Thursday, July 05, 2007

Belajar untuk berdikari di menara gading

Keluhan seorang bapa mengenai jenis orientasi pelajar-pelajar baru di salah sebuah universiti baru-baru ini sangat mendukacitakan. Antara perlakuan tersebut ialah diarahkan menari yang dinamakan "cheer" yang melampau sehingga lewat pukul 3 pagi dan bercampur lelaki dan perempuan seperti dalam konsert.

Juga dinyatakan terdapat senior yang menjadi fasilitator tetapi tidak menitikberatkan soal solat. Lebih malang apabila tidak dibenarkan bersolat kerana dihalang oleh fasilitator.

Kesimpulan bapa ini yang mengaitkan kejatuhan dalam senarai 200 universiti terbaik dunia dengan minda mahasiswa yang dicemari hiburan jelas menggambarkan betapa marahnya beliau kepada bentuk pelaksanaan orientasi demikian.

Setiap kali pelajar baru mendaftar di mana-mana institusi pengajian tinggi, terdapat rungutan sama ada dari pelajar ataupun ibu bapa mengenai bentuk orientasi yang diadakan. Bagi institusi yang telah matang, seharusnya pelajar senior memperlakukan pelajar baru dengan lebih rasa hormat, mempunyai sifat ingin membantu dan bersedia dengan segala soalan mengenai bentuk pembelajaran di universiti atau kolej. Hanya senior yang belum matang yang tidak mampu membuat perubahan kerana keadaan pelajar sekarang jauh berbeza daripada pelajar sebelum ini.

Kelakuan fasilitator yang mencipta watak garang hanya meninggalkan kesan negatif yang mendalam kepada pelajar baru. Kenangan pertama yang buruk pasti akan dibawa sepanjang tiga atau empat tahun pengajian dan menjadi dendam yang berpanjangan. Keadaan ini tentulah membina hubungan yang tidak harmoni di antara pelajar lebih-lebih jika tinggal di satu kampus atau fakulti.

Era 80-an dahulu terdapat institusi pengajian tinggi yang tercemar kerana perlakuan "ragging" pelajar senior. Istilah yang agak terkenal ialah "kipas pusing" yang berlaku di kalangan pelajar baru lelaki. Walau bagaimanapun keadaan selepas itu semakin reda dan digantikan dengan perlakuan yang lebih lembut seperti berkokok di atas almari, berenang di atas lantai dan sembunyi di bawah katil. Bagi mahasiswa senior yang beranggapan hidup di universiti sama seperti hidup di kem askar, beliau akan memperlakukan keadaan begitu kerana pengalamannya sebelum ini pun penuh dengan kepayahan. Payah kerana terpaksa berjuang untuk belajar dan menamatkan pengajian.

Seminggu sebelum pelajar-pelajar baru mendaftar, biasanya fasilitator sibuk merancang agenda untuk melengkapkan orientasi supaya lebih padat, menarik dan yang penting, memberi faedah kepada pelajar. Ada yang menjemput pasukan perunding untuk melaksanakan kursus singkat kaedah orientasi yang berkesan dan ada yang hanya berbincang sesama sendiri sambil menjemput pensyarah yang dikenali boleh mengendalikan modul orientasi ini.

Bagi pentadbiran institusi pengajian tinggi yang peka dengan keperluan ilmu dan kemahiran membimbing pelajar, mereka tidak akan teragak-agak untuk melantik syarikat perunding luar untuk mengadakan program kepimpinan fasilitator yang berkesan supaya wujud keseragaman ketika minggu orientasi diadakan kelak. Melabur sedikit untuk kebaikan fasilitator dan pelajar baru tidak akan membazir kerana impak yang bakal diterima oleh kedua-dua pihak menjadi lebih positif.

Keadaan orientasi yang berlaku di institusi pengajian tinggi terkemuka di ibu negara seperti keluhan bapa ini memberi gambaran yang sangat negatif seolah-olah ianya berlaku ke atas seluruh institusi berkenaan. Ibu bapa yang tinggal di kampung dan mendidik anak-anak dengan nilai tradisi dan solat pasti akan terkejut besar apabila mendengar anaknya tidur jam tiga pagi dan dihalang daripada menunaikan solat. Perasaan mereka bercampur-baur dan keliru di antara prestij universiti dan realiti.

Alasan yang sering digunakan oleh fasilitator dan senior ini biasanya berkait dengan alam hidup di universiti iaitu pelajar harus berdikari tanpa mengira masa untuk meraih kejayaan. Jika terpaksa belajar lewat malam demi kejayaan, hal itu wajar dilakukan. Malah cabaran hidup di universiti bukannya sedikit. Mereka perlu berani untuk mencuba dan berikhtiar hidup. Kerapkali berlaku apabila wang biasiswa atau pinjaman lambat masuk, terpaksalah pelajar-pelajar ini mengikat perut dan berhutang bagi tempoh yang tertentu. Keadaan inilah yang cuba diberi pendedahan oleh fasilitator supaya pelajar tidak dimanjakan dan tahu apa yang patut dan wajar dilakukan bagi survival masa depan mereka.

Aspek memperkenalkan survival hidup ini sangat terkenal semasa orientasi tetapi aspek memperkenalkan cara hendak menjadi pelajar cemerlang di universiti jarang didedahkan. Tidak banyak orinentasi yang memasukkan kaedah untuk berkenalan dengan pensyarah, mendapat tips bagi keputusan peperiksaan 100 peratus atau kaedah belajar yang lebih berkesan di universiti. Pembentukan nilai-nilai yang menjurus kepada pembentukan jati diri turut tidak ditekankan, justeru itu lahirlah seperti dikeluhkan oleh bapa berkenaan yang menganggap hiburan adalah matlamat akhir kepada orientasi sehingga meminggirkan solat.

Kaedah pelaksanaan orientasi di universiti dan kolej wajar berubah dengan peredaran kematangan pelajar. Di negara-negara yang lebih baik tahap pendidikan, pelajar dilayan dengan lebih hormat dan tidak ada halangan bagi mereka untuk mencapai kejayaan. Diharap selepas ini pihak universiti berkenaan memikirkan semula perancangan bagi mendedahkan fasilitator mereka dengan keseragaman pelaksanaan orientasi kepada pelajar-pelajar baru. Hanya mereka yang pernah bergelar mahasiswa yang tahu betapa bertuahnya hidup di menara gading.

No comments:

Post a Comment