Wednesday, May 13, 2020

Tujuh alasan Dr Zakir Naik pilih Malaysia





Baru-baru ini Dr Zakir Naik, tokoh perbandingan agama telah ditemu bual oleh sebuah stesen penyiar di Amerika Syarikat yang kemudiannya disiarkan di YouTube. Beliau ditanya alasan memilih Malaysia, sebuah negara di Asia Tenggara yang majoriti penduduk adalah Melayu dan beragama Islam.

Dalam temu bual tersebut beliau memaklumkan terdapat 13 hingga 15 buah negara yang menawarkan tempat tinggal. Daripada jumlah ini, beliau menyenarai pendek tiga buah negara dan akhirnya memilih Malaysia.

Dr Zakir Naik memberikan tujuh alasan kenapa beliau memilih Malaysia.

Pertama, jauh dari zon perang. Di Asia Tenggara, keadaan geopolitiknya sangat jauh berbeza dengan keadaan di Timur Tengah. Banyak negara yang terlibat dengan peperangan seperti Yemen dan Syiria yang masih jauh dari keamanan.

Kedua, jauh dari pengaruh nilai-nilai Barat. Kedudukan Malaysia di Asia menyebabkan nilai-nilai Islam dan budaya Melayu khususnya lebih terpelihara daripada pengaruh Barat.

Ketiga, pasport Malaysia diterima tanpa visa di 185 buah negara iaitu salah satu pasport yang sangat bernilai di dunia.

Keempat, dalam kalangan negara non Arab, masyarakat Islam di Malaysia umumnya lebih praktikal melaksanakan ajaran Islam berbanding umat Islam di India, Bangladesh atau Pakistan.

Kelima, keadaan ekonomi Malaysia yang relatifnya sangat berdaya saing (economical) yang mana harga barang keperluan masih rendah.

Keenam, Malaysia sebuah negara yang cantik dari segi pemandangan alam sekitar.

Ketujuh, Putrajaya sebuah bandar pentadbiran yang bersih (dan bebas dari kelab malam).

Selain dari tujuh alasan ini, pendakwah tempatan, Firdaus Wong menyatakan kekaguman Dr Zakir Naik kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir yang berjaya mengangkat suara Islam di dunia (selain daripada Turkey). malah beliau juga percaya Islam akan bangkit di Malaysia.