Saturday, December 03, 2016

3 Berikanlah peringatan








Firman Allah Subhanahuwata’ala:


وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَىٰ تَنْفَعُ الْمُؤْمِنِينَ
"Dan tetaplah memberi peringatan, maka sesungguhnya peringatan itu memberi faedah kepada orang-orang mukmin". Adz-Dzariyat: 55
                                                                                                                    

Ayat ini menjelaskan bahawa orang beriman akan mendapat manfaat daripada peringatan-peringatan. Keberkesanan peringatan adalah sifat mereka yang beriman dengan Allah Subhanahuwata’ala.

Peringatan terbahagi kepada dua:

1. Peringatan untuk diri

Yakni untuk naqib, masul, murabbi dan da’i sendiri. Dalam konteks ini, setiap masul perlu ingat selalu bahawa kerja­nya adalah untuk fisabilillah. Kita berkerja tidak mengharapkan pujian daripada manusia. Juga kita tidak menunggu ucapan terima kasih daripada sesiapa sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kita perlu benar-benar ikhlas. Kita perlu sentiasa ingat kepada Allah dan RasulNya.

Firman Allah Subhanahuwata’ala :

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا الَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ ۚوَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ
Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama yang lurus. Al-Bayyinah: 5


Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

إنما الأعمال بالنيات و إنما لكل امرئ ما نوى
Sesungguhnya setiap amalan dengan niat. Dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seorang mengikut apa yang ia niatkan.


Kita perlu sentiasa sedar tentang matlamat dan risalah yang dibawa. Setiap perkataan, kerja dan langkah kehadapan adalah kerana Allah Subhanahuwata’ala. Setiap sumbangan yang ditabur adalah semata-mata untuk menjamin keselamatan di akhirat, bukan bermatlamatkan duniawi. Peringatan seperti ini menjadikan jiwa kita bersemangat untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah Subhanahuwata’ala, tanpa rasa jemu atau takut dikritik selagi mana kita berada dalam kebenaran.


2. Peringatan untuk orang lain

Kita perlu faham bahawa kitalah yang perlu memikul tanggungjawab amar ma’aruf dan nahi mungkar. Tugas menyeru kepada ma’aruf dan mencegah kemungkaran perlu dijalankan waktu seseorang selagimana  masih hidup. Di samping itu, dia perlu memerintah diri sendiri agar melakukan amar ma'aruf dan nahi mungkar.

Termasuk dalam peringatan kepada orang lain ialah mengajak manu­sia lain kepada kebenaran (al-haq).

Termasuk dalam peringatan kepada orang lain juga ialah berkumpul, bermesyuarat, memberi pandangan, berfikir untuk membangunkan din Allah Subhanahuwata’ala agar deen kembali berdaulat dalam segala aspek melip­uti ekonomi, kemasyarakatan dan lain-lain.

Oleh: Abu Muhammad (sedutan daripada majalah Al A’in)

No comments:

Post a Comment