Harry Potter telah mengenakan sihir kepada pembaca-pembaca di seluruh dunia, yang membeli 72.1 juta naskah siri akhir pengembaraan seorang budak lelaki. Bagaimanapun jumlah terkini hanya akan dikeluarkan pada Selasa ini.
Di Britain sahaja, sebanyak 2.6 juta naskah buku "Harry Potter and the Deathly Hallows" dijual dalam masa 24 jam selepas dilancarkan jualannya pada pukul 12.01 pagi Sabtu lepas. Buku berkenaan dijual secara besar-besaran di kedai buku, pasar raya, Internet dan wakil penjual. Ia tidak dihadkan kepada mana-mana kedai buku seperti yang berlaku di Malaysia.
Perbalahan harga di antara pengedar buku MPH, Popular, Times dan Harris dengan pasar raya Tesco dan Carrefour menyebabkan empat pengedar buku berkenaan memboikot jualannya kepada masyarakat umum. Ketika Carrefour dan Tesco menawarkan harga RM69.90 senaskah, pengedar lain tetap mahukan harga pada RM109.90. Perbezaan RM40.00 ini amat menguntungkan pembaca kerana boleh mendapat buku yang diminati dalam julat harga yang kompetitif.
Datuk Mohd Shafie Apdal, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata perang harga berkenaan sangat baik bagi pengguna dan menggalakkan orang ramai membaca.
"Jika harga barang yang rendah dan dapat ditanggung oleh pembekal, ia sangat baik dan tidak menyalahi undang-undang. Jika peniaga dapat mengurangkan harga, kita wajar menggalakkannya kerana dapat memberi manfaat kepada orang ramai."
Harry Potter dicetuskan oleh JK Rowling yang merentap minat dan menarik perhatian pembaca di seluruh dunia dengan mengadunkan pelbagai elemen emosi: jenaka, daya juang, keselamatan, sedih, ganas dan kelemahan manusia – kadangkala dalam satu watak. Terdapat juga bahagian yang membuatkan pembaca ketawa berpanjangan di samping elemen sedih yang membuatkan pembaca menangis tidak tentu pasal.
Rowling adalah penulis yang berbakat, berkongsi pelbagai perasaan yang menyentuh hati dan telah membina watak-watak yang sarat dengan mesej. Jalan ceritanya juga kompleks. Bagi menghargai pembaca setia, beliau memuatkan sindiran, menambah kesaktian terhadap mentera dan objek-objek tertentu. Dia juga berjaya melindungi kelemahan-kelemahan yang terdapat pada buku-buku sebelumnya.
Dari "Harry Potter and the Sorcere's Stone" ke "Deathly Hallows," Rowling telah melengkapkan kitaran yang menakjubkan mengenai pengembaraan seorang budak lelaki bestari. Kisah ini bakal menjadi cerita klasik pada masa depan.
Sambutan buku terbaru Rowling di kalangan pembaca tempatan lebih kurang sama dengan rakan-rakan mereka di Amerika Syarikat dan Britain. Mereka beratur panjang ketika subuh masih gelap dan terus menerpa ke rak buku sejurus selepas pintu kedai dibuka. Konflik di antara pengedar buku dan pasar raya mungkin menjadikan orang ramai berminat untuk mendapatkan buku berkenaan.
Membaca novel adalah tabiat yang dibina sejak kecil dan berterusan. Seawal umur tiga tahun, seorang kanak-kanak boleh diajar membaca untuk mengenali huruf, membunyi dan membuat ayat-ayat yang mudah. Bimbingan dan peneguhan bagi menanam minat membaca dapat mempercepatkan budaya membaca walaupun ibu bapa dan rakan-rakan yang lain agak malas membaca.
Kita jarang melihat penulis tempatan dinanti-nanti penerbitan novel terbarunya seperti yang berlaku ke atas Rowling. Di Malaysia, belum ada penulis yang hidup mewah semata-mata dengan menulis buku. Di sinilah bezanya menulis untuk memberitahu dan menulis untuk memberi hiburan. Penerbit buku di Barat berjaya mencetuskan fenomena Harry Potter melalui kempen pemasaran yang sangat berkesan.
Mereka mencipta watak, mengangkat watak tersebut ke tahap tertinggi dan menyebarkannya ke seluruh dunia pada masa yang serentak. Kelebihan era globalisasi digunakan sepenuhnya bagi melariskan jualan. Seterusnya cerita berkenaan difilemkan dan pembaca kini mempunyai pilihan: buku atau filem.
Rowling, 41 tahun dari Britain mempunyai kekayaan sebanyak US$1 bilion. Beliau mempunyai tiga orang anak dan pernah hidup dengan bantuan kebajikan di Edinburgh, Scotland. Pernah belajar di University of Exeter dalam jurusan sastera. Berada pada kedudukan 891 dalam senarai individu terkaya Forbes 2007, jualan keseluruhan buku siri Harry Potter telah menjangkau sebanyak 325 juta naskah. Manakala bayaran royalti dan hasil jualan barang-barang yang berkaitan Harry Potter dianggarkan sebanyak US$3.5 bilion.
Jualan DVD bagi Goblet of Fire (2005) membawa pulangan sebanyak US$259 juta. Universal Studio pula akan membina taman tema Potter pada tahun 2009 nanti.
Penulis lain yang berjaya di peringkat dunia ialah Paulo Coelho. Jika Rowling memberi perhatian kepada kanak-kanak dan remaja, Coelho memberi perhatian kepada kelompok dewasa. Beliau terkenal dengan buku "The Alchemist" yang menjadi buku paling laris di Brazil. Manakala "The Zahir" telah diterjemahkan ke dalam 44 bahasa. Buku pertama beliau ialah "Hell Archives" yang ditulis pada 1982 merupakan pengalaman benar yang dialaminya.
Sehingga sekarang Coelho telah menjual sebanyak 85 juta naskah buku dan menjadi penulis paling banyak menjual buku pada tahun 2003. "The Alchemist" sahaja telah dijual sebanyak 30 juta naskah di lebih 18 buah negara.
Kejayaan penulis-penulis Barat sangat mengagumkan. Keupayaan mereka menembusi pasaran pembaca seluruh dunia dengan karya-karya yang menarik membuka mata masyarakat untuk melihat betapa menulis dapat membina kekayaan dan kemewahan. Bagi Malaysia yang mempunyai penduduk 26 juta orang, usaha melahirkan penulis berbakat seperti Rowling dan Coelho perlu digalakkan dari semasa ke semasa. Gerakan kempen aktif membaca di kalangan masyarakat hendaklah sentiasa diperhebatkan supaya penulis-penulis tempatan boleh juga menjadi kaya-raya seperti rakan-rakan mereka di Barat.
No comments:
Post a Comment