Saturday, December 10, 2016

10 Konsep-konsep penting dalam dakwah Islamiah







Di pelbagai tempat umat Islam terlibat dengan kegiatan dakwah. Persoalannya, apakah hasil daripada kegiatan dakwah itu dapat melahirkan keperibadian muslim yang tulin. Terdapat juga pihak yang menjalankan kegiatan dakwah mengikut musim, sedangkan dakwah dalam Islam merangkumi semua aspek kehidupan dan tidak akan habis dilaksanakan dalam musim-musim tertentu sahaja.

Terdapat empat asas dakwah:

1. Maudhu’ ad-Dakwah

Iaitu tajuk dakwah. Tajuk dakwah mestilah menjurus kepada matla­matnya iaitu untuk melahirkan manusia yang memperabdikan diri atau manusia yang sentiasa beribadah kepada kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam semua lapangan hidup, sebagaimana firman Allah Subhanahuwata’ala.


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
“Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka memperabdikan diri kepada-Ku”. Az-Dzariyat:56


Oleh itu tajuk kita ialah Islam. Pastikan kita berdakwah kepada Islam. Islam sebagai cara hidup yang merangkumi seluruh aspek kehidupan. Tidak ada satu cabang hidup pun yang tidak melibatkan Islam.

Islam diturunkan Allah Subhanahuwata’ala untuk dihayati. Sahabat-sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam mendekati Islam bukan bertujuan untuk mendapat­kan ilmu semata-mata dan bukan juga bertujuan untuk menyelesaikan satu dua masalah yang berlaku ke atas diri mereka. Mereka memaha­mi Islam dan menerimanya sebagai amalan mereka keseluruhannya. Islam dijadikan pembentuk peribadi hingga bersih daripada seba­rang saki baki jahiliah. Mereka menerima Allah Subhanahuwata’ala sebagai Rab dan Ilah serta membentuk diri menjadi hamba yang taat dan patuh kepada-Nya.

Dakwah yang dikemukakan perlulah sesuai dengan tahap penerimaan orang yang didakwahkan. Maudhu’ dakwah mestilah bersumberkan sum­ber-sumber yang muktabar iaitu al-quran, sunnah dan sumber ulama-ulama muktabar.


2. Ad-Da’i

Iaitu pendakwah. Siapakah pendakwah? Apakah mereka yang berke­lulusan akademik dalam bidang agama atau hafiz dalam al-quran dan hadis sahaja berhak menjadi pendakwah?

Allah Subhanahuwata’ala berfirman:


وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Hendaklah ada daripada kamu satu ummah yang menyeru kapada kebaikan, menyuruh kepada ma’aruf dan melarang daripada mungkar. Mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan”. Ali Imran: 104


Khutbah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam Haji Wida’ di hadapan 20 ribu orang Islam ada menyatakan (yang bermaksud):


“Sampaikan daripada risalah aku walaupun satu ayat”.


Oleh itu dapatlah difahami bahawa berdakwah untuk kebajikan, menyuruh kepada berbuat ma’aruf dan melarang daripada mungkar wajib bagi umat Islam. Bagi mereka yang tidak mampu, hendaklah meningkatkan kemampuan mereka agar dapat melaksanakan tugas ini. Dengan melakukan tugas ini, di samping beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala maka umat Islam akan menjadi umat terbaik, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah Subhanahuwata’ala:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ
“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dibangkitkan bagi manusia, kamu menyuruh mengerjakan ma’aruf kebajikan dan melarang daripada mungkar dan kamu beriman kepada Allah”. Ali Imran: 110


Untuk menjadi pendakwah yang berjaya (InsyaAllah), maka pendakwah perlu:

a. Meningkatkan ilmu dan kefahaman
b. Meningkatan keimanan
c. Meningkatkan akhlak atau sakhsiyah
d. Berkerja terus menerus


3. Al-Mad’u

Iaitu siapa yang hendak didakwahkan. Al Mad’u  terdiri daripada berbagai-bagai jenis manusia. Sama ada muslim, kafir, munafiq atau ‘asi. Sama ada manusia biasa atau Al Malak. Sama ada golongan yang menggubal polisi atau golongan pelaksana polisi. Sama ada golongan penyokong Islam, musuh atau golongan `atas pagar’. Semua yang dinyatakan itu adalah penerima dakwah. Masing-masing memerlukan pendekatan dakwah yang tersendiri dan sesuai. Pendekatan yang sesuai adalah sama penting isi dakwah. Keutamaan dakwah diberikan kepada mereka yang ikhlas dan berhajatkan Islam.


4. Cara-Cara dan Jalan-Jalan Dakwah

Secara umum, cara atau jalan dakwah mestilah bersih demi mencapai matlamat yang bersih. Justeru itu setiap jalan yang harus dari segi syarak boleh digunakan untuk berdakwah.

Tidak sepatutnya dakwah dikemukakan dengan melayani hawa nafsu seperti berdakwah secara tidak langsung dengan mengadakan majlis tidak syar’i untuk mengumpulkan orang ramai, kemudian disampai­kan dakwah. Atau dakwah  disampaikan melalui lagu-lagu dan seba­gainya. Natijah Islam yang bersih tidak akan diperolehi melalui jalan yang sedemikian. Al Mad’u tidak akan menerima Islam sebe­nar.

Jalan dakwah mestilah bercontohkan jalan dakwah Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam. Jalan dakwah baginda Sallallahu’alaihiwasallam kaya dengan pelbagai jalan dan cara. Jalan ‘direct’ atau ‘indirect’, cara tegas atau lembut terdapat dalam dakwah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.


Perbincangan Lanjut Mengenai Maudhu’ud Dakwah

Sepertimana yang telah dinyatakan bahawa tajuk dakwah ialah Islam. Islam itu luas. Maudhu’ apakah yang hendaklah didahulukan? Rasulullah telah menjelaskan dalam sebuah hadisnya yang panjang (sebahagian darinya):

“Islam itu ialah engkau bersyahadah bahawa tiada Ilah kecuali Allah dan bahawasanya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Engkau mendirikan solah, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji jika engkau mampu.” Kata lelaki itu, “benar­lah engkau”.

Daripada sabda Rasulullah tentang pengertian Islam, maka yang terpenting dan utama ialah syahadah.

Dakwah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bermula dengan kalimah syahadah. Kita perlu faham pengertian syahadah. Amatlah berbeza orang-orang Islam kini menerima syahadah dengan sahabat-sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menerimanya. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam selama 13 tahun menumpukan perhatian menanam hakikat syahadah dalam jiwa para sahabat. Mereka menerima syahadah dengan kefahaman dan diterjemahkan dalam penghayatan hidup setiap hari.

Umat Islam kini, kita dapati syahadah mereka tidak meninggalkan kesan yang mendalam dalam peribadi dan kehidupan pelbagai aspek. Hinggakan orang kafir menganggap orang-orang Islam sama sahaja dengan mereka. Syahadah tidak berfungsi kerana ajaran-ajaran  Allah Subhanahuwata’ala tidak diamalkan.

Syahadah tidak melahirkan natijah kerja-kerja mengajak kepada ma’aruf, sekali gus mencegah kemungka­ran. Atau mungkin lahir kerja-kerja ma’aruf tetapi tidak pula mencegah kemungkaran. Mungkin juga amalan-amalan tertentu seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji serta beberapa amalan wajib atau sunat yang lain dilakukan oleh umat Islam, tetapi keperiba­dian mereka tetap tidak berbeza dengan orang yang tidak sembah­yang, tidak beriman dan tidak Islam. Syahadah itu tidak mendalam kesannya dalam kehidupan.


Contoh Sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang Menerima Syahadah

As Siak bin Qais seorang penulis Arab, telah mengkaji latar belakang dan perjuangan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Dia bersimpati, kemudian datang ke Makkah dengan kesedaran untuk menerima syahadah.

Sesam­painya di Makkah, dia dihalang oleh Abu Jahal sebagai penghalang dakwah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Berbagai-bagai cara dilakukannya untuk meng­halang As Siak seperti mengatakan bahawa amalan-amalan kebiasaan jahiliah tidak boleh dilakukan apabila menerima syahadah, misal­nya zina dan meminum arak.

As Siak yang belum lagi meninggalkan kebiasaan meminum arak lantas pulang ke tempatnya untuk member­sihkan diri. Dia berusaha menghilangkan ketagihan arak. Pada penghujung tahun dia kembali lagi ke Makkah untuk menerima syaha­dah.

Sayangnya, dia tidak sempat berbuat demikian kerana mening­gal dunia dalam perjalanan. InsyaAllah, rohnya tetap diterima Allah Subhanahuwata’ala. Begitulah keadaan sahabat-sahabat dahulu menerima kalimah syahadah.


Mempersaksikan Syahadah Dalam Peribadi

Tugas kita ialah untuk mempersaksikan Islam dan keperibadian Islam hasil daripada syahadah yang diakui. Kita menyeru dan beramal dengan seruan tersebut. Jika tidak, syahadah yang dilafazkan itu tidak berfungsi dalam kehidupan.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:


وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا ۗ 
“Dan demikian Kami jadikan kamu umat yang adil dan pilihan, agar kamu menjadi saksi kepada manusia dan Rasul menjadi saksi kepada kamu”. Al Baqarah: 143


Penutup

Di dalam usaha dakwah akan terdapat golongan yang menentang. Janganlah kita gentar walaupun kumpulan kita kecil. Kumpulan yang ramai pada hari ini telah digambarkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam hanya seperti buih di permukaan air. Oleh itu walaupun kita sedikit, tetapi biarlah sedikit yang bermutu, membawa wajah Islam hakiki dan benar-benar bermanfaat untuk Islam. Memang menjadi kebiasaan para rasul bahawa pengikut mereka adalah sedikit khu­susnya di peringkat awal gerakan dakwah.

Apabila kita menerima tentangan atau dugaan, maka kita hendaklah bersabar. Janganlah lemah. Ujian Allah Subhanahuwata’ala itu untuk memilih siapakah antara hamba-hambaNya yang benar-benar beriman.

Kita tidak ada masa yang banyak untuk melengahkan dakwah dan jihad. Berdakwah bukanlah pekerjaan sambilan atau sukarela. Ia tugas utama. Ia tugas rasmi. Ia tugas mustahak. Ia menyibukkan kita lebih daripada yang lain. Ia urusan Allah Subhanahuwata’ala yang wajib dilaksanakan oleh setiap individu kita.

No comments:

Post a Comment