Tuesday, January 28, 2014

Laksa Perlis

 
 
 


Laksa menjadi makanan popular bagi negeri-negeri di utara Malaysia seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Justeru ada gelaran yang diberi kepada pelbagai jenis laksa ini seperti Laksa Penang, Laksa Kuala Ketil dan Laksa Perlis. Nama-nama ini diberi bagi menggambarkan keunikan laksa tersebut kerana ramuan untuk menghasilkan laksa yang sedap bergantung kepada jenis tepung dan kuah.

Laksa yang sedap dibuat daripada tepung beras. Rasanya yang enak dicampur dengan kuah ikan. Ikan ini pula bermacam-macam jenis seperti tamban dan termenung. Sesetengah kuah laksa dibuat daripada belut yang rasanya berbeza sama sekali.

Warna dan kepekatan kuah laksa turut mempengaruhi keenakannya. Kuah laksa berwarna perang kemerahan lebih baik daripada kuah laksa berwarna kelabu. Mungkin lebih baik kerana persepsi orang ramai yang sentiasa terdedah dengan kuah berwarna perang kemerahan ini. Kuah yang tidak pekat dan tidak cair memudahkannya digaul dengan laksa dan tidak terpercik ke baju ketika dimasukkan ke dalam mulut.

Di Jejawi, Perlis, terdapat sebuah perusahaan makanan laksa yang terkenal. Kedai ini menjual laksa berdasarkan kilo dengan sekilo berharga RM9. Ulamnya digaul sekali dan memiliki aroma kuah yang lazat.

Sepinggan laksa di Perlis berharga antara RM2.50 hingga RM3.50. Ada pula laksa spesel yang lebih banyak dan dimasukkan sebiji telur.

Makan laksa lebih baik daripada makan nasi campur kerana laksa tidak mengandungi kolestrol yang tinggi, berasaskan makanan segar dan tidak ada minyak. Kandungan proteinnya terdapat dalam kuah dan telur manakala ulam-ulaman dapat dimakan mentah.

Di Perlis, laksa terdapat hampir di keseluruhan gerai makan sama di tepi jalan atau restoran. Ia menjadi makanan “mesti” yang popular, banyak permintaan dan mudah disediakan. Bagi pengunjung luar, mereka boleh merasa Laksa Perlis di medan selera Kuala Perlis.


 

Monday, January 27, 2014

MB Perlis perlu mesra rakyat

 
 
 


Perlis merupakan sebuah negeri kecil di utara Semenanjung Malaysia. Sejak pilihan raya lalu, Perlis mendapat Menteri Besar baharu yang jarang dikenali dalam kalangan penduduk negeri itu. Namanya menjadi calon selepas beberapa siri perbincangan dan tapisan dilakukan.

Kemunculan Azlan Man sebagai menteri besar sangat mengejutkan kerana ramai yang tidak mengetahui dengan jelas pengalaman politik dan sikapnya terhadap orang masyarakat yang rata-ratanya tinggal di kampung dan kawasan luar bandar. Tahap ekonomi masyarakat Perlis adalah sederhana berbanding negeri-negeri lain.

Selepas hampir tujuh bulan menjadi menteri besar, mula kedengaran masyarakat negeri itu menilai prestasi pemimpin mereka. Banyak pendapat yang diberikan khususnya oleh masyarakat di Arau dan Pauh yang menjadi nadi kepada kemenangan beliau.

Rumusan yang dibuat ialah Azlan Man hanya boleh jadi MB untuk sepenggal.

Berjumpa dengan masyarakat luar bandar dan bandar mendapati pandangan mereka terhadap MB hampir sama iaitu tidak pernah atau jarang sekali Azlan menjenguk atau melawat mereka.

Untuk memahami kenapa sikap beliau begitu kita perlu melihat latar belakang dan kerjaya beliau. Azlan telah meninggalkan kampung halaman sejak muda untuk belajar dan bekerja di luar Perlis, jadi tidak hairanlah ramai penduduk negeri itu kurang mengenali beliau apatah lagi tidak banyak promosi dan berita mengenai beliau dalam surat khabar atau media massa. Pada masa yang sama beliau tidak mengambil inisiatif menonjolkan diri melalui program kemasyarakatan. Kemenangan sebagai ketua parti yang lalu turut dibantu oleh orang politik juga.

Melihat sebagai kakitangan awam dalam bidang pentadbiran, beliau sangat dangkal dalam kemahiran komunikasi khususnya berkaitan hal ehwal politik setempat. Bekerja mengikut jam dan tidak melayan kehendak rakyat selepas waktu kerja bukanlah ciri pemimpin politik yang prihatin sebaliknya menerima maklum balas negatif daripada rakyat Perlis.

Begitu juga apabila orang ramai ada urusan ketika masa cuti. Hari cuti beliau pun turut bercuti sedangkan masalah dan keperluan rakyat tidak dapat dielakkan sepanjang masa termasuk hari cuti. Jika berurusan dengan pemimpin begini, rakyat perlu berjumpa dengan wakil rakyat kawasan atau menemui pegawai di agensi terlibat.

Rakyat Perlis juga tidak mengenali beliau disebabkan sikap beliau sendiri yang malas untuk turun padang dan mengambil tahu keadaan rakyat. Begitu juga jika ada kenduri atau kematian, beliau masih agak keberatan datang berkunjung atau ziarah.

Pendekatan beliau yang duduk di pejabat meninggalkan tohmahan dalam kalangan rakyat. Hal ini berbeza dengan dua menteri besar sebelum ini yang rajin menjenguk masyarakat, hadir ke majlis kenduri dan ziarah kematian.

Azlan Man perlu bertanya kepada dirinya sendiri apakah pendekatan yang mahu dilakukannya untuk mengenali rakyat Perlis. Pemimpin politik tidak perlu bekerja mengikut jam atau bercuti pada hari-hari tertentu seperti kakitangan awam kerana tanggungjawab beliau adalah mengambil tahu apa yang berlaku kepada rakyatnya sendiri setiap masa.

Beliau perlu keluar dari pejabat berhawa dingin, berjumpa dengan masyarakat dan meninggal tabiat lama sebagai kakitangan awam kerana pemimpin politik tidak perlu semua ciri ini. Pemimpin politik mesti berjiwa rakyat, ada karisma dan mahu memimpin. Jika beliau masih bersikap begitu, wawasan Perlis Maju 2015 hanya tinggal angan-angan dan orang ramai akan menyalahkan beliau.

MB Perlis perlu bangkit dan tunjukkan kematangan sebagai pemimpin sebuah negeri kerana banyak cabaran yang berada di hadapannya.

Sunday, January 26, 2014

Hayati falsafah pendidikan

 
 
 


Bidang pendidikan merupakan nadi kepada pembangunan negara. Ia menjadi nadi kerana dapat mengubah pemikiran, budaya dan cara hidup masyarakat dalam tempoh yang singkat. Justeru, pendidikan menjadi kayu ukur kepada pembangunan sesebuah negara.

Negara-negara maju sentiasa menjadikan pendidikan sebagai agenda penting dalam memajukan negara. Mereka memperuntukkan belanjawan negara yang tinggi dalam bajet tahunan supaya pembangunan dan kemajuan negara ditingkatkan. Oleh itu, peranan guru dan penjawat awam yang terlibat dalam pendidikan sentiasa diberi perhatian seperti imbuhan kenaikan gaji, kemudahan elaun dan galakan membangunkan potensi diri. Malah ada negara yang menawarkan gaji yang lumayan kepada guru yang berpendidikan sarjana atau doktor falsafah.

Malaysia juga sedang melangkah era yang sama apabila kerajaan memperkenal blueprint pendidikan negara 2013-2025 untuk melahirkan masyarakat pendidik dan generasi yang bertaraf global.

Dalam pada itu, tindakan seorang guru sebuah sekolah di Sungkai, Perak amat memalukan dan mendukacitakan sistem pendidikan negara. Dilaporkan seorang guru Cina di sekolah jenis kebangsaan Cina telah menghukum dua orang pelajar Melayu dengan menyuruh pelajar tersebut memakan rumput seperti lembu. Dileher mereka dikalungkan loceng diumpamakan lembu. Guru tersebut juga mengugut akan memuat naik gambar berkenaan di facebook untuk tatapan pengikutnya.

Kisah ini amat malang berlaku di sekolah. Masih ada guru yang tidak tahu mendidik anak muridnya. Saya teringat kisah Profesor Sidek Baba menceritakan zaman persekolahannya yang sungguh susah.

Beliau ke sekolah menunggang basikal dan seringkali mendapat tempat terakhir dalam peperiksaan. Pernah seorang gurunya yang sudah tidak dapat menahan kemarahan akibat kebodohannya, suatu hari membaling bola ke arah Sidek Baba dan terkena belakangnya. Lalu, dalam ceramahnya itu beliau bertanya, “Beginikah caranya seorang guru mendidik anak muridnya?” Suatu pertanyaan yang berat bagi mereka yang memahami benar falsafah pendidikan.

Berbalik kepada guru yang menggantung loceng dan meminta pelajar makan rumput tadi, kita ingin bertanya, “Beginikah caranya beliau mendidik anak murid?” Ternyata guru berkenaan hanya mengikut emosi dan tidak tahu mendidik pelajar.

Tindakan harus diambil ke atas guru berkenaan sesuai dengan perbuatannya memandangkan isu ini sudah diketahui umum. Pihak polis harus segera mengambil langkah pencegahan kerana ia melibatkan perbuatan mengaibkan manakala Kementerian Pendidikan perlu membuat sesuatu untuk meredakan kemarahan orang ramai.

Walaupun yang terlibat adalah guru berbangsa Cina, undang-undang tidak perlu melihat kepada bangsa sebaliknya kepada impak tindakannya yang merosakkan nilai dan kepercayaan orang ramai kepada pendidikan negara.

 

Friday, January 24, 2014

Banyakkan doa supaya keluarga bahagia



Proses penceraian yang sedang dilalui oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menjadi berita utama di media. Hakikatnya beliau harus banyak berkorban untuk menjadi ahli politik dan isteri.

Takdir menentukan apa yang sedang dilaluinya dan kehidupan sebagai ibu tunggal tidaklah mengurangkan cabaran kehidupan.

Penceraian pasangan Islam semakin meningkat setiap tahun. Tanpa mengira latar belakang pasangan, penceraian boleh berlaku kepada sesiapa sahaja kerana pelbagai faktor seperti kewangan, orang ketiga, pengaruh keluarga mertua dan seksualiti. Dalam kes Nurul Izzah, faktor sebenar tidak diketahui.

Beliau tidak dapat mengelakkan diri daripada menjadi perhatian kerana kesan penceraian di usia muda bakal memberi impak kepada prestasi kerja dan keadaan keluarganya. Orang yang bersimpati turut mengharapkan kehidupannya lebih baik di samping berperanan sebagai ahli politik yang matang. Orang yang dengki dan iri hati akan terus memburukkan keadaannya supaya dia kecewa dan mengundurkan diri.

Dalam sejarah politik Malaysia, ada ahli parlimen yang berjawatan tinggi turut menghadapi masalah keluarga seperti bercerai, kahwin lain dan poligami. Namun ia tidak dijadikan isu besar kerana masyarakat memahami dan dapat membezakan hal peribadi dan privasi diri. Malah ada yang berkahwin, cerai dan kahwin lagi lebih berjaya dalam kerjaya politik mereka. Justeru, penceraian bukanlah penamat hitam kepada laluan politik yang masih panjang.

Apa yang Nurul Izzah patut bersedia ialah kasih sayang anak-anaknya tidak sama ketika bergelar suami isteri. Emosi anak-anak amat berbeza ketika dibesarkan oleh ibu bapa dan dibesarkan oleh ibu atau bapa. Biasanya anak-anak yang berumur tujuh tahun ke bawah ingin sentiasa bersama ibu dan bapa dari pagi hingga malam.

Anak-anak yang tidak dapat memenuhi keperluan emosi ini lebih mudah merajuk, suka menyendiri dan membesar sebagai individu yang tidak peduli dengan orang lain.

Perubahan boleh berlaku kerana komunikasi antara anak dan ibu atau bapa semakin kurang dan lama-kelamaan anak-anak menganggap kehidupan keluarga tidak penting. Proses mengabaikan ibu dan bapa bermula di sini. Mereka membesar sebagai individu yang tidak cukup kasih sayang dan cuba mengisi kasih sayang ini dengan akrab bersama datuk atau nenek serta rakan-rakan sebaya.

Faktor lain yang menentukan perkembangan emosi, intelek, fizikal dan spiritual anak-anak ialah kecukupan kewangan, didikan agama dan keupayaan bersekolah. Ramai anak pasangan yang bercerai tercicir dari arus perdana pendidikan kerana kurang tumpuan dari ibu atau bapa. Tanpa pendidikan pada hari ini, tidak ada apa yang membantu untuk menjadikan hidup lebih baik.

Dalam hidup ini, ketentuan jodoh, rezeki, hidup dan mati adalah milik Allah. Sewajarnya kita banyakkan doa mengharapkan agar perkahwinan yang dibina akan berada di bawah rahmat Allah dan keluarga akan sejahtera. Jadikan penceraian sebagai pilihan akhir ketika masih ada doa dan sokongan daripada keluarga, teman dan rakan supaya melalui keluarga inilah kita mendapat syurga dunia dan akhirat.

 

Thursday, January 23, 2014

Dadah punca masalah sosial

 
 


Pembunuhan kanak-kanak berumur dua tahun, Nursyafiqah Adawiyyah Abdullah menunjukkan masyarakat sedang menghadapi krisis yang sangat kritikal. Tidak ada orang yang waras akan membunuh kanak-kanak kecuali sedang menghadapi krisis diri.

Dalam laporan media, empat orang yang ditahan bagi membantu siasatan dipercayai terlibat dengan dadah tetapi tidak diketahui adakah pembunuhan itu berkaitan dengan dadah.

Sejak dadah menjadi masalah paling besar kepada kerajaan dan rakyat Malaysia, pembunuhan berkaitan dadah sudah banyak dilaporkan. Disebabkan dadah, ada orang kena bunuh, terbunuh, membunuh dan membunuh diri. Kelompok ini merangkumi semua lapiran kanak-kanak dari bayi hingga orang tua.

Dalam kes orang tua, mereka yang lemah ini diikat, dirompak, dipukul dan dibunuh menyebabkan mereka menjadi sasaran paling mudah.

Punca krisis ini ialah dadah. Walaupun undang-undang berkaitan dadah sangat ketat di Malaysia, bilangan penagih dan pengedar masih lagi belum berkurangan. Mungkin bahana dadah ini menyebabkan sudah ada keluarga yang mempunyai penagih dadah empat generasi. Bermula dengan datuk, turun kepada bapa, seterusnya anak dan berakhir dengan cucu. Urutan ini membentuk kitaran ganas yang bersambung-sambung sehinggalah berlaku intervensi dalam kitaran tersebut.

Intervensi adalah proses menghalang kitaran dari terus berputar. Ia boleh dilakukan di mana-mana peringkat yang menunjukkan peluang kemusnahan paling besar. Dalam kitaran ganas penagihan empat generasi ini, intervensi peringkat datuk dan bapa sangat sukar, justeru peringkat anak dan cucu adalah yang terbaik supaya keluarga berkenaan boleh melakukan transformasi hidup.

Antara elemen yang boleh menghancurkan kitaran ini ialah peluang pendidikan dan pekerjaan. Kedua-dua elemen ini perlukan pemantauan dan sokongan supaya anak dan cucu mendapat pendedahan meluas untuk memajukan diri dan keluarga mereka. Bagi intervensi datuk dan bapa, elemen pengasingan fizikal dan khidmat sokongan dapat menambahkan jurang ketagihan dadah dan mendekatkan mereka kepada keinginan untuk berubah.

Bagaimanapun keempat-empat elemen ini perlukan kajian dan huraian yang lebih mendalam dan panjang lebar.

Penagihan dadah sering dikaitkan dengan kelompok berpendidikan rendah dan berpendapatan kecil. Bagi mengatasi dua faktor ini, usaha-usaha harus digerakkan bagi memastikan golongan berpotensi ini mendapat akses pendidikan ke peringkat lebih tinggi sama ada kolej atau universiti.

Penagih dadah menyumbang kepada masalah sosial paling utama di Malaysia. Banyak lagi usaha yang perlu dilakukan oleh kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan masyarakat dan orang-orang kampung untuk memantau aktiviti golongan muda dan mereka yang sedang terjebak dengan dadah.

Kita berdoa pembunuhan kanak-kanak Nursyafiqah adalah yang terakhir di negara ini.


 

Wednesday, January 22, 2014

Hubungan dua hala lebih penting

 
 


Larangan masuk ke Jepun oleh imigresen negara itu ke atas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) amat memeranjatkan masyarakat Malaysia dan negara-negara lain. Imej beliau sebagai pemimpin tersohor sama ada ketika dalam kerajaan atau semasa menjadi pembangkang sangat tercalar akibat peristiwa berkenaan.

Berbagai-bagai andaian yang dibuat oleh ramai orang sama ada berbentuk fakta atau jenaka. Bagaimanapun bentuk jenaka lebih banyak seperti kesalahan mengisi borang bagi ruangan tujuan lawatan, tidak membawa kangkung dan kaitan dengan ultraman. Semuanya adalah sindiran yang cuba mensensasikan kejadian berkenaan.

Namun fakta yang sebenar ialah penerangan yang diberikan oleh Kedutaan Jepun di Malaysia yang menyabitkan kesalahan jenayah beliau pada tahun 1999 dan beliau perlu memohon visa untuk ke Jepun. Kegagalan Anwar Ibrahim membuat rayuan menyebabkan beliau diarahkan pulang dengan penerbangan terdekat.

Hari ini beliau inginkan penjelasan dari Kementerian Luar yang beliau anggap sebagai “tangan ghaib” menyebabkan tragedi ini.

Anwar bukan orang pertama yang dilarang masuk ke Jepun sebaliknya sudah ada yang dihalang sebelum ini sama ada pemimpin politik, artis atau orang biasa yang disabitkan jenayah. Beliau boleh menyaman kerajaan Jepun untuk mendapatkan haknya.

Larangan ini membuka episod baru yang mengheret sama kerajaan Malaysia jika tidak ditangani dengan hikmah. Demonstrasi oleh penyokong Anwar adalah permulaan kepada perbalahan yang lebih panjang yang mungkin dikaitkan dengan ekonomi dan perdagangan dua negara. Jika ada kecenderungan ke arah itu, tindakan awal sangat penting supaya ia tidak memudaratkan hubungan dua hala yang telah lama terjalin.

Sudah ada kebimbangan pelajar-pelajar di Jepun mengenai kes ini apabila ia mendapat lilputan meluas dalam akhbar negara itu. Mereka risau jika pengajian terganggu, kemudahan pembelajaran ditarik balik atau program-program teknikal digantung kerana protes dari Jepun.

Begitu juga dengan pelaburan syarikat-syarikat Jepun di Malaysia. Industri yang dikuasai pelabur Jepun menyumbang jutaan ringgit dalam pelbagai sektor melalui kutipan cukai. Komitmen Jepun terhadap pembangunan ekonomi Malaysia sentiasa meningkat kerana keyakinan mereka ke atas kestabilan dan kemajuan negara.

Apa-apa sahaja boleh menjejaskan pelaburan Jepun di negara ini kerana Anwar Ibrahim mepunyai jumlah pengikut yang ramai dan taksub kepadanya. Apa yang diucapkan akan diterima tanpa banyak soal dan sikap sebegini memberi kemudaratan kepada ramai orang awam. Demonstrasi jalanan yang diadakan saban tahun memberi reaksi negatif kepada usaha menarik pelaburan asing termasuk dari Jepun. Tidak ada pelabur yang mahu bisnes mereka gagal akibat rusuhan, justeru lebih baik memilih negara yang aman dan menggalakkan kemajuan.

Anwar dijangka akan membuat tindakan yang memeningkan perdana menteri dan kerajaan Malaysia kerana beliau telah menggerakkan usaha ke arah itu. Selepas ini akan ada siri demonstrasi di hadapan Kedutaan Jepun dan bantahan berkala. Penjelasan yang diberikan belum tentu memuaskan hati dan beliau tetapkan menyalahkan kerajaan Malaysia.

Dalam merungkai isu ini, larangan masuk ke mana-mana negara bergantung kepada undang-undang negara tersebut. Faktor jenayah, keganasan, persepsi negatif, ancaman ekonomi dan sebagainya menjadi kayu ukur kepada kebenaran masuk tanpa sekatan dan halangan. Jika ada larangan, biasanya rayuan atau budi bicara digunakan sebagai sebahagian dasar kemanusiaan dengan tempoh yang terhad dan tujuan yang khusus.

Monday, January 20, 2014

Life without limits






Penulis: Nick Vujicic
Tahun: 2012
Penerbit: Allen & Unwin, Sydney, Australia.
Muka Surat: 266

 Life Without Limits adalah sebuah kisah yang dilalui Nick, rakyat Australia yang lahir tanpa tangan dan kaki. Beliau sedang bergerak ke seluruh dunia untuk memberi inspirasi kepada semua orang khususnya yang melalui hidup sepertinya.

Buku ini dimuatkan 12 bab yang sangat berkesan untuk menimbulkan kesedaran dan kepercayaan bahawa kita boleh melakukan apa yang orang lain buat biarpun ada kekurangan fizikal kerana masih ada kekuatan fikiran dan nilai dalam diri.

Dalam ruangan pengenalan, beliau memperkenal diri sebagai seorang yang lahir tanpa tangan dan kaki. Nampaknya beliau berbangga dengan keadaan itu. Dia merantau ke seluruh negara bagi memberi semangat dan kekuatan untuk menghadapi kesusahan melalui keyakinan, harapan, kasih sayang dan rangsangan untuk mencapai impian hidup,

Dalam buku ini Nick berkongsi pengalamannya merentasi halangan dan cabaran hidup. Matlamatnya ialah merangsang setiap orang untuk mencabar keupayaan diri dan kuat bekerja supaya dapat mencapai cita-cita sepanjang kehidupan.

Di kulit belakang, diceritakan Nick telah pergi  ke sebuah negara di Afrika pada umur 20 tahun bagi memberi bantuan $20,000 wang simpanannya kepada masyarakat miskin dan membuat pungutan sebanyak $20,000 lagi sebagai sumbangan berterusan.

Nick menunjukkan kepada kita bagaimana dia belajar menerima apa yang tidak boleh dikawal sebaliknya belajar memberi tumpuan kepada apa yang boleh dilakukan.

Buku ini juga memuatkan pelan tindakan diri sebagai instrumen menentukan dengan tepat cita-cita dan laluan ke arah kejayaan.

 

Saturday, January 18, 2014

Toleransi dalam bermasyarakat

 


Amaran seorang ahli lembaga pengurusan sekolah SJKC supaya seorang guru mualaf membuka tudung ketika mengajar menjadi perhatian masyarakat Islam baru-baru ini. Kebanyakan akhbar menyiarkan isu ini tetapi media sosial lebih banyak menyalurkan perkembangan di sebalik isu ini seperti kain rentang, poster dan laporan ke pejabat pendidikan daerah.

Ahli lembaga turut mendapat sokongan guru besar sekolah berkenaan.

Kesedaran umat Islam di Johor khususnya di Kota Tinggi telah membantu meredakan isu ini apabila ada inisiatif menemukan pihak bertelagah sehingga proses maaf-memaafkan berlaku. Walaupun identiti Islam mualaf berkenaan tidak didedahkan, isu ini dapat diselesaikan dengan baik dan tidak berpanjangan.

Selepas lebih 50 tahun merdeka dan Malaysia berkembang sebagai masyarakat majmuk, kefahaman masyarakat terhadap Islam masih boleh ditingkatkan. Lebih banyak usaha dakwah dan tarbiyah perlu digandakan dengan penglibatan menyeluruh masyarakat Islam sendiri.

Jabatan agama Islam negeri, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat awam boleh berganding bahu melalui inisiatif pelbagai aktiviti yang bersifat kebajikan, pendidikan, gaya hidup dan kemajuan diri. Masih ramai orang bukan Islam yang belum dapat menerima amalan-amalan umat Islam yang bersifat terbuka seperti memakai tudung, solat lima waktu atau mengambil bahagian dalam penyembelihan binatang kurban.

Penjelasan demi penjelasan oleh pihak berkuasa agama dapat menghindarkan salah faham ini. Oleh kerana ada penerimaan masyarakat bukan Islam di Malaysia terhadap cara hidup, tradisi dan amalan Islam, mereka mudah menunjukkan toleransi berbanding negara yang umat Islam menjadi minoriti.

Kes yang melibatkan sepasang suami isteri ditahan kerana merotan anak lelaki yang tidak mahu menunaikan solat di Sweden adalah contoh jelas kefahaman cetek dalam agama dan budaya masyarakat lain. Kes tersebut mungkin menjejaskan persepsi dan imej negara tersebut dalam kalangan masyarakat Islam.

Dalam sistem pendidikan tinggi negara, Kementerian Pendidikan memperkenal subjek Hubungan Etnik yang menjadi keperluan bagi setiap pelajar untuk bergraduat. Subjek ini menjadi penting kerana mengenengahkan konsep dan pendekatan yang memastikan setiap pelajar memahami masyarakat majmuk di Malaysia. Negara lain mungkin tidak menawarkan subjek ini menyebabkan mereka tidak dapat membuat jangkaan terhadap budaya dan amalan agama.

Kunci kepada toleransi dalam masyarakat majmuk telah ditunjukkan oleh Malaysia melalui pelbagai pendekatan yang seharusnya diangkat ke arena antarabangsa.



Friday, January 17, 2014

Mimpi petunjuk masalah





Mendengar cerita tentang bagaimana mangsa pembunuhan muncul dalam mimpi dan memberitahu siapa yang membunuhnya, seakan-akan mustahil dan tidak masuk akal. Namun kuasa Allah swt tidak dapat dibayangkan apabila hamba-hambaNya memohon bantuan dan pertolongan.

Al-quran menyebut dengan jelas mereka yang dikatakan telah mati kerana mempertahan agama tauhid sebenarnya hidup dalam alam mereka dan diberi rezeki. Allah swt menyebut dalam surah Ali Imran ayat 169 iaitu:

Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.

Bagaimanapun jelmaan mangsa pembunuhan dalam kematian tiga orang adik-beradik di Alor Setar baru-baru ini adalah suatu yang istimewa.

Pihak polis harus dipuji kerana memberi perhatian kepada petunjuk baru seperti ini dalam siasatan mereka. Hal ini menunjukkan polis mengambil kira semua aspek bagi melengkapkan sisatan sama ada petunjuk itu logik atau tidak logik. Pujian juga diberikan kepada ayah mangsa yang yakin bahawa mimpinya akan meleraikan persoalan besar dalam fikiran iaitu mengetahui pembunuh anak-anaknya.

Kehadiran mangsa dalam mimpi ayah adalah jawapan Allah swt terhadap doa dan solat hajat yang dilakukan oleh keluarga mangsa. Ibu, bapa, datuk, jiran dan masyarakat sekitar berterusan melakukan solat hajat dan membaca surah Yaasin bagi mendapatkan bantuan Allah swt sesuai dengan kepercayaan teguh terhadap pertolongan Allah swt yang pasti tiba.

Dalam kes seperti ini, ada satu lagi kejadian istimewa selepas tsunami besar 2004 yang melanda Pulau Pinang. Seorang ibu yang kehilangan anak perempuannya yang dihanyutkan ombak laut tidak berhenti berdoa, membaca surah Yaasin dan solat hajat agar anaknya dipertemu walaupun hanya tinggal rangka. Baginya, biarlah anaknya itu dapat dikebumikan dengan sempurna. Selepas tiga bulan, alhamdulillah anaknya dijumpai dengan keadaan hilang separuh badan. Namun dia tetap bersyukur kerana dapat melihat jenazah anaknya dan dapat disempurnakan pengkebumian.

Banyak lagi kisah lain yang menunjukkan kehebatan doa, solat hajat dan bacaan Yaasin untuk mendapatkan pertolongan Allah swt. Mungkin polis juga boleh cadangkan kepada mana-mana mangsa jenayah untuk melakukan perkara yang sama sebagai ikhtiar selain daripada siasatan yang dilakukan pihak polis sendiri.

Berdasarkan laporan media, polis menangkap suspek yang dipanggil dengan gelar “Ehsan” di kawasan kampung berkenaan dan tinggal tidak jauh dari rumah mangsa. Latar belakang suspek menunjukkan dirinya seorang yang bermasalah kerana terlibat dengan jenayah walaupun masih berumur 19 tahun. Kes jenayah tidak mengira usia pada hari ini sama ada di kampung atau di bandar.

Kita juga tertanya-tanya bagaimana keluarga suspek tidak mengesyaki perubahan sikap suspek dan bagaimana pula pandangan masyarakat kampung terhadap keluarganya?

Suspek ini merupakan seorang pembunuh yang sangat buas dan tidak ada perikemanusiaan kerana sanggup membunuh tiga mangsa sekali gus tanpa ada rasa bersalah atau menyesal. Kita membiarkan keadilan yang menghukum suspek supaya masyarakat dapat hidup aman dan selamat.

 

Thursday, January 16, 2014

Kangkung satukan rakyat Malaysia






Isu kenaikan harga barang keperluan harian masyarakat Malaysia semakin memuncak apabila dikaitkan dengan sayur kangkung iaitu sejenis sayuran yang mudah didapati di negara ini. Kangkung boleh digoreng dengan ikan masin yang dikenali sebagai kangkung ikan masin, boleh juga dimasak dengan air kosong, dilicik-licik menjadi sebahagian daripada ramuan dalam nasi goreng dan dibuat ulam sama ada mentah atau direbus.

Pendek kata, kangkung boleh diregukan dengan banyak jenis makanan supaya lebih sedap.

Terdapat pelbagai jenis kangkung yang bergantung pada jenis, kualiti penjagaan dan siapa yang menanamnya. Harganya ditentukan oleh faktor-faktor ini selain daripada keadaan cuaca. Biasanya seikat kangkung dijual seringgit dan boleh dicampurkan dengan sayur lain menjadikannya tiga jenis sayur berharga lima ringgit.

Kangkung sangat penting ketika Kesultanan Melayu Melaka mengadakan perhubungan diplomatik dengan China. Mungkin kisah ini hanya anekdot tetapi baik untuk kita renungi.

Dinyatakan sangat sukar bagi sesiapa yang tidak dikenali ataupun tidak ada hubungan dengan maharaja China hendak melihat apatah lagi menatap wajah maharaja. Namun, cerdik pandai Melayu mendapat satu idea yang sangat bernas untuk melihat wajah maharaja China ini.

Ketika rombongan Sultan Melaka berada di dalam istana bagi majis santapan diraja, mereka meminta dimasak sayur kangkung tetapi jangan dipotong dan kangkung hendaklah jenis yang terbaik. Permintaan Sultan Melaka dipenuhi dan malam itu mereka dapat melihat wajah maharaja China yang duduk di tempat lebih tinggi dengan jelas.

Caranya mudah. Setiap kali hendak makan kangkung, setiap orang perlu mendongakkan kepala supaya kangkung yang panjang itu tidak meleret-leret di atas pinggan. Oleh kerana mereka disediakan penyepit (copstik), memasukkan kangkung ke dalam mulut perlu mengambil masa kerana orang Melayu makan dengan jari.

Selepas semua ahli rombongan selesai menatap wajah maharaja China itu, masing-masing tidak perlukan kangkung lagi kerana sayur lain lebih sedap.

Isu kangkung juga serentak dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat sebagai inisiatif meningkatkan keberkesanan usaha kerajaan dan penguatkuasaan undang-undang berhubung kenaikan harga barangan. Ia merupakan satu perkembangan yang sihat daripada kerajaan untuk menyelesaikan resah rakyat ketika ini.

Harga barang keperluan sentiasa turun naik berdasarkan banyak faktor. Antaranya faktor cuaca, peranan orang tengah dan kenaikan harga petrol. Walaupun Malaysia sebuah negara yang kaya dengan hasil bumi dan tanah yang subur, minat dan kepakaran orang Malaysia dalam meningkatkan teknologi pertanian masih jauh berbanding negara yang tidak punya hasil bumi seperti Jepun dan Singapura.

Kita masih mengimport cili, bawang dan ubi keledek dari India serta buah tembikai dari Taiwan.Baru-baru ini sahaja kita dapat mengeksport buah durian ke China selepas beberapa tahun dimonopoli oleh Thailand.

Kenaikan harga barang keperluan sangat dirasai oleh rakyat yang berpendapatan rendah di samping kelompok pertengahan. Mereka yang mempunyai gaji RM3000 hingga RM5000 sebulan boleh bertahan sedikit dengan mengurangkan perbelanjaan dan berjimat cermat tetapi tidak mereka yang ada pendapatan bulanan RM900.

Kenaikan harga barang yang tidak seiring dengan kenaikan pendapatan lebih cepat menimbulkan masalah sosial.

Katakan sebuah keluarga di bandar dengan isi rumah lima orang iaitu ibu, bapa dan tiga orang anak. Suami isteri sudah tentu perlu bekerja untuk membayar sewa rumahh, belanja pengangkutan, makan minum, belanja sekolah dan jaga anak-anak serta kelas mengaji. Pendapatan suami isteri ialah RM3000 sebulan, jumlah ini mungkin berakhir dengan sifar selepas semua perbelanjaan dilunaskan dalam seminggu.

Justeru, keluarga ini tidak memiliki sumber lain untuk membuat tabungan pada masa kecemasan.

Keadaan ekonomi Malaysia tidak boleh dibanggakan kerana semakin lama nilai wang RM semakin susut nilai berbanding dolar Amerika Syarikat atau Singapura. Kedudukan mata wang yang kukuh memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyimpan, berbelanja dan menjadikan hidup berkualiti.

Keadaan sosial masyarakat hari ini yang dikaitkan dengan ekonomi memang menyedihkan sehingga banyak kes pembunuhan, rompak, curi dan rogol berlaku dalam masyarakat. Kes rompakan bank dan ragut sering disiarkan di media tetapi hukuman yang dijatuhkan kepada pesalah jarang benar menginsafkan. Buktinya, hari ini ada kes rompak dan curi, esok masih ada kes yang sama tetapi di tempat yang berbeza.

Proses penguatkuasaan yang lemah akan merosakkan kestabilan sosial dalam masyarakat. Fungsi agensi penguatkuasa seperti polis, Rela dan sebagainya mesti sentiasa diperkuat supaya mereka dapat berperanan dengan lebih cekap dan berkesan.

Pemimpin politik harus melihat masalah sosial sebagai sebahagian daripada rutin harian untuk diselesaikan. Selepas pilihan raya dan proses pemilihan peringkat parti selesai, tumpuan mereka seharusnya menyelesaikan rungutan rakyat. Mereka perlukan isu-isu bersama seperti kangkung untuk melupakan sengketa politik dan kuasa serta melihat dengan realiti bahawa harga barang yang semakin mahal menyusahkan hidup dan menyumbang kepada masalah sosial yang lebih parah.