Mendidik adalah profesion yang sangat penting hari ini. Dengan kaedah pengajaran dan penyelidikan yang semakin baik, menjadi seorang guru memerlukan kemahiran profesional yang lebih menonjol daripada sebelumnya. Kecemerlangan pada awal-awal tahun pengajaran seringkali menjadi satu cabaran yang menggentarkan kepada guru-guru baru. Jika kita bertanya guru-guru yang berpengalaman apakah resepi ketahanan mereka dalam proses mendidik pelajar, kebanyakannya akan berkata mengenai kepentingan memilih mentor.
Mengajar dan mendidik adalah proses yang mencabar. Ianya tidak mudah dilaksanakan. Banyak sebab kenapa seseorang memilih kerjaya sebagai guru. Barangkali ia ada kaitannya dengan pengalaman positif dengan guru ketika masih kanak-kanak. Barangkali juga melihat mengajar sebagai satu cara untuk menyumbangkan pengalaman bermakna kepada masyarakat dan berasa bangga dapat melihat orang lain berjaya. Atau mungkin juga tertarik dengan kehidupan sebagai guru yang menyeronokkan, pelbagai dan memberi rangsangan hidup yang istimewa.
Kajian oleh National Educatioan Association, NEA Research: Status of the American Public School Teacher 2000-01, Washington 2003 ke atas 1,467 guru mendapati keinginan bekerja dengan orang yang lebih muda mencatatkan 73 peratus dan peluang untuk mengembangkan kehidupan sebanyak 12 peratus. Lain-lain alasan ialah nilai pendidikan dalam masyarakat (44%), berminat dengan subjek tertentu (36%), pengaruh guru (32%), cuti yang panjang (21%), pengaruh keluarga (20%), pilihan utama (18%) dan pekerjaan yang selamat (16%).
Daripada alasan-alasan yang diperolehi ini, keinginan bekerja dengan orang yang lebih muda menjadi alasan yang kukuh kenapa seseorang memilih kerjaya guru. Walaupun mereka bekerja dalam suasana yang mencabar, gaji yang berpatutan dan terdapat kejadian yang tidak menggembirakan, kebanyakannya masih mengambil berat mengenai masa depan orang muda di dalam masyarakat. Guru yang baik akan berasa sangat puas apabila dapat menjadikan kehidupan pelajar lebih baik daripada sebelumnya.
Interaksi guru dan pelajar setiap hari akan membina ikatan yang amat kuat. Interaksi harian ini membolehkan guru dan pelajar saling kenal mengenal dari aspek peribadi dan keperluan akademik. Mengambil berat terhadap kebajikan pelajar akan membantu guru berhadapan dengan kesukaran dan kekecewaan sebagai seorang guru.
Carl Jung, pakar psikoanalisis terkenal berpendapat, "Jika direnung kembali, guru yang hebat adalah yang dapat menyentuh perasaan seseorang. Kurikulum adalah sesuatu yang sangat penting, tetapi kemesraan adalah elemen yang sangat kuat untuk perkembangan jiwa seorang kanak-kanak."
Guru biasanya akan menghargai kualiti-kualiti unik yang wujud pada kanak-kanak dan remaja iaitu peringkat perkembangan pelajar yang ada di sekolah. Mereka terhibur dengan sifat terbuka, percaya dan keinginan untuk tahu yang ada pada pelajar di samping jenaka, semangat dan idealisme seorang dewasa. Semua guru ingin dikaitkan dengan kejayaan pelajar mereka. Justeru terdapat satu hari khusus untuk guru yang dipanggil "Hari Guru" bagi memperingati jasa dan sumbangan guru di seluruh negara.
Cabaran sebagai guru
Seorang guru di sekolah menengah berkata: "Mengajar tidaklah susah. Saya sukakannya. Kecewa hanya masa-masa tertentu." Guru sentiasa berhadapan dengan cabaran dan pada masa yang sama wajar mengambil langkah untuk mengimbanginya dengan kepuasan. Maklumat yang banyak dapat membantu program mengajar yang berkesan, membina falsafah pengajaran yang mantap, membangunkan stratagi pengajaran, menguatkan kemahiran kepimpinan dan mencari pengetahuan berdasarkan penyelidikan dan teori sedia ada. Dengan cara inilah guru dapat mengimbangi kekecewaan dan cabaran.
Antara masalah yang sering dihadapi dan diketahui oleh guru ialah ibu bapa yang kurang memberi sokongan, pelajar tidak berminat, kurang bantuan kewangan, disiplin diri yang merosot, masalah keluarga, bilangan pelajar yang ramai dalam kelas, penyalahgunaan dadah, merokok, bergaduh dan masalah moral. Terdapat banyak lagi cabaran yang dihadapi oleh guru ketika berhempas-pulas mengajar dan mendidik ini.
Semua cabaran yang dihadapi sedikit sebanyak meninggalkan tekanan ke atas guru bagi jangka masa yang lama. Ada pendapat yang mengatakan kebanyakan penghuni hospital bahagia adalah guru. Ia kerana tekanan kerja menyebabkan pemikiran guru berkenaan menjadi bercelaru dan akhirnya menjadi beban kepada diri sendiri.
Bekerja ketika pelajar tidak berminat, konflik dengan pentadbir, kritikan daripada masyarakat, kelas riuh-rendah kerana pelajar yang ramai, kurang sumber dan pendedahan negatif media menyumbang kepada tahap tekanan yang lebih tinggi. Jika tidak dibendung, tekanan kerja seperti ini akan menjurus kepada ketidakpuasan kerja, letih mental dan fizikal, dan tidak berupaya berhadapan dengan masalah secara berkesan. Akhirnya guru akan mendapat "burnout" iaitu sindrom klasik akibat tekanan kerja. Bagi mengelak sindrom ini, pihak pentadbir boleh mewujudkan elemen sokongan sosial dengan menggerakkan persatuan dan komuniti secara aktif, menyediakan kemudahan untuk latihan fizikal statik di sekolah, rangsangan intelektual melalui kursus, bengkel, seminar dan lawatan, menggalakkan perkembangan hobi yang lebih terancang, maklumat mengenai pengurusan diri yang lebih berkesan dan dinamik, dan galakan sokongan perubahan sikap yang berterusan.
Mengajar dan mendidik melibatkan banyak perkara, bukannya sekadar menyebarkan maklumat kepada pelajar dan lulus peperiksaan. Ianya melibatkan kasih-sayang, tanggungjawab, iltizam, dedikasi dan kesabaran. Untuk mengajar, guru perlu mempunyai keyakinan yang utuh dan menghormati keupayaan pelajar. Mengajar juga bukan hanya mengetip kad perakam waktu dari pukul 7.30 pagi hingga 1.30 tengah hari. Justeru, menjadi guru bukannya mudah tetapi kesabaran tentang mengajar dan mendidik akan menjadikan dunia guru penuh warna-warni.
Guru memberi cahaya kepada pelajar. Ketika semangat dan keyakinan pelajar mulai luntur, belaian dan tegas guru memberi inspirasi kepada kejayaan mereka. Guru mengajar dan mendidik untuk perubahan. Sekiranya pelajar tidak berubah, apakah guru telah melaksanakan peranannya?
No comments:
Post a Comment