Monday, August 29, 2011

Jangan sia-siakan peluang





Bermula 3 September ini, seramai 41,267 pelajar menjadi kumpulan pertama memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan mengikuti kalendar akademik baru bagi sesi pengajian 2011/2012 setelah 14 tahun sesi pengajian sistem semester Julai diguna pakai.

Wartawan Utusan Malaysia, SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM menemu bual Menteri Pengajian Tinggi, DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN mengenai kemasukan pelajar baru ke IPTA dan isu-isu berkaitan dunia pengajian tinggi di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

UTUSAN: Boleh Datuk Seri jelaskan apa sebenarnya objektif di sebalik perubahan kalendar akademik baru dan harapan kementerian mengenai hal ini?

MOHAMED KHALED: Fasa Kedua Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) bermula dari 1 Januari lalu sehingga 31 Disember 2015. Dalam Fasa Pengukuhan PSPTN ini, kementerian akan melaksanakan transformasi pengajian tinggi negara bagi memacu dan melonjakkan pengantarabangsaan industri pengajian tinggi di persada dunia.

Justeru, penyelarasan kalendar akademik IPTA merupakan satu strategi bagi merangsang kecemerlangan pengajian tinggi. Di samping itu juga, ia dapat mempertingkatkan lagi proses pengembangan ilmu di kalangan pelajar dan pensyarah melalui program pengantarabangsaan serta mempertingkatkan lagi daya saing dan pengkongsian ilmu dalam memperkasa Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), Pembangunan dan Penyelidikan (R&D), inovasi dan kecemerlangan IPT tempatan.

Dalam proses globalisasi dan liberalisasi pengajian tinggi pula, proses mobiliti pelajar di peringkat domestik dan antarabangsa dapat dipertingkatkan sejajar dengan amalan terbaik kalendar akademik IPT di dunia.

Keputusan kementerian untuk melakukan perubahan kalendar akademik ini mendapat reaksi pelbagai pihak sehingga timbul kontroversi. Boleh Datuk Seri ulas?

Kontroversi ini timbul kerana proses perubahan kalendar baru tidak dibuat secara berperingkat. Tahun lepas kemasukan adalah pada Julai. Maknanya daripada Julai terus lompat ke September. Jadi, pelajar yang tamat pengajian lebih awal terpaksa tunggu lagi dua bulan untuk kemasukan ke universiti.

Bagaimanapun, perkara itu tidak dapat dielakkan memandangkan pada tahun ini Ramadan jatuh pada Ogos. Kita tidak mahu pelajar akan kepenatan untuk menghadapi program orientasi semasa Ramadan. Program orientasi ini sangat penting untuk menyesuaikan pelajar dengan rumah kedua mereka kerana sistem belajar di universiti jauh lebih berbeza dengan sekolah.

Penyelarasan kalendar akademik ini memudahkan program mobiliti di kalangan pelajar dan pensyarah serta program pertukaran kredit dengan pelajar universiti antarabangsa yang mana hanya boleh dilaksanakan jika waktu pembelajaran dan cuti yang sama berlaku.
Selain itu, ia turut menyelesaikan masalah sampingan lain termasuk memberi lebih banyak masa persediaan kepada pelajar sebelum memasuki universiti selain mengelak berlaku kekosongan tempat sekiranya pelajar menerima tawaran universiti lain di negara luar.

Jika sebelum ini kemasukan pada Julai, pelajar hanya ada beberapa minggu membuat persediaan dan pilihan kemasukan ke universiti kerana tempoh pengumuman keputusan peperiksaan adalah sangat singkat untuk kemasukan Julai. Di samping itu, oleh kerana sistem kalendar akademik berbeza dengan universiti luar negara iaitu kemasukan lebih awal dua bulan, maka kita berhadapan dengan keadaan di mana kekosongan tempat berlaku apabila pelajar menerima tawaran universiti luar dan meninggalkan universiti kita.

Untuk kemasukan sesi akademik 2011/ 2012, berapa jumlah lepasan STPM dan setarafnya yang diterima untuk menyambung pengajian di IPTA?

Bagi sesi pengajian 2011/2012, sejumlah 64,703 calon lepasan STPM/Matrikulasi/ Asasi telah memohon untuk Program Ijazah Pertama. Daripada bilangan tersebut, seramai 53,216 calon telah mencapai kelayakan minimum bagi mengisi sebanyak 41,267 tempat yang ditawarkan. Jumlah tawaran tempat sebanyak 41,267 ini menunjukkan peningkatan 1.9 peratus (%) berbanding tahun sebelumnya. Sesi lalu hanya 40,506 sahaja tempat ditawarkan.

Pada sesi kali ini, seramai 29,838 daripada 39,998 pemohon bumiputera atau 74.6% peratus berjaya menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Pertama, manakala 9,457 (daripada 10,677) atau 88.6% adalah pelajar berketurunan Cina dan 1,972 (daripada 2,541) atau 77.6% bagi pelajar kaum India dan lain-lain.

Setiap tahun, menjelang kemasukan pelajar baru ke IPTA, pasti timbul pelajar yang tidak ditawarkan kursus yang dipohon seperti kursus kritikal, sebaliknya diberikan kursus yang lain. Disebabkan itu, ada pelajar tidak mahu mendaftar. Apa penjelasan Datuk Seri?

Proses pemilihan kemasukan pelajar ke IPTA adalah berasaskan prinsip meritokrasi dengan mengambil kira komponen akademik 90% dan kokurikulum 10%. Kejayaan seseorang calon memperolehi tempat pengajian di IPTA bergantung kepada susunan merit dan pemilihan program pengajian yang dipohon.

Sekiranya merit mereka tidak begitu tinggi dan memohon lapan pilihan dalam program pengajian kompetitif, kebarangkalian mereka tidak mendapat tawaran program pengajian sebagaimana yang dipohon adalah tinggi. Calon-calon ini akan ditawarkan program pengajian di luar pilihan tetapi mirip dengan pilihan mereka di IPTA yang terdapat kekosongan.

Bagaimanapun sekiranya terdapat kes di mana seseorang calon ditawarkan program pengajian yang sangat berlainan daripada bidang pengajian yang dipohon, rayuan pelajar akan diteliti dan ditimbang tertakluk kepada kekosongan tempat di IPTA.

Prestasi kemasukan bagi tahun ini pula menyaksikan sejumlah 25.6% pelajar mendapat tawaran Pilihan Pertama mereka dan 81% pelajar pula mendapat tawaran dalam pilihan iaitu Pilihan 1 hingga Pilihan 8. Sementera itu, hanya 19% sahaja yang mendapat tawaran di luar pilihan calon.

Bagi calon yang mendapat tawaran di luar pilihan mereka, proses pemilihan mengguna pakai indikator persetujuan terima calon mendapat tawaran selain 8 pilihan mereka. Namun begitu, Unit Pusat Universiti (UPU) akan menawarkan program pengajian yang ada kekosongan serta bidang yang mirip dengan 8 pilihan calon.

Sebenarnya kejayaan mendapat tempat di universiti bergantung apa yang dipohon dan universiti mana yang dia pohon.

(Utusan Malaysia, 29 Ogos 2011)

 

Saturday, August 27, 2011

Huffaz Palestin di Melaka


 
 
 
 
Haluan Palestin, sebuah sekretariat di bawah Haluan Malaysia telah berjaya membawa dimensi baru kepada usaha-usaha membantu masyarakat Islam Palestin sepanjang bulan Ramadhan tahun ini. Dimensi baru yang dimaksudkan ialah membawa sepuluh orang huffaz al-quran dari Palestin untuk mengimami solat tarawih di masjid dan surau terpilih seluruh Malaysia.

Program ini menjadi realiti apabila Haluan bergabung dengan Rabitah Ulama’ Palestin dengan sokongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan para huffaz tersebut memulakan tugas mereka seawal minggu pertama Ramadhan. Sambutan daripada masyarakat Islam sangat menggalakkan sehingga terpaksa melepaskan beberapa undangan kerana pertindihan tempat.

Negeri Melaka turut mendapat khidmat salah seorang huffaz iatu Suhaib Said Bakr Hassan yang berusia 20 tahun. Beliau mula belajar menghafal al-quran sejak umur lima tahun.

Ketika ini menuntut di University of Balqa, Jordan dalam bidang kejuteraan elektrik. Berasal dari Ramallah, Tebing Barat, Suhaib adalah anak bongsu daripada lapan orang adik-beradik. Ketika ditanya bagaimana perasaannya dapat menjejakkan kaki ke Malaysia, beliau menyifatkan Malaysia adalah sebuah negara yang aman, masyarakat yang harmoni dan pelbagai budaya hidup dalam suasana toleransi yang tinggi.

Saya ingin sekali tahu bagaimana Suhaib boleh menghafal al-quran, tentu dia memiliki tip untuk cepat menghafal ini. Jawabnya mudah. Pertama, tentukan masa yang paling sesuai untuk baca dan hafal. Beliau memilih tempoh selepas subuh hingga zohor untuk ulangkaji, mentelaah dan menghafal ayat-ayat al-quran. Kesannya jauh berbeza jika seseorang cuba menghafal ketika waktu petang atau malam kerana kedua-dua masa ini sangat tidak produktif untuk ingatan.

Sepanjang pemerhatian saya ketika membawa Suhaib ke masjid dan surau seluruh Melaka, dia mencuba semua jenis makanan dan minuman yang dihidangkan. Dua tiga hari pertama, nampak sedikit kekoknya semasa makan nasi, nasi beriyani dan nasi uduk. Saya dan rakan-rakan benar-benar memahami keperluan makanannya dan kami berusaha membawanya ke kedai makanan Arab di Bukit Beruang supaya rasa rindu kepada roti dan nasi Arab dapat dipenuhi.

Masuk minggu kedua, Suhaib sudah dapat menyesuaikan diri dengan makanan berempah dan rasa pedas cili padi. Sikapnya yang tidak memilih jenis makanan menjadikan program sepanjang bulan Ramadhan kali ini lebih lancar, jika tidak kami perlu berusaha lebih untuk menyediakan keperluan makan dan minum yang sesuai.

Selain mendapatkan surat kebenaran dari Jakim, Haluan Palestin turut mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) untuk memudahkan pergerakan imam Palestin khususnya menjadi imam solat isya’ dan tarawih. Alhamdulillah, setiap tempat yang dihadiri mendapat sambutan yang menggalakkan daripada jemaah malah ada yang berharap program seperti ini akan dilaksanakan lagi pada tahun depan.

Di samping menjadi imam, program ini juga bertujuan mengutip sumbangan daripada jemaah untuk disalurkan kepada masyarakat Palestin. Bulan Ramadhan adalah bulan berkat, sempena dengan keberkatan bulan ini, jemaah dan masjid mengambil kesempatan mengumpul sumbangan masing-masing dan diserahkan kepada Haluan Palestin.

Penganjuran program ini disambut baik oleh masyarakat Islam termasuk pemimpin kerajaan dan ahli politik. Salah sebuah masjid yang mengambil bahagian, Masjid Al Muhajirin, Penjara Sungai Udang, Melaka telah menganjurkan majlis berbuka bersama kakitangan penjara Zon Selatan. Seiring dengan majlis itu, sumbangan kepada ibu-ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan anak-anak yatim Paya Sum Sungai Udang, Melaka disekalikan dengan serahan kutipan bagi tabung Haluan Palestin oleh YB Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri, Datu Wira Abu Seman.

Di surau Taman Merbok, Bukit Katil, majlis serahan sumbangan kepada Tabung Haluan Palestin telah disempurnakan oleh YB Datuk Mat Sirat Abu, ahli parlimen Bukitl Katil. Kehadiran beliau untuk bersama-sama menunaikan solat tarawih sangat dihargai khususya dalam membantu masyarakat Islam Palestin yang sedang diuji Allah swt.

Selain itu, sumbangan untuk tabung Haluan Palestin dilancarkan di surau dan masjid yang dihadiri oleh Suhaib. Antaranya ialah surau Taman Bukit Terendak, Pusat Islam Politeknik Merlimau, surau Taman Merbok, Bukit Katil dan surau Taman Tasik Utama, Ayer Keroh. Keprihatinan dan kepedulian msyarakat Islam di Melaka amat mengharukan dan kita berharap Allah swt akan memberi ganjaran yang berlipat ganda kepada semua penyumbang dan penderma.

Sebelum meninggalkan Suhaib, saya sempat membisik kepadanya dengan memaklumkan, Insya Allah, kita akan berjumpa lagi pada tahun hadapan. Program Imam Palestin pada Ramadhan tahun ini sangat memberi pendedahan kepada Haluan Melaka dalam pengurusan dan pelaksanaan program yang bersifat jamai’ kerana dapat memberi sumbangan yang besar kepada kesedaran masyarakat Islam terhadap isu Palestin. 



Tuesday, August 23, 2011

Program Pemimpin Muda AKEPT







Inisiatif Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) melancarkan program Pemimpin Muda dari kalangan pensyarah-pensyarah muda seluruh universiti awam di Malaysia merupakan langkah awal ke arah melahirkan barisan pelapis kepemimpinan baru dalam sejarah pendidikan negara.

Pembentukan pemimpin yang berwibawa ini menjadi kayu ukur kepada keupayaan Kementerian Pengajian Tinggi untuk merealisasikan hasrat negara sebagai hab kepada pendidikan antarabangsa kerana pemikiran pemimpin muda lebih dinamik dan terbuka dalam pelbagai aspek. Program ini juga menjadi asas kepada pembentukan data modal insan dari kalangan pensyarah muda untuk bersama-sama membangunkan negara.

Pemimpin Muda adalah kesinambungan daripada program akademia muda kementerian untuk menyuburkan budaya akademia melalui penerapan nilai-nilai tinggi. Suntikan nilai-nilai yang lebih segar tentu membolehkan 25,000 pensyarah mudah di institusi pengajian tinggi awam menjadi lebih baik daripada pensyarah senior yang sedia ada.

Beberapa perkara yang menjadi perhatian AKEPT sendiri ketika ini ialah ciri-ciri yang perlu diketahui oleh golongan pensyarah muda sendiri iaitu proses pembelajaran dan pengajaran sudah beralih daripada berfokuskan pensyarah kepada berfokuskan pelajar (student centred), suatu yang jarang diberi perhatian oleh pensyarah lama. Perkembangan teknologi maklumat, penerimaan pembelajaran dalam talian dan dunia gajet yang berkembang pantas, pelajar lebih cepat mendapat maklumat daripada pensyarah.

Proses penilaian juga menunjukkan perubahan yang ketara. Jika sebelum ini peperiksaan, kuiz, laporan projek yang diberi keutamaan, kini kaedah penilaian tidak lagi melihat peperiksaan sebagai elemen pengukur keupayaan pelajar.

Sebaliknya proses menilai semakin dinamik dan keutamaan diletakkan ke atas kebolehan pelajar membuat analisis kritikal terhadap sesuatu isu bagi memecahkan masalah dan memberikan pilihan penyelesaian mereka. Sebenarnya kaedah ini lebih mencabar namun memberi banyak manfaat kepada pelajar untuk masa depan mereka sendiri.

Jurang di antara pensyarah dan pelajar wajar dikecilkan. Persepsi bahawa pensyarah berada pada status tertentu mungkin tidak lagi televan kerana dalam kalangan pelajar hari ini ada yang bertaraf warga emas, pekerja profesional dan ahli perniagaan yang dahagakan ilmu.

Konsep universiti hanya untuk golongan remaja sudah tertinggal, justeru pensyarah perlu mengubah cara dan pendekatan mereka ketika berhadapan dengan pelajar dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang. Mereka perlu menjadi kawan dan rakan kepada pelajar tanpa memberi kompromi kepada kualiti pengajaran dan graduan yang dilahirkan.

Perkara yang menjadi perhatian dan sering disuruh oleh universiti ketika ini ialah melakukan seberapa banyak penyelidikan dan menerbitkannya dalam jurnal berimpak tinggi. Kategori penyelidikan ini juga diskopkan kepada kesesuaiannya kepada negara, mampu dimiliki dan boleh dilaksanakan. Tumpuan menerbitkan artikel dalam jurnal yang berkualiti menjadi cabaran besar kepada pensyarah muda yang masih terkial-kial dan mula mencari rentak dalam dunia akademik.

Program Pemimpin Muda menepati kehendak negara dalam dunia akademik. Pensyarah muda ini suatu hari nanti akan menjadi pemimpin pelapis kepada institusi pendidikan sedia dan bakal menyumbang kepada pembangunan negara. Mereka juga yang akan menjadi naib canselor, timbalan naib canselor, profesor, penulis buku ilmiah dan tokoh masyarakat.

Secara tidak langsung, pensyarah muda ini bakal menjadi pemimpin dalam bidang yang mereka kuasai. Kepemimpinan ini dipecahkan lagi dalam bidang yang lebih khusus iaitu pemimpin akademik, pemimpin penyelidikan, pemimpin masyarakat dan pemimpin penulisan.

Pelaksanaan Pemimpin Muda ini harus mengenengahkan watak dan sosok yang menjuarai bidang kepakaran masing-masing kerana ada pemimpin akademik yang tidak dikenali tetapi menghasilkan sejumlah penulisan dan penyelidikan dalam dunia akademik. Masyarakat lebih mengenali pemimpin yang banyak bercakap dan muncul di media tetapi yang lainnya langsung tidak dihiraukan. Cabaran inilah yang perlu diberi perhatian supaya gabungan kepemimpinan ini mengahsilkan sinergi yang utuh kepada pembangunan negara dan mewujudkan pelapis yang kuat.  

 

Sunday, August 21, 2011

Mentaliti tidak menyerah kalah




Orang-orang muda yang baru menamatkan alam persekolahan dan mula mencari kerja sentiasa berhadapan dengan persaingan yang sengit. Bahkan kita yakin, dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia, mereka perlu bersaing dengan graduan yang jauh lebih baik dalam pelbagai bidang. Andai lulusan universiti belum dapat dijamin kerjaya mereka, apatah lagi lulusan SPM.

Kepada orang muda yang kecewa kerana gagal mencari pekerjaan, anda sebenarnya jauh lebih baik daripada mereka yang tidak pernah mencuba. Ramai orang yang telah berjaya beberapa kali menemui kegagalan dalam usaha mereka.

Contohnya, dua orang penulis buku motivasi telah bepusing-pusing mencari penerbit yang sudi menerbitkan buku mereka. Bukan sekali malah 33 kali mereka berdua mencari penerbit, namun semuanya gagal. Semangat tidak mahu kalah menyebabkan mereka berusaha lagi.

Kali ke-34 baharulah seorang penerbit mahu mendengar dan menerima manuskrip buku Chicken Soup for the Soul. Hari ini, buku tersebut dijual lebih 80 juta naskah di seluruh dunia. Ia terjadi kerana kegagalan tidak pernah wujud di minda penulis buku berkenaan.

Friday, August 19, 2011

Tangani segera isu murtad




Pendedahan media tentang aktiviti sebuah pusat tuisyen yang mengajar kanak-kanak Islam mengenai agama kristian sangat mengejutkan masyarakat. Pada umur tujuh tahun, kanak-kanak itu menjadi sasaran kelompok pengembang agama kristian yang berselindung di sebalik institusi pendidikan. Ia tidak berlaku di ceruk kampung sebaliknya di bandaraya Kuala Lumpur, tempat tumpuan masyarakat Malaysia.

Dalam masa dua tiga hari lagi maklumat pelajar yang dipengaruhi pasti akan mudah diperoleh dalam Internet. Manakala pusat tuisyen tersebut akan dipantau oleh orang ramai yang mula marah dengan gerakan kristianisasi ini.

Minggu lepas kita didedahkan dengan aktiviti sebuah gereja yang menarik sebilangan kecil orang Islam untuk menjadi pengikut agama mereka melalui nyanyian, kuiz dan soal jawab. Hari ini pelajar sekolah cuba diajar agama kristian di pusat tuisyen. Apa pula yang akan berlaku esok? Barangkali akan ada orang Melayu yang muncul untuk mengaku dia seorang penganut kristian di Malaysia.

Murtad bukannya isu kecil dan tidak boleh disembunyikan daripada pengetahuan masyarakat. Rata-ratanya kita membaca pendedahan di media sebab musabab orang Melayu yang mudah ke gereja atau terpengaruh dengan ajakan mubaligh ini adalah kerana keadaan ekonomi yang sangat teruk. Dalam menangani permasalahan umat ini, di mana wang zakat yang didakwa berjumlah ratusan juta ringgit setiap tahun? Adakah kerana terlalu banyak sehingga tidak dapat mengenal pasti keutamaan memberi zakat kepada asnaf yang layak? Apabila timbul isu cuba memurtadkan orang Islam, barulah agensi zakat dan lebih-lebih Baitulmal bersuara, itupun hanya sekejap.

Tanggungjawab institusi dalam masyarakat Islam amat signifikan kerana tidak semua orang Islam berkemampuan untuk meneruskan hidup. Ada yang merempat di kaki lima, menumpang di rumah jiran dan mendapat ehsan orang ramai untuk makan dan minum.

Dalam keadaan begini, di mana perginya pegawai institusi yang lebih suka memakai baju dengan bertali leher untuk berjumpa kumpulan sasar. Mereka harus sedar bahawa bantuan kebajikan tidak hanya menjadi hak eksklusif institusi agama sebaliknya diambil juga peranannya oleh pertubuhan bukan kerajaan sama ada Islam ataupun bukan Islam yang kebanyakannya dipelopori oleh pertubuhan yang cenderung dengan agama.

Bailtulmal dan institusi agama Islam perlu bekerja mencari golongan yang susah ini ke merata tempat. Mereka wajar menggunakan saluran media yang lebih terbuka hari ini untuk meminta bantuan orang ramai menyalurkan maklumat supaya orang miskin, susah dan terlantar mendapat hak mereka.

Masa untuk menunggu di dalam pejabat berhawa dingin dan bersidang sudah tidak sesuai kerana ancaman memurtadkan umat Islam semakin meningkat. Kes yang didedahkan hanya berlaku di Kuala Lumpur, bagaimana pula di bandar-bandar besar lain, tentu kes serupa ada di mana-mana kerana kemiskinan dan kemelaratan hidup belum dapat dihapuskan di negara ini.

Walaupun ada enakmen yang memperuntukkan hukuman kepada mana-mana pihak yang cuba memurtadkan orang Islam, ia masih lagi bersifat akademik kerana kebanyakan kes diselesaikan secara kaunseling. Saranan Timbalan Perdana Menteri  isu ini diberi perhatian amat wajar supaya masyarakat tidak memandang serong agama masing-masing yang kelak boleh memecah-belahkan masyarakat yang berbilang agama ini.
 


Marah membawa padah




Jika seorang rakan kita marah-marah dan tidak dapat dikawal, dia dikatakan tidak sabar dan beremosi. Kalau keadaan tersebut tidak dapat ditenteramkan, marah jenis ini hanya memburukkan keadaan malah mengundang rasa tidak senang kepada orang lain.

Apakah erti marah? Pertama, marah menandakan harga diri yang rendah. Sukar bagi orang lain, rakan-rakan dan saudara mara hendak memberi hormat kepada orang memiliki harga diri yang rendah.

Kedua, lebih banyak kecewa daripada bahagia. Orang lain memandang orang yang mudah marah sebagai mudah sensitif dan 'cepat merah telinga' kerana sukar hendak diajak bergurau. Setiap perkara yang remeh dan lawak dianggap serius. Jadi, siapa yang hendak berkawan dengan orang jenis ini?

Ketiga, apa yang dilakukan oleh orang yang marah- tumbuk dinding? Menghempas barang? Menjerit? Semuanya ada. Risiko kerosakan dan kecederaan lebih besar kalau berkawan dengan orang yang mudah marah.

Dalam kalangan kita, ada yang dihimpit masalah kewangan, hutang kad kredit, hutang sewa kereta, sewa rumah dan banyak lagi. Andainya masalah ini dilayan dengan emosi marah, semua masalah tidak akan selesai kerana kaedah terbaik menyelesaikan kekusutan jiwa dan fikiran ialah dengan sabar.


 

Thursday, August 18, 2011

Bekas kotak tisu dalam kereta




Suatu hari saya ke pasar raya untuk membeli sebuah bekas kotak tisu. Memang agak lama saya tidak menggunakan bekas untuk kotak tisu dalam kereta saya kerana tidak melihat kotak tisu sebagai satu alat yang penting. Harga bekas kotak tisu ini tidaklah mahal tetapi coraknya sangat cantik.

Sebelum ini saya membiarkan saja kotak tisu dalam kereta tidak berbungkus kerana tidak menilai kepentingan kotak tisu itu dibungkus lawa-lawa. Saya tidak fikir orang yang menumpang kereta saya berfikir yang bukan-bukan tentang pemilik kereta. Namun, persepsi saya terhadap kotak tisu dalam kereta saya tiba-tiba berubah apabila memikirkan tentang 'apa orang fikir tentang peribadi kita'.

Kerap kali saya memandang bekas kotak tisu dalam kereta saya kerana merasakan ada satu perubahan yang agak ketara dalam penampilan kotak tisu kali ini. Sesekali rasa bangga dan bahagia.

Kotak tisu memberi satu pengajaran dalam prinsip hidup saya. Kadang kala saya kurang memberi tumpuan kepada perkara-perkara kecil yang boleh membentuk persepsi orang lain terhadap diri saya. Persepsi ini membuatkan kita dipandang rendah, personaliti yang tidak mesra dan cara fikir yang ganas.

Kotak tisu mengajar saya tentang memberi perhatian kepada nilai-nilai estetika walaupun kecil. Barulah saya faham, dalam hidup kita, semua perkara mesti diberi perhatian, insya Allah barulah akan datang kesempurnaan dalam hidup.

 

Wednesday, August 17, 2011

Sains dan matematik, tidak ada prinsip




Isu mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris belum lagi selesai rupanya apabila Kementerian Pelajaran kembali membangkitkan hasrat untuk melihat semula keputusan yang dibuat sebelum ini. Alasan yang diberikan ialah terdapat permintaan daripada ibu bapa yang mengharapkan kedua-dua subjek itu diajar dalam bahasa Inggeris menggunakan kaedah dua bahasa.

Apakah yang sebenarnya hendak dibangkitkan dalam isu ini? Dasar Pelajaran Kebangsaan yang dimulakan lebih separuh abad lalu telah mantap dan hanya perlu penambahbaikan dalam beberapa perkara sampingan dan tidak perlu membuat rombakan kepada perkara teras.

Pelaksanaan dasar pendidikan di negara ini telah berjaya melahirkan generasi baru Malaysia yang boleh berbahasa Melayu dengan baik dan membentuk pemikiran yang menjadikan perpaduan sebagai asas pembentukan sebuah bangsa yang merdeka. Anak-anak muda bukan Melayu hari ini tidak mengalami masalah untuk berkomunikasi sesama mereka dan rakan-rakan yang lain dalam bahasa Melayu.

Pelaksanaan dasar yang sering kali berubah menyebabkan ramai pihak yang tidak senang duduk. Isu sains dan matematik ini telah menghimpunkan tokoh-tokoh bahasa dan pembangkang untuk mendesak kerajaan mengembalikan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu.

Sistem pendidikan di Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya telah berjaya melahirkan ramai graduan yang memiliki tahap ilmu yang tinggi. Para pelajar sekolah turut bercita-cita meneruskan pengajian di institusi pendidikan tinggi tempatan walaupun kos pendidikan semakin meningkat kerana pelbagai faktor.

Idea mengembalikan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris hanya mengundang rasa tidak senang dalam masyarakat kerana isu ini telah pun dianggap selesai sebelum ini.

 

Tuesday, August 16, 2011

Manado: ‘Aman tetap aman’




oleh Karim Raslan

Setelah beberapa minggu di jalanan menjelajah Indonesia, fikiran saya sudah mula bermain helah. Pada mulanya, saya menyangka ini mungkin kerana rasa rindu pada Malaysia. Saya tiba di kota-kota ini, kadangkala buat pertama kalinya - tetapi saya merasakan seolah-olah imej-imej yang bermain di mata, telah kelihatan sebelumnya, jauh di sudut minda. Mungkin wajah itu pernah saya temui, deretan kedai itu pernah saya kunjungi, gunung-ganang dan pepohon yang membarisi jalan itu pernah saya lihat - di mana sahaja saya menoleh, saya dihantui masa silam, nostalgia yang kadangkala menimbulkan rasa sayu di hati.

Sememangnya, sebagai seorang rakyat Malaysia di Indonesia, saya kadangkala keliru, dan rasa tersepit di antara dua realiti. Antara keakraban dan rasa jauh, antara rasa ingin diterima sebagai anak tempatan, dan berasa asing di perantauan.

Perasaan sayu ini ditambah rasa marah dan kecewa membaca berita yang melaporkan akhbar dibakar, gereja diserbu, dan perjanjian “bawah-meja” dimeterai- apakah yang akan berlaku kepada tanah air tercinta ini? Isu-isu ini bermain di fikiran saya, bertukar-tukar dengan imbauan memori silam menjelajah negara jiran yang luas ini.

Walaupun begitu, setibanya saya di Lapangan Terbang Manado Sam Ratulangi, saya berasa gembira - maraton siri jelajah saya di Indonesia yang dipenuhi baju kotor menimbun, emel berselerak, jadual tidur tidak menentu dan sakit tekak - sudah hampir berakhir.

Saya tidak menjangkakan apa-apa yang istimewa tentang Utara Sulawesi. Seperti ramai rakyat Malaysia lain, saya tahu bintang filem masyhur zaman 60-an yang menjadi kegilaan kerabat diraja Melayu ketika itu, Maria Manado, berasal dari kepulauan ini. Saya juga tahu majoriti dari 2.5 juta penduduk wilayah ini beragama Kristian (Protestan, bukan Katolik) dan ia lebih hampir dengan Pulau Davao di Filipina berbanding ibu negara Indonesia, Jakarta, yang hanya tiga jam dari Manado.

Namun, setibanya di sana, saya berasakan seperti dibawa ke masa silam dan kembali ke Kota Kinabalu (KK) pada awal 1990an, meningkatkan rasa “déjà vu” saya kerana fikiran tertumpu kepada Malaysia dan isu-isu semasa.

Waktu itu, KK terasa seperti satu projek yang belum selesai, atau baru bermula. Terdapat projek penambakan besar-besaran di sekitar pantai, pelan-pelan bercita-cita tinggi untuk menarik pelancong, ratusan kenderaan pacuan empat roda (yang dipanggil Ninja), wanita kaum Dusun dengan raga besar diikat di belakang sambil mendaki bukit dan jalan baru yang menghubungkan kawasan pedalaman. Ia kotor, berdebu, liar dan penuh dengan cabaran. Pada masa sama, KK waktu itu dan juga hari ini, kota yang aman damai, di mana hubungan antara kaum berkembang sihat - mereka saling mempercayai, bukan seperti di Semenanjung.

Saya menghabiskan masa di Manado, melihat kota aman ini daripada kaca mata seorang pengembara, tertarik untuk membandingkan dua kota persisiran pantai-KK dan Manado yang kedua-duanya dipagari gunung-ganang yang teguh lagi memukau. Akan tetapi, di Manado gunungnya - berapi dan aktif.

Sememangnya, Gunung Seputan sudah kembali aktif sejak beberapa bulan kebelakangan ini- memuntahkan lava dan debu yang sudah beberapa kali menghalang pesawat untuk mendarat di Manado. Apa yang lebih memukau (seperti di KK di mana bandar raya itu berlatar-belakangkan Gunung Kinabalu yang indah), di Manado, anda boleh duduk di tepi pantai dan menghayati pemandangan indah Gunung Manado Tua dekat dengan pelabuhan kota itu.

Seperti kebiasaan, saya berbual-bual dengan pemimpin tempatan, dan salah seorang daripada mereka ialah seorang paderi, Father Nico Gara, seorang ahli majlis hubungan antara kaum di wilayah Sulawesi Utara. Perbualan dengan beliau mengingatkan saya lagi kepada Koya Kinabalu.

“Kami mempunyai rangkaian yang mantap dan boleh campur tangan untuk menenangkan provokasi di mana-mana. Kita bertindak dengan cepat dan bertanggungjawab,” ujar Father Nico menerangkan peranan majlis hubungan antara kaum.

Malah, sepanjang dekad lalu sebahagian besar Timur Indonesia menderita akibat persengketaan antara agama - dari Poso, Maluku dan Ambon. Walau bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Manado telah kekal aman. Ia merupakan rekod yang dicemburui seluruh negara dan sememangnya penduduk tempatan amat berbangga dengan pencapaian ini.

Sesungguhnya ‘aman, tetap aman’ berulang kali menitip bibir penduduk tempatan yang sudah sekian lama mengidamkan ketenangan, damai dan harmoni yang berkekalan...

(Sinar Harian, 16 Ogos 2011)


Saturday, August 13, 2011

Gandakan nilai harta dengan melabur emas




oleh Salleh Majid 

Pertama kali dalam sejarah harga emas melepasi AS$1,800 seauns. Ini berikutan kebimbangan pelabur di Amerika Syarikat selepas had hutang negara tersebut dinaikkan buat kali ke 75 dan kemungkinan kelegaan kuantitatif dilakukan lagi. Emas dilihat sebagai pelaburan yang selamat memandangkan ketidakupayaan kerajaan tersebut mengatasi masalah ekonominya.

Tindakan pelabur ini telah membuatkan Certified Gold Exchange dan J.P.Morgan Chase & Co mengemaskinikan ramalan kenaikan harga emas kepada AS$2,500 seauns.

Sejak 10 tahun lalu harga emas telah meningkat sebanyak 700 peratus (%). Kebimbangan pelabur bukan saja tertumpu kepada apa yang sedang berlaku di Amerika tetapi merebak kepada krisis hutang euro.

Setakat ini Portugal, Ireland, Greece, Sepanyol dan Itali telah mengalami masalah defisit dan kemasukkan Itali, ekonomi ketiga terbesar di Eropah telah menambahkan kebimbangan para pelabur.

Minggu lepas kita telah dikejutkan dengan keruntuhan pasaran saham dunia, seluruh dunia, bukan di Amerika sahaja, malahan Eropah dan Asia hilang nilai modal pasaran bernilai hampir AS$4.4 trilion.

Walaupun keputusan Federal Reserve di Amerika tidak menaikkan kadar faedah melegakan pasaran sementara tetapi dari segi asas, Amerika dan Eropah masih lemah.

Walaupun kejatuhan di Malaysia dari segi peratusan lebih rendah daripada lain-lain bursa, tetapi dianggarkan RM91 bilion telah lenyap daripada nilai modal pasaran saham kita.

Apabila pasaran saham runtuh, pelabur lari mencari tempat yang selamat dan salah satu yang paling selamat ialah emas.

Beralih kepada pelaburan emas di Malaysia, pelaburan emas belum begitu menyerlah terutama sekali di kalangan orang Melayu.

Kebanyakan orang Melayu gemar membeli barang kemas yang dicampurkan dengan logam lain dan bukan seperti emas ketul yang ketulenannya di paras 999.99.

Apabila barang kemas dijual balik potongan sebanyak 30 sehingga 40 peratus dikenakan daripada harga semasa. Oleh itu ada baiknya melabur dengan emas yang ketulenannya 999.99.

Pada sesiapa yang berminat boleh memiliki syiling emas melalui Maybank dan buku simpanan melalui Public Bank.

Saya ingin menyarankan koperasi-koperasi melabur dalam emas. Kita lihat lima tahun dulu harga emas seauns ialah AS$520 dan hari ini sudah mencecah AS$1,800.

Pelaburan inilah yang bukan saja boleh menguntungkan koperasi sendiri tetapi juga ahli-ahlinya.

Keahlian keseluruhan koperasi di negara kita tidak kurang daripada 8 juta orang. Bayangkan kita dapat meningkatkan kekayaan orang Melayu berlipat kali ganda apabila melabur dengan emas.

Memang benar sistem ArRahnu sudah lama diwujudkan selaku pajak gadai Islam dan penggadai memperoleh setakat 65% daripada nilai emas yang dipajakkan. Pada waktu yang sama upah simpan antara 0.5 sehingga 1% dikenakan untuk kadar maksimum selama 6 bulan.

Bagi pihak koperasi, ia boleh memberikan pinjaman untuk membeli emas yang disimpan selaku cagaran oleh koperasi dan ahli diberikan 65% daripada nilai emas yang disimpan dan boleh mengenakan sedikit faedah yang jauh lebih rendah daripada upah simpan melalui ArRahnu.

Kita mempunyai satu-satunya badan koperasi yang memiliki kaitan dengan beberapa koperasi yang lain dan diurus dengan betul serta berhati-hati dalam porfolio pelaburannya iaitu Angkasa.

Angkasa boleh mengambil langkah awal ini yang bakal menguntungkan sejumlah besar keahlian koperasi negara ini. Sekian lama orang Melayu tidak begitu mengambil berat tentang pelaburan emas tulen ini dan banyak pengaruh seperti FOREX yang mengalih perhatian orang Melayu kepada satu-satu pelaburan yang berisiko tinggi.

Satu-satu syarikat bumiputera yang terbabit dengan urusan jual beli emas ini ialah syarikat Serambi Emas yang mempunyai akses kepada London Gold Bullion Market dan pasaran emas di Switzerland, Jepun, Australia dan Dubai.

Sekarang majlis penerangan tentang pelaburan emas sedang giat dikendalikan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat tentang pelaburan emas.

Inilah satu-satunya peluang bagi masyarakat Melayu melipatkan gandakan nilai harta mereka. Usaha-usaha yang lepas telah menunjukkan yang kita masih lagi jauh ketinggalan dari segi memiliki kekayaan.

DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur
(kini Bursa Malaysia)

(Utusan Malaysia 13 Ogos 2011)