Sunday, December 04, 2016

4 Pengenalan dan kewajipan dakwah








Persediaan Asas Manusia

Setiap manusia sama ada muslim atau bukan muslim, lelaki atau perempuan telah disediakan oleh Allah Subhanahuwata’ala dalam dirinya dua persediaan asas. Persediaan tersebut ialah:

1)      Persediaan untuk membuat kebaikan (taqwa)
2)      Persediaan untuk membuat kejahatan (fujur)

Firman  Allah Subhanahuwata’ala:

فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا
“Maka (Allah Subhanahuwata’ala) mengilhamkan kepadanya (jiwa) jalan fujur dan jalan taqwa”. Asy-Syams: 8


Persediaan fujur membawa kepada kejahatan, kemungkaran, kemaksiatan dan sebagainya manakala persediaan taqwa pula membawa kepada kema’arufan dan kehidupan yang mendapat keredhaan Allah Subhanahuwata’ala.

Manusia hendaklah bijak membuat pilihan di antara dua persediaan ini. Apa yang  Allah Subhanahuwata’ala kehendaki ialah supaya manusia memilih jalan yang memberikan keuntungan kepadanya dan menjauhi jalan yang merugikan.

Firman  Allah Subhanahuwata’ala:

وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا
“Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya dan sesungguhnya rugilah orang-orang yang mengotorinya”. Asy-Syams: 9-10


Mampukah Manusia Membuat Pilihan Sendiri

Manusia pada hakikatnya tidak boleh dibiarkan membuat pilihan sendiri tanpa dipimpin atau diterangkan perkara yang baik (ma’aruf) dan perkara yang buruk. Manusia, jika dibiarkan tanpa dibimbing, nescaya akan mudah terjerumus kepada kemungkaran yang akan membawa kemurkaan Allah Subhanahuwata’ala. Ini kerana:

Jiwa manusia lebih tertarik kepada kejahatan. Firman  Allah Subhanahuwata’ala:

وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي ۚإِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي ۚإِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. Yusuf: 53


Syaitan sentiasa menarik anak cucu Adam ke arah menderhakai  Allah Subhanahuwata’ala.

Manusia sememangnya tidak mampu melepaskan diri dari pujuk rayu syaitan (dan juga godaan hawa nafsu) kalau sekiranya tidak dipimpin oleh  Allah Subhanahuwata’ala. Ini adalah sunnatullah yang berjalan sejak manusia diciptakan. Manusia memerlukan hidayah (petunjuk) dan pimpinan dari  Allah Subhanahuwata’ala untuk menuju ke arah kema’arufan, Sebagaimana Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sendiri dipimpin oleh Allah Subhanahuwata’ala. Firman  Allah Subhanahuwata’ala:

وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَىٰ
“Dan Dia mendapati kamu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberi petunjuk”. Ad-Dhuha: 7


Kerana itulah juga maka kita diajar berdoa di dalam surah Al-Fatihah supaya dipimpin ke jalan yang betul dan diredhai Allah Subhanahuwata’ala, iaitu jalan hidup para anbiya’, mursalin, syuhada’, salihin dan bukan jalan orang-orang yang mendapat kemurkaan  Allah Subhanahuwata’ala atau jalan orang-orang yang sesat.

Oleh kerana sukarnya manusia menjadi baik secara usaha sendiri, maka manusia memerlukan pimpinan Allah Subhanahuwata’ala. Allah Subhanahuwata’ala tidak membiarkan hamba-hambaNya untuk mendapat hidayah dengan susah payah. Allah Subhanahuwata’ala memilih dari antara hamba-hambaNya para rasul (anbiya’) dan diberinya mereka ilmu pengetahuan serta diperintahkan mereka untuk menyampaikan risalahNya kepada manusia.

Para rasul yang bertugas membawa risalah Allah Subhanahuwata’ala dengan pimpinan wahyu menerangkan dua perkara asas, iaitu basyir (khabar baik) iaitu berita mengenai jalan-jalan menuju ke syurga, dan, nazir (peringatan) iaitu berita mengenai balasan siksaan dan ancaman kepada golongan yang ingkar.

Firman  Allah Subhanahuwata’ala:


يَآ أَيُّهَا النَّبِيُّ اِنَّآ أَرْسَلْنَاكَ شَاهِداً وَمُبَشّـِراً وَنَذِيراً
وَدَاعِياً اِلَي اللَّهِ بِاِذْنِهِ وَسِرَاجاً مُّنِيراً

“Wahai nabi, Kami mengutuskan kamu sebagai saksi atas umat dan memberi khabar gembira (basyir) dan khabar takut (nazir) serta untuk mengajak manusia kepada agama  Allah dengan izin-Nya serta menjadi pelita yang menerangi.” Al-Ahzab: 45-46
                                                                                                                

Tugas rasul ialah mengajak manusia ke arah  ma’aruf dan menjauhkan manusia dari kemungkaran. Inilah yang dinamakan dakwah. Tugas dakwah ini dijalankan dengan bersungguh-sungguh oleh para rasul. Tugas ini dilaksanakan bersilih ganti dari satu rasul ke satu rasul hinggalah rasul yang terakhir iaitu Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Apa yang wajib bagi manusia sekarang ialah mengenali rasul-rasul  Allah yang benar. Manusia hendaklah mengenali Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, beriman kepadanya, mendengarkan perkataannya, taatkan kepada perintahnya, tunduk kepada arahannya dan mengambilnya sebagai contoh tauladan dalam segala urusan kehidupan mereka.


Pentingnya Dakwah

Berdasarkan ayat-ayat yang memerintahkan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berdakwah, kita dapati perintah itu turut ditujukan kepada seluruh umat Islam. Walaupun perintah itu dikhususkan kepada  Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam tetapi umumnya adalah untuk seluruh umat.

Firman  Allah Subhanahuwata’ala:


وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚ
“Apa yang diberikan oleh Rasul kepadamu maka terimalah ia dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggallah ia.”  Al-Hasyr: 7
                                                                                                                       

Kerana itu kaum muslimin dituntut (diwajibkan) oleh  Allah Subhanahuwata’ala meneruskan dakwah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam untuk seluruh penghuni dunia ini. Yakni membimbing manusia ke arah petunjuk dan mengeluarkan mereka dari kegelapan jahiliyah. Firman  Allah Subhanahuwata’ala:


الر ۚ كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَىٰ صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ

“Alif, Lam, Ra. Inilah kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang benderang dengan izin Rab mereka, iaitu ke jalan Allah yang Maha Perkasa lagi  Maha Terpuji”. Ibrahim: 1
                                                                                                                         

Kewajipan ini adalah (pada hakikatnya) menjadi kewajipan atas setiap peribadi umat, seperti mana Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

من رأى منكم منكراً فليغيره بيده، فإن لم يستطع فبلسانه، فإن لم يستطع فبقلبه، وذلك أضعف الإيمان". (رواه مسلم)
“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah ia mengubah dengan tangannya, jika ia tidak mampu maka hendaklah ia mengubah dengan lidahnya, jika ia tidak mampu hendaklah ia mengubah dengan hatinya, maka yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” Riwayat Muslim


Berdasarkan hadis di atas, Ibnu Kathir ada menyatakan bahawa mesti terdapat dalam kalangan umat ini satu kumpulan yang berdakwah, di samping itu wajib pula setiap individu muslim berdakwah. Ummah itu wajib diwujudkan secara rasmi di samping orang-orang Islam menjalankan dakwah mengikut kemampuan masing-masing.

Ibn Kathir menguatkan pendapatnya lagi dengan mengatakan bahawa maksud “minkum” (dalam kalangan kamu) bukan membawa makna "sebahagian"  tetapi ia bermaksud penerangan (tabyin) iaitu jenis kamu dari orang-orang yang mu’min dan muslim.

Menyedari akan kewajipan berdakwah, maka kita sangat perlu membentuk semula jama’ah Islam yang berusaha meletakkan semula Islam pada tempatnya yang sebenar. Kita juga mesti kembali kepada usaha-usaha pembentukan individu-individu muslim. Pembentukan ini akan menjadikan setiap diri muslim sebagai contoh yang melambangkan Islam. Apabila orang lain melihatnya maka akan nampak Islam. Oleh itu orang-orang Islam mestilah dikembalikan harga diri atau jatidiri sebagai muslim yang sebenar.


Jika Dakwah Ditinggalkan

Apa yang perlu disedari, jika Islam tidak diperkembangkan dan dakwah tidak dijalankan, maka secara tabi’inya, ajaran-ajaran lain akan berkembang mengatasi deen Allah Subhanahuwata’ala.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah menjawab apabila ditanya oleh sahabat baginda bahawa (yang bermaksud): “Adakah dapat dikenali ahli syurga dan ahli neraka?” 

Jawab Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam: ”Ya, tiap-tiap  orang melakukan mengikut apa yang dibentuk dan jalan yang dipermudahkan kepadanya”.

Maka, sebab itulah dakwah adalah wajib. Wajib kita membentuk ummah yang berdakwah dan membuka jalan  Islam kepada manusia serta menutup jalan-jalan lain yang merosakkan manusia.


Penutup

Oleh kerana kita sayangkan diri kita dan masyarakat, maka kita perlulah berusaha bersungguh-sungguh ke arah mewujudkan satu jamaah Islam di tengah-tengah masyarakat. Seluruh tenaga kita hendaklah ditumpukan ke arah tersebut. Juga tenaga kita hendaklah digunakan untuk memberi fahaman Islam kepada masyarakat. Jalan dakwah yang sangat penting ialah membentuk kefahaman kepada diri, keluarga dan masyarakat kita. 

No comments:

Post a Comment