Thursday, July 19, 2018

Memahami peranan ahli parlimen







Seorang wakil rakyat diarah keluar dari pParlimen Malaysia dan digantung pada persidangan parlimen ke-14 kerana menuduh Pemuda Umno sebagai samseng dan gengster. Ketegasan Yang Dipertua Dewan Rakyat menunjukkan beliau mahu setiap wakil rakyat berhati-hati apabila membuat tuduhan tanpa fakta.

Seramai 222 orang wakil rakyat yang dipilih semasa pilihan raya menjadi harapan kepada masa hadapan Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju.

Setiap wakil rakyat memiliki keistimewaan tersendiri untuk berhujah dan membuat keputusan di parlimen. Ada yang mampu berhujah dengan fakta dan keadaan tenang namun ada juga yang berhujah hanya dengan meninggikan suara semata-mata untuk menarik perhatian orang lain.

Kemahiran berhujah perlukan latihan dan kesungguhan yang berterusan. Latihan yang dimaksudkan ialah berkaitan suara, teknik penggayaan dan kemampuan berbahasa serta kekerapan berucap. Latihan juga berkaitan dengan minat dan kesungguhan untuk menyampaikan pendapat dan menyuarakan hak dan kepentingan masyarakat yang dibela.

Ahli parlimen bertanggungjawab kepada tiga kumpulan iaitu sebagai wakil yang dipilih rakyat , ahli parlimen dan ahli politik. Tugas ahli parlimen ialah memberi bantuan dan nasihat kepada rakyat kawasan undi, bertindak sebagai pelobi dan pendesak bagi kumpulan yang berkepentingan, menjadi pembahas untuk membincangkan dasar-dasar parti dan negara serta memainkan peranan yang aktif dalam pembangunan komuniti.

Ahli parlimen menyediakan jambatan antara konstitusi dan parlimen. Justeru mereka disediakan ruang untuk berjumpa dan sluran komunikasi yang pantas. Konstitusi yang aktif akan membawa sebarang masalah mereka kepada ahli parlimen supaya isu berkenaan disuarakan kepada jabatan yang berkaitan secara langsung. Andai kata isu berkenaan lebih serius, ahli parlimen boleh membawa perkara berkenaan untuk perhatian menteri melalui perbahasan di parlimen. Ahli parlimen juga boleh menaja petisyen mengenai sesuatu isu jika ia menyentuh kepentingan dan hak kumpulan yang tertindas.

Di parlimen, mereka bertanggungjawab menggubal dan membahas cadangan-cadangan baru undang-undang, meneliti tindakan kerajaan dan jabatan kerajaan sebagai ahli jawatankuasa parlimen, mengambil bahagian dalam perbahasan imum, menghadiri mesyuarat parti dan melaksanakan tugas-tugas yang diarahkan oleh parti atau parlimen.

Menjadi ahli parlimen bukanlah tugas mudah kerana mereka perlu memahami tanggungjawab besar yang dipikul. Kejayaan mereka ialah menjadikan rakyat lebih matang dalam menyuarakan hak dan keperluan hidup di kawasan mereka, bukan bergembira memilih calon parti yang hanya menjadi pemerhati pasif di parlimen.

Melaksanakan tanggungjawab ini sangat mencabar kerana mereka perlu aktif di peringkat kawasan mereka sendiri supaya dapat mengetahui pandangan dan isu-isu yang berkisar dalam masyarakat, mencari masalah komuniti dan kadangkala perlu mengambil peluang menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada penduduk.

Ahli parlimen yang diarah keluar dari Parlimen Malaysia baru-baru mungkin terikut-ikut dengan sikap dan perangai lama kerana sentimen yang tidak ada kesudahan. Beliau harus sedar bahawa masyarakat sekeliling sudah berubah. Jika beliau mahu mendakap sikap berkenaan, masanya sudah sampai untuk beliau memikirkan kedudukannya pada pilihan raya akan datang.

Sunday, July 15, 2018

Mengangkat institusi raja








Isu seorang wanita Melayu yang tidak mahu perlakuan sistem feudal dalam kalangan pemimpin-pemimpin kerajaan Pakatan Harapan menarik perhatian banyak pihak sehingga laporan polis dibuat oleh orang ramai. Tarikan utamanya ialah beliau mahu amalan bersalam, membongkok kepala dan mencium tangan dihentikan  kerana 'semua  darah manusia berwarna merah, tidak ada lebih dan tidak ada kurang’.

Dalam perkara ini, saya melihat corak berfikir wanita berkenaan terkeluar dari corak pemikiran masyarakat Melayu secara umumnya. Bagi orang Melayu, salah satu  tiang seri kepada kaum itu ialah kedaulatan raja. Kekuatan bangsa Melayu dinaungi oleh kesultanan yang bertindak sebagai penaung dalam beragama, bermasyarakat dan bernegara. Jika naungan ini ini pecah, akan berlaku porak-peranda dalam penaungan agama, adat istiadat dan ketuanan Melayu.

Apakah yang difikirkan oleh wanita berkenaan? Apakah beliau menjangkakan dengan membebaskan sistem feudal, masyarakat Melayu akan maju? Lebih dinamik? Atau bagaimana?

Sejarah dunia moden mencatatkan semakin banyak negara yang menolak sistem morarki. Bilangan raja juga semakin merosot. Nepal memilih menjadi sebuah negara republik pada tahun 2008 apabila rakyat negara itu memilih untuk menyingkirkan kerajaan dinasti beraja.

Suatu masa dulu, terdapat banyak raja dan sultan di Sumatera dan Jawa, namun hari ini pentadbiran kesultanan hanya dimuatkan dalam kawasan terhad, di muzium dan menjadi sebahagian daripada sejarah negara.

Sebaliknya berlaku di Malaysia.

Institusi kesultanan dipelihara dan diberi status baru supaya tidak berkubur. Malah kedauatan raja-raja Melayu menjadi sebahagian daripada kontrak sosial yang mewajarkan bangsa-bangsa asing mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia. Peranan raja-raja juga diperkukuhkan melalui Majlis Raja-Raja apabila isu-isu berkaitan masyrakat Melayu dan bukan Melayu menjadi perbincangan dalam setiap kali mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Mempunyai raja dalam struktur pentadbiran negara adalah satu kelebihan dan keunikan, bukannya satu kelemahan akibat daripada penggubalan sistem feudal. Institusi raja diangkat dalam perlembagaan persekutuan kerana ia mempunyai fungsi-fungsi khusus yang menjadi penstabil kepada struktur demografi Malaysia.

Saya menjangkakan institusi raja akan terus kukuh dan dihormati di negara ini kerana bilangan kaum Melayu akan terus bertambah dalam tempoh 30 tahun akan datang. Memisahkan kaum Melayu dari tiang seri masyarakat itu akan mengundang resah dan kebencian.

Justeru, saranan untuk menilai kembali institusi beraja di Malaysia adalah tidak relevan. Sebaliknya institusi berkenaan wajar di perkukuh supaya menjadi sebahagian daripada sistem pentadbiran negara.

Saturday, July 14, 2018

Tenaga kata-kata







Kematian seorang wanita yang dicekik dan ditikam kerana kerap menyindir seorang lelaki di tempat kerja menunjukkan bahawa setiap patah perkataan mempunyai tenaga. Ucapan yang disampaikan dalam sebarang bentuk membawa mesej tertentu yang dapat mempengaruhi orang lain yang mendengarnya.

Ucapan yang baik-baik dapat mempengaruhi fikiran dan hati orang lain untuk berubah. Seorang kanak-kanak yang nakal boleh diubah melalui kata-kata nasihat dan dorongan yang mengarah kepada tingkah laku dan akhlak yang baik. Kanak-kanak yang malas bersolat akan bertukar watak apabila diberi ingatan dan pujukan untuk menunaikan solat.

Kata-kata yang baik ini mempunyai pelbagai faktor. Ucapan "terima kasih" dapat memberi rasa tenang dan bahagia kepada kita berbanding ucapan "barua" atau "pergi mampos".

Kata-kata yang buruk dengan niat mengeji hanya mengundang marah dan balas dendam, lebih-lebih lagi diulang-ulang setiap hari. Sudah tentu batang tubuh yang dikeji tadi berasa tidak puas hati. Ternyata dalam kes pembunuhan berkenaan, suspek yang dikatakan berperwatakan baik bertukar menjadi ganas apabila kata-kata yang negatif sudah melampaui sempadan rasional dan had penerimaan diri.

Peribahasa ada menyebut "biar pecah di perut jangan pecah di mulut" menggambarkan betapa kata-kata boleh memberi kesan. Biarlah hidup terseksa asalkan rahsia dijaga dengan baik.

Selain sindiran, konflik juga tercetus kerana perbezaan makna walaupun dalam satu rumpun bahasa. Contohnya, cuba baca ayat ini: "memakai pakaian yang seronok" atau "10 fakta seronok negara Malaysia".

Pada kita, dua ayat ini adalah normal, tidak ada apa-apa yang cacat dan cela tetapi cuba baca ayat ini: "kamu membutuhkan saya hari ini untuk berjaya". Ayat ini bernada kasar kerana terdapat perkataan "butuh" yang membawa hal mencarut. Bagi masyarakat Indonesia, ayat itu betul dan sahih, boleh diterima kerana maksud "butuh" di sini sangat positif iaitu "perlu".

Jika orang Malaysia berucap di Indonesia menggunakan perkataan "seronok", dia akan ditertawakan kerana maksud perkataan "seronok" adalah "seksi". Kadangkala kita berjumpa dengan ayat "pakaian yang seronok" dalam buku-buku terbitan dari Indonesia yang bermaksud "pakaian yang seksi".

Adalah lebih baik kita belajar menjadi lebih prihatin dan sensitif dengan perasaan orang lain apabila berbual atau membuat jenaka. Di Malaysia, bentuk jenaka orang Melaka tidak sama dengan orang Kedah. Jika tidak prihatin, jenaka boleh bertukar menjadi konflik dan pergaduhan.

Friday, July 06, 2018

Pengasuh tidak berdaftar undang kecelakaan








Perbuatan kejam pengasuh yang menyebabkan kematian seorang kanak-kanak  berusia lima tahun mengundang kemarahan banyak pihak. Ia merupakan perbuatan tidak berperikemanusiaan dan menimbulkan kerisauan berpanjangan kepada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak di seluruh negara. Ia juga menimbulkan kesan trauma kepada ibu bapa yang pernah mengalami nasib yang sama.

Boleh dikatakan setiap tahun terdapat  kes yang melibatkan kematian bayi atau kanak-kanak di tangan  pengasuh. Punca-punca kematian disebabkan tersedak susu, pendarahan dan kelalaian ibu bapa yang masih menghantar anak-anak biarpun didapati anak-anak masih menghadapi demam panas yang berpanjangan.

Ada  kes yang telah pun diputuskan hukumannya dan ada kes yang masih berjalan di mahkamah.

Permintaan terhadap pengasuh sentiasa tinggi khususnya di kawasan bandar. Ia mengundang tarikan kepada sesetengah pihak untuk menawarkan diri menjadi pengasuh tanpa memiliki sebarang kelayakan ataupun memiliki sedikit pengalaman pengasuhan. Ada juga yang menjalankan perkhidmatan mereka melalui media sosial dan juga melalui rekomendasi daripada para pelanggan yang pernah mendapatkan perkhidmatan.

Bayaran perkhidmatan juga sangat kompetitif. Pengasuh yang berdaftar biasanya meletakkan harga yang lebih tinggi manakala pengasuh yang tidak berdaftar biasanya meminta harga yang mampu dibayar oleh ibu bapa.

Walaupun terdapat perbezaan harga, ibu bapa yang berkemampuan memilih penjaga berdaftar kerana kemahiran dan keyakinan yang tinggi demi keselamatan anak-anak. Sebaliknya ibu bapa yang kurang berkemampuan dan mempunyai peruntukan yang sedikit melihat penjagaan anak-anak lebih utama berbanding keselamatan mereka.

Kerajaan boleh mengambil langkah intervensi supaya masyarakat tidak panik dengan isu ini. Agensi dan kementerian berkaitan boleh mengambil langkah-langkah jangka masa pendek dan panjang untuk menambah baik kelemahan sedia ada.

Mereka boleh melakukan proses pendaftaran pengasuh di seluruh negara melalui usahasama dengan persatuan penduduk di kawasan taman perumahan supaya bilangan pengasuh dapat dikenal pasti. Setiap pendaftaran perlulah mempunyai kesan faedah kursus yang dapat memberi dorongan kepada pengasuh berdaftar untuk menjadikan perkhidmatan mereka sebagai salah satu kerjaya profesional yang boleh memberi pendapatan.

Kerajaan boleh membanyakkan pusat pendaftaran pengasuh malah membuka pusat latihan kemahiran supaya calon-calon pengasuh dapat mempelajari teknik dan kaedah pengasuhan yang betul dan berkesan. Antaranya ialah menyediakan silibus berkaitan pengetahuan perkembangan emosi mental dan fizikal kanak-kanak, keperluan makanan sihat, kaedah komunikasi, kemahiran penjagaan asas seperti penyusuan dan pembersihan diri serta kaedah-kaedah kemahiran pengasuhan yang sesuai dengan keperluan semasa.

Sekiranya berdaya maju, kerajaan boleh membuka kursus jangka pendek di kolej komuniti bagi memudahkan pengasuh mendapatkan sijil kelayakan pengasuhan. Bagi mempercepatkan pengendalian kursus, ia boleh ditawarkan oleh mana-mana syarikat latihan berdaftar untuk menyediakan kemahiran berkenaan kepada mereka yang berminat.

Orang ramai boleh digalakkan untuk membuka pusat  pengasuhan komuniti melalui pengurusan persatuan penduduk dengan harapan ia dapat menjana pendapatan komuniti dan mengeratkan hubungan kejiranan. Sekiranya kaedah ini dilaksanakan, masalah pengasuhan dapat dikurangkan dan diatasi sedikit demi sedikit.

Idea ini boleh dilaksanakan di kawasan kejiranan yang memiliki struktur organisasi sendiri dan penduduk aktif mempromosi hubungan komuniti  yang berterusan. Perancangan yang tepat dan pengurusan yang  aktif dapat meningkatkan  keberkesanan pengasuhan di peringkat  komuniti.

Adaptasi kaedah pembangunan komuniti untuk mengatasi  sesuatu masalah boleh dipopularkan. Ia dapat mengurangkan bebanan agensi kerajaan dan kos-kos lain yang berkaitan dengan penjagaan dan pengasuhan kanak-kanak.


Wednesday, July 04, 2018

Penyelesaian kekal perkahwinan bawah umur








Perkahwinan melibatkan kanak-kanak bawah umur kembali menjadi perhatian umum. Kes terbaru di Kelantan melibatkan seorang lelaki berumur 40-an dengan kanak-kanak berumur sebelas tahun. Kanak-kanak itu juga merupakan isteri ketiga lelaki berkenaan.

Isu ini menarik perhatian umum kerana bercanggah dengan norma dan pemikiran masyarakat moden Malaysia yang prihatin dengan kes berkenaan. Dari masyarakat biasa hingga ke pemimpin negara, kebanyakannya menzahirkan kekesalan dan marah bagaimana kanak-kanak bawah umur boleh dikahwinkan dengan lelaki yang jauh lebih berusia.

Bagi memahami perkahwinan bawah umur yang berlaku di Malaysia, kita perlu meneliti latar belakang kes berkenaan. Kehidupan keluarga kanak-kanak ini dilingkungi kemiskinan dan kesusahan hidup. Pekerjaan kampung sebagai penoreh getah memberi gambaran sejauh mana kehidupan keluarganya, tahap pendidikan dan pendedahan terhadap impian hidup.

Kemiskinan menjadikan emosi dan sikap tidak begitu stabil dan menyerah kepada “orang luar” untuk membuat keputusan. Keadaan ini menjadi lebih parah apabila tidak ada instrumen yang dapat mengekang kemiskinan berkenaan. Instrumen yang dimaksudkan boleh jadi dalam bentuk kesedaran masyarakat sekitar atau seorang dua pemimpin yang prihatin dengan kemiskinan keluarga itu untuk menghentikan kitaran kemiskinan yang membelenggu kehidupannya.

Intervensi yang diusahakan oleh pelbagai pihak untuk menghalang perkahwinan berkenaan juga merupakan sebahagian kecil instrumen yang dapat menghalang kitaran ganas kemiskinan dari terus merebak. Walau bagaimanapun, impak yang paling berkesan ialah melalui perundangan iaitu dengan mendakwa lelaki berkenaan dan membubarkan perkahwinan itu jika wujud.

Pada masa yang sama, kanak-kanak itu dan keluarganya perlu diberi penerangan yang sempurna supaya menilai kembali tindakan yang dilakukan. Ia boleh melibatkan kaunselor keluarga bagi beberapa sesi kaunseling supaya mereka benar-benar sedar dan berupaya berfikir lebih rasional.

Agensi kerajaan yang terlibat dengan pembasmian kemiskinan juga boleh berperanan membantu meningkatkan pendapatan keluarga melalui didikan usaha tani atau memberi kemahiran baru yang bersesuaian dengan keadaan mereka.

Agensi pembangunan komuniti peringkat daerah boleh membawa keluarga itu untuk mengambil bahagian dalam aktiviti masyarakat supaya ahli keluarga dapat berinteraksi dan mendapat idea-idea baru dalam mengurus hidup. Penglibatan bersama komuniti ini dapat memberi keyakinan kepada mereka untuk mengambil pandangan orang luar sebelum membuat keputusan-keputusan besar berkaitan masa hadapan anak-anak.

Membesarkan isu ini di media tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini sebaliknya menjadikannya lebih kusut dan berserabut. Perkahwinan bawah umur wajar dibincangkan dalam nada serius supaya penyelesaian kekal dapat diputuskan. Ia tidak patut berakhir dengan membubarkan perkahwinan tetapi mengambil kira jangka masa panjang seperti membasmi kemiskinan, meningkatkan kualiti pendidikan, menambah pendapatan dan menggalakkan pembangunan komuniti supaya punca kepada isu ini dapat dihentikan.