Friday, April 24, 2015

Taqwa prasyarat kemenangan








Kejayaan bagi seorang da’i adalah terus menerus berada dalam dakwah dan tarbiyah. Sepanjang bulan Ramadhan yang lalu, proses berpuasa dan amalan-amalan di dalamnya dapat membekalkan kekuatan untuk mengharungi bulan-bulan yang seterusnya.

"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa." (Surah Al Baqarah ayat 183)


Taqwa amat dituntut dalam Islam walau dalam keadaan berperang sekalipun. Peperangan Badar adalah medan ujian kepada umat Islam yang hanya 313 orang berbanding orang kafir Quraisy 1000 orang. Kelihatan seperti tidak seimbang di antara mereka ini tetapi kenapakah umat Islam telah menang?

Jawapan kepada soalan ini ialah taqwa.

Puasa dapat meningkatkan iman dan taqwa kepada Allah swt dan mengelakkan daripada perlakuan maksiat.

Saidina Umar r.a pernah mengirim surat kepada panglima Saad bin Abi Waqas yang sedang memimpin peperangan. Isi surat berkenaan ialah berkaitan persiapan perang yang mengingatkan Saad bahawa sebaik-baik persiapan dan sehebat strategi berperang adalah bertaqwa kepada Allah.

Saidina Umar telah nampak kunci kejayaan ini 1400 tahun yang lalu. Tambahnya lagi, ”Lebih berwaspada dengan maksiat sebenarnya lebih baik daripada berhati-hati terhadap musuh. Dosa adalah lebih aku takuti daripada musuh”.

Rahsia kemenangan umat Islam ialah bertaqwa kepada Allah dan menahan diri daripada melakukan maksiat. Tetapi kenapa umat Islam sekarang walaupun ramai namun tidak mampu bangkit melawan rodakan musuh?

Barangkali umat Islam masih lagi bergelumang dengan banyak maksiat yang mempengaruhi mereka, menarik kepada keseronokan dan kelalaian.

Maksiat dibahagikan kepada 3 jenis iaitu fahsya’, mungkar dan al-baghi. Maksiat fahsya’ menurut Ibnu Masud ialah segala sesuatu yang terlarang secara terang-terangan kekejiannya seperti syirik. Termasuk kategori ini juga ialah dosa-dosa besar yang memudaratkan diri dan orang lain seperti zina dan riba.

Maksiat mungkar ialah setiap yang diingkari oleh fitrah dan akal yang bersih seperti mencuri.

Manakala maksiat ketiga ialah kezaliman iaitu perbuatan yang melampaui batas dan keadilan yang dilakukan secara terus menerus.

Pancaindera yang lima adalah pintu masuk maksiat dan paling cepat ialah penglihatan. Kekuatan deria ini mampu melunturkan dan mencairkan iman orang alim dengan mudah. Bagi mengetahui kesan-kesan perbuatan maksiat ini, Ibnu Qayyum memberikan lima tanda untuk mengetahui kesan maksiat.

1. Rasa cemas dan gelisah

Keadaan ini berlaku kepada pembuat maksiat yang menyebabkan keadaannya “panas punggung”, tidak selesa dan risau kerana fitrah jiwa manusia. Kaab bin Malik, di antara sahabat nabi yang tidak mengikut peperangan Tabuk, bukan kerana tidak mahu berperang tetapi kerana sikapnya yang bertangguh-tangguh. Lalu Rasulullah bertanya kepada Kaab kenapa tidak mahu berperang ? Kaab tidak ada alasan dan berkata hatinya tidak tergerak untuknya pergi berperang.

Kaab telah dijatuhi hukuman pemencilan selama beberapa hari yang menyebabkannya menyesal tidak terkira. Bayangkan kalau ditegur tidak bercakap, diberi salam tidak dilayan dan bila berjumpa akan berpaling muka. Kaab berdoa semoga dosanya diampunkan dan akhirnya turunlah wahyu Ilahi yang bermaksud:

"Dan Dia juga akan menghapuskan kemarahan hati orang-orang yang beriman itu, dan Allah akan menerima taubat orang-orang yang dikehendakiNya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Surah At Taubah ayat 15)

2. Ikhlas seperti Imam Syafie

Salah seorang guru Imam Syafie ialah Imam Malik. Kehebatan dan kecerdikan Imam Syafie sangat mengagumkan Imam Malik sehingga beliau berkata, “Aku lihat cahaya dalam hati kamu. Jangan padamkan ia dengan maksiat”.

3. Hati kotor dan gelap

Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya adalah membabitkan seluruh anggota tubuh badan manusia. Maka, akan lahirlah penyakit masyarakat berpunca dari hati yang sudah rosak itu. Justeru, hati adalah amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan untuk menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat. Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana dosa. Setiap satu dosa yang dilakukan tanpa bertaubat itu akan menyebabkan terjadinya satu titik hitam pada hati.

Perkara ini jelas digambarkan dalam hadis Rasulullah bermaksud; "Siapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

4. Maksiat membiakkan maksiat yang lain

Seperti ombak yang datang silih berganti, maksiat juga akan datang silih berganti seperti virus. Kalau tidak dicegah, lama-kelamaan akan dianggap biasa. Jika hendak membuat kebaikan, kesan kebaikan berkenaan akan mendorong kepada kebaikan yang lain dan begitulah sebaliknya.

5. Halang rezeki dan sulitkan urusan

Taqwa, rezeki dan maksiat adalah berkaitan. Rezeki terhalang kerana maksiat yang dilakukan. Rezeki juga akan datang kerana taqwa. Taqwa adalah pembuka pintu rezeki.

“Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (At Tholaq ayat 2 hingga 3)


Maksiat memang seronok dan melalaikan. Dengan membuat maksiat, hati menjadi beku dan mati. Lima langkah mudah untuk menghindari maksiat boleh diamalkan jika ingin serius menjaga diri.

1. Taubat

Keterlanjuran kerana maksiat, kembalilah kepada Allah dengan sedar dan menyesal. Ingatkan kepada diri untuk tidak melakukan maksiat selama-lamanya. Difirmankan dalam surah Ali Imran ayat 135,

"Orang-orang yang berbuat kekejian atau menzalimi dirinya lalu ingat kepada Allah, maka minta ampunlah untuk mereka atas dosa-dosa yang dilakukan."

Rasulullah saw memohon ampun 70 kali sehari walaupun baginda adalah sseorang yang ma’sum.

2. Gantikan perbuatan buruk dengan yang baik

Perbuatan yang buruk dibuat sekali sekala tidak akan terasa. Alangkah indahnya perbuatan negatif dan jelik ditukar ganti dan diri dihiasi dengan akhlak yang mulia. Saidina Umar pernah mengingatkan yang Allah akan menutup aib seseorang selagi orang itu menutup aibnya sendiri.

Surah Hud ayat 114 yang bermaksud,

“Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat”.

3. Hadir ke majlis ilmu dan berjemaah dengan orang yang soleh

Perbuatan maksiat dan dosa dapat difahami jika tahu batas dosa dan pahala. Satu ketika dahulu, terdapat seorang pegawai tinggi kerajaan apabila ditanya apakah ia tahu judi hukumnya haram, dia menjawab tidak pernah menjumpai ayat al quran yang mengharamkan judi.

Inilah dikatakan kejahilan kerana tidak pernah bercampur dengan orang alim dan orang soleh. Ilmu agama berada di sekitar mereka. Dengan mempelajari ilmu agama, pengetahuan akan bertambah dan insyaallah menjadi orang yang berfikir.

4. Taqarub kepada Allah swt

Taqarub bererti mendekatkan diri kepada Allah. Banyak cara untuk mendekatkan diri kepada Allah ini dan salah satu daripadanya ialah beristighfar. Membasahkan bibir dengan istighfar ini, sehingga noda-noda dosa yang sempat menempel sedikit demi sedikit setiap hari tidak segera bertompok menjadi noktah hitam yang tebal. Semakin lama noda-noda ini bertompok, semakin susah untuk menghilangkannya.

Dosa walaupun kecil tidak boleh dianggap mudah.

"Katakanlah kepada lelaki yang beriman; hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang mereka buat. Katakanlah kepada wanita yang beriman; hendaklah mereka menahan pandangannya dan kemaluannya.” (An Nur ayat 30 dan 31)

5. Hidupkan ‘amar ma’ruf dan nahi mungkar

Menyibukkan diri dengan kerja-kerja dakwah adalah amalan yang sangat baik. Mengajak orang kepada Islam, membaiki diri dan masyarakat akan menghalang ruang-ruang diri daripada bisikan syaitan. Hidup yang terisi dengan amal soleh akan mengurangkan masa untuk berfikir tentang maksiat.

Tarbiyah adalah proses yang terbaik untuk mengurangkan maksiat. Inilah cabaran untuk kita, tanggungjawab yang perlu dilaksanakan supaya hati kita dalam keadaan bertaqwa. Setiap kali khutbah Jumaat dibacakan, kita sentiasa diingatkan supaya bertaqwa kepada Allah. Hakikatnya iman dan maksiat tidak berada dalam satu tempat. Pesanan Imam al Ghazali, sebelum subuh buatlah tiga perkara iaitu berdoa, membaca al quran dan berfikir.

Thursday, April 23, 2015

Rumah ibadat boleh cetus konflik








Isu gereja dan salib di Taman Medan mengheret perhatian masyarakat Malaysia kepada isu fundamental dalam hubungan etnik iaitu toleransi terhadap kepercayaan individu. Pelbagai pihak mengeluarkan pandangan masing-masing bagi mewajarkan atau menempelak pihak-pihak yang terlibat. Berikut adalah petikan yang diambil dari akhbar untuk kita melihat pola berfikir dan hala tuju persepsi.

Menteri Besar Selangor: Menyuruh pihak gereja menurunkan tanda salib adalah tidak hormat Kristian.

Menteri KDN: Penunjuk perasaan lambang salib di luar gereja akan dicaj di bawah Akta
Hasutan.

Peguam: Gereja ada hak pamer salib di bawah Perlembagaan.

Mufti: Melindungi semua tempat ibadah adalah sebahagian daripada jihad dan Islam tidak
dapat menerima tindakan yang bertentangan dengan prinsip ini.

Pemandu teksi: Selagi mereka tidak mengganggu sesiapa, saya tidak lihat ada masalah.

SIS: Penunjuk perasaan bimbang keimanan golongan muda Islam akan terancam adalah 
tidak berasas sama sekali.

Aktivis NGO: Hak setiap orang untuk mengamalkan agama yang dipilihnya.

Herman Sahastri, CCM: Majlis tidak terkejut apabila insiden seperti ini berlaku di Selangor.

Penduduk 1 TM: Kawasan ini didiami masyarakat Islam dan gereja tidak diperlukan di sini.

Penduduk 2 TM: Kebanyakan penduduk di sini adalah muslim, jadi pandangan mereka wajar diambil kira. Anak saya cuma berumur lapan tahun dan membawa balik risalah propaganda agama lain. Saya benar-benar menentang langkah ini.

MBPJ: Lot bangunan yang dijadikan gereja tidak ada lesen operasi sebagai tempat ibadat. Gereja di Metro Square PJS2B/3 tidak ada permit untuk mempamerkan lambang salib pada bangunan tersebut.

Ketua Polis Negara: Jangan banyak cakap isu Taman Medan kerana membabitkan isu sensitif.

Isu-isu seperti kebebasan agama dan hubungan kaum seringkali menjadi perhatian umum dalam masyarakat berbilang etnik. Timbul kelompok yang menyokong dan membangkang sebagai pemanas kepada pelbagai bentuk penyelesaian. Ada beberapa perkara yang kita boleh lihat dari perspektif menyokong, antaranya penganut Kristian terdiri daripada pelbagai mazhab dan perlu memiliki gereja sendiri untuk beribadat. Di sini masyarakat dimaklumkan bahawa sudah terdapat tiga buah gereja di sekitar Taman Medan dan tindakan membuka sebuah lagi gereja tanpa permit adalah sukar diterima.

Taman Medan dihuni hampir 70 peratus orang Islam pelbagai kelas sosial. Kawasan itu juga merupakan kediaman bagi masyarakat bukan Islam dan dapat menikmati hidup yang bebas konflik.  Peranan agama menjadikan penganutnya taat dan membuat kebaikan serta kebajikan. Justeru, lebih banyak rumah ibadat menujukkan masyarakat mula kembali menghayati agama masing-masing. Bangunan yang dijadikan gereja ini sudah tentu menjadi tempat pertemuan sosial penganut Kristian di samping sebagai pusat pengajian.

Di sebalik kewujudan gereja ini, keburukan dan ancaman juga terserlah. Masyarakat Islam di kawasan berkenaan mulai rasa terancam khususnya akidah anak-anak mereka. Kerisauan terhadap aktiviti gereja bakal menimbulkan salah faham antara dua penganut agama yang berbeza kerana satu pihak rasa terancam dan di pihak sedang mengancam.

Membina rumah ibadat tanpa permit adalah satu kesalahan kepada pihak berkuasa tempatan. Tanpa kelulusan, status bangunan mungkin memberi masalah kepada penganut agama yang datang beribadah. Keselamatan penganut wajar diutamakan supaya tidak menimbulkan masalah di kemudian hari.

Seterusnya, perpaduan masyarakat Taman Medan menjadi renggang. Sedikit demi sedikit wujud segmentasi kaum dan ahli masyarakat mengambil sikap berpuak-puak dan enggan kenal-mengenal. Amalan tradisi seperti kunjung-mengunjung dan ziarah berkurangan yang akhirnya memudahkan konflik kecil merebak dan tidak terkawal.

Isu pembinaan rumah ibadat bukannya perkara kecil. Begitu juga sentimen masyarakat majoriti juga wajar diambil kira apatah lagi dalam keadaan di kelilingi pelbagai etnik. Sewajarnya ahli politik tidak mengeruhkan keadaan kerana ingin mendapat populariti sebaliknya memberi ruang kepada agensi yang lebih mahir memainkan peranan mereka.


Wednesday, April 22, 2015

Buka minda










Orang yang menjadi tumpuan umum atau public figure sering mendapat perhatian khususnya kata-kata mereka. 

Seorang aktres, Katherine Hepburn pernah mengulas, “Sekiranya kita mematuhi semua peraturan, hidup pasti tidak seronok”. 

Adakah anda bersetuju dengan beliau? Saya tidak bersetuju tetapi melihat ucapan ini dari perspektif berbeza. Saya percaya kita patut membenarkan pemikiran kita berkembang, keluar daripada kotak pemikiran sempit. 

Dedahkan diri kita kepada paradigma baru, melawat tempat-tempat baru yang dapat memberi kesegaran minda. Terokai negara lain, lihat budaya dan tradisi asing. Baca buku, majalah atau tonton filem kegemaran kita supaya pemikiran tidak dikongkong oleh pengetahuan dan pengalaman sendiri.


Tuesday, April 21, 2015

Nasi lemak promosi perpaduan etnik di Malaysia











1.0 Pengenalan

Nasi Lemak merupakan makanan tradisional yang mula diperkenalkan oleh orang Melayu.  Kini, nasi lemak disukai bukan saja oleh masyarakat Melayu tetapi juga oleh semua bangsa di Malaysia malah juga pelancong-pelancong dari negara luar. Nasi lemak bermakna nasi yang mempunyai lemak dari buah kelapa (santan kelapa).

Cara memasak nasi lemak ialah beras putih akan dicampur dengan santan kelapa, daun pandan dan secebis garam untku ditanak/dikukus sehingga beras menjadi nasi. Nasi lemak biasanya dimakan bersama sambal. Bahan untuk membuat sambal ialah bawang dan pes cili. Kini, makanan tradisional ini dimakan bersama kacang, ikan bilis goreng, ayam goreng, sambal sotong, telor rebus, telor goreng dan sebagainya.

1.1 Objektif Kajian

Antara objektif dalam kajian ini adalah untuk mengkaji sumbangan dan populariti nasi lemak dalam sektor pelancongan di Melaka. Selain itu, kajian ini juga mengkaji keistimewaan dan tarikan nasi lemak serta mengkaji bahan-bahan yang sering digunakan dalam penghasilan juadah nasi lemak.


2.0 Sorotan Literatur

Penyelidikan pusat pengajian pelancongan negara dalam sektor pelancongan berkaitan dengan nasi lemak berjaya mempromosikan keajaiban nasi lemak di mata dunia dengan perisa makanan tersebut. Nasi lemak juga menjadi tajuk sebuah filem yang menjadi sumber daya tarikan untuk kepelbagaian etnik di Malaysia. Filem ini mengisahkan seorang chef lelaki muda yang berbangsa Cina mencari ilmu-ilmu tentang resipi menghasilkan nasi lemak daripada pelbagai bangsa yang ada di Malaysia.
         
Sektor pelancongan dapat memperkenalkan budaya Malaysia yang unik lagi istimewa kepada dunia luar. Hal ini kerana Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Iban dan lain-lain. Kaum-kaum di negara kita yang mempunyai adat, budaya dan cara pemakanan yang berbeza dan istimewa mampu menarik minat pelancong asing. Sektor pelancongan dapat mempromosikan warisan budaya yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas” ke serata dunia. Pelancong yang datang ke suatu destinasi pelancongan boleh dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan dari pelbagai kaum dan menu utama yang selalunya rata-rata masyarakat di Malaysia ini mempersembahkan nasi lemak kepada para pelancong sebagai daya tarikan yang utama dari sudut makanan.

Selain itu, sektor pelancongan dapat mempromosikan makanan setempat di negara kita. Malaysia mempunyai beraneka jenis makanan yang digemari oleh pelancong. Negara kita yang mempunyai pelbagai kaum yang berlainan dan masakan yang berbeza seperti masakan Melayu, masakan Cina dan masakan India. Negara-negara Barat seperti England cuma mempunyai satu jenis kaedah masakan seperti kentang goreng, stik dan salad. Negara Itali pula mempunyai masakan seperti spageti, pizza dan telur dadar. Negara kita tidak seperti negara lain yang cuma mempunyai satu kaedah masakan. Masyarakat berbilang kaum di Malaysia mengetahui pelbagai jenis makanan dari serata dunia seperti yu sang, bau dan char kuey teow daripada kaum Cina, rendang, ketupat dan nasi lemak daripada kaum Melayu, capati, tosai dan idli daripada kaum India serta tidak kurangnya masakan barat dan masakan enak daripada kaum yang berlainan. Masakan yang tidak pernah dirasai oleh pelancong ini memberikan mereka rasa baharu maka menarik minat mereka untuk mengunjungi Malaysia. Tegasnya, makanan setempat dapat dipromosikan melalui sektor pelancongan.

Nasi lemak merupakan salah satu makanan yang biasa diperolehi di restoran mahupun kafe. Ia merupakan satu makanan yang merangkumi sambal ikan, nasi pandan, telur rebus ataupun telur dadar dan timun potong. Pada masa kini nasi lemak dihidangkan bersama ayam goreng ataupun daging mengikut citarasa masing-masing.

Peranan nasi lemak boleh dikatakan banyak memberi sumbangan dalam peningkatan populariti sektor pelancongan di Malaysia. Kebanyakan pelancong yang datang dari negara lain mempunyai perasaan ingin merasa masakan dari negara terutamanya Malaysia. Kebiasaan makanan yang selalu menjadi pilihan mereka ialah nasi lemak, roti canai dan char kuew teoy dan untuk minuman pula teh tarik menjadi antara kegemaran mereka apabila menikmati sarapan pagi.

Kajian ini menampilkan dengan satu keratan akhbar yang menunjukkan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen melancarkan satu kempen untuk meningkatkan sektor pelancongan. Program ''The Fabulous Food 1Malaysia'' memainkan peranan yang signifikan dalam meningkatkan kefahaman pelawat mengenai kepelbagaian produk pelancongan Malaysia.

Kesimpulannya, sektor pelancongan merupakan salah satu sumber ekonomi yang amat penting dalam negara kita. Oleh itu, kita harus menggunakan kelebihan yang ada pada negara kita dengan sepenuhnya supaya negara kita dapat menjadi pusat pelancongan yang terkenal di mata dunia dan seterusnya membangunkan ekonomi negara kita. Walaupun masyararakat kita terdiri daripada berbilang kaum, kita harus bersatu padu demi menjaga kepentingan tanah air tercinta kita. Tegasnya, kita perlulah bersatu padu bak kata pepatah “bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”.


3.0  Metodologi Kajian

Kaedah kajian yang digunakan ialah kuantitatif iaitu pengagihan borang soal selidik kepada seramai sepuluh orang responden. Kaedah soal selidik terbahagi kepada soalan terbuka dan soalan tertutup. Soalan tertutup iaitu skala likert yang mempunyai penyataan lima tahap persetujuan sama ada sangat setuju, setuju, tidak pasti, tidak setuju, sangat tidak setuju.

3.1 Kawasan Kajian

Kajian ini meliputi Melaka Bandaraya Bersejarah. Borang soal selidik diedarkan kepada sepuluh orang responden termasuk pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan orang awam.

                                                            
4.0  Dapatan Kajian

Responden terdiri daripada lima lelaki dan lima perempuan. Kebanyakannya merupakan pelajar UTeM sendiri dan hampir kesemuanya berumur 22 tahun dan ke atas serta pelbagai etnik.

Majoriti respondan turut mengenali nasi lemak yang dimaksudkan danmereka memberi pelbagai komen seperti “nasi lemak borlomak woi!” , “sambal aeh podeh” dan “tu yang kaw tuu” bagi menggambarkan keenakan rasa nasi lemak.

Kebanyakan respondan mendapatkan nasi lemak di warung berbanding di tempat-tempat yang lain. Mereka juga tahu bahan-bahan yang digunakan dalam membuat juadah nasi lemak ini.

Bagi kekerapan pengambilan nasi lemak, responden mengatakan mereka menikmati sekali hingga dua kali hidangan nasi lemak dalam masa seminggu kerana nasi lemak merupakan juadah yang mempunyai kandungan kalori yang tinggi di Malaysia.

Untuk menambah kelazatan hidangan nasi lemak, respondan memilih sambal sebagai sumber kelazatan nasi lemak yang terdapat di Malaysia ini.

Responden juga bersetuju nasi lemak boleh dijadikan sebagai strategi promosi makanan istimewa di Malaysia.


5.0 Kesimpulan

Malaysia merupakan negara yang penuh dengan budaya dan tradisi masyarakat berbilang kaum. Nasi lemak merupakan makanan harian yang tidak kira masa sama ada sarapan pagi, tengah hari, petang mahupun malam. Biarpun berlainan agama, fahaman, pemikiran, latar belakang, kerjaya, usia mahupun latar belakang politik, namun tiada siapa yang dapat menafikan budaya menikmati nasi lemak mampu menjadi kuasa integrasi antara kaum. Pastinya mereka akan bergelak ketawa, berbual mahupun berbincang sambil menikmati hidangan masing-masing iaitu nasi lemak yang menjadi eleman penyatuan rakyat. Kajian ini menunjukkan bahawa nasi lemak mampu mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia tidak mengira kaum dan agama. Melalui cara ini, secara tidak langsung perpaduan dan keharmonian masyarakat Malaysia dapat dibina.


Rujukan

Dewan Bahasa dan Pustaka. (2006). Dewan Budaya, Volume 28. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ooi Keat Gin. (2009). Historical Dictionary of Malaysia. Volume 71 of Historical Dictionaries of Asia, Oceania, and the Middle East. Scarecrow Press.

Simon Richmond. (2010). Lonely Planet Malaysia, Singapore and Brunei. Lonely Planet.

Wan Hashim Wan Teh. (2011). Hubungan Etnik di Malaysia. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Buku Malaysia.

http://beckhrooy.com/trend-makan-nasi-lemak-di-malaysia/
http://cikgu-hasanah.blogspot.com/2012/12/kertas-1-bahagian-kepentingan-sektor.html
http://mamawandiha.blogspot.com/2012/10/nasi-lemak-sambal-tumis-co.html
http://www.tiffinbiru.com/2012/05/nasi-lemak-buah-bidara.html


MZ Zainudin, Shahrizat Sahli Husni, Ahmad Faez Insha’ary, Mohd Fikri Faudzi, Mohd Fikri Faudzi, Anuar Nordin, Mohd Fauzan Mohd Fazali, Muhammad Izzat Rahim, Chiok Han Siang



Monday, April 20, 2015

Understanding business






Penulis: William G. Nickels, James M. McHugh dan Susan M. McHugh
Tahun: 2013 (edisi kesepuluh)
Penerbit: McGraw-Hill Companies, Inc., New York, USA.
Muka Surat: 577

Buku tebal ini mengandungi enam bahagian dengan 20 bab. Dimuatkan juga bab bonus berkaitan undang-undang, pengurusan maklumat, pengurusan risiko dan kewangan.

Selepas meneliti buku ini, saya tertarik dengan bab enam iaitu berkaitan keusahawanan dan memulakan bisnes kecil.

Bab enam ini bermula dengan pertanyaan kenapa ada orang yang mahu berhadapan dengan cabaran keusahawanan seterusnya memulakan perniagaan kecil.

Menurut Small Business Administration, salah satu sebab utama kegagalan perniagaan kecil adalah lemah dalan pengurusan. Perlu dingatkan bahawa pengurusan yang lemah meliputi pelbagai perkara seperti lemah dalam mengurus, simpan kira, kawalan inventori, promosi ataupun hubungan pekerja-majikan. Ia juga berkaitan dengan kelemahan modal.

Penulis mencadangkan lima langkah penyediaan bisnes kecil ini iaitu perancangan perniagaan, penyediaan kewangan, mengetahui pelanggan, pengurusan sumber manusia dan penyediaan rekod.

Biarpun semua langkah ini penting dalam permulaan dan pengurusan bisnes, dua langkah yang awal iaitu perancangan dan penyediaan kewangan adalah perkara pokok apabila memulakan perniagaan. Selebihnya berperanan semasa bisnes dijalankan.

Perkara lain yang menarik adalah mendapatkan modal untuk memulakan bisnes. Ada beberapa sumber yang berpotensi untuk mendapatkan modal seperti simpanan sendiri, saudara-mara, bekas pekerja, bank, syarikat kewangan, pemodal saham dan agensi kerajaan. Namun, pembiaya yang biasa adalah simpanan sendiri dan rakan-rakan.

Keadaannya berbeza bagi McDonald. Semasa tahun-tahun awal syarikat ini, Ray Kroc berhadapan dengan kesukaran mendapat modal yang mencukupi, lalu beliau mendapatkan bantuan dari pihak pembekal untuk memastikan syarikatnya terus bergerak- beliau meminta pembekal memberikannya bantuan dana. Keadaan ini jarang berlaku. Akhirnya McDonald dan pihak pembekal berkembang bersama-sama. Kaedah ini boleh bermula dengan peniaga meminta nasihat daripada pembekal, jika mereka bersetuju sudah tentu pembekal akan membantu.

Cara lain untuk mendapat modal perniagaan adalah melalui institusi kewangan pembangunan komuniti (Community development financial institutions, CDFIs). Penubuhan institusi ini adalah menjana modal untuk perniagaan kecil dalam komuniti. Ia bermula sekitar tahuan 1980-an oleh pelabur yang mementingkan perkembangan sosial masyarakat seperti golongan pencen yang melaburkan wang simpanan mereka untuk membantu.

CDFIs berjaya kerana dapat mengekalkan disiplin kewangan peminjam iaitu mempunyai insentif menggalakkan peminjam membayar semula pinjaman yang diambil. Antara langkah yang dibuat adalah menyediakan kaunseling perniagaan melalui pembangunan strategi pemasaran, pengurusan inventori dan menambah baik aliran tunai syarikat.