Showing posts with label Tabiat Perubahan. Show all posts
Showing posts with label Tabiat Perubahan. Show all posts

Monday, March 16, 2026

Lima kunci kejayaan


Imej “Kunci Kejayaan” menggambarkan bahawa kejayaan bukanlah sesuatu yang datang secara kebetulan, sebaliknya ia terhasil daripada usaha membangunkan beberapa ciri penting dalam diri seseorang. Bagi golongan muda yang sedang bekerja di sektor awam, sektor swasta atau sebagai usahawan di Malaysia, pembangunan diri secara menyeluruh amat penting untuk melahirkan individu yang cemerlang, berintegriti dan mampu menyumbang kepada kemajuan negara.




Antara kunci utama kejayaan ialah penguasaan teori atau ilmu pengetahuan. Ilmu menjadi asas kepada segala tindakan dan keputusan yang diambil dalam kehidupan dan pekerjaan. Dalam Islam, kepentingan ilmu sangat ditekankan sebagaimana firman Allah SWT:

"Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat." (Al-Quran, Surah Al-Mujadalah 58:11)

Ayat ini menjelaskan bahawa ilmu bukan sahaja meningkatkan kedudukan seseorang di sisi manusia, malah juga di sisi Allah SWT. Dalam dunia pekerjaan, ilmu teori membantu seseorang memahami dasar, konsep dan kaedah dalam bidang yang diceburi, sekali gus menjadikan seseorang lebih kompeten dan profesional.

Selain itu, penguasaan teknologi juga menjadi faktor penting dalam mencapai kejayaan. Malaysia kini sedang bergerak ke arah ekonomi digital dan masyarakat berteknologi tinggi. Oleh itu, golongan muda perlu meningkatkan kemahiran dalam penggunaan teknologi seperti aplikasi digital, komunikasi dalam talian dan analisis data. Penguasaan teknologi membantu pekerja dan usahawan menjadi lebih cekap, kreatif serta mampu bersaing dalam pasaran yang semakin mencabar.

Seterusnya ialah kemahiran mengurus. Keupayaan mengurus masa, sumber dan tanggungjawab dengan baik merupakan ciri penting bagi pekerja yang cemerlang. Dalam Islam, kepentingan melakukan kerja dengan penuh tanggungjawab dan bersungguh-sungguh turut ditekankan. Allah SWT berfirman:

"Dan katakanlah: Beramallah kamu, maka Allah akan melihat amalan kamu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman." (Al-Quran, Surah At-Taubah 9:105)

Ayat ini mengingatkan bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan akan dinilai, maka seseorang perlu melaksanakannya dengan penuh amanah dan kesungguhan.

Di samping itu, nilai hidup yang baik seperti integriti, amanah, disiplin dan tanggungjawab sangat penting dalam membina peribadi yang unggul. Dalam konteks Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk, nilai hidup yang positif juga membantu mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain.

Akhir sekali, daya fikir yang kritis dan kreatif perlu dipupuk dalam kalangan golongan muda. Individu yang mempunyai daya fikir yang tinggi mampu menganalisis masalah, mencipta idea baharu dan menghasilkan penyelesaian yang inovatif. Ciri ini sangat penting dalam dunia pekerjaan moden yang memerlukan kebolehan menyesuaikan diri dengan perubahan yang pantas.

Kesimpulannya, kejayaan dalam kehidupan dan kerjaya tidak datang secara mudah. Ia memerlukan usaha membangunkan ilmu teori, penguasaan teknologi, kemahiran mengurus, nilai hidup yang mulia serta daya fikir yang tajam. Jika golongan muda di Malaysia mampu menggabungkan kelima-lima kunci ini dalam kehidupan mereka, maka mereka bukan sahaja berpotensi mencapai kejayaan peribadi, malah turut menjadi aset penting dalam pembangunan negara dan masyarakat.

Thursday, November 27, 2025

Bebas untuk memiliki perasaan cinta atau benci


Sebagai pemimpin sama ada ketua jabatan, pengarah korporat atau pemimpin negara, kita sering dihadapkan dengan gelombang emosi yang kompleks. Cinta terhadap visi, pasukan atau negara dan kebencian terhadap halangan, persaingan tidak sihat atau ketidakadilan. Namun, kepimpinan sejati bukan terletak pada menafikan emosi ini tetapi pada kemampuan untuk mengawal dan mengarahkannya atas dasar prinsip dan integriti.

Artikel ini memberikan panduan mendalam tentang seni mengurus batasan emosi khususnya perasaan cinta dan benci dalam kerangka etika dan spiritual yang kukuh. Dalam era polarisasi dan reaksi impulsif, kebijaksanaan ini menjadi semakin relevan untuk membina kepimpinan yang bukan hanya berkesan malah bermaruah dan berperikemanusiaan.

Menegakkan Batasan Emosi

Kepimpinan berkesan bermula dengan penguasaan diri. Emosi cinta dan benci adalah bahan bakar yang boleh mendorong perubahan, tetapi tanpa batasan, ia menjadi api yang membakar. Konsep impulsiviti amat berbahaya bagi seorang pemimpin. Tindakan berdasarkan gerak hati emosi yang tidak terkawal akan mengaburi pertimbangan, merosakkan hubungan dan akhirnya menjatuhkan kredibiliti. Pemimpin hebat menetapkan batasan jelas untuk emosinya, memastikan setiap keputusan dilandasi oleh pertimbangan rasional dan prinsip, bukan semata-mata desakan hati.

Memisahkan Emosi dari Keadilan

Ujian sebenar seorang pemimpin adalah ketika dia mampu berlaku adil walaupun terhadap apa yang dibencinya. Seperti yang ditekankan dalam ajaran agama, kebencian terhadap sesuatu kelompok tidak boleh sekali-kali membawa kepada kezaliman atau ketidakadilan. Dalam konteks kepimpinan, ini bermakna kita tidak boleh membiarkan rasa tidak suka peribadi terhadap seorang ahli pasukan, pesaing atau kumpulan tertentu mempengaruhi penilaian prestasi, pemberian peluang, atau penguatkuasaan peraturan. Keadilan mesti ditegakkan atas dasar fakta dan prinsip, bukan sentimen peribadi.

Kebencian Tidak Pernah Membenarkan Kemudaratan

Prinsip etika tertinggi bagi seorang pemimpin adalah "Kebencian tidak membenarkan kemudaratan". Walaupun kita mempunyai perasaan negatif terhadap seseorang, itu tidak memberi kita hak untuk menindas, meminggirkan atau mendatangkan bahaya kepada mereka. Kepimpinan sejati bersifat memelihara bukan memusnahkan. Ini melindungi maruah manusia dan memastikan kuasa yang diamanahkan tidak disalahgunakan untuk kepuasan peribadi atau balas dendam.

Kawalan Emosi sebagai Teras Kepimpinan

Kemampuan untuk mengawal eskalasi emosi adalah penanda aras kematangan seorang pemimpin. Amaran terhadap perasaan benci yang memuncak menjadi tindakan tidak adil adalah satu panggilan untuk berhenti merenung dan bermuhasabah. Kawalan emosi bukanlah penindasan tetapi pengurusan bijak. Ia adalah proses sedar untuk tidak membiarkan kemarahan atau kekecewaan mengatasi komitmen kita terhadap keharmonian pasukan dan keadilan organisasi.

Menyelaraskan Emosi Semula Jadi dengan Kebijaksanaan

Akhirnya, pemimpin yang hebat tidak menjadi robot yang tanpa emosi. Sebaliknya, mereka menerima cinta dan benci sebagai lumrah insani lalu memilih untuk mengurusnya dengan kebijaksanaan dan prinsip. Pendekatan seimbang inilah yang memupuk kesihatan emosi, membina integriti peribadi dan sekaligus memajukan keadilan sosial dalam lingkupan pengaruhnya.

Kesimpulan

Kepimpinan yang berjaya dan dihormati tidak diukur oleh betapa hebatnya seseorang itu disayangi atau ditakuti tetapi oleh konsistensinya menegakkan keadilan dalam keadaan apa sekalipun. Cabaran terbesar bagi setiap pemimpin adalah memerintah hatinya sendiri sebelum memerintah orang lain. Dengan menjadikan prinsip sebagai panduan dan keadilan sebagai matlamat, seorang pemimpin akan mampu mengubah tenaga emosi sama ada cinta atau benci dan menjadi kekuatan untuk membina, bukannya merosakkan.

Oleh itu, kepada semua pemimpin, ingatlah orang boleh mempersoalkan perasaan anda tetapi mereka tidak boleh mempersoalkan integriti anda jika anda konsisten berprinsip dan berlaku adil kepada semua. Itulah legasi kepimpinan sejati yang akan dikenang sepanjang zaman.

Wednesday, May 14, 2025

Kenapa malas hendak beubah?


Ada orang yang rajin, ada orang yang malas dan kedua-duanya adalah lumrah hidup setiap orang. Kalau tidak ada turun naik dalam kedua-dua sifat ini, kita tidak tahu kelebihan dan kekurangan diri kita sendiri.

Ciri-ciri rajin dan malas sangat ketara, jauh perbezaannya. Kita boleh nampak sifat orang yang rajin, sama juga kita boleh nampak sifat orang yang malas. Kedua-dua sifat ini sangat jelas di hadapan kita, tidak kiralah sama ada orang itu di hadapan kita ataupun di belakang kita.

Akhirnya kita boleh simpulkan “Orang yang rajin tunjukkan hasil, orang yang malas berikan alasan”. Jadi, hendak bezakan antara rajin dan malas adalah dengan mengenal pasti hasil akhir yang dilihat sama ada hasil ataupun alasan.

Hasil ini boleh dilihat apabila ada objektif ataupun matlamat yang hendak dicapai, tidak kiralah satu ataupun 10 matlamat. Tidak kira jugalah sama ada matlamat ini mudah atau pun susah. Memberi tumpuan kepada pencapaian objektif ataupun matlamat adalah lebih mudah, boleh diukur dan menggerakkan seluruh pemikiran dan tindakan kita untuk menuju ke arah merealisasikan sifat rajin. Kesedaran seperti ini melenyapkan sama sekali rantai-rantai kemalasan yang melekat pada fikiran kita.

Jadi, rajin ini ada hubungan rapat dengan fokus dan matlamat yang hendak dicapai. Kita boleh bergerak dan membuat transformasi apabila terdapat sokongan untuk membentuk matlamat. Ia boleh dibuat kepada diri sendiri, rakan-rakan, pelajar ataupun keluarga sendiri.

Pelbagai jenis sokongan yang boleh diberi seperti kata-kata yang baik, nasihat, tunjuk ajar, ajak berbincang, memberi bimbingan ataupun menunjukkan contoh.

Dalam hal ini, banyak teladan yang kita boleh lihat. Katakan kita ambil contoh yang terbaik sepanjang masa iaitu Nabi Muhammad SAW yang telah membuat perubahan kepada sahabat-sahabatnya untuk memiliki sebuah kehidupan yang sangat bermakna.

Kenapa Nabi Muhammad SAW menjadi contoh perubahan yang terbaik? Kerana kita telah lihat hasilnya iaitu dalam kalangan sahabat-sahabat ada yang yang berubah 100 peratus dari segi watak dan pemikiran mereka.

Watak yang paling menarik pada saya ialah perubahan pada Umar Al-Khattab iaitu seorang yang beripadi keras kepala, berjiwa protes dan boleh membuat keputusan yang ekstrem.

Soalan di sini adalah bagaimana Umar boleh berubah?

Begini kisahnya.

Di tengah debu dan angin padang pasir, seorang lelaki gagah berjalan pantas, matanya menyala dengan kemarahan. Tangannya menggenggam pedang. Umar al-Khattab, nama yang ditakuti Quraisy. Tegas, lantang dan tiada kompromi bagi sesiapa yang menentang agama nenek moyang.

“Hari ini, aku akan tamatkan ajaran Muhammad!” tekadnya bergema dalam hati. Setiap langkah menuju ke arah rumah Nabi Muhammad SAW sarat dengan niat membunuh.

Namun, takdir Allah mendahului manusia.

Di pertengahan jalan, Umar terserempak dengan seorang lelaki Quraisy. Lelaki itu terkejut melihat wajah Umar yang merah menyala. Dengan cemas dia bertanya, “Wahai Umar, ke mana kau menuju dengan pedangmu yang terhunus?”

Dengan dada yang membuak kemarahan, Umar menjawab, “Aku mahu membunuh Muhammad! Dia telah memecah-belahkan Quraisy, mencaci tuhan kita, dan menyesatkan anak-anak muda!”

Lelaki itu menelan liur. Tapi dengan keberanian, dia berkata, “Wahai Umar… Sebelum kau pergi ke Muhammad, tidakkah kau tahu… adikmu Fatimah dan suaminya juga telah memeluk Islam?”

Petir seakan menyambar dada Umar. Wajahnya bertukar, bibirnya mengetap geram. Tanpa banyak bicara, dia membelok arah. Langkahnya laju menuju ke rumah adiknya sendiri.

Di sebuah sudut rumah, Fatimah binti al-Khattab dan suaminya, Said bin Zaid sedang belajar membaca al-Quran bersama seorang sahabat, Khabab bin al-Aratt. Suasana tenang, cahaya iman menyinari wajah mereka.

Tiba-tiba—DUMM!

Pintu diketuk kuat. Langkah deras, suara kasar bergema, “Fatimah! Said! Buka pintu sekarang!”

Wajah Fatimah berubah. Khabab segera menyembunyikan lembaran al-Quran. Fatimah membuka pintu—dan di hadapannya berdiri Umar, matanya merah, nafasnya deras seperti singa lapar.

“Aku dengar kau berdua ikut Muhammad! Betul?!”

Said cuba menenangkan. Namun satu tamparan padu hinggap di wajah Fatimah. Darah mengalir dari hidungnya. Namun dari bibirnya, tidak ada rintihan.

Yang ada hanya kata-kata, “Ya Umar, kami beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Buatlah apa yang kau mahu. Kami tidak akan berpaling”.

Tangan Umar terhenti. Nafasnya perlahan. Dia menoleh ke arah lembaran yang tersembunyi. “Apa itu? Bacaan apa yang kalian tadi baca?”

Fatimah menjawab dengan tenang, “Itulah ayat-ayat dari al-Quran. Tapi kau tidak layak menyentuhnya dalam keadaan tidak suci.”

Umar terdiam. Kali ini, tidak ada kemarahan. Yang ada hanyalah… rasa ingin tahu yang luar biasa. Dia melangkah ke luar, menyucikan dirinya. Lalu kembali dan berkata, “Berikan padaku… aku mahu membacanya”.

Suasana sunyi. Hanya nafas Umar yang terdengar. Matanya semakin berkaca. Hatinya, yang keras seperti batu, mulai retak. Ayat itu... ayat itu menyelinap masuk seperti cahaya yang menembusi malam yang gelap.

“Ini… ini bukan kata-kata manusia…” bisiknya perlahan.

Umar berdiri. Lembaran itu masih di tangannya. Wajahnya berubah—dari kemarahan kepada ketundukan. Lalu dia berkata dengan suara rendah, “Tunjukkan aku di mana Muhammad”.

Petang itu, langkah Umar menuju rumah Al-Arqam bin Abi al-Arqam bukan lagi dengan pedang yang ingin membunuh, tetapi dengan hati yang ingin tunduk. Para sahabat di dalam rumah itu gempar apabila mendengar Umar mahu masuk. Tapi Nabi Muhammad SAW tenang.

Umar masuk, menatap wajah Rasulullah SAW.

“Wahai Muhammad, aku datang bukan untuk membunuh. Aku datang… untuk beriman kepadamu dan kepada Tuhanmu”.

Allahu Akbar!

Takbir bergema memenuhi rumah. Hari itu, langit Mekah menyaksikan keislaman Umar al-Khattab, singa padang pasir yang kini menjadi pelindung Islam.

Begitulah kisah bagaimana Surah Taha, ayat 1–5 yang menjadi pemicu kepada hidayah Umar al-Khattab. Dari seorang yang paling keras menentang Islam kepada seorang pemimpin agung dalam sejarah umat.

Hidayah datang bukan dengan paksa tetapi dengan cahaya. Kadangkala, cukup hanya dengan lima ayat al-Quran untuk mengubah sejarah dunia.

Pada saya, perubahan itu bermula dengan doa Nabi Muhammad SAW yang mengharapkan hidayah pada dua Umar. Di sinilah titik penting untuk membuat perubahan iaitu doa.

Untuk berubah, pilihan terbaik adalah doa. Doalah sebanyak-banyaknya untuk siapa sahaja sama ada diri kita, anak-anak kita, rakan kita, pemimpin atau bangsa kita.

Ulang doa setiap hari untuk membantu orang lain membuat perubahan. Permintaan kita dimasukkan dalam doa selepas solat ataupun waktu ketika dalam perjalanan ataupun bermusafir.

Salah satu kaedah untuk menjadi rajin dan meninggalkan sifat malas ialah berdoa. Jadikan doa sebagai satu tabiat yang dilakukan setiap hari di mana-mana saja khususnya selepas kita bersolat. Dalam al-quran Allah SWT menyebut “berdoalah kepadaKu nescaya Aku perkenankan”.

Friday, January 17, 2025

Tahun baharu 2025: Cabaran, harapan dan peranan

Isu dan masalah yang berlaku setiap hari tidak bergantung kepada mana-mana tahun. Melangkah ke tahun 2025, semakin menghampiri minggu ketiga, berbagai-bagai masalah hidup yang muncul, bersambung dari tahun sebelumnya. Perang, sengketa, konflik, pertelagahan dan jenayah mewarnai media.

Semua ini menggambarkan perjalanan tahun 2025 ini dipenuhi dengan banyak cabaran.

Pemimpin dengan cabaran untuk mengekalkan kuasa, rakyat pula dengan cabaran untuk menempuh keadaan hidup yang tertekan kerana kenaikan kos hidup. Kategori rakyat pula dipecahkan kepada tiga iaitu B40, M40 dan T20. Ada pula cadangan kategori ini dipecahkan kepada B20, M50 dan T30.

Sepatutnya sambutan tahun baharu ini memberi pengalaman yang menarik tetapi lain pula jadinya. Ia menjadi hari yang malang dan menderita. Kita yang membaca laporan berita sudah pun berasa sedih apatah lagi keluarga dan rakan-rakan mangsa. Empat orang kehilangan nyawa dalam tempoh yang sama bukanlah suatu kematian biasa sebaliknya adalah tragedi yang menyayat hati.

Hidup dan mati akan terus berlaku setiap hari dalam bentuk dan suasana yang berbeza. Tidak ada seorangpun yang boleh menjangkakan bila akan meninggal dunia. Namun, sebaliknya adalah kita menjaga perjalanan hidup kita dengan pengurusan diri yang paling baik dan berkesan.

Jika kita berumur 50 tahun dan tidak ada sebarang penyakit atau simptom penyakit kronik, lebih baiklah menambahkan pengetahuan dalam penjagaan kesihatan. Usia 50-an tidak sama dengan usia 30-an atau 40-an. Sistem badan sedikit demi sedikit semakin berubah. Pertama, lihat rambut, janggut dan misai. Dahulu semua berwarna hitam, sekarang bertukar warna putih. Dahulu, langkah ayunan kaki amat cergas, kini terasa sangat berat dan melelahkan.

Dahulu, semua makan hendak dimakan, kini memilih-milih, itu pun jika makan hanya cukup-cukup untuk merasa bukannya hendaknya kenyang.

Satu-satunya tabiat baik adalah waktu tidur semakin pendek. Meletakkan kepala di atas bantal pada pukul 10 malam, kemudian bangun pada pukul 3 pagi untuk solat tahajjud dan qiamullail. Ketika hampir subuh, beliau bersiap-siap untuk ke masjid.

Tidak banyak yang hendak difikirkan tentang harta kerana semua keperluan asas telah ada. Rumah mungkin dua atau tiga buah, kereta pun sudah ada. Pekerjaan sudah stabil dan mungkin boleh fikirkan duit pencen, sudah tentu lebih daripada mencukupi. Anak-anak pula telah berdikari dengan sendiri.

Cara hidup orang yang biasa-biasa begini bentuknya sedangkan orang yang beragama berbeza sama sekali. Dalam ayat 56 surah az-Zariyat Allah SWT berkata yang maksudnya, “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku”, jadi umur 50-an masih lagi perlu terus berusaha untuk menjadi khalifah dengan melakukan ibadah untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan umat.

Terlalu banyak ladang amal untuk kita usahakan jika mengambil idea orang senang membawa rasa bahagia kepada orang susah. Jadikan setiap amal sebagai niat ibadat. Yang ada duit lebih boleh diberikan dalam bentuk sedekah, infaq dan derma kepada sesiapa sahaja yang perlu dibantu.

Sebaik-baik bantuan ialah membantu anak-anak yang sedang belajar kerana pendidikan akan mengubah masa hadapan mereka. Malah pendidikan boleh mengubah satu generasi. Jika kita hendakkan generasi akan datang menjadi kuat dan hebat, infaqkan wang dan harta untuk mendidik mereka.

Permulaan tahun baharu 2025 seharusnya menjadi titik tolak untuk membina generasi yang kuat bagi masyarakat dan negara. Generasi yang kuat mencari ilmu, memiliki akhlak yang dipuji dan bijak mengurus hidup sendiri. Ruang dan peluang masih terbuka luas untuk kita menambah baik pengetahuan dan kemahiran sedia ada supaya kita sentiasa mengumpul amal dalam kehidupan.

Tuesday, January 03, 2023

Azam tahun baharu



Selamat tahun baharu 2023, kita sambut baru-baru ini. Sebagai sebahagian daripada perjalanan kehidupan kita, boleh dikatakan setiap orang memiliki azam tahun baharu yang dirancang dan cuba untuk melaksanakannya sepanjang tahun.

Azam tahun baharu adalah satu keperluan kepada kita yang memiliki keazaman untuk berjaya pada tahun ini.

Jadi, kenapa azam tahun baharu ini perlu?

Mahu ataupun tidak mahu, keperluan azam tahun baharu ini sangat penting kerana ia menjadi dorongan kepada kita untuk kuat bekerja, lebih bersemangat dan juga berusaha untuk memenuhi pencapaian yang telah pun ditetapkan pada tahun ini.

Ada orang bercadang untuk berjalan atau merantau ke negara luar sepanjang tahun 2023 ini. Persediaan awal mengumpul duit yang banyak pada tahun lepas akan direalisasikan pada tahun ini dengan menjelajah dan mengembara ke negara yang belum pernah pergi.

Kepentingan kedua adalah azam ini memberikan satu getaran yang positif dalam hidup. Apabila kita memiliki azam untuk melaksanakan satu-satu perkara, ia akan mendorong kita mencari suasana dan persekitaran yang kondusif untuk kita berusaha supaya apa yang kita hendak lakukan pada tahun ini akan dapat dicapai.

Dan kepentingan yang ketiga adalah azam kita ini sangat berkait rapat dengan orang yang berada di sekitar kita. Dengan tercapainya azam kita pada tahun ini, kita membantu orang-orang yang berada di sekitar kita mencapai azam mereka.

Adalah sangat penting dalam hidup untuk kita membentuk azam dengan memiliki dua ataupun tiga azam yang berkait rapat dengan kehidupan kita.

Saya ambil contoh kalau dapat kita penuhi azam yang telah pun dinyatakan dalam hadis Nabi Muhammad SAW, dari Abi Huhairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya.

Yang pertama adalah sedekah seperti banyakkan kebajikan dan infaq supaya kita dapat melihat hasilnya nanti di akhirat. Di akhirat tidak ada wang seperti yang kita gunakan pada hari ini untuk berjual beli. Yang ada hanyalah output sedekah jariah.

Yang kedua adalah memanfaatkan ilmu yang kita ada supaya dapat digunakan oleh orang lain. Kalau kita bekerja sebagai pensyarah atau guru, ilmu yang kita sampaikan kepada pelajar dan kepada anak murid kita yang diamalkan oleh mereka akan menjadi pahala yang berganda ganda kepada kita di akhirat kelak.

Yang ketiga adalah doa anak yang soleh. Jadilah seorang anak yang soleh yang mendoakan kedua ibu bapa dia.

Dan juga pesanan Imam Hassan Al Banna yang mana salah satu daripada 10 pesanan beliau ialah bersolat apabila mendengar azan. Kita berhenti daripada kerja yang kita sedang kita lakukan. Kita fokus kepada menunaikan solat, hentikan apa sahaja kerja yang sedang dilakukan dan pergi menunaikan solat sama ada berjemaah atau solo.

Azam tahun baharu tidak perlu terlalu banyak dan sukar dicapai. Sebaiknya biarlah dapat memenuhi jangka panjang untuk mengubah tabiat lama yang tidak produktif dan membebankan. Selamat tahun baharu.

Saturday, September 07, 2019

Power of Sedekah







Minggu lepas, seperti biasa, seorang rakan saya melakukan perkara yang sama setiap minggu iaitu memberi sedekah wang kepada tabung masjid. 

Setiap kali solat jumaat, beliau akan mengambil wang dari dompet, biasanya paling minimum adalah seringggit, paling banyak lima puluh ringgit. Tetapi hari itu beliau teringin memberi lebih sedikit kerana berfikir ada lebih wang yang baru diambil, lebih-lebih lagi baru sahaja mengeluarkan wang gaji. 

Beliau menunggu rakannya untuk ke masjid, kira-kira sepuluh minit dari tempat tinggal. Selepas selesai solat, beliau menyeluk saku untuk mengeluarkan wang sepuluh ringgit, dilipat dalam genggaman tangan dan dimasukkan berhati-hati ke dalam tabung masjid. 

Hatinya berasa berat mengeluarkan wang sebanyak itu kerana banyak lagi keperluan lain yang hendak dibeli. Tetapi dipaksanya juga kerana memikirkan berkah menderma. Lagi banyak menderma, lebih banyak yang Allah swt akan kembalikan. 

Biar apapun yang difikirkan, biarlah Allah swt yang membalasnya. 

Sepanjang hari sabtu hingga hari khamis, beliau tidak mendapati apa-apa yang janggal dan hampir terlupa derma yang diberikan pada jumaat lepas. 

Lalu terdetik hatinya untuk melihat emel kerana mahu mengetahui informasi yang ada dalam kotak emel. Tiba-tiba matanya agak terjegil ke arah dua notis emel. Kedua-duanya berkaitan wang. 

Dicampurkan jumlahnya melebihi tiga ratus ringgit, suatu jumlah yang besar. 

Syukur kerana inilah yang dikatakan sedekah tidak akan menyebabkan miskin atau papa, malah semakin bertambah-tambah rezeki yang Allah swt kurniakan. 

Jangan kedekut untuk menderma, ringankan tangan menghulur derma, ikhlaskan hati dan terus beredar.

Saturday, August 17, 2019

Al-quran penawar hidup kecewa







Dua puluh tahun lalu, seorang anak muda yang bercita-cita tinggi dalam hidup telah merantau ke negara orang untuk mengubah hidup diri dan keluarga, membantu pendidikan adik-adiknya dan merancang keluarga sendiri. Di negara orang, beliau berkenalan dengan rakan-rakan baru dan mereka bersama-sama membangunkan sebuah perniagaan berkaitan latihan dan pendidikan.

Di peringkat awal, operasi perniagaan diusahakan melalui sumbangan derma, infaq dan hibah supaya anak muda ini dapat bekerja dengan baik. Ada rakannya yang menyediakan rumah sewa dan menyewakan kereta supaya beliau dapat melakukan aktiviti pemasaran dan mengurus perjalanan syarikat.

Hidup sebagai usahawan memang mencabar dan melelahkan kerana tidak banyak masa untuk berehat apatah lagi bercuti. Beliau bekerja setiap masa dan berusaha sebaik mungkin kerana merasakan amanah yang diberikan sangat berat dan perlu dilaksanakan. Beliau juga memperkenalkan produk latihan kepada agensi kerajaan, swasta dan program 'Summer Camp' pada masa cuti sekolah.

Jatuh dan bangun dalam perniagaan adalah lumrah dan menjadi kebiasaan. Tidak mustahil dalam tempoh enam bulan seorang usahawan boleh menjadi kaya-raya namun dalam tempoh enam bulan juga boleh menjadi muflis dan papa-kedana.

Anak muda ini berkorban masa, wang dan tenaga hampir dua tahun untuk membina perniagaan yang diusahakan bersama-sama. Sedikit demi sedikit beliau mengumpul modal, menggajikan pekerja dan membuka cawangan perniagaan.

Perniagaan yang semakin berkembang itu rupanya menimbulkan minat seorang rakan strategik. Minatnya adalah memasukkan ahli keluarganya sebagai pekerja di syarikat itu tanpa memiliki kelayakan dalam pendidikan.

Rakannya itu mengasak dengan menyediakan kontrak baru melalui rakan-rakan lain dengan menjadikan permit kerja sebagai umpan. Tanpa sebarang perbincangan atau musyawarah, kontrak itu diberi kepadanya selepas makan malam, itupun ditunjukkan di dalam sebuah kereta ketika hendak pulang ke rumah. Selepas meneliti kontrak yang diberi, anak muda ini sangat kecewa dan tidak dapat melelapkan mata. Ia menjadi igauan kerana banyak kandungan kontrak yang di luar jangkaan.

Lalu beliau mengambil keputusan melepaskan semua usaha perniagaan tersebut dan mengembalikan operasi syarikat kepada rakan-rakannya.

'Biarkan saja mereka yang menguruskannya', kata-kata kecewa seorang anak muda yang sanggup berkorban masa untuk membina perniagaan dengan amanah wang derma dan infaq. Beliau tidak lagi peduli apa yang berlaku kepada perjalanan syarikat itu.

Kekecewaannya tidak dapat ditanggung-tanggung dan dizahirkan dengan kata-kata. Setiap pagi, selepas solat subuh, beliau bermenung memikirkan sikap dan pelakuan rakan-rakannya yang membahasakan diri 'ana' dan 'enta' serta berusrah setiap minggu.

Beliau sering memikirkan perkara tersebut sehingga muncul anggapan sama ada peristiwa itu merupakan rahmat atau bala daripada Allah SWT. Kesan psikologinya juga jelas iaitu beliau cepat marah, wajah yang bungkam dan tidak lagi percaya kepada orang di sekeliling.

Namun, amalan membaca dua lembar al-quran setiap hari memberi kekuatan kepadanya untuk berhadapan dengan pengalaman yang menyakitkan itu.  Ayat-ayat al-quran meruntun hati dan mencetuskan motivasi untuk beliau bertahan dan bangkit daripada kekecewaan. Antaranya ayat berikut:

‘Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertaqwa’. (Surah Thaha ayat 132)

Beliau juga tidak putus-putus berdoa supaya diberi jalan keluar dan tidak lagi memikirkan masalah yang sedang dialami itu.

Salah satu keputusan yang diambilnya ialah melupakan semua kejadian yang menimpanya dan kembali tanah air sendiri dan memulakan langkah hidup yang baru. Perlahan-lahan beliau mengumpul kekuatan semangat dan membetulkan kembali cara fikir iaitu meneruskan pengajian ke peringkat paling tinggi.

Kini, selepas melalui tempoh masa yang panjang, beliau menarik nafas dalam-dalam dan bersyukur kerana Allah SWT telah menunjukkan laluan hidup yang sangat jelas di penghujung jalan. Pengajaran hidup anak muda ini dapat dirumuskan dalam tiga perkara.

Pertama, niat yang ikhlas untuk bekerja kerana Allah SWT. Niat seperti ini membuang jauh-jauh keinginan duniawi yang meruntun hati dan cenderung kepada keuntungan wang ringgit. Bekerja kerana Allah SWT mengundang kasih sayang-Nya yang tidak ada sempadan. Tatkala bersedih hati kerana dilayan seperti sampah, akhirnya beliau berdiri lebih tinggi daripada orang yang merendah-rendahkannya dahulu.

Kedua, jadikan al-quran sebagai santapan rohani. Beliau membaca dua lembar al-quran setiap hari beserta terjemahan supaya hati dan fikirannya dituntun oleh panduan ilahi yang menaungi keseluruhan masa dan hidupnya.

Ketiga, doa tanpa henti supaya Allah SWT memandu kehidupannya, menukar yang buruk kepada yang lebih baik dan memberkati apa juga tindakannya.

Terapi jiwa berteraskan al-quran sangat berkesan ketika berhadapan dengan cabaran hidup. Individu yang tertekan dan kecewa wajar menjadikan al-quran sebagai santapan jiwa setiap hari sama ada melalui pembacaan, pendengaran atau mentadabbur ayat-ayat pilihan supaya hubungan hati dengan Allah SWT sentiasa bertaut. 

Tidak rugi orang yang menjadikan al-quran sebagai penyuluh hidupnya.


Wednesday, September 19, 2018

Merungkai pemikiran bangsa-agama








Di Amerika Syarikat, penentang-penentang undang-undang Islam ataupun syariah berpendapat undang-undang Islam sangat tidak menepati budaya masyarakat Barat. Bagi mereka, syariah yang meliputi banyak aspek kehidupan masyarakat Islam termasuklah kewajipan beragama dan pengurusan kewangan adalah tidak sesuai dengan hak-hak asasi manusia.

Mereka berfikir Islam amat konservatif kerana cenderung kepada berkhatan dalam kelompok wanita. Ada juga yang berpendapat Islam akan merosakkan hubungan masyarakat melalui keganasan yang dicetuskan oleh kelompok ekstremis dalam agama itu.

Manakala di Malaysia, kelompok kecil masyarakat Islam bersama dengan pertubuhan bukan Islam bersama-sama mendesak kerajaan menghentikan hukuman sebat untuk semua jenayah termasuklah yang berada di bawah undang-undang syariah. Mereka beranggapan hukuman sebat adalah tidak berperikemanusiaan kerana ia meninggalkan kesan masa panjang kepada fizikal, mental dan emosi pelaku.

Malah ada yang menggesa supaya kerajaan persekutuan membuat sesuatu terhadap enekmen hukuman syariah. Salah seorang daripada mereka adalah Honey Tan dari Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower) menyeru Peguam Negara menyemak semula undang-undang syariah bagi memastikan tidak ada percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sejak kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum lalu, suara-suara golongan Islam liberal dan bukan Islam lebih banyak mendominasi media sosial. Mereka mendesak peraturan dan amalan masyarakat Islam berpandukan al-quran dan sunnah dikaji dan diubah supaya sesuai dengan kehendak mereka dengan alasan hak asasi manusia. Takrifan hak asasi manusia juga perlu mengikut kehendak mereka.

Suara dan pandangan mereka juga disokong oleh ahli akademik Islam yang muncul dari celah-celah kejahilan masyarakat Islam sendiri, dibayangi oleh gelaran doktor falsafah atau profesor yang tidak sekadar menyelesai masalah tetapi merumitkan kefahaman masyarakat Islam. Antara cadangannya ialah memasukkan bukan Islam sebagai ahli dalam Jabatan Kefahaman Islam Malaysia untuk membantu meningkatkan kefahaman Islam di Malaysia.

Kita masih berada dalam pertembungan pemikiran pasca Barisan Nasional yang mewatakkan Melayu dan Islam sebagai subjek dominan, mengenepikan elemen luar Melayu dan memerangkap pemikiran umat Melayu untuk berkembang mekar. Justeru kita dapati banyak kelompok yang menonjolkan diri untuk memperjuangkan prinsip masing-masing dengan harapan bakal mempengaruhi perjalanan pemikiran masyarakat Malaysia.

Namun, hakikatnya, perangkap pemikiran bangsa-agama ini masih jauh untuk dirungkai kerana telah berakar umbi selama 60 tahun lepas.

Monday, April 24, 2017

3 tips mudah untuk berubah







Perubahan ke arah matlamat hidup atau apa sahaja matlamat yang hendak dicapai dalam hidup perlu mengubah banyak perkara yang ada dalam diri kita. Namun sesetengah orang sangat sukar hendak memulakan perubahan biar pun kecil. Oleh kerana memikirkan terlalu banyak yang hendak dibuat tatkala hendak berubah, timbul dalam pemikiran ayat-ayat racun seperti ‘banyak sangat ni...buat esok sajalah’.

Khabar baik untuk orang yang berasa sukar hendak berubah adalah perkataan yang digunakan sehari-hari boleh diubah dengan serta-merta. Contohnya, ada orang yang kerap berkata ‘susah’, ‘tak boleh’ dan ‘nantilah’.

Jika kita lihat, perkataan-perkataan beracun ini mampu diubah. Susah boleh ditukar kepada senang, tak boleh ditukar kepada boleh dan nantilah ditukar kepada sekarang. Sikap orang yang cemerlang ialah memilih perkataan-perkataan yang mengujakan dan memberi aura positif dalam tindakannya.

Pilihannya berada di tangan sendiri. Jika kita berasa hidup ini terlalu sukar, gunakan perkataan ‘senang’ dalam menghuraikan kesukaran tersebut.

Andai kata saya memberi anda dua minit untuk bercakap mengenai topik yang anda minat, saya boleh menilai berapa banyak perkataan positif atau negatif yang digunakan. Sepatutnya perkataan positif lebih menyerlah.

Contohnya begini. Seorang rakan kita menceritakan tentang cara menulis artikel. Beliau pun memberi inputnya yang bertajuk menulis artikel seperti berikut.

Pertama, setkan apa yang hendak ditulis.
Kedua, tajuk yang hendak ditulis selari dengan bidang kepakaran kita.
Ketiga, sediakan bahan-bahan rujukan yang perlu.
Keempat, mencetak hasil penulisan awal.
Kelima, susun dan tulis senarai yang hendak dibuat.
Keenam, membuat penambahbaikan dengan menaip di komputer.

Sekiranya lebih banyak perkataan positif yang diungkapkan, ia bermakna rakan kita tadi seorang yang dinamik.

Di sini, tugas yang sangat mudah ialah menukar perkataan negatif kepada positif. Apa sahaja perkataan atau ayat negatif ini mempunyai tenaga yang menarik kita untuk melaksanakannya. Ada orang yang bangun pagi setiap hari sering mengadu sakit di sana sini. Ada kaki yang sakit, kepala yang sakit dan hati yang sakit.

Jadi, untuk menukar perkataan yang negatif ini kepada positif, gantikan ‘sakit’ kepada ‘astaghfirullah’ atau perkataan lain yang positif. Sekurang-kurangnya kita mendapat pahala kerana beristighfar.

Keadaan begini berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa atau agama.

Kita juga harus tahu bahawa mengubah perkataan dapat mengubah penampilan luaran kita. Sebaliknya pula pun boleh berlaku.

Contohnya kursus motivasi. Motivasi yang diterima biasanya kekal dalam seminggu dua, selepas itu kita kembali kepada asal kerana banyak perkataan yang digunakan telah meracun minda.

Justeru, berwaspadalah dengan perkataan yang dikeluarkan kerana ia berupaya memberi kesan kepada diri sendiri dan orang lain yang mendengar.

Selain daripada menukar perkataan, perubahan juga boleh dibuat dengan cara mengawal pernafasan. Caranya ialah menggunakan kiraan empat ketika menarik nafas, tujuh ketika menahan nafas dan lapan ketika mengeluarkan nafas. Tarik nafas sedalam-dalamnya dan keluarkan nafas tersebut umpama itik nila bertempik iaitu mengeluarkan nafas sehabis-habisnya.

Waktu terbaik untuk latihan nafas ialah selepas solat subuh dan isyak.

Pernafasan amat penting kepada organ-organ dalam tubuh badan kita kerana mereka perlukan oksigen untuk bekerja. Oksigen memberi tenaga kepada perkembangan organ khususnya otak kita lebih-lebih bagi mereka yang belajar dan bekerja dalam yang melibatkan fikiran.

Antara tips penting dalam pernafasan ialah niat menarik tenaga-tenaga positif yang berada di sekitar tempat pernafasan. Semasa melepaskan nafas, kita bayangkan semua elemen penyakit (boleh dibayangkan dalam bentuk warna hitam) dikeluarkan dan terus halakan warna hitam tersebut ke arah bulan atau sesuatu yang sangat jauh dari kita.

Cara ini boleh dilakukan untuk penyakit fizikal atau emosi. Sekurang-kurangnya ada cara untuk mengurangkan kesakitan, memberi harapan positif kepada tahap kesihatan dan menjadikan diri kita lebih bersemangat hendak keluar daripada masa sukar.

Aura positif dan baik ini turut melimpah kepada orang yang berada di sekitar kita.

Kedudukan badan juga mempengaruhi perubahan diri.

Caranya ialah dengan mengangkat kedua-dua tangan selama dua minit, boleh dalam pelbagai posisi. Mengangkat tangan selama dua minit ini akan merembeskan beberapa jenis enzim seperti testostreron yang memberi keyakinan diri.

Pelari pecut dunia, Usin Bolt mempraktikkan cara ini dan ia memberi impak yang sangat ketara kepada persembahannya. Bolt berasa lebih yakin dan bersedia untuk memecut meninggalkan saingnya.

Cara lain ialah meletakkan kedua-dua tangan di pinggang, berpeluk tubuh atau menggenggam kedua-kedua penumbuk sambil menggoyang-goyang ke sana sini.

Kaedah ini tidak perlukan kedudukan badan yang berlebih-lebihan, cukup yang mudah sahaja. Biarlah ia sesuai dengan keadaan kita kerana jika dibuat setiap hari walaupun sedikit ia bakal menjadi tabiat yang berpanjangan.

Menukar perkataan, membaiki cara bernafas dan mengubah kedudukan badan bakal menjadikan kita seorang yang hebat dan cemerlang.

Mulakan hari ini dan kita akan dapat merasai perubahannya serta-merta.



Saturday, March 11, 2017

Ihsan dan kecemerlangan kerjaya








Alangkah indahnya kalau kita dapat masuk ke syurga tanpa ada apa-apa halangan seperti mudahnya kita keluar dan masuk di dalam rumah sendiri. Ia bukanlah mustahil kerana ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk masuk ke syurga yang dikenali sebagai "tanpa hisab".

Syarat paling utama ialah memahami isi al-quran.

Rasulullah saw meninggalkan kita sebuah hadiah yang sangat bernilai kepada umat manusia khususnya umat Islam. Di dalamnya terdapat panduan hidup yang menjadi obor kepada kehidupan seorang Islam meliputi semua aspek hidup dari sekecil-kecilnya sehingga sebesar-besarnya, yang mudah dan susah serta yang remeh dan rencah. 

Selepas beriman dengan al-quran, kita perlu pula memahami dan melaksanakan isinya dalam kehidupan, barulah dikatakan sebagai faqeh.

Ayat 133 surah ali-Imran menyeru supaya kita bersegera memohon taubat kepada Allah swt. Ketika usia muda inilah kita perlu perbanyakkan doa memohon keampunan Allah swt  kerana hari ini suasana sekitar menjadikan kita lebih mudah mendapat dosa. Banyak dosa yang kita dapat seperti mengumpat dan mengeji biarpun hanya mengetik papan kekunci komputer atau telefon pintar, membantah cakap ibu dan bapa atau bersangka buruk kepada rakan-rakan sekerja.

Memohon keampunan adalah kunci kepada laluan ke syurga. Makan dengan tiga jari, menyimpan janggut atau memakai celak tidak dapat membantu kita untuk masuk ke syurga kerana ada kunci lain yang lebih utama.

Keindahan syurga tidak dapat digambarkan. Luasnya syurga dikatakan sebesar bumi dan langit. Syurga ini disediakan untuk orang yang bertakwa, justeru tidak boleh berbangga dengan bangsa atau keturunan. Antara bait-bait dalam lirik lagu Iman Mutiara kumpulan Raihan adalah, "iman tak dapat diwarisi, dari seorang ayah yang bertakwa, ia tak dapat dijual-beli, ia tiada di tepian pantai, walau apapun caranya jua, engkau mendaki gunung yang tinggi, engkau merentas lautan api, namun tak dapat jua dimiliki, jika tidak kembali pada Allah".

Kenapa takwa begitu penting?

Takwa umpama visa ke syurga. Abdullah bin Mas'ud r.a berkata takwa adalah, "hendaklah Allah itu ditaati jangan dimaksiati (taat), hendaklah Allah selalu diingat jangan dilupakan (zikir), hendaklah Allah selalu disyukuri jangan diingkari (syukur)". 

Mendapatkan takwa perlukan usaha yang bersungguh-sungguh. Kita wajar bertindak seperti termostat yang dapat mengawal perubahan suhu, bukannya seperti termometer yang hanya boleh memberi bacaan suhu. Bersikap seperti termostat bererti mengetahui senario dan mengambil pendekatan proaktif. 

Contoh bersikap seperti termostat ialah "dakwah kepada non-muslim masih kurang", "KPI kerja kita masih jauh, perlu berusaha lebih gigih" atau "kita kena buat sesuatu supaya iman dan amal kita bertambah". Manakala contoh bersikap seperti termometer ialah "biar pi kat depa lah", "apa pula orang kata" atau "tak boleh buat apa dah".

Menjadi seperti termostat bermakna mengubah diri dan nasib diri seperti membaiki akhlak dan adab, akidah dan memperkasa syariat. Dalam hal ini, akhlak jauh berbeza daripada moral kerana akhlak ada elemen ketuhanan, terbit dari hati yang dibuat secara spontan dan mempengaruhi tindakan kita. Membetulkan akhlak ini melibatkan riadah akhlak iaitu praktis membina akhlak yang benar-benar menuruti al-quran dan sunnah.

Kecemerlangan kerjaya bergantung kepada dua ciri iaitu kuat dan amanah. Kedua-dua ciri ini mempengaruhi prestasi organisasi dan menambah baik iman dan takwa. Al-quran dalam surah al-Qasas ayat 26 menjelaskan perkara berkenaan, "Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambillah dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah".


*Petikan daripada ceramah Dato Dr Danial Zainal Abidin di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Universiti Teknikal Malaysia Melaka pada 10 Mac 2017.