Penglibatan golongan kaum Melayu dalam penagihan dadah mendominasi peratus penagih dadah di seluruh negara. Pusat Serenti yang diwujudkan bagi mengatasi ketagihan dadah ini majoritinya dihuni oleh kaum Melayu. Dari tempoh Januari hingga April 2007, jumlah penagih Melayu adalah 3,809 orang daripada 5,324 kes. Angka tersebut mewakili 71.54 peratus daripada kes yang ada.
Pelbagai usaha yang dilakukan oleh kerajaan bagi mengatasi penagihan dadah. Berjuta-juta ringgit peruntukan dibelanjakan bagi membantu penagih dadah untuk keluar daripada ketagihan dan memulakan hidup baru. Tetapi kejayaan yang diharapkan tidak begitu memberangsangkan. Statistik untuk penagih yang keluar dari Pusat Serenti dan pulih sepenuhnya tidaklah begitu membanggakan.
Menggunakan pendekatan agama sebagai sebahagian daripada program rawatan dan pemulihan penagihan dadah adalah langkah bijak. Walau bagaimanapun belum tentu berkesan kerana terdapat banyak kekangan yang menghalang kejayaan pelaksanaan kaedah ini.
Hasrat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang menerapkan pendekatan ini dengan melibatkan ilmuwan agama, pentadbir hal ehwal agama Islam dan imam melalui program kem motivasi, ekspo pendidikan, khemah ibadat, keluarga angkat, sukaneka dan khidmat komuniti wajar dirancang dengan teliti. Kefahaman terhadap agama yang ada di dalam pemikiran penagih-penagih ini perlu dikaji supaya aras kefahaman tersebut dapat dinilai dan diberi peningkatan mengikut tahap masing-masing.
Kerap terjadi bentuk penyampaian agama masih lagi membincangkan soal fiqah dan tidak banyak mendedahkan konsep kefahaman Islam yang menjurus kepada perubahan hidup secara menyeluruh. Akhirnya jadilah mengajar agama sama seperti mengajar di masjid dan surau yang menekankan cara hendak mengambil air sembahyang, cara berdiri betul ketika hendak bersolat dan membetulkan bacaan al-fatihah. Jika bentuk pengajaran agama cara begini dilaksanakan, mesej perubahan yang ada di dalam Islam tidak akan sampai dan niat menggunakan pendekatan agama dalam rawatan akan terbantut sama sekali.
Kaedah yang seharusnya dijadikan sebagai intipati kepada pengajaran agama Islam seharusnya menggunakan pendekatan mengubah hati dan jiwa dengan merangka modul pembangunan diri yang bermula dari asas iaitu membaikkan hati. Teori-teori Barat meletakkan perubahan pada minda dan persekitaran tanpa mengambil kira keupayaan hati manusia yang boleh dibentuk, dididik dan diubah. Justeru, antara buku yang boleh diberi perhatian ialah "Apa Ertinya Saya Menganut Islam?" oleh Ustaz Fathiyakan yang membincangkan konsep asas dalam beragama. Buku ini sangat mudah untuk difahami dan penerangan yang disampaikan oleh penulis sangat jelas. Bermula dengan kefahaman menjadi seorang Islam seterusnya suntikan kesedaran melangkau kepada keperluan menjadi seorang warganegara yang baik, taat dan setia kepada negara.
Buku seterusnya ialah "Asas-Asas Islam" oleh Maulana Al-Maududi yang juga membincangkan asas kefahaman Islam yang mudah, ringkas dan padat. Huraian buku yang dianggap klasik dalam kumpulan-kumpulan usrah dan halaqat sebenarnya dapat membuka pemikiran penagih untuk melihat Islam sebagai agama yang membantu mereka untuk berubah, menjanjikan kejayaan dan memberi sinar masa depan yang lebih baik.
Kedua-duka buku ini sentiasa mendapat sambutan dan telah diulang cetak beberapa kali. Kefahaman penulis berkenaan terhadap amalan beragama dan bagaimana harus mengamalkan agama Islam telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Mereka yang terlibat dalam pendekatan ini juga perlu melalui proses yang sama yang bakal dilalui oleh penagih supaya dapat menjiwai kefahaman Islam yang betul. Kem motivasi yang dicadangkan hendaklah menggunakan modul pembangunan diri berteraskan pembinaan hati sepenuhnya dan mengelakkan bercampur-baur dengan konsep yang kebaratan kerana jika kedua-duanya bercampur, penagih akan menjadi keliru. Mana satu yang hendak dipilih, Islamkah atau Baratkah? Pengisian dalam kem ini juga tidak perlu bersifat ketenteraan yang keterlaluan kerana pendidikan hati tidak meletakkan jerit dan pekik sebagai kayu ukur kepada perubahan.
Apabila mesej yang hendak disampaikan kepada penagih menusuk tepat ke hati mereka dan membuahkan kesedaran, itu sudah cukup untuk melihat perubahan demi perubahan pada masa yang akan datang. Program susulan juga perlu diteruskan dalam bentuk kumpulan sokongan sosial. Antaranya yang sangat dicadangkan ialah penubuhan kumpulan usrah yang menggabungkan penagih-penagih yang insaf dan diketuai oleh seorang ketua yang telah berubah dari kalangan mereka sendiri. Biar penagih yang membimbing penagih kerana hanya mereka yang tahu realiti sebenar hidup sebagai penagih dadah.
Kejayaan Pengasih membuat perubahan adalah kerana kumpulan sokongan sosial yang sangat kuat dan penagih akan rasa bersalah dan lemah jika tidak mendapat sokongan berkenaan. Seterusnya kumpulan sokongan sosial ini di perluaskan di peringkat daerah dan negeri dengan mewujudkan kumpulan usrah gabungan bagi daerah dan negeri. Di akhir nanti, boleh dibuat pertandingan "pengendalian usrah yang berkesan" yang sama konsepnya dengan pertandingan Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (MKKM) yang diadakan di jabatan-jabatan kerajaan ketika ini.
Kita sering kecewa apabila kerajaan mendedahkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit untuk memulihkan penagih dadah, hasil daripada pelaburan itu tidak memberi pulangan yang sewajarnya. Penagih yang keluar dari Pusat Serenti kembali menagih dan dimasukkan semula ke situ. Berapa lama kita harus melihat muka penagih yang sama untuk beberapa kali?
Menambahkan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada mereka yang terlibat khususnya imam di kampung, daerah dan negeri juga wajar mengambil kira kesediaan dan minat para imam ini. Jika imam berkenaan telah berumur dan tidak berminat untuk menjadi penggerak kepada perubahan diri penagih, wajarlah dibuka tugas berkenaan kepada anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berorientasikan agama Islam supaya tenaga-tenaga muda ini dapat digerakkan sepenuhnya. Imam akan menghadapi masalah jika enggan berkursus dan berenggang dengan kehidupan selesa untuk menambah ilmu dalam bidang-bidang yang berkait dengan manusia. Tahap dan kesediaan imam ini perlu juga diperhalusi dengan bersungguh-sungguh supaya setiap sen yang dibelanjakan tidak akan hilang begitu sahaja.
Salah satu kemahiran yang dimaksudkan ialah kemahiran mengendalikan kerja kelompok. Kemahiran ini memerlukan tahap kesabaran dan praktikaliti yang tinggi supaya mudah mengendalikan kumpulan usrah kelak. Imam atau pegawai hal ehwal agama Islam yang tidak berminat untuk mendengar, kurang ilmu pengetahuan serba-sedikit mengenai manusia dan menganggap susah untuk mengubah hati manusia yang degil dan keras seperti penagih dadah ini, amatlah sukar bagi kita hendak melihat kejayaan setiap program yang dilaksanakan kelak.
Apabila modul pembangunan diri menggunakan konsep dan pendekatan kefahaman Islam yang betul, barulah boleh dikatakan rawatan keagamaan sebagai benteng penghalang kepada godaan najis dadah.
No comments:
Post a Comment