Showing posts with label Isu Ahad. Show all posts
Showing posts with label Isu Ahad. Show all posts

Sunday, April 12, 2026

Menjengah undang-undang dan kelemahan sistem dalam kejadian amang seksual di pusat jagaan kanak-kanak


Kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak yang berlaku di Batu Caves baru-baru ini bukan sekadar satu lagi laporan jenayah. Ia adalah cerminan kegagalan sistem dalam melindungi golongan paling rentan dalam masyarakat. Dalam suasana di mana ibu bapa mempercayakan keselamatan anak-anak kepada pusat jagaan, insiden ini menjadi tamparan hebat yang menggugat kepercayaan awam secara menyeluruh.




Berdasarkan pertuduhan yang difailkan di mahkamah, seorang lelaki dikenali sebagai Retna Velu, berusia 25 tahun telah didakwa melakukan amang seksual terhadap lima kanak-kanak lelaki berumur antara lapan hingga 13 tahun. Perbuatan tersebut didakwa berlaku di sebuah pusat jagaan milik sebuah pertubuhan dalam tempoh antara November 2025 hingga 27 Mac 2026. Tempoh yang panjang ini menunjukkan bahawa kejadian tidak berlaku secara terpencil, sebaliknya berulang dalam keadaan yang memungkinkan pelaku bertindak tanpa dikesan lebih awal.

Apa yang lebih membimbangkan, kes ini melibatkan dua bentuk kesalahan iaitu amang seksual fizikal dan bukan fizikal. Kedua-duanya membawa implikasi besar terhadap perkembangan emosi dan psikologi mangsa. Dalam kes ini, sebanyak 12 pertuduhan dikenakan terhadap tertuduh, mencerminkan tahap keseriusan dan kekerapan perbuatan tersebut.

Dari sudut perundangan, kesalahan amang seksual fizikal didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan. Manakala bagi kesalahan amang seksual bukan fizikal, ia didakwa di bawah Seksyen 15(a)(i) akta yang sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, tertuduh turut berdepan tiga pertuduhan lebih berat iaitu melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap dua mangsa yang sama, pada Februari dan Mac 2026. Pertuduhan ini dibuat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan. Gabungan pertuduhan ini memperlihatkan betapa seriusnya jenayah yang dilakukan serta kesan mendalam yang bakal ditanggung oleh mangsa sepanjang hayat mereka.

Namun, di sebalik peruntukan undang-undang yang tegas ini, persoalan utama yang perlu ditanya ialah bagaimana kejadian seperti ini boleh berlaku dalam sebuah institusi yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan. Jawapannya terletak pada kelemahan sistem yang masih belum ditangani secara menyeluruh.

Antara faktor utama ialah akses tanpa kawalan yang diberikan kepada pekerja terhadap kanak-kanak. Dalam banyak kes, pelaku bukan orang luar tetapi individu yang dipercayai dan mempunyai hubungan langsung dengan mangsa. Ini menjadikan jenayah lebih sukar dikesan kerana ia berlaku dalam ruang yang dianggap selamat.

Selain itu, kekurangan pemantauan yang efektif turut menyumbang kepada berlakunya kejadian ini. Ketiadaan sistem pengawasan yang menyeluruh seperti kamera litar tertutup atau kegagalan untuk memantau secara konsisten telah membuka ruang kepada pelaku untuk bertindak tanpa disedari. Dalam keadaan tertentu, nisbah penjaga kepada kanak-kanak yang tidak seimbang juga meningkatkan risiko kerana pengawasan menjadi longgar dan tidak menyeluruh.

Satu lagi kelemahan ketara ialah kegagalan dalam menyediakan mekanisme pelaporan yang mesra kanak-kanak. Mangsa yang masih kecil sering tidak memahami apa yang berlaku kepada mereka atau tidak tahu bagaimana untuk meluahkan. Tanpa saluran yang selamat dan mudah diakses, penderaan boleh berlarutan tanpa sebarang tindakan awal.

Kesan terhadap mangsa pula tidak boleh dipandang ringan. Kanak-kanak yang menjadi mangsa gangguan seksual berisiko mengalami trauma emosi yang mendalam, masalah kepercayaan serta gangguan perkembangan sosial. Kesan ini bukan sahaja berlaku dalam jangka pendek tetapi boleh berlanjutan hingga dewasa jika tidak dirawat dengan sewajarnya.

Dalam masa yang sama, kes seperti ini turut memberi kesan besar kepada kepercayaan masyarakat terhadap institusi penjagaan kanak-kanak. Ibu bapa kini berdepan dilema antara keperluan menghantar anak ke pusat jagaan dan kebimbangan terhadap keselamatan mereka. Sekali kepercayaan ini runtuh, ia sukar untuk dipulihkan.

Justeru, langkah ke hadapan tidak boleh sekadar bergantung kepada tindakan selepas kejadian. Apa yang lebih penting ialah pembaharuan sistem secara menyeluruh dengan undang-undang sebagai teras utama perlindungan.

Undang-undang sedia ada sebenarnya sudah mencukupi dari segi hukuman. Namun, cabaran utama terletak pada penguatkuasaan. Pihak berkuasa perlu memastikan bahawa setiap pusat jagaan mematuhi garis panduan keselamatan yang ketat termasuk pemeriksaan latar belakang pekerja, latihan wajib dan pemantauan berkala.

Selain itu, perlu ada mekanisme audit berkala terhadap pusat jagaan kanak-kanak bagi memastikan pematuhan berterusan. Kegagalan mematuhi standard keselamatan perlu dikenakan tindakan tegas, termasuk penarikan lesen operasi.

Pada masa yang sama, undang-undang juga perlu bergerak ke arah pencegahan bukan sekadar hukuman. Ini termasuk mewajibkan latihan perlindungan kanak-kanak kepada semua pekerja serta memperkenalkan modul pendidikan keselamatan diri kepada kanak-kanak di peringkat awal.

Penglibatan ibu bapa dan masyarakat juga penting, namun tanpa sokongan undang-undang yang tegas dan penguatkuasaan yang konsisten, usaha ini tidak akan mencukupi. Undang-undang perlu menjadi benteng utama yang melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk eksploitasi.

Kesimpulannya, kejadian ini ini harus menjadi titik perubahan dalam pendekatan kita terhadap isu gangguan seksual kanak-kanak. Undang-undang tidak boleh sekadar wujud di atas kertas tetapi perlu dilaksanakan dengan tegas, telus dan tanpa kompromi. Hukuman berat terhadap pelaku adalah penting tetapi lebih penting ialah memastikan sistem yang ada mampu mencegah jenayah daripada berlaku sejak awal.

Jika undang-undang dikuatkuasakan dengan serius, disokong oleh pemantauan yang ketat dan kesedaran masyarakat, kita bukan sahaja dapat menghukum pesalah tetapi juga melindungi generasi akan datang daripada menjadi mangsa. Dalam soal keselamatan kanak-kanak, tiada ruang untuk kelonggaran. Ia mesti menjadi keutamaan mutlak negara.

Sunday, March 15, 2026

Strategi balas yang mengubah peta kuasa Timur Tengah


Serangan pakatan Amerika-Israel ke atas Iran telah menjadikan rantau Teluk Parsi dalam keadaan tegang. Kematian orang awam, kemusnahan harta benda dan tempat kediaman serta kehilangan kebebasan bergerak adalah empat impak yang paling nyata dirasai oleh penduduk Iran. Kematian yang paling tragis adalah pengeboman ke atas sebuah sekolah yang menyebabkan lebih daripada 180 orang pelajar meninggal dunia. Kematian pelajar sekolah ini mengingatkan kita tentang kematian kanak-kanak di Gaza yang ditembak dan dibom oleh tentera-tentera Yahudi.




Peperangan kedua-dua pihak menyebabkan kematian berada diambang pintu rumah. Angka ini akan terus meningkat dari sehari ke sehari apabila ramai yang cedera parah gagal mendapat rawatan segera. Begitu juga dengan infrastruktur seperti bangunan dan kediaman yang hancur terkena bedilan atau serpihan peluru.

Pakatan Amerika-Israel berhadapan dengan kepintaran strategi peperangan Iran yang menggunakan peluru berpandu pelbagai kelajuan untuk membentuk kemusnahan maksimum ke atas sasaran. Bunyi letupan yang dihasilkan juga berbeza mengikut kekuatan dan kelajuan peluru yang turut memberi kesan psikologi kepada penduduk Israel. Kekerapan mendengar bunyi letupan membentuk jiwa yang takut kepada bunyi, badan menggigil dan menggeletar serta menjerit-jerit ketakutan dan bimbang.

Cetusan panik ini meninggalkan kesan kepada mental golongan yang rentan kepada gangguan mental seperti kanak-kanak, orang tua dan ibu mengandung. Mereka mudah panik dan mungkin bergegas keluar tanpa ada aturan.

Iran bukan sahaja membalas serangan di israel, ia juga membalas serangan di pusat pertahanan Amerika Syarikat di negara-negara Arab yang menempatkan bateri peluru. Jadi, Iran berhadapan dengan banyak musuh di sekelilingnya- utara-selatan, timur-barat, atas-bawah, kiri-kanan, depan-belakang.

Hebat juga strategi Iran dalam mengawal bentuk peperangan dan pertempuran. Memusnahkan kubu musuh serentak di beberapa tempat sambil mengebom Israel tanpa henti menjadikan tempo perang semakin mendebarkan. Dalam keadaan ini, Iran tidak sekadar bertindak secara spontan atau emosional, sebaliknya strategi yang digunakan menunjukkan bahawa negara itu telah lama bersedia menghadapi kemungkinan konflik berskala besar dengan pakatan Amerika Syarikat dan Israel.

Strategi Ketenteraan Berlapis

Dari sudut ketenteraan, Iran menggunakan pendekatan yang sering digelar sebagai strategi perang berlapis (layered warfare). Strategi ini menggabungkan beberapa komponen utama seperti peluru berpandu balistik, dron serangan jarak jauh, perang siber dan penggunaan rangkaian sekutu serantau.

Peluru berpandu Iran yang dilancarkan ke arah Israel dan pangkalan tentera Amerika bukan sahaja berbeza dari segi jarak, malah turut berbeza dari segi kelajuan dan ketinggian penerbangan. Sesetengah peluru berpandu bergerak pada kelajuan hipersonik yang sukar dikesan oleh sistem pertahanan udara. Sebahagian lagi dilancarkan dalam jumlah yang banyak bagi mengatasi sistem pemintas seperti Iron Dome.

Strategi ini bertujuan membanjiri sistem pertahanan musuh. Apabila terlalu banyak objek memasuki ruang udara pada masa yang sama, sistem pertahanan tidak mampu memintas semuanya. Dalam keadaan ini, walaupun hanya sebahagian kecil peluru berpandu yang melepasi sistem pertahanan, kerosakan yang berlaku tetap besar.

Selain itu, Iran juga menggunakan dron berani mati yang bergerak lebih perlahan tetapi dalam jumlah yang sangat banyak. Dron ini berfungsi sebagai gangguan awal sebelum peluru berpandu yang lebih berbahaya dilancarkan kemudian.

Gabungan peluru berpandu laju dan dron perlahan ini menyebabkan sistem pertahanan musuh menjadi keliru. Ia ibarat satu permainan psikologi ketenteraan yang memaksa pihak lawan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga tanpa henti.

Perang Psikologi

Selain strategi fizikal, Iran juga menekankan perang psikologi terhadap masyarakat Israel dan sekutu-sekutunya. Setiap letupan, siren kecemasan dan amaran serangan udara memberi tekanan mental yang besar kepada penduduk awam.

Bagi masyarakat yang hidup di bandar-bandar besar seperti Tel Aviv dan Haifa, kehidupan seharian berubah secara drastik. Sekolah ditutup, aktiviti ekonomi terganggu dan orang ramai terpaksa berlindung di bunker hampir setiap hari.

Keadaan ini menimbulkan tekanan emosi yang besar. Kanak-kanak membesar dalam suasana ketakutan, ibu bapa hidup dalam kebimbangan dan warga emas terpaksa berhadapan dengan trauma peperangan sekali lagi. Iran memahami bahawa peperangan moden bukan sekadar memusnahkan infrastruktur, tetapi juga melemahkan semangat masyarakat musuh.

Apabila rakyat hidup dalam ketakutan yang berpanjangan, tekanan kepada kerajaan mereka akan meningkat. Dalam demokrasi moden, tekanan rakyat boleh mempengaruhi keputusan politik dan strategi perang sesebuah negara.

Strategi Ekonomi Iran

Walaupun menghadapi sekatan ekonomi selama bertahun-tahun, Iran telah membina satu sistem ekonomi yang lebih berdikari. Sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat sejak beberapa dekad lalu sebenarnya telah memaksa Iran mengubah struktur ekonominya. Iran memperkukuh sektor industri tempatan, membina teknologi ketenteraan sendiri dan mengurangkan pergantungan kepada import dari Barat.

Selain itu, Iran juga memanfaatkan hubungan ekonomi dengan negara-negara seperti China, Rusia dan beberapa negara Asia lain. Kerjasama dalam sektor tenaga, perdagangan dan teknologi membolehkan Iran terus bertahan walaupun dikenakan sekatan ekonomi yang ketat.

Minyak dan gas kekal sebagai sumber kekuatan ekonomi Iran. Negara ini memiliki antara rizab tenaga terbesar di dunia. Dalam konflik serantau, kedudukan Iran di Teluk Parsi memberikan kelebihan strategik kerana laluan perdagangan minyak dunia bergantung kepada kawasan tersebut.

Selat Hormuz misalnya merupakan laluan penting bagi penghantaran minyak global. Sebarang ketegangan di kawasan ini akan memberi kesan kepada harga minyak dunia. Dengan kata lain, Iran memiliki pengaruh ekonomi tidak langsung terhadap pasaran tenaga global. Ini menjadikan konflik dengan Iran bukan sekadar isu ketenteraan, tetapi juga isu ekonomi global.

Rangkaian Sekutu Serantau

Satu lagi kekuatan Iran ialah jaringan sekutu serantau yang sering digelar sebagai “paksi penentangan”. Rangkaian ini merangkumi beberapa kumpulan dan negara yang berkongsi kepentingan geopolitik yang sama. Antaranya termasuk kumpulan di Lubnan, Syria, Iraq dan Yaman. Kewujudan rangkaian ini membolehkan Iran menghadapi musuhnya di pelbagai medan secara serentak. Jika tekanan meningkat di satu kawasan, tekanan lain boleh muncul di kawasan lain.

Strategi ini menjadikan peperangan lebih kompleks kerana pakatan Amerika-Israel tidak hanya berhadapan dengan satu negara, tetapi berhadapan dengan rangkaian yang lebih luas. Dalam peperangan moden, keupayaan membuka banyak medan konflik serentak merupakan satu kelebihan strategik yang besar.

Dimensi Sosial Peperangan

Peperangan juga memberi kesan besar kepada struktur sosial masyarakat Iran. Walaupun berhadapan dengan tekanan ketenteraan dan ekonomi, banyak rakyat Iran menunjukkan semangat nasionalisme yang tinggi.

Dalam sejarah moden Iran, ancaman luar sering menjadi faktor yang menyatukan masyarakat. Naratif mempertahankan kedaulatan negara digunakan oleh kerajaan bagi membangkitkan semangat rakyat.

Media tempatan memainkan peranan penting dalam menyebarkan mesej perpaduan dan ketahanan nasional. Kisah-kisah keberanian tentera, pengorbanan rakyat dan keteguhan masyarakat disiarkan secara meluas. Ini bertujuan mengekalkan moral masyarakat agar tidak mudah goyah. Dalam konteks ini, peperangan bukan sahaja berlaku di medan tempur tetapi juga di medan naratif dan persepsi.

Politik Serantau dan Diplomasi

Dari sudut politik serantau, Iran juga menggunakan strategi diplomasi bagi mengimbangi tekanan ketenteraan. Hubungan dengan beberapa negara Asia Barat semakin berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sebahagian negara Arab mula mengambil pendekatan yang lebih pragmatik terhadap Iran, terutamanya selepas beberapa perjanjian normalisasi hubungan diplomatik.

Perubahan ini menunjukkan bahawa geopolitik Timur Tengah sentiasa dinamik. Negara-negara serantau semakin menyedari bahawa konflik berpanjangan hanya akan merugikan kestabilan ekonomi dan keselamatan rantau.

Dalam masa yang sama, Iran juga memperkukuh hubungan dengan blok negara yang tidak sepenuhnya sejajar dengan Barat. Kerjasama dengan Rusia dan China memberi ruang kepada Iran untuk mengimbangi tekanan geopolitik dari Amerika Syarikat.

Perang Siber dan Teknologi

Satu lagi dimensi yang semakin penting dalam konflik moden ialah perang siber. Iran diketahui mempunyai keupayaan siber yang semakin berkembang. Serangan siber boleh menyasarkan sistem komunikasi, infrastruktur tenaga, rangkaian kewangan dan sistem pertahanan.

Serangan jenis ini sukar dikesan secara langsung tetapi kesannya boleh menjadi sangat besar. Dalam peperangan moden, gangguan terhadap sistem digital boleh melumpuhkan operasi ketenteraan tanpa perlu menggunakan peluru atau bom. Ini menjadikan medan perang abad ke-21 jauh lebih kompleks berbanding peperangan konvensional.

Kesan Global Konflik

Konflik antara Iran dan pakatan Amerika-Israel tidak hanya memberi kesan kepada Timur Tengah. Ia juga memberi kesan kepada ekonomi dan keselamatan global. Harga minyak dunia boleh meningkat secara mendadak apabila ketegangan di Teluk Parsi meningkat. Laluan perdagangan antarabangsa juga boleh terjejas.

Selain itu, konflik ini berpotensi mencetuskan ketidakstabilan politik di negara-negara jiran. Apabila peperangan berlarutan, tekanan terhadap masyarakat awam akan meningkat. Krisis kemanusiaan, perpindahan penduduk dan kerosakan infrastruktur boleh menjadi cabaran besar bagi rantau tersebut.

Masa Depan Konflik

Persoalan yang sering timbul ialah sejauh mana konflik ini akan berlarutan. Dalam sejarah geopolitik Timur Tengah, konflik jarang berakhir dengan kemenangan mutlak mana-mana pihak. Sebaliknya, ia sering berakhir dengan keseimbangan tekanan yang memaksa semua pihak mencari penyelesaian diplomatik.

Iran, Amerika Syarikat dan Israel masing-masing mempunyai kekuatan dan kepentingan strategik yang besar. Oleh itu, sebarang eskalasi besar boleh membawa risiko yang lebih luas kepada kestabilan global. Dalam keadaan ini, banyak pemerhati antarabangsa melihat bahawa peperangan ini mungkin akan terus berlangsung dalam bentuk konflik berintensiti rendah, perang proksi dan tekanan politik.

Kesimpulan

Konflik antara Iran dan pakatan Amerika-Israel memperlihatkan bagaimana peperangan moden tidak lagi bergantung kepada kekuatan tentera semata-mata. Ia melibatkan gabungan strategi ketenteraan, ekonomi, sosial dan politik serantau. Iran menggunakan pendekatan yang pelbagai,  daripada peluru berpandu dan dron, kepada jaringan sekutu serantau, tekanan psikologi, strategi ekonomi dan diplomasi geopolitik.

Keupayaan menggabungkan semua elemen ini menjadikan konflik tersebut jauh lebih kompleks daripada peperangan konvensional. Namun di sebalik strategi dan analisis geopolitik, realiti paling pahit tetap dirasai oleh masyarakat awam. Kematian, trauma, kemusnahan rumah dan kehilangan kehidupan normal merupakan harga yang paling mahal dalam mana-mana peperangan.

Di tengah-tengah letupan bom dan bunyi siren kecemasan, yang paling diharapkan oleh rakyat biasa hanyalah satu perkara iaitu keamanan yang membolehkan mereka kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Dan dalam dunia yang semakin saling bergantung ini, keamanan di satu rantau sebenarnya adalah keamanan untuk seluruh dunia.

Sunday, March 01, 2026

Tindakan biadap memijak al-Quran

Percutian ke Kuantan semasa cuti penggal persekolahan baru-baru ini telah meninggalkan pengalaman manis kepada saya. Saya bergerak ke Kuantan melalui Felda Palong, bandar Muadzam, seterusnya ke Beserah. Saya bermalam di Sutra Villa Apartment yang menghadap Laut China Selatan.




Keesokan hari, saya mendaki Bukit Pelindung di Hutan Simpanan Kekal Beserah yang membentuk Eko-Rimba Bukit Pelindung dan Teluk Cempedak.

Saya mendaki sehingga ke puncak. Masa pendakian lebih kurang 45 minit. Perjalanan agak mudah kerana laluan bertar. Ramai pendaki yang bergambar di pondok wakaf yang baru siap dibina. Perjalanan turun lebih mudah dan pantas. Saya tidak turun ke kaki bukit sebaliknya memilih denai Teluk Cempedak.

Denai ini dipenuhi pokok-pokok besar dan liar di samping terdapat kawasan yang berbukit dan lurah yang agak curam. Tidak jauh dari pintu masuk denai, mungkin 800 meter, saya terhidu bau colok dari satu arah, semakin ke dalam hutan, bau colok semakin kuat. Rupanya terdapat sebuah tempat pemujaan iaitu sebuah pondok yang dibina tidak jauh dari tangga batu menghala ke atas bukit.

Saya terus bergerak menuju ke arah bukit, merentasi akar pokok yang besar dan melilit sehingga sampai ke pesisir pantai Teluk Cempedak. Terdapat laluan yang menghubungkan hujung denai tersebut dengan kawasan rekreasi Teluk Cempedak.

Pengalaman mendaki Bukit Pelindung adalah satu pengalaman yang menarik kerana dapat menguatkan tubuh badan dan mencergaskan kaki yang telah lama tidak bergerak aktif.

Dalam kedamaian dan ketenangan fikiran di Kuantan, tiba-tiba heboh satu negara apabila seorang pelajar universiti awam telah melampaui garis merah sempadan toleransi beragama masyarakat di Malaysia. Nama pelajar, tempat beliau belajar, kolej kediaman dan media sosial pelajar ini turut tular dan dikongsi kepada masyarakat umum. Tindakan ini seumpama gunung berapi yang memuntahkan laharnya yang panas, menjulang ke atas dan bersepai lalu terkena sesiapa saja yang tidak sempat lari dalam letusan tersebut.

Media sosial juga berkongsi satu gambar yang sangat biadap, mendorong kepada kemarahan yang luar biasa dan menimbulkan reaksi marah di luar nalar. Belum pernah kita lihat sebelum ini mana-mana pelajar universiti yang bertindak memijak lembar al-Quran seperti itu. Muka surat yang dipijak itu merupakan surah Al-Anfal ayat 17 hingga 33.

Terdapat satu kes di Kusial, Tanah Merah, Kelantan di mana empat remaja perempuan telah ditahan kerana mempersenda al-Quran dengan cara memijak al-Quran. Kejadian berlaku pada tahun 2019. Pada tahun 2020, seorang lelaki telah dipukul kerana memijak al-Quran. Kedua-dua kejadian ini boleh dilihat di laman sosial Facebook.

Kejadian memijak al-Quran oleh pelajar universiti awam itu terang-terangan bersifat penghinaan dan penistaan terhadap agama Islam. Ia telah menghina lambang kemuliaan Islam pada tahap yang paling rendah. Al-Quran sebagai wahyu petunjuk kepada manusia telah pun diperlekehkan, dihina dan direndahkan dengan cara memijak dan perbuatan tersebut dikongsikan kepada umum.

Kemuliaan al-Quran telah dipersenda dan direndahkan oleh pelajar tersebut dengan rasa bangga. Dia bangga kerana dapat menginjak sebuah kitab yang menjadi petunjuk kepada orang-orang beriman, kepada orang-orang yang menginfakkan rezeki dan yang paling penting ialah sebuah kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Al-Quran adalah sebuah kitab yang diturunkan dengan penuh kemuliaan dan keberkahan. Al-Quran telah diturunkan pada malam yang mulia iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Adakah orang Islam tidak merasa seperti diinjak-injak oleh kaki pelajar ini? Apakah orang Islam tidak merasai betapa hinanya perbuatan tersebut?

Penghinaan terhadap agama Islam mendapat perhatian meluas di media sosial dan media elektronik. Kisah al-Quran dibakar di Eropah suatu masa dulu adalah contoh bagaimana bantahan orang Islam telah membuka mata kerajaan negara-negara di Eropah untuk lebih berwaspada dengan golongan Islamofobia.

Di Indonesia seorang pempengaruh wanita Islam yang menjadikan kandungan video makan nasi dengan lauk babi telah didakwa kerana penistaan agama. Namun kes pelajar universiti awam yang memijak al-Quran ini dilihat lebih berat.

Pihak berkuasa harus bertindak lebih pantas dalam menangani isu-isu ini kerana masyarakat sedang melihat dan menunggu tindakan pihak berkuasa dengan mata bulat dan fikiran yang bercelaru. Universiti harus mengambil tindakan yang paling maksimum seperti menggantung pengajian sehingga siasatan selesai atau membuang terus daripada pengajian.

Mahkamah awam wajar menjatuhkan hukuman yang dapat menjadi pengajaran kepada semua orang kerana menghina sesuatu lambang beragama adalah tindakan salah.


Sunday, January 25, 2026

Implikasi Tahun 1 ketika usia enam tahun


Pelaksanaan ini menandakan anjakan dasar pendidikan awal negara di mana kanak-kanak seawal umur 6 tahun akan dibenarkan atau digalakkan memasuki Tahun 1, berbanding amalan sedia ada yang meletakkan umur 7 tahun sebagai norma. Tujuan utamanya ialah untuk mengoptimumkan tempoh pembelajaran formal, sejajar dengan perkembangan kognitif kanak-kanak masa kini yang lebih terdedah kepada literasi awal, teknologi dan rangsangan pembelajaran sejak usia prasekolah.



Dari sudut falsafah pendidikan, dasar ini selari dengan pendekatan pendidikan berasaskan perkembangan (developmentally appropriate practice). Kanak-kanak umur 6 tahun yang telah melalui pendidikan prasekolah berkualiti biasanya memiliki asas membaca, menulis dan kemahiran sosial yang mencukupi untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah rendah. Justeru, kemasukan awal ini dilihat sebagai laluan fleksibel, bukannya paksaan menyeluruh.

Dari segi pelaksanaan, Kementerian Pendidikan Malaysia dijangka memberi penekanan kepada beberapa perkara penting. Pertama, kesediaan murid akan menjadi faktor utama, bukan semata-mata umur kronologi. Kedua, kurikulum Tahun 1 perlu disesuaikan agar lebih mesra perkembangan, dengan penekanan kepada pembelajaran berasaskan permainan, aktiviti hands-on dan pengukuhan emosi. Ketiga, latihan guru dan sokongan sekolah perlu diperkasa bagi menangani jurang kematangan antara murid 6 dan 7 tahun dalam bilik darjah yang sama.

Secara keseluruhan, dasar ini mencerminkan usaha kerajaan untuk mempercepat pembangunan modal insan tanpa mengabaikan kesejahteraan kanak-kanak. Kejayaannya sangat bergantung pada pelaksanaan yang berhati-hati, komunikasi yang jelas kepada ibu bapa serta kesediaan sistem pendidikan untuk berubah secara inklusif dan berperingkat.

Implikasi Dasar Kemasukan Tahun 1 Umur 6 Tahun kepada Ibu Bapa

Bagi ibu bapa di Malaysia, dasar ini membawa implikasi langsung yang besar, bukan sahaja dari segi pendidikan anak tetapi juga emosi, kewangan dan peranan keibubapaan.

Pertama, isu paling utama ialah kesediaan anak, bukan sekadar cukup umur. Kanak-kanak 6 tahun berbeza tahap kematangan emosi, daya tumpuan dan kebolehan bersosial. Ibu bapa kini perlu membuat keputusan pedagogi, bukan keputusan pentadbiran semata-mata. Mereka perlu menilai sama ada anak benar-benar bersedia dari segi emosi, komunikasi dan pengurusan diri, bukan hanya boleh membaca atau menulis.

Kedua, peranan ibu bapa akan menjadi lebih intensif pada tahun-tahun awal persekolahan. Anak yang masuk lebih awal lazimnya memerlukan sokongan tambahan di rumah termasuk rutin tidur yang lebih ketat, bimbingan kerja sekolah serta sokongan emosi untuk menyesuaikan diri dengan struktur sekolah formal. Ini memberi kesan khusus kepada ibu bapa bekerja terutamanya dalam keluarga bandar dan B40.

Ketiga, dari sudut kewangan, dasar ini boleh memberi kesan bercampur. Sebahagian ibu bapa melihatnya sebagai penjimatan kerana tempoh penjagaan prasekolah berkurang. Namun, bagi yang anaknya belum bersedia, ibu bapa mungkin memilih prasekolah lanjutan atau transisi khas, yang boleh meningkatkan kos pendidikan awal.

Akhir sekali, dasar ini berpotensi melebarkan jurang sosioekonomi jika tidak ditangani dengan berhati-hati. Ibu bapa berpendidikan tinggi dan berkemampuan biasanya lebih bersedia menilai kesediaan anak dan menyediakan sokongan, manakala keluarga rentan mungkin menerima dasar ini tanpa pilihan sebenar. Di sinilah peranan negara menjadi kritikal.

Perbandingan dengan Negara-Negara ASEAN

Dalam konteks ASEAN, Malaysia bukan peneraju tetapi juga tidak ketinggalan dalam isu umur kemasukan sekolah rendah.

Di Singapura, kanak-kanak lazimnya memasuki Primary 1 pada umur 6 tahun. Namun perbezaannya ketara iaitu hampir semua kanak-kanak melalui prasekolah berkualiti tinggi dan standard dengan penekanan kuat kepada literasi awal, sosialisasi dan regulasi emosi. Sistem sokongan guru dan kaunselor juga kukuh, menjadikan peralihan lebih terkawal.

Di Thailand, umur kemasukan sekolah rendah juga sekitar 6 tahun tetapi negara itu berdepan cabaran hampir sama dengan Malaysia iaitu ketidaksamaan kualiti prasekolah antara bandar dan luar bandar. Akibatnya, jurang pencapaian awal menjadi isu dasar yang berpanjangan.

Bagi Indonesia, umur kemasukan formal lazimnya 7 tahun, walaupun terdapat fleksibiliti di beberapa wilayah. Indonesia lebih berhati-hati kerana mengambil kira kepelbagaian wilayah dan latar belakang sosioekonomi, serta kekangan infrastruktur pendidikan awal.

Di Filipina, kemasukan sekolah rendah pada umur 6 tahun adalah standard, namun sistem ini sering dikritik kerana tekanan akademik awal dan kekurangan sokongan psikososial terutamanya dalam komuniti miskin bandar.

Perbandingan ini menunjukkan satu perkara penting: iaitu umur bukan penentu kejayaan. Kejayaan dasar sangat bergantung pada kualiti prasekolah, sokongan transisi, latihan guru dan keupayaan ibu bapa.

Daripada perbincangan ini, jelas bahawa dasar kemasukan Tahun 1 umur 6 tahun mempunyai potensi positif dari sudut kecekapan sistem dan pembangunan modal insan tetapi membawa risiko ketidaksamaan, tekanan awal kanak-kanak dan beban kepada ibu bapa.

Sunday, January 11, 2026

Pembentukan persepsi awam dalam kes rasuah berprofil tinggi

Kes rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan pegawai kanan awam sering menjadi titik ujian kepada integriti institusi, keberkesanan sistem keadilan dan kematangan media dalam sesebuah negara. Di Malaysia, pertuduhan terhadap bekas Panglima Tentera Darat Malaysia dan dua isterinya telah menarik perhatian awam secara meluas, bukan sahaja kerana kedudukan tertuduh dalam hierarki ketenteraan tetapi juga kerana implikasinya terhadap kepercayaan masyarakat terhadap institusi yang selama ini dianggap berdisiplin dan berteraskan kehormatan. 


Kes ini menjadi lebih kompleks apabila perbincangan awam tercetus lebih awal melalui media sosial sebelum proses kehakiman benar-benar difahami oleh masyarakat.

Perhatian awam terhadap kes ini meningkat dengan ketara selepas pendedahan awal oleh seorang individu awam yang dikenali sebagai Cikgu Bard. Dalam konteks komunikasi moden, pendedahan sedemikian berfungsi sebagai pencetus agenda awam di mana isu yang sebelum itu bersifat terhad dan teknikal berubah menjadi wacana nasional yang sarat dengan emosi dan kecurigaan. 

Walaupun pendedahan awam memainkan peranan penting dalam memastikan sesuatu isu tidak disenyapkan, ia juga mewujudkan naratif awal yang terbentuk di luar kerangka undang-undang dan prosedur rasmi. Akibatnya, masyarakat awam cenderung menafsir pendedahan sebagai petunjuk kebenaran, walaupun ia belum diuji melalui proses perbicaraan.

Dalam kes ini, media arus perdana beroperasi dalam ruang wacana yang telah sedia dipengaruhi oleh persepsi dan emosi awam. Liputan yang pada awalnya bersifat laporan faktual mula beralih kepada pembingkaian naratif dengan penekanan terhadap status sosial tertuduh, jumlah wang yang terlibat, dan elemen dramatik yang mudah menarik perhatian. 

Pendekatan ini, walaupun meningkatkan keterlihatan isu, sering mengorbankan penjelasan tentang perbezaan antara dakwaan, pertuduhan dan pembuktian di mahkamah. Akibatnya, kes ini tidak lagi dinilai semata-mata sebagai satu proses kehakiman tetapi sebagai simbol kepada kegagalan sistem dan ketidakadilan struktural.

Dari sudut perspektif masyarakat awam, tafsiran sedemikian dipengaruhi oleh konteks sosial dan ekonomi yang lebih luas. Dalam keadaan tekanan kos sara hidup dan jurang sosial yang ketara, kes melibatkan elit institusi mudah dilihat sebagai bukti bahawa undang-undang tidak dikuatkuasakan secara saksama. 

Persoalan awam sering tertumpu kepada keberkesanan mekanisme pengawasan dalaman dan peranan badan penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Walaupun prinsip praduga tidak bersalah merupakan asas kepada sistem perundangan, persepsi awam sering dibentuk lebih oleh naratif media berbanding kefahaman terhadap prosedur undang-undang.

Media arus perdana pula berdepan dilema etika yang ketara. Liputan yang terlalu berhati-hati berisiko ditafsir sebagai perlindungan terhadap golongan elit, manakala liputan yang agresif boleh mencetuskan fenomena “trial by media” dan menjejaskan keadilan perbicaraan. 

Dalam banyak keadaan, media memilih pendekatan selamat dengan mengulang kenyataan rasmi tanpa analisis mendalam, menyebabkan masyarakat menerima limpahan maklumat tanpa kerangka pemahaman yang jelas. Keadaan ini menyumbang kepada krisis kepercayaan, di mana individu yang membuat pendedahan dilihat lebih kradibel berbanding institusi formal dan saluran media tradisional.

Fenomena ini bukan unik kepada Malaysia. Pengalaman antarabangsa menunjukkan bahawa kes melibatkan kepimpinan ketenteraan turut berlaku di negara lain, tetapi ditangani dengan tahap ketelusan dan komunikasi yang berbeza. 

Di Korea Selatan, pendakwaan terhadap pegawai kanan pertahanan sering disertai liputan media yang agresif tetapi berasaskan penjelasan undang-undang yang terperinci, sekali gus membantu mengekalkan keyakinan awam terhadap sistem kehakiman. 

Di Indonesia, ketegasan Komisi Pemberantasan Korupsi dalam menyiasat elit telah memperkukuh legitimasi institusi, walaupun berdepan tentangan dalaman. 

Sementara itu, di Amerika Syarikat, tekanan media dan awam yang tinggi sering menyebabkan reputasi individu terjejas sebelum keputusan mahkamah dicapai, namun komunikasi undang-undang yang lebih terbuka membantu masyarakat memahami proses yang sedang berlangsung.

Perbandingan ini menunjukkan bahawa isu utama bukan ketiadaan rasuah tetapi bagaimana sesebuah negara mengurus persepsi awam melalui ketelusan proses dan kejelasan komunikasi. Media memainkan peranan penting sebagai perantara antara institusi dan masyarakat, namun peranan ini menuntut keseimbangan antara tuntutan akauntabiliti dan penghormatan terhadap prinsip keadilan. 

Dalam kes yang dibincangkan, cara media membingkai isu selepas pendedahan awal telah menguatkan emosi awam dan mendorong pembentukan kesimpulan awal, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap sistem kehakiman.

Secara keseluruhannya, kes ini mencerminkan cabaran utama dalam era media digital, iaitu bagaimana memastikan pendedahan awam dan liputan media berfungsi untuk memperkukuh keadilan, bukannya menggantikannya. 

Bagi masyarakat awam, kematangan demokrasi menuntut keupayaan membezakan antara tuntutan akauntabiliti yang sah dan kesimpulan yang belum dibuktikan. Bagi institusi dan media, kepercayaan awam hanya dapat dipulihkan melalui proses kehakiman yang telus, penguatkuasaan undang-undang yang saksama, dan pelaporan yang beretika serta bertanggungjawab.

Rujukan

McCombs, M. (2004). Setting the Agenda: The Mass Media and Public Opinion. Polity Press.

Entman, R. M. (1993). Framing: Toward clarification of a fractured paradigm. Journal of Communication, 43(4), 51–58.

Transparency International. (2023). Corruption Perceptions Index.

Laporan media arus perdana Malaysia berkaitan kes rasuah berprofil tinggi (2024–2025).

Hughes, C. W. (2018). Civil-military relations and corruption in East Asia. Asian Studies Review, 42(3).

Sunday, September 23, 2018

Menyingkap perjalanan 1MDB






Selepas 25 pertuduhan dikenakan ke atas bekas perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, barulah rakyat Malaysia dapat mengetahui kisah yang berlaku di sebalik 1MDB, sebuah kes kleptokrasi yang paling besar dalam sejarah dunia.

Sebanyak RM2.9 bilion wang kerajaan Malaysia yang patut digunakan untuk pembangunan negara telah diseleweng dengan cermat dan dicairkan dengan pembelian pelbagai barang mewah untuk kepentingan peribadi. Kalaulah tidak kerana ada seorang dua yang berani mendedahkan perkara ini, sehingga sekarang bekas perdana menteri ini tidak dapat didakwa.

Kes ini membuka mata ramai orang untuk berfikir bahawa politik begitu berkuasa untuk memperkaya pemimpin dan keluarga mereka.

Pertuduhan terhadap Najib Razak juga menjawab persoalan orang ramai terhadap sifat ‘pemurah’ beliau ketika berkempen dalam pilihan raya umum ke-13 lalu. Setiap kali turun berkempen memberi ceramah kepada kumpulan sasar khususnya masyarakat Felda, nelayan dan petani (atau kata lain orang kampung), beliau mengumumkan sejumlah jutaan peruntukan kepada mereka.

Maka, bersoraklah mereka. Kelompok yang tidak mendapat habuan hanya dapat melihat dan menelan air liur sambil berdoa semoga giliran mereka akan datang juga.

Persoalan ketika itu adalah ‘dari mana Najib Razak mendapat wang yang banyak ini?’ Rakyat yang berpendapatan sederhana pula menerima habuan melalui kenaikan gaji, bonus, bantuan sara hidup dan pengurangan harga barang terpilih.

Namun, peruntukan jutaan ringgit ini dikatakan dari 1MDB kerana ‘mana ada orang yang mahu menderma berbilion ringgit’. 

Tuduhan yang banyak memberi kesukaran kepada Najib Razak untuk melepaskan diri. Penglibatan pegawai-pegawai bank di Singapura dalam kes 1MDB telah pun selesai. Pegawai yang terlibat telah menerima hukuman masing-masing, cuma di Malaysia yang belum ada sebarang hukuman sama ada penasihat, konsultan atau lembaga pengarah syarikat itu.

Barangkali selepas Najib Razak menerima hukuman nanti, mereka yang terlibat sudah pasti tidak dapat tidur nyenyak lagi.

Mahkamah Malaysia akan mengadili tindakan Najib Razak. Perdana menteri, Tun Dr Mahathir menyatakan semua dokumen telah disiapkan termasuk surat-surat bertandangan Najib untuk dibawa ke mahkamah.

Membawa Najib Razak ke mahkamah perlukan kekuatan politik dan moral. Jika tidak, pasukan penyiasat tidak dapat bergerak apabila memikirkan bekas perdana menteri yang didakwa. Era Malaysia Baharu ini, keazaman membanteras rasuah dan salah guna kuasa nampaknya sangat keras dan kerajaan mahu menghukum pesalah rasuah dengan segera.

Risiko dan cabaran seorang ahli politik sangat besar. Sebarang keputusan dan tindakan akan memberi kesan kepada orang ramai. Sebaik-baiknya ahli politik membawa kemakmuran kepada negara, keharmonian dalam masyarakat dan ketenteraman hidup.

Mempelajari seni berpolitik amat perlu kepada sesiapa sahaja yang ingin melibatkan diri dalam dunia politik biarpun di peringkat daerah. Antara kemahiran yang perlu ada adalah komunikasi, berunding, mengurus bakat, kewangan dan konflik. Semua kemahiran ini akan berkembang dan kukuh melalui proses pengkayaan pengalaman dan peluasan jaringan sosial memandangkan perjalann sebagai ahli politik akan mengambil masa.

Masa yang panjang menjadikan jiwa politik lebih kental dan kuat terhadap kritikan dan seteru. Kematangan hidup sebagai ahli politik dapat dikecapi apabila seseorang ahli politik dapat menguasai seni komunikasi dan kemahiran bekerja.

Mungkin jiwa Najib Razak begitu kuat untuk berhadapan dengan tuduhan salah guna kuasa memandangkan beliau telah lama berkecimpung dalam arena politik.

Sunday, July 15, 2018

Mengangkat institusi raja








Isu seorang wanita Melayu yang tidak mahu perlakuan sistem feudal dalam kalangan pemimpin-pemimpin kerajaan Pakatan Harapan menarik perhatian banyak pihak sehingga laporan polis dibuat oleh orang ramai. Tarikan utamanya ialah beliau mahu amalan bersalam, membongkok kepala dan mencium tangan dihentikan  kerana 'semua  darah manusia berwarna merah, tidak ada lebih dan tidak ada kurang’.

Dalam perkara ini, saya melihat corak berfikir wanita berkenaan terkeluar dari corak pemikiran masyarakat Melayu secara umumnya. Bagi orang Melayu, salah satu  tiang seri kepada kaum itu ialah kedaulatan raja. Kekuatan bangsa Melayu dinaungi oleh kesultanan yang bertindak sebagai penaung dalam beragama, bermasyarakat dan bernegara. Jika naungan ini ini pecah, akan berlaku porak-peranda dalam penaungan agama, adat istiadat dan ketuanan Melayu.

Apakah yang difikirkan oleh wanita berkenaan? Apakah beliau menjangkakan dengan membebaskan sistem feudal, masyarakat Melayu akan maju? Lebih dinamik? Atau bagaimana?

Sejarah dunia moden mencatatkan semakin banyak negara yang menolak sistem morarki. Bilangan raja juga semakin merosot. Nepal memilih menjadi sebuah negara republik pada tahun 2008 apabila rakyat negara itu memilih untuk menyingkirkan kerajaan dinasti beraja.

Suatu masa dulu, terdapat banyak raja dan sultan di Sumatera dan Jawa, namun hari ini pentadbiran kesultanan hanya dimuatkan dalam kawasan terhad, di muzium dan menjadi sebahagian daripada sejarah negara.

Sebaliknya berlaku di Malaysia.

Institusi kesultanan dipelihara dan diberi status baru supaya tidak berkubur. Malah kedauatan raja-raja Melayu menjadi sebahagian daripada kontrak sosial yang mewajarkan bangsa-bangsa asing mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia. Peranan raja-raja juga diperkukuhkan melalui Majlis Raja-Raja apabila isu-isu berkaitan masyrakat Melayu dan bukan Melayu menjadi perbincangan dalam setiap kali mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Mempunyai raja dalam struktur pentadbiran negara adalah satu kelebihan dan keunikan, bukannya satu kelemahan akibat daripada penggubalan sistem feudal. Institusi raja diangkat dalam perlembagaan persekutuan kerana ia mempunyai fungsi-fungsi khusus yang menjadi penstabil kepada struktur demografi Malaysia.

Saya menjangkakan institusi raja akan terus kukuh dan dihormati di negara ini kerana bilangan kaum Melayu akan terus bertambah dalam tempoh 30 tahun akan datang. Memisahkan kaum Melayu dari tiang seri masyarakat itu akan mengundang resah dan kebencian.

Justeru, saranan untuk menilai kembali institusi beraja di Malaysia adalah tidak relevan. Sebaliknya institusi berkenaan wajar di perkukuh supaya menjadi sebahagian daripada sistem pentadbiran negara.

Sunday, June 17, 2018

Bantu miliki rumah sendiri







Memiliki rumah sendiri sebagai tempat tinggal menjadi impian setiap rakyat Malaysia lebih-lebih lagi yang telah berkeluarga. Namun terdapat banyak halangan untuk memiliki rumah sendiri ini jika tidak memiliki cukup pendapatan kerana bergaji kecil.

Harga rumah berbeza-beza mengikut kawasan. Di bandar, rumah bersaiz kecil tetap berharga mahal kerana permintaan yang tinggi. Rumah yang sama lebih murah di luar bandar kerana lokasi dan kurang permintaan. Katakan sebuah rumah tiga bilik tidur dan dua bilik air di bandar, nilainya boleh mencecah lebih RM300 ribu sebuah berbanding di luar bandar yang mungkin separuh harganya.

Seorang kakitangan awam yang mendapat pendapatan bulanan RM2,500 tentu banyak kali berfikir untuk membeli rumah hari ini. Nilai ini sangat rendah untuk memiliki rumah kerana harga rumah jauh lebih mahal dan tidak mampu membayar ansuran bulanan. Impian memiliki rumah tidak tercapai jika tidak ada pendapatan tambahan.

Kerajaan patut masuk campur untuk membantu setiap pekerja di Malaysia bakal memiliki rumah sendiri. Kakitangan awam dan swasta mempunyai peluang yang sama untuk mendapat rumah idaman masing-masing. Namun, jika harga rumah yang terlampau tinggi, sudah tentu sukar bagi mereka untuk membeli.

Kerajaan boleh membantu mereka dengan pelbagai cara.

Pertama, membanyakkan rumah mampu milik khususnya di kawasan bandar. Ia tidak semestinya rumah teres tetapi boleh juga diperbanyakkan rumah pangsa kos rendah. Teknologi hari ini membuktikan sebuah bangunan 30 tingkat boleh dibina dalam tempoh 15 hari, inikan pula rumah pangsa sepuluh atau 15 tingkat.

Kedua, menggalakkan agensi pembiaya rumah memudahkan pinjaman perumahan. Mereka boleh mengambil kira pendapatan tambahan pemohon seperti pendapatan dari pekerjaan kedua atau ketiga atau sumber-sumber lain yang meyakinkan. Walau bagaimanapun mekanismenya perlu jelas supaya pihak bank tidak dibebankan dengan hutang tertunggak.

Ketiga, kerajaan dan majikan memulakan langkah pemotongan gaji khusus untuk perumahan dengan jumlah simpanan minimum RM30 ribu hingga RM50 ribu. Ia boleh bermula sebaik sahaja pekerja disahkan dalam jawatan. Dalam tempoh sepuluh tahun, jumlah ini sudah memadai untuk menampung sebahagian kos pembelian rumah. Ia patut dilaksanakan dalam bentuk paksaan kerana rakyat Malaysia sukar mendisiplinkan diri dengan menabung.

Keempat, kerajaan mengawal harga rumah supaya pemaju tidak mengambil untung yang terlalu tinggi. Sekiranya perlu, kerajaan boleh membentangkan akta khusus untuk mengawal harga rumah.

Hari ini, ada dalam kalangan ibu bapa yang mendahulukan wang deposit rumah anak-anak kerana menyedari sukar bagi anak-anak membeli rumah menggunakan duit sendiri. Pendapatan bulanan sebanyak RM3,000 belum tentu membolehkan anak-anak ini menyimpan wang kerana kos hidup yang tinggi. Kerajaan harus sedar bahawa keadaan sudah berubah dan upah, elaun dan bonus perlu dinaikkan supaya seiring dengan kenaikan kos.

Menangguhkan kenaikan bererti menjadikan kehidupan rakyat lebih merana dan menderita. Hidup merana kerana wang gaji bulanan dihabiskan untuk memenuhi keperluan hidup seharian, hidup menderita kerana tidak ada lagi yang boleh disimpan untuk masa hadapan.

Sunday, June 03, 2018

Selamat tinggal Najib dan Rosmah







Dalam tempoh tiga minggu Pakatan Harapan (PH) membentuk kreajaan, perdana menteri Tun Dr Mahathir  telah memulakan usaha merealisasikan manifesto seratus hari PH dalam PRU14. Tindakan bermula dengan melantik jemaah menteri dan menubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan. Kedua-dua tindakan ini menunjukkan peralihan kuasa selepas PRU14 telah diterima baik dan berjalan lancar. Tidak ada kacau-bilau atau sabotaj daripada mana-mana pihak.

Liputan media di dalam dan luar negara juga mempamerkan kegembiraan kerana sebuah kerajaan yang berusia lebih 60 tahun dapat ditumbangkan. Ia lebih bernilai apabila usaha-usaha ini diungkayahkan oleh bekas pemimpin Barisan Nasional (BN) sendiri. Tun Dr Mahathir dalam siri ceramah politik untuk kempen PRU14 juga sedar perkara itu dan tidak menyesal kerana matlamatnya adalah mahu menjatuhkan kerajaan yang dipimpin oleh 'pencuri, penyangak dan perompak'. Hampir setiap ceramah di setiap negeri beliau memberitahu hal tersebut kepada khalayak hingga ramai yang terpengaruh.

Anehnya, di pihak kerajaan BN tidak nampak usaha-usaha yang kukuh untuk menafikan kata-kata itu kecuali sedikti sebanyak daripada 'pahlawan Bugis'.

Namun, selepas PRU14 diumumkan, kepimpinan 'pahlawan Bugis' tidak mampu menandingi kepintaran strategi 'orang tua' berumur 92 tahun.

Hari ini, lahirlah sebuah kerajaan baru yang digelar 'Malaysia Baru'.

Banyak analisis dilakukan untuk mengetahui faktor-faktor kemenangan PH dan kekalahan BN. Dalam kebanyakan faktor ini, boleh dikatakan berlaku penolakan besar-besaran masyarakat Malaysia terhadap kerajaan BN kerana kepimpinan dan rasuah.

Kepimpinan itu pula berkait dengan peribadi pemimpin dan polisi-polisi yang membebankan ramai orang. Manakala kes-kes rasuah yang berlaku melibatkan pegawai-pegawai atasan kerajaan dan swasta dalam jumlah jutaan ringgit.

Pemimpin seperti Datuk Seri Najib Razak banyak mengekang kebebasan bersuara dan melaksanakan polisi yang tidak popular. Dalam kalangan pengamal media, Najib Razak adalah perdana menteri Malaysia yang paling banyak menyekat kebebasan memberi maklumat tepat kepada pembaca. Di akhbar arus perdana, dikatakan terdapat pemantauan yang cukup ketat ke atas maklumat yang disiarkan. Jika tidak menepati kehendak Putrajaya, editor akhbar akan diberi ingatan dan teguran. Akhirnya banyak maklumat yang wajar diketahui oleh pembaca sering disembunyikan.

Kini, keadaan demikian tidak ada lagi. Pendek kata, sesiapa sahaja boleh menyuarakan pendapat tanpa ada rasa takut kerana kerajaan PH ini memberi kebebasan kepada pendapat asalkan tidak membuat fitnah dan adu-domba. Keadaan ini juga dapat menggalakkan wartawan lebih cergas dan bertanggungjawab membuat laporan pemberitaan mereka.

Era Najib Razak juga banyak dikatikan dengan rasuah dan skandal. Penglibatan pegawai kanan kerajaan bertaraf Ketua Setiausaha kementerian sangat mengejutkan. Keadaan ini menunjukkan amalan rasuah sangat ketara dalam sektor kerajaan dan dibiarkan tanpa diambil tindakan pencegahan. Orang awam juga sudah lali dengan persepsi rasuah yang negatif dalam perkhidmatan awam ini.

Pernahkah kita terfikir jutaan ringgit disimpan dalam almari pejabat, dalam bonet kereta dan beg besar? Ia berlaku di Malaysia. Selain wang tunai, jutaan ringgit juga dijumpai dalam akaun peribadi, barangan mewah dan trip melancong ke luar negara setiap tahun.

Rasuah menyebabkan urusan pentadbiran menjadi lembap dan lemah. Keadaan menjadi lebih teruk apabila rasuah berkait dengan agensi penguatkausaan kerana agensi seperti itu mempunyai beban tanggungjawab yang lebih banyak.

Kerajaan PH yang baru mentadbir ini dilihat cenderung membasmi rasuah melalui siasatan ke atas 1MDB. Kita berharap siasatan juga lebih giat diusahakan supaya rasuah berkurangan dan masyarakat dapat memberi keyakinan kepada sistem pentadbiran yang sedang ditambah baik.

Di samping itu, pentadbiran Najib Razak melaksanakan polisi yang menjarakkan rakyat dengan BN. Pelaksanaan GST dan mengurangkan subsidi menyebabkan perbelanjaan rakyat berkurangan. Ia memberi tekanan kerana kenaikan harga barang tidak seiring kenaikan gaji.

Polisi yang tidak mesra ini membuatkan golongan muda dan berkeluarga besar menyimpan dendam kepada BN. Lalu mereka menzahirkan rasa marah dalam PRU14 lalu.

Polisi-polisi lain juga tidak mesra rakyat seperti PTPTN, perubahan harga minyak setiap minggu dan kurang pekerjaan menjadikan BN semakin tidak popular. Ruang ini diambil oleh PH dengan bertemu dengan rakyat di setiap negeri setiap malam, memuat naik setiap ceramah Tun Dr Mahathir ke YouTube dan pada masa yang sama mengemas kini laporan kajian kecenderungan pengundi di saluran YouTube Invoke. Sentimen yang dipupuk sekian lama dapat meyakinkan rakyat bahawa perubahan perlu dilakukan dalam PRU14.

Kepimpinan Najib Razak sudah ditolak. Konsep 'Cash is King' telah gagal. UMNO dan parti-parti komponen hanya dapat bertahan di Pahang, Perlis dan Sarawak. Ahli UMNO berpindah parti dan ada yang bercakaran sesama sendiri.

Kekalahan BN, antara lain adalah kerana keangkuhan pemimpin dan rasuah yang berleluasa. Rakyat mengucapkan selamat tinggal UMNO dan BN. Mereka menyanyikan lagu 'Selamat tinggal Najib dan Rosmah'.


Sunday, May 27, 2018

Pilihan Raya Umum ke-14: Anjakan perubahan rakyat







Sebahagian besar rakyat Malaysia menyambut kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 lalu. Gabungan parti politik Pakatan Harapan (PH) menyaingi Barisan Nasional (BN) telah menewaskan kerajaan BN yang mentadbir Malaysia 60 tahun. Selepas pengumuman kemenangan, pemimpin-pemimpin PH memberi pelbagai reaksi. Semuanya berharap akan wujud perubahan yang lebih baik dan maju kehadapan. Negeri yang dikuasai PH adalah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Gagasan Sejahtera (GS) menguasai Kelantan dan Terengganu manakala Sabah dikuasai oleh Parti Warisan Sabah yang mesra kepada PH. Tiga negeri iaitu Perlis, Pahang dan Sarawak kekal di bawah pentadbiran BN.

Sejarah yang terjadi pada hari ini akan menjadi permulaan yang segar kepada masyarakat Malaysia dalam berpolitik. Kehendak pengundi baru dan lama tidak dapat ditahan lagi kerana mereka mahukan pengurusan baru yang lebih baik dan bebas daripada skandal.

Mengimbas kembali kempen pilihan raya lalu, PH menggunakan media sosial untuk menyampaikan mesej kepada pengundi. Penggunaan aplikasi yang popular dan mudah dicapai oleh kebanyakan pengundi seperti WhatsApp, Facebook dan YouTube dapat menerobos minda pengundi-pengundi muda dan yang baru kali pertama mengundi. PH lebih popular di media sosial kerana akhbar arus perdana seperti Utusan dan Kumpulan NSTP serta media elektronik seperti TV3 dan Radio Televisyen Malaysia lebih banyak menyiarkan berita berkaitan kerajaan BN. Justeru, pengundi muda beralih kepada media sosial yang memberikan maklumat lebih pantas dan jelas.

Analisis terhadap klip-klip video terpilih ketika PH berkempen menunjukkan lebih ramai tontonan berbanding kempen oleh BN. Semua tempat tumpuan dari Perlis hingga ke Johor menunjukkan ribuan pendengar yang datang semasa Jelajah Harapan diadakan. Mereka ini terdiri daripada pelbagai kaum dan mempunyai matlamat yang sama iaitu mendengar isu-isu negara yang tidak disiarkan oleh media kerajaan BN.

Analisis ini dilakukan terhadap klip-klip video ceramah politik yang disampaikan oleh pemimpin BN, PH dan Pasti Islam Semalaysia (Pas) di YouTube. Klip video yang dianalisis diambil secara rawak dengan ciri-ciri berikut: dimuat naik dari 1 hingga 11 April 2018, durasi ceramah lebih daripada 15 minit dan mempunyai ulasan daripada penonton di ruangan “comments”.

Analisis dilakukan berdasarkan tema yang dikesan kerap muncul dalam ruangan “comments” bagi setiap klip video yang dipilih.

Hasil kajian menunjukkan penonton tertinggi adalah pada klip video ceramah yang disampaikan oleh Mat Sabu yang bertajuk “Terkini: Mat Sabu Amanah-PBPM Bubar! Najib Razak lawan Tun Mahathir (Tun M) secara kunyit”, dimuat naik pada 5 April 2018. Jumlah dilihat adalah sebanyak 213,310 kali. Klip video terbanyak adalah “Ucapan Tun M dihadapan ribuan rakyat Muar Johor” yang dimuat naik pada 7 April 2018 dengan jumlah 140,050 kali.

Bagi BN, klip video tertinggi adalah manifesto pilihan raya ke-14 dengan 14,577 kali. Tajuk klip video berkenaan adalah “Kantoi besar Manifesto BN PRU-14 Aku Tipu” yang dimuat naik pada 8 April 2018. Klip video kedua terbanyak ditonton adalah “Bn doubles down on BR1M in GE14 manifesto” dengan tontonan berjumlah 11,751 kali. Ia dimuat naik pada 7 April 2018.

Untuk Pas pula, klip video tertinggi adalah ucapan yang disampaikan oleh Yusuf Azmi di pentas Pas dengan jumlah tontonan sebanyak 38,746 kali. Tajuknya adalah “Penampilan istimewa Yusuf Azmi pemikat PRU14” yang dimuat naik pada 5 April 2018. Klip video terbanyak adalah “Ustaz Nasuruddin 742018: Harapan! Puak tak puas hati” yang dimuat naik pada 7 April dengan jumlah tontonan sebanyak 21,532 kali.

Analisis tema terhadap klip-klip video berkenaan dipecahkan mengikut kumpulan parti. Dalam ulasan terhadap klip video PH, tema-tema adalah seperti berikut:


              Positif  -  ubah/tukar                              Negatif - rasuah                                       
                             lawan                                                    tipu
                             harapan                                                pecah-belah                                                   
              Tun Mahathir      


Dalam ulasan terhadap klip video BN, tema-tema adalah seperti berikut:


            Positif - BR1M                                        Negatif - janji tipu
                         janji ditepati                                             GST
                         pembangunan                                         tolak BN
                                                                                         PRU13


Dalam ulasan terhadap klip video Pas, tema-tema adalah seperti berikut:


            Positif - ulamak                                       Negatif - sangsi
                         bai’ah                                                       hipokrit
                                                                                          rasuah


Tema positif bermaksud penonton memberi pandangan baik terhadap parti politik berkenaan manakala tema negatif bermaksud penonton mempamerkan pandangan buruk terhadap parti politik tersebut.

Berdasarkan ulasan penonton di ruangan “comments” setiap klip video, mereka lebih cenderung kepada PH dan membuat ulasan buruk ke atas BN dan GS. Penonton lebih gemar dengan penampilan orang muda seperti Syed Saddiq yang mempamerkan kemahiran berpidato yang sangat berkesan. Sebaliknya ceramah politik dari GS kurang mendapat sambutan dengan rata-ratanya sekitar 1,000 hingga 2,000 kali tontonan termasuk yang disampaikan oleh presiden Pas sendiri. Ia jauh berbeza dengan ceramah PH yang kebanyakannya melebihi 10,000 kali tontonan. Penonton untuk klip video ceramah BN amat berkurangan dan kurang mendapat sambutan.

Kejayaan PH terletak dalam pelbagai faktor dalaman dan luaran. Berikut adalah huraian faktor-faktor berkenaan.


1. Tun Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir dilihat sebagai faktor terkuat yang mempengaruhi pengundi luar bandar, orang pencen dan warga tua serta golongan kelas menengah Melayu untuk menyingkirkan BN. Beliau mulai bersikap vokal terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak apabila mendapat tahu terdapat kepincangan dalam pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sejumlah RM2.6 bilion dalam akaun banknya.

Tun Dr Mahathir menyusun strategi dengan keluar dari UMNO, menulis artikel di blog chedet.cc dan mencari lebih banyak maklumat tentang 1MDB. Beliau bergabung dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Mukhriz Mahathir menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk meluaskan sempadan kempen melangkaui Yayasan Kepimpinan Perdana. Keputusan paling berani beliau ialah bergabung dengan PH bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Democratic Action Party (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Bersama-bersama Tun Dr Mahathir, pemimpin-pemimpin PH boleh belajar pelbagai perkara tentang strategi politik, pengurusan pemimpin dan kesatuan hala tuju. Antara yang penting adalah meletakkan kepentingan kumulan lebih tinggi daripada kepentingan peribadi, meletakkan matlamat yang sama iaitu meruntuhkan UMNO dan BN, sentiasa bertemu dan mengelakkan perpecahan. Beliau menggunakan pelbagai cara untuk mengikat kesatuan parti-parti komponen PH.

PH menggunakan Tun Dr Mahathir untuk menyampaikan ceramah dalam Jelajah Harapan di seluruh negara. Setiap kali beliau hadir, ribuan pengunjung memenuhi kawasan ceramah dan jumlah itu sentiasa meningkat di akhir-akhir minggu berkempen. Pengunjung yang datang ini tidak dibawa dengan bas atau kereta sebaliknya datang sendiri. Mereka juga tidak diberi wang saku atau hadiah. Gelombang Tun Dr Mahathir ini terlalu kuat untuk ditolak oleh BN sehinggakan Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjadi calon di Titiwangsa berkata “gelombang Tun M sangat kuat”.

Presiden Amanah, Mohd Sabu pula berkata “jangan main dengan Mahathir” dalam ceramah di Permatang Pauh pada tahun 2015. Kepintaran Tun Dr Mahathir dalam mengurus pembangunan Malaysia menjadi bukti keupayaannya untuk menjadi perdana menteri kali kedua biarpun hasrat berkenaan ditepis oleh UMNO dan BN.


2. GST dan kenaikan kos hidup

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan oleh kerajaan BN pada April 2015 telah memberi kesan langsung kepada perbelanjaan masyarakat Malaysia. GST adalah cukai penggunaan (consumption or indirect tax) yang mana mereka yang berbelanja lebih adalah daripada kalangan yang berpendapatan lebih. Tujuan asal pelaksanaannya adalah untuk memperluaskan asas percukaian negara memandangkan hanya terdapat dua juta pembayar cukai di negara ini. GST enam peratus yang ditetapkan merupakan gantian cukai jualan sepuluh peratus dan cukai perkhidmatan enam peratus yakni bukan cukai tambahan. Dalam erti kata lain, GST mengurangkan empat peratus cukai sedia ada dan meluaskan sumber pendapatan negara. Sistem cukai ini menurunkan beberapa jenis harga barangan namun dalam kebanyakan keadaan, pengguna tidak merasai penurunan berkenaan seperti harga makanan dan minuman.

Sistem cukai terbaru ini membebankan apabila pendapatan tidak seiring dengan kenaikan harga barang. Bermula dari bayi yang baru lahir sehingga orang mati yang hendak dimasukkan ke liang lahad, semua keperluan mereka dikenakan cukai. Lampin pakai buang bayi, susu dan kain kafan dikenakan cukai. Kebanyakan barangan keperluan yang dibeli ini menyebabkan sesebuah isi rumah yang mempunyai lima orang anak merasai perit apabila membelanjakan setiap ringgit. Ditambah lagi dengana hidup di bandar, tidak ada apa-apa lagi yang tinggal apabila masuk minggu kedua setiap bulan.

GST juga menyebabkan beberapa jenis perniagaan ditutup atau mendapati melihat bilangan pelanggan mereka berkurangan. Hal ini berlaku apabila pelanggan mula memikirkan harga barang dengan nilai wang mereka ada. Jika sebelum GST, wang sebanyak RM100 boleh membeli barang keperluan rumah hampir separuh troli, kini mungkin suku troli sahaja. Maksudnya, cukai yang dikenakan menyebabkan tidak banyak barang yang boleh dibeli. Lalu, ramai orang mengambil keputusan mengurangkan perbelanjaan mereka menyebabkan perniagaan terjejas kerana kekruangan hasil jualan. Keadaan ini menyebabkan pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan sehingga sampai ke satu tahap, syarikat perlu mengecilkan saiz pekerja kerana kekurangan dana, seterusnya menjejaskan ekonomi secara keseluruhannya.


3. Kepimpinan Najib Razak

Tun Dr Mahathir menggelar Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai kleptokrat iaitu pencuri, penyangak dan perompak wang negara. Beliau juga menyebut Najib Razak menggunakan konsep “Cash is King” untuk mencari dan membeli sokongan. Beliau percaya kaedah itu telah membebankan pentadbiran negara dan merosakkan sistem nilai masyarakat. Dalam setiap siri ceramah. Tun Dr Mahathir sering kali merujuk skandal 1MDB dan wang tunai RM2.6 bilion dalam akaun Najib Razak sebagai punca kepada pelabelan berkenaan.

Rakyat Malaysia melihat tindak balas Najib Razak dalam ini hanyalah dengan menggunakan Peguam Negara untuk menafikan penglibatannya di samping mempengaruhi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk mengesahkan RM2.6 bilion sebagai derma. Beliau juga memperuntukkan sejumlah perbelanjaan untuk menaja imam dan bilal masjid menunaikan haji dengan alasan 1MDB tidak ada masalah kewangan.

Kemahiran beliau memimpin organisasi UMNO juga menjadi masalah. Untuk menyelesaikan kritikan dalaman ahli-ahli UMNO terhadap 1MDB, Najib Razak memecat tiga orang berpengaruh iaitu timbalan presiden, naib presiden dan menteri besar. Ketiga-tiga orang ini membawa satu haluan selepas dipecat iaitu menjatuhkan Najib Razak. Mereka menubuhkan parti baru, membina pengaruh dan sokongan, bergabung dengan Pakatan Harapan dan bertanding dalam PRU14. Kesilapan besar Najib Razak ialah tidak membuat jangkaan terhadap kempen ketiga-tiga tokoh ini untuk mengumpul kekuatan dan mencari tempat dalam politik Malaysia.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Mukhriz Mahathir bergabung menubuhkan Bersatu sebagai parti alternatif kepada UMNO. Parti berkenaan terus berusaha mencari sokongan dalam kalangan bekas-bekas penyokong UMNO yang tidak sehaluan dengan Najib Razak. Usaha mereka berbaloi apabila ramai ahli UMNO dan anak-anak muda yang berminat dengan pendekatan yang digunakan.

Di Sabah, Datuk Seri Shafie Afdal menubuhkan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang menarik minat rakyat tempatan untuk menumbangkan UMNO Sabah. Warisan dapat menarik pengundi yang ramai dalam masa yang singkat sehingga dapat menubuhkan kerajaan di Sabah. Kebangkitan rakyat Sabah mungkin juga kerana pengaruh sentimen dari Semenanjung yang menolak apa juga pengaruh UMNO dan Najib.

Selain daripada peribadi Najib Razak, kehidupan isterinya juga menjadi bualan. Datin Seri Rosmah Mansor dikaitkan dengan kehidupan bermewah sehingga menimbulkan persepsi negatif berkenaan pembaziran wang. Salah satu kisah yang menarik adalah bayaran RM1,200 untuk membuat gaya rambut. Ramai orang percaya berlaku lebih banyak pembaziran dan salah guna kuasa seperti penggunaan kapal terbang rasmi kerajaan.

Penglibatan anak Rosmah Mansor dalam pembikinan filem Wolf of Wall Street dikatakan menggunakan dana yang dialih dari 1MDB pada tahun 2013. Walaupun Najib Tun Razak cuba menafikannya, maklumat yang didedahkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat memberi kesan terhadap persepsi negatif masyarakat Malaysia dan antarabangsa.

Najib Razak mempengaruhi orang ramai melalui kempen dan slogan “1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Biarpun banyak program dan perkhidmatan menggunakan “1Malaysia” seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) atau Klinik 1Malaysia, usaha-usaha ini tidak dapat mengurangkan resah masyarakat terhadap bebanan kos hidup. Tidak ada gunanya Salam 1Malaysia kalau hidup dalam kesusahan kerana harga barang yang mahal sedangkan peningkatan gaji tidak setara dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.


4. Akhbar dan media berat sebelah

Akhbar dan media arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star atau New Straits Times menyiarkan berita yang condong kepada BN setiap hari. Sindiran kerap bertukar kepada penghinaan peribadi yang mengundang simpati masyarakat kepada pimpinan PH khususnya Tun Dr Mahathir sendiri. Pada 27 April 2018, Utusan Malaysia menyiarkan ucapan Najib Razak yang berkata Tun Dr Mahathir sebenarnya hanya diperkudakan DAP untuk memecahbelahkan undi Melayu pada PRU14. Di Berita Harian, A Jalil Hamid mengutarakan pandangan sinis yang bertajuk “Dua ucapan berbeza menjelang hari mengundi” pada 9 Mei 2018 terhadap ucapan Tun Dr Mahathir di Langkawi selaku pengerusi PH. Beliau berkata ucapan berkenaan “tiada apa yang baharu” dan “di pentas itu hanyalah seorang lelaki berusia 93 tahun yang keletihan, tanpa kekuatan mahupun inspirasi”. Dan akhirnya beliau merumuskan “Pakatan pembangkang gagal menggunakan ucapan Langkawi bagi menampilkan Dr Mahathir sebagai ketua pakatan”. Pandangannya begitu sinis dan merasakan BN akan menang dan terus berkuasa.

Media kawalan BN iaitu RTM dan TV3 berterusan menyiarkan sisi negatif pemimpin PH sehingga menimbulkan rasa meluat penonton. Oleh kerana siaran negatif ini, TV3 sering kali digelar “TV tiga suku” dan penyampai beritanya dikecam. Mungkinkah editor di akhbar-akhbar perdana dan media elektronik ini tidak menyedari bahawa gelombang perubahan besar bakal berlaku pada Rabu, 9 Mei 2018 yang meruntuhkan tembok pemikiran pengundi yang mahukan perubahan?

Gelagat laporan seperti ini mengundang rasa meluat dan marah sebahagian masyarakat yang kemudiannya beralih kepada maklumat yang diperoleh dari media sosial dan ceramah. PH tidak perlu mencetak banyak bahan maklumat sebagai serangan balas kempen mereka. Umumnya penonton di media sosial lebih mudah berkongsi maklumat melalui pandangan yang disalurkan dalam ruangan komen sesuatu platform media sosial. Kesilapan media pro-BN ialah mereka mengasak fikiran masyarakat dengan memperlekeh kemampuan PH secara keterlaluan menyebabkan masyarakat merasa muak dan tidak percaya dengan kandungan laporan yang disiarkan.


5. Sabotaj ahli parti

MCA dah MIC terpaksa bergantung harap kepada untuk terus mendapat kepercayaan pengundi khususnya undi pengundi Melayu. Di kawasan bandar, calon MCA tidak mendapat sokongan masyarakat Cina kerana pelbagai faktor seperti tidak berupaya menyampaikan mesej masyarakat Cina kepada kerajaan Barisan Nasional dan wakil Cina dianggap sebagai boneka dalam kabinet kerajaan. Kebanyakan pengundi bandar yang bermajoriti kaum Cina akan beralih kepada DAP.

Begitu juga MIC. Parti ini hilang taringnya dalam setiap kali pilihan raya dan sangat bergantung kepada ihsan UMNO untuk menang di kawasan yang ditandingi. Parti ini juga tidak lagi memiliki sentuhan luar biasa bagi masyarakat India kerana mereka sendiri merasakan keadaan masyarakat India di Malaysia tidak banyak perubahan. Dalam PRU14, MIC ditolak oleh pengundi sama ada kerusi parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri. Hanya beberapa kawasan luar bandar masih berminat dengan parti ini.

Keadaan paling genting berlaku kepada UMNO. Perebutan jawatan dan tamak untuk menjadi calon menyebabkan calon-calon yang tersingkir membuat bantahan senyap. Mereka tidak turun berkempen sebaliknya turun beramai-ramai untuk memilih calon lawan pada hari mengundi. Kes yang berlaku di Kuala Perlis menjadi contoh apabila calon popular diketepikan oleh pucuk pimpinan UMNO negeri. Hal ini menyebabkan ahli-ahli parti membantah. Selepas keputusan pilihan raya diumumkan, DUN Kuala Perlis dimenangi oleh calon PKR yang lebih muda. Keadaan ini juga berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara.

Sabotaj seperti ini berlaku dalam banyak keadaan. Kesannya ialah jentera parti tidak bergerak. Keadaan ini memberi peluang kepada lawan untuk menarik sokongan. Suasana sabotaj parti ini bertepatan dengan jangkaan Tun Dr Mahathir terhadap jangka hayat UMNO yang berakhir pada atau sebelum tahun 2020 kerana perebutan kuasa yang menyebabkannya menjadi sebuah parti yang lemah.

Di samping sabotaj, ahli-ahli BN juga kurang berusaha mendekatkan diri mereka dengan pengundi kerana berkeyakinan rakyat masih memilih komponen parti itu. Berdasarkan pelbagai jenis bantuan dan keadaan ekonomi negara yang baik ketika itu, telahan pelbagai agensi penyelidikan juga memaparkan BN akan memenangi pilihan raya ini malah ada yang berpandangan BN akan mendapat majoriti dua pertiga. Justeru, BN memilih untuk tidak berusaha bersungguh-sunguh dan berkempen dalam keadaan selesa tanpa menyedari pasukan kempen PH bergerak ke seluruh negara mempengaruhi pengundi.

Pilihan Raya Umum ke-14 mencatat sejarah di Malaysia. Rakyat telah membuat keputusan untuk mengubah kerajaan sedia ada kerana menghadapi pelbagai kekangan hidup yang memberi masalah besar. Kerajaan yang baru ini dilihat cuba untuk membuat sejarah Malaysia yang baru, Malaysia yang bebas dalam erti kata berdikari, lebih terbuka dan progresif. Bagi merealisasikan Malaysia yang baru ini, sudah pasti kerajaan PH memerlukan sokongan dan juga dukungan yang padu supaya pelbagai dasar, perancangan dan program yang dimuatkan dalam manifesto pilihan raya baru-baru ini dapat disempurnakan. Pemansuhan GST, pengurangan kadar tol, peningkatan pendapatan dan memenuhi kebajikan rakyat boleh menjadi realiti apabila semua pihak mengambil bahagian untuk menjadikan kehidupan rakyat Malaysia sebagai sebuah kehidupan yang lebih baik, bermaruah dan bahagia.

Sunday, April 22, 2018

PRU14 tentukan masa hadapan negara







Rakyat negara negara maju menukar kerajaan mereka melalui proses pilihan raya. Ia berlaku sama ada kepada negara Jepun, Jerman ataupun Amerika Syarikat. Dalam setiap pilihan raya, tidak ada pertumpahan darah atau kemalangan jiwa yang berlaku. Sebaliknya proses pilihan raya di negara-negara itu berlaku dalam keadaan tenang dan lancar.

Keadaan pilihan raya di negara-negara membangun dan Dunia Ketiga agak berbeza.

Pemimpin-pemimpin yang telah lama berkuasa mahu terus kekal berkuasa dan akan menggunakan pelbagai cara dan tipu helah untuk kembali berada di tampuk kuasa. Akhirnya, separuh daripada rakyat negara-negara itu tidak percaya kepada proses pilihan raya. Suasana ini kita boleh lihat di kebanyakan negara di Afrika.

Ancaman rasuah dan menghilangkan kotak undi umpama drama politik tetapi ia merupakan isu sebenar yang berlaku di kebanyakan negara. Tipu helah sebegini telah mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap proses pilihan raya yang dilalui.

Di Gabon, selepas pemimpin pembangkang Jean Ping tewas, penyokong-penyokongnya bangkit membantah dan merusuh. Laporan dari pemerhati-pemerhati pilihan raya menyatakan terdapat keganjilan dalam peratusan pengundi yang keluar membuang undi mereka.

Tujuh negara yang rakyatnya takut keluar mengundi adalah Uganda, Gabon, Kenya, Liberia, Mesir, Ivory Coast dan Nigeria.

Pilihan raya adalah kesempatan untuk rakyat membuat pilihan menentukan haluan dan kemajuan negara. Pilihan raya juga bermakna kemajuan ekonomi dapat memacu pembangunan negara.

Bagaimanakah keadaan ini boleh berlaku?

Demokrasi memberi impak positif kepada kadar pertumbuhan negara khususnya apabila peralihan kepada demokrasi digabungkan dengan ekonomi. Pemimpin-pemimpin yang terpilih dalam kerajaan cenderung meningkatkan aktiviti ekonomi melalui tadbir urus yang lebih baik dan pengenalan dasar ekonomi yang lebih menarik. Justeru, parti-parti yang bertanding mengumpan pengundi melalui pelbagai adaptasi dasar-dasar yang dilihat berfaedah kepada rakyat.

Namun, jika kerajaan memenangi pilihan raya dengan cara yang salah, sebenarnya mereka ini tidak berdisiplin dan tidak berminat meningkatkan atau menambah baik dasar dan tadbir urus kerajaan.

Kerajaan yang memenangi pilihan raya dengan cara yang betul dapat memenuhi dan melaksanakan manifesto pilihan raya dengan lebih mudah kerana rakyat telah pun bersedia untuk melaksanakan manifesto tersebut dengan jayanya.

Kelompok yang kalah tidak mengganggu kerajaan kerana mereka sedar ia bukannya satu keperluan. Justeru, pelaksanaan dasar yang telah dijanjikan dapat berjalan lancar dan sempurna.

Ketelusan proses pilihan raya menunjukkan bakal kerajaan yang bersih daripada pencemaran rasuah dan salah guna kuasa. Elemen ini menjadi teras kepada tadbir urus yang berkesan dalam tempoh lima tahun akan datang. Ia juga dijelmakan dalam perancangan dasar dan pelaksanaan program yang menjadikan nilai-nilai murni dan cemerlang sebagai intipati dalam pentadbiran.

Di Malaysia, pilihan raya yang sedang berlangsung pada ketika ini sudah masuk kali yang ke-14. Pertembungan tiga kelompok parti utama memberi peluang kepada pengundi untuk membuat perhitungan. Sama ada Barisan Nasional, Gagasan Sejahtera ataupun Pakatan Harapan, pengundi mampu membuat pilihan berdasarkan rekod pencapaian masing-masing di samping karisma barisan kepimpinan.

Disenaraikan analisis keupayaan setiap parti komponen yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 nanti.


Barisan Nasional

Barisan Nasional (BN) telah menerajui pembangunan dan kemajuan Malaysia sejak enam dekad lalu. Memasuki pilihan raya umum ke-14 sebagai parti politik yang kuat, BN sentiasa memperkenalkan manifesto yang prorakyat dan mempamerkan kumpulan parti yang memperjuangkan kepentingan kaum kaum dalam komponen parti berkenaan.

Tiga parti utama BN adalah UMNO, MCA dan MIC yang mewakili tiga etnik utama Melayu, Cina dan India. Selain itu, BN juga berada di Sabah dan Sarawak bagi mengukuhkan kehadiran mereka dalam politik Malaysia.

BN terus berada dalam kerajaan kerana dasar dan pemimpin. Dasar-dasar yang dilaksanakan telah berjaya membawa perubahan hidup kepada rakyat Malaysia khususnya dalam bidang pendidikan dan pembangunan ekonomi. Dasar-dasar pendidikan yang sentiasa ditambah baik dan pelaburan asing yang sentiasa masuk menjadikan kemajuan negara dapat dilihat dan dirasai oleh semua orang.

Proses peralihan pemimpin yang lancar juga telah membantu menstabilkan BN.

Kejayaan BN membangunkan negara dan dasar-dasar yang perlu rakyat memastikan parti itu dapat mentadbir Malaysia dengan selesa. Perubahan kepimpinan tidak memberi masalah walaupun setiap kali perubahan pucuk pimpinan wujud parti politik serpihan.

PRU14 tidak lagi akan sama seperti pilihan-pilihan raya yang lalu. Kali ini, BN berhadapan dengan cabaran paling getir. Cabaran ini sudah berada di dalam BN sendiri dan yang baru muncul dari luar.

Isu-isu besar seperti 1MDB, GST, rasuah dan sabotaj menjadi masalah kepada BN khususnya UMNO. 1MDB tidak dibenarkan dibawa ke dalam Perhimpunan Agung UMNO menyebabkan rakyat Malaysia mencari maklumat berkaitan 1MDB dari media luar. 1MDB juga menyebabkan golongan Melayu yang berpendidikan hilang keyakinan terhadap kemampuan kepimpinan UMNO untuk melaksanakan tadbir urus yang terbaik.

Masalah terbaru BN ialah UMNO sebagai parti teras telah hilang kelayakan sebagai parti politik yang sah kerana gagal melaksanakan pemilihan parti sehingga 20 April 2018 lalu. Seramai 16 ahli UMNO yang membawa kes berkenaan ke mahkamah telah dipecat serta-merta.

Populariti BN hanyalah di saluran media perdana milik kerajaan seperti RTM, kumpulan Media Prima dan akhbar-akhbar harian. Di media sosial seperti YouTube, WhatsApp dan Facebook didapati lebih ramai yang tidak menyukai BN.

Nasib baik BN dalam PRU14 dilihat sangat sukar walaupun London Financial Times menjangkakan BN akan menang. Alasannya ialah persempadanan semula kawasan pilihan raya dan pertandingan tiga penjuru akan memberi kelebihan kepada mereka.


Gagasan Sejahtera

Blok parti politik ini dianggotai oleh PAS, IKATAN dan Berjasa di samping 200 badan bukan kerajaan. Tunjang utama gagasan adalah PAS yang mahu bergerak bersendirian selepas menyertai Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lepas. Gagasan lebih sinonim dengan PAS yang menenggelamkan parti-parti bersekutu yang lain.

Gagasan menawarkan 20 tawaran kepada rakyat Malaysia dalam PRU14 ini.

Menghapuskan GST dan menggantikannya dengan sistem percukaian yang lebih adil seperti Cukai Atas Simpanan Korporat dan Cukai Saham di Bursa Malaysia. 

Melupuskan hutang peminjam PTPTN sedia ada sebagai inisiatif permulaan ke arah memberikan pendidikan percuma. 

Memberikan bantuan makanan asasi kepada golongan fakir dan miskin secara bulanan menerusi satu program kebangsaan. 

Menawarkan bantuan sekali beri sebanyak RM2,000 sebagai modal kepada wanita bekerjaya untuk memulakan kerja dari rumah. 

Melaksanakan program bas sekolah percuma untuk meringankan beban ibu bapa. 

Memberikan bantuan pembelian kereta pertama bawah 1300 kuasa kuda (1.3 liter) menerusi pengecualian duti eksais dan pembiayaan pinjaman tanpa faedah. 

Mengurangkan harga rumah mampu milik antara RM50 ribu sehingga RM 180 ribu. 

Mengembalikan semula fungsi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebagai program memperkasakan golongan miskin bandar dan luar bandar. 

Menstrukturkan semula kadar bayaran tol menerusi semakan semula perjanjian konsesi tol yang melebihi 15 tahun. 

Mewujudkan pentadbiran yang bebas rasuah selaras dengan kehendak dan tuntutan syarak menerusi konsep tadbir urus “‘Ubudiyyah”, “Mas’uliyyah” dan “Itqan”. 

Memperkasakan peruntukan Islam sebagai agama persekutuan dengan melaksanakan tuntutan Islam sebagai al-Din. 

Menjadikan Bahasa Melayu bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran dalam sistem pendidikan negara. 

Mengembalikan sistem kuota di institusi pengajian tinggi awam bagi mengimbangi jurang pendidikan antara golongan kaya dan miskin serta masyarakat bandar dan luar bandar. 

Mempertimbangkan semula pelaksanaan dasar pembangunan yang berupaya membasmi kemiskinan dan menyusun semula ketidakseimbangan ekonomi dalam kalangan masyarakat. 

Membantu kerajaan negeri membuka rancangan pembangunan tanah khususnya untuk golongan muda. 

Membangunkan penempatan baru mampu milik untuk generasi kedua dan ketiga Felda. 

Membantu golongan kurang upaya (OKU) menerusi pemerkasaan sistem sokongan berasaskan potensi dan keupayaan diri. 

Mewujudkan pusat komuniti keluarga di setiap daerah dan lokaliti yang memerlukan untuk memberi khidmat kaunseling, perundangan, kemahiran, bimbingan agama dan latihan keibubapaan. 

Menyemak kembali nisbah anggota keselamatan berbanding populasi setempat untuk mengurangkan kadar jenayah. 

Menambah bilangan doktor pakar dan hospital pakar untuk memenuhi keperluan penduduk berasaskan nisbah yang disyorkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.


Sejauhmana Gagasan berpotensi menarik pengundi terletak atas usaha dan inisiatif PAS. Kekuatan Gagasan juga kurang terserlah di Malaysia tetapi lebih popular di pantai timur semenanjung Malaysia. Di Sabah dan Sarawak, Gagasan meletakkan calon-calon yang terdiri daripada bukan Islam. Justeru, harapan mereka untuk menawan Putrajaya dan mentadbir Malaysia dilihat penuh dengan cabaran dan liku-liku, lebih-lebih lagi dalam banyak pertandingan pilihan raya yang akan datang melibatkan tiga penjuru.


Pakatan Harapan

Sebuah ketumbukan politik yang kuat, PH menjadikan pilihan raya kali ini sebagai tempat istimewa untuk menyingkirkan BN. Hampir setiap masa dan setiap malam jentera pilihan raya PH menemui pengundi-pengundi di seluruh negara melalui pelbagai jenis saluran.

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir telah berjaya menyatukan PH biarpun pelbagai halangan yang ada seperti kelewatan pendaftaran, pembubaran PBPM dan halangan-halangan lain.

PH bergerak ke seluruh negara dengan strategi yang khusus. Di kawasan bandar, kempen dan ceramah tidak begitu ketara tetapi di luar bandar PH membawa rombongan pemimpin ‘the giant killer’ seperti Tun Dr Mahathir supaya masyarakat luar bandar dapat melihat sendiri bahawa bekas perdana menteri yang pernah menjadi pemimpin negara sekarang ini tidak lagi bersama dengan Barisan Nasional.

Di sinilah muncul kekeliruan dalam kalangan pengundi luar bandar apabila Tun Dr Mahathir berucap di pentas PH. Penerangan demi penerangan yang disampaikan oleh Tun Dr Mahathir telah merubah persepsi seterusnya tingkah laku pengundi luar bandar. Sedikit demi sedikit pengaruh PH berkembang dengan pantas. PH menggunakan media sosial secara maksimum. Semua saluran media sosial digunakan sebaiknya untuk menyampaikan informasi berkenaan kelemahan lawan. Akhirnya klip-klip video ceramah pH seringkali mendapat ‘view’ yang tinggi.