Friday, September 28, 2012

Kepentingan penjagaan kesihatan




Kos penjagaan kesihatan meningkat seiring dengan
peningkatan umur

oleh Sim Y. H.

Jangka hayat yang terus meningkat telah menyebabkan penduduk global pada masa ini berada dalam proses penuaan pada kadar yang membimbangkan di mana warga-warga emas yang meningkat itu menyebabkan bebanan yang tinggi pada sistem penjagaan kesihatan.
 
 
Bagi Amerika Syarikat, seramai kira-kira 76 juta orang telah menjangkau usia 65 tahun pada 2011 dan di samping itu, kos penjagaan kesihatan global juga terus meningkat dengan perbelanjaan global bagi penjagaan kesihatan meningkat sebanyak kira-kira AS$5.8 bilion setahun.

Pada masa yang sama, bagi Amerika Syarikat, kos penjagaan kesihatan merangkumi sebanyak kira-kira 18 peratus dari KDNK negara berkenaan yang dianggarkan berjumlah kira-kira $2.8 trilion dan diramalkan pada 2016 nanti akan melepasi lebih dari $3.6 trilion.

Perangkaan itu dikongsi oleh Pengasas dan Presiden HealthCare California, Dr Harry Harris ketika menyampaikan ceramah beliau bertajuk, Key Trends in Health Care: How can Brunei be Ready (Trend Utama dalam Penjagaan Kesihatan: Bagaimana Brunei Boleh Bersedia) , semasa Forum Kesihatan anjuran bersama Asia Inc Forum dan Kedutaan Amerika Syarikat yang diadakan di Hotel Radisson, hari ini.

Dr Harris juga menyatakan bahawa dengan penggunaan teknologi perubatan yang canggih bersama dengan sistem rekod elektronik, kos perubatan akan dapat dikurangkan dengan mengurangkan berlakunya ujian dan pemberian perkhidmatan yang bertindih serta pada masa yang sama akan membantu untuk menjana penjagaan kesihatan individu yang lebih baik.

Menyentuh mengenai dengan penjagaan kesihatan, beliau berkata menerusi pendidikan dan penyaluran maklumat yang berkesan, mampu untuk membantu individu menjadi lebih peka dengan kesihatan mereka supaya mereka akan lebih cenderung untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Beliau percaya bahawa dengan penyelidikan yang berterusan, kejadian penyakit-penyakit seperti penyakit jantung, kanser dan strok dapat dikurangkan di mana pihak kerajaan harus mengambil peranan utama dalam menyediakan pendidikan dan latihan sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan kesihatan dan mengurangkan kos penjagaan kesihatan.

Mengulas mengenai dengan trend jangka pendek, Dr Harris percaya kos penjagaan kesihatan akan terus meningkat terutama di negara-negara yang tidak mempunyai atau mempunyai kawalan kos yang sedikit.

Bagi negara-negara membangun, jumlah itu akan meningkat dengan peningkatan ekonomi serta permintaan penduduk yang semakin meningkat.

Manakala itu bagi negara-negara yang maju termasuk Brunei, Dr Harris berkata bahawa pembendungan kos adalah agenda penting di mana peningkatan penjagaan kesihatan untuk memastikan pengesanan awal penyakit dapat meningkatkan kesihatan penduduk negara.

Terdahulu dari itu, Duta Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Daniel Shields dalam kata alu-aluan beliau menyatakan bahawa forum itu bukan sahaja relevan dan kritikal tetapi juga amat penting kerana ia menyentuh mengenai dengan industri yang dinamik dan terus berubah iaitu penjagaan kesihatan.

Beliau menaruh harapan dengan perkongsian idea, amalan terbaik dan visi bagi industri penjagaan kesihatan itu, akan dapat meningkatkan lagi keberkesanan sistem penjagaan kesihatan dan memberikan peluang kepada pengamal industri kesihatan untuk berkongsi pengalaman serta menyediakan platform untuk menjana dialog berterusan.
 
(Media Permata, 27 September 2012)
*Artikel ini telah diedit untuk kesesuaian maklumat awam- Editor

 

 

 

Wednesday, September 26, 2012

eBilling kurangkan kos kerajaan





Anggaran kos penjimatan


oleh Zulkifli Jalil 

Penyelidikan pasaran bebas oleh RedMarch (2011) baru-baru ini menunjukkan industri eBilling Malaysia masih di peringkat permulaan. Ia direkodkan sebagai mempunyai potensi yang besar untuk berjaya.

Pada masa sama, penyelidikan pada Januari 2012 oleh MIT G-lab Programme Sloan School of Management menunjukkan potensi penjimatan kira-kira RM100 juta untuk kerajaan setiap tahun, dengan andaian penukaran 100 peratus kepada sistem eBilling.

Apa itu eBilling? Secara amnya, mengemukakan bil dan pembayaran secara elektronik (EBPP) adalah satu proses di mana bil dapat diwujudkan, dihantar dan dibayar melalui atas talian.

Perkhidmatan ebilling ini mempunyai potensi diguna pakai oleh kebanyakan industri khususnya sektor kewangan, telekomunikasi dan utiliti. Sebagai contoh, bil telefon boleh diterima dalam format PDF dan dihantar terus ke peti e-mel anda dan pembayaran boleh dilakukan secara perbankan Internet.

Tuesday, September 25, 2012

Pemimpin daerah menakluki Jakarta

                                             





oleh Karim Raslan
 
Tiga tahun lalu, oleh kerana jemu dengan golongan elit politik di Jakarta, saya alih perhatian kepada pemimpin-pemimpin di kawasan lain.

Corak permainan politik pemimpin-pemimpin utama di Republik itu nampak sama, bosan dan mencurigakan. Mereka kerap mengetengahkan isu reformasi tanpa sebarang inisiatif mengatasi masalah-masalah yang berleluasa. Segalanya hanya janji manis.


Dukacita dengan perkara tersebut, saya mengembara ke luar Jakarta menuju ke daerah lain dan bandar-bandar di Jawa, Sumatera dan Kalimantan untuk melihat senario politik di daerah. Saya bertemu pemimpin tempatan bergelar Bupati dan Walikota bagi mengetahui tentang agenda dan isu penting di kawasan mereka.


Saya harus menerangkan di sini, Indonesia telah melaksanakan autonomi mengikut daerah sejak 2004, di mana pemerintah daerah diberi kuasa mentadbir. Selain itu, setiap pemerintah akan dipilih sendiri oleh penduduk tempatan menerusi pilihan raya, berbeza ketika zaman Presiden Suharto apabila pemerintah dilantik oleh Kerajaan Persekutuan di Jakarta.


Malah, seperti saya nukilkan dalam kolum sebelum ini, inisiatif tersebut memberi nafas baru kepada dunia politik Indonesia. Setelah bersua dengan mereka, saya dapat rasakan pemimpin-pemimpin ini lebih mengenali realiti kehidupan rakyat biasa Indonesia dan ini memberi mereka kelebihan berbanding ahli-ahli politik di Jakarta.


Wakil-wakil rakyat yang dipilih memerintah kerajaan tempatan kini mempunyai pengaruh hebat untuk memberi kesan terhadap kehidupan penduduk, termasuk kuasa untuk mengawal selia urusan perniagaan, kesihatan dan pelajaran di kawasan mereka.


Benar sekali, ada juga segelintir yang tiada bezanya seperti wakil rakyat dan menteri, yang terjerumus dengan amalan rasuah dan nepotisme. Walau sedemikian, masih terdapat ramai pemimpin tempatan Indonesia yang tidak putus asa membantu dan mendekati penduduk-penduduk, justeru meningkatkan prestasi pentadbiran dan mengangkat martabat jawatan yang disandang.


Pemimpin yang tidak mampu memberikan khidmat baik akan kalah di peti undi.


Arus perubahan ini dapat dilihat pada pusingan kedua Pilihan Raya Gabenor Jakarta pada 20 September lalu, menyaksikan kemenangan Datuk Bandar Solo daripada Parti Demokrat Indonesia-Perjuangan (PDI-P), Joko Widodo (“Jokowi”) bersama temannya, bekas Bupati Parti Gerindra yang kemudiannya menjadi Ahli Parlimen, Basuk Tjahaja Purnama (“Ahok”)


Dalam kempen, mereka ketengahkan agenda pendekatan rakyat yang mereka telah capai di peringkat kerajaan tempatan.


Jokowi dan Ahok mengejutkan banyak pihak ketika pusingan pertama pilihan raya Jakarta pada Julai lepas, mengalahkan calon Parti Demokrat, Fauzi Bowo (“Foke”) yang merupakan Gabenor Jakarta ketika itu dan Narchrowi Ramli (“Nara”).


Setelah kemenangan Jokowi di pusingan pertama, Kerajaan Pusat terus bertindak demi melemahkan pengaruh pemimpin parti Gerindra, Prabowo Subianto (yang sangat menyokong pencalonan Jokowi) dan mengekalkan posisi Foke di Jakarta.


Perikatan parti pemerintahan Susilo Bambang Yudhono (termasuk Golkar dan Parti Keadilan Sejahtera) bergabung untuk meredakan kenaikan populariti Jokowi.


Lebih merisaukan, isu agama dan bangsa kerap ditimbulkan ketika kempen – sama ada secara terbuka atau tidak – menentang pencalonan Jokowi dan Ahok, terutama Ahok yang berasal dari keturunan Cina Indonesia.
 
Tindakan ini hanya memakan diri sendiri apabila Jokowi dan Ahok memenangi pilihan raya tersebut. Ini menunjukkan betapa terdesaknya parti memerintah untuk mengekalkan kuasa mereka serta ideologi cetek pemerintahan pusat di Jakarta.

Kemenangan Jokowi menunjukkan, sokongan penduduk kini lebih cenderung kepada pemimpin populis dan rajin berkhidmat. Parti Demokrat dan perikatannya mungkin telah memenangi pilihan raya 2009, tetapi mereka jelas sekali gagal dalam usaha mendekati rakyat dan pengundi seperti mana dilakukan Jokowi dan rakan seperjuangan beliau, Datuk Bandar Surabaya, iaitu Tri Rismaharini. 

Kedua-dua pemimpin itu pernah membuat kunjungan silaturahim ke Malaysia, di mana saya membawa Pak Jokowi melawat Karangkraf dan pejabat Sinar Harian pada Januari, manakala Ibu Risma melawat bandar raya Shah Alam, baru-baru ini.
 
Ahli-ahli politik tempatan seperti mereka melambangkan masa hadapan yang cerah. Koalisi Kerajaan Pusat di Jakarta diyakini akan tewas sama sekali ketika pilihan raya 2014, melainkan mereka dapat subah arus deras perubahan realiti di Indonesia.

(Sinar Harian, 25 September 2012)

 

Monday, September 24, 2012

Kemalangan ngeri berhampiran tol Ayer Keroh

 


 
 
Keadaan di tempat kejadian


Kemalangan ini berlaku pada awal pagi melibatkan sebuah kereta dan lori. Laporan awam menyatakan ada mangsa yang meninggal dunia. Jarak kejadian dari tol Ayer Keroh lebih kurang 750 meter, laluan menghala ke utara, betul-betul di bawah jejambat ke UTeM, Melaka.
  

Percaya dengan keupayaan diri






Kepercayaan kepada diri sendiri menjadi kunci kepada sesiapa sahaja yang hendak berjaya.
 
Cuba kita cari buku-buku yang menceritakan kejayaan orang-orang yang telah berjaya dalam bidang masing-masing, orang yang meraih hadiah Nobel dan sebagainya. Kita akan dapati mereka sangat yakin dan percaya kepada diri sendiri.
 
Manusia dapat meneroka alam, pergi ke bulan, meredah lautan disebabkan kerana kepercayaan bahawa manusia boleh buat apa yang dia mahu.
 
Masalah besar yang dihadapi oleh sebahagian anak-anak muda ialah kurang kepercayaan diri kecuali setelah melalui waktu  yang agak panjang sebelum akhirnya mereka sedar yang mereka telah pun dewasa.
 
Ketika ini, cara berfikir masih sama seperti keanak-anakan, jadi agak lambatlah untuk maju.



Wednesday, September 19, 2012

Orang rajin vs orang malas






Orang yang produktif adalah orang yang maju, orang yang malas adalah orang yang dungu dan kaku.
 
Semua orang ada sifat malas ini, kalau tak banyak, sedikit malas tentu ada. Malas adalah penyakit biasa. Terdapat bermacam-macam jenis malas. Maksud malas ini ialah tidak mahu gerak, tidak mahu buat kerja, tidak ada kegiatan atau aktiviti dan tidak mahu rasa letih langsung.
 
Orang yang malas tidak ada faedahnya kepada orang lain. Malah menyusahkan orang. Kita tidak pernah mendengar orang malas menjadi kaya-raya, yang biasa kita dengar ialah orang miskin menjadi kaya, itu pun selepas bekerja bersungguh-sungguh.
 
Siang dan malam bekerja, dapat upah terus masuk ke dalam akaun bank, kumpul wang dan akhirnya berjaya keluar dari kepompong kemiskinan.
 
Kelebihan orang yang bekerja ialah dapat merasai hasil susah-payahnya, orang yang malas hanya merasa penyesalan.



Tuesday, September 18, 2012

Malindo eratkan Indonesia-Malaysia






oleh Karim Raslan
                    
Pengguna kini inginkan tambang murah, penerbangan yang lebih kerap dan kapal terbang baru. Jika anda fikir penerbangan antara Malaysia dan Indonesia sudah cukup murah dan kerap: fikir kembali.
 
Pada minggu lepas, Rusdi Kirana, pemilik Lion Air, pengendali penerbangan tambang murah terbesar di Indonesia, menandatangani perjanjian dengan National Aerospace & Defence Industries (NADI) untuk menubuhkan Malindo Airways.

Nadi akan memiliki 51 peratus kepentingan manakala Lion pula 49 peratus, tetapi Lion akan mengendalikan pengurusan penerbangan baru tersebut. Malindo akan beroperasi dari KLIA2 yang bakal dibuka tidak lama lagi dan memulakan penerbangan antara Indonesia - Malaysia pada Mei 2013.

Malindo Airways akan memulakan operasi dengan 12 kapal terbang Boeing 737-900 dan lima Dreamliner 787-8 ciptaan syarikat gergasi Amerika itu, bermula 2015, serta memiliki 100 kapal terbang dalam masa 10 tahun. Malah, perancangan mereka termasuk penerbangan ke Asean, China, Hong Kong, India, Jepun dan mungkin sejauh Australia dan Eropah.

Kerjasama Indonesia dan Malaysia tersebut merupakan berita baik. Walaupun hubungan antara kedua negara ini kadangkala tidak stabil, hasil usaha sama ini mampu mengeratkan lagi hubungan sesama masyarakat Indonesia dan Malaysia.

Tambahan pula, Rusdi Kirana merupakan ahli perniagaan berjaya yang berani. Pada awal perniagaan Lion pada 2000, menerusi penerbangan antara Jakarta dan Pontianak menggunakan pesawat yang disewa, tiada siapa mengambil serius akan usahawan ini yang asalnya ialah seorang ejen pelancongan. Namun, pada akhir tahun pertamanya, Lion telah memulakan penerbangan ke Singapura dan Kuala Lumpur dan Penang.

Apabila beliau membuat pesanan mega untuk 230 kapal terbang Boeing 737 bernilai AS$21.7 bilion pada November 2011, Jakarta - dan juga seluruh dunia - mula memberi perhatian, lebih-lebih lagi perjanjian tersebut telah disaksikan oleh Presiden AS, Barack Obama.


Kini dengan 80 pesawat dan 60 destinasi, syarikat penerbangan ‘Pak Rusdi’ telah melangkaui Garuda sebagai pengendali pesawat domestik terbesar di Indonesia.

Berdasarkan laporan Wall Street Journal pada 2011, sebanyak 47.9 peratus daripada pelancong domestik Indonesia memilih Lion Air dan angka ini dijangka meningkat kepada 30 juta orang pada 2012. Sememangnya, ini suatu pencapaian luar biasa bagi seseorang yang umurnya belum lagi mencecah 50 tahun!

Melalui perjanjian dengan NADI, ternyata Pak Rusdi mempunyai rancangan bagi pasaran antarabangsa, satu sektor yang dikuasai AirAsia, gergasi penerbangan Asia Tenggara. AirAsia kini memegang 40 peratus daripada pasaran penerbangan antarabangsa di Malaysia (dan juga 42 peratus Indonesia). AirAsia telah menguatkan genggaman mereka ke atas Indonesia dengan pembelian Batavia Air pada Julai 2012 dengan harga AS$80 juta. Malah pendiri AirAsia Tan Sri Tony Fernandes juga berhijrah ke Jakarta.

Pak Rusdi dan Tony (Tony mengalu-alukan persaingan ini) akan berhadapan antara satu sama lain, walaupun telah dinyatakan bahawa Malindo bukan seperti AirAsia, dan akan menyediakan perkhidmatan hiburan semasa penerbangan.

Pasaran sebaliknya ingin menggalakkan persaingan ini; modal pasaran AirAsia telah jatuh sebanyak RM475 juta pada 12 September 2012 (sehari selepas pengumuman penubuhan Malindo) dan harga saham pula telah jatuh sebanyak 5.33 peratus. Ekspansi Lion Air mungkin akan mengurangkan dominasi AirAsia di Indonesia dan Asia Tenggara, ujar penganalisis Citi, Rigan Wong.

Hanya masa yang akan menentukan sejauh mana Malindo dapat merealisasikan potensinya: kerana banyak syarikat penerbangan baru yang gagal untuk mengekalkan momentum selepas pelancarannya.

Satu lagi aspek menarik persaingan ini adalah perang proksi untuk kuasa dominan dalam pasaran penerbangan Asia Tenggara antara Airbus (AirAsia) dan Boeing (Lion/Malindo).

Saya berasa sedikit kecewa kerana Pak Rusdi tidak menggunakan jenama Lion Air dalam usaha sama Malindo ini. Lion Air - dengan penerbangan kerap ke Kuala Lumpur, Penang dan Melaka (dan akan ke Johor Baru) - merupakan satu jenama yang sudah dikenali ramai di Malaysia.

Namun, ini merupakan permulaan satu persaingan perniagaan yang hebat - sama seakan-akan Apple vs Microsoft atau Pepsi vs Coca-Cola.
 
 
(Sinar Harian, 18 September 2012)
 
 

Saturday, September 15, 2012

Bayi tertidur atas mayat ibu





Laporan akhbar berkaitan kejadian


Tangisan berterusan bayi berusia tujuh bulan terjawab apabila dia ditemui tertidur di atas mayat ibunya selepas 14 jam, dipercayai kerana kelaparan dan kepenatan.

Dalam kejadian menyayat hati, Normaya Mokhtar, 33, dipercayai meninggal dunia akibat sakit jantung kira-kira jam 6 petang Rabu lalu di Kuarters Perumahan Guru Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh dan mayat mangsa bersama anaknya yang tertidur hanya ditemui jam 8 pagi kelmarin. 


Tinggal berdua

Ketika kejadian, mangsa yang bertugas sebagai guru bahasa Jepun di sekolah itu tinggal berdua bersama bayinya di rumah yang berkunci, manakala suaminya bekerja di Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, berkata kematian mangsa hanya disedari selepas rakan baiknya berjaya menemui kunci pendua rumah di rak kasut dan menemui mangsa terbaring di atas katil dalam keadaan pucat dengan anaknya tertidur di atas tubuh mangsa.

“Rakan baik mangsa ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) pada petang Rabu berhubung tugasan tetapi tidak berbalas, namun dia menyangka mungkin mangsa yang sudah dua tahun bertugas di situ, sibuk.

“Bagaimanapun, apabila mangsa tidak datang bekerja keesokan harinya, dia berasa tidak sedap hati dan pergi ke rumah mangsa serta mengetuk pintu berulang kali, tetapi tiada jawapan sebelum menemui kunci pendua rumah itu,” katanya, semalam. 
    
Kok Liang berkata, jiran mangsa sebelum itu turut hairan dengar tangisan bayi yang tidak henti-henti pada petang dan malam Rabu lalu tetapi tidak mengesyaki apa-apa selepas tangisan itu berhenti.

Beliau berkata, polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kematian mengejut, manakala anak mangsa dilaporkan sihat.

Jenazah mangsa dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bemban, Batu Gajah untuk dikebumikan petang kelmarin.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang mewakili kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menyifatkan kematiannya satu kehilangan besar kepada warga pendidik.



(Berita Harian, 15 September 2012)


Wednesday, September 12, 2012

Tiga fasa pembangunan






Pendidikan bertambah baik di Malaysia


Penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2012-2025 melibatkan tiga fasa yang diambil Kementerian Pelajaran dalam memastikan sistem pendidikan negara adalah konsisten, berkesan, dinamik serta memenuhi hasrat dan keperluan semua.

Menurut laporan awal pelan tersebut, fasa pertama yang diambil dalam penyediaan pelan itu adalah melibatkan kajian semula dan ujian menyeluruh tentang sistem pendidikan dengan membuat penilaian terperinci prestasi pendidikan selain memberi tumpuan terhadap keberhasilan murid.

Selain itu, tambah laporan berkenaan, fasa pertama turut mentaksir punca sebenar dan penggerak utama pencapaian tahap prestasi masa kini selain mengenal pasti kecemerlangan yang terdapat dalam sistem pendidikan sebagai model untuk dicontohi.

''Keberhasilan murid, penggerak utama, contoh kecemerlangan, kerja lapangan dan temu bual bersemuka, perbincangan berkumpulan dan bengkel merupakan antara kaedah yang digunakan pada fasa pertama penyediaan pelan tersebut.

Tuesday, September 11, 2012

Kuasa retorik dalam arena politik






oleh Karim Raslan

Zaman purba lalu, masyarakat Yunani dan Rom sangat terkenal dengan bakat ucapan retorik dalam arena politik. Penduduk ketika itu mengagumi dan menyanjung bakat individu yang petah berpidato dengan gaya ucapan yang jelas, penuh tekad dan bersemangat.

Mereka memandang tinggi kepada pemimpin-pemimpin biarpun kurang berwibawa - yang mampu merubah kekalahan kepada kemenangan, kemiskinan kepada kemajuan dan menyuntik semangat kepada mereka yang telah hilang haluan hanya dengan menggunakan kepetahan mereka dalam menyampaikan ucapan.

Pada Konvensyen Kebangsaan Demokrat, atau Democratic National Convention (DNC) yang telah berlangsung di Charlotte, North Carolina, dua pemimpin terkemuka parti –mantan Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton dan juga Presiden Barack Obama, telah memukau para penyokong mereka dengan hujah-hujah bernas menyokong kepimpinan Obama.

Dalam situasi ekonomi AS yang lemah dan pengangguran yang tinggi, Obama dan Clinton menerusi kepetahan mereka berucap, dilihat masih mampu membentangkan hujah-hujah yang kukuh dan menyeluruh. Sememangnya ini membuktikan bahawa mereka mampu memberi impak melalui pengucapan retorik.

Jika dilihat gaya ucapan Obama yang penuh bertenaga berbanding penyampaian calon Republikan Mitt Romney yang hambar dan membosankan, semestinya jelas bahawa hal ini menjadi cabaran asas yang perlu diatasi Parti Republikan. Obama telah berjaya berinteraksi dan memberi inspirasi, manakala Romney hanya sekadar berkata-kata mengenai hujah beliau tanpa memberi gambaran jelas visi ekonomi beliau.

Pada masa yang sama, Parti Demokrat kini mengikuti arus zaman hadapan yang bercirikan kepelbagaian etnik dan pluralisme serta menunjukkan kemerosotan pengaruh warga lelaki berkulit putih dalam hidup seharian dibandingkan dengan warga Hispanik (seperti Datuk Bandar San Antonio Julian Castro), warga Asia dan Afrika-Amerika (Wanita Pertama Michelle Obama) yang kini berada di barisan hadapan.

Pendekatan Obama kini lebih halus daripada dahulu tetapi beliau masih berusaha untuk meyakinkan warga AS tentang semangatnya (dan juga kesesuaiannya untuk pemilihan semula) masih berkekalan. Walaupun ucapan beliau bukanlah yang terbaik, namun kepetahan beliau berucap masih nyata:

Saya tidak pernah menyatakan bahawa ini akan menjadi suatu perjalanan yang senang dan saya tidak akan menjanjikan itu. Ya, kita menghadapi perjalanan yang sukar, tetapi ini akan membawa kita ke tempat yang lebih bagus. Ya, kita akan melalui jarak yang lebih jauh, tetapi kita akan melaluinya bersama. Kita tidak akan patah balik. Tiada siapa yang akan ditinggalkan. Kita akan menolong satu sama lain.

Bagi kita di Asia Tenggara, Obama merupakan seorang pemimpin penting:

Pertama sekali, beliau dilahirkan dan juga pernah dibesarkan di Hawaii, beliau merupakan Presiden pertama dari era Pasifik. Tambahan pula, hubungan beliau dengan Indonesia melalui ibunya dan juga bapa tirinya telah mewujudkan suatu jalinan yang kuat antara beliau dengan kawasan di sekitar Asia Tenggara.

Di bawah pentadbiran Obama, AS kini lebih mesra dalam hubungannya dengan Asia. Ini bukan suatu trend semasa yang berasaskan pengalaman lampau Presiden. Bahkan, ini merupakan suatu langkah Realpolitik yang diambil oleh Washington untuk merencana semula hal ehwal luar negara mereka supaya sejajar dengan realiti ekonomi di Asia Pasifik.

Seperti yang dikatakan oleh Setiausaha Pertahanan AS Leon Panetta semasa ucapan beliau pada Dialog Shangri-La tahun ini:

Pada abad ini…AS mengiktiraf bahawa kemakmuran dan keselamatan kami bergantung kepada rantau Asia-Pasifik… Matlamat kami adalah untuk bekerjasama dengan semua negara di rantau ini untuk menghadapi segala cabaran dan untuk menggalakkan keamanan, kemakmuran dan juga keselamatan di rantau Asia-Pasifik.

Kita perlu menyedari bahawa apa sahaja yang berlaku pada November ini, pendekatan positif AS terhadap Asia bukan hanya suatu inisiatif Demokrat untuk jangka masa pendek. Romney mungkin mempunyai pendirian tegas dalam berhadapan dengan pengaruh China, tetapi beliau masih akur akan kenyataan kekuatan ekonomi dan tentera negara tersebut di mana dasar beliau juga dibuat berlandaskan pada hubungan dengan kuasa-kuasa serantau di Pasifik. 


Walaupun dengan penegasan Romney bahawa Rusia merupakan halangan terbesar AS, sesiapa sahaja yang bakal menjadi wakil Menteri Luar dari Parti Republikan harus meneruskan usaha asas Hillary Clinton di rantau itu.

 Oleh itu, Amerika tidak akan meminggir dari rantau ini dan kita semua di Asia Tenggara perlu menyesuaikan diri kepada perhatian yang dituju kepada kita kerana zaman kita menjadi watak sampingan sudah lama berlalu. Kini, kita menjadi penunjang utama di persada dunia.

Dengan itu, warga Asia Tenggara perlu memahami dengan mendalam budaya politik dan budaya kedua-dua negara, Amerika dan China. Suka atau tidak, kedua-dua negara ini akan memberi pengaruh yang lebih besar dalam hidup kita semua dan akan terus mencorak masa hadapan kita.



(Sinar Harian , 11 September 2012)