Dakwah Islamiah
Dakwah Islamiah adalah dakwah yang suci bersih dari segala bentuk hawa
nafsu dan tujuan-tujuan kepentingan peribadi. Dakwah Islamiah menuruti
jalan-jalan yang telah digariskan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى
اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا
أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ
“Katakanlah: Inilah jalanku, aku dan pengikutku dengan penuh sedar mendakwahkan
kamu menuju kepada Allah, Maha Suci Allah, aku tidak termasuk ke dalam golongan
orang-orang yang musyrik”. Yusuf: 108
Demikianlah suatu penegasan yang pernah dinyatakan oleh Imam Hasan al-Banna
dalam Majmu’ah Rasail beliau.
Difahami dari ayat tersebut di atas bahawa pendakwah, sebelum mendakwahkan
orang lain hendaklah pendiriannya sendiri jelas dan tegas tentang apa yang akan
didakwahkannya. Dalam hal ini Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam
menjelaskan jalan tertegaknya dakwah adalah di atas jalan Allah Subhanahuwata’ala,
bukan di atas jalan musyrik. Tujuan dakwah pun jelas iaitu mengajak menusia agar
berada di atas jalan Allah Subhanahuwata’ala dengan mengambil ajaran Allah Subhanahuwata’ala
menjadi panduan hidupnya. Dengan ini jelaslah apakah pengertian dakwah Islamiah
dan hala tujunya.
Dakwah Islamiah ialah mengajak orang lain untuk meyakini dan mengamalkan akidah
dan syariat Islam yang terlebih dahulu telah diyakini dan diamalkan oleh pendakwah
itu sendiri. Tujuan dakwah ialah membentangkan jalan Allah Subhanahuwata’ala di
atas muka bumi ini agar dilalui oleh umat manusia.
Sehubungan dengan ini, Mustafa Masyhur di dalam bukunya, Tariq ad-Dakwah,
telah membuat penjelasan bahawa bahawa matlamat dakwah adalah mulia dan tinggi,
iaitu matlamat Allah Subhanahuwata’ala, beriman denganNya dan memperhambakan
diri kepadaNya dalam seluruh aktiviti hidup, mencari keredhaanNya dalam semua
amalan hidup dengan penuh keikhlasan serta yakin bahawa dengan berbuat demikian
barulah terjamin kebahagiaan hakiki dan kejayaan abadi. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
فَفِرُّوا إِلَى اللَّهِ ۖ إِنِّي
لَكُمْ مِنْهُ نَذِيرٌ مُبِينٌ
“Larilah (bersegeralah) kepada Allah, sesungguhnya aku adalah seorang
pemberi ingatan yang nyata dari Allah untuk kamu”. Az-Zariyat: 50
Keluasan dan Besarnya Peranan Dakwah
Menyentuh soal peranan dakwah itu sekali lagi kita lihat bahawa Mustafa
Masyhur membuat penjelasan bahawa peranan dakwah Islamiah adalah amat besar
iaitu agar Islam menguasai dunia dan menunjukkan manusia seluruhnya kepada Islam
yang meliputi semua aturan dan pengajarannya. Dunia tidak dapat mengecap
kebahagiaan hakiki melainkan dengan kembali kepada Islam.
Peranan dakwah bukan sekadar juziyyah yang terbatas kepada suatu
sudut bagi melaksanakan tujuan tertentu sahaja. Juga, bukan terbatas kepada
daerah, iklim, bangsa atau watan
tertentu sahaja. Bahkan peranannya adalah merangkumi semua bidang hidup
ini. Kebaikannya dirasai oleh semua makhluk, samada manusia mahu pun
makhluk-makhluk yang lain. Sebenarnya kedatangan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam
adalah pembawa rahmat untuk seluruh isi alam ini. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً
لِلْعَالَمِينَ
“Dan tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk membawa rahmat
kesekalian alam”. Al-Anbiya’: 107
Dengan ini difahami bahawa dakwah Islamiah itu bersifat syamil, tidak
terbatas kepada usaha-usahanya untuk memperbaiki sesuatu jurusan sahaja dalam
kehidupan ini tanpa memperbaiki bidang-bidang lain.
Berkaitan dengan ini, Imam Hasan al-Banna telah membuat penjelasan bahawa
satu sifat yang memberi pengertian yang menyeluruh kepada dakwah kita ialah: Islam.
Perkataan Islam itu mempunyai pengertian yang luas, tidak sesempit dengan
pengertian yang difahami oleh sesetengah masyarakat kini. Kita penuh yakin
bahawa Islam adalah suatu pengertian yang menyeluruh, menyusun semua bidang
hidup, memberi fatwa dalam semua kemusykilan dan meletakkan sistem yang konkrik
meliputi kehidupan duniawi dan ukhrawi.
Fahaman ini bukanlah dakwaan kosong atau sengaja diada-adakan supaya sesuai
dengan pendapat kita, tetapi inilah fahaman yang diambil dari Kitab Allah Subhanahuwata’ala
dan inilah fahaman umat Islam yang terawal dahulu.
Oleh kerana dakwah Islamiah itu sempurna, maka mereka yang menerima dakwah
ini tidak akan terbentuk hanya dengan satu aspek sahaja, tetapi akan terbentuk
satu kesempurnaan pada peribadi. Kesan dakwah yang diterima adalah suatu kesan
yang menyeluruh.
Hubungan Dakwah dengan Pembentukan Ummah
Mustafa Masyhur sekali lagi membuat penjelasannya bahawa peranan dakwah Islamiah
begitu besar. Tanggungjawab dakwah yang berat memberi kesedaran kepada kita
betapa pentingnya membuat persiapan menyediakan anggota-anggota Islam atau para
du’at yang betul-betul sanggup membawa amanah besar itu serta melaksanakannya
dengan sempurna.
Sebenarnya,
penyampaian dakwah Islam kepada segenap lapisan masyarakat, jika tidak diikuti
dengan pembentukan dan penyediaan kader-kader serta memperlengkapkan barisan
muslimin, maka segala tenaga yang dicurahkan dalam penyampaiannya mungkin
kehilangan tanpa mendatangkan natijah yang sebenarnya.
Sesungguhnya
kesedaran Islam yang timbul dalam kalanganorang ramai setelah menerima dakwah
itu tidak boleh dibiarkan menjadi lemah dan terus lenyap tetapi perlulah
dididik dan dibimbing jiwa mereka itu sehingga lahir kesanggupan mereka sendiri
untuk bekerja dan berjihad serta berkorban merubah dan memperbaiki hidup ini.
Medan pertama
untuk membentuk dan merubah itu ialah bermula dari dalaman jiwa terlebih
dahulu. Benarlah seperti Firman Allah Subhanahuwata’ala:
إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا
بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ ۗ
“Sesungguhnya
Allah tidak mengubah sesuatu kaum itu melainkan mereka mengubah apa yang
terdapat di dalam mereka”. Ar-Ra’d: 11
Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam
tidak memulakan dakwah baginda dengan merobohkan berhala yang terdapat di luar,
walaupun ini juga merupakan musuh. Ia bukanlah sasaran
pertama. Sasaran pertama baginda ialah berhala yang terdapat di dalam
jiwa mereka. Patung-patung tersebut ialah hawa nafsu dan gharizah yang
dipimpin oleh syaitan.
Dua berhala ini akan membawa manusia kepada melaksanakan ubudiyyah kepada
yang lain selain daripada Allah Subhanahuwata’ala.
Kebanyakan anggota masyarakat hari ini hidup dalam suasana dan persekitaran
yang jauh daripada hakikat Islam sebenarnya. Suatu masyarakat yang telah
dikuasai oleh tradisi dan adat resam
serta taqlid-taqlid yang berlawanan dengan Islam sehingga jiwa dan hidup
mereka bersebati (sedarah sedaging dengan adat-adat resam dan taklid-taklid
tersebut).
Oleh itu para pendakwah Islam hendaklah berusaha membersihkan jiwa
masyarakat daripada tradisi (adat resam dan taklid yang membawa kerosakan) dan
menghiaskan kembali dengan adab dan akhlaq Islam serta mencorakkan kehidupan
mereka dengan corak Islam.
Perubahan ini hendaklah bermula dari dalam jiwa dengan menanamkan aqidah
tauhid yang merasakan halwatul iman
(kemanisan atau kelazatan beriman), kemudian barulah akan terpancar dan lahir
corak keimanan itu dalam setiap gerak laku dan aktiviti hidup ini.
Alangkah indahnya seperti yang diibaratkan oleh Hasan al-Hudhaibi:
“Tegakkan pemerintahan Islam di dalam dada kamu dahulu, Insya Allah akan
tertegaklah pemerintahah Islam di tanah air kamu”.
Kita tidak menafikan bahawa bilangan umat Islam adalah ramai, tetapi yang
sangat dikehendaki ialah Muslimin yang bernilai dan bermutu yang mampu untuk
merubah dan memperbaiki keadaan dan suasana masyarakat yang telah rosak serta
membangunkan ummah Islam yang benar-benar berdasarkan iman.
Kita menghendaki muslimin yang mempunyai aqidah yang betul, ibadah yang
sempurna, akhlaq yang terpuji dan pemikiran yang berilmu, tubuh badan yang
gagah, mampu bekerja, memberi manfaat kepada orang lain, sentiasa berjihad,
sentiasa menjaga waktu dan teratur segala kehidupannya.
Untuk menyedia serta melahirkan anggota-anggota Islam yang bernilai dan
bermutu itu maka memerlukan jihad dan pengorbanan dengan penuh kesabaran.
Anggota-anggota Islam yang demikianlah yang akan membentuk keluarga-keluarga
Muslim yang terpuji dan merekalah yang akan bergerak dan bekerja membangunkan
mujtama’ (masyarakat) Muslim sehingga tersebar dan merata fikrah Islamiah dalam
kalanganmasyarakat, maka terbentuklah suatu tapak asas yang kukuh untuk
dibangunkan Ummah Islamiah.
Oleh itu kita tidak boleh memandang sepi terhadap usaha-usaha mengadakan usrah, katibah, ceramah, seminar,
sekolah, kelab, khemah-khemah kerja, bengkel, risalah, akhbar, majalah dan
sebagainya kerana semua itu merupakan jalan-jalan untuk menyediakan dan
membentuk angggota-anggota Islam serta mempertingkatkan mereka kepada tingkatan
bernilai hingga menjadi mukmin yang bertanggungjawab dan mukmin yang mujahid di
jalan Allah Subhanahuwata’ala.
Hendaklah kita sedar bahawa jalan-jalan yang umum di dalam dakwah Islamiah
ini tidak boleh lari daripada tiga perkara iaitu:
1. Keimanan yang mendalam
2. Penyusunan yang rapi
3. Jihad (kerja) yang berterusan
Dengan ini barulah kerja-kerja amal Islami berjalan dan bertambah
peningkatannya selangkah demi selangkah dan akan lahirlah individu Muslim,
keluarga Muslim dan masyarakat Muslim, barulah dikatakan ada persediaan atau
persiapan untuk membangunkan Hukumah (pemerintahan) Islamiah.
Sebenarnya kerja-kerja tersebut adalah mencontohi jalan-jalan yang pernah
dilalui oeh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Baginda tidak semata-mata berdakwah
dengan hanya semata memberi peringatan, bahkan baginda berusaha membina dan
membangunkan ummah. Pada mulanya baginda seorangan, kemudian baginda berjaya
membentuk jamaah para sahabat r.a. dan akhirnya baginda berjaya dengan izin
Allah Subhanahuwata’ala. membangunkan hukumah Islamiah yang menjalankan
syari’at Allah Subhanahuwata’ala sepenuhnya dalam semua urusan hidup mereka.
Jika dikaji hukumnya memang ternyata bahawa syari’at Islam mewajibkan kita
membina atau membangunkan Ummah Islamiah. Dalil dan bukti yang menandakan
kewajipan itu adalah banyak sekali dan tidak boleh disangkal lagi. Untuk
mendapat penjelasan yang lebih lanjut bolehlah kita lihat apa yang dijelaskan
oleh Dr. Abdul Karim Zaidan dalam bukunya Majmu’ah Buhuth Fiqhiyyah, yang
mana beliau telah membuat kupasan dengan panjang lebarnya mengenai kewajipan
membina daulah Islamiah.
Oleh kerana syari’at Islam itu memerintahkan agar dibangunkan daulah Islamiah
maka kita dapati dalam sirah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam baginda mula
membuat perancangan dan persediaannya semenjak baginda berada di Makkah lagi.
Kemudian dengan izin Allah Subhanahuwata’ala baginda berjaya membangunkan
Hukumah Islamiah itu di Madinah al-Munawwarah selepas baginda dan para sahabat
baginda teruji dengan berlakunya peristiwa itu.
Oleh yang demikian maka kita sebagai umat Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam,
sudah semestinya mencontohi kerja-kerja yang telah dilakukan oleh baginda dalam
usaha-usaha dakwah dan pembentukan ummah Islamiah. Firman Allah Subhanahuwata’ala
yang bermaksud:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ
اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ
وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
“Sesungguhnya
pada Rasulullah itu adalah contoh ikutan yang baik bagi kamu ititu bagi sesiap
yang menharapkan ganjaran Allah dan balasan baik di hari qiyamah serta sentiasa
mengingati Allah”. A-Ahzab: 21
No comments:
Post a Comment