Wednesday, February 29, 2012

Pelbagaikan sumber maklumat





"Jangan terlalu bergantung sangat pada surat khabar harian, cuba la baca portal online yang lain, barulah dapat tahu apa cerita sebenar."

Saya memberi pandangan kepada rakan-rakan ketika kami sedang membelek surat khabar yang menjadikan isu seorang pemimpin politik yang dikatakan kena tangkap berkhalwat. Hampir semua akhbar perdana menyiarkan kisah ini tetapi mendapatkan satu sumber sebagai kesimpulan tentulah kurang bijak.

Di kebanyakan tempat di negara ini telah disambungkan dengan teknologi tanpa wayar khususnya internet. Orang-orang muda sangat suka kerana mereka tidak perlu mengeluarkan wang untuk membayar bil setiap bulan. Oleh kerana golongan ini yang paling aktif menggunakan perkhidmatan internet untuk mendapat maklumat, berita dari akhbar harian dengan mudah dibandingkan dengan maklumat dari portal online yang sentiasa dikemas kini setiap minit.

Dalam kalangan orang-orang tua, generasi yang sangat lambat untuk mengenal IT, surat khabar dianggap sebagai pembawa berita yang mesti dipercayai, lalu cerita ini dijaja sepanjang hari. Keadaan ini tidak akan berlaku kepada orang muda kerana mereka juga sentiasa mengemas kini maklumat lebih-lebih lagi terdapat medium sosial yang telah menjadi "ketagihan" dan mesti dilayari.

Selain boleh diakses melalui komputer riba atau tablet, kemudahan wi-fi ini telah dimuatkan dalam kebanyakan telefon pintar hari ini. Di mana-mana mereka boleh mengakses maklumat tanpa ada sekatan.


Monday, February 27, 2012

Elak gejala tersedak susu


Sejak akhir-akhir ini, kematian bayi akibat tersedak susu atau tercekik makanan semakin banyak dilaporkan. Terbaru, bayi perempuan berusia tujuh bulan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di rumahnya di Simpang Empat, Kangar, Perlis pada 16 Februari lalu.

Walaupun kes ini dianggap terpencil, ibu bapa tidak harus memandang ringan kejadian-kejadian tidak diduga ini.

Pensyarah Jabatan Anatomi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Noor Eliza Hashim, menjelaskan, masalah ini berpunca daripada proses menelan makanan oleh bayi.

"Penyusuan bayi adalah satu proses yang memastikan makanan yang ditelan memasuki saluran makanan iaitu esofagus. Ia bersambung dengan perut dan kemudiannya ke usus kecil dan besar manakala saluran pernafasan (trakea) bersambung dengan paru-paru," katanya.

Beliau menjelaskan, jika trakea ini tersumbat, udara tidak akan dapat masuk ke dalam paru-paru lalu menyebabkan organ-organ di dalam badan tidak mendapat bekalan oksigen.

Menurut Dr. Noor Eliza, organ seperti jantung dan otak jika tidak mendapat bekalan oksigen, tidak dapat berfungsi dan ini boleh menyebabkan kematian.

Dalam keadaan yang normal, makanan yang turun dari mulut tidak akan masuk ke dalam trakea.

"Ini kerana apabila kita menelan, struktur yang dinamakan epiglotis yang terdapat di bahagian pangkal salur trakea akan menutup salur trakea dan makanan itu hanya akan melalui saluran esofagus. Proses inilah yang dilalui bayi yang sedang minum susu," katanya.

Selain itu, di dalam larinks juga terdapat kotak suara (vocal cord). Semasa bayi menangis, kotak suara ini bergetar dan larinks tidak ditutup oleh epiglotis.

Oleh itu, apabila bayi diberi minum susu ketika dia sedang menangis dengan kuat, risiko untuk susu termasuk ke dalam saluran pernafasan adalah lebih tinggi.

Posisi bayi"Faktor-faktor lain yang menyebabkan bayi tersedak susu adalah posisi bayi ketika menyusu. Susu lebih senang memasuki salur pernafasan jika bayi baring terlentang," jelas beliau.

Dr. Noor Eliza menjelaskan, cara kedua yang boleh menyebabkan gejala tersedak susu adalah gastroesofagial reflux.

Dalam keadaan ini, susu di dalam perut akan keluar semula ke atas melalui esofagus dan kemudian memasuki saluran trakea.

Ini disebabkan oleh otot sfinkter antara esofagus dan perut yang masih lemah pada bayi.

"Reflux ini lebih mudah berlaku jika bayi menyusu dalam keadaan terlentang. Jenis susu yang lebih pekat boleh digunakan untuk mengurangkan masalah reflux ini. Kebiasaannya masalah reflux akan pulih dengan sendirinya apabila bayi semakin membesar," tambahnya.

Terdapat juga kes-kes bayi lemas ketika menyusu disebabkan penyakit kongenital atau saraf yang boleh menjejaskan fungsi saluran makanan dan pernafasan.

"Contoh penyakit kongenital seperti trakeo-esofagial fistula iaitu terdapat komunikasi di antara trakea dan esofagus. Walaupun jarang terjadi, faktor penyakit ini meninggikan risiko seseorang bayi itu untuk mengalami masalah tersedak ini," ujarnya.

Jika berhadapan dengan situasi mencemaskan ini, Dr. Noor Eliza menasihatkan berhenti menyusukan dengan segera dan tegakkan posisi bayi.

Sekiranya bayi kelihatan sukar bernafas segeralah ke hospital yang berdekatan.

(Utusan Malaysia, 27 Februari 2012)


Saturday, February 25, 2012

Perubahan mudah kalau kita mahu





Ramai orang yang hendak berubah. Kalau orang itu sedang bekerja makan gaji, dia teringin hendak berhenti kerja supaya dapat berikan tumpuan terhadap perubahan baru itu.

Sebenarnya kefahaman cara ini sangat jauh menyimpang daripada tujuan perubahan. Bekerja dan mencari pendapatan adalah jambatan untuk berjaya di akhirat. Kapal menggunakan laut untuk sampai ke pantai. Air dalam kapal perlu dijaga supaya tidak menenggelamkan kapal dan selamat sampai ke pantai.

Dunia adalah alat, akhirat adalah matlamat. Pantai akhirat ada dua iaitu syurga dan neraka. Jadikan dunia sebagai lautan yang akan menghamparkan kita ke pantai syurga.

Berubahlah dengan teknik yang terbaik supaya kita mendapat pahala yang berganda-ganda. Perubahan itu mudah andaikata kita mahukannya.



Friday, February 24, 2012

Tiga bekalan




Amalan terputus selepas
meninggal dunia

Baru-baru saya menerima dua e-mel berkaitan berita keluarga iaitu kematian dua orang muda. Kematian pertama adalah seorang remaja lelaki kerana kemalangan jalan raya dan keduanya kematian seorang kakitangan perpustakaan.

Remaja lelaki saya tidak kenal tetapi kakitangan perpustakaan memang saya kenal kerana selalu nampak kelibatnya di kaunter pinjaman. Usianya masih muda, 28 tahun, berbadan agak gempal dan selalu memberi senyuman kepada pensyarah dan pelajar. Maklumat yang saya tahu, kematiannya adalah kerana tekanan darah rendah di samping kompilasi penyakit-penyakit lain.

Hidup dan mati adalah sebahagian daripada diari perjalanan hidup kita. Allah swt telah nyatakan secara jelas bahawa umur kita telah ditentukan, di mana kita lahir dan mati telah tertulis. Rezeki dan jodoh juga telah tersedia cuma menunggu masa untuk dilaksanakan. 

Walaupun hidup dan perjalanan hidup telah termaktub, Allah swt menyuruh kita membaiki kehidupan yang ada. Contohnya, kesihatan diri mesti dipantau, dijaga dan ditingkatkan supaya kita dapat beribadah, dapat bekerja, berdakwah dan menjadikan dunia sebagai jambatan ke akhirat. Kesihatan diri yang baik juga dapat menyempurnakan banyak tanggungjawab sebagai hamba Allah seperti menunaikan solat, keluarkan zakat dan mengerjakan haji.

Bagaimana hendak keluarkan zakat jika badan selalu lemah, sakit sana-sini dan kerap masuk hospital? 

Melihat orang lain yang berada di sekeliling kita, orang yang kita pernah berbual-bual dan bertegur sapa meninggalkan kita untuk selama-lamanya, kalau tidak rasa apa-apa getaran di hati tentulah sesuatu yang ganjil keadaannya.

Sedikit sebanyak mesti ada rasa gusar kerana suatu hari nanti akan tiba pula giliran kita untuk mengikut pergi. Gusar kerana memikirkan berapa banyak amalan yang akan dibawa sebagai bekalan ke akhirat dan bersedia dengan timbangan amal untuk masuk ke syurga. 

Jadi, apakah amalan paling baik untuk dibawa ke akhirat? Sebaik-baiknya ialah taqwa. Inilah persiapan yang paling penting. Bukan setakat untuk akhirat, malah di dunia ini pun fungsi taqwa pun sudah terasa khususnya hendak menyebarkan dakwah Islamiah kepada masyarakat. Kedua ialah kerap memaafkan.

Ciri ini jika dikaitkan dengan hidup hari ini masih sangat relevan. Membalas kejahatan, kebencian dan sifat buruk orang lain dengan kemaafan dapat memadamkan kejahatan dan menguatkan taqwa kepada Allah swt. Ketiga ialah memanjangkan silaturrahim. Lebih baik kita membina hubungan yang mesra dan berkekalan daripada hubungan yang penuh kebencian dan hancur dalam masa yang singkat.

Banyak lagi usaha yang kita perlu lakukan supaya dapat menjadi bekalan untuk bertemu dengan Allah swt apabila dipanggil pulang kelak. Iman yang padu dan menjadikan al-quran sebagai panduan sudah cukup menjadi bekalan minimum kalau tidak ada bekalan lain yang boleh dibawa. 

 

Thursday, February 23, 2012

Rancang kerja sebagai ibadah





Untuk menjadikan kerja sebagai ibadah, kita perlu kembali kepada hakikat hidup yang sebenar. Memahami setiap perkara sama ada baik ataupun buruk, dapat membuka hati kepada tujuan hidup yang sebenar. Cerita seorang lelaki yang selamat dari seekor harimau belum tentu selamat hidupnya boleh menjadi iktibar untuk mengenal hakikat hidup kita.

Seorang lelaki yang lari daripada seekor harimau telah memanjat sepohon pokok. Malangnya, batang pokok ini sedang dimamah anai-anai dan bila-bila masa boleh tumbang. Di bawah pokok sedang menunggu harimau yang akan membaham sebaik sahaja pokok ini tumbang. Tiba-tiba jatuh setitis madu yang manis dan terkena pada lidah lelaki itu.

Di dahan pokok terdapat sarang lebah. Dengan rasa manis, dia terlupa bahawa dia sedang berhadapan dengan bahaya.

Dalam hidup kita, kemanisan dengan hal-hal dunia ada kalanya tidak memberi manfaat dan pahala malah melalaikan kita. Justeru, membuat perancangan amat penting supaya setiap kerja kita adalah ibadah.


Wednesday, February 22, 2012

Komunikasi berkesan





Komunikasi yang berkesan amat penting dalam semua keadaan. Bagi peniaga atau usahawan, komunikasi yang jelas, padat dan mudah difahami dapat meningkatkan kadar keuntungan syarikat.

Bagi pelajar, memahami mesej yang disampaikan oleh guru di dalam kelas dapat menambahkan kefahaman untuk menghadapi peperiksaan. Bagi kakitangan organisasi, komunikasi berkesan boleh mengurangkan kekerapan memberi arahan berulang-ulang kali.

Saya pernah memesan segelas air milo ais di sebuah restoran tetapi  yang datang ialah segelas teh 'o' ais. Arahan yang diberi sangat jelas tetapi saluran mesej menghadapi gangguan dan masalah. Akhirnya, restoran tersebut terpaksa menanggung kos teh 'o' ais kerana tidak ada pelanggan yang memesan minuman itu.

Kesimpulannya, kalau salah mengurus komunikasi, ia akan membawa beban kepada kita sendiri dan orang lain juga terkena tempiasnya.


Tuesday, February 21, 2012

Prinsip integriti Umar





Integriti sangat penting di mana-mana sahaja. Di tempat kerja, di rumah atau ditempat awam. Pemimpin yang berintegriti akan menjadi ikutan pengikut-pengikutnya. Khalifah Umaz Abdul Aziz dikenali sebagai pemimpin yang percaya dengan prinsip integriti. Di pejabatnya, terdapat dua lampu, satu untuk urusan negara dan satu lagi untuk urusan keluarga.

Suatu hari anaknya masuk untuk berjumpa. Lalu Umar bertanya, "Engkau masuk ni untuk urusan negara atau urusan keluarga?" Pada diri Umar, urusan negara atau keluarga adalah berbeza. Kalau urusan keluarga, dia akan menggunakan lampu sendiri supaya tidak dikecam kerana menggunakan hak negara.

Integriti yang ada pada diri Umar menjadikan pentadbiran negara lebih telus dan berjaya.


Monday, February 20, 2012

Galakkan debat politik





Masyarakat Cina Malaysia dikatakan menyambut baik perdebatan di antara pemimpin MCA dan DAP  baru-baru ini. Isu debat berkenaan  menyentuh masa depan masyarakat Cina Malaysia yang secara keseluruhannya hampir 24 peratus daripada penduduk Malaysia.

Berdebat adalah ciri pemimpin yang matang. Dalam proses itu, penonton dapat menilai kematangan berfikir pemimpin mereka. Malah dapat melihat sendiri bentuk hujahan, intonasi suara dan ayat-ayat yang dipilih.

Di negara-negara maju, berdebat adalah sebahagian daripada proses kemajuan negara. Calon-calon yang bertanding sebagai presiden terpaksa melalui beberapa siri perdebatan untuk melonjakkan nama masing-masing.

Di Amerika Syarikat, presiden negara itu mesti berhadapan dengan perdebatan di peringkat parti hinggalah berhadapan dengan calon terbaik dari parti lawan. Oleh kerana sejak awal lagi dilatih untuk berdebat, pemimpin negara itu tidak kekok untuk berbual, memberi idea dan berbahas di peringkat dunia.

Keadaan ini tidak berlaku di negara kita. Sekali-sekala sahaja kita dapat lihat debat yang diatur oleh pihak media melibatkan pemimpin bawahan parti-parti politik. Itu pun penuh dengan kekangan seperti permit polis, keselamatan dan jaminan dapat dilaksanakan dengan selamat.

Justeru apabila dicadangkan debat, macam-macam helah diberikan khususnya dari parti pemerintah, kita pun tidak tahu sebabnya. Parti pembangkang lebih kerap mengadakan ceramah di seluruh negara siang dan malam kerana tidak pernah diberi ruang untuk berucap sepatah dua mengenai impian mereka ke atas rakyat Malaysia. Media elektronik kerap menyiarkan ucapan sehala pemimpin kerajaan yang berasa yakin seolah-olah akan menang dalam pilihan raya yang akan datang.

Pemimpin-pemimpin Cina Malaysia telah mengorak langkah memberi pilihan kepada masyarakat itu tentang siapa yang lebih hebat wawasannya terhadap masa depan mereka. Lim Guan Eng dari DAP dan Chua Soi Lek dari MCA berentap idea dan harapan.

Lim Guan Eng pernah dipenjarakan kerana satu isu dan Chua Soi Lek pernah menjadi bahan bualan kerana masalah moralnya, suatu yang sukar diterima oleh masyarakat Islam. Bagaimana pemimpin yang tidak bermoral hendak memimpin masyarakat yang bermoral melainkan masyarakat itu sendiri yang sama seperti pemimpin mereka. 

Dalam kalangan masyarakat India, perdebatan pemimpin masyarakat itu belum lagi ada sambutan. Pemimpin Melayu pun sama namun perjumpaan dan perbualan tidak formal memang sering berlaku bagi membincangkan kemajuan orang Melayu di Malaysia.

Perdebatan sesama pemimpin wajar disuburkan supaya rakyat Malaysia lebih matang berpolitik lebih-lebih lagi memilih pemimpin yang 'cakap serupa bikin'. Era pemimpin syok sendiri semakin berlalu, jadi masyarakat ingin sekali melihat bagaimana pemimpin mereka merancang masa depan negara.


Sunday, February 19, 2012

Syukur dan rahmat Allah swt





Allah swt memberikan kita kesempurnaan anggota fizikal ketika lahir dan kita bersyukur. Kehidupan yang kita lalui seterusnya adalah sangat menyenangkan kerana boleh bergerak ke sana sini. Sedarkah kita ada orang yang lahir tanpa kaki atau tangan?

Ada yang lahir dengan cukup kaki dan tangan tetapi tidak ada penglihatan dan pendengaran. Ada yang lahir dengan jantung berada di luar badannya.

Kita yang lahir dengan keadaan yang sempurna, pernahkah kita bersyukur kerana diberi tubuh badan yang sihat, boleh berfikir dan bergerak ke sana sini, dapat belajar di sekolah, mendapat pekerjaan yang sesuai dengan jiwa, malah Allah swt memberi keizinan untuk cemerlang dalam panyak perkara.

Bersyukur adalah satu mekanisme yang mudah untuk Allah swt tambahkan lagi rahmat-Nya kepada kita.

 

Saturday, February 18, 2012

Bisnes e-mel





Suatu hari anda membuka e-mel dan tajuknya ialah "perlukan perkhidmatan kami?" Apa yang anda fikirkan?

Sebenarnya, bentuk bisnes tidak lagi terhad kepada barangan keperluan. Ia telah berkembang seiring dengan perkembangan teknologi internet. Kenyataan ini berkaitan dengan bisnes menjual e-mel yang dikumpul sehingga melebihi 100,000 pengguna. Andai kata hanya satu peratus yang memberi maklum balas atau membeli produk jualan yang berharga RM100, senang-senang keuntungan mencecah jutaan ringgit dengan satu klik.

Kepintaran mempelbagaikan bisnes terletak pada kreativiti, inovasi dan mahu berfikir lebih jauh. Nilai-nilai kesungguhan, keyakinan diri dan daya juang akan memacu kejayaan yang lebih cemerlang.