Thursday, March 31, 2011

Bina rutin harian

Halangan psikologi terbesar dalam kejayaan pelaksanaan motivasi ialah kepercayaan bahawa watak tidak boleh diubah. Mereka ini berfikir tabiat adalah ciri-ciri yang kekal.
Corak atau pattern tingkah laku yang berulang-ulang sepanjang hari adalah hasil daripada tabiat atau habit, bukannya perwatakan diri yang kekal.
Andainya kita tidak menyukai beberapa corak tingkah laku yang mengganggu kecemerlangan diri, langkah pertama ialah mengenal pasti atau membetulkan kecenderungan ke arah tingkah laku tersebut. Caranya ialah membina kembali tabiat baru yang boleh menjadi rutin harian. Ya, rutin. Bisik kepada diri sendiri ayat-ayat berikut: ‘Saya tidak perlukan disiplin diri... saya tidak perlukan personaliti baru... apa yang saya perlukan ialan rutin.’
Tidak ada salahnya dengan diri sendiri kerana yang penting ialah membentuk rutin. Walaupun proses membentuk rutin ini kadangkala sukar dan menyakitkan, namun di akhirnya nanti kita akan merasai betapa bezanya hidup yang kita lalui selepas itu.

Wednesday, March 30, 2011

Beri perhatian

Apa sahaja yang kita berikan perhatian akan berkembang. Beri perhatian kepada bunga-bungaan di sekitar rumah, bunga-bunga akan berkembang mekar. Beri perhatian kepada minat dan hobi, keghairahan dan pengetahuan kita akan bertambah. Inilah sifat memberi perhatian. Ke mana sahaja kita mengarahkan perhatian, objek atau subjek berkenaan akan berkembang.

Semasa berbual-bual dengan rakan-rakan sekerja atau bercakap dengan anak-anak remaja, tanyakan kepada mereka apakah hasil akhir yang mereka inginkan dalam hidup. Apabila kita memuji rakan-rakan yang sedang berusaha gigih dalam bidang dan profesion masing-masing, beri perhatian kepada hasil yang mereka capai kerana daripada pencapaian berkenaan, kita boleh mengagak ke mana hasil akhir kesudahan kerja mereka.

Memberi perhatian atau tumpuan sangat bertenaga kerana ia seolah-olah seperti wang yang boleh membeli banyak benda. Ia adalah harta yang terpendam yang jarang diberi keutamaan. Belajarlah memberi perhatian dan kita akan lihat perbezaannya.

Tuesday, March 29, 2011

Ubah diri dengan peneguhan positif

Tugas utama pemimpin atau ketua adalah memberi keyakinan dan bersikap optimis. Salah satu cara untuk membentuk sikap optimis ialah menukar peneguhan negatif kepada positif.

Tidak kira apa sahaja kumpulan sasar kita, sama ada pelajar sekolah, usahawan atau penjawat awam, peneguhan positif adalah cara untuk menanam budaya optimis. Pelatih ikan lumba-lumba tidak pernah memukul ikan berkenaan apabila tidak mengikut arahan. Apa yang sering kita llihat ialah setiap kali ikan lumba-lumba melompat seperti yang disuruh, pelatih memberinya seekor ikan sebagai habuan dan galakan.

Pada manusia, kaedah ini boleh juga digunakan khususnya bagi meningkatkan prestasi kerja. Kaedah ini juga boleh dilaksanakan di peringkat komuniti supaya mereka lebih aktif, dinamik dan ceria. Kita boleh namakan ‘kampung contoh’, ‘desa cemerlang’ dan sebagainya untuk menggalakkan komuniti mencipta kejayaan bagi mereka.

Monday, March 28, 2011

Tidak kecewa apabila gagal

Setiap hari, beribu-ribu orang yang gagal. Ada yang gagal mencari kerja, gagal dalam percintaan, terlepas penerbangan dan ada yang tidak lulus peperiksaan. Apabila ramai yang gagal, ia adalah normal. Kita wajar menerima hakikat bahawa kegagalan dan kekecewaan sentiasa silih berganti.

Orang yang gagal biasanya menunjukkan satu corak yang hampir sama seperti menangis, enggan mengakui kelemahan diri dan cuba bersikap pasif kerana menganggap peluang mereka telah tertutup. Jarang ada yang berkata, ‘Oh seronoknya, aku gagal peperiksan!’ atau ‘Merdeka, aku putus tunang!’

Sebenarnya adalah okey untuk gagal dan merasai kekecewaan. Masalahnya ialah bagaimana kita bertindak memberi respons apabila gagal.

Ahli sukan, jutawan, pemimpin dunia dan ahi perniagaan sentiasa menerima dengan hati terbuka bahawa seseorang yang gagal dalam cubaan yang pertama mesti belajar membaiki kebolehan diri supaya tidak mengulangi kesilapan lepas.

Sunday, March 27, 2011

Membina kepercayaan diri

Percaya kepada diri sendiri mesti dibentuk kerana ia tidak timbul atau muncul dengan tiba-tiba. Kepercayaan mesti dicari, dibina dan dibentuk supaya ia sebati dengan diri sendiri. Kita boleh menjadikan banyak sumber sebagai pendorong kepada pembentukan percaya diri ini.

Pertama ialah persekitaran. Seorang penyelidik Bloom, pernah mengkaji 100 atlit, ahli muzik dan pelajar-pelajar yang meraih kejayaan dengan cara luar biasa. Kajiannya itu mendapati kebanyakan daripada mereka tidak bermula dengan kepintaran, kebijaksanaan atau keupayaan dalam masa yang singkat, sebaliknya melalui proses latihan, sokongan dan pemerhatian yang teliti. Selepas itu barulah bakat mereka berkembang.

Kedua ialah pengalaman. Apa sahaja yang berlaku dalam hidup kita merupakan pengajaran yang boleh digunakan untuk merangsang kepercayaan, menukar pemikiran negatif ke positif dan membina kembali kekuatan diri.

Ketiga ialah hasil kerja terdahulu. Kejayaan membiakkan kejayaan. Begitu juga kepercayaan diri, ia boleh membiakkan kepercayaan setelah kita berjaya melaksanakan tugasan-tugasan sebelum itu dengan baik.

Ketiga-tiga sumber ini boleh menjadikan kualiti hidup kita lebih baik dan menajamkan fokus terhadap impian hidup. Kekentalan mental dan fizikal dapat menyuntik kekuatan baru kepada cara fikir dan cara kerja kita.

Lihat punca masalah

Sama ada kecil ataupun besar masalah yang yang dihadapi, prinsipnya adalah sama iaitu lihat dengan jelas punca masalah. Kerap kali berlaku masalah-masalah kecil membayangi isu yang lebih besar menyebabkan kita terlepas pandang masa satu yang lebih penting.

Kebanyakan orang terkesan kerana masalah-masalah yang berlegar di sekeliling kepala mereka – tidak ada duit, kesihatan semakin merosot, keupayaan fizikal terhad dan macam-macam lagi. Lalu mereka mencuba pelbagai pendekatan untuk mengatasinya.

Salah satunya ialah membuat perbandingan. Katakan wang menjadi punca masalah. Jalan keluarnya ialah membandingkan keadaan diri kita dengan orang miskin, orang yang tidak ada wang dan melarat. Tentulah kita berasa lega kerana masih ada sedikit wang ataupun sekurang-kurangnya rakan-rakan yang boleh meminjamkan wang. Perasaan lega ini memberi sedikit ruang kepada kesesakan ruang fikiran namun tidak banyak membantu kepada masalah utama iaitu tidak cukup wang.

Jika menggunakan prinsip: lihat dengan punca masalah, kekurangan wang sangat berkaitan dengan keberkesanan mengurus sumber dan punca kewangan. Walaupun berat hati hendak menabung atau membuat simpanan, kita patut menjadikan kaedah ini sebagai pilihan kerana ia adalah satu kaedah paling mudah. Apa yang hendak disimpan? Dua pilihan iaitu sama ada wang atau emas.

Apabila pengurusan wang dapat dibaiki, punca kepada keputusan wang setiap bulan boleh diatasi dan simpanan kita pula semakin bertambah.

Saturday, March 26, 2011

Beri tumpuan, tukar tabiat

Tabiat, sama ada baik ataupun buruk, sentiasa penting untuk dibincangkan. Tabiat yang baik boleh menjimatkan masa dan usaha, menjadikan hal-hal biasa lebih mudah. Jika kita dapat melatih diri untuk menguasai tabiat-tabiat baik tentang kesihatan, rekreasi, keupayaan membuat keputusan atau pekerjaan, tidak dapat dinafikan kita membentuk tabiat-tabiat kecemerlangan dan kegembiraan.

Satu tabiat yang lain pula iaitu tabiat buruk yang memberi beban dan tekanan. Kita sendiri boleh kenal tabiat baik dan tabiat buruk yang ada pada diri sendiri. Lalu bagaimana menukar tabiat ini?

Harry Lorayne dalam buku ‘Secrets of Mind Power’ menyatakan tumpuan atau konsentrasi adalah kunci kepada perubahan tabiat buruk. Belajar untuk memberi tumpuan kepada bagaimana, di mana dan apa. Selepas beberapa lama, perbuatan tertentu akan menjad tabiat.

Takut berfikir

Dalam sesi taklimat kepada pensyarah-pensyarah baru, seorang penceramah berkata, ‘Saya hairan dengan pelajar-pelajar hari ini, dalam satu jam kuliah, masing-masing minta untuk rehat. Sebabnya, mereka rasa kepala masing-masing sudah penuh.’

Dalam dunia hari ini, kita tidak pernah mendengar ada orang mati kerana kepalanya penuh dengan maklumat. Sebaliknya ramai yang tertidur kerana letih atau bosan mendengar kuliah, ceramah atau syarahan.

Minda kita tidak seperti pemacu keras (hard disc) pada komputer. Minda kita berkapasiti tinggi untuk menyimpan maklumat. Minda boleh disuburkan, dimantapkan dan diperkayakan.

Tidak perlu takut dan risau untuk berfikir dengan minda kerana tidak banyak tenaga yang diperlukan untuk menggunakan otak. Jangan terlalu bimbang untuk berfikir tentang apa yang kita tidak tahu tetapi yang membuatkan kita bermasalah ialah memikirkan perkara yang pasti berlaku dan memang memberi banyak masalah.

Friday, March 25, 2011

Menangi hati kawan

Jika kita keseorangan, maknanya kita tidak cukup kawan. Cara hendak mencari kawan hari ini tidak perlu lagi keluar rumah, cukup dengan memasuki laman sembang dan laman sosial di internet. Dalam laman-laman seperti ini, empat hingga lima ribu rakan baru kita boleh dapat, rakan yang mempunyai minat dan pekerjaan yang sama dengan kita.

Dalam berkawan, ada banyak petua yang boleh diamalkan. Jangan merungut tentang orang lain yang tidak berterima kasih jika kita sendiri tidak berterima kasih. Saya percaya, jika kita memberi kebaikan kepada rakan-rakan kita, suatu hari nanti kebaikan tersebut akan datang kembali kepada kita. Jika bukan dari rakan, mungkin dari orang lain yang kita tidak kenal.

Jika kita memberi cinta, insya Allah cinta akan datang kembali kepada kita sama ada cepat atau lambat.

Seperti juga keinginan untuk dihargai orang lain, tunjukkan penghargaan kita. Dua perkataan yang indah tetapi jarang didengar: terima kasih, wajar menjadi kata-kata harian yang ringan untuk diungkapkan. Gunakan dengan kerap dan kita akan mendengarnya berulang-ulang kali.

Kuasai maklumat

Dalam hidup kita, elakkan daripada menjadi pemerhati sepanjang masa, sebaliknya cuba untuk menjadi pelaksana. Kita tidak akan menjadi pelaksana atau perintis jika tidak mengambil bahagian. Kenapa tidak mahu mencuba? Masa depan, jika kita ditanya dan diminta untuk mengambil bahagian, cuba katakan ‘ya’ berbanding ‘tengok dulu’ atau ‘nantilah’.

Kita akan lebih banyak belajar dan membuka ruang-ruang kemahiran untuk diri sendiri. Katakan kita berfikir tentang sesuatu tindakan, ia tidak menjadi kenyataan apabila berada dalam peringkat ‘berfikir’ sebaliknya menjadi kenyataan apabila melakukan transformasi daripada berfikir kepada bertindak.

Begitu juga dengan maklumat atau pengetahuan yang kita simpan. ‘Knowledge is power’ hanya betul-betul berlaku apabila ada tindakan. Jika tidak menggunakannya, ia kekal sebagai teori.

Minda kita berfungsi begini. Makanan minda ialah apa yang kita belajar dan hasilnya ialah pencapaian. Jika minda tidak diisi dengan idea-idea baru, tentu tidak ada pencapaian. Minda menjadi beku dan tidak lagi memberi manfaat.