Showing posts with label Pelangi. Show all posts
Showing posts with label Pelangi. Show all posts

Thursday, May 29, 2025

Cabaran pendidikan semakin kompleks

Tindakan seorang guru yang meminta murid perempuan sekolah rendah mengaku perbuatan yang tidak dilakukannya telah mendapat perhatian ramai pihak termasuk kementerian yang bertanggungjawab dalam pendidikan negara.

Terdapat dua pihak yang berpandangan berbeza apabila menghuraikan kejadian ini iaitu, satu pihak yang menyokong tindakan guru dan pihak satu lagi yang berpandangan tindakan guru tersebut telah melepasi ‘garis merah’ dalam mengurus tingkah laku murid.

Di ruang komentar media sosial, kedua-dua pihak ini saling memberi justifikasi masing-masing untuk membenarkan pandangan mereka.

Di pihak yang menyokong tindakan guru, hujah mereka adalah tidak ada sebarang tindakan ganas yang menyebabkan murid hilang atau rosak anggota badan seperti patah tulang, calar atau mata menjadi buta. Mereka juga menyifatkan murid hari ini memiliki mental yang sangat rapuh sehingga tidak mampu menahan tekanan. Malahan mereka mengaitkannya dengan tindakan susulan oleh ibu bapa yang mahukan anak-anak lebih berdisiplin apabila pulang ke rumah. Alasannya ibu bapa menyerahkan anak-anak untuk diajar supaya berdisiplin dan bijak oleh guru.

Manakala pihak yang tidak senang dengan tindakan guru telah mengaitkannya dengan kesan psikologi yang ditanggung murid sepanjang masa. Ia bakal mengganggu perkembangan sosial seperti murid enggan ke sekolah, tidak mahu belajar mata pelajaran tertentu dan muncul rasa tidak yakin pada diri. Ia juga mengganggu emosi murid kerana diaibkan di hadapan orang ramai.

Profesion guru tidak meletakkan mengajar sebagai satu-satunya tugas yang perlu dilaksanakan sebaliknya ia hadir bersama tanggungjawab membina kerektor murid. Walaupun seorang guru mengajar mata pelajaran matematik, peranan guru bukan hanya datang ke kelas untuk mengajar silibus matematik sehingga pelajar faham sebaliknya melalui pengajaran itulah murid mendapatkan nilai-nilai ketekunan, mendengar cakap, keinginan untuk berjaya dan bersedia dengan cabaran hidup.

Melalui aktiviti di luar bilik darjah, murid dapat mempraktikkan nilai-nilai tadi dalam hidup mereka. Galakan yang diberi ketika di sekolah rendah dapat menumbuhkan nilai-nilai positif yang lebih kuat dan berkekalan.

Memarahi murid umpama pegawai penyiasat untuk mendapatkan jawapan bukanlah kaedah terbaik bagi mendapatkan maklum balas. Terdapat pendekatan lain yang boleh menjadikan hati murid bertambah lembut dan menceritakan hal sebenar.

Etika profesionalisme guru harus diingatkan dari semasa ke semasa supaya para guru menyedari bahawa peranan mereka amat penting dan sangat bermakna kepada dunia pendidikan.

Cadangan mewajibkan guru menghadiri kursus-kursus psikologi dalam mengendalikan tingkah laku murid amat dialu-alukan supaya guru-guru dapat memahami kaedah mengawal diri, mengurus emosi dan pemikiran kritis supaya ekosistem pendidikan sentiasa ditambah baik.

Guru-guru yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran ini dapat menguruskan apa juga masalah dan isu dengan lancar, umpama 'menarik rambut dari tepung’ supaya murid, ibu bapa dan guru tidak berbalah. Ada kalanya kebijaksanaan ini boleh dibuat seorang diri sahaja dan ada kalanya bersama-sama orang lain.

Tidak dinafikan, cabaran-cabaran pengajaran semakin kompleks dan semakin mencabar. Menggunakan pendekatan lama dalam suasana yang berubah dan baharu akan menghasilkan impak yang sangat minimum.

Jadi, pendidik wajar diberikan ilmu dan kemahiran baharu supaya dapat menyesuaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran dengan suasana dan bentuk kehidupan yang berbeza.

Penyampaian kepada kaedah-kaedah ini boleh dilakukan oleh institusi secara dalaman dan Iuaran. Berikan kursus, adakan seminar dan bentukkan kumpulan fokus untuk menggesa perubahan. Melalui cara ini, kesedaran terhadap kelebihan teknik-teknik terkini dapat ditimbulkan, seterusnya diguna pakai dalam dunia pendidikan.

Sunday, March 10, 2024

Awal sekolah 2024


Alam persekolahan 2024 bermula hari ini. Murid-murid dan pelajar kembali menyarung pakaian seragam sekolah untuk melangkah ke kelas dalam keadaan serba-serbi baharu, baju baru, seluar baru, beg sekolah baru dan kasut sekolah pun baru walaupun yang lama masih elok.

Keluarga yang mampu membeli semua persediaan sekolah tidak akan berhadapan dengan pening dan sakit kepala memikirkan perbelanjaan sekolah anak-anak. Sebagai balasannya, anak-anak yang bersekolah dapat memberi tumpuan dan perhatian untuk belajar. Mereka tidak perlu memikirkan bagaimana hari esok dapat makanan kerana insya Allah hari-hari esoknya akan ada belanja.

Tidak sama keadaannya dengan pelajar yang datang dari keluarga susah. Pakaian yang dipakai untuk sekolah sama seperti tahun lepas, begnya pun sama- masih baik dan boleh isi buku. Wang saku belum tentu dapat dibawa setiap hari dan mengharapkan bantuan sarapan pagi di sekolah, itu pun jika ada.

Bercerita tentang pelajar-pelajar yang susah dan tidak makan pagi ini tidak pernah selesai. Selagi ada orang miskin dan susah, adalah juga pelajar tidak bersarapan pagi atau membeli pakaian seragam baru. Adalah juga pelajar yang tidak bayar yuran sekolah kerana duit sedia ada perlu dibelanjakan kepada barangan keperluan lain.

Pendidikan menjadi alat perubahan yang paling berkesan untuk mengubah masa hadapan negara. Negara-negara yang merdeka pada tahun yang sama dengan negara kita masih ada yang tertinggal dalam banyak aspek pembangunan.

Contohnya Ghana, sebuah negara di Afrika yang mendapati kemerdekaan hampir 66 tahun lalu berada di kedudukan 133 dalam Human Development Index. Pembangunan yang direncanakan tidak dapat dilaksanakan dengan rancak kerana prasarana pendidikan tidak memadai untuk mengisi keperluan pembangunan ekonomi negara. 

Biarpun separuh daripada penduduk Ghana adalah golongan muda, aktiviti pembangunan perekonomian tidak seaktif ramai orang muda kerana asas pendidikan tidak disediakan dengan sempurna.

Berbeza dengan Malaysia, sebaik sahaja merdeka, kerajaan melaksanakan rancangan pembangunan bagi setiap lima tahun. Peruntukan utama adalah pendidikan asas untuk menyediakan pelajar ke universiti di dalam dan luar negara. Kini Malaysia berada dalam kategori Very High Human Development iaitu kadar yang mengukur tiga kategori iaitu kesihatan, pendidikan dan taraf hidup.

Usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk memperkasa pendidikan rendah hingga institusi pengajian tinggi sudah menunjukkan hasil khususnya kadar celik huruf yang tinggi dan dasar yang memastikan semua kanak-kanak yang berumur tujuh tahun wajib belajar di sekolah. 

Juga terdapat pelbagai kategori institusi pengajian dari bidang teknikal, sains sosial mahupun kejuruteraan dan sains tulen. Kini terdapat lima universiti awam yang bersaing di peringkat antarabangsa dan menjadi tumpuan pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pendidikan tinggi.

Wednesday, April 27, 2016

Kita boleh berjaya







Hidup dalam kalangan kampung setinggan, membesar menjadi seorang yang disegani bukanlah satu usaha yang mudah. Anak-anak yang membesar di kawasan setinggan sering dikatakan memiliki sikap, pemikiran dan watak yang berbeza kerana latar belakang hidup yang berbeza. Kehidupan mereka di kelilingi emosi, tekanan dan masalah yang berlanjutan. Namun, kehidupan yang sama rata dari segi peluang pembelajaran telah mengubah kehidupan anak-anak dari kampung setinggan ini.

Dari mana sekali pun, seseorang boleh berjaya jika dia bekerja kuat ke arah matlamat yang dikehendakinya. Seorang yang tidak punya apa-apa dalam hidup boleh berubah menjadi seorang yang jauh beza apabila dia mahu bersusah payah menjadi ‘orang baru’ yang memberi manfaat kepada ramai orang.

Sesiapa sahaja boleh berubah menajdi lebih baik jika dia mahu dan mencari jalan ke arah perubahan. Dunia yang semakin kecil pada hari menjadikan proses perubahan lebih mudah kerana banyak maklumat boleh dikongsi bersama. 

Mulakan perjalanan kejayaan kita hari ini dan lihat bagaimana kita boleh mengubah persekitaran hidup kita.

Wednesday, April 13, 2016

Minda positif hidup aktif








Salah satu kesan sikap positif ialah memiliki mentaliti “buat yang terbaik dalam setiap perkara dengan bersungguh-sungguh”. 

Mentaliti ini bukannya muncul dalam sehari dua tetapi perlukan proses yang panjang. 

Seorang pelajar yang jarang-jarang mendapat nombor satu dalam peperiksaan sentiasa memiliki azam untuk mengatasi rakan-rakan yang lain. Mentaliti positif ini dibina sejak awal tahun supaya beliau dapat mengambil semua langkah untuk berjaya. Beliau akan pastikan tumpuan dalam kelas tidak diganggu, tambah kefahaman dan pastikan mendapat keputusan seratus peratus dalam ujian. 

Apabila mentaliti positif wujud dalam hidup kita, pastikan ia merebak dan kekal supaya kita sentiasa melihat kebaikan dalam semua perkara. 

Minda positif jadikan hidup lebih aktif.

Sunday, April 10, 2016

Bijak pilih model ikutan








Kebanyakan orang lebih mudah terpengaruh dengan apa-apa yang baik yang dilakukan oleh orang lain yang hampir dengan dirinya. 

Lihat kanak-kanak yang belajar di tadika. Mereka mudah mendengar cakap guru daripada ibu bapa sendiri kerana guru telah berjaya mendapatkan rasa hormat dan istimewa daripada kanak-kanak ini. Biasanya apa yang dicakap guru akan dianggap betul. 

Konsep yang sama ada pada kita. 

Jika ada seseorang yang dapat menarik minat dan rasa hormat kita, mudah untuk kita ikut. Kita mesti bijak memilih orang yang hendak dijadikan model ikutan kerana pilihan yang baik akan memberi kejayaan kepada kita. 

Ada orang yang bernasib kurang baik apabila tersalah memilih contoh, akhirnya kehidupan tidak ke mana.

Saturday, April 09, 2016

Belajar sikap positif








Pembentukan sikap positif boleh dipelajari sama ada kanak-kanak, remaja atau sesiapa sahaja. Mulakan dengan tabiat yang positif setiap hari. Contohnya ialah bersyukur kerana masih hidup dan sihat. 

Kita bersyukur kerana keadaan fizikal kita dalam keadaan baik, emosi kita yang stabil serta jiwa rasa aman dan tenteram. 

Ada orang terjaga tidur setiap pagi kerana dadanya terasa sakit, tekaknya terasa kering dan kaki serta tangannya kebas. Sudah tentu keadaan ini memerlukannya memberi lebih perhatian terhadap keadaan kesihatannya. 

Mulai hari ini, apabila kita berjumpa rakan-rakan kita, ucapkan salam dan tanya keadaan kesihatannya supaya kita dapat mengingatkan diri kita sendiri. 

Rangsang sikap positif ini dengan sentiasa bersyukur, mengingati kata-kata positif, peringatan-peringatan yang baik ataupun membaca satu halaman al-quran setiap hari. Cara ini dapat membina semangat dan keyakinan diri kita dari semasa ke semasa.


Wednesday, April 06, 2016

Harapan sia-sia








Motivasi diri tidak cukup sekadar mengubah sikap. 

Langkah seterusnya ialah menentukan cara pengukuhan selepas perubahan sikap iaitu memilih dengan sedar untuk melaksanakan lebih banyak dan kerap perkara-perkara yang positif dan mendorong kepada pencapaian yang boleh diukur. 

Seorang kenalan saya yang baru bersara memilih untuk terus produktif menjadi usahawan yang menjual madu lebah. Beliau boleh memilih untuk berehat di rumah setiap hari tetapi jika itu pilihannya, lama-kelamaan masa hidupnya menjadi tidak produktif. 

Mengamalkan tindakan-tindakan positif sudah pasti membuatkan diri sendiri berasa senang dan selesa. 

Jika kita berterusan memikirkan apa yang patut dibuat dan tidak patut dibuat dan berharap ia akan menjadi kenyataan, selamanya ia tidak akan berlaku.


Thursday, March 17, 2016

Dua cara mulakan perubahan diri








Hari ini saya ingin berkongsi tips tentang bagaimana cara hendak bertindak memulakan perubahan diri. 

Pertama, komunikasi. Sesiapa sahaja yang berada dalam jaringan sosial kita amat penting, lebih-lebih lagi yang mempunyai sikap positif, yang melihat masalah sebagai cabaran, yang menjadikan kekecewaan sebagai penrorong dan yang melihat semua perkara sebagai peluang yang positif. 

Membina komunikasi dengan rakan-rakan seperti ini boleh membawa kita ke arah yang sama. 

Kedua, penglibatan. Tidak semua perubahan diri boleh dilakukan secara bersendirian. Kita perlu libatkan orang lain yang turut sama mahukan perubahan. 

Dengan cara bersama-sama ini, idea boleh dijana, pendapat boleh dibncang dan kerja boleh diselesaikan bersama-sama.