Petaka Meninggalkan Dakwah
Melalui dakwah, Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam telah berjaya mengangkat mertabat manusia menjadi
makhluk yang mulia. Dakwah telah berjaya
menyebarkan kebahagiaan, kedamaian dan ketenteraman yang hakiki. Jejak langkah
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah diikuti oleh para sahabatnya dan
diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Walaupun Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam telah wafat, namun tanggungjawab dakwah tidak berhenti.
Tanggungjawab dakwah adalah tanggungjawab kita yang berterusan.
Meninggalkan dakwah mengundang bahaya yang
banyak. Yakni, bahaya kepada individu, keluarga, masyarakat dan manusia
seluruhnya. Antara bahaya-bahaya meninggalkan dakwah ialah:
Mendapat Dosa
Meninggalkan dakwah bererti meninggalkan
kewajipan. Al-quran telah menggariskan betapa tugas dakwah adalah wajib,
antaranya:
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ
رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ
ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ
بِالْمُهْتَدِينَ
Serulah (manusia) kepada jalan Rabmu dengan
hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.
Sesungguhnya Rabmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat
dari jalanNya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat
petunjuk. An Nahl: 125
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ
أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ
الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan
perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang
lain, mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar,
mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan RasulNya,
mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi
Maha Bijaksana. At-Taubah: 71
Kenikmatan Ibadah Terancam
Ada orang mengatakan bahawa yang penting ialah
“saya menjadi seorang yang salih dan menjalankan ibadah dengan baik”. Dia tidak
mempedulikan kemungkaran yang terjadi, baik di dalam keluarga mahupun
masyarakat. Dia lupa bahawa jika dia
tidak mempedulikan urusan dakwah dan membiarkan maksiat bermaharajela, maka
apabila tiba gilirannya, ibadah yang dilakukannya akan berdepan dengan
rintangan dan masalah. Ini kerana kemaksiatan dan kemungkaran adalah lawan
kepada kebajikan dan ibadah.
Tujuh Marhalah dalam Dakwah
Fardhiyah (Ittisal Fardi)
Marhalah Pertama:
Mengenali Mad’u dan Membina Hubungan
Pada tahap ini kita harus berusaha agar mad’u
merasakan bahawa kita mengambil berat tentang mereka. Bertanya khabar di kala
mereka tidak ada. Kita belum lagi berbicara secara langsung tentang dakwah,
agar hati mereka lebih terbuka dan bersedia untuk menerima apa yang
diperkatakan. Pada tahap ini, lagi banyak perhatian yang diberikan kepada mad’u
maka akan lebih banyak penerimaan yang akan diperolehi daripada mad’u
(InsyaAllah). Langkah-langkahnya adalah:
1) Mengadakan hubungan silaturrahim.
2) Berta’aruf dengan mad’u.
3) Menunjukkan kepadanya bahawa kita kenalnya.
4) Menunjukkan kepadanya bahawa kita
mementingkannya.
5) Kita menziarahinya di rumahnya dan selalu
membawa hadiah.
6) Memberikan perhatian dan kemesraan kepadanya.
7) Menghormati dan memuliakannya.
8) Lakukan pelbagai usaha untuk menariknya.
Marhalah Kedua:
Membersihkan Akidah dan Membangkitkan Iman
Pada tahap ini perbicaraan terhadap masalah
iman dilakukan secara tidak langsung, secara tabi’i dan seolah-olah tidak
sengaja. Masa-masa tertentu dimanfaatkan
dengan sebaik-baiknya seperti ketika melihat seekor burung terbang, melihat
serangga dan apa sahaja ciptaan Allah Subhanahuwata’ala. Di kesempatan ini
ajaklah mad’u untuk berbicara tentang kekuasaan, keindahan dan keagungan
ciptaan Allah Subhanahuwata’ala.
Pada tahap ini diutarakan juga bahawa walau
bagaimana hebat manusia namun ia tidak mampu menandingi Allah
Subhanahuwata’ala, contohnya saintis yang paling bijak pun tidak mampu untuk
menciptakan walau sebiji benih, apatah lagi untuk menumbuhkannya. Mereka
mungkin membuat penemuan-penemuan baru tetapi bukan ciptaan baru.
Perkara-perkara yang perlu diberi perhatian pada tahap ini ialah:
1) Menjaga segala pembicaraan dengan baik.
2) Berbicara tentang iman secara tidak langsung.
3) Menggunakan segala peluang dan kesempatan
untuk dikaitkan dengan betapa kudrat kuasa Allah Subhanahuwata’ala seperti:
a) Ketika melihat seekor burung sedang terbang.
b) Ketika melihat seekor serangga sedang melintas
lalu.
c) Ketika melihat pokok kayu atau rumput.
d) Ketika melihat bagaimana tumbuh-tumbuhan
berbeza pada batang, akar, daun, bunga dan baunya.
e) Kemukakan soalan-soalan seperti:
Mampukah para saintis dari semua jurusan mencipta sebiji padi? Kemudian
kita jelaskan bahawa rahsia hidup adalah hak Allah Subhanahuwata’ala.
4) Memjelaskan bahawa mencipta dan menghidupkan itu adalah hak Allah Subhanahuwata’ala
semata-mata. FirmanNya:
وَتَرَى الْجِبَالَ تَحْسَبُهَا جَامِدَةً وَهِيَ
تَمُرُّ مَرَّ السَّحَابِ ۚ صُنْعَ اللَّهِ الَّذِي أَتْقَنَ كُلَّ شَيْءٍ ۚ إِنَّهُ خَبِيرٌ بِمَا تَفْعَلُونَ
Dan kamu lihat gunung-gunung itu, kamu sangka
dia tetap di tempatnya, padahal ia berjalan sebagai jalannya awan. (Begitulah)
perbuatan Allah yang membuat dengan kokoh tiap-tiap sesuatu. Sesungguhnya Allah
Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. An-Naml: 88
5) Memberi misalan-misalan yang menarik dan
menawan hati. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
هَٰذَا خَلْقُ
اللَّهِ فَأَرُونِي مَاذَا خَلَقَ الَّذِينَ مِنْ دُونِهِ ۚ بَلِ الظَّالِمُونَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ
Inilah ciptaan Allah, maka perlihatkanlah
olehmu kepadaku apa yang telah diciptakan oleh sembahan-sembahan(mu) selain
Allah. Sebenarnya orang-orang yang zalim itu berada di dalam kesesatan yang
nyata. Luqman: 11
6) Mengadakan perbincangan lanjut dan
berulang-ulang mengenai penciptaan Allah Subhanahuwata’ala.
7) Mengajak dia
memikirkan tentang makhluk Allah Subhanahuwata’ala di mana-mana sahaja
.
8) Membawa dia memikirkan bahawa penciptaan Allah
Subhanahuwata’ala bukanlah sia-sia.
9) Membawa dia mengingati kurniaan Allah
Subhanahuwata’ala untuk orang-orang yang beriman.
10) Membawa dia mengingati akhirat.
11) Mendorong dia berdo’a kepada Allah
Subhanahuwata’ala supaya menjauhkan diri
daripada neraka (‘Azab Allah Subhanahuwata’ala).
12) Kita kenangkan kepadanya kemuliaan yang telah
dikurniakan Allah Subhanahuwata’ala terhadap manusia. Malangnya banyak manusia
mensia-siakannya.
13) Manusia banyak melayan tuntutan jasmani. Mereka tidak melayan dan tidak memberi
perhatian kepada rohani dan akidah.
14) Dengan kita membawa dan menyentuh sedikit
tentang iman dan akidah Islam, semoga dia mula sedar dan iman mula bertapak.
15) Pada tahap ini, mad’u dibimbing agar:
a) Bertambah kagum dan memuji Allah Subhanahuwata’ala:
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا
وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ
وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ
النَّارِ
(Iaitu) Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau
dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan
bumi (seraya berkata): Ya Rab kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan
sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharakanlah kami daripada siksa neraka. Ali 'Imran: 191
b) Bermulalah hatinya itu hidup dengan mengenali
Allah Subhanahuwata’ala.
c) Dia bersedia untuk beriman dengan Allah
Subhanahuwata’ala dan hari akhirat.
d) Dia mulai ingin memahami tugas, tanggungjawab
dan tujuan hidup.
e) Dia ingin tahu dengan jelas akan tujuan dia
diciptakan (bahawa manusia tidaklah dijadikan dengan sia-sia, bahkan adalah
untuk memperhambakan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala).
f) Dia inginkan akidah salimah (akidah yang
sejahtera) dan benar. Kebahagiaan di
akhirat bergantung kepada akidah yang salim.
g) Dia rasa hanya dengan bertaubat dan beriman
kepada Allah Subhanahuwata’ala sahaja akan dapat menyelamatkannya.
h) Dia mula tertarik dan mudah mengikut
ajaran-ajaran Islam dengan penuh iltizam.
Marhalah Ketiga:
Mengislahkan Akhlak
Pada tahap ini kita membantu mad’u memperbaiki
akhlaknya dengan memperkenal atau mendedahkan mereka kepada perkara-perkara
yang berkaitan dengan ketaatan kepada
Allah Subhanahuwata’ala dan ibadah-ibadah yang diwajibkan.
Juga, membantu mad’u melatih dan membiasakan
diri mereka dalam ketaatan dan disiplin melaksanakan ibadah, menjauhkan diri
daripada segala kemaksiatan dan menghiasi diri dengan akhlak Islamiah.
Langkah-langkahnya ialah:
1) Menolongnya dan memperkenalkannya akan urusan
dinnya.
2) Menolongnya menyelesaikan permasalahan
mentaati Allah Subhanahuwata’ala dalam menjalankan ibadah-ibadah yang
ditentukan.
3) Dia dibekalkan dengan buku-buku yang mudah
baginya, yang menyentuh permasalahan:
a) akidah
b) ibadah
c) akhlak
d) sejarah Islam (sirah)
e) lain-lain yang bersesuaian.
4) Dia dibawa ke majlis ilmu:
a) ceramah islam
b) nasihat ulama yang salih
5) Mengajak dia berkenalan dengan orang-orang
yang salih dan ikhlas, menjauhkannya daripada orang-orang jahat.
6) Sentiasa
memimpin dia kepada suasana yang baik.
7) Kita terus memperhatikan tindak-tanduknya
(keperibadian Islamnya).
8) Jangan kita biarkan dia tanpa bimbingan dan
pertolongan, kerana ditakuti dia lemah dan futur.
9) Pada tahap ini, mad’u dibimbing agar:
a) Dia beramal dengan segala perkara yang baru
dikenalinya dari hukum-hukum syariat Islam.
b) Dia menggabungkan dirinya didalam perlaksanaan
ibadat dan menjauhkan dirinya dari segala maksiat.
c) Dia menghiasi dirinya dengan akhlak Islam.
d) Kita nampak peribadi Islamnya mula tegap,
kukuh, mantap dan tidak mudah goyang
Marhalah Keempat: Menghayati Hidup Beribadah yang
Syumul
Diperjelaskan kepada mad’u bahawa ibadah tidak
terbatas kepada solah, puasa, zakat dan haji sahaja. Ibadah merangkumi seluruh
aspek kehidupan seperti makan, minum, pakaian, ilmu, amal, perkahwinan, riadah,
pendidikan anak-anak dan sebagainya. Ibadah mestilah memenuhi dua syarat utama
iaitu niat yang benar dan menepati kehendak syarak.
Pada tahap ini kita lihat dia akan merasa
terikat dalam seluruh kegiatan hidupnya, gerak-gerinya dan diamnya dengan
syariat Allah Subhanahuwata’ala. Dunia
menjadi mihrab dan tempat ibadah yang besar. Di atas dunia kita melaksanakan
amal dengan niat yang mulia dan cara yang betul. Langkah-langkah di marhalah
ini ialah:
1) Mad’u perlu mendapat penjelasan tentang
pengertian ibadah yang syumul (bukan juz-i) dengan cara:
a) Menjelaskan makna ibadah bersumberkan al-Quran
dan al-hadis.
b) Menjelaskan pengertian-pengertian yang
terdapat di dalam tafsiran-tafsiran ulama muktabar.
c) Menjelaskan fungsi ibadah dalam kehidupan
dengan mempraktikkan Islam sepenuhnya.
2) Memperbetulkan ibadah dengan mengawasi:
a) niat yang semata-mata kerana Allah
Subhanahuwata’ala.
b) cara melaksanakannya yang sesuai dengan
syariat Islam.
3) Mad’u difaham dan disedarkan bahawa selagimana
niat ditentukan kerana Allah Subhanahuwata’ala, maka setiap amalan akan dikira
sebagai ibadah, selagimana amalan itu tidak haram menurut Islam.
4) Amalan-amalan kita adalah sebagai alat untuk
menyempurnakan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata’ala yang menjadikan kita
khalifah di muka bumi ini.
5) Ma’du dibawa untuk berfikir tentang kesan niat
yang betul terhadap amalan-amalan harian, seperti:
a) Makan minum adalah bertujuan untuk mendapat
tenaga agar dapat mentaati Allah Subhanahuwata’ala atau beribadah kepadaNya. Dengan ini seseorang itu akan
mendapat pahala di sisi Allah Subhanahuwata’ala.
b) Mencari rezeki dengan niat yang betul akan
menjadi ibadah kepada Allah Subhanahuwata’ala.
c) Kita akan mendapat pahala dari segala usaha
dan harta yang digunakan untuk membangunkan Islam.
d) Kita akan mendapat pahala dari masa yang
diberikan untuk kemajuan Islam.
e) Kita akan mendapat pahala jika berkorban untuk
mencapai kemahiran ilmu iktisas demi untuk kepentingan Islam dan umat Islam.
f) Seterusnya dalam semua aktiviti hidup
diniatkan untuk Islam dan demi mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala,
seperti:
i) mencari rezeki agar boleh mengeluarkan zakat,
sadaqah dan hadiah.
ii) berkahwin untuk mendirikan rumah tangga muslim
kerana rumah tangga muslim adalah tiang yang kuat untuk membangunkan Daulah Islamiah.
iii) bersenam, riadah dan memelihara kesihatan agar
mampu dan kuat memikul tugas Islam dan tanggungjawabnya menggerakkan dakwah
Islam.
g) Membawa mad’u berfikir bahawa semua kerja
hendaklah sesuai dengan syariat Allah Subhanahuwata’ala. Adalah tidak menasabah
bagi seseorang yang makan dan mendapat rezeki
dengan cara yang diharamkan oleh Allah Subhanahuwata’ala, bertujuan untuk menguatkan taqwa dan mentaati Allah
Subhanahuwata’ala.
Marhalah Kelima: Menghayati Hidup dan Memahami
Pengertian Ummah
Pada tahap ini diperjelaskan kepada mad’u
bahawa din Islam adalah din jama’i. Islam adalah sistem kehidupan, hukum,
perundangan, kenegaraan, jihad dan kesatuan ummat. Pemahaman terhadap perkara
ini akan mendorong beliau bersedia memikul segala kewajipan dan tanggungjawab
semata-mata kerana Allah Subhanahuwata’ala agar masyarakat berdiri di atas
prinsip-prinsip Islam dalam segala aspek kehidupan. Maka:
1) Beliau dijelaskan bahawa tidak mencukupi
dengan hanya menjadi muslim untuk diri sendiri sahaja.
2) Beliau perlu sedar bahawa Islam adalah
merangkumi urusan-urusan jama’ah dan masyarakat. Islam merupakan sistem hidup yang lengkap dan
sempurna serta penuh dengan nikmat dan keredhaan Allah Subhanahuwata’ala.
Firman Allah Subhanahuwata’ala:
أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ
عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ
Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu
deenmu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Ku redha Islam itu
menjadi deen bagimu. Al-Maidah: 3
3) Beliau mestilah dapat merasai kesempurnaan dan
segala nikmat Allah Subhanahuwata’ala ini. Rasa hatinya ditingkatkan dengan
kefahaman, kesedaran dan keyakinan.
4) Di atas dasar rasa hati sebegini, maka dia
mula faham bahawa dia hendaklah terlibat dengan berusaha, berjuang dan
menyampaikan berita gembira dan peringatan-peringatan Allah Subhanahuwata’ala
kepada manusia lain.
5) Dia merasai bahawa dia tidak boleh hidup
sebagai seorang muslim dengan keIslaman yang sahih dan sempurna jika dia
mengasingkan dirinya dari saudara-saudara muslimnya yang lain dan tidak
memperdulikan segala apa yang terjadi terhadap mereka - segala gangguan, fitnah
dan serangan musuh terhadap mereka.
Musuh-musuh Allah Subhanahuwata’ala datang dari berbagai sudut dan ceruk
rantau bumi ini untuk menyerang umat Islam. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
وَقَاتِلُوهُمْ
حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ ۖ فَإِنِ انْتَهَوْا فَلَا عُدْوَانَ إِلَّا عَلَى
الظَّالِمِينَ
Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada
fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah, jika
mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali
terhadap orang-orang yang zalim. Al-Baqarah: 193
Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:
من لم يهتم للمسلمين فليس
منهم
Barangsiapa yang tidak memperdulikan urusan
muslimin, maka dia bukanlah dari golongan mereka.
6) Dia mula merasai bahawa kita adalah sahabat
dia. Tugas dan tanggungjawab kita adalah tugas dan tanggungjawab dia.
7) Dia mula merasai tanggungjawab umum terhadap Islam dan kaum muslimin.
8) Dia mula beransur-ansur keluar daripada
pengasingan sekularnya, memecahkan tempurungnya dan menghapuskan kongkongannya.
9) Seterusnya dia dapat hidup di dalam Islam
secara jama’i.
10)
Pada tahap ini dia perlu diperjelaskan tentang tuntutan dakwah
Islamiah pada masakini, iaitu:
a) wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan
daulah Islamiah.
b) wajib mengetahui tipu helah musuh Islam yang sentiasa
ingin menghancurkan umat Islam.
c) wajib mengetahui tentang bencana yang menimpa umat Islam
hari ini.
d) wajib mengetahui tentang perpecahan dalam kalangan umat
Islam.
e) wajib sedar bahawa anak-anak orang Islam telah lama
dibentuk mengikut cara yang bukan Islam yang bertujuan untuk mengukuhkan sistem
hidup bukan Islam.
f) wajib sedar bahawa musuh-musuh Islam telah lama
merosakkan kehormatan orang Islam dan
wanitanya.
g) wajib sedar bahawa hanya Daulah Islamiah sahaja yang
mampu menyerang balas sepenuhnya anasir-anasir jahat dan musuh-musuh Islam. Hanya daulah yang
mampu menyatupadukan umat dan melaksanakan ajaran Islam yang lengkap. (Konsep
Daulah Islamiah ialah bercontohkan Daulah Islamiah yang dibina oleh Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam).
h)
tanggungjawab ini tidak boleh diserahkan kepada umarak
(pemerintah) dan ulama sahaja, bahkan ia menjadi tanggungjawab bagi setiap
lelaki dan wanita Islam di zaman
kebangkitan dakwah ini.
i) seluruh muslimin, di mana jua, akan menanggung dosa
besar, sekiranya mereka tidak berusaha dan bekerja untuk membangunkan Daulah
Islamiah.
j) semoga dia mula berfikir
dengan bersungguh-sungguh dan mencari jalan untuk menunaikan amanah dan
masuliyyah ini serta melaksanakan segala tuntutannya.
Marhalah Keenam: Memahami Keperluan Berjama’ah
Pada tahap ini, kita menjelaskan kepada mad’u
bahawa semua kewajipan yang dinyatakan di atas tidak mungkin dapat dilaksanakan
secara individu. Bahkan, sebuah jama’ah diperlukan untuk menggabungkan semua
potensi dan kekuatan bagi memikul tanggungjawab tersebut. Oleh itu mad’u
dibimbing agar:
1) Memahami hahawa kewajipan membangunkan Islam
tidak dapat dilaksanakan secara fardhi (secara individu).
2) Memahami bahawa jama’ah adalah satu kemestian
demi untuk menyatupadukan segala usaha fardhi. Mad’u perlu memahami usaha
secara jama’i adalah (berorganisasi) berdasarkan kaedah Islam yang terkenal:
ما لا يتم الواجب الا به فهو واجب
Bahawa sesuatu yang wajib
tidak akan terlaksana melainkan terlebih dahulu melalui suatu jalan tertentu,
maka suatu jalan yang tertentu itu juga menjadi wajib.
Membangunkan daulah Islam adalah wajib. Daulah Islamiah tidak dapat
dibangunkan melainkan terlebih dahulu diwujudkan jama’ah Islam yang kuat, maka
mewujudkan jama’ah Islam yang kuat itu adalah wajib.
Bagaimana mungkin kerja Islam yang besar dapat dilakukan secara individu?
Bagaimana mungkin syariat Allah Subhanahuwata’ala akan terlaksana kalau tidak
dibangunkan satu ummah yang bersedia untuk melaksanakannya? Ini adalah
persoalan-persoalan pokok.
Banyak dalam kalangan orang Islam sudah tidak menyedari keperluan untuk
menggabungkan diri di dalam jama’ah Islam dalam rangka untuk menegakkan syariat
Allah Subhanahuwata’ala. Mereka telah ditipu oleh berbagai-bagai helah musuh
dan digoda dengan berbagai tarikan musuh.
Mereka takut untuk bergabung dengan jama’ah Islam kerana mereka
berpendapat itu adalah satu bebanan hidup.
Bagi jiwa yang sedar, penggabungan ke dalam jama’ah Islam adalah untuk
menyahut panggilan Allah
Subhanahuwata’ala, sebagai wasilah untuk memikul amanah Allah
Subhanahuwata’ala, sebagai tanda kesyukuran kepada Allah Subhanahuwata’ala dan
sebagai usaha untuk mendapatkan ganjaran yang hakiki daripada Allah
Subhanahuwata’ala.
3) Sedar bahawa kebanyakan orang Islam kini lebih
mengutamakan kesenangan, kerehatan dan keselesaan. Hati mereka tidak mahu bertembung dengan
musuh Allah Subhanahuwata’ala atau musuh Islam. Kebanyakan mereka tidak
sannggup berhadapan dengan gangguan-gangguan musuh.
4) Sedar bahawa kebanyakan orang Islam takut
digugat oleh musuh Islam jika mereka berada di dalam jama’ah Islam.
5) Sedar
betapa besarnya tugas dan tanggungjawab
yang mesti dipikul oleh setiap muslim terhadap Islam.
6) Sedar bahawa tugas dan tanggungjawab Islam
adalah terlalu besar dan tidak akan dapat dilaksanakan tanpa jama’ah.
7) Faham, sedar dan yakin betapa besar pula
pahala dan faedah yang akan diperolehi daripada usaha-usaha melaksanakan tugas
dan tanggungjawab Islam bersama-sama jama’ah.
Marhalah Ketujuh: Apakah Jama’ah Islam yang Sahih
Tahap ini memang rumit. Ia memerlukan hikmah,
kekuatan alasan dan penjelasan yang meyakinkan. Lebih-lebih lagi dalam keadaan terdapat
banyak jama’ah yang mengajak agar bergabung dengan mereka untuk mencapai apa
yang dikatakan ’matlamat Islam’. Pada tahap ini:
1) Mad’u mula bertanya tentang jama’ah Islam.
Marhalah ini penting dan cukup sensitif. Ia memerlukan hikmah
(kebijaksanaan). Penerangan mestilah
jitu dan memuaskan.
2) Mad’u akan nampak banyak jama’ah yang
bergerak. Masing-masing menyeru para pemuda-pemudi menyertainya. Masing-masing
ada cara tersendiri untuk menarik para pemuda-pemudi kepadanya.
3) Mad’u perlu
faham bahawa urusan amal Islami adalah urusan yang asasi. Dia mestilah
pandai membuat pilihan dan keputusan untuk memastikan keselamatan bagi hidupnya.
4) Dia tidak perlu tergesa-gesa untuk masuk dan
terus bekerjasama dengan mana-mana jama’ah dalam melaksanakan tugas dan
tanggungjawab Islam.
5) Dia mestilah sentiasa ingat bahawa dia hanya
mempunyai satu umur dan satu jiwa sahaja.
6) Dia perlu mengkaji dan menimbang
semasak-masaknya sehingga nyata jama’ah Islam yang hendak dimasukinya di
sepanjang hidupnya itu adalah jama’ah
Islam yang sebenar.
7) Dia hendaklah mengikuti jalan dan madrasah
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Madrasah Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam ialah madrasah yang mengasaskan akidah ke dalam jiwa
dan kemudiannya mendidik manusia dengan al-Qur’an. Dari madrasah ini terbentuklah
para penjuang akidah (dari kalangan para sahabat lelaki dan wanita).
8) Dia wajib berkeyakinan bahawa akidah Islam
menguasai perasaan, pemikiran dan jiwa para sahabat. Inilah asas kehidupan
mereka. Para sahabat sanggup mengorbankan waktu, usaha, kesihatan, fikiran,
harta, malah nyawa mereka untuk terus mempertahankan akidah Islam.
9) Dia wajib berkeyakinan bahawa para sahabat
tetap berpegang teguh dengan akidah
Islam dan rela menanggung segala gangguan dan penyiksaan. Mereka tidak pernah undur walau apapun yang akan
terjadi terhadap diri mereka.
10) Dia melihat bahawa para sahabat terus menyebarkan dakwah Islam,
mempertahankannya dan berjihad di
jalannya dengan harta dan jiwa mereka.
11) Dia berkeyakinan bahawa para sahabat telah
menjadi tiang dan teras yang kuat bagi Daulah Islamiah yang pertama.
12) Dia dapat merasai bahawa Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam telah berjaya mempersaudarakan para sahabat dan menyusun kehidupan mereka.
13) Dia melihat bahawa Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam telah mengikat janji setia dengan mereka untuk
sama-sama membela din dan segala apa yang menjadi hak mereka.
14) Dia faham dengan jelas bahawa kekuatan akidah
adalah kekuatan yang pertama, diikuti dengan kekuatan kesatuan dan akhirnya
kekuatan tangan/ senjata. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ
ظُلِمُوا ۚ وَإِنَّ
اللَّهَ عَلَىٰ نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ
Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang
yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya, dan sesungguhnya
Allah benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu. Al-Hajj: 39
15) Dia berkeyakinan bahawa telah berlaku proses
pembentukan asas yang kuat dalam kalangan para sahabat walaupun sedikit
bilangannya.
16) Dia semakin jelas dan yakin bahawa mana-mana
jama’ah yang tidak mengutamakan tarbiah dan penyatuan tetapi hanya
mempergunakan kekuatan yang lain (seperti jumlah dan laungan-laungan), adalah
jama’ah yang memperjudikan nasib dan usahanya. Keadaan jama’ah yang mengabaikan
tarbiah akan membahayakan amal Islami.
17) Dia berkeyakinan bahawa usaha-usaha dakwah
tanpa tarbiah yang betul akan menjadi satu kerugian terhadap amal Islami. Jama’ah-jama’ah yang bergerak melalui parti
politik, yang mengabaikan tarbiah, sebenarnya hanya merupakan satu pertaruhan,
malah merupakan satu kerugian terhadap amal Islami, walaupun mungkin ia
berkembang dan membesar. Usaha-usaha sebegini tidak mantap dan tidak berkesan
untuk mengasaskan Islam.
18) Dia berkeyakinan bahawa pembinaan Islam
mestilah didahului dari asas, bukan dari puncak. Bangunan yang besar dan tinggi
memerlukan asas yang dalam dan luas. Iman yang mendalam sahajalah yang mampu
menjadi asas bagi bangunan Islam yang besar dan tinggi.
19) Dia membuat keputusan bahawa jama’ah
pilihannya adalah jama’ah yang berpegang dengan Islam yang syumul (sempurna dan
menyeluruh). Islam yang meliputi akidah, ibadah, akhlak, undang-undang,
perlembagaan, siasah, jihad dan segala aspek kehidupan yang lain.
20) Dia membuat keputusan bahawa jama’ah
pilihannya ialah jama’ah yang alamiah, mempunyai banyak pengalaman dan mengalami
berbagai ujian. Itulah jama’ah yang dipercayainya. Jama’ah itu ialah jama’ah yang teratur rapi
(munazzamah) di dalam satu ikatan yang teguh dan perpaduan yang utuh. Segala
perancangannya penuh perincian. Bukan jama’ah seperti bidan terjun (irtijal) dan
terdedah kepada bibit-bibit perpecahan.
21) Seterusnya, jama’ah pilihannya itu
mengandungi:
a) iman yang mendalam
b) penyusunan yang rapi
c) jihad yang berterusan
Dan juga memiliki:
a) manhaj tarbiah Islamiah harakiah
b) qudwah hasanah
c) bi’ah salihah
Maka mad’u kita itu sudah bersedia untuk
dimasukkan ke dalam halaqah. Dia dimasukkan berdasarkan kepada kefahaman,
kesedaran, keyakinan dan penglibatannya yang terus menerus. Dia sudah bersedia untuk taat dan patuh
dengan ajaran Islam. Dia merupakan
kekuatan yang telah diproses dan diuji. Dia akan menyelesaikan masalah dan
bukan menimbulkan masalah.
Sifat-Sifat Da’i Demi Menjayakan Dakwah
Fardhiyah
1) Paling utama adalah ikhlas kepada Allah
subhanahuwata’ala. Tanpa keikhlasan ini segala amalan akan sia-sia.
2) Merasai bahawa tugas dakwah amat besar. Ia
memerlukan perhatian yang lebih dan sentiasa mengharapkan balasan daripada
Allah Subhanahuwata’ala.
3) Bersikap bijak, berhati-hati memilih teknik
pendekatan, memberi nasihat yang baik dan berbahas dengan cara yang ahsan
(cara yang terbaik).
4) Bersikap lembut, berakhlak mulia, bersabar,
dapat menahan diri dan tidak emosional terhadap segala kesulitan di jalan dakwah. Sentiasa menyerah diri kepada Allah
Subhanahuwata’ala. Menjadikan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan orang-orang
yang mengikuti baginda sebagai contoh ikutan.
5) Mengenali masyarakatnya secara menyeluruh.
Mengetahui segala permasalahan dan aliran yang ada dalam masyarakat. Berusaha
untuk memahami realiti orang yang didakwahkan.
6) Seorang da’i mesti memiliki pemahaman terhadap
din dengan mendalam. Sentiasa menimba ilmu agar pemberiannya kepada mad’u lebih
sempurna. Kata pepatah Arab (bermaksud):
”Orang yang tidak memiliki sesuatu tidak akan dapat memberikan sesuatu”.
7) Hendaklah mengkaji sirah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam
dan sahabat-sahabat baginda yang mulia. Juga mengkaji sejarah Islam secara
mendalam agar dapat dijadikan bekalan ketika berhadapan dengan permasalahan di
jalan dakwah.
8) Hendaklah menghafal al-quran sesuai dengan
kemampuannya agar dapat digunakan sebagai dasar-dasar dakwah. Kaedah dakwah dan
penceritaan berdasarkan al-quran mempunyai kesan yang kuat terhadap jiwa
manusia.
9) Dalam dakwah dan perbicaraan jangan hanya
bersifat rasional sahaja. Bahkan perlu mempunyai unsur-unsur emosi. Ini kerana
kekuatan sentuhan emosi sering dapat memberi kesan lebih mendalam kepada jiwa
manusia melebihi sentuhan akal.
Rujukan utama: Mustafa Masyhur, Dakwah
Fardhiyah.
No comments:
Post a Comment