Catatan perjalanan Muhaimin, CTRM, Melaka.
Kami sekeluarga berpeluang melawat adik yang menyambung pelajaran di Bangalore, India dalam bidang perubatan. Selepas hampir lima tahun, baharulah kami sekeluarga berpeluang melihat suasana hidupnya sebagai pelajar di sana.
Kami bertolak dari Kuala Lumpur International Airport melalui penerbangan MAS pada jam 10.00 pagi. Perjalanan mengambil masa 3 jam 45 minit. Kami membeli tiket pada harga promosi pada harga RM970 seorang untuk perjalanan dua hala.
Setelah 3 jam 40 minit perjalanan, kami hampir tiba ke destinasi. Dari atas kapal terbang saya melihat pemandangan sekitar Bangalore, tanahnya kelihatan kering seperti lama tidak hujan di sini. Pemandangan dari atas yang sangat berbeza dari Malaysia. Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bangalore pada pukul 11.00 pagi waktu tempatan. Perbezaan waktu di sini adalah 2 jam 30 minit lebih lewat dari Kuala Lumpur. Ketika di kaunter imigresen lapangan terbang, pegawai imigresen menyoal saya beberapa soalan asas seperti tujuan datang, tempat tinggal, nama saudara dan sebagainya.
Keadaan cuaca di sani agak dingin iaitu kira-kira 23°C. Sebelah malamnya pula boleh mencapai 17 °C. Bulan Disember adalah musim sejuk di Bangalore.
Di Bangalore, adik saya tinggal di kawasan yang bernama Gokula. Ramai juga pelajar dari Malaysia tinggal di kawasan ini. Jarak dari Lapangan terbang ke Gokula mengambil masa kira-kira 40 minit. Kawasan sekitar Gokula ini boleh dikatakan kawasan sederhana mewah, banyak apartment dan terdapat juga hotel di kawasan ini.
Kehidupan pelajar Malaysia di sani sungguh harmoni, sama seperti pelajar di Malaysia. Mereka menaiki motor ke kedai membeli barang, lepak di kedai makan bersama rakan, berjogging pada waktu petang, bermain bola keranjang, futsal dan belajar bersama. Melihat ramainya pelajar Malaysia di kawasan Gokula, terdapat beberapa pengusaha kedai makan warga India mengambil peluang membuka kedai makan yang berasaskan makanan Malaysia.
Nasi lemaknya boleh tahan, tetapi sambalnya sedikit pedas dan nasinya tidak begitu lemak. Secara keseluruhan memang baik. Ada juga masyarakat India yang makan sekali bersama kami sekeluarga di kedai ini.
Di Bangalore, terdapat beberapa tempat menarik yang sempat saya kunjungi seperti Nandi Hills. Nandi Hills adalah sebuah bukit yang berketinggian 4851 kaki dari aras laut. Dahulunya di sini adalah sebuah kubu yang dibina oleh Tippu Sultan. Jarak tempat ini dari kawasan bandar Bangalore adalah sekitar 1 jam 30 minit. Kami mendaki Nandi Hills ini dengan menaiki kereta sewa. Pemandangan awal pagi yang sangat menarik dapat dilihat dari atas. Cuacanya lebih sejuk. Nandi Hills ini adalah tempat menarik yang kebiasaannya dilawati oleh pelancong sekiranya bercuti di Bangalore. Jika kena pada cuacanya, kita boleh lihat pemandangan matahari terbit yang sangat cantik.
Seterusnya Bangalore Palace. Ia merupakan kediaman ini dibina oleh Rev J. Garret, warga British yang juga pengetua pertama Central High School di Bangalore pada tahun 1862. Kemudian kediaman ini telah dibeli oleh Maharaja Mysore. Kediaman ini berasaskan seni bina Tudor, Inggeris. Ukiran kayu di bahagian dalaman sangat menarik dan teliti. Perabotnya dipelihara dengan sangat baik sehingga kini. Keindahan seni bina bahagian dalamannya dan kemewahan perabot rekaan zaman dahulu sangat mempersonakan. Bangalore Palace ini terletak betul-betul di kawasan bandar Bangalore yang sangat sesak.
Mahatma Gandhi Road merupakan kawasan membeli-belah terkenal. Banyak kedai berjenama yang terdapat di sini. Jalan rayanya juga sangat sesak. Commercial Streets juga menjadi tempat yang sesuai untuk membeli-belah. Namun fokus barangan di sini bukanlah barangan yang berjenama seperti di Mahatma Gandhi Road. Barangan di sini lebih fokus kepada barangan tradisional seperti kain saree, tudung, gelang tangan dan sebagainya. Ada juga pekedai di sini boleh faham bahasa Melayu.
Saya sempat berbual dengan pemandu kereta sewa yang membawa kami, namanya Fazrullah, seorang muslim. Beliau memaklumkan bahawa Bangalore adalah pusat teknologi maklumat yang besar di India, banyak syarikat dari luar membuka cawangan dan kilang di sini. Boleh nampak juga kilang-kilang semikonduktor dari sekitar jalan raya Bangalore. Katanya kos rasa hidup di Bangalore agak tinggi berbanding kawasan lain di India. Harga barangan keperluan dan makanan agak mahal di sini.
Boleh saya katakan harga makanan di Bangalore ini mungkin lebih mahal sedikit berbanding Kuala Lumpur. Mungkin kami yang memilih kedai makan yang agak baik untuk menjamin status halal dan kebersihan. Banyak juga gerai makanan yang di buka di tepi jalan, saya tidak pasti berapa harga makanannya.
Harga barangan lain seperti baju, kasut, makanan ringan di pusat membeli-belah sama sahaja di Kuala Lumpur. Harga beras lebih mahal. Tetapi harga barangan mentah lain seperti sayur dan telur ayam jauh lebih murah.
Sepanjang jalan terdapat pusat penempatan untuk gelandangan. Sebuah tanah lapang yang dinaikkan khemah untuk golongan gelandangan berteduh. Difahamkan mereka hanya dibenarkan untuk tingal selama tiga bulan sahaja di situ. Setiap tiga bulan mereka terpaksa keluar mencari tempat berteduh yang lain kerana tempat tersebut akan digantikan oleh gelandangan yang lain.
Untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain, tidaklah susah, semuanya dengan Uber. Tuk-tuk juga ada di mana-mana. Saya lebih sarankan Uber. Kami hampir ditipu oleh pemandu tuk-tuk yang menawarkan harga yang mahal berbanding perkhidmatan Uber. Berbanding tuk-tuk yang mengenakan caj Rs300, harga yang diletakkan oleh Uber hanyalah Rs80 dan kereta jenis Toyota Innova. Sangat jauh beza dari segi perkhidmatan dan bayaran yang dikenakan.
Di sini ramai golongan muda yang menjadi pemandu Uber sepenuh masa. Sangat mudah, cepat dan lebih selamat dengan Uber. Pemandu ada di merata tempat. Di Bangalore mereka lebih terkehadapan dalam menggunakan internet untuk kemudahan harian. Mereka lebih maju dalam sistem pembayaran secara elektronik. Hanya mengimbas kod di tempat bayaran menggunakan telefon pintar untuk pembayaran. Mereka menggunakan aplikasi PayTM. Naik tuk-tuk juga boleh menggunakan applikasi ini. Membeli barang juga mudah, terus dihantar ke depan pintu rumah dengan cepat.
Membunyikan hon adalah perkara biasa. Pemandu tidak marah kalau dihon oleh kenderaan lain. Sistem jalan rayanya perlu banyak ditambah baik. Jalan raya dua lorong boleh menjadi empat baris yang sesak dipenuhi kenderaan. Kesesakan jalan raya amat teruk. Ada juga yang membuat unggun api di bahagian tepi jalan raya. Ada yang membuang sampah basah di tepi jalan raya.
Harga minyak agak mahal, sekitar RM4.60 seliter. Kereta model Suzuki memonopoli jalan raya. Harga kereta mereka lebih murah. Sebuah Honda City berharga RM57 ribu berbanding RM72 ribu di Malaysia.
Di sesebuah pasar raya atau restauran yang mewah, sangat ramai pekerja yang berkerja pada satu-satu masa. Ini menjadikan servis mereka lebih cepat. Kebiasaannya pekerja yang bekerja di restauran seperti ini atau di pusat membeli-belah yang besar mereka mempunyai rupa paras yang lebih baik. Pekerja di kedai pizza tempat saya makan malam semuanya berkulit cerah dan bermata sepet. Rupa-rupanya mereka warganegara India yang tinggal berdekatan sempadan Nepal.
Jangan pelik kalau ternampak kedai makan yang tiada kerusi. Kebanyakan kedai makan kecil di sana memang tidak ada kerusi kerana masyarakat mereka boleh makan nasi sambil berdiri. Ada yang makan nasi di depan pintu kedai sambil menikmati pemandangan luar.
Agak janggal untuk masuk ke pusat membeli-belah di sini. Kami terpaksa melalui pemeriksaan yang sangat ketat di pintu masuk. Semua beg terpaksa dibuka, perlu melalui pengimbas, malah badan di periksa dan diimbas lagi sekali.
Kawasan bandarnya boleh dikatakan tidak dirancang dengan begitu baik. Bangunan dibina terlalu rapat dan tidak sekata. Banyak bangunan yang saya lihat sekadar syarat sebuah bangunan sahaja. Aspek ketelitian dan kekemasan sangat kurang diberi perhatian. Ada banyak kedai di kawasan bandar yang saiznya sangat kecil. Lebih kurang dua depa sahaja keluasannya. Namun mereka masih boleh menjalankan perniagaan. Jalan raya mereka sangat kecil berbanding jumlah kenderaan yang berada di atas jalan raya.
Masyarakat di Bangalore seperti tidak terlalu fanatik dengan telefon pintar mereka. Mereka lebih suka berbual dan melakukan sesuatu kerja berbanding menghadap telefon masing-masing. Situasi yang sangat jarang dapat dilihat di Malaysia. Perbezaan taraf hidup di Bangalore ini kelihatan besar. Orang yang kaya memang sangat kaya dan orang yang miskin memang sangat miskin. Boleh dilihat rumah orang kaya dan miskin sebelah menyebelah.
Di sini terdapat minuman menarik yang dikenali “chai”. Chai adalah teh atau kopi yang dicampur susu lembu segar yang diperah. Susu tersebut dipanaskan sehingga menggelegak dan dicampur bersama teh. Rasanya sangat sedap! Kedai yang menjual chai ini sangat ringkas tetapi menarik.
Masyarakat Islam di sini agak ramai. Azan berkumandang sehingga dapat didengar dari jauh. Walaupun majoritinya beragama Hindu, tetapi kebebasan beragama di sini dapat dilihat. Ada juga masjid pengikut syiah dan mereka juga dilihat bebas meluaskan pengaruhnya.
Kolej perubatan sangat banyak disini. Begitu juga dengan Hospital. Boleh dikataksn setiap pemandangan yang saya lihat pasti akan ternampak hospital atau kolej perubatan. Menurut adik saya, gaji seorang doktor perubatan di sini tidak begitu tinggi seperti di Malaysia. Untuk mendapatkan gaji yang tinggi mereka banyak beralih ke sektor swasta. Dengan ramainya penduduk miskin yang sakit dan senang untuk mendapatkan mayat bagi urusan pembelajaran, mungkin menjadi faktor utama pilihan yang baik untuk belajar di sini.
Seminggu berada di Bangalore dapat melihat banyak suasana masyarakat di sini. Banyak yang dapat dipelajari dan diambil iktibar. Terasa sangat bersyukur kehidupan di negara sendiri.
No comments:
Post a Comment