Saturday, August 16, 2014

Kualiti hidup







Bekerja dan mendapat gaji, bonus hujung tahun dan anugerah khidmat cemerlang adalah keinginan setiap orang yang bekerja. 

Namun bekerja semata-mata ganjaran duit akan menghilangkan sifat-sifat prihatin terhadap kesihatan diri. 

Berapa ramai orang yang bergaji besar tetapi berulang-alik ke hospital setiap masa, mengambil ubat tiga atau empat kali sehari dan hampir tidak boleh melakukan senaman? 

Falsafah bekerja harus bertukar. Bekerja untuk mendapatkan gaji, kesihatan tubuh badan, cukup tidur, dapat bersenam dan beramal ibadat. 

Inilah yang dinamakan hidup berkualiti.

Friday, August 15, 2014

Temubual penjual cendol








Soalan (S): Boleh terangkan sedikit mengenai latar belakang makcik khususnya pendidikan, perniagaan yang dilakukan dan keadaan kesihatan ketika ini.


Puan Foziah (PF): Makcik datang dari keluarga susah…kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Macam tu lah keadaannya. Adik-beradik makcik ramai… sepuluh orang. Mak ayah kerja kampung, kami adik-beradik ada yang tak habis sekolah. Makcik sendiri nasib baik sikit, tamat sekolah rendah. Lepas sekolah makcik tolong mak jual nasi lemak…berjalan keliling kampung.

Sekarang ni makcik duduk dengan anak-anak, dua orang. Suami dah meninggal…sakit jantung. Makcik kena bekerja untuk anak-anak makcik. Biar anak-anak berjaya dalam pelajaran.

Selepas suami meninggal, hidup makcik sangat susah. Makcik pernah tinggal di garaj kereta. Macam-macam kerja makcik buat, cari upah. Anak laki-laki ambil upah cuci pinggan, anak perempuan ambil upah sebagai pencuci rambut. Kalau ada orang nak buang barang-barang, kalau masih elok makcik minta untuk anak-anak.

Sebelum ni pun makcik pernah jual cendol tepi jalan tapi tak ada lesen. Pernah cuba mohon dulu tapi tak pernah dapat. Tak tahulah apa sebabnya. Kali ini makcik rasa hidup lebih baik. Bantuan dari pusat zakat untuk perniagaan cendol ni bolehlah makcik start kembali, dengan modal RM500 sudah cukup untuk makcik, lesen berniaga pun dah ada.

Alhamdulillah, kesihatan makcik masih baik, harap-harap Allah bagilah tubuh badan yang kuat untuk makcik bekerja demi anak-anak makcik.


S: Adakah makcik libatkan diri dalam persatuan atau organisasi berkaitan usahawan atau masyarakat sama ada di kawasan tempat tinggal atau di peringkat negeri?


PF: Makcik tak masuk mana-mana persatuan. Macam mana nak masuk, hari-hari nak uruskan perniagaan. Pagi-pagi lagi dah kena urus barang-barang jualan, kemudian jaga gerai sampai ke petang. Lepas tu berkemas dan cari barang lain pula untuk esok.

Kalau di surau tu adalah…dengan kawan-kawan jemaah, tapi tak adalah nak masuk persatuan mana-mana.


S: Pada pandangan makcik, sejauh mana aktiviti dalam masyarakat dapat membantu saudari lebih aktif untuk mengubah keadaan hidup.


PF: Makcik rasa bagus kalau masuk persatuan…macam-macam aktiviti boleh buat. Kalau kita susah, mereka dapat bantu. Tapi kerja makcik sehari suntuk, susah nak joint. Tak ada masa.


S: Adakah makcik merasai perubahan keadaan hidup selepas menyertai persatuan masyarakat seperti menghadiri kursus-kursus berkaitan keusahawanan atau peningkatan kemahiran?


PF: Susah la nak cakap. Setakat ni makcik lebih senang dengan kerja makcik. Mungkin ke depan ni makcik boleh masuk persatuan. Bantuan zakat pun dah cukup.


S: Adakah makcik mempunyai pekerja untuk membantu perniagaan sekarang? Jika ada bagaimana ia membantu pekerja makcik untuk mengubah hidup? Di samping itu apakah cabaran-cabaran yang dihadapi?


PF: Makcik kerja seorang…kadang-kadang anak-anak bantu. Beli barang semuanya makcik dan anak-anak buat. Tak harap bantuan orang lain.

Cabaran yang makcik hadapi sekarang ni keperluan nak bergerak ke sana-sini, nak beli barang, nak hantar cendol. Kadang-kadang ada pelanggan yang minta hantar cendol, mereka beli borong. Jadi kalau makcik ada motosikal rasanya lebih baik sikitlah.

Cabaran lain makcik rasa tempat berniaga kurang ramai orang. Tepi jalan ni kadang-kadang orang fikir kebersihan. Kalau makcik dapat ke kawasan ramai orang, perniagaan cendol ni lebih baik sikit.


S: Adakah makcik mendapat pembiayaan perniagaan untuk menjalankan bisnes ini?


PF: Setakat ni pusat zakat banyak memberi bantuan dan sokongan. Makcik baru dapat gerai tolak ni, mudah sikit nak berniaga. Bantuan lesen berniaga pun mereka bantu dapatkan. Modal yang makcik ada boleh bantu sikit-sikit.

Makcik tak ada pinjam dari mana-mana bank, bantuan dari pusat zakat saja setakat ni. Rasa malu pula nak minta bantuan lagi.


S: Adakah makcik menerima galakan dari mana-mana pihak untuk menyimpan wang atau membeli aset?


PF: Ada…dari pusat zakat sendiri. Mereka bagi sokongan untuk makcik berniaga, beri tunjuk ajar cara nak simpan duit buat modal pusingan. Jual cendol ni pendapatan kecil tapi sikit-sikit lah makcik simpan.

Makcik kena bahagikan pendapatan untuk keperluan harian, untuk anak-anak sekolah.


S: Pada pandangan makcik, hidup telah berubah kerana melibatkan diri dalam perniagaan.


PF: Berubah tu ada, lebih baik. Ada pendapatan sendiri…walaupun tak banyak. Makcik akan terus berusaha. Hidup susah mengajar makcik untuk jimat-cermat.



Thursday, August 14, 2014

Langkah Khalid







Suasana politik di Selangor mencapai kemuncak pergolakan apabila menteri besar dipecat. Tan Sri Khalid Ibrahim atau lebih mudah dikenali sebagai TSKI dipecat sebagai anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila bertegas tidak mahu menyerahkan jawatan kepada calon pilihan parti tersebut, Datin Seri Dr Wan Azizah, isteri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Keputusan memecat diambil atas alasan yang diberikan oleh Dato' Dr Tan Kee Kwong, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR seperti enggan menangguhkan proses dan perbincangan mengenai projek Langat 2; enggan menangguhkan kenaikan elaun Speaker, Menteri Besar, EXCO dan ADUN negeri Selangor; gagal mematuhi keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang dipersetujui sendiri oleh beliau untuk melibatkan Jawatankuasa Penstrukturan Air Selangor dalam isu penstrukturan aset air Selangor; berkeras untuk meneruskan projek Lebuhraya KIDEX walaupun parti sudah mengarahkan beliau untuk mengkaji semula projek tersebut kerana ia bertentangan dengan matlamat dan manifesto Pakatan Rakyat yang dibentangkan sebelum Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu; dan gagal memberikan penjelasan sepenuhnya kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat mengenai isu pelupusan hutang beliau dengan Bank Islam bernilai hampir RM70 juta.

Tuduhan-tuduhan ini dikemukakan sebagai bukti TSKI tidak layak untuk menjadi menteri besar dan perlu digantikan segera.

Sudah banyak analisis yang dibuat oleh media, media sosial, tokoh politik dan pemerhati politik dari perspektif masing-masing. Tulisan ini memberi fokus kepada strategi TSKI untuk berhadapan dengan cabaran politik yang dihadapi dari sudut personaliti, cara fikir dan gaya tindakan bagi menyelamatkan kerjaya politik dan jawatan yang disandang.

Saya melihat TSKI memiliki daya fikir yang lebih baik daripada sebahagian ahli politik sedia ada. Pengalamannya dalam misi 'serangan sebelum subuh' untuk menguasai Guthrie Corporation PLC daripada Bursa Saham London pada 8 September, 1981 mengajar beliau bagaimana melakukan perancangan yang teliti dan strategi yang betul akan berjaya juga akhirnya. Kejayaan ini memberi keyakinan kepada beliau bagaimana merancang, menguasai dan memusnahkan impian musuh politik.

Selepas dipecat, beliau mengambil tindakan satu demi satu yang mendahului musuh politik. Pertama, menghadap Sultan Selangor untuk memaklumkan perkembangan politik dirinya dan kekuatan sokongan yang dimiliki. Langkah awal ini berjaya dan TSKI masih kekal berkuasa. 

Langkah kedua, sebagai tindak balas dipecat, beliau dengan berani dan yakin memecat exco dari PKR dan DAP kerana berkomplot untuk mengehadkan kuasa menteri besar. Bahasa mudahnya ialah mereka tidak mahu memberi kerjasama, jadi wajarlah disingkirkan. Tindakan ini juga berjaya. Walaupun  exco yang terlibat enggan menerima pemecatan berkenaan, TSKI menunjukkan perkenan Sultan Selangor melalui surat yang diterima dari istana. Surat berkenaan menutup mulut pengkritik yang enggan menerima kenyataan.

Langkah ketiga, mengadakan mesyuarat exco bersama exco dari PAS. Pada masa yang sama menghalang semua exco yang dipecat daripada menghadiri mesyuarat berkenaan. Kejayaan mesyuarat exco menunjukkan beliau lebih kuat dan ada sokongan.

Langkah keempat, menyaman pihak yang berterusan menjejaskan maruahnya. Hebahan saman ini pantas dilaporkan oleh media. Fungsi saman berkenaan ialah membuatkan pihak terlibat sibuk dengan kes saman dan tidak memberi tumpuan kepada perkembangan politik. 

Langkah kelima ialah menonjolkan individu atau pemimpin yang berpengaruh dalam PKR yang mengisytiharkan mereka tidak lagi menjadi ahli PKR. Beliau mungkin boleh meminta cawangan parti yang menyokongnya untuk membubarkan cawangan berkenaan sebagai tanda protes. Bagaimanapun proses yang melibatkan individu lebih mudah berbanding berkumpulan.

Langkah keenam, merancang dengan beradab untuk mewujudkan lompong kuasa yang dapat menyokong dirinya sebagai menteri besar. Prosesnya rumit tetapi beliau harus melakukannya.

Dalam tempoh krisis politik bermula, riak wajah TSKI kurang menunjukkan kesedihan atau kemurungan sebaliknya beliau mempamerkan senyuman dan tanda "bagus" di samping memberi mesej yang jelas kepada rakyat Selangor. Justeru tindakan memecat lima exco dari PKR dan DAP dilakukan dengan bersungguh-sungguh supaya semua elemen dan pengaruh kedua-dua parti dalam pentadbirannya dapat dihapuskan serta-merta.

TSKI dijangkakan tidak memberi muka kepada Ketua Umum PKR untuk mendapatkan kembali kuasa Pakatan Rakyat. Kenyataannya berkaitan Pakatan Rakyat yang tidak berdaftar merupakan mesej demi mesej yang bakal menghilangkan persepsi positif pengundi terhadap gabungan tiga parti itu. 

Di sebalik semua perkembangan ini, bagaimana TSKI dapat melakukan langkah demi langkah dalam bentuk yang tersusun dan menang? Saya berpendapat beliau mempunyai sebuah 'pasukan atur cepat' yang telah dibentuk sebaik sahaja merasai dirinya akan dipecat. Ahli-ahlinya tentulah terdiri daripada orang yang setia dan yakin dengan kepimpinannya. Sepanjang enam tahun menjadi pemimpin sudah tentu beliau mempunyai ramai pengikut yang setia dan sanggup berjuang. 

TSKI tidak mengambil pendekatan 'roadshow' mengajak pengikutnya turun ke jalan raya, sebaliknya menggunakan setiap ruang dan peluang yang dimiliki untuk lawan. Antaranya menziarahi Datuk Nik Aziz dan cuba akrab dengan kepimpinan dan ahli PAS. Beliau juga menjemput ahli-ahli PAS dalam majlis doa selamat di rumahnya. Pengalaman sebagai ahli korporat dilihat mengukuhkan keyakinan beliau untuk berjaya dalam pertelingkahan ini.

Sikap mengambil mudah terhadap TSKI mungkin menyebabkan PKR memecat beliau. Namun sejarah panjang sebagai ahli korporat dan pemimpin politik membuktikan TSKI seorang yang berani berhadapan dengan konflik, bersedia dengan cabaran dan gemar mencetuskan kegemparan yang memeningkan musuh politik.

Konflik yang dikatakan bermula dengan 'Langkah Kajang' oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya tidak kesampaian. Ketika dalam UMNO, Tun Dr Mahathir dikatakan menurunkan banyak ilmu politik kepada beliau namun ada satu ilmu yang tidak diturunkan menyebabkan Amwar Ibrahim selalu gagal dalam tindakannya. Anwar hanya bijak merancang dan bertindak tetapi tidak pasti bagaimana hendak membuat kesimpulan. Oleh kerana tidak tahu menyimpul, beliau akan terus kecewa.

Biar apa pun hasilnya, rakyat Selangor sendiri yang harus menentukan nasib dan masa hadapan mereka. Doa kita ialah Selangor akan terus maju, aman dan makmur.


Wednesday, August 13, 2014

Elak salah eja di akhbar







Kesalahan ejaan bahasa Melayu di akhbar-akhbar utama negara bukanlah selalu. Namun kadang-kadang kedapatan juga kesilapan kecil tetapi memberi maksud yang jauh beza. Contohnya Arab Saudi dieja Arab Saufi.

Di mana kedudukan Arab Saufi ini?

Pembaca yang mengetahui terdapat kesilapan akan syak maksud tersebut ialah Arab Saudi. Namun bagi pelajar, mereka tentulah tidak faham dan inginkan kepastian. Akhbar boleh mengelak daripada terus melakukan kesilapan dengan berusaha sedikit menyemak kembali perkataan yang ditaip supaya semuanya betul.

Kesilapan kecil begini memberi gambaran bahawa editor akhbar tidak memantau ejaan biar pun betul tatabahasanya. Editor harus mengambil tanggungjawab membetulkan segera kesilapan berkenaan supaya pembaca meyakini bahawa kesilapan berkenaan tidak disengajakan.

 

Tuesday, August 12, 2014

Ajak lebih baik daripada suruh







Mengajak orang lain membuat kebaikan bukanlah semudah berkata, “Buat ini, saya hendak tengok esok”. 

Sebaliknya kena ada pendekatan lain yang dapat mendorong orang lain membuat kebaikan atau menyertai misi kita. 

Pendekatan atau teknik yang saya maksudkan ialah mesej tentang visi, impian, harapan dan apa sahaja yang dimasukkan ke dalam fikiran. Sudah tentu tindakan ini mengambil masa yang lebih lama dan usaha berterusan. 

Prinsipnya ialah tidak boleh menyuruh sebaliknya mengajak. 

Dengan mengajak, ia tentu membiak dari seorang kepada dua, empat, lapan sehingga seratus. 

Kesimpulannya, ajak dan pelawa ke arah kebaikan lebih berkesan berbanding menyuruh atau memerintah.


Monday, August 11, 2014

Social change






Penulis: Steven Vago
Tahun: 2004 (Fifth edition)
Penerbit: Pearson Education, Inc., New Jersey, USA.
Muka Surat: 453

Edisi kelima buku ini merupakan maklum balas terhadap permintaan yang meluas bagi analisis sosiologikal sebagai sebahagian daripada isu yang amat diberikan perhatian iaitu perubahan sosial. Edisi ini juga menunjukkan pertambahan komponen multibudaya dan keantarabangsaan. Pada masa yang sama, kandungan buku ini mengandungi ujian kelas, pedagogikal dan kerangka organisasi yang mengekalkan penulis sedia, lebih komprehensif, bermaklumat dan mesra pembaca.

Terdapat banyak ulasan dan usul yang diberikan oleh pelajar dan sarjana yang telah menggunakan buku ini sebagai bahan pembelajaran dan pengajaran serta penyelidikan. Hampir setiap muka surat telah disemak untuk kemas kini maklumat, analisis lebih lanjut dan mengurangkan jurang pengetahuan akademik.

Ada penambahan seksyen baru, input lama telah dibuang dan terdapat senarai bacaan cadangan di setiap bab. Konsep dan idea utama telah dikembangkan sebagai tindak balas terhadap teori dan analisis empirikal.

Justeru pembaca akan merasai pengalaman baru ketika membaca buku ini.

Terdapat sepuuh bab yang berkaitan dengan perubahan seperti teori perubahan, corak perubahan, jangka masa perubahan, reaksi terhadap perubahan, impak perubahan, strategi perubahan dan penilaian perubahan.

Bagi mereka yang berminat hendak mengetahui lebih lanjut perubahan sosial dalam masyarakat, buku ini menjadi buah tangan yang sangat penting.




Sunday, August 10, 2014

Temubual peniaga makanan








Soalan (S): Boleh terangkan sedikit mengenai latar belakang saudara khususnya pendidikan, perniagaan yang dilakukan dan keadaan kesihatan ketika ini.
 
Encik Omar (EO): Saya belajar sehingga peringkat diploma ukur tanah, Universiti Teknologi Malaysia tahun 1972 hingga 1975. Selepas itu saya bekerja dengan Felda selama 20 tahun. Penswastaan Felda menyebabkan saya dipencenkan, jadi saya pencenlah. Felda tubuhkan anak syarikat untuk cari duit sendiri. Saya tak nak. Dapat saja duit pencen, saya berhenti. Lepas tu saya bekerja dengan consultant buat highway, jadi ketua juruukur. Lebih kurang setahun saya kerja dengan consultant ni.
 
Selepas tu saya bekerja dengan developer selama 13 tahun. Saya beralih arah dari juruukur kepada landlaw. Semua urusan tanah saya handle. Apa saja berkaitan tanah, saya handle lah. Sehingga tak ada projek lagi, mereka bagi VSS. Saya ingat nak balik kampung, tapi adik Tan Sri Azman minta saya jaga property selama tujuh tahun. Bila bisnes property pun dah tak ada income, syarikat pun tak boleh bayar gaji saya lagi, saya berhentilah. Saya hanya makan duit pencen.

Mula-mula nak joint bisnes pasar malam, tiba-tiba terjumpa pasar tani Fama dekat sini, buat hari-hari. Tak perlu pindah. Dekat dua tahun dah saya kat sini.
 
Sebenarnya sepanjang hidup saya tak pernah berniaga, inilah kali pertama berniaga.
 
Saya mula berniaga pada September 2012. UTC baru buka beberapa bulan saja. Berniaga ni kalau dapat kena jaga kualiti, pelanggan. Kalau pelanggan ada, kualiti tak ada, pun habis. Masa mula-mula berniaga, sampaikan kalau pelanggan makan, sisa makanan saya perhatikan. Habis ke tak habis. Kalau tak habis, apa sebab agaknya. Dia kenyang atau masakan kita yang tak sedap. Kita kena kaji itu semua. Harga pun kena tengok juga. Apabila orang dapat terima masakan kita, orang pun Insya Allah, sekali makan dan rasa sedap, dia akan datang lagi.
 
Saya tinggal di Bukit Katil, di rumah sewa. Kesihatan saya turun naik. Sebenarnya semasa saya bekerja dengan property company, saya dah ada penyakit jantung. Umur 50 thun dah kena sakit jantung. Saya buat angioblasting tahun 2004. Sepuluh tahun jangka masa. Tahun 2014 kena serang sekali lagi dan masih follow-up dengan IJN. Bypass pada bulan sepuluh lalu. Umur saya sekarang dah 60 tahun.

S: Adakah saudara libatkan diri dalam persatuan atau organisasi berkaitan usahawan atau masyarakat sama ada di kawasan tempat tinggal atau di peringkat negeri?
 
EO: Setakat ini saya tidak libatkan diri dengan mana-mana persatuan usahawan. Fama pun taka da. Cuma melalui pengalaman dan internet. Saya masukkan maklumat perniagaan saya dan iklankan melalui internet.
 
Kalau nak masuk persatuan, saya ingat persatuan peniaga-peniaga nilah. Peniaga-peniaga Fama mungkin ada persatuan tapi tak boleh sangatlah bergantung pada dia.

S: Pada pandangan saudara, sejauh mana aktiviti dalam masyarakat dapat membantu saudara lebih aktif untuk mengubah keadaan hidup.
 
EO: Setakat ni tidak ada kerana masa sudah terlalu banyak pada perniagaan. Waktu berniaga ni lama 10 pagi hingga 10 malam tapi saya kena bersedia lebih awal untuk ke pasar beli barang. Balik malam pun begitu juga. Saya cuba balik dalam pukul 8.30 malam atau 9 malam dan terus ke supermarket. Taka da masa untuk aktiviti dalam masyarakat.

S: Adakah saudara merasai perubahan keadaan hidup selepas menyertai persatuan masyarakat seperti menghadiri kursus-kursus berkaitan keusahawanan atau peningkatan kemahiran?
 
EO: Setakat ni tak ada. Saya banyak joint aktiviti yang dianjurkan Fama seperti kursus kesihatan dan penyediaan makanan.
 
Ha…ha…ha…saya suka kursus penyediaan makanan, itu penting. Lepas tu saya ingat tak nampak kursus lain yang lebih penting.

S: Adakah saudara mempunyai pekerja untuk membantu perniagaan sekarang? Jika ada bagaimana ia membantu pekerja saudara untuk mengubah hidup? Di samping itu apakah cabaran-cabaran yang dihadapi?
 
EO: Saya memang perlukan pekerja sebenarnya tapi nak dapatkan pekerja sangat susah. Saya pernah ada dua orang pekerja sementara. Untuk cari pekerja saya pernah buat iklan dan pamerkan di bus stop. Cari pekerja memang payah dapat sebab syarat penting ialah warganegara Malaysia. Syarat Fama memang ketat iaitu kalau bekerja mesti ambil warganegara Malaysia. Mungkin ada baiknya tetapi kepada peniaga lebih susah. Orang-orang sekarang lelaki dan perempuan lebih suka kerja kilang atau kedai. Nak kerja pembantu gerai ni payah. Mungkin boleh dapat, saya masih lagi berusaha untuk mencari pekerja.
 
Dulu saya ada la pekerja suri rumah tangga buat semetara waktu. Masalahnya masa perniagaan yang panjang. Kalau pedapatan tak seberapa kita pun tak berani nak tawarkan kerja sangat. Habis masa sehari suntuk dekat sini, pendapatan tak seberapa, itu pun payah.
 
Kalau ada pekerja memang dapat majukan perniagaan saya. Paling-paling tidak urusan menyediakan makanan ni cepat. Sekarang saya dengan isteri saja.
 
Cabaran yang dihadapi setakat  ini adalah syarat yang terlalu banyak. Ini pun susah juga. Contohnya kalau diberi permit jual asam pedas, tak boleh buat air, tak boleh tambah menu makanan lain. Apa saja yang nak buat kena minta kebenaran. Kalau tak ada kebenaran maknanya tahun depan dah tak boleh renew permit. Syaratnya terlalu ketat mungkin menyenangkan Fama tetapi bagi peniaga agak susah.
 
Cabaran-cabaran lain saya ingat tak  ada sangatlah.

S: Adakah saudara mendapat pembiayaan perniagaan untuk menjalankan bisnes ini?
 
EO: Setakat ini, orang lain dapat pinjaman Tekun, Amanah Ikhtiar Malaysia, Bank Rakyat dan sebagainya, tapi disebabkan umur saya dah 60 tahun, semuanya tak dapat (ketawa). Usaha dapatkan pinjaman ada tapi dah diberitahu tak layak, jadi tak dapatlah.
 
Kebetulan dulu saya masih ada duit simpanan, boleh la buat modal bisnes.
 
Masa depan saya nak dapatkan van bergerak untuk menjual makanan kerana saya tengok tempat ni tak kekal.

S: Adakah saudara menerima galakan dari mana-mana pihak untuk menyimpan wang atau membeli aset?
 
EO: Setakat ni semangat nak berjaya datang dari diri sendiri. Semasa mula-mula buat bisnes ni, saya terus buka akaun syarikat, dapatkan lesen dari agensi berkaitan untuk persediaan saya.
 
Memang hasrat saya nak kembangkan bisnes ni tapi masalahnya umur saya. Saya hanya harapkan pada orang rumah saya. Tenaga untuk bekerja kuat tak banyak lagi.

S: Pada pandangan saudara, hidup telah berubah kerana melibatkan diri dalam perniagaan.

EO: Bekerja sendiri tak semudah kerja makan gaji. Masa selalunya tak cukup untuk masyarakat dan rakan-rakan. Dalam bisnes ni, saya gunakan pengalaman kerja dulu-dulu untuk pastikan saya boleh berjaya.


Saturday, August 09, 2014

Ajak kepada kebaikan








Mengajak orang lain membuat kebaikan bukanlah semudah berkata, “Buat ini, saya hendak tengok esok”. 

Sebaliknya kena ada pendekatan lain yang dapat mendorong orang lain membuat kebaikan atau menyertai misi kita. Pendekatan atau teknik yang saya maksudkan ialah mesej tentang visi, impian, harapan dan apa sahaja yang dimasukkan ke dalam fikiran. 

Sudah tentu tindakan ini mengambil masa yang lebih lama dan usaha berterusan. 

Prinsipnya ialah tidak boleh menyuruh sebaliknya mengajak. Dengan mengajak, ia tentu membiak dari seorang kepada dua, empat, lapan sehingga seratus. 

Kesimpulannya, ajak dan pelawa ke arah kebaikan lebih berkesan berbanding menyuruh atau memerintah.



Ubah falsafah bekerja







Bekerja dan mendapat gaji, bonus hujung tahun dan anugerah khidmat cemerlang adalah keinginan setiap orang yang bekerja. 

Namun bekerja semata-mata ganjaran duit akan menghilangkan sifat-sifat prihatin terhadap kesihatan diri. 

Berapa ramai orang yang bergaji besar tetapi berulang-alik ke hospital setiap masa, mengambil ubat tiga atau empat kali sehari dan hampir tidak boleh melakukan senaman? 

Falsafah bekerja harus bertukar. Bekerja untuk mendapatkan gaji, kesihatan tubuh badan, cukup tidur, dapat bersenam dan beramal ibadat. 

Inilah yang dinamakan hidup berkualiti.

Friday, August 08, 2014

Membina persepsi terhadap Peguam Negara







Prestasi Peguam Negara Malaysia sedang dinilai oleh masyarakat Islam ketika ini kerana dikatakan melakukan pendakwaan terpilih berkaitan isu sensitif  iaitu agama dan kaum.

Media melaporkan terdapat beberapa laporan polis yang dibuat terhadap penghinaan ke atas agama Islam dan masyarakat Melayu yang belum diambil tindakan oleh pejabat Peguam Negara. Tajuk depan sebuah akhbar menyeru beliau "jangan tidur" dalam menyelesaikan kes-kes ini.

Pejabatnya begitu cepat bertindak apabila didapati terdapat penghinaan yang dilakukan oleh masyarakat Islam terhadap bukan Islam. Contohnya ialah penghinaan yang dilemparkan melalui kata-kata oleh seorang wakil rakyat etnik India di Perak tidak diambil tindakan sebaliknya sekelompok orang Melayu yang menyerbu Dewan Undangan Negeri untuk mencari wakil rakyat berkenaan yang dikenakan dakwaan dan tuduhan.

Dakwaan terpilih ini menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam keseluruhannya.

Bibit-bibit kecil yang muncul sedikit demi sedikit di hati dan fikiran masyarakat Islam akibat lambat bertindak boleh mencetuskan suasana huru-hara dan menyebabkan hubungan kaum terjejas.

Begitu juga kes seorang wanita Melayu yang dikenakan denda RM5000 dan melakukan kerja sosial kerana tindakannya mengancam pengguna jalan raya yang lain semasa kemalangan jalan raya. Dengan pantas pihak polis bertindak dan wanita berkenaan menerima hukuman. Penceramah bebas dan ahli Pas juga menerima nasib yang sama apabila ucapan ceramahnya menyentuh sensitiviti agama hindu.

Namun belum ada apa-apa perkembangan ke atas beberapa kes yang melibatkan penghinaan ke atas Islam dan masyarakat Melayu. Kes seorang lelaki Cina menyepak suspek pencuri Melayu, Kelvin Yap menghina takbir dan pendakwaan ke atas wanita Cina yang mempertikai ucapan Yang di-Pertuan Agong masih belum ada. 

Konflik etnik selepas 1969 tidak banyak berlaku kerana kerajaan telah mengambil banyak langkah untuk merungkai akar umbi masalah tersebut. Antaranya ialah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru yang menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan. Hanya pada awal tahun 2001 terdapat kes pergaduhan etnik di Kampung Medan antara etnik Melayu dan India.

Selepas itu tidak ada lagi kes yang melibatkan pergaduhan etnik kerana agensi kerajaan, pemimpin politik dan masyarakat semakin matang untuk berhadapan dengan situasi demikian jika berlaku.

Walau bagaimanapun senario hubungan etnik sudah berubah apabila media sosial mula digunakan oleh masyarakat. Kadar penembusan internet yang semakin tinggi menjadikan sedikit maklumat yang "aneh" disebarkan dalam tempoh yang singkat.

Pejabat Peguam Negara wajar mempunyai penasihat yang memiliki latar belakang dan kefahaman tentang hubungan etnik di Malaysia khususnya berkaitan isu agama Islam, Melayu dan hak-hak terhadap bukan Islam dan bukan Melayu. Penasihat-penasihat ini juga sebaiknya terdiri daripada pelbagai kaum supaya semua aspek agama dan budaya  tidak dicemari ketika pendakwaan dilakukan.

Apa yang dilihat sedang berlaku ialah pendakwaan ke atas bukan Islam dilakukan dengan pantas namun akhirnya suspek dibebaskan kerana kesalahan atau kesilapan teknikal. Apakah kesilapan tersebut disengajakan atau persiapan yang dibuat oleh pejabat Peguam Negara kurang teliti?

Dua persoalan ini sering menjadi perbincangan dalam kalangan "circle" yang prihatin dengan tindak-tanduk pejabat berkenaan terhadap kepentingan Islam di Malaysia. Hal ini kerana dengan pembebasan tertuduh yang didakwa itu menyebabkan imej dan moral masyarakat Islam pasti terjejas. Bukan Islam tidak berasa gentar dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan kerana persepsi mereka ialah mahkamah sendiri yang memihak kepada mereka.

Media melaporkan Peguam Negara Malaysia akan dibincangkan dalam Majlis Tertinggi UMNO selepas terdapat banyak laporan polis berkaitan kes penghinaan agama dan kaum ini tidak diselesaikan. Nasib beliau sedang ditentukan namun kita juga harus melihat jasa beliau dalam mengekalkan keselamatan negara. Kes-kes besar seperti liwat, Hindraf, C4 dan Lahad Datu dapat diurus dengan lancar, malangnya isu sensitif agama dan penghinaan ke atas ketua negara Malaysia belum disempurnakan.

Kegagalan memberi maklum balas dan tindakan sambil lewa menyebabkan wujud perspesi negatif terhadap prestasi Peguam Negara. Pada masa sama terdapat desakan supaya beliau digantikan.