Penangguhan pelaksanaan kemasukan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ke dalam perkhidmatan Jabatan Pelajaran Negeri di seluruh negara merupakan satu keputusan yang sangat berkait dengan keupayaan merancang dan menjangka apa yang akan berlaku pada masa depan dalam sektor pendidikan. Bantahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) terhadap kemasukan secara tidak teratur pegawai PTD ke dalam Jabatan Pelajaran Negeri itu dilihat sebagai penolakan kuat ke atas penguasaan skim berkenaan.
Beberapa bulan yang lalu NUTP bersetuju untuk berkompromi dengan kemasukan PTD 41 tetapi tidak bersedia untuk menyerahkan dominasi kepada PTD 48 dan PTD 52. Selepas sahaja mereka melihat terdapat keputusan yang tidak konsisten dengan kompromi awal, semua kemasukan PTD ke Jabatan Pelajaran Negeri ditolak oleh NUTP. Menteri yang bertanggungjawab telah membuat pengumuman bagi menggantung pelaksanaan tersebut secara mendadak walaupun sebelum ini terdapat kata putus yang kukuh daripada kementerian sendiri.
Artikel ini ingin mengkaji kenapa keputusan tersebut dibuat dan apakah kesannya ke atas kewibawaan pihak yang merancang pelaksanaannya. Perspektif yang ingin diberikan ialah melihat pendidikan tidak boleh dijadikan sebagai eksperimen peluasan kuasa sesuatu perkhidmatan ke atas perkhidmatan yang lain lebih-lebih lagi yang melibatkan profesionalisme perguruan.
Perkara pertama yang difikirkan ialah kenapa Kementerian Pelajaran mengambil keputusan segera bagi menggantung kemasukan PTD ke dalam Jabatan Pelajaran Negeri? Apakah yang telah berlaku sebenarnya? Dari sudut perancangan, ternyata pelaksanaannya tidak seindah yang dirancang. Profesion perguruan adalah satu kerjaya profesional yang hanya dapat ditunaikan oleh mereka yang melalui proses yang panjang. Bukannya guru jika datang mengajar dan tidak tahu apa yang sepatutnya diajar. Tugas guru di Malaysia hari ini sangat mencabar. Selok-belok kerjaya guru hanya dapat dinyatakan oleh mereka yang telah melalui latihan perguruan, bukannya pentadbir yang inginkan penguasaan atas alasan ingin menambah baik perkhidmatan pendidikan.
Guru ialah guna untuk rakyat umum. Mereka yang menjadi guru diletakkan pada kedudukan istimewa di dalam masyarakat kerana peranan yang sangat penting dan bermakna. Seorang guru akan dipanggil "cikgu" di sepanjang hidupnya sehinggalah dia mati. Namanya akan dikenang oleh anak muridnya dan ibu bapa selama-lamanya. Ingatan dan jasa guru akan dibawa sehingga ke akhirat di mana peranannya membuat kebajikan ke atas akhlak manusia akan dibentangkan di hadapan Tuhan.
Seorang pentadbir amat berbeza dengan guru. Jangka hayat diingati oleh orang lain tidak lama kerana yang akan ingat hanyalah mereka yang pernah berjumpa dan berkhidmat dengannya. Panggilan "tuan" hanya setakat di dalam perkhidmatan, selepas itu hanya dikenali sebagai pak cik sahaja. Sehinggalah lima hingga sepuluh tahun pencen, namanya sudah dilupai. Jasanya ketika berkhidmat seperti membuat keputusan penting tidak akan diingati lagi kerana peredaran masa sangat cepat. Apabila mati, ramai yang telah lupa kepadanya.
Pendidikan dan persekolahan adalah elemen penting bagi sesebuah kerajaan. Di Malaysia, guru mewakili sebahagian besar ahli sektor awam dan perlu diberi pehatian serius. Masalah mereka mesti didengari dan diselesaikan. Keperluan mereka mesti dipenuhi dan difikirkan supaya dalam pilihan raya yang akan datang, sokongan tidak beralih kepada pihak lain. Justeru pembuatan keputusan yang tidak memihak kepada guru, walaupun dilihat kecil, ianya memberi impak yang besar ke atas persepsi para guru. Justeru, para guru yang mendapat DG 41 tetapi bergaji rendah wajar diselesaikan segera. Jika berlarutan, bukan sahaja anak murid yang tidak tenteram, ibu bapa juga resah dan gelisah.
NUTP, sebagai suara utama para guru, telah memainkan peranan memberi maklum balas kepada kementerian supaya mendengar dan merasai masalah pegawai pendidikan yang tidak ada lagi peluang kenaikan pangkat setelah PTD mula menjejakkan kaki ke Jabatan Pelajaran Negeri. Kerisauan pegawai pendidikan ini memang amat dirasakan kerana amat sukar bagi mereka untuk bergerak dari gred 41 ke 48. Skim PTD berbeza. Dari gred 41 ke 44 hanya mengambil masa tiga hingga lima tahun seterusnya dalam tempoh sepuluh tahun, ada yang telah mendapat gred 48. Bagi pendidik, gred 48 terlalu jauh untuk untuk dicapai.
Umum melihat penarikan balik keputusan menempatkan PTD di sektor pelajaran negeri tidak konsisten. Keputusan telah pun dibuat dan ianya akan dilaksanakan.
Jangan pula konflik ini mengganggu kelancaran sistem pendidikan negara yang dilihat dinamik ketika ini dengan pengenalan PPIP, RIMUD dan sekolah pintar. Tugas guru juga bertambah. Gaji juga lebih baik. Walau bagaimanapun pentadbir lebih berkuasa.
Kadangkala penguasaan satu perkhidmatan ke atas perkhidmatan yang lain mengundang rasa tidak puas hati. Suatu ketika dulu ada cadangan untuk menempatkan PTD sebagai ketua jabatan di sektor kesihatan tetapi apabila para pegawai kesihatan berpadu dan menetapkan ketua berkenaan harus melaksanakan kerja di bilik pembedahan, tidak ada lagi cadangan demikian. Barangkali para guru harus berpadu dan mencadangkan pegawai yang ingin berkhidmat di sektor pendidikan perlu mengajar di kelas selama 100 jam sebelum layak ditempatkan di Jabatan Pelajaran Negeri.
Tugas profesional harus dilaksanakan oleh mereka yang profesional dan arif dalam bidangnya. Tidak perlu mencampuri urusan orang lain yang telah lama melaksanakan kerja mereka disebabkan ingin menambah baik perkhidmatan sedia ada kerana ia hanyalah "umpama tikus membaiki labu" yang tidak ada faedahnya kepada sesiapa, lebih-lebih lagi anak murid di sekolah.
No comments:
Post a Comment