Ketegasan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi tidak akan mempertimbangkan rayuan ibu bapa kepada 15 pelajar di salah sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Negeri Sembilan yang dibuang sekolah kerana masalah disiplin sangat dihargai. Beliau berkata tindakan yang diambil itu adalah sebagai satu teladan dan peringatan kepada semua pelajar di MRSM seluruh negara agar tidak berkelakuan tidak senonoh dan tidak berdisiplin.
Masalah membuli dan mendera pelajar junior memang menjadi masalah kepada pihak sekolah. Ada kalanya ia menjadi beban kepada sekolah, ibu bapa dan kementerian sendiri untuk menangani gejala buli seperti ini. Beberapa tindakan yang diambil oleh Kementerian Pelajaran seperti memaparkan laman web khas bagi aduan buli sehingga saat ini mencatatkan 59 peratus pengundi tidak bersetuju Sistem Aduan Disiplin (SAD) yang diperkenalkan dapat membantu meleraikan masalah buli di sekolah.
Kajian-kajian yang dilakukan di Barat mendapati pelajar yang suka membuli ini kemungkinan besar akan menjadi penjenayah, suatu tingkah laku yang membahayakan masyarakat dan menambah beban pihak berkuasa keselamatan.
Kajian mengenai kejadian buli di kalangan pelajar sekolah menengah di Kedah dan Perlis pada tahun 2002 menunjukkan dua jenis buli iaitu fizikal dan psikologi. Jenis fizikal melibatkan kecederaan di tubuh badan seperti lebam, calar dan berdarah manakala jenis psikologi pula membabitkan tekanan mental yang berakhir dengan kemurungan dan halusinasi. Kedua-dua jenis buli ini tidak mendatangkan kebaikan kepada pembuli dan mangsa buli.
Sekolah sebagai tempat untuk merangka tumbesaran pelajar supaya lebih matang dan bertanggungjawab akan terencat fungsinya kerana kegagalan pihak sekolah mengambil langkah-langkah pencegahan dan rawatan yang segera sebaik sahaja menyedari masalah buli berlaku. Lebih malang jika deraan fizikal dan psikologikal ini berlaku di sekolah berasrama penuh seperti MRSM di mana para pelajarnya merupakan mereka yang terpilih.
Dalam kes di MRSM di atas, perbuatan pelajar yang menjadi pembuli bukan sahaja merosakkan nama dan masa depan dirinya sendiri malah mengheret sekali ibu bapa. Dalam keadaan ini, siapa yang patut disalahkan? Pelajar, ibu bapa atau sekolah? Bangunan sekolah yang cantik tidak akan ada serinya jika tidak ada pelajar. Pelajar tidak akan menjadi seorang yang terdidik jika tidak ada guru. Ibu bapa tidak akan mendapat anak yang cerdik dan pintar jika tidak ada guru yang berdedikasi dengan sitem pendidikan yang cemerlang.
Begitulah peranan ketiga-tiga pihak ini sangat penting bagi membentuk sebuah masyarakat yang berpendidikan. Kejadian buli adalah proses intervensi sosial remaja yang mahu memecahkan keharmonian hubungan tiga serangkai tadi akibat kegelojohan satu pihak.
Lima belas pelajar membelasah sepuluh pelajar lain yang lemah bukannya perbuatan orang yang berakal dan berperikemanusiaan. Justeru tindakan menghukum yang dibuat selepas pihak pengurusan MRSM membuat pertimbangan yang sewajarnya diharap memberi peringatan yang berpanjangan. Ia demi menjaga nama baik MRSM sendiri dan menghalang anasir jahat yang cuba merosakkan sistem pendidikan yang dibina sejak dulu.
Seperti kata Mohamed Khaled, “Mereka masih boleh meneruskan persekolahan seperti biasa tetapi bukan dengan MRSM,” menyahkan rasa simpati kepada rayuan ibu bapa pelajar berkenaan kerana pada hakikatnya pelajar yang terlibat tidak pun bersimpati dengan mangsa buli dan masa depannya sendiri. Pembuli tidak ada tempat dalam sistem pendidikan bertaraf dunia dan kehadiran mereka hanyalah sebagai parasit yang akan merosakkan perancangan agresif negara untuk menjadi hab pendidikan global yang disegani.
Penyelesaian buli bukannya terletak di atas bahu pentadbir dan guru di sekolah sahaja. Peranan ibu bapa yang membentuk anak-anak juga sangat mempengaruhi keupayaan berfikir dan bertingkah laku anak-anak mereka. Kempen yang dijalankan oleh Kementerian Pelajaran melalui pelbagai cara sama ada iklan di media atau menyediakan laman web khas anti buli perlu digandakan supaya kesedaran masyarakat bertambah menebal.
Gejala buli bukan sekadar menjadi duri dalam daging kepada para guru, pelajar dan ibu bapa malah menggugat keyakinan orang luar untuk mencontohi kecemerlangan sistem pendidikan Malaysia.
No comments:
Post a Comment