncak perselisihan ini ialah pada awal 1960-an apabila Pas mengkafirkan Umno.

Pengkafiran ini ialah kerana Umno berkawan dengan Cina dan India, yang bukan Islam di dalam Parti Perikatan. Dakwaan balas Umno ialah dengan membezakan kafir di dalam MCA dan MIC dengan kafir yang menjadi anggota DAP. Kafir MCA dan MIC dikatakan 'kafir harbi' yang tidak menghormati Melayu dan Islam.

Sebenarnya jika Dewan Ulama Pas saja yang memutuskan sama ada Umno itu kafir atau tidak, kerana berkawan dengan kafir di dalam MCA dan MIC, sudah pasti Umno tidak dikafirkan. Syaratnya tidak dipengaruhi oleh politik, tetapi mengikut perhitungan agama saja. Malangnya tidak demikian.

Tiga daripada anggota Dewan Ulama Pas iaitu Tok Guru Haji Mohd Nor Teliar, Tok Guru Haji Mohd Noor Selising dan Tok Guru Haji Umar Daud berpendirian bahawa Umno boleh berkawan dengan MCA dan MIC jika ia untuk keamanan dan tidak merugikan umat Islam. Tokoh politik PMIP pada masa itu memfitnah Umno yang nak jual agama dan bangsa sehingga Dewan Ulama Pas telah mengkafirkan Umno.

Akibat daripada perlawanan tarik tali untuk meyakinkan siapa yang lebih Islam antara Umno dan Pas, maka Melayu berpecah dan politik Melayu menjadi begitu lemah sehingga tercetus peristiwa 13 Mei, 1969.

Selepas peristiwa 13 Mei 1969, ketiga-tiga ulama Pas yang menjadi anggota Dewan Ulama Pas ini telah menjadi ahli Umno selepas mereka memfatwakan Pas boleh menjadi anggota Barisan Nasional (BN) kerana mengetahui daripada Tun Abdul Razak sendiri bahawa persahabatan Umno dengan MCA dan MIC ialah untuk keamanan negara dan ia menguntungkan, dan tidak merugikan orang Melayu Islam. Jelas bagi mereka bahawa Umno tidak berhasrat menjual agama dan bangsa seperti difitnahkan pimpinan politik Pas pada waktu itu.

Selaku Setiausaha Agung Umno, saya bertemu dengan ketiga-tiga ulama Pas ini ketika mereka dipilih Tengku Razaleigh Hamzah untuk menjadi pakar rujuk Umno pada waktu Umno bersiap untuk berdebat dengan Pas satu masa dulu. Istanalah yang telah menghalang perdebatan yang tidak akan menguntungkan Melayu atau Islam itu.

Apabila mengetahui sikap Umno dalam bersahabat dengan MCA dan MIC sebagai kafir zimmi itulah, maka ulama Pas telah bersetuju menjadi anggota Barisan Nasional.

Perlu diingat, Pas tidak menyertai BN kerana perjuangannya untuk Islam, tetapi lebih untuk bersama dengan Umno mempertahankan hak dan kuasa Melayu yang telah terhakis sehingga mengakibatkan peristiwa 13 Mei 1969.

Pas dan Umno pada waktu itu menganggap DAP sebagai kelompok 'kafir harbi' yang menjadi seteru kepada kepentingan Melayu dan Islam. Perlawanan debat atas tajuk 'siapa lebih Islam' telah berakhir apabila Pas berada di dalam BN dan perlumbaan atas tajuk ini telah tiada lagi.

Apabila Pas terkeluar daripada BN, maka Pas terpaksa mencari garis perjuangan baru untuk membezakannya daripada Umno. Maka bermulalah isu 'hudud'. Buat sementara waktu 'hudud' telah dipopularkan dan Umno digambarkan oleh Pas sebagai penghalang kepada terlaksananya hukum hudud.

Isu 'hudud' dan 'cita-cita mewujudkan negara Islam' kemudian terpaksa diketepikan oleh Pas kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya menjambatani persahabatan antara Pas dan DAP yang dulunya dianggap 'kafir harbi'.

Umum mengetahui bahawa DAP bukan saja anti 'hudud', antikewujudan negara Islam, malah antikonsep ketuanan Melayu yang kelihatan padanya melalui hak istimewa orang Melayu yang terjamin dalam Perlembagaan.

Oleh kerana semua keistimewaan orang Melayu yang ada di dalam Perlembagaan Malaysia dapat dipertahankan oleh sistem kehakiman kita, maka sasaran penentang segala keistimewaan orang Melayu telah menghala kecaman mereka terhadap sistem kehakiman kita.

Demi kepentingan politiklah, maka Pas menerima DAP sebagai kawan dan bukan kerana agama. Politik nampaknya lebih penting daripada Islam dan Melayu. Sudah tentu kalangan pimpinan politik Melayu yang bersahabat dengan DAP ini akan membisik kepada penyokong mereka yang mempersoalkan 'keharbian' DAP itu bahawa mereka perlu bersabar kerana Melayu yang berkawan dengan DAP hanya memperalatkan DAP saja untuk mendapat kuasa. Lepas dapat kuasa barulah program Islam akan diketengahkan. Mereka sebenarnya memperkecil kecerdikan pimpinan DAP. Bagi DAP mewujudkan negara Islam hanyalah over my dead body.

Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004 telah memberi kemenangan yang terbaik untuk BN di bawah kepemimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kemenangan ini diperoleh kerana rakyat belum mengenal beliau. Selepas mengenali beliau dan keluarganya maka pada 2008 BN kehilangan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, selain Pas kekal memerintah Kelantan.

Bagi Pas kemenangan ini ialah kerana berkawan dengan DAP dan PKR sebuah parti yang dipimpin oleh wanita Melayu, tetapi dikuasai oleh profesional daripada keturunan India.

DAP tahu bahawa kemenangan mereka disebabkan kegagalan kepemimpinan Abdullah. Itulah sebabnya DAP dengan terus tenang mengharapkan Abdullah tunggu hingga ke Pilihan Raya Umum Ke-13 supaya BN kecundang.

Umno pula terpinga-pinga kerana malu dan segan untuk menyalahkan Abdullah dan keluarganya. Adalah lebih mudah bagi Umno mempercayai bahawa kekalahan BN ialah kerana tiada sokongan daripada bukan Melayu. Lebih sukar untuk menerima bahawa bukan Melayu juga menolak BN kerana kecewa dengan kepemimpinan Abdullah. Umno tentu tahu bahawa di negeri kubu kuat Umno pun ramai orang Melayu yang dulunya menjadi pengundi Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-12 tidak menyokong BN.

Mungkin penganalisis Umno berasa mudah nanti untuk menawan kembali hati orang Melayu dengan pelbagai macam program barunya. Oleh itu, pimpinan Umno dalam BN, seperti juga dengan pemimpin MCA, MIC, PKR, DAP dan Pas terus sibuk berusaha untuk berlumba-lumba menawan hati bukan Melayu.

Pas agak toleran terhadap keruntuhan moral dalam PKR, Pas juga ingin mengajar bagaimana arak boleh dijual di Selangor seperti di Kelantan. Pas juga membolehkan Islam dikritik oleh DAP berasaskan kejahilan mereka mengenai Islam. Pemimpin PKR juga menjanjikan untuk bersama dengan Pas dan DAP menghapuskan ISA dan menghapuskan banyak lagi yang dirasakan elok dihapuskan untuk mendapat sokongan bukan Melayu.

BN juga memperkenalkan dasar liberalisasi yang nampak bagi orang Melayu tidak menguntungkan mereka. Begitu banyak tindakan BN yang membimbangkan Bumiputera seperti mengurangkan peratus biasiswa kerajaan untuk Bumiputera daripada 95 peratus ke 55 peratus sedangkan biasiswa daripada swasta bukan Bumiputera 100 peratus kekal diperoleh untuk mereka saja. Orang Melayu juga takut kerana melihat saham amanah untuk Melayu tidak habis dijual dan yang Bumiputera tidak mampu beli dijual saja kepada bukan Bumiputera.

Melayu dan Bumiputera kini bergantung banyak kepada kepercayaan dan keyakinan mereka bahawa pemimpin mereka tidak lupa pada mereka.

Perlumbaan antara pemimpin Pakatan Rakyat dan BN ialah untuk 'menawan hati bukan Melayu. Ini adalah peringkat ketiga setelah lebih dulu Umno dan PKMM, berlawan 'siapa yang lebih menyumbang kepada kemerdekaan' dan kemudian Umno dan Pas bersaing pula 'siapa yang lebih Islam antara Umno dan Pas'.

Sementara Melayu sedang berlumba dari segi 'siapa lebih baik kepada orang bukan Melayu' kini timbul pula 'siapakah pengkhianat bangsa Melayu'.

Perlumbaan mengenai tajuk 'Melayu yang manakah lebih berjasa kepada bukan Melayu?' telah banyak mengecewakan orang Melayu dan kurang pasti sama ada hati bukan Melayu sudah tertawan. Semuanya bergantung kepada maklum balas yang diterima oleh pemimpin BN.

Adalah jelas kumpulan yang tidak simpati dengan kedudukan orang Melayu yang dianggap istimewa itu, walaupun Melayu kurang merasainya dalam bidang ekonomi, sudah menunjuk keberaniannya untuk bersikap kurang sopan kepada raja dan agama Islam.

Jika Melayu mengalah dalam hal ini, maka ancaman yang lebih besar akan mengancam negara.

Apa yang jelas bagi kita ialah kelompok yang kurang sopan kepada raja dan agama ini juga adalah sama dengan kelompok menentang ISA. Apakah dengan tiadanya ISA mereka akan lebih bermaharajalela lagi.

Saya bersetuju dengan Mufti Perak yang mencadangkan supaya mereka yang antiraja dilucutkan kerakyatan. Malah kita perlu gantikan ISA dengan ALK atau Akta Lucut Kerakyatan. Dengan adanya ALK kita tidak perlu sibuk ke mahkamah, tetapi menentukan supaya mereka yang menentang Islam, raja, bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu dan kalangan 'separatist' yang ingin mengeluarkan mana-mana negeri dalam Malaysia dan menyokong negara lain yang memusuhi Malaysia dilucutkan kerakyatannya. Akta ALK hendaklah mandatori, terbukti saja salah maka lucutlah kerakyatan tanpa hak hakim untuk meringankan hukuman.

Pihak yang menjadi pengkhianat Melayu adalah mereka yang mempersendakan raja, agama Islam, bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu, pihak yang ingin memisahkan negeri daripada menjadi sebahagian daripada Malaysia dan pihak yang memihak kepada negara atau pihak yang memusuhi Malaysia. Inilah cara menuju 1Malaysia.

(Berita Harian Online, 23/8/2009)