Terdapat beberapa perkara dasar yang perlu
diberikan perhatian oleh da’i.
Pendakwah perlu menentukan qasad atau niat yang
betul dalam berda’wah dan beramal. Qasad kita dalam berda’wah dan ber‘amal
ialah kerana Allah Subhanahuwata’ala semata-mata.
Firman Allah Subhanahuwata’ala:
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا الَّهَ
مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا
الزَّكَاةَ ۚوَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ
“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya
menyembah Allah dengan memurnikan keta’atan kepada-Nya dalam (menjalankan) din
yang lurus, dan supaya mereka mendirikan solah dan menunaikan zakat, dan yang
demikian itulah din yang lurus.” Al-Bayyinah: 5
Imam Syafi’i menyatakan: “Jika saya berdebat
dengan seseorang, maka saya lebih suka sekiranya kebenaran itu dari pihaknya.”
Semasa berdebat Imam Syafi’ tidak bermatlamat
untuk mendapatkan kemenangan, tetapi untuk mendapatkan kebenaran. Beliau
bersikap seperti ini supaya niat atau qasadnya terkawal.
Para pendakwah perlu memiliki sifat dan
budipekerti mulia. Perkara ini selalu kita ulangi agar menjadi malakah pada
diri kita. Antaranya: bersifat
penyayang, sabar, manis
muka, warak, mengelakkan
diri daripada ketawa besar sewaktu berdakwah, menjauhkan
diri daripada hasad, mengelakkan
diri daripada riyak, mengelakkan
diri daripada ‘ujub, dan, tidak memandang rendah orang lain.
Menghormati mereka yang terdahulu berada dan
terus iltizam di atas jalan dakwah iaitu mereka yang lama dan istiqamah
bersama-sama dengan dakwah dan jama’ah.
Para pendakwah perlu faham bahawa Allah
Subhanahuwata’ala adalah matlamat dan terlaksananya ‘ubudiyah hanyasanya
kepada Allah Subhanahuwata’ala juga adalah matlamat. Manakala jama’ah atau daulah
adalah wasilah untuk menuju kepada matlamat itu. Begitu juga segala perkara
yang berkaitan dengan pembinaan kekuatan jama’ah dan daulah dikira sebagai
wasilah seperti penyusunan tandzim, mengatur strategi, memperolehi kuasa dan
seumpamanya. Semua wasilah itu mestilah bertujuan untuk sampai kepada matlamat
‘ubudiyah.
Perlulah dipastikan agar wasilah tidak bertukar
menjadi matlamat. Contohnya ialah mendapatkan kuasa. Janganlah keinginan untuk
mendapat kuasa itu menjadi matlamat. Bahkan matlamat sebenarnya ialah untuk
tegakkan syariat Islam agar lahir ‘ubudiyah kepada Allah Subhanahuwata’ala.
Hakikat ini penting untuk dipegangi dan diyakini agar matlamat sebenarnya tidak
hilang di pertengahan jalan. Kealpaan dari sudut ini telah banyak berlaku dalam
realiti. Banyak jama’ah hilang matlamat asalnya apabila berkuasa, meskipun di
peringkat awalnya menonjolkan matlamat yang jelas.
Berpegang kepada matlamat yang tidak berubah.
Yang berubah ialah wasilah mengikut zuruf, tempat dan masa. Namun perubahan
wasilah itu pun berpijak di atas dasar-dasar yang tetap.
Kita perlu mengurangkan perselisihan sesama
muslim dan dengan orang-orang yang berdakwah di jalan Allah Subhanahuwata’ala.
Eloklah kita menganggap bahawa kita hanya berada di satu penjuru daripada
penjuru-penjuru Islam.
Hassan Al Banna ada berpesan: Tolong
menolong dalam perkara yang kita persetujui, dan maaf bermaafan dalam perkara
yang kita berbeza pendapat.
Janganlah memperkecilkan nasihat dan perkataan
yang baik. Kita faham bahawa hati manusia ada kuncinya. Yang Maha Mengetahui
ialah Allah Subhanahuwata’ala. Kita tidaklah bakhil untuk menyampaikan kalimah
thayyibah atau nasihat yang baik. Kemungkinan nasihat salah seorang daripada
kita menjadi kunci kepada hati seseorang. Kemungkinan juga ada yang menganggap
sesuatu nasihat itu sudah lapuk, tetapi kita tidak tahu kesannya di sisi Allah Subhanahuwata’ala
dan di sisi manusia lain.
Oleh: Abu Muhammad - 13/8/95
No comments:
Post a Comment