Showing posts with label Perkhidmatan. Show all posts
Showing posts with label Perkhidmatan. Show all posts

Friday, September 11, 2026

Rasuah parah apabila orang berjawatan tinggi hilang amanah

Rasuah bukanlah masalah baharu di Malaysia. Namun dalam tempoh kira-kira sepuluh tahun kebelakangan ini, isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa mendapat perhatian yang lebih besar apabila siasatan dan pendakwaan melibatkan bekas perdana menteri, menteri dan ahli politik, pegawai kanan kerajaan, pegawai penguat kuasa serta individu yang mempunyai pengaruh dalam organisasi dan perniagaan.

Perkembangan ini menimbulkan satu persoalan penting. Adakah banyaknya kes berprofil tinggi menunjukkan rasuah di Malaysia semakin buruk, atau adakah ia menunjukkan institusi penguatkuasaan semakin berani menyiasat mereka yang mempunyai kuasa?

Jawapannya tidak semudah memilih salah satu. Jumlah tangkapan atau pendakwaan sahaja tidak cukup untuk mengukur tahap rasuah sesebuah negara. Kita perlu melihat keseluruhan rantaian keadilan, bermula daripada siasatan, pertuduhan, perbicaraan, rayuan, sabitan atau pembebasan, sehinggalah kepada pemulihan aset. Lebih penting, masyarakat mahu mengetahui sama ada undang-undang dilaksanakan secara konsisten tanpa mengira kedudukan seseorang.

Mengapa rasuah dan kuasa sering bertemu?

Rasuah mempunyai hubungan rapat dengan kuasa membuat keputusan. Dalam sektor awam, kuasa boleh menentukan siapa memperoleh kontrak, lesen, permit atau projek. Pegawai tertentu pula mempunyai kuasa meluluskan bayaran, mengesahkan dokumen atau menentukan tindakan penguatkuasaan.

Dalam sektor swasta dan organisasi pula, kuasa mengawal dana dan pelaburan boleh membuka ruang kepada konflik kepentingan serta salah guna amanah sekiranya mekanisme pengawasan lemah.

Semakin besar nilai keputusan yang berada di tangan seseorang, semakin penting sistem semak dan imbang. Beberapa kes yang mendapat perhatian masyarakat Malaysia sepanjang sedekad lalu memberikan gambaran tentang perkara ini.

SRC International dan 1MDB: apabila bekas Perdana Menteri dibicarakan

Kes paling besar dari sudut perhatian masyarakat sudah tentu melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Dalam kes SRC International, Najib disabitkan atas tujuh pertuduhan berkaitan RM42 juta dana SRC International. Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman yang ketika itu merangkumi penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Hukuman tersebut kemudiannya dikurangkan melalui proses Lembaga Pengampunan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta. [1]

Kes utama 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pula melalui proses berasingan. Pada 26 Disember 2025, Mahkamah Tinggi mensabitkan Najib atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan kira-kira RM2.3 bilion dana 1MDB. Beliau dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda keseluruhan RM11.4 bilion. [2]

Kes SRC mempunyai makna besar terhadap persepsi masyarakat kerana seorang bekas ketua kerajaan melalui keseluruhan proses perbicaraan dan rayuan sehingga Mahkamah Persekutuan. Ia memberikan mesej bahawa jawatan tertinggi dalam kerajaan tidak seharusnya meletakkan seseorang di luar jangkauan undang-undang.

Rosmah Mansor dan projek solar Sarawak

Kes Datin Seri Rosmah Mansor pula berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion bagi sekolah luar bandar di Sarawak. Pada September 2022, Mahkamah Tinggi mensabitkan Rosmah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek tersebut.

Proses perundangan bagaimanapun berterusan. Pada 29 Julai 2026, Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk menyemak keputusan terdahulu berkaitan usaha menyingkirkan hakim yang mendengar dan mensabitkannya. Rayuan utama Rosmah terhadap sabitan dan hukuman pula masih melalui proses Mahkamah Rayuan pada 2026. [3]

Perbezaan ini penting. Penolakan permohonan berkaitan hakim tidak sama dengan keputusan muktamad rayuan terhadap sabitan. Inilah sebabnya laporan mengenai kes rasuah perlu menggunakan istilah undang-undang dengan tepat.

Ahmad Zahid: DNAA dan persoalan keyakinan masyarakat

Kes melibatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid memberikan dimensi yang berbeza. Pada September 2023, Mahkamah Tinggi memberikan pelepasan tanpa pembebasan atau discharge not amounting to an acquittal (DNAA) terhadap 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan Yayasan Akalbudi selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa prosiding tidak akan diteruskan pada ketika itu. [4]

Pada Januari 2026, Jabatan Peguam Negara memutuskan tiada tindakan lanjut atau NFA terhadap kes tersebut selepas penelitian lanjut terhadap bahan, representasi, fakta, bukti dan isu undang-undang. Peguam Negara menjelaskan bahawa keputusan itu tidak dibuat secara sewenang-wenangnya. [5]

Zahid kemudiannya memohon kepada Mahkamah Tinggi supaya diberikan pelepasan dan pembebasan sepenuhnya. Pada Februari 2026, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa mereka tidak membantah permohonan itu, tetapi mahkamah menangguhkan keputusan sementara menunggu perkembangan prosiding berkaitan yang dibawa oleh Badan Peguam Malaysia. [6]

Kes ini menunjukkan bahawa persepsi terhadap keadilan tidak hanya terbentuk apabila seseorang didakwa. Masyarakat juga memerhatikan bagaimana dan mengapa sesuatu pendakwaan diteruskan, dihentikan atau tidak diteruskan lagi.

Syed Saddiq: mengapa proses rayuan penting?

Kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberikan contoh dari arah yang berbeza.

Mahkamah Tinggi pada November 2023 mensabitkannya atas empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan dana Armada. Beliau ketika itu dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta. 
Namun Mahkamah Rayuan pada Jun 2025 mengetepikan sabitan tersebut serta melepas dan membebaskannya.

Pada 13 Julai 2026, Mahkamah Persekutuan melalui keputusan majoriti 2-1 menolak rayuan akhir pendakwaan dan mengekalkan pembebasan Syed Saddiq. Majoriti mahkamah mendapati pendakwaan tidak menunjukkan kekhilafan yang membolehkan campur tangan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dan elemen penting pertuduhan tidak dibuktikan melampaui keraguan munasabah. [7]

Kes ini sangat berguna dalam mendidik masyarakat mengenai prinsip keadilan. Seseorang yang didakwa belum tentu bersalah. Seseorang yang disabitkan di mahkamah peringkat pertama pula masih mempunyai hak untuk merayu. Sebab itulah kita perlu membezakan antara siasatan, pertuduhan, sabitan, DNAA dan pembebasan.

Lim Guan Eng dan projek terowong dasar laut Pulau Pinang

Satu lagi kes politik yang mendapat perhatian ialah perbicaraan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Beliau berhadapan pertuduhan berkaitan projek terowong dasar laut dan jalan utama Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. Antara isu dalam pertuduhan ialah dakwaan menggunakan kedudukannya berkaitan permintaan sebahagian keuntungan projek serta pertuduhan berkaitan wang RM3.3 juta.

Setakat Ogos 2026, perbicaraan masih berjalan. Pegawai penyiasat SPRM antara saksi yang memberikan keterangan dan turut disoal balas oleh pihak pembelaan mengenai perjalanan serta skop siasatan. [8]

Oleh sebab perbicaraan belum selesai, adalah tidak tepat untuk menulis seolah-olah Lim telah didapati bersalah. Kes ini sekali lagi menunjukkan pentingnya prinsip anggapan tidak bersalah. Pertuduhan ialah dakwaan yang perlu dibuktikan oleh pendakwaan di mahkamah.

Dalam konteks persepsi masyarakat, kes ini juga mengingatkan kita supaya tidak memilih prinsip undang-undang berdasarkan kecenderungan politik. Jika individu yang kita tidak sokong didakwa, dia masih berhak dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Prinsip yang sama mesti digunakan apabila individu yang kita sokong pula didakwa.

Kes Kementerian Belia dan Sukan: apabila kawalan dalaman gagal

Rasuah dan salah guna kuasa tidak hanya melibatkan ahli politik. Pada 2016, negara dikejutkan dengan kes melibatkan seorang pegawai kanan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Otman Arsahd, yang ketika itu merupakan Setiausaha Bahagian Kewangan kementerian.

Beliau didakwa atas puluhan pertuduhan berkaitan penggunaan dokumen palsu dan salah guna kuasa yang melibatkan kira-kira RM38.4 juta. Apa yang menjadikan kes KBS penting bukan sekadar jumlah wang. Persoalan yang lebih besar ialah bagaimana transaksi yang besar boleh melepasi sistem dalaman sebuah kementerian.

Apabila salah guna berlaku untuk tempoh tertentu tanpa dikesan, masalahnya mungkin bukan hanya individu. Ia juga boleh menunjukkan kelemahan proses kelulusan, pemisahan tugas, audit dalaman, pemantauan pembayaran dan pengesahan dokumen. [9]

Dalam pengurusan moden, seseorang pegawai tidak sepatutnya mempunyai kuasa yang terlalu luas sehingga boleh memulakan, meluluskan dan mengesahkan sesuatu transaksi tanpa semakan bebas. Kes KBS menjadi pengajaran bahawa pencegahan rasuah bermula dengan reka bentuk sistem kewangan yang baik.

Maika Holdings dan amanah masyarakat India

Isu Maika Holdings pula menarik kerana kesannya sangat dekat dengan persoalan kepercayaan masyarakat terhadap organisasi yang diwujudkan untuk meningkatkan kedudukan ekonomi komuniti. Maika Holdings ditubuhkan pada 1983 sebagai syarikat pelaburan yang dikaitkan dengan MIC. Ia dilaporkan berjaya mengumpulkan kira-kira RM106 juta daripada sekitar 66,400 anggota masyarakat India, dengan sebahagian besar pelaburnya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah. [10]

Jumlah RM106 juta pada awal 1980-an merupakan angka yang sangat besar. Lebih penting daripada angka itu ialah siapa yang memberikan wang tersebut. Sebahagian pelabur kecil memberikan simpanan mereka kerana percaya bahawa pelaburan itu dapat membantu meningkatkan kedudukan ekonomi keluarga dan masyarakat India.

Pada 2019, isu Maika kembali mendapat perhatian apabila laporan media membangkitkan dakwaan mengenai transaksi dan pembayaran kepada syarikat yang dikaitkan dengan individu tertentu. Terdapat juga tindakan sivil oleh pemegang saham berhubung wang yang mereka dakwa sepatutnya diagihkan kepada pemegang saham. [10][11]

Di sini kita perlu berhati-hati. Laporan mengenai dakwaan, tuntutan sivil atau siasatan tidak boleh ditulis sebagai sabitan jenayah. Tetapi Maika tetap relevan sebagai kajian kes tadbir urus, akauntabiliti dan amanah terhadap pelabur kecil.

Kerosakan yang berlaku apabila organisasi seperti ini menghadapi kontroversi bukan hanya berbentuk kewangan. Ia merosakkan kepercayaan. Bagi keluarga berpendapatan rendah yang mengeluarkan simpanan untuk melabur, kehilangan kepercayaan terhadap institusi boleh bertahan lebih lama daripada kehilangan wang itu sendiri.

Ketua Pengarah Imigresen: satu perbandingan sejarah

Satu lagi kes yang menarik untuk dibandingkan ialah kes bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don. Kes ini sebenarnya berada telah lama berlaku tetapi wajar disebut secara ringkas kerana ia menunjukkan bahawa isu integriti dalam kalangan pegawai tertinggi agensi penguatkuasaan bukan fenomena baharu.

Kes tersebut berkaitan rasuah dalam urusan permohonan visa bagi ribuan pekerja Bangladesh.

Perjalanan kes itu juga kompleks. Wahid pada mulanya dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen pada 2010 apabila mahkamah mendapati pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie. Pembebasan itu dikekalkan Mahkamah Tinggi pada 2012. Namun perkembangan perundangan berikutnya membawa kepada perbicaraan pembelaan dan pada 2013 beliau dilaporkan disabitkan serta dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM300,000. [12]

Kes ini menunjukkan mengapa kronologi penuh sesuatu prosiding perlu diperiksa sebelum membuat kesimpulan hanya berdasarkan satu keputusan mahkamah pada satu-satu masa. Ia juga memperlihatkan risiko integriti dalam agensi seperti Imigresen. Pegawai imigresen mempunyai kuasa berkaitan visa, permit, kemasukan warga asing dan penguatkuasaan. Apabila kuasa pentadbiran seperti ini mempunyai nilai ekonomi yang tinggi, risiko sogokan juga meningkat.

Daripada politik kepada birokrasi

Jika kes-kes di atas diletakkan bersebelahan, satu corak mula kelihatan. Najib dan 1MDB/SRC menunjukkan risiko apabila kuasa politik bertemu pengurusan dana berskala besar. Kes Rosmah menunjukkan risiko pengaruh dalam projek kerajaan. Kes Zahid menimbulkan persoalan mengenai pendakwaan, DNAA dan keyakinan terhadap institusi.

Kes Syed Saddiq pula menunjukkan fungsi proses rayuan dalam melindungi tertuduh apabila mahkamah lebih tinggi mendapati kes tidak dibuktikan mengikut standard undang-undang. Kes Lim Guan Eng menunjukkan pentingnya tidak mendahului keputusan mahkamah ketika perbicaraan masih berjalan. Kes KBS menunjukkan bagaimana kelemahan kawalan dalaman boleh membuka ruang kepada penyelewengan dalam birokrasi.

Kes Imigresen menunjukkan risiko apabila pegawai mempunyai kuasa melulus atau menolak sesuatu yang mempunyai nilai kepada pihak luar. Maika pula menunjukkan bahawa isu integriti dan tadbir urus bukan semata-mata masalah kerajaan. Amanah terhadap wang masyarakat juga boleh terjejas dalam organisasi dan entiti pelaburan.

Apakah kesannya terhadap persepsi masyarakat?

Pendakwaan individu berprofil tinggi mempunyai dua kemungkinan kesan. Pertama, masyarakat boleh menjadi lebih yakin terhadap sistem apabila melihat orang yang mempunyai kedudukan tinggi boleh disiasat dan dibawa ke mahkamah. Mesejnya mudah: tiada sesiapa berada di atas undang-undang. 

Namun terdapat kesan kedua. Jika masyarakat melihat kes tertentu bergerak dengan pantas tetapi kes lain mengambil masa terlalu lama, atau pertuduhan tertentu dihentikan tanpa penjelasan yang mereka fahami, persepsi negatif mudah terbentuk.

Di sinilah terdapat perbezaan antara keadilan undang-undang dengan persepsi terhadap keadilan. Mahkamah membuat keputusan berdasarkan bukti dan undang-undang. Masyarakat pula membentuk persepsi berdasarkan maklumat yang mereka terima.

Kedua-duanya tidak semestinya sama. Sebab itu keputusan yang melibatkan kepentingan awam perlu diterangkan dengan jelas. Ini tidak bermaksud mahkamah atau pendakwa raya perlu mengikut kehendak orang ramai. Sebaliknya, masyarakat perlu memahami mengapa sesuatu keputusan dibuat berdasarkan kerangka undang-undang.

Malaysia berada di mana?

Corruption Perceptions Index (CPI) boleh memberikan satu gambaran, walaupun ia tidak mengukur jumlah sebenar kes rasuah. Dalam CPI 2025 yang diterbitkan Transparency International, Malaysia memperoleh skor 52 daripada 100 dan berada pada kedudukan ke-54 daripada 182 negara dan wilayah. Skor itu meningkat dua mata berbanding 2024. [13]

Peningkatan ini positif tetapi belum bermaksud Malaysia sudah bebas daripada masalah rasuah. CPI mengukur persepsi terhadap rasuah sektor awam berdasarkan pelbagai penilaian dan tinjauan pakar. Oleh itu, ia lebih sesuai dilihat sebagai petunjuk tentang keyakinan terhadap integriti institusi dan tadbir urus, bukannya sebagai bancian jumlah kes rasuah. [13]

Bagaimana rasuah boleh dikurangkan?

Menangkap dan mendakwa pesalah penting, tetapi pencegahan jauh lebih murah daripada memburu wang selepas ia hilang. Malaysia perlu bergerak daripada pendekatan yang terlalu bergantung kepada individu berintegriti kepada sistem yang menjadikan rasuah semakin sukar dilakukan.

Antaranya ialah memperluas tender terbuka dan ketelusan perolehan, menguatkan audit dalaman, mewajibkan pengisytiharan konflik kepentingan, meningkatkan perlindungan pemberi maklumat, memperketat kawalan terhadap orang tengah dan vendor serta menggunakan teknologi untuk menghasilkan jejak audit bagi setiap keputusan kewangan penting.

Kuasa juga perlu dipisahkan. Pegawai yang memohon pembayaran tidak seharusnya menjadi orang yang meluluskan pembayaran. Pegawai yang memilih vendor tidak sepatutnya menjadi satu-satunya pihak yang mengesahkan kerja vendor. Dalam bahasa pengurusan, prinsipnya mudah: jangan letakkan terlalu banyak kuasa pada satu tangan tanpa semakan tangan yang lain.

Masyarakat sebahagian daripada penyelesaian

Rasuah besar tidak muncul secara tiba-tiba. Ia boleh bermula dengan budaya kecil yang kita sendiri toleransi. Memberikan wang untuk mengelakkan saman, menggunakan kenalan untuk memotong giliran, menerima hadiah sebagai balasan mempercepatkan kelulusan, menggunakan kedudukan untuk mendapatkan kontrak bagi saudara-mara atau meminta "duit kopi" mungkin dianggap perkara kecil.

Tetapi budaya "boleh selesai" inilah yang akhirnya menormalkan penyalahgunaan kuasa. Keluarga perlu mengajar anak bahawa kejayaan bukan hanya mengenai berapa banyak wang yang diperoleh tetapi bagaimana wang itu diperoleh. Sekolah dan universiti pula perlu melihat integriti sebagai pembentukan karakter, bukan sekadar kandungan kursus.

Syarikat mesti memastikan dasar antirasuah benar-benar digunakan ketika memilih vendor, ejen dan kontraktor. Masyarakat juga perlu berhenti mengagungkan kekayaan tanpa bertanya bagaimana kekayaan tersebut diperoleh.

Undang-undang mesti sama untuk semua

Pengajaran terbesar daripada kes-kes sepanjang dekad ini bukanlah bahawa semua orang yang didakwa bersalah. Itu kesimpulan yang salah.

Pengajarannya ialah sistem mesti berfungsi dengan cara yang sama tanpa mengira siapa yang berada di kandang tertuduh. Jika bukti cukup, pendakwaan perlu berani mendakwa. 
Jika pendakwaan gagal membuktikan kes, mahkamah mesti berani membebaskan.

Jika seseorang disabitkan, dia berhak merayu. Jika keputusan dibuat untuk menghentikan pendakwaan, masyarakat pula berhak mengharapkan penjelasan yang munasabah dalam batas undang-undang. Keadilan tidak boleh bergantung kepada sama ada tertuduh ialah pemimpin kerajaan, pembangkang, bekas perdana menteri, pegawai kanan kerajaan atau ahli perniagaan. Prinsipnya mesti sama.

Malaysia sudah menunjukkan bahawa individu yang pernah berada pada kedudukan tertinggi boleh dibawa ke mahkamah. Pada masa yang sama, kes Syed Saddiq menunjukkan seseorang yang pernah disabitkan juga boleh akhirnya dibebaskan apabila mahkamah lebih tinggi mendapati pendakwaan tidak memenuhi beban pembuktian.

Kedua-duanya adalah sebahagian daripada kedaulatan undang-undang. Matlamat akhir memerangi rasuah bukan untuk memenuhi penjara. Matlamat sebenarnya ialah mewujudkan sebuah negara di mana peluang melakukan rasuah semakin kecil, kemungkinan dikesan semakin tinggi, institusi semakin telus dan masyarakat sendiri tidak lagi menganggap rasuah sebagai sebahagian daripada kehidupan biasa.

Rasuah akhirnya bukan sekadar persoalan wang. Ia persoalan amanah. Dan apabila amanah hilang, kos untuk mendapatkannya kembali mungkin jauh lebih mahal daripada wang yang telah lesap.

Rujukan

[1] Bernama. Chronology of the 1MDB Case Involving Najib, 26 Disember 2025. Laporan turut merumuskan kedudukan sabitan SRC International, hukuman asal dan pengurangan hukuman oleh Lembaga Pengampunan.

[2] Bernama. 1MDB Case: Najib Jailed 15 Years, Fined RM11.4 Billion, 26 Disember 2025.

[3] Bernama. Mahkamah Persekutuan Tolak Permohonan Rosmah Semak Keputusan Gugur Hakim, 29 Julai 2026; Bernama, Rosmah's RM1.25 Bln Graft Appeal Adjourned To Sept 1, 1 Julai 2026.

[4] Bernama. Laporan mengenai DNAA terhadap 47 pertuduhan Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Yayasan Akalbudi, 4 September 2023.

[5] Bernama. Keputusan NFA Kes Rasuah Ahmad Zahid Teliti, Bukan Sewenang-Wenang – Peguam Negara, 12 Januari 2026.

[6] Bernama. Prosecution Raises No Objection To Zahid's Discharge Bid On 47 Corruption Charges, 24 Februari 2026.

[7] Bernama. Mahkamah Persekutuan Tolak Rayuan Akhir Pendakwaan, Syed Saddiq Kekal Bebas, 13 Julai 2026; Bernama, Federal Court Majority Finds No Appealable Error In Syed Saddiq Acquittal, 13 Julai 2026.

[8] Bernama. MACC Investigator Rejects Bias Claim In Guan Eng Trial, 3 Ogos 2026. Kes berkaitan projek terowong dasar laut dan jalan utama Pulau Pinang masih dalam perbicaraan ketika laporan diterbitkan.

[9] Laporan media mengenai pendakwaan Otman Arsahd, bekas Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia dan Sukan, berkaitan 32 pertuduhan dan transaksi yang dilaporkan berjumlah RM38.4 juta, 2016. Status dan butiran setiap pertuduhan perlu dibaca berdasarkan rekod prosiding berasingan dan tidak dianggap sebagai sabitan hanya kerana pertuduhan telah difailkan.

[10] Free Malaysia Today. Laporan: Jutaan wang Maika Holdings dibayar kepada anak Samy Vellu, 28 Februari 2019. Laporan menyatakan Maika Holdings ditubuhkan pada 1983 dan mengumpulkan RM106 juta daripada kira-kira 66,400 anggota masyarakat India.

[11] Free Malaysia Today. MIC trio sue over RM134 mil "missing" from Maika, 27 April 2019. Laporan mengenai tindakan sivil pemegang saham dan dakwaan berkaitan pengagihan dana. Dakwaan dalam tindakan sivil tidak harus dianggap sebagai penemuan bersalah jenayah.

[12] The Star. Former Immigration D-G acquitted of bribery, 15 Oktober 2010; Ex-Immigration DG's acquittal of bribery charges upheld, 31 Mei 2012; dan Ex-Immigration D-G jailed for graft, 31 Oktober 2013. Kes ini digunakan sebagai perbandingan sejarah dan berada di luar tempoh utama sepuluh tahun artikel.

[13] Transparency International. Corruption Perceptions Index 2025: Malaysia. Malaysia mencatat skor 52/100 dan kedudukan 54 daripada 182 negara dan wilayah.

Wednesday, August 12, 2026

Implikasi pertambahan penduduk warga emas di Brunei

Brunei Darussalam sering dikaitkan dengan masyarakat yang aman, sistem kebajikan yang kukuh dan tahap kehidupan yang relatif baik. Namun di sebalik kemajuan tersebut, satu perubahan demografi sedang berlaku secara perlahan tetapi pasti iaitu penduduk Brunei semakin menua.

Bilangan warga emas terus meningkat, sementara struktur keluarga, corak pekerjaan dan keperluan penjagaan turut berubah. Penuaan penduduk bukan semata-mata persoalan semakin ramai orang hidup lebih lama sebaliknya ia mempunyai definisi lain. Ia mempunyai implikasi besar terhadap sistem kesihatan, pencen, perlindungan sosial, keluarga, tenaga kerja dan pembangunan negara.

Malah, perkara berkaitan kebajikan warga emas turut mendapat perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah. Dalam titah sempena Tahun Baharu 2025 pada 31 Disember 2024, baginda antara lain menekankan bahawa pembangunan negara perlu bersifat inklusif dan mampan serta kebajikan warga emas dan golongan kurang berkemampuan perlu terus dipelihara.

Persoalannya sekarang bukan lagi sama ada Brunei akan menjadi masyarakat menua kerana proses penuaan itu sudah dan sedang berlaku.

Persoalan lebih penting ialah sejauhmanakah Brunei bersedia menghadapinya?

Warga emas di Brunei bertambah dengan pantas

Bagi memahami perubahan ini, kita perlu terlebih dahulu menjelaskan satu perkara tentang statistik. Dalam penerbitan demografi Department of Economic Planning and Statistics (DEPS), kumpulan umur 65 tahun dan ke atas digunakan untuk menunjukkan kumpulan penduduk tua dalam pecahan struktur umur.

Namun, dalam beberapa program dan dasar sosial Brunei, istilah warga emas atau senior citizens turut merangkumi mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas. Perbezaan takrif ini menerangkan mengapa kita kadangkala menemui angka peratusan warga emas yang berbeza dalam laporan kerajaan.

Jika kategori DEPS iaitu 65 tahun dan ke atas digunakan secara konsisten, trendnya cukup jelas.

Sumber: Department of Economic Planning and Statistics (DEPS), Brunei Darussalam.

Angka ini membawa mesej yang sangat penting. Dalam tempoh hanya empat tahun, dari tahun 2021 hingga 2025, bilangan penduduk berumur sekurang-kurangnya 65 tahun meningkat daripada 27,894 kepada 36,300 orang. Ini bersamaan peningkatan kira-kira 30 peratus.

Sebaliknya, jumlah keseluruhan penduduk tidak meningkat pada kadar yang sama. Ertinya, peningkatan warga emas bukan sekadar disebabkan penduduk Brunei secara keseluruhannya bertambah. Struktur usia masyarakat itu sendiri sedang berubah.

Lebih mudah membayangkannya begini: pada 2025, hampir seorang daripada setiap 13 penduduk Brunei berada dalam kumpulan usia 65 tahun dan ke atas.

Apa akan berlaku dalam lima hingga 15 tahun akan datang?

Unjuran rasmi DEPS menunjukkan trend ini akan berterusan. Mengikut Population Projections 2024–2040, jumlah penduduk berumur 65 tahun dan ke atas diunjurkan mencapai sekitar:


Pada masa yang sama, keseluruhan penduduk Brunei diunjurkan sekitar 484,800 orang pada 2030. Ini bermakna warga berumur 65 tahun ke atas sahaja berpotensi membentuk kira-kira 8.4 peratus daripada keseluruhan penduduk ketika itu.

Walau bagaimanapun, angka unjuran ini perlu ditafsir dengan berhati-hati. Model unjuran terdahulu menganggarkan sekitar 33,400 penduduk berumur 65 tahun ke atas bagi 2025, sedangkan anggaran rasmi terkini menunjukkan jumlah sebenar sudah mencapai 36,300 orang. Ini memberikan petunjuk bahawa penuaan penduduk mungkin berlaku sedikit lebih cepat daripada trajektori yang diasaskan dalam model tersebut.

Kementerian Kesihatan Brunei juga mengakui bahawa perubahan demografi ini semakin penting. Pada peringkat ASEAN, Brunei memberi perhatian terhadap active ageing, penyakit tidak berjangkit dan kesihatan mental kerana faktor-faktor ini menjadi antara cabaran utama apabila populasi semakin berusia.

Mengapa warga Brunei semakin ramai mencapai usia tua?

Sebenarnya, peningkatan jumlah warga emas juga merupakan tanda kejayaan pembangunan.

Kemajuan perkhidmatan kesihatan, kawalan penyakit, pendidikan, pemakanan dan taraf kehidupan membolehkan lebih ramai manusia hidup sehingga usia lanjut. Dalam erti kata lain, umur panjang adalah satu pencapaian sosial. Cabaran muncul apabila perubahan itu berlaku serentak dengan perubahan lain dalam masyarakat.

Keluarga moden lazimnya lebih kecil. Anak-anak bekerja. Wanita semakin aktif dalam pasaran pekerjaan. Ada anak yang tinggal berjauhan daripada ibu bapa. Pada masa yang sama, warga emas mungkin hidup lebih lama dengan penyakit kronik yang memerlukan pemantauan dan penjagaan.

Maka persoalannya berubah daripada: "Siapa akan menjaga warga emas?" kepada: "Apakah sistem yang boleh membolehkan warga emas hidup lama secara sihat, berdikari, bermaruah dan terus terlibat dalam masyarakat?"

Inilah perbezaan antara sekadar hidup lebih lama dengan menua dengan baik.

Kebajikan warga emas perlu terus dipelihara

Kepentingan menjaga golongan yang semakin berusia bukan perkara baharu dalam pendekatan pembangunan Brunei. Dalam titah sempena Tahun Baharu 2025, Sultan Hassanal Bolkiah menekankan pembangunan yang lebih inklusif dan mampan serta kepentingan menjaga kebajikan warga emas dan mereka yang kurang berkemampuan. Titah tersebut penting kerana ia meletakkan kesejahteraan warga emas bukan sekadar sebagai isu keluarga atau kesihatan, tetapi sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negara.

Semangat yang sama dapat dilihat dalam pendekatan kerajaan terhadap warga emas sejak beberapa tahun sebelumnya. Sempena Hari Antarabangsa Warga Emas, kerajaan Brunei berulang kali menekankan penghormatan terhadap sumbangan generasi terdahulu serta keperluan memastikan mereka tidak terpinggir daripada pembangunan masyarakat.

Dalam konteks masyarakat Melayu Islam Beraja, pendekatan ini juga berkait rapat dengan nilai berbakti kepada ibu bapa, menghormati orang yang lebih tua dan tanggungjawab keluarga. Namun dalam masyarakat yang semakin kompleks, nilai kekeluargaan sahaja mungkin tidak mencukupi. Ia memerlukan sistem sokongan negara dan komuniti.

Pelan Tindakan Warga Emas 2023–2030

Antara langkah paling penting ialah pelaksanaan Pelan Tindakan Warga Emas 2023–2030, berteraskan konsep Successful Ageing. Menurut penjelasan kerajaan di Majlis Mesyuarat Negara pada Mac 2026, pelan tersebut bertujuan memastikan warga emas dapat menjalani kehidupan yang sihat, bermaruah dan produktif. Ia dilaksanakan melalui pendekatan Whole of Nation, melibatkan pelbagai kementerian, agensi, masyarakat, keluarga dan pihak berkepentingan.

Pelan ini memberi perhatian kepada tiga perkara besar. Pertama, memperkukuh urus tadbir berkaitan warga emas. Kedua, membentuk masyarakat yang menyokong penuaan secara sihat dan inklusif. Ketiga, memperkukuh perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan bersepadu untuk warga emas.

Pendekatan ini penting kerana masalah warga emas tidak boleh diselesaikan oleh hospital sahaja.

Ia memerlukan koordinasi perumahan, pengangkutan, keselamatan sosial, aktiviti komuniti, kesihatan, teknologi dan sokongan keluarga.

Pencen dan perlindungan sosial

Brunei mempunyai sejarah yang panjang dalam memberikan perlindungan kepada warga tua melalui Pencen Umur Tua. Kerangka perlindungan tersebut kemudian diperkukuhkan melalui pindaan perundangan berkaitan Pencen Umur Tua dan Elaun Kurang Upaya termasuk peruntukan Elaun Penyedia Penjagaan. Elaun ini menarik dari perspektif dasar sosial kerana ia mengiktiraf sesuatu yang sering tidak kelihatan dalam statistik ekonomi iaitu penjagaan juga merupakan pekerjaan.

Ahli keluarga yang menjaga ibu atau bapa yang uzur mungkin perlu mengurangkan masa bekerja, menanggung kos pengangkutan, membeli keperluan perubatan atau memberikan penjagaan hampir sepanjang hari. Pengiktirafan terhadap penjaga menunjukkan pendekatan Brunei bukan hanya memberi wang kepada warga emas tetapi mula membangunkan ekosistem penjagaan di sekeliling mereka.

Daripada “menjaga warga emas” kepada “penuaan sihat”

Kementerian Kesihatan pula melaksanakan Adult and Elderly Health Programme. Pendekatannya bukan sekadar merawat warga emas apabila mereka sakit. Program ini memberi perhatian terhadap persekitaran yang menyokong kesihatan, pemakanan, aktiviti fizikal serta pemerkasaan individu untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat. Ini amat penting kerana cabaran besar masyarakat menua bukan hanya berapa lama seseorang hidup.

Soalan yang lebih penting ialah: Berapa lamakah seseorang boleh hidup dalam keadaan sihat dan berdikari? Jika seseorang hidup sehingga usia 85 tahun tetapi mengalami pelbagai penyakit kronik dan kebergantungan sejak umur 65 tahun, beban penjagaan terhadap keluarga dan sistem kesihatan boleh menjadi sangat besar. Sebaliknya, jika seseorang kekal aktif dan berdikari sehingga usia 75 atau 80 tahun, implikasinya sangat berbeza.

Sebab itulah konsep healthy ageing atau penuaan sihat semakin penting. Warga emas juga perlu menjadi warga digital. Satu lagi perkembangan menarik ialah usaha mengurangkan jurang digital.

Pada 2024, Digital Brunei melalui Authority for Info-communications Technology Industry (AITI) melaksanakan program literasi digital bersama warga emas termasuk di Pusat Kegiatan Warga Emas di Daerah Tutong dan Brunei-Muara.

Program ini memberi pendedahan mengenai teknologi dan kesedaran digital kepada warga emas.

Isu ini mungkin kelihatan kecil tetapi sebenarnya sangat penting. Semakin banyak urusan kerajaan, bank, pembayaran, temu janji, komunikasi dan maklumat kesihatan berpindah ke platform digital. Jika warga emas tidak mempunyai kemahiran digital, mereka berisiko menghadapi satu bentuk peminggiran baharu iaitu digital exclusion.

Justeru, literasi digital warga emas bukan lagi sekadar mengajar mereka menggunakan telefon pintar. Ia merupakan sebahagian daripada agenda keterangkuman sosial.

Pusat Kegiatan Warga Emas dan peranan komuniti

Brunei turut membangunkan Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) sebagai ruang warga emas berinteraksi, mengikuti aktiviti dan terus mengambil bahagian dalam kehidupan masyarakat.

Pelbagai program kesihatan, senaman, berkebun, kraftangan, pembelajaran dan aktiviti sosial pernah dilaksanakan bersama pusat-pusat ini. Kerajaan juga melihat pembelajaran sepanjang hayat, kemahiran dan keusahawanan sebagai antara jalan untuk memperkasa golongan warga emas.

Ini sangat penting kerana salah satu risiko utama pada usia tua ialah pengasingan sosial.

Seseorang mungkin mempunyai rumah, pendapatan dan akses kepada rawatan tetapi masih mengalami kesunyian selepas kehilangan pasangan, bersara daripada pekerjaan atau semakin kurang berinteraksi dengan masyarakat.

Oleh itu, masyarakat mesra warga emas bukan sekadar mempunyai lebih banyak hospital. Ia juga perlu mempunyai komuniti yang membolehkan orang tua terus merasa bahawa mereka diperlukan.

Keluarga masih menjadi benteng utama

Walaupun kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan, model Brunei masih memberi kedudukan yang sangat penting kepada keluarga. Pada Mac 2026, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menegaskan dalam Majlis Mesyuarat Negara bahawa penjagaan ibu bapa merupakan kewajipan anak dan amanah moral yang menjadi teras institusi kekeluargaan. Kerajaan pada masa yang sama memberi perhatian kepada pemantauan kes pengabaian atau penderaan warga emas dan pengembangan sokongan komuniti.

Dalam perspektif dasar sosial, pendekatan Brunei boleh digambarkan sebagai satu bentuk “state-supported family care” iaitu keluarga menjadi penjaga utama, sementara kerajaan menyediakan jaringan sokongan. Model ini mempunyai kekuatan kerana ia selaras dengan budaya tempatan dan hubungan kekeluargaan. Namun ia juga berhadapan cabaran pada masa hadapan.

Apakah yang berlaku apabila pasangan suami isteri mempunyai hanya seorang atau dua orang anak? Bagaimana jika semua anak bekerja? Bagaimana jika anak tinggal di luar daerah atau di luar negara? Bagaimana jika warga emas memerlukan penjagaan 24 jam?

Persoalan ini semakin penting apabila jumlah warga emas meningkat.

Warga emas bukan beban negara

Ada satu kesilapan besar yang perlu dielakkan apabila membincangkan masyarakat menua seperti melihat warga emas hanya dari sudut kos. Warga emas mempunyai pengalaman, pengetahuan, kemahiran, jaringan sosial dan memori institusi yang sangat bernilai. Situasinya begini:

Seorang bekas guru masih boleh mendidik.
Seorang pesara pentadbir boleh menjadi mentor.
Seorang bekas usahawan boleh membimbing generasi baharu.
Seorang datuk atau nenek memainkan peranan penting dalam pemindahan nilai, agama, budaya dan pengalaman kepada cucu-cucu mereka.

Sebab itulah perbincangan penuaan perlu beralih daripada konsep dependency kepada participation. Matlamat dasar bukan sekadar memastikan warga emas menerima bantuan tetapi mewujudkan peluang supaya mereka terus menyumbang mengikut kemampuan masing-masing.

Brunei masih mempunyai masa tetapi semakin singkat namun kelebihannya adalah skala penduduk secara relatifnya kecil dan mempunyai sistem kesihatan serta perlindungan sosial yang sudah terbina. Namun statistik memberi amaran bahawa tempoh persediaan tidak panjang.

Jumlah penduduk berumur 65 tahun dan ke atas telah meningkat daripada sekitar 27,894 orang pada 2021 kepada 36,300 pada 2025, sementara unjuran DEPS menunjukkan angka itu boleh melepasi 40,000 menjelang 2030 dan mencapai sekitar 54,700 pada 2040.

Cabaran seterusnya ialah memastikan pertambahan usia tidak membawa bersama peningkatan kesunyian, penyakit kronik, kemiskinan, kebergantungan dan tekanan terhadap penjaga.

Pelan Tindakan Warga Emas 2023–2030, Pencen Umur Tua, Elaun Penyedia Penjagaan, program kesihatan warga emas, PKWE dan program literasi digital menunjukkan bahawa Brunei telah mula membina asas untuk menghadapi perubahan ini. Namun kejayaan akhirnya bukan semata-mata diukur melalui bilangan program.

Ukuran sebenar ialah sama ada seorang warga Brunei yang berumur 70, 80 atau 90 tahun pada masa hadapan masih mampu mengatakan: “Saya sihat, saya dihormati, saya tidak tersisih dan saya masih mempunyai tempat dalam masyarakat.”

Di situlah makna sebenar sebuah negara yang berjaya menghadapi penuaan kerana penuaan penduduk bukan cerita tentang “mereka”. Jika usia mengizinkan, ia adalah cerita tentang masa depan.

Rujukan

Department of Economic Planning and Statistics (DEPS), Brunei Darussalam. Brunei Darussalam Key Indicators 2022. Data penduduk mengikut kumpulan umur, termasuk statistik 2021 dan 2022.

Department of Economic Planning and Statistics (DEPS), Brunei Darussalam. Brunei Darussalam Key Indicators 2024. Mengandungi statistik penduduk mengikut umur bagi 2022–2024.

Department of Economic Planning and Statistics (DEPS), Brunei Darussalam. Brunei Darussalam Key Indicators 2025. Mengandungi anggaran penduduk 2025 termasuk 36,300 penduduk berumur 65 tahun dan ke atas.

Department of Economic Planning and Statistics (DEPS), Brunei Darussalam. Population Projections 2024–2040. Unjuran struktur penduduk termasuk kumpulan umur 65 tahun dan ke atas hingga 2040.

Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat, Negara Brunei Darussalam. (28 Mac 2026). Memastikan warga emas jalani kehidupan sihat, bermaruah, produktif. Penerangan mengenai Pelan Tindakan Warga Emas 2023–2030, Successful Ageing dan Elaun Penyedia Penjagaan.

Kementerian Kesihatan Brunei Darussalam. Adult and Elderly Health Programme. Program kesihatan dewasa dan warga emas.

Kementerian Kesihatan Brunei Darussalam. (9 Oktober 2025). 14th ASEAN Centre for Active Ageing and Innovation Governing Board Meeting. Perbincangan berkaitan penuaan penduduk, penyakit tidak berjangkit dan penuaan aktif.

Authority for Info-communications Technology Industry of Brunei Darussalam (AITI). (8 Mei 2024). Bridging the Digital Gap in Brunei Darussalam. Program literasi digital untuk warga emas.

Authority for Info-communications Technology Industry of Brunei Darussalam (AITI). (7 November 2024). Digital Brunei Empowers Warga Emas Community. Program pemerkasaan digital warga emas.

Radio Television Brunei. (31 Disember 2024). Be Wiser in Taking Opportunities to Develop. Laporan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Tahun Baharu 2025, termasuk penekanan terhadap kebajikan warga emas.

Pelita Brunei. Warga emas NBD terus catat pencapaian signifikan. Perbincangan mengenai penuaan aktif, Pusat Kegiatan Warga Emas, perlindungan sosial, teknologi dan penyertaan masyarakat.


Wednesday, August 05, 2026

Sejauh mana beban tugas guru boleh meragut nyawa?

Kisah sedih seorang guru wanita yang membunuh diri di dalam bangunan sekolah baru-baru ini kembali menjadi perhatian ramai. Guru wanita yang baharu bertukar sekolah ditemui pada awal pagi dan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.



Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kematian, manakala Jabatan Pendidikan Negeri telah menilai kembali bebanan tugas guru berkenaan sepanjang beliau berkhidmat di sekolah tersebut.

Satu soalan yang boleh kita tanya ialah bagaimana kesan beban tugas guru telah mendorongnya membuat keputusan untuk mengakhiri nyawanya sendiri?

Banyak spekulasi yang muncul dalam mengesahkan kematian tersebut; namun keadaan kematian, masa, tempat dan sejarah perkhidmatan boleh menjadi petunjuk kepada punca kematian. Selain kerja, latar belakang keluarga turut menjadi rujukan bagi mengetahui sebab-sebab kematian ini. Dalam satu kajian di Brazil, faktor yang menyebabkan kematian bunuh diri dalam kalangan guru ialah guru yang tidak mempunyai pasangan hidup, pernah didiagnosis dengan kemurungan, mengalami gangguan tidur dan penggunaan telefon pintar yang berlebihan.

Dalam tinjauan kajian, kesihatan emosi dan mental guru di Malaysia berada dalam keadaan yang membimbangkan, terutamanya disebabkan oleh bebanan kerja bukan hakiki (tugas pentadbiran) dan cabaran digital, yang turut menyumbang kepada peningkatan trend persaraan awal yang ketara sejak kebelakangan ini.

Percanggahan Data Kesihatan Mental: Terdapat jurang yang ketara antara kajian bebas yang melaporkan kadar simptom kemurungan, kebimbangan dan tekanan dalam kalangan guru mencecah 55 peratus, berbanding saringan rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia yang mencatatkan seramai 92.7 peratus guru berada dalam tahap kesejahteraan yang positif.

Faktor Beban Bukan Pengajaran: Tugas-tugas kerani, kemasukan data ke dalam pelbagai sistem teknologi maklumat yang kerap diubah suai, serta isu disiplin murid dikenal pasti sebagai punca utama yang mengancam kesejahteraan psikologi guru.

Impak terhadap Perkhidmatan: Tekanan yang berpanjangan dan rasa keletihan kerja (burnout) telah mendorong ramai guru berpengalaman untuk bersara awal dengan alasan utama kehilangan minat terhadap profesion perguruan ataupun masalah kesihatan fizikal.

Inisiatif Kementerian: Bagi menangani isu ini, KPM giat melaksanakan Saringan Minda Sihat, Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA), serta sedang membangunkan Indeks Kesejahteraan Guru (IKG) untuk mengukur dan memastikan kebajikan emosi guru terpelihara secara berterusan.

Apakah beban tugas seorang guru, tidak kira mata pelajaran apa yang diajarnya, boleh mendorong seseorang guru mengakhiri nyawanya sendiri? Jika ya, Kementerian Pendidikan harus menilai semula tugas yang diberikan supaya tidak ada lagi kejadian kedua, ketiga dan seterusnya. Langkah-langkah bantuan yang berterusan melalui pelbagai seksyen sokongan dapat membantu mengurangkan tekanan mental yang dihadapi.

Bagi sekolah-sekolah yang mempunyai cukup guru untuk melaksanakan tugasan dan aktiviti, hal itu tidak menjadi masalah besar; namun di sekolah yang masih bergelut dengan kekurangan guru, ia merupakan beban utama. Ditambah lagi guru-guru harus memenuhi petunjuk prestasi utama masing-masing.

Penyelesaian kepada bebanan guru adalah tanggungjawab bersama, lebih-lebih lagi di peringkat kementerian. Guru adalah nadi kepada pembangunan sumber daya manusia negara. Kemajuan dan pembangunan negara dalam jangka masa panjang bergantung kepada pendidikan. Walaupun belanjawan negara sentiasa memperuntukkan lebih banyak wang untuk keberhasilan dalam pendidikan, cabaran-cabarannya sentiasa muncul dan mencapah. Memberi berbilion-bilion ringgit untuk memajukan pendidikan negara adalah langkah yang baik, namun kaedah penyelesaian cabaran inilah yang memastikan setiap isu pendidikan dapat diselesaikan dengan cekap dan berkesan.

Antara isu paling besar ialah jumlah murid yang ramai untuk satu kelas. Isu ini tidak pernah reda sehingga ke hari ini. Pertambahan penduduk kerana migrasi, pembinaan sekolah baharu yang mengambil masa dan ketidakcukupan guru adalah antara punca bilangan murid yang ramai. Semua isu ini pun telah lama dikenal pasti, namun tidak dapat diselesaikan.

Justeru, hasrat untuk melahirkan kelas yang berkesan akan terganggu jika tidak ada tindakan segera. Tidak mungkin sekolah-sekolah kita akan diisi dengan jumlah pelajar antara 20 hingga 25 orang dengan seorang guru, sepertimana di Finland. Jadi, jauh lagilah pendidikan kita dapat bersaing di peringkat dunia dalam erti kata kualiti, kecekapan dan keberkesanan.

Dunia pendidikan penuh dengan cabaran. Semua pihak yang menjadi pemegang taruh dalam pendidikan sentiasa memberi dan menerima cabaran. Yang membezakannya ialah sama ada cabaran tersebut sebesar gunung atau sekecil batu. Masing-masing ada pendekatan yang unik untuk diselesaikan. Cabaran yang besar memerlukan sekumpulan pakar untuk diselesaikan; cabaran yang kecil memerlukan idea dan pengalaman seorang dua pakar sahaja.

Jika beban tugas guru diletakkan dalam kategori "gunung", pakar-pakar perlulah bersidang untuk mencari idea supaya guru-guru kita dapat bekerja dengan tenang dan penuh penghayatan. Biarlah guru dapat memberi fokus kepada pengajaran mata pelajaran mereka daripada turut menjadi pekerja pentadbiran yang menambah beban tugas sedia ada. Jika memerlukan khidmat guru, motivasi berupa elaun yang lebih tinggi wajar menjadi pilihan untuk diketengahkan. Tidak mengapa jika lebih besar peruntukan diberikan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, asalkan kemenjadian murid dapat dizahirkan melalui pendidikan di sekolah.


Saturday, July 04, 2026

Letupan bom cetus kebimbangan pelancong ke Selatan Thai

Kata Kunci: Thailand, keselamatan pelancong, Narathiwat, rawatan rentas sempadan, kemanusiaan

Insiden letupan yang mengakibatkan sebuah Proton X50 dinaiki rakyat Malaysia rosak dan mencederakan dua orang mangsa di Narathiwat baru-baru ini telah menarik perhatian masyarakat di kedua-dua negara. Seperti kebanyakan kejadian yang berlaku di kawasan bergolak, pelbagai spekulasi turut muncul di media sosial. Ada yang menganggap insiden itu membuktikan Thailand tidak lagi selamat untuk dikunjungi, manakala ada juga yang melihatnya sebagai satu kejadian terpencil yang tidak menggambarkan keadaan keseluruhan negara.

Walau apa pun pandangan masyarakat, satu perkara yang tidak boleh dinafikan ialah tindakan pantas kerajaan Thailand dalam menguruskan mangsa. Kedua-dua rakyat Malaysia yang cedera diberikan bantuan kecemasan sebelum dipindahkan ke hospital di Kelantan bagi mendapatkan rawatan lanjut. Langkah itu memperlihatkan kesungguhan pihak berkuasa Thailand memastikan mangsa menerima rawatan terbaik tanpa berlengah.

Inilah aspek yang sepatutnya turut diberi perhatian, bukan sekadar insiden letupan itu sendiri.

Dalam situasi kecemasan, setiap minit amat berharga. Keputusan untuk membenarkan mangsa dipindahkan ke Malaysia menunjukkan bahawa keutamaan diberikan kepada keselamatan dan kebajikan mangsa, bukannya kepada soal birokrasi atau prosedur yang boleh melambatkan rawatan. Ini merupakan satu bentuk kerjasama rentas sempadan yang patut dipuji.

Malaysia dan Thailand bukan sekadar negara berjiran. Kedua-dua negara telah lama berkongsi hubungan yang erat dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelancongan, keselamatan dan kesihatan. Di kawasan sempadan seperti Kelantan, Narathiwat, Yala dan Pattani, hubungan masyarakat setempat juga amat rapat. Tidak sedikit rakyat Thailand mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Malaysia, manakala rakyat Malaysia pula sering berkunjung ke selatan Thailand sama ada untuk melancong, berniaga mahupun menziarahi saudara-mara.

Oleh sebab itu, kerjasama dalam menguruskan mangsa insiden seperti ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Namun begitu, tindakan pantas yang dipamerkan tetap mencerminkan hubungan baik antara kedua-dua kerajaan.

Sudah tentu timbul persoalan sama ada kesungguhan kerajaan Thailand ini juga mempunyai kaitan dengan usaha menjaga keyakinan pelancong asing, khususnya rakyat Malaysia.

Soalan ini wajar dibincangkan, tetapi jawapannya perlu bersandarkan analisis yang adil.

Thailand merupakan antara destinasi pelancongan paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Setiap tahun, berjuta-juta rakyat Malaysia memasuki Thailand melalui pintu sempadan darat mahupun penerbangan terus ke bandar-bandar utama seperti Bangkok, Hat Yai, Phuket dan Krabi. Industri pelancongan pula menjadi antara penyumbang penting kepada ekonomi negara tersebut.

Apabila berlaku sesuatu insiden yang melibatkan pelancong asing, lebih-lebih lagi rakyat Malaysia, sudah tentu ia berpotensi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan bakal pelancong. Berita mengenai letupan atau keganasan mudah tersebar melalui media sosial, dan persepsi negatif boleh terbentuk dengan pantas walaupun insiden itu berlaku di lokasi yang sangat khusus dan jauh daripada destinasi pelancongan utama.

Atas sebab itu, tidak mustahil tindakan pantas kerajaan Thailand dalam membantu mangsa turut memberikan mesej bahawa mereka memandang serius keselamatan pelawat asing. Walau bagaimanapun, sehingga kini tiada kenyataan rasmi yang menyatakan bahawa bantuan tersebut diberikan khusus bagi menjaga imej pelancongan negara. Oleh itu, perkara ini lebih sesuai dilihat sebagai satu kemungkinan atau kesan sampingan yang positif, bukannya sebagai fakta yang telah dibuktikan.

Apa yang pasti ialah tindakan pantas itu memberikan keyakinan bahawa pihak berkuasa Thailand tidak memandang ringan keselamatan warga asing yang berada di negara mereka.

Dalam dunia hari ini, keselamatan bukan diukur semata-mata berdasarkan sama ada sesuatu insiden berlaku atau tidak. Hakikatnya, tiada negara yang benar-benar bebas daripada risiko. Negara maju sekali pun pernah berdepan dengan serangan pengganas, letupan, bencana alam atau kemalangan besar. Apa yang lebih penting ialah bagaimana kerajaan bertindak balas apabila sesuatu kejadian berlaku.

Dalam aspek inilah kerajaan Thailand dilihat telah memainkan peranan yang sewajarnya. Mangsa tidak dibiarkan bersendirian. Bantuan kecemasan diberikan, urusan pemindahan dipermudahkan, dan kerjasama dengan pihak Malaysia berjalan dengan baik.

Pendekatan seperti ini memberi gambaran bahawa nyawa manusia menjadi keutamaan. Ia juga menunjukkan bahawa hubungan diplomatik yang baik mampu memberikan manfaat sebenar kepada rakyat kedua-dua negara ketika berlaku situasi kecemasan.

Sebagai rakyat Malaysia, kita juga wajar menghargai kerjasama yang diberikan oleh pihak Thailand. Dalam masa yang sama, kita tidak seharusnya membuat kesimpulan bahawa seluruh Thailand tidak selamat hanya kerana satu insiden yang berlaku di kawasan konflik yang sememangnya telah lama dipantau oleh pihak berkuasa.

Kementerian Luar Malaysia sendiri sejak sekian lama mengeluarkan nasihat perjalanan berkaitan beberapa wilayah di selatan Thailand yang mempunyai risiko keselamatan lebih tinggi berbanding kawasan lain. Ini bermaksud pelancong perlu sentiasa mendapatkan maklumat terkini, mematuhi nasihat pihak berkuasa dan merancang perjalanan dengan berhati-hati. Namun, keadaan di wilayah berkenaan tidak semestinya mencerminkan situasi keseluruhan Thailand yang menerima jutaan pelancong antarabangsa setiap tahun.

Peristiwa ini juga mengingatkan kita bahawa dalam era media sosial, masyarakat perlu lebih berhati-hati ketika menerima sesuatu berita. Tajuk seperti "kereta Proton meletup" misalnya boleh mengundang salah faham seolah-olah berlaku kegagalan teknikal pada kenderaan, sedangkan hakikatnya kenderaan itu menjadi mangsa letupan bom tepi jalan. Perbezaan ini penting kerana ia mempengaruhi cara masyarakat memahami sesuatu kejadian.

Akhirnya, di sebalik berita yang menggemparkan ini, terdapat satu pengajaran yang lebih besar. Apabila berlaku musibah, nilai sebenar sesebuah negara bukan hanya diukur melalui kemampuan mencegah semua risiko, tetapi juga melalui kecekapan, keprihatinan dan kemanusiaan dalam membantu mangsa.

Kesungguhan kerajaan Thailand menguruskan dua rakyat Malaysia yang cedera wajar diberikan pengiktirafan. Sama ada tindakan itu didorong oleh tanggungjawab kemanusiaan, hubungan diplomatik yang erat, atau turut memberi kesan positif kepada imej pelancongan negara, hasil akhirnya tetap sama. Dua mangsa mendapat peluang menerima rawatan yang lebih cepat dan lebih sesuai, manakala hubungan baik antara Malaysia dan Thailand terus diperkukuhkan melalui kerjasama yang membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Dalam dunia yang sering diwarnai dengan berita konflik dan perbalahan, contoh kerjasama seperti ini mengingatkan kita bahawa semangat kemanusiaan masih mampu mengatasi sempadan negara. Itulah mesej paling penting yang sepatutnya dibawa pulang daripada insiden ini.


Tuesday, January 06, 2026

Membataskan kuasa: Ubat demokrasi atau taktik politik?


Salah satu inisiatif Kerajaan Madani yang kini menjadi perhatian ialah cadangan membentangkan Rang Undang-Undang bagi mengehadkan tempoh mandat perdana menteri kepada dua penggal atau sepuluh tahun. Cadangan ini segera mencetuskan persoalan asas: apakah sebenarnya masalah jika tempoh sedia ada dikekalkan?




Model mengehadkan tempoh ketua kerajaan, sama ada presiden atau perdana menteri, bukanlah sesuatu yang baharu. Ia telah lama dilaksanakan di banyak negara dengan tujuan utama mengekang pemusatan kuasa yang berlebihan. Logiknya mudah: semakin lama seseorang pemimpin berada di tampuk kuasa, semakin besar risiko kuasa itu tertumpu dan sukar dicabar. Dua penggal sering dianggap tempoh yang munasabah untuk melaksanakan perancangan jangka pendek dan sederhana tanpa membuka ruang kepada kecenderungan autoritarian.

Amerika Syarikat, China dan Vietnam antara negara yang mengamalkan had tempoh kepimpinan tertentu. Amerika Syarikat, misalnya, hanya mencatatkan 46 presiden dalam tempoh lebih dua abad kemerdekaan. Bagi jawatan perdana menteri, Thailand pula mengehadkan tempoh jawatan kepada lapan tahun. Contoh-contoh ini sering dijadikan rujukan untuk menyokong idea bahawa had tempoh jawatan boleh mengukuhkan sistem demokrasi.

Namun, mengehadkan tempoh jawatan ketua kerajaan bukan tanpa kontroversi. Perdebatan mengenainya sentiasa berlegar antara kebaikan dan keburukan, khususnya dari sudut kesinambungan dasar. Antara kelebihan paling ketara ialah keupayaannya mengelakkan pemusatan kuasa yang boleh membawa kepada corak kepimpinan autokratik. Tempoh sepenggal atau dua penggal dilihat cukup untuk menghalang pembolotan kuasa yang berpanjangan.

Selain itu, had tempoh jawatan juga berpotensi menurunkan suhu politik negara. Persaingan politik yang tidak sihat untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dapat dikurangkan apabila semua pihak mempunyai jangkaan yang lebih jelas tentang peralihan kuasa. Parti-parti politik boleh merancang lebih awal, manakala pesaing politik kehilangan sebahagian modal spekulasi mereka.

Tempoh yang terhad juga boleh mendorong pemimpin untuk lebih fokus. Apabila masa pentadbiran disedari singkat, agenda pembangunan cenderung dirangka dengan lebih jelas dan berorientasikan hasil, khususnya untuk kumpulan sasaran yang memerlukan perhatian segera.

Namun, dalam konteks Malaysia, kesannya tidak semudah itu. Had tempoh jawatan berpotensi memberi tekanan kepada pelaksanaan dasar sedia ada. Program pembangunan jangka panjang di negara ini lazimnya diteruskan dari seorang perdana menteri kepada penggantinya. Dasar seperti Dasar Ekonomi Baru, misalnya, terus hidup melalui pelbagai penjenamaan kerana ia telah menjadi sebahagian daripada ekosistem pentadbiran dan budaya kerja sektor awam. Sehingga hari ini, kesannya masih dirasai dalam kehidupan seharian rakyat.

Lebih membimbangkan, negara juga berisiko kehilangan pemimpin berpengalaman yang telah berjaya membawa reformasi dan transformasi. Tidak ada jaminan bahawa pemimpin berkarisma dan berkeupayaan akan muncul tepat pada waktunya untuk menggantikan mereka yang terpaksa berundur akibat had tempoh jawatan.

Satu lagi implikasi yang sering dibangkitkan ialah kewujudan sindrom “lame duck”. Apabila seorang perdana menteri memasuki penggal kedua yang juga penggal terakhir, tumpuan politik lazimnya mula beralih kepada bakal pengganti. Keadaan ini boleh melemahkan autoriti kepimpinan semasa dan mengganggu proses membuat keputusan, khususnya bagi perancangan yang memerlukan keberanian politik.

Secara keseluruhan, cadangan mengehadkan tempoh pentadbiran perdana menteri kepada dua penggal sememangnya selari dengan trend serantau dan global. Namun, dalam konteks tempatan, ia tidak boleh dilihat semata-mata sebagai langkah reformasi institusi. Ia juga berpotensi dibaca sebagai strategi politik untuk mengekalkan keseimbangan kuasa dalam kalangan kelompok pemerintah.

Analisis yang dikemukakan oleh penganalisis politik, Tuan Isham, memberi gambaran lebih jelas tentang implikasi tersirat cadangan ini. Beliau menggariskan beberapa isu penting yang wajar diberi perhatian sekiranya idea ini benar-benar diterjemahkan dalam bentuk undang-undang.

Antaranya ialah bagaimana had tempoh jawatan boleh berfungsi sebagai strategi politik bagi memulihkan kepercayaan rakyat, khususnya dalam situasi keyakinan awam yang semakin rapuh. Faktor kesihatan dan persepsi keupayaan pemimpin juga tidak boleh diketepikan kerana ia memainkan peranan besar dalam membentuk legitimasi politik.

Selain itu, perbahasan politik seharusnya kembali kepada asasnya, iaitu menilai parti dan pemimpin berdasarkan dasar serta kualiti tadbir urus, bukan sentimen perkauman. Dalam masa yang sama, kebimbangan terhadap perjanjian perdagangan yang boleh menjejaskan kedaulatan negara, kelemahan struktur perundangan, serta amalan pembelian undi melalui penggunaan dana awam menuntut reformasi yang lebih menyeluruh dan berani.

Akhirnya, persoalan had tempoh jawatan bukan sekadar soal tempoh masa. Ia menyentuh soal kepercayaan, kebertanggungjawaban dan masa depan demokrasi itu sendiri. Jawapannya tidak terletak pada satu formula tunggal, tetapi pada kejujuran politik untuk mendahulukan kepentingan negara mengatasi kelangsungan kuasa.

Monday, January 05, 2026

Meninggalkan amanah, tanggungjawab punah

Awal tahun 2025, semasa melalui Jalan Kodiang-Arau di Kampung Utan Kandis, kira-kira 1000 meter dari simpang tiga lampu isyarat Guar Sanji, papan tanda saiz besar Perikatan Nasional yang diletakkan di tingkat satu bangunan kedai sudah tidak ada lagi gambar pimpinan politik. Gambar poster dibingkai telah koyak dan lunyai.





Ia mungkin menjadi petunjuk terdapat persengketaan dalaman parti gabungan PN di Perlis yang dianggotai oleh PAS dan Bersatu. Apabila hati telah tawar, tidak ada apa lagi yang hendak dibincangkan. Lebih baik membawa haluan masing-masing.

Jadi, apabila tiga ahli wakil rakyat dari PAS (DUN Chuping, Santan dan Guar Sanji) menyokong lima ADUN dan Bersatu, ia bukannya suatu yang luar biasa kerana keretakan dalam PN Perlis hanya menanti belah.

Tiga ADUN dari PAS yang telah memihak kepada Bersatu melalui Akuan Bersumpah telah digelar pengkhianat dalam kalangan pendokong PAS. Semua hubungan rasmi mereka dengan PAS telah terputus serta-merta, mereka juga hilang kelayakan sebagai ahli parti, tidak lagi dapat menghadiri program-program parti dan maruah mereka terjejas sebaik sahaja ditamatkan keahlian.

Ketakakuran kereka kepada pimpinan parti hanya menguatkan persepsi bahawa “mereka tidak boleh dipercayai” andaikata bercadang menganggotai mana-mana parti politik. Sekali bertindak sebagai pengkhianat, selamanya akan dianggap begitu.

Mereka juga hilang sokongan akan umbi, tidak lagi dijemput merasmikan majlis-majlis parti, anugerah kecemerlangan PASTI malah tidak lagi dijemput menghadiri usrah kepimpinan. Semua urusan kerja harus dilakukan sendiri.

Buat masa sekarang, rakan-rakan setarbiah adalah ahli-ahli Bersatu yang sudah tentu tidak memiliki fikrah seperti mana ahli-ahli PAS. Perubahan seperti ini akan memberi impak terhadap keyakinan mereka kepada konsep kepimpinan Islam.

Dalam sejarah pilihan raya di Perlis, pilihan raya umum lepas adalah keputusan yang terbaik untuk PAS. Parti itu telah mendapat sokongan penuh daripada pengundi luar bandar, kawasan kampung dan sebahagian pengundi bandar. Seperti kata bekas menteri besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid, “di mana ada sawah, di situ ada bendang”.

Kawalan PAS ke atas kawasan-kawasan sebegini dijangka berterusan dalam pilihan raya akan datang. Ia tidak sahaja kerana sawah bendang tetapi juga kerana pengundi muda sudah senang hati dengan pentadbiran PAS walaupun terdapat satu dua kes yang menarik perhatian umum.

Menteri besar baharu yang dilantik baru-baru ini sudah pasti perlu banyak melakukan kerja sampingan dan tidak senang duduk. Sokongan yang diterima daripada tiga orang bekas ahli PAS tidak akan selamanya menjadi ampuh kerana akar umbi di tiga kawasan ini tidak lagi memberi sokongan kepada mereka bertiga.

Tiada sokongan bermakna tiada jentera parti, tiada komunikasi berlangsung di media sosial, tiada jemputan untuk berusrah dan tiada lagi arahan.

Hidup mereka bertiga dalam berpolitik tidak lagi sama. Di sinilah semua ilmu dan pengalaman berusrah mereka teruji sepenuhnya. Masyarakat umum akan melihat perkembangan politik mereka dengan lebih mendalam dan memberi reaksi. Akhirnya mereka hanya ada dua pilihan iaitu bergabung dengan parti baharu atau terus bersendirian menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat kawasan. Parti-parti lain akan menerima mereka bertiga dengan seyum lebar di sebalik waspada yang tinggi kerana tingkah laku tersebut mungkin akan berulang dalam parti mereka pula.

Apa pun, maruah seorang ahli politik yang telah menjual amanah mereka untuk kepentingan diri dan orang lain akan berada dalam keadaan yang kompleks. Persepsi pengundi, tindak balas ahli parti dan kecenderungan masyarakat akan menentukan kesudahan prestasi mereka. Tidak semua parti akan memberi peluang kepada ahlinya untuk mengakui kesilapan. Namun, apabila keputusan memberhentikan keahlian serta-merta, ia sudah dikira ahli tersebut tidak diperlukan lagi.


Thursday, November 27, 2025

Bebas untuk memiliki perasaan cinta atau benci


Sebagai pemimpin sama ada ketua jabatan, pengarah korporat atau pemimpin negara, kita sering dihadapkan dengan gelombang emosi yang kompleks. Cinta terhadap visi, pasukan atau negara dan kebencian terhadap halangan, persaingan tidak sihat atau ketidakadilan. Namun, kepimpinan sejati bukan terletak pada menafikan emosi ini tetapi pada kemampuan untuk mengawal dan mengarahkannya atas dasar prinsip dan integriti.

Artikel ini memberikan panduan mendalam tentang seni mengurus batasan emosi khususnya perasaan cinta dan benci dalam kerangka etika dan spiritual yang kukuh. Dalam era polarisasi dan reaksi impulsif, kebijaksanaan ini menjadi semakin relevan untuk membina kepimpinan yang bukan hanya berkesan malah bermaruah dan berperikemanusiaan.

Menegakkan Batasan Emosi

Kepimpinan berkesan bermula dengan penguasaan diri. Emosi cinta dan benci adalah bahan bakar yang boleh mendorong perubahan, tetapi tanpa batasan, ia menjadi api yang membakar. Konsep impulsiviti amat berbahaya bagi seorang pemimpin. Tindakan berdasarkan gerak hati emosi yang tidak terkawal akan mengaburi pertimbangan, merosakkan hubungan dan akhirnya menjatuhkan kredibiliti. Pemimpin hebat menetapkan batasan jelas untuk emosinya, memastikan setiap keputusan dilandasi oleh pertimbangan rasional dan prinsip, bukan semata-mata desakan hati.

Memisahkan Emosi dari Keadilan

Ujian sebenar seorang pemimpin adalah ketika dia mampu berlaku adil walaupun terhadap apa yang dibencinya. Seperti yang ditekankan dalam ajaran agama, kebencian terhadap sesuatu kelompok tidak boleh sekali-kali membawa kepada kezaliman atau ketidakadilan. Dalam konteks kepimpinan, ini bermakna kita tidak boleh membiarkan rasa tidak suka peribadi terhadap seorang ahli pasukan, pesaing atau kumpulan tertentu mempengaruhi penilaian prestasi, pemberian peluang, atau penguatkuasaan peraturan. Keadilan mesti ditegakkan atas dasar fakta dan prinsip, bukan sentimen peribadi.

Kebencian Tidak Pernah Membenarkan Kemudaratan

Prinsip etika tertinggi bagi seorang pemimpin adalah "Kebencian tidak membenarkan kemudaratan". Walaupun kita mempunyai perasaan negatif terhadap seseorang, itu tidak memberi kita hak untuk menindas, meminggirkan atau mendatangkan bahaya kepada mereka. Kepimpinan sejati bersifat memelihara bukan memusnahkan. Ini melindungi maruah manusia dan memastikan kuasa yang diamanahkan tidak disalahgunakan untuk kepuasan peribadi atau balas dendam.

Kawalan Emosi sebagai Teras Kepimpinan

Kemampuan untuk mengawal eskalasi emosi adalah penanda aras kematangan seorang pemimpin. Amaran terhadap perasaan benci yang memuncak menjadi tindakan tidak adil adalah satu panggilan untuk berhenti merenung dan bermuhasabah. Kawalan emosi bukanlah penindasan tetapi pengurusan bijak. Ia adalah proses sedar untuk tidak membiarkan kemarahan atau kekecewaan mengatasi komitmen kita terhadap keharmonian pasukan dan keadilan organisasi.

Menyelaraskan Emosi Semula Jadi dengan Kebijaksanaan

Akhirnya, pemimpin yang hebat tidak menjadi robot yang tanpa emosi. Sebaliknya, mereka menerima cinta dan benci sebagai lumrah insani lalu memilih untuk mengurusnya dengan kebijaksanaan dan prinsip. Pendekatan seimbang inilah yang memupuk kesihatan emosi, membina integriti peribadi dan sekaligus memajukan keadilan sosial dalam lingkupan pengaruhnya.

Kesimpulan

Kepimpinan yang berjaya dan dihormati tidak diukur oleh betapa hebatnya seseorang itu disayangi atau ditakuti tetapi oleh konsistensinya menegakkan keadilan dalam keadaan apa sekalipun. Cabaran terbesar bagi setiap pemimpin adalah memerintah hatinya sendiri sebelum memerintah orang lain. Dengan menjadikan prinsip sebagai panduan dan keadilan sebagai matlamat, seorang pemimpin akan mampu mengubah tenaga emosi sama ada cinta atau benci dan menjadi kekuatan untuk membina, bukannya merosakkan.

Oleh itu, kepada semua pemimpin, ingatlah orang boleh mempersoalkan perasaan anda tetapi mereka tidak boleh mempersoalkan integriti anda jika anda konsisten berprinsip dan berlaku adil kepada semua. Itulah legasi kepimpinan sejati yang akan dikenang sepanjang zaman.

Wednesday, October 01, 2025

Minyak pada RM1.99: bukan hanya subsidi, tapi pelaburan sosial


Apabila harga minyak naik, gegarannya terasa hingga ke tulang. Setiap sen kenaikan bukan sahaja menjejaskan poket tetapi turut menggerakkan gelombang kenaikan harga barang dari sekilo beras sehingga ke sepinggan nasi lemak di gerai. Dalam menghadapi realiti ekonomi global yang tidak menentu ini, kerajaan Malaysia telah melancarkan inisiatif bantuan bersasar minyak petrol pada harga istimewa RM1.99 seliter. Inisiatif ini yang memberikan 300 liter sebulan kepada setiap warganegara yang layak adalah lebih daripada sekadar langkah menangani inflasi adalah satu bentuk pelaburan sosial yang strategik.

Mengapa Bantuan Bersasar Lebih Efektif?

Berbanding dengan mekanisme bantuan sebelumnya seperti bantuan tunai sekali gus atau subsidi menyeluruh yang kadangkala bocor kepada mereka yang tidak sepatutnya, kaedah bantuan bersasar ini menawarkan beberapa kelebihan utama.

Faedah Langsung dan Tepat Sasaran: Setiap liter petrol yang disubsidi pergi terus ke tangki kenderaan warganegara yang layak. Ini memastikan bantuan kerajaan tidak tersasar atau diselewengkan. Wang yang dijimatkan oleh isi rumah, anggaplah beberapa puluh ringgit sebulanadalah wang tunai yang boleh diguna serta-merta untuk keperluan lain seperti membeli buku anak-anak, menambah lauk-pauk di meja makan atau disimpan untuk kecemasan.

Impak Rantaian Ekonomi (The Multiplier Effect): Konsep "wang lebihan dapat diguna untuk keperluan lain" inilah yang menjadi tunjang kepada rangsangan ekonomi. Apabila wang ini dibelanjakan di kedai runcit, kiosk, pasar dan untuk perkhidmatan seperti baiki kereta atau salon, ia mengalir terus ke dalam ekonomi akar umbi. Peniaga kecil merasai peningkatan jualan yang seterusnya membantu mengekalkan atau menambah pekerjaan. Kitaran wang ini mencipta kesan limpahan yang positif, merangsang aktiviti ekonomi di peringkat komuniti.

Peningkatan Pendapatan Kerajaan: Dengan pelaksanaan sekatan pembelian terhadap bukan warganegara, kebocoran subsidi dapat diminimumkan. Perbezaan harga antara minyak subsidi dan harga pasaran antarabangsa yang tidak disubsidi akan menjadi pendapatan tambahan kepada kerajaan. Dana ini, seperti yang dijelaskan, boleh diagihkan semula untuk program-program sasaran yang lain seperti pembiayaan pendidikan atau program latihan kemahiran, seterusnya mewujudkan kitaran bantuan yang lebih mampan.

Membantu yang Terpinggir, Membuka Peluang Ekonomi

Inti pati dasar ini adalah matlamat sosial yang lebih luas. Dengan meringankan beban kos pengangkutan salah satu komponen utama perbelanjaan isi rumah kerajaan secara tidak langsung membuka akses yang lebih luas kepada peluang. Seorang ibu bapa di kawasan luar bandar tidak perlu lagi terlalu risau tentang kos petrol untuk menghantar anaknya ke sekolah atau kolej. Seorang usahawan mikro boleh membuat penghantaran barangan dengan kos yang lebih rendah. Seorang pencari kerja boleh pergi ke temuduga yang lebih jauh tanpa dibebani kos petrol yang tinggi.

Dengan kata lain, 300 liter petrol ini bukan sekadar bahan bakar untuk kenderaan tetapi menjadi bahan bakar untuk mobiliti sosial dan ekonomi. Ia membantu memutuskan kitaran kemiskinan dengan memudahkan akses kepada pendidikan dan peluang ekonomi seterusnya membantu golongan terpinggir dan miskin untuk berdikari.

Belajar dari Eropah: Pelbagai Model Bantuan Sosial yang Inovatif

Malaysia tidak keseorangan dalam mencari kaedah terbaik untuk membantu rakyatnya. Negara-negara Eropah telah lama mempelopori pelbagai model bantuan sosial yang canggih dan bersepadu yang boleh kita jadikan rujukan.

Model Universalisme Scandinavia (Contoh: Finland & Denmark)

Negara-negara Nordic terkenal dengan model kebajikan universal mereka. Sebagai contoh, selain daripada sistem kesihatan dan pendidikan percuma yang menyeluruh, Finland melaksanakan eksperimen Pendapatan Asas Sejagat (Universal Basic Income) beberapa tahun lalu. Walaupun eksperimen itu tamat, ia mencerminkan pendekatan mereka yang berani dalam mengkaji cara terbaik untuk memberi jaring keselamatan sosial.

Di Denmark, sistem "Flexicurity" menggabungkan pasaran buruh yang fleksibel dengan jaminan pengangguran yang tinggi dan polisi aktif pasaran buruh (seperti latihan semula). Ini memastikan rakyat yang kehilangan pekerjaan tidak jatuh miskin dan dapat diserap semula ke dalam pasaran kerja dengan pantas.

Model Insurans Sosial Korporat (Contoh: Jerman & Perancis)

Model ini dibiayai melalui caruman daripada majikan dan pekerja. Di Jerman, sistem bantuan sosial (Hartz IV) menyediakan perbelanjaan asas untuk mereka yang menganggur tetapi ia disertai dengan kewajipan yang ketat untuk menerima sebarang tawaran pekerjaan yang munasabah atau menghadiri program latihan. Perancis pula mempunyai sistem bantuan perumahan (APL - Aide Personnalisée au Logement) yang sangat terperinci, memberikan bantuan sewajaran berdasarkan pendapatan, lokasi geografi dan komposisi keluarga. Ini adalah contoh bantuan bersasar yang sangat spesifik.

Bantuan Bersasar Berasaskan Data di United Kingdom

UK menggunakan sistem "Universal Credit" yang menggabungkan pelbagai jenis faedah menjadi satu pembayaran bulanan. Sistem ini direka untuk memastikan bahawa bekerja sentiasa berbaloi dari segi kewangan kerana faedah dikurangkan secara beransur-ansur apabila pendapatan seseorang meningkat. Walaupun tidak terlepas daripada kontroversi, ia menunjukkan usaha untuk mencipta sistem yang lebih cekap dan berpusatkan data.

Kesimpulan: Satu Langkah ke Arah yang Betul

Inisiatif bantuan minyak bersasar RM1.99 ini adalah satu langkah yang progresif. Ia menunjukkan peralihan minda daripada bantuan sejagat yang mahal dan kurang efisien kepada bantuan yang lebih pintar, telus dan berimpak tinggi.

Memang benar, tempoh bantuan sedemikian mungkin tidak lama ekoran turun naik harga minyak global. Namun, ia membuka laluan untuk masa depan bantuan sosial yang lebih berfokus. Masa depan di mana data besar (big data) dan teknologi digital membolehkan kerajaan bukan sahaja membantu dari segi minyak tetapi mungkin juga dalam bentuk kredit tenaga, baucar makanan atau subsidi pengangkutan awam yang disesuaikan dengan keperluan spesifik setiap isi rumah.

Dengan belajar daripada kedua-dua kejayaan dan cabaran model Eropah, Malaysia boleh terus memperhalusi sistem bantuan sosialnya. Matlamat akhirnya adalah jelas iaitu membina sebuah masyarakat yang lebih inklusif dan mampan di mana setiap warganegara mempunyai peluang yang adil untuk berjaya, dan di mana bantuan kerajaan berfungsi sebagai pemangkin, bukan sebagai derma.

Friday, August 08, 2025

Organisasi rosak kerana rasuah

Dalam seminggu dua ini, kita mendengar, melihat dan membaca isu yang melibatkan sebuah agensi kerajaan yang menjadi penjaga hadapan pintu masuk negara. Isu yang popular dengan ‘counter setting’ di pintu masuk negara iaitu lapangan terbang antarabangsa.

Minggu ini, kita dipaparkan dengan berita tentang tangkapan seorang anggota organisasi ini bersama wang tunai RM8000. Umur kakitangan ini masih muda iaitu 28 tahun, namun berhadapan dengan masa depan yang kabur.

 

Dulu-dulu, kita menganggap kakitangan kerajaan yang meminta wang sebagai rasuah dan terlibat dengan sindiket hanyalah kisah dongeng. Kita berfikir bahawa orang yang bekerja dengan kerajaan ini tidak mahu melibatkan diri dengan perbuatan yang menjatuhkan maruah.

 

Hari ini, ia bukan lagi sekadar cerita dongeng tetapi realiti. Wang ringgit dijadikan untuk pertukaran masuk secara tidak sah ke dalam negara. Dalam hal ini, kita dapat lihat seorang kakitangan organisasi ini telah dituduh di mahkamah kerana menerima RM900,000 daripada beberapa sumber.

 

Umur kakitangan kerajaan ini adalah 41 tahun. Beliau menggunakan kedudukannya untuk mengumpul kekayaan dengan cara yang tidak beretika.

 

Apabila sesebuah agensi kerajaan kerap muncul dalam berita kerana anggotanya ditangkap dan dituduh di mahkamah, boleh dikatakan agensi ini sedang ‘sakit’. ‘Sakit’ tersebut menyebabkan pandangan orang ramai cenderung memberi respon negatif. Jenis ‘sakit’ dalam organisasi ini berpunca daripada watak-watak orang yang menghidupkannya.

 

Saya melihat organisasi ini sebagai ‘sakit’ selepas membaca berita tentang bekas ketua pengarah agensi ini yang didakwa di mahkamah kerana meluluskan kemasukan tenaga kerja asing selepas menerima habuan wang tunai puluhan ribu ringgit. Pemberi rasuah adalah seorang peniaga berbangsa Cina. Nama penerima dan pemberi rasuah dalam kes ini dinyatakan dalam berita dengan jelas. Jika ketua sendiri terlibat dengan rasuah, apatah lagi anak buah dalam organisasi tersebut.

 

Begitu juga kes di sebuah negeri, pengarah dan bekas ketua unit pendakwaan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM85,000 selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah

 

Selepas kes ketua pengarah, muncul lagi kes-kes lain yang lebih besar dan melibatkan sindiket pemerdagangan manusia. Kita dapat baca di akhbar tentang laporan wartawan yang membuat liputan khas mengenai sindiket ini. Kemasukan warga asing dari negara-negara tertentu telah ditentukan nilainya. Ada yang dicaj RM800, malah bagi negara-negara tertentu, cajnya mencecah RM2,000 seorang.

 

Bagi melancarkan kemasukan warga asing ini, ia mesti dilakukan secara berkumpulan. Di sinilah timbul aktiviti ‘counter setting’ yang didalangi oleh sindiket. Kita dapat baca laporan wartawan yang membuat liputan ‘counter setting’ ini dalam akhbar.

 

Organisasi ini adalah sebuah organisasi yang bermasalah. Silih ganti ketua pengarah tidak dapat membendung aktiviti songsang anggota yang memiliki tahap integriti dan moral yang rendah. Disebabkan tindakan segelintir anggota, seluruh organisasi terpalit dengan persepsi negatif orang ramai.

 

Isu terkini melibatkan 50 orang anggota organisasi yang disiasat kerana melibatkan diri dalam sindiket ‘phanton travel’ iaitu memanipulasi sistem kemasukan ke dalam negara yang mencemarkan kredibiliti jabatan dan mengancam keselamatan negara.

 

Kita tidak tahu bagaimana perasaan anggota yang memakai pakaian seragam organisasi ini apabila berhadapan dengan orang ramai yang memandang jabatan ini sebagai sarang rasuah.

 

Organisasi yang ‘sakit’ perlu segera dirawat sehingga sembuh. Tidak kira sama ada kaedah rawatan ini di ‘hospital’ atau berubat ‘cara kampung’, organisasi ini harus segera dipulihkan. Antara tindakan yang perlu diambil adalah menilai semula kelayakan anggota untuk pengambilan tetap serta menambah elemen ciri-ciri anggota dengan memberi penekanan kepada calon yang bermoral, kuat mental dan cenderung dengan nilai-nilai agama.

 

Tidak ada kompromi toleransi dengan calon yang mahukan kesenangan segera atau tidak amanah.

 

Pautan

Muhammad Aminnuraliff Mohd Zoki. (2025, August 4). 50 pegawai JIM terlibat sindiket 'phantom travel' disiasat SPRM. Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/article/741899/berita/semasa/50-pegawai-jim-terlibat-sindiket-phantom-travel-disiasat-sprm

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. (2022, September 23). Bekas Pengarah Imigresen Perak dipenjara 3 tahun kerana rasuah. https://www.sprm.gov.my/index.php?id=21&page_id=103&contentid=2624&cat=CN

 

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan. (2015, December 17). Rasuah: Bekas Ketua Pengarah Imigresen gagal rayuan. https://www.eaic.gov.my/arkib/berita-arkib/berita-2015/1177-rasuah-bekas-ketua-pengarah-imigresen-gagal-rayuan


Sunday, July 06, 2025

Cukai sebagai mekanisme penting dalam pembangunan negara


Cukai memainkan peranan penting sebagai sumber pendapatan utama kerajaan bagi membiayai pembangunan negara dan perkhidmatan awam. Dalam sistem ekonomi moden, cukai dikutip melalui pelbagai kaedah seperti cukai pendapatan individu, cukai korporat, cukai barangan dan perkhidmatan (GST, VAT) serta duti import. Hasil kutipan ini digunakan untuk membiayai pelbagai program pembangunan seperti pembinaan infrastruktur, penyediaan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan serta pemberian subsidi kepada rakyat.

Contohnya di United Kingdom, VAT diperkenalkan pada tahun 1973 pada kadar standard 20 peratus dengan pengecualian untuk barangan keperluan asas (makanan, ubat-ubatan dan sebagainya) yang dikenakan pada kadar kosong peratus. Kesan kepada rakyat ialah VAT menyumbang 20 peratus daripada hasil cukai UK, membiayai perkhidmatan kesihatan dan kebajikan sosial. Namun keadaan ini telah meningkatkan kos hidup terutama bagi isi rumah berpendapatan rendah yang menghabiskan lebih besar pendapatan untuk barangan dikenakan VAT.

Pada tahun 2015 hingga 2018, kerajaan Malaysia memperkenalkan GST pada kadar enam peratus kemudiannya pula naik kepada sepuluh peratus. Pengealan kadar ini telah mningkatkan hasil kerajaan sekitar RM44 bilion setahun namun membebankan golongan berpendapatan rendah.

Sistem percukaian moden mempunyai pelbagai bentuk pelaksanaan. Cukai langsung seperti cukai pendapatan dikenakan secara terus ke atas pendapatan individu atau keuntungan syarikat. Manakala cukai tidak langsung seperti GST atau VAT dikenakan pada setiap peringkat rantaian bekalan. Sistem cukai progresif yang mengenakan kadar berbeza mengikut kemampuan individu dianggap lebih adil berbanding sistem regresif yang memberi kesan lebih berat kepada golongan berpendapatan rendah.

Pelaksanaan sistem cukai membawa pelbagai kebaikan kepada negara. Ia membolehkan kerajaan mengumpul dana untuk membiayai pelbagai program kebajikan dan pembangunan infrastruktur. Cukai juga berfungsi sebagai alat pengagihan kekayaan melalui sistem progresif yang memastikan golongan berpendapatan tinggi menyumbang lebih banyak. Namun, sistem percukaian juga mempunyai kelemahan tertentu seperti risiko kebocoran dan penyalahgunaan dana jika tiada sistem pemantauan yang ketat. Kadar cukai yang terlalu tinggi pula boleh membebankan rakyat dan mengurangkan daya saing perniagaan.

Kesan pelaksanaan cukai amat ketara terhadap golongan berpendapatan rendah. Cukai tidak langsung seperti VAT memberi kesan lebih besar kepada kumpulan ini kerana sebahagian besar pendapatan mereka digunakan untuk perbelanjaan asas. Tanpa mekanisme bantuan yang sesuai, cukai boleh meningkatkan beban kos sara hidup dan memperlebar jurang pendapatan.

Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan. Program bantuan tunai seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) diperkenalkan untuk meringankan beban hidup. Pengecualian cukai ke atas barangan keperluan asas membantu menstabilkan harga. Sistem subsidi untuk bahan api dan makanan asas terus dilaksanakan bagi memastikan aksesibiliti golongan berpendapatan rendah kepada keperluan harian.

Sebagai kesimpulan, sistem percukaian merupakan mekanisme penting untuk memastikan kelangsungan pembangunan negara. Namun, pelaksanaannya perlu mengambil kira aspek keadilan sosial dan kemampuan rakyat. Kerajaan perlu terus memperbaiki sistem percukaian sambil memperkukuh mekanisme bantuan kepada golongan memerlukan. Dengan pengurusan yang telus dan efisien, sistem cukai dapat berfungsi sebagai alat untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mengurangkan ketidaksamaan pendapatan.