Showing posts with label Kebajikan Sosial. Show all posts
Showing posts with label Kebajikan Sosial. Show all posts

Friday, July 10, 2026

Umur bersara 60 tahun dan jaminan sosial di hari tua

Keputusan kerajaan untuk mengekalkan umur persaraan wajib pada usia 60 tahun kembali mencetuskan perbincangan dalam kalangan masyarakat. Ada yang berpendapat umur tersebut wajar dinaikkan memandangkan jangka hayat rakyat Malaysia semakin panjang dan ramai individu masih sihat serta produktif selepas mencecah usia 60 tahun. Sebaliknya, tidak kurang juga yang berpandangan bahawa umur persaraan sedia ada perlu dikekalkan bagi memberi ruang kepada generasi muda memasuki pasaran pekerjaan dan menikmati peluang kenaikan pangkat.

Perdebatan ini sebenarnya bukan sekadar mengenai angka. Persoalan yang lebih besar ialah sama ada sistem sosial negara mampu menjamin kesejahteraan rakyat selepas mereka meninggalkan alam pekerjaan. Dalam konteks ini, umur persaraan hanyalah satu komponen daripada keseluruhan ekosistem kesejahteraan sosial. Yang lebih utama ialah bagaimana negara memastikan setiap warga emas dapat menjalani kehidupan yang bermaruah, sihat dan selamat dari sudut ekonomi.

Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang menetapkan umur persaraan pada 60 tahun. Namun, jika dibandingkan dengan kebanyakan negara maju, trend global menunjukkan peningkatan umur persaraan kepada sekitar 65 hingga 67 tahun. Perubahan ini didorong oleh peningkatan jangka hayat, penurunan kadar kelahiran dan pertambahan bilangan warga emas dalam populasi. Negara seperti Jerman, United Kingdom, Australia dan Belanda telah menyesuaikan dasar persaraan mereka bagi memastikan sistem pencen dan perlindungan sosial kekal mampan.

Walau bagaimanapun, dasar yang sesuai bagi sesebuah negara tidak semestinya sesuai untuk negara lain. Malaysia mempunyai struktur ekonomi, pasaran buruh dan komposisi pekerjaan yang berbeza. Sebahagian besar tenaga kerja masih terlibat dalam pekerjaan yang memerlukan kekuatan fizikal seperti pembinaan, pembuatan, pertanian dan perkhidmatan. Dalam keadaan ini, menaikkan umur persaraan secara menyeluruh mungkin memberi kesan yang berbeza kepada setiap kelompok pekerja.

Dari sudut sosial, terdapat beberapa implikasi sekiranya umur persaraan dinaikkan. Pertama, ia boleh mempengaruhi mobiliti kerjaya generasi muda. Walaupun ahli ekonomi sering menjelaskan bahawa peluang pekerjaan bukanlah satu jumlah yang tetap, hakikatnya dalam organisasi yang mempunyai struktur jawatan yang terhad, pekerja senior yang kekal lebih lama boleh memperlahankan proses kenaikan pangkat dan pengambilan pekerja baharu. Oleh itu, sebarang perubahan dasar perlu mengambil kira keseimbangan antara mengekalkan pengalaman pekerja senior dan membuka peluang kepada generasi baharu.

Kedua, umur persaraan mempunyai kaitan rapat dengan kualiti hidup warga emas. Bagi sesetengah individu, persaraan merupakan fasa yang dinanti-nantikan untuk memberi tumpuan kepada keluarga, menjaga cucu, melakukan aktiviti kemasyarakatan atau memperbaiki tahap kesihatan. Namun, bagi sebahagian yang lain, pekerjaan memberi makna kepada kehidupan, menyediakan rangkaian sosial dan mengekalkan kesejahteraan mental. Ini menunjukkan bahawa pengalaman persaraan adalah berbeza mengikut keadaan individu dan tidak boleh disamaratakan.

Ketiga, kesan umur persaraan turut bergantung kepada jenis pekerjaan. Seorang pensyarah, doktor, peguam atau akauntan mungkin masih mampu bekerja dengan baik pada usia 65 tahun. Sebaliknya, seorang buruh binaan, pekerja ladang atau pekerja kilang mungkin menghadapi cabaran fizikal yang jauh lebih besar apabila usia meningkat. Oleh sebab itu, dasar persaraan yang terlalu seragam berisiko mengabaikan realiti bahawa keupayaan bekerja tidak sama antara sektor pekerjaan.

Dalam perspektif Islam, isu umur persaraan tidak mempunyai ketetapan khusus. Al-Quran dan hadis tidak menetapkan bahawa seseorang wajib berhenti bekerja pada umur tertentu. Sebaliknya, Islam menggalakkan umatnya terus berusaha mencari rezeki yang halal selagi mempunyai kemampuan dan kesihatan. Pada masa yang sama, Islam juga menegaskan bahawa Allah SWT tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Prinsip ini memberikan ruang kepada pemerintah menggubal dasar berdasarkan maslahat masyarakat melalui konsep siyasah syar'iyyah dan *maslahah mursalah. Ertinya, sama ada umur persaraan dikekalkan pada 60 tahun atau dinaikkan kepada 65 tahun, kedua-duanya boleh diterima selagi memenuhi prinsip keadilan, kebajikan dan kepentingan umum.

Hakikatnya, isu yang lebih mendesak bukanlah umur persaraan, tetapi kekuatan sistem jaminan sosial negara. Seorang pekerja yang mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi, kesihatan yang baik dan akses kepada perkhidmatan sosial berkualiti tidak akan terlalu terkesan sama ada bersara pada umur 60 atau 65 tahun. Sebaliknya, seseorang yang tidak mempunyai simpanan yang mencukupi akan terus berhadapan dengan kesukaran walaupun tempoh persaraannya dilanjutkan.

Oleh itu, usaha memperkukuh sistem jaminan sosial perlu menjadi keutamaan. Pertama, simpanan persaraan perlu diperkasakan melalui peningkatan pendapatan sebenar pekerja, galakan caruman sukarela serta peluasan perlindungan kepada pekerja ekonomi gig dan mereka yang bekerja sendiri. Kedua, peluang pekerjaan selepas persaraan perlu diperluaskan melalui skim pekerjaan fleksibel, kontrak jangka pendek, program mentor dan latihan semula supaya pesara yang masih berkeupayaan dapat terus menyumbang kepada masyarakat.

Selain itu, perlindungan sosial perlu diperkukuh bagi membantu golongan warga emas yang benar-benar memerlukan. Bantuan kewangan yang bersasar, kemudahan kesihatan yang mudah diakses, penjagaan jangka panjang dan sokongan komuniti merupakan elemen penting dalam memastikan kesejahteraan mereka. Dalam masa yang sama, dasar penuaan aktif (active ageing) perlu dipromosikan agar warga emas tidak dilihat sebagai beban, sebaliknya sebagai sumber pengalaman, ilmu dan modal sosial yang bernilai.

Malaysia juga boleh mempertimbangkan pendekatan persaraan yang lebih fleksibel pada masa hadapan. Umur persaraan wajib boleh dikekalkan pada 60 tahun, tetapi individu yang masih sihat dan ingin terus bekerja diberi peluang untuk berkhidmat melalui kontrak baharu atau pengaturan kerja yang lebih anjal. Pendekatan ini membolehkan mereka yang ingin menikmati persaraan berbuat demikian, manakala mereka yang masih mahu menyumbang kepada ekonomi tidak dihalang oleh batasan umur semata-mata.

Akhirnya, perdebatan mengenai umur persaraan tidak seharusnya terhenti pada persoalan sama ada 60 tahun terlalu awal atau terlalu lewat. Soalan yang lebih penting ialah sama ada negara berjaya menyediakan sebuah sistem yang membolehkan rakyat menua dengan sejahtera, berdikari dan bermaruah. Dasar persaraan yang baik bukan hanya menentukan bila seseorang berhenti bekerja, tetapi memastikan kehidupan selepas persaraan tetap berkualiti, produktif dan bermakna.

Dalam sebuah negara yang sedang menuju ke arah masyarakat menua, kejayaan dasar persaraan tidak boleh diukur hanya melalui angka umur. Sebaliknya, ia perlu dinilai berdasarkan sejauh mana sistem jaminan sosial, kesihatan, peluang pekerjaan dan perlindungan kebajikan mampu menyokong kehidupan warga emas. Apabila aspek-aspek ini diperkukuh secara menyeluruh, perbahasan mengenai umur persaraan akan menjadi lebih seimbang kerana fokusnya bukan lagi pada bila seseorang bersara, tetapi bagaimana negara memastikan setiap rakyat dapat menikmati hari tua yang aman, aktif dan bermaruah.

Thursday, July 02, 2026

Cabaran keseimbangan hidup dan kerja pemandu Grab

Ekonomi gig telah mengubah landskap pekerjaan di Malaysia. Kemunculan platform e-hailing seperti Grab bukan sahaja membuka peluang pendapatan kepada ribuan rakyat, malah menawarkan satu bentuk pekerjaan yang lebih fleksibel berbanding pekerjaan konvensional. Ramai memilih menjadi pemandu Grab kerana kebebasan menentukan waktu bekerja, sama ada sebagai pekerjaan sepenuh masa atau sambilan. Namun, di sebalik kebebasan tersebut, wujud persoalan yang semakin mendapat perhatian, iaitu sejauh manakah pemandu Grab benar-benar menikmati keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan?

Hari ini saya berpeluang menempah sebuah Grab yang mengambil saya di Bachang. Namanya pemandu ialah Azmi. Beliau telah berhenti kerja pada tahun 2023 selepas 17 tahun bekerja di Aeon. Mungkin kesedihan kerana kematian isteri telah membuatnya berasa tawar hati untuk bekerja lagi. Empat bulan beliau tidak bekerja namun berhasrat mencari pendapatan yang stabil tanpa terikat dengan syarikat. Lalu beliau menempah sebuah kereta untuk dijadikan modal sebagai pemandu Grab.

Sepanjang perjalanan beliau berkongsi fikirannya tentang keadaan hidup ketika ini. Tiga tahun lepas, beliau dapat menyasarkan pendapatan harian sekitar RM150 hingga RM200, suatu jumlah yang sangat menggembirakan hati. Namun keadaannya telah berubah hari ini. Katanya, untuk mendapatkan RM100 sehari pun susah kerana terlalu banyak persaingan. Jadi, di sinilah munculnya konflik hidup yang menjejaskan keseimbangan mental, fizikal dan spiritual.

Keseimbangan hidup dan kerja bukan sekadar merujuk kepada pembahagian masa antara mencari rezeki dengan meluangkan masa bersama keluarga. Ia turut melibatkan aspek kesihatan fizikal dan mental, kestabilan kewangan, kesejahteraan emosi serta kemampuan seseorang memenuhi tanggungjawab sebagai ahli keluarga dan anggota masyarakat.

Pada pandangan luar, pemandu Grab kelihatan memiliki kelebihan kerana mereka bebas memilih masa untuk bekerja. Jika mempunyai urusan keluarga, mereka boleh menutup aplikasi buat sementara waktu. Mereka tidak perlu memohon cuti atau mendapatkan kelulusan majikan. Fleksibiliti ini menjadi tarikan utama, khususnya kepada ibu bapa yang ingin menguruskan anak-anak, pesara yang mahu menambah pendapatan, atau individu yang kehilangan pekerjaan tetap.

Namun, realitinya tidak semudah itu.

Pendapatan pemandu Grab bergantung sepenuhnya kepada jumlah perjalanan yang berjaya diselesaikan. Tiada gaji bulanan tetap, tiada jaminan pendapatan minimum dan tiada kepastian bahawa setiap hari akan menghasilkan pulangan yang sama. Faktor seperti cuaca, keadaan ekonomi, musim perayaan, jumlah pemandu yang aktif dan permintaan pengguna boleh mempengaruhi pendapatan harian.

Keadaan ini menyebabkan ramai pemandu menetapkan sasaran pendapatan harian. Sekiranya sasaran belum dicapai, mereka cenderung memanjangkan waktu bekerja sehingga lewat malam atau menyambung pemanduan pada hujung minggu. Akibatnya, masa yang sepatutnya diperuntukkan kepada keluarga sering dikorbankan demi memastikan komitmen kewangan dapat dipenuhi.

Cabaran menjadi lebih besar apabila kos operasi semakin meningkat. Pendapatan yang diterima bukanlah keuntungan bersih kerana sebahagiannya perlu digunakan untuk membayar petrol atau kos pengecasan kenderaan elektrik, tol, penyelenggaraan kenderaan, tayar, insurans dan cukai jalan. Sebarang kerosakan kenderaan pula perlu ditanggung sendiri. Dalam keadaan kos sara hidup yang terus meningkat, ramai pemandu merasakan mereka perlu bekerja lebih lama hanya untuk mengekalkan pendapatan bersih yang sama.

Keadaan ini secara tidak langsung menjejaskan keseimbangan hidup dan kerja. Fleksibiliti yang pada asalnya dianggap sebagai kelebihan akhirnya berubah menjadi tekanan apabila masa bekerja ditentukan oleh keperluan pendapatan, bukannya pilihan peribadi.

Selain tekanan kewangan, aspek kesihatan juga tidak boleh dipandang ringan. Pemandu yang menghabiskan lapan hingga dua belas jam sehari di jalan raya berisiko mengalami keletihan fizikal, sakit belakang, gangguan tidur dan tekanan emosi. Mereka perlu sentiasa fokus ketika memandu dalam keadaan lalu lintas yang sesak, berhadapan dengan kerenah pelanggan yang pelbagai, selain memastikan prestasi perkhidmatan sentiasa berada pada tahap yang baik.

Tekanan ini boleh memberi kesan kepada kehidupan keluarga. Selepas seharian memandu, seseorang mungkin pulang dalam keadaan terlalu letih untuk meluangkan masa berkualiti bersama pasangan atau anak-anak. Ada yang hanya mempunyai sedikit masa untuk berbual sebelum berehat dan mengulangi rutin yang sama pada keesokan harinya. Lama-kelamaan, hubungan kekeluargaan boleh menjadi renggang jika keadaan ini berterusan.

Cabaran turut dirasai oleh pasangan dan anak-anak. Jadual kerja yang berubah-ubah menyebabkan sukar merancang aktiviti keluarga. Ada pemandu yang terpaksa bekerja ketika hujung minggu, cuti umum atau musim perayaan kerana ketika itulah permintaan pelanggan dan kadar tambang biasanya lebih tinggi. Sedangkan tempoh tersebut merupakan waktu terbaik untuk keluarga berkumpul.

Dari sudut psikologi, pendapatan yang tidak menentu juga boleh mencetuskan kebimbangan berpanjangan. Berbeza dengan pekerja yang menerima gaji tetap pada setiap bulan, pemandu Grab perlu sentiasa memikirkan sama ada pendapatan hari itu mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga. Tekanan kewangan yang berpanjangan boleh menjejaskan kesejahteraan mental dan akhirnya mempengaruhi hubungan dalam rumah tangga.

Selain itu, pekerja ekonomi gig secara umumnya mempunyai perlindungan sosial yang lebih terhad berbanding pekerja sektor formal. Mereka tidak menikmati pelbagai kemudahan yang lazim disediakan majikan seperti cuti bergaji, caruman persaraan tambahan, insurans kesihatan atau faedah perubatan yang komprehensif. Sekiranya mereka jatuh sakit atau mengalami kemalangan, pendapatan turut terhenti kerana mereka tidak dapat bekerja. Keadaan ini menambahkan lagi tekanan terhadap keseimbangan hidup dan kerja.

Walaupun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat juga pemandu yang berjaya mencapai keseimbangan hidup melalui pengurusan masa yang baik. Mereka menetapkan had waktu bekerja, memilih lokasi yang mempunyai permintaan tinggi, mengutamakan waktu puncak dan memastikan sekurang-kurangnya satu hari dalam seminggu diperuntukkan untuk bersama keluarga. Ada juga yang menjadikan Grab sebagai sumber pendapatan tambahan sambil mengekalkan pekerjaan tetap, sekali gus mengurangkan tekanan untuk bekerja terlalu lama.

Dalam konteks ini, sokongan keluarga memainkan peranan yang amat penting. Pasangan yang memahami cabaran pekerjaan serta mampu berkongsi tanggungjawab menguruskan rumah tangga dapat membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi pemandu. Begitu juga dengan amalan komunikasi yang baik dalam keluarga agar setiap ahli memahami tuntutan pekerjaan dan dapat merancang masa bersama secara lebih bermakna.

Pada masa yang sama, platform ekonomi gig dan pembuat dasar juga mempunyai tanggungjawab untuk mewujudkan ekosistem pekerjaan yang lebih lestari. Antara usaha yang boleh dipertimbangkan termasuk memperkukuh perlindungan sosial, memperluaskan akses kepada caruman keselamatan sosial dan persaraan, menyediakan program kesihatan mental, serta menawarkan latihan pengurusan kewangan kepada pemandu. Langkah-langkah ini bukan sahaja dapat meningkatkan kebajikan mereka, malah menyumbang kepada produktiviti dan kualiti perkhidmatan.

Hakikatnya, pekerjaan sebagai pemandu Grab menggambarkan dilema yang dihadapi ramai pekerja dalam ekonomi gig masa kini. Fleksibiliti memang memberi kebebasan, tetapi kebebasan itu gigih bersama tanggungjawab yang besar. Tanpa pendapatan yang stabil dan perlindungan yang mencukupi, seseorang mungkin terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga demi memenuhi keperluan hidup.

Akhirnya, keseimbangan hidup dan kerja bukanlah sekadar soal mempunyai jadual yang fleksibel. Ia menuntut keseimbangan antara masa, pendapatan, kesihatan dan kesejahteraan emosi. Selagi pekerja ekonomi gig masih bergelut dengan ketidaktentuan pendapatan dan kos kehidupan yang semakin meningkat, keseimbangan tersebut akan terus menjadi satu cabaran yang memerlukan perhatian semua pihak. Dalam mengejar kemajuan ekonomi digital, masyarakat tidak seharusnya melupakan bahawa kejayaan sebenar sesebuah pekerjaan bukan hanya diukur melalui jumlah pendapatan, tetapi juga melalui kemampuan seseorang menikmati kehidupan yang sihat, bermakna dan seimbang bersama keluarga.

Wednesday, July 01, 2026

Adakah rakyat benar-benar sejahtera dengan KDNK per kapita AS$15,000?

Pengumuman bahawa Malaysia berjaya melepasi paras Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita sebanyak AS$15,000 pada tahun 2026 merupakan satu berita yang wajar dibanggakan. Berdasarkan data Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), pencapaian ini menandakan ekonomi negara terus berkembang dan semakin hampir untuk mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi. Malah, terdapat jangkaan bahawa Malaysia mampu mencapai KDNK per kapita AS$20,000 sekitar tahun 2030 hingga 2032 sekiranya momentum pertumbuhan dapat dikekalkan.

Di atas kertas, angka ini kelihatan sangat memberangsangkan. Namun sebagai seorang penyelidik sosioekonomi, saya berpendapat bahawa persoalan yang lebih penting bukanlah "berapa besar ekonomi negara?", tetapi "siapa yang benar-benar menikmati hasil pertumbuhan tersebut?"

Di sinilah kita perlu membezakan antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

KDNK per kapita ialah ukuran purata nilai pengeluaran ekonomi yang dibahagikan dengan jumlah penduduk. Ia berguna untuk membuat perbandingan antara negara, namun ia bukan ukuran langsung terhadap taraf hidup setiap individu. Dalam erti kata lain, purata yang tinggi tidak semestinya bermaksud semua rakyat memperoleh pendapatan yang tinggi.

Bayangkan sebuah keluarga mempunyai lima orang anak. Seorang memperoleh pendapatan RM50,000 sebulan, manakala empat yang lain masing-masing hanya memperoleh RM2,000. Secara purata, pendapatan keluarga tersebut kelihatan tinggi. Namun realitinya, majoriti ahli keluarga masih hidup dalam keadaan sederhana. Begitulah juga sifat KDNK per kapita.

Malaysia sememangnya mempunyai banyak sebab untuk optimis. Pertumbuhan ekonomi pada suku pertama 2026 mencecah 5.4 peratus, inflasi kekal rendah sekitar 1.9 peratus, pelaburan swasta terus berkembang dan sektor berteknologi tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan, pusat data serta ekonomi digital semakin rancak. Semua ini menunjukkan asas ekonomi negara semakin kukuh.

Namun pertumbuhan ekonomi tidak semestinya bergerak seiring dengan peningkatan kesejahteraan isi rumah. Ramai rakyat masih berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi, harga rumah yang sukar dicapai, peningkatan kos pendidikan, perbelanjaan kesihatan yang semakin mahal serta ketidaktentuan pekerjaan. Dalam keadaan sedemikian, angka KDNK yang tinggi mungkin tidak banyak mengubah kehidupan harian mereka.

Artikel Berita Harian yang memetik pandangan Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed, turut menekankan bahawa produktiviti merupakan faktor paling penting untuk memastikan Malaysia mencapai KDNK per kapita AS$20,000. Kenyataan ini amat tepat. Sesebuah negara tidak boleh bergantung kepada pertumbuhan ekonomi semata-mata tanpa meningkatkan produktiviti pekerja, inovasi dan kecekapan industri.

Namun produktiviti juga tidak seharusnya dinilai hanya melalui keuntungan syarikat atau peningkatan output. Produktiviti yang benar-benar berkualiti ialah apabila peningkatan hasil ekonomi diterjemahkan kepada kenaikan gaji, peluang pekerjaan yang lebih baik dan peningkatan taraf hidup rakyat secara menyeluruh.

Di sinilah wujud satu cabaran besar yang sering dibincangkan oleh ahli ekonomi, iaitu fenomena growth without inclusive prosperity. Ekonomi berkembang, keuntungan korporat meningkat dan pelaburan asing bertambah, tetapi manfaatnya tidak diagihkan secara seimbang kepada masyarakat. Akibatnya, jurang pendapatan terus melebar walaupun negara mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan.

Selain itu, artikel tersebut juga tidak menyentuh secara mendalam mengenai ketidaksamaan antara wilayah. Negeri-negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menikmati pembangunan ekonomi yang jauh lebih pesat berbanding sebahagian negeri lain. Jika pertumbuhan hanya tertumpu di beberapa kawasan, purata pendapatan negara akan meningkat tetapi jurang pembangunan wilayah akan terus melebar.

Begitu juga dengan isu mobiliti sosial. Adakah anak daripada keluarga berpendapatan rendah mempunyai peluang yang sama untuk menikmati pendidikan berkualiti, pekerjaan bernilai tinggi dan peningkatan pendapatan? Persoalan ini jauh lebih penting daripada sekadar mengejar sasaran KDNK per kapita.

Satu lagi aspek yang sering terlepas pandang ialah kesan kadar pertukaran ringgit. Oleh kerana KDNK per kapita diukur dalam dolar Amerika Syarikat, pengukuhan atau penyusutan nilai ringgit boleh mempengaruhi angka tersebut. Ringgit yang lebih kukuh akan meningkatkan nilai KDNK per kapita dalam dolar AS, manakala penyusutan ringgit boleh menyebabkan angka itu kelihatan lebih rendah walaupun ekonomi domestik masih berkembang. Oleh itu, sasaran AS$20,000 bukan sekadar bergantung kepada prestasi ekonomi, tetapi juga kepada kestabilan mata wang.

Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita mentafsir kejayaan ekonomi negara. Adakah kejayaan itu hanya diukur melalui angka KDNK, atau melalui kehidupan rakyat yang semakin baik? Sebuah negara boleh mempunyai ekonomi yang besar, tetapi jika sebahagian besar rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup, pekerjaan tidak stabil dan peluang ekonomi yang terhad, maka pencapaian tersebut masih belum lengkap.

Di sinilah letaknya sedikit "karikatur ekonomi" yang sering kita lihat. Negara diisytiharkan semakin kaya, tetapi rakyat masih membandingkan harga ayam di tiga pasar raya sebelum membeli. Statistik menunjukkan pendapatan per kapita meningkat, tetapi ramai pekerja masih menunggu gaji masuk sebelum mengisi minyak atau membayar ansuran rumah. Ekonomi berkembang megah dalam laporan tahunan, namun di media sosial rakyat masih berkongsi petua berjimat cermat untuk menghadapi hujung bulan. Seolah-olah negara sedang berlari dalam acara pecut, tetapi sebahagian rakyat masih tercari-cari kasut untuk turut sama berlari.

Hakikatnya, KDNK per kapita AS$15,000 merupakan pencapaian yang wajar diraikan kerana ia mencerminkan kekuatan asas ekonomi Malaysia. Namun sasaran AS$20,000 tidak seharusnya menjadi penamat, sebaliknya satu penanda aras ke arah ekonomi yang lebih inklusif, produktif dan berdaya tahan.

Akhirnya, kejayaan sebenar bukanlah apabila Malaysia berjaya menambah beberapa ribu dolar lagi pada angka KDNK per kapita. Kejayaan sebenar ialah apabila lebih ramai rakyat mampu membeli rumah pertama, menyimpan untuk hari tua, memperoleh pekerjaan yang bermaruah, menikmati pendidikan berkualiti dan membesarkan keluarga tanpa dibayangi kebimbangan tentang kos sara hidup. Ketika itulah statistik ekonomi bukan sahaja kelihatan indah di atas kertas, malah benar-benar dirasai dalam kehidupan seharian rakyat.

Friday, March 27, 2026

Solat Istisqa' sebagai ikhtiar memohon rahmat hujan

Dalam tradisi Islam, setiap fenomena alam tidak sekadar dilihat sebagai kejadian fizikal semata-mata, bahkan mempunyai dimensi spiritual yang menghubungkan manusia dengan penciptanya. Salah satu amalan yang mencerminkan hubungan ini ialah solat istisqa’ iaitu solat khusus yang dilakukan untuk memohon hujan ketika berlakunya kemarau atau kekeringan. Amalan ini bukan sahaja menggambarkan kebergantungan manusia khususnya orang Islam kepada Allah SWT tetapi juga menjadi simbol kesatuan umat Islam dalam menghadapi ujian bersama.




Baru-baru ini, inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Perlis dengan menganjurkan solat istisqa’ di perkarangan Istana Arau telah menarik perhatian masyarakat. Ia bukan sahaja mencerminkan keprihatinan pihak berkuasa terhadap isu kekurangan air tetapi juga menghidupkan kembali satu sunnah yang semakin jarang diberi perhatian dalam kehidupan moden.

Definisi solat Istisqa’

Solat istisqa’ berasal daripada perkataan Arab “istisqa” yang membawa maksud meminta air atau hujan. Dari sudut istilah syarak, ia merujuk kepada solat sunat yang dilakukan oleh umat Islam secara berjemaah untuk memohon kepada Allah SWT agar menurunkan hujan ketika berlaku kemarau atau kekeringan yang berpanjangan.

Amalan ini berasaskan kepada sunnah Nabi Muhammad SAW yang pernah melaksanakan solat istisqa’ apabila Madinah dilanda kekeringan. Dalam hadis-hadis sahih, baginda SAW digambarkan keluar bersama para sahabat ke kawasan lapang, mendirikan solat, berkhutbah dan berdoa dengan penuh keinsafan serta kerendahan diri.

Solat ini bukan sekadar amalan tradisi tetapi satu manifestasi pengakuan bahawa segala rezeki termasuk hujan adalah di bawah kekuasaan Allah SWT. Ia juga mengingatkan manusia bahawa segala ujian yang berlaku mungkin berkait dengan kelalaian atau dosa yang perlu diperbaiki.

Keperluan solat Istisqa’ dalam kehidupan moden

Dalam era moden yang serba canggih, manusia sering bergantung kepada teknologi untuk mengurus sumber air seperti empangan, sistem pengairan dan ramalan cuaca. Namun, apabila berdepan dengan kemarau yang berpanjangan, segala usaha ini kadangkala tidak mencukupi.

Di sinilah pentingnya solat istisqa’ sebagai pelengkap kepada usaha fizikal. Islam tidak menolak ikhtiar saintifik tetapi menekankan keseimbangan antara usaha zahir dan batin. Solat istisqa’ mengajar bahawa manusia tetap memerlukan pertolongan ilahi walaupun memiliki teknologi yang maju.

Selain itu, solat ini juga mempunyai nilai sosial yang tinggi. Ia menghimpunkan masyarakat tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama memohon rahmat Allah SWT. Dalam keadaan dunia yang semakin individualistik, amalan ini mampu mengukuhkan kembali semangat kebersamaan dan kesatuan umat.

Lebih daripada itu, solat istisqa’ juga berfungsi sebagai muhasabah diri. Dalam banyak riwayat, sebelum melaksanakan solat ini, umat Islam dianjurkan untuk bertaubat, memperbanyakkan istighfar dan meninggalkan perbuatan maksiat. Ini menunjukkan bahawa kekeringan bukan sahaja fenomena alam tetapi juga boleh menjadi peringatan terhadap keadaan spiritual manusia.

Ciri-ciri solat Istisqa’

Solat istisqa’ mempunyai beberapa ciri khusus yang membezakannya daripada solat sunat yang lain. Antaranya ialah:

1. Dilakukan secara berjemaah di kawasan Iapang

Solat ini lazimnya dilakukan di kawasan terbuka seperti padang atau dataran. Tujuannya adalah untuk menghimpunkan seramai mungkin umat Islam dan menzahirkan rasa kehambaan secara kolektif.

2. Dua rakaat seperti solat hari raya

Struktur solat istisqa’ hampir menyerupai solat sunat hari raya iaitu dua rakaat dengan takbir tambahan. Namun, terdapat perbezaan dari segi niat dan tujuan.

3. Disertai khutbah

Selepas solat, imam akan menyampaikan khutbah yang mengandungi nasihat, seruan kepada taubat serta peringatan tentang kebergantungan kepada Allah SWT.

4. Memperbanyakkan doa dan istighfar

Doa merupakan elemen utama dalam solat istisqa’. Imam dan jemaah akan mengangkat tangan dengan penuh harapan, memohon agar Allah menurunkan hujan yang membawa rahmat.

5. Mengubah posisi selendang atau pakaian

Salah satu sunnah dalam solat ini ialah imam membalikkan selendang atau pakaian sebagai simbol perubahan keadaan daripada kering kepada subur. Ia merupakan isyarat simbolik yang sarat dengan makna.

Pelaksanaan solat Istisqa’

Pelaksanaan solat istisqa’ tidak terhad kepada satu bentuk sahaja tetapi secara umumnya mengikuti garis panduan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

a. Sebelum solat

Sebelum solat dilaksanakan, umat Islam digalakkan untuk berpuasa, bertaubat, memperbanyakkan sedekah serta memperbaiki hubungan sesama manusia. Ini kerana doa yang dipanjatkan akan lebih mudah dimakbulkan apabila hati berada dalam keadaan bersih.

b. Pelaksanaan solat

Solat dilakukan sebanyak dua rakaat secara berjemaah. Pada rakaat pertama, imam membaca surah al-Fatihah diikuti surah tertentu dan begitu juga pada rakaat kedua. Takbir tambahan boleh dilakukan seperti dalam solat hari raya.

c. Khutbah dan doa

Selepas solat, imam akan menyampaikan khutbah yang menekankan kepentingan taubat dan keinsafan. Kemudian, doa istisqa’ dibacakan dengan penuh pengharapan. Dalam beberapa riwayat, baginda SAW mengangkat tangan tinggi-tinggi sehingga kelihatan ketiaknya, menunjukkan kesungguhan dalam berdoa.

d. Simbolik pembalikan selendang

Amalan membalikkan selendang oleh imam juga dilakukan sebagai simbol perubahan keadaan. Ia mengandungi mesej bahawa manusia berharap keadaan kering akan berubah menjadi subur dengan turunnya hujan.

Inisiatif di Perlis: menghidupkan sunnah dalam konteks semasa

Penganjuran solat istisqa’ oleh kerajaan negeri Perlis di perkarangan Istana Arau merupakan satu langkah yang signifikan dalam menghidupkan kembali amalan sunnah ini.

Dalam konteks semasa, isu kekurangan air bukanlah sesuatu yang asing. Perubahan iklim, peningkatan suhu global dan pengurusan sumber yang tidak seimbang telah menyebabkan beberapa kawasan berdepan dengan masalah bekalan air. Tindakan kerajaan negeri ini menunjukkan bahawa pendekatan spiritual masih relevan dan penting dalam menangani isu-isu tersebut.

Lebih menarik, pelaksanaan solat ini di kawasan istana membawa simbolik tersendiri. Ia menggambarkan kesatuan antara pemerintah dan rakyat dalam memohon pertolongan Allah SWT. Dalam sejarah Islam, pemerintah sering memainkan peranan penting dalam menganjurkan solat istisqa’, menunjukkan bahawa tanggungjawab menjaga kesejahteraan rakyat merangkumi aspek fizikal dan spiritual.

Inisiatif ini juga memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa solat istisqa’ bukan sekadar amalan tradisi tetapi satu keperluan yang boleh dilaksanakan pada bila-bila masa apabila diperlukan. Ia membuka ruang kepada negeri-negeri lain untuk mengambil langkah yang sama, seterusnya memperkukuhkan amalan keagamaan dalam masyarakat.

Solat istisqa’ mengandungi pelbagai pengajaran yang mendalam. Antaranya ialah:

a. Kesedaran tentang kekuasaan Allah: Hujan yang turun bukan hasil usaha manusia semata-mata, tetapi merupakan rahmat daripada Allah SWT. Ini mengingatkan manusia agar tidak terlalu bergantung kepada kemampuan sendiri.

b. Kepentingan taubat dan istighfar: Dalam banyak ayat al-Quran, Allah SWT mengaitkan turunnya hujan dengan keampunan dosa. Ini menunjukkan bahawa hubungan spiritual yang baik boleh memberi kesan kepada kesejahteraan fizikal.

c. Nilai kebersamaan: Solat ini menghimpunkan masyarakat dalam satu tujuan yang sama. Ia mengeratkan hubungan sosial dan menghapuskan perbezaan.

d. Keinsafan terhadap alam sekitar: Kekeringan juga boleh menjadi peringatan agar manusia lebih bertanggungjawab dalam menjaga alam sekitar. Pembaziran air dan pencemaran perlu dielakkan agar keseimbangan alam terpelihara.

Selain Perlis, negeri-negeri lain turut melaksanakan solat istisqa' sebagai ikhtiar. Walaupun selesai solat dilaksanakan, tidak ada tanda-tanda hujan akan turun di Perlis. Kelainan yang dirasai adalah cuaca agak kurang panas dengan awan yang bertompok-tompok tebal keputihan di langit.
 
Keadaan ini amat jauh berbeza dengan kesan solat Istisqa' ketika tahun 1998 di Brunei. Sultan Brunei dan rakyatnya telah melaksanakan solat Istisqa' di Masjid Jame' Asr Hassanal Bolkiah sekitar jam 9 pagi. Selesai bersolat, semua jemaah telah bersurai. Dengan rahmat Allah SWT, setengah jam selepas itu kelihatan awan hitam bertompok-tompok datang ke Bandar Seri Begawan lalu menurunkan hujan yang sangat lebat untuk mendinginkan cuaca yang panas. Itulah satu tanda yang sangat jelas dan dirasai oleh masyarakat Islam bahawa melalui solat dan doa, hujan akan turun.

Penutup

Solat istisqa’ bukan sekadar satu ibadah sunat tetapi satu manifestasi kebergantungan manusia kepada Allah SWT dalam menghadapi cabaran kehidupan. Dalam dunia yang semakin kompleks, amalan ini mengingatkan bahawa segala usaha perlu disertai dengan doa dan tawakal.

Inisiatif yang dilaksanakan di Perlis menjadi contoh bagaimana nilai-nilai Islam boleh diaplikasikan dalam konteks semasa. Ia bukan sahaja menyelesaikan keperluan praktikal tetapi juga memperkukuhkan hubungan spiritual masyarakat.

Akhirnya, solat istisqa’ mengajar bahawa setiap ujian mempunyai hikmah. Kekeringan mungkin menguji kesabaran tetapi ia juga membuka ruang untuk manusia kembali mendekatkan diri kepada pencipta. Dalam setiap titisan hujan yang turun, terdapat rahmat yang tidak ternilai dan dalam setiap doa yang dipanjatkan, terdapat harapan yang tidak pernah padam.

Thursday, March 26, 2026

Cuaca panas pengaruhi psikologi dan perubahan tingkah laku

Fenomena cuaca panas yang semakin ketara di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia seperti Kedah, Perlis dan Pulau Pinang bukan lagi sekadar perubahan musim biasa, sebaliknya mencerminkan kesan langsung perubahan iklim global yang semakin membimbangkan. Suhu yang meningkat secara konsisten, disertai tempoh kemarau yang lebih panjang telah mengubah corak kehidupan masyarakat. Dalam keadaan ini, cuaca panas bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan fizikal seperti dehidrasi dan strok haba tetapi turut mempengaruhi kesejahteraan psikologi manusia. Justeru, fenomena ini perlu dilihat secara holistik kerana ia melibatkan hubungan kompleks antara persekitaran fizikal dan tindak balas emosi serta tingkah laku manusia.




Dari sudut saintifik, suhu persekitaran yang tinggi memberi tekanan kepada sistem fisiologi badan manusia khususnya dalam mengawal suhu dalaman. Apabila badan bekerja lebih keras untuk menyejukkan diri, tenaga akan digunakan dengan lebih cepat menyebabkan keletihan fizikal dan mental. Keadaan ini seterusnya memberi kesan kepada fungsi otak termasuk keupayaan membuat keputusan, mengawal emosi dan mengekalkan fokus. Dalam konteks ini, cuaca panas menjadi faktor luaran yang boleh mengganggu keseimbangan psikologi individu tanpa disedari.

Salah satu kesan paling ketara akibat cuaca panas ialah peningkatan tahap tekanan dan kerengsaan emosi. Individu yang terdedah kepada suhu tinggi cenderung menjadi lebih mudah marah, cepat tersinggung dan kurang sabar dalam menghadapi situasi harian. Fenomena ini dapat diperhatikan dalam pelbagai konteks,termasuk di rumah, tempat kerja dan ruang awam. Dalam sesebuah keluarga, misalnya, komunikasi boleh menjadi tegang akibat perubahan emosi yang tidak stabil. Begitu juga di tempat kerja, pekerja mungkin mengalami penurunan toleransi terhadap tekanan, sekali gus meningkatkan risiko konflik interpersonal.

Selain itu, cuaca panas juga memberi kesan langsung kepada kualiti tidur. Suhu yang tinggi pada waktu malam mengganggu proses tidur yang nyenyak, menyebabkan individu sukar untuk mencapai rehat yang mencukupi. Kekurangan tidur ini akan membawa kepada keletihan kronik, penurunan tahap tumpuan dan kestabilan emosi yang terganggu. Dalam jangka panjang, gangguan tidur akibat cuaca panas boleh menjejaskan produktiviti kerja serta kesejahteraan mental secara keseluruhan. Individu yang tidak mendapat tidur yang berkualiti juga lebih cenderung mengalami tekanan dan kebimbangan.

Lebih membimbangkan, pendedahan berpanjangan kepada cuaca panas boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kebimbangan. Dalam keadaan suhu yang tinggi, individu mungkin mengalami keletihan emosi, hilang motivasi dan kurang minat terhadap aktiviti sosial. Keadaan ini boleh membawa kepada pengasingan sosial terutamanya apabila masyarakat memilih untuk mengurangkan aktiviti luar bagi mengelakkan panas.

Golongan rentan seperti warga emas, kanak-kanak dan individu yang mempunyai sejarah masalah mental adalah lebih mudah terjejas kerana keupayaan mereka untuk menyesuaikan diri dengan tekanan persekitaran adalah lebih terhad.

Dari perspektif sosial, cuaca panas turut mempengaruhi corak interaksi masyarakat. Aktiviti luar seperti riadah, perjumpaan komuniti dan program kemasyarakatan menjadi semakin berkurangan. Akibatnya, peluang untuk membina hubungan sosial yang sihat juga terjejas. Dalam sesetengah kes, kajian menunjukkan bahawa suhu tinggi boleh meningkatkan kecenderungan tingkah laku agresif dan konflik dalam masyarakat. Hal ini menunjukkan bahawa cuaca panas bukan sahaja memberi kesan kepada individu tetapi turut mempengaruhi dinamika sosial secara keseluruhan.

Di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia, kesan cuaca panas turut dirasai dalam aspek ekonomi, khususnya dalam sektor pertanian dan perikanan. Petani yang bergantung kepada cuaca untuk hasil tanaman seperti padi berdepan dengan risiko kemarau dan penurunan hasil. Keadaan ini menimbulkan tekanan ekonomi yang secara langsung mempengaruhi kesejahteraan psikologi mereka. Ketidakpastian pendapatan dan peningkatan kos sara hidup boleh menyebabkan tekanan emosi yang berpanjangan. Di kawasan bandar pula, peningkatan penggunaan penghawa dingin untuk menyesuaikan diri dengan suhu panas menyebabkan kos elektrik meningkat, sekali gus menambah beban kewangan kepada isi rumah.

Golongan tertentu dikenal pasti sebagai lebih berisiko dalam menghadapi kesan cuaca panas ini. Antaranya ialah pekerja luar seperti buruh binaan, petani dan nelayan yang terpaksa bekerja di bawah terik matahari. Selain itu, warga emas yang mempunyai keupayaan fisiologi yang semakin menurun serta kanak-kanak yang masih dalam proses perkembangan juga lebih mudah terjejas. Individu yang mempunyai penyakit kronik atau gangguan mental sedia ada turut berisiko mengalami kesan yang lebih serius. Oleh itu, pendekatan khusus perlu diambil bagi melindungi golongan ini.

Dalam menghadapi realiti cuaca panas yang semakin mencabar, masyarakat perlu mengamalkan strategi penyesuaian yang berkesan. Salah satu langkah penting ialah penyesuaian gaya hidup harian seperti mengelakkan aktiviti luar pada waktu puncak panas dan memastikan pengambilan air yang mencukupi. Selain itu, kesedaran terhadap kesan cuaca panas ke atas emosi juga perlu dipertingkatkan. Individu perlu mengenali perubahan emosi diri dan mengambil langkah untuk mengurus tekanan, seperti melalui teknik relaksasi, rehat yang mencukupi dan sokongan sosial.

Persekitaran fizikal juga memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesan cuaca panas. Penanaman pokok, penyediaan kawasan teduhan dan penggunaan reka bentuk bangunan yang mesra iklim dapat membantu menurunkan suhu persekitaran. Dalam konteks bandar, pembangunan berasaskan konsep hijau perlu diperkasakan bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat. Langkah-langkah ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi fizikal tetapi juga membantu meningkatkan kesejahteraan psikologi.

Peranan kerajaan dan institusi juga tidak boleh diketepikan dalam menangani isu ini. Dasar dan intervensi yang proaktif seperti penyediaan sistem amaran awal gelombang haba, jadual kerja fleksibel dan kempen kesedaran kesihatan mental amat diperlukan. Selain itu, penyediaan kemudahan awam seperti pusat penyejukan boleh membantu masyarakat menghadapi cuaca panas dengan lebih baik. Dalam jangka panjang, perancangan pembangunan perlu mengambil kira impak perubahan iklim bagi memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.

Kesimpulannya, fenomena cuaca panas di utara Semenanjung Malaysia merupakan cabaran yang melibatkan pelbagai dimensi termasuk aspek psikologi, sosial dan ekonomi. Kesan terhadap emosi dan tingkah laku manusia menunjukkan bahawa isu ini tidak boleh dipandang ringan. Oleh itu, pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu diperlukan bagi membantu masyarakat menyesuaikan diri dengan perubahan ini. Dengan kesedaran yang tinggi, sokongan komuniti dan dasar yang berkesan, masyarakat mampu menghadapi cabaran cuaca panas dan mengekalkan kesejahteraan hidup dalam jangka panjang.

Wednesday, November 12, 2025

Eksperimen sosial institusi agama dalam krisis sosial


Pengenalan

Agama berperanan sebagai panduan moral dan sistem nilai yang membentuk tindakan serta perilaku pengikutnya. Dalam tradisi utama seperti Islam dan Kristian, konsep kasih sayang dan belas ihsan merupakan teras ajaran yang sering diketengahkan melalui khutbah, kitab suci dan ajaran spiritual. Namun demikian, dalam konteks realiti sosial semasa, timbul persoalan besar tentang sejauh mana institusi keagamaan menterjemahkan nilai tersebut kepada tindakan konkrit, khususnya dalam menghadapi situasi kecemasan dan keperluan mendesak.

Satu eksperimen sosial yang dijalankan oleh Nikalie Monroe di Amerika Syarikat telah menimbulkan perbincangan luas tentang ketidaksepadanan antara ajaran agama dan tindakan sebenar. Dalam eksperimen ini, Nikalie membuat panggilan kepada pelbagai gereja tempatan dengan alasan memerlukan bantuan segera berupa susu formula untuk bayi berusia dua bulan yang kononnya sedang kelaparan.

Hasilnya, kebanyakan gereja enggan memberikan bantuan secara langsung, malah ada yang menolak mentah-mentah atau merujuk pemanggil kepada agensi lain. Sebaliknya, apabila Pusat Islam Charlotte dihubungi, respons yang diberikan bersifat segera, praktikal dan penuh empati.

Artikel ini membincangkan perbezaan yang ketara antara respons institusi gereja dan masjid serta menganalisis punca perbezaan tersebut. Pendekatan ini melibatkan perbandingan struktur organisasi, prinsip teologi, budaya pengurusan dan nilai spiritual yang mendasari tindakan tersebut. Penulisan ini juga akan menyandarkan analisis kepada sumber rujukan utama seperti al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW sebagai pengukuhan terhadap penemuan dan rumusan.

Nilai Kasih Sayang dalam Ajaran Agama

Kedua-dua agama Islam dan Kristian meletakkan nilai kasih sayang dan belas kasihan sebagai landasan ajaran. Dalam tradisi Islam, sifat rahmat merupakan salah satu prinsip utama yang menjadi ciri kenabian Rasulullah SAW. Hal ini ditegaskan dalam firman Allah:

"Dan Kami tidak mengutusmu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam." (Surah Al-Anbiya’, ayat 107)

Ayat ini memperlihatkan bahawa rahmat Islam tidak terbatas kepada umat tertentu, sebaliknya bersifat universal.

Dalam konteks eksperimen sosial yang dijalankan, Pusat Islam Charlotte mempamerkan penerapan prinsip ini dengan bertindak pantas menawarkan bantuan tanpa mempersoalkan latar belakang atau kepercayaan pemanggil.

Sebaliknya, walaupun kasih sayang merupakan nilai penting dalam ajaran Kristian, eksperimen ini memperlihatkan ketidakselarasan antara ajaran tersebut dan perlakuan institusi. Tindakan gereja yang menolak memberi bantuan atau menyerahkan tanggungjawab kepada agensi luar membangkitkan persoalan terhadap keberkesanan internalisasi nilai belas kasihan dalam pengurusan mereka.

Eksklusiviti Bantuan dan Akses kepada Amal

Antara isu utama yang ditimbulkan oleh eksperimen ini adalah sifat eksklusif sesetengah institusi keagamaan dalam menyalurkan bantuan. Nikalie Monroe menyatakan pandangannya bahawa bantuan daripada pihak gereja kelihatan hanya ditawarkan kepada ahli atau mereka yang menunjukkan potensi untuk menjadi ahli.

Keadaan ini mencerminkan bentuk amal yang bersifat terpilih, yang mana tindakan membantu hanya dilakukan apabila terdapat hubungan institusional antara penerima dan pemberi bantuan.

Pusat Islam Charlotte pula menunjukkan pendekatan yang berbeza sepenuhnya. Bantuan ditawarkan secara terbuka, tanpa syarat keahlian atau komitmen terhadap institusi tersebut. Ini sejalan dengan prinsip ihsan dalam Islam iaitu melakukan kebaikan tanpa mengharapkan balasan atau ganjaran duniawi. Hadis Nabi Muhammad SAW menyebut:

"Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan dunia daripada seorang mukmin, Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat." (Riwayat Muslim)

Walaupun hadis ini merujuk kepada sesama mukmin, prinsip ihsan dalam tradisi Islam diperluas oleh para ulama kepada semua manusia berdasarkan konsep maqasid syariah yang mengutamakan penjagaan nyawa, maruah, harta dan keturunan tanpa mengira agama.

Keupayaan Institusi dalam Mengurus Krisis

Satu lagi aspek yang perlu dianalisis ialah tahap kecekapan dan keberkesanan institusi agama dalam menghadapi krisis. Berdasarkan rakaman eksperimen, gereja-gereja yang dihubungi tidak mempunyai sistem dalaman yang mampu memberi bantuan segera. Kebanyakan mereka hanya memberikan rujukan kepada organisasi kebajikan lain atau menasihatkan pemanggil supaya menghubungi penyedia makanan.

Sebaliknya, respons dari Pusat Islam Charlotte memperlihat struktur bantuan yang lebih tersusun, pantas dan efektif.

Soalan yang ditanya oleh wakil masjid ialah lokasi dan jenis susu formula yang menunjukkan pendekatan yang bersifat penyelesaian serta-merta. Ini selaras dengan hadis Rasulullah SAW:

"Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia lain."
(Riwayat al-Tabarani)

Hadis ini menyiratkan bahwa tindakan yang paling mulia adalah tindakan yang memberikan keuntungan atau kebaikan bagi orang lain. Hadis ini juga menekankan bahwa pemimpin atau individu yang tidak peduli dengan nasib umat atau orang di sekitarnya, mendapatkan ancaman berat, karena tidak memberikan manfaat.

Kejadian ini memperlihatkan bahawa kecekapan dalam membantu masyarakat memerlukan bukan hanya bergantung pada keikhlasan tetapi juga kepada struktur organisasi, perancangan kebajikan dan keutamaan yang diberikan terhadap misi sosial dalam pengurusan institusi.

Ketelusan dan Akauntabiliti Dalam Pengurusan Sumber

Persoalan seterusnya yang timbul ialah bagaimana dana dan sumbangan yang dikumpul oleh gereja digunakan. Ramai ahli gereja memberikan sumbangan secara tetap atas niat untuk membantu golongan yang memerlukan. Namun apabila pertolongan segera gagal diberikan kepada seorang bayi yang kelaparan, maka timbul persoalan tentang ke mana perginya sumber tersebut dan sejauh mana keutamaan diberi kepada bantuan langsung.

Islam menggariskan bahawa setiap amanah mesti ditunaikan dengan penuh tanggungjawab. Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya..." (Surah An-Nisa’, ayat 58)

Konsep amanah ini bukan sahaja terpakai kepada pemimpin politik, malah meliputi setiap pemegang tanggungjawab dalam organisasi termasuk pengurus institusi keagamaan. Kegagalan mengagihkan bantuan kepada pihak yang benar-benar memerlukan merupakan pelanggaran terhadap prinsip asas amanah dan keadilan.

Antara Retorik dan Realiti: Krisis Kepercayaan Terhadap Institusi Agama

Ketidaksesuaian antara retorik keagamaan dengan tindakan sebenar akan mewujudkan jurang kepercayaan antara masyarakat dan institusi agama. Apabila nilai belas kasihan hanya diungkap melalui khutbah atau bahan bacaan tanpa sebarang pelaksanaan praktikal, wibawa institusi tersebut mula dipersoalkan.

Krisis ini boleh membawa kepada penurunan penglibatan komuniti, pengabaian terhadap ajaran agama dan ketidakpercayaan terhadap pemimpin spiritual.

Sebaliknya, apabila masjid seperti Pusat Islam Charlotte menunjukkan keselarasan antara nilai dan tindakan, masyarakat akan lebih mempercayai dan menghormati institusi tersebut. Kepercayaan yang terbina melalui tindakan nyata akan mengukuhkan kedudukan agama dalam kehidupan sosial moden.

Firman Allah SWT:
 
"Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kemurkaan Allah terhadap orang yang berkata tetapi tidak melakukannya." (Surah As-Saff, ayat 2-3)

Ayat ini secara jelas memberi amaran tentang bahaya hipokrasi dalam amalan keagamaan. Ia relevan dalam konteks analisis ini kerana menunjukkan betapa seriusnya ketidaksepadanan antara ucapan dan perbuatan.

Kesimpulan

Eksperimen sosial yang dijalankan oleh Nikalie Monroe membongkar jurang ketara antara retorik keagamaan dan pelaksanaan nilai belas kasihan dalam institusi agama. Respons negatif dan lambat daripada kebanyakan gereja mencerminkan kegagalan struktur, eksklusiviti budaya dan keutamaan yang menyimpang daripada ajaran asas.

Sebaliknya, tindakan segera dan praktikal oleh Pusat Islam Charlotte mencerminkan aplikasi nilai keagamaan yang bersifat inklusif, responsif dan berorientasikan penyelesaian.

Analisis ini mengajak institusi agama sama ada Islam, Kristian atau lainnya untuk menilai semula struktur dalaman, pendekatan kepada bantuan masyarakat dan ketelusan dalam pengurusan sumber. Sekiranya agama ingin kekal relevan dan dipercayai dalam masyarakat moden, maka tindakan mesti selaras dengan ajaran. Belas kasihan tidak seharusnya bersyarat, tidak tertangguh dan tidak terhad kepada ahli. Ia harus melampaui sempadan keanggotaan dan doktrin untuk sampai kepada mereka yang paling memerlukan.

Justeru disarankan agar pengurusan institusi agama menekankan pemerkasaan sistem bantuan kecemasan, penilaian keberkesanan agihan sumber serta penghayatan nilai belas kasihan yang bersifat praktikal dan menyeluruh.

Friday, September 05, 2025

Meneladani kesabaran Rasulullah SAW dalam mengurus tekanan hidup

Pendahuluan

Tekanan hidup merupakan ujian yang tidak dapat dielakkan oleh manusia. Sama ada kecil atau besar, tua atau muda, kaya atau miskin — setiap insan pasti berdepan dengan bentuk tekanan yang berbeza. Sumber tekanan pula boleh datang daripada faktor dalaman seperti kegelisahan, kekecewaan dan konflik diri, mahupun faktor luaran seperti cabaran pekerjaan, tekanan ekonomi, atau krisis sosial. Dalam konteks Islam, tekanan hidup bukan sekadar cabaran psikologi tetapi juga medan ujian untuk menguji tahap iman dan ketabahan seseorang.

Tekanan Hidup dalam Perspektif Islam

Islam menekankan bahawa setiap ujian atau tekanan merupakan ketentuan Allah swt yang bertujuan untuk menguji tahap keimanan hamba-Nya. Firman Allah swt:

“Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
(Surah al-Baqarah, 2:155)

Ayat ini menunjukkan bahawa tekanan hidup bukan tanda kelemahan, tetapi peluang untuk meningkatkan kesabaran dan kebergantungan kepada Allah. Dalam konteks moden, pelajar menghadapi tekanan akademik, pekerja berdepan tekanan produktiviti, manakala usahawan pula menanggung tekanan ekonomi. Namun semua ini dapat diurus dengan pendekatan spiritual jika dilihat sebagai ujian daripada Allah swt.

Rasulullah saw sebagai Teladan Ketabahan

Rasulullah saw adalah contoh terbaik dalam menghadapi tekanan hidup yang melampau. Baginda bukan sahaja dihina dan disakiti secara fizikal dan emosi, malah berdepan dengan ancaman pembunuhan dan pemulauan ekonomi. Dalam karya Al-Raheeq al-Makhtum oleh Sheikh Sofiy al-Rahman al-Mubarakfuri, dinyatakan bahawa kepala Rasulullah saw pernah diletakkan najis sembelihan ketika baginda sedang sujud bersolat. Namun baginda tidak membalas dendam, sebaliknya berdoa agar Allah memberi petunjuk kepada mereka yang menganiayainya.

Ketabahan ini menggambarkan kesempurnaan akhlak dan tahap kesabaran yang luar biasa. Allah swt memuji sifat ini dalam firman-Nya:

“Dan bersabarlah engkau (wahai Muhammad) terhadap apa yang mereka katakan, dan jauhilah mereka dengan cara yang baik.”
(Surah al-Muzzammil, 73:10)

Ayat ini menjadi pedoman bahawa dalam menghadapi tekanan, pendekatan terbaik ialah kesabaran dan kebijaksanaan dalam tindakan.

Tekanan Hidup Para Reformis dan Umat Kini

Selepas kewafatan Rasulullah saw, perjuangan dakwah diteruskan oleh para sahabat dan reformis Islam seperti Hassan al-Banna, Syed Qutb dan Fathi Yakan. Mereka turut berdepan tekanan hebat seperti dipenjara, diancam atau dibunuh hanya kerana menyampaikan kebenaran. Walaupun bentuk tekanan berbeza mengikut zaman, semangat perjuangan mereka tetap berpaksikan tauhid dan keadilan sosial.

Dalam konteks hari ini, tekanan hidup umat Islam turut berpunca daripada sistem sekular Barat yang memisahkan agama daripada kehidupan. Contohnya, sistem ekonomi berasaskan riba menjadikan kehidupan moden semakin menekan dan menafikan kesejahteraan sebenar yang dijanjikan oleh Islam. Untuk mengurus tekanan sebegini, umat Islam perlu kembali kepada prinsip syumuliyyah Islam iaitu menjadikan ajaran Islam sebagai panduan dalam semua aspek kehidupan.

Kesimpulan

Tekanan hidup ialah sebahagian daripada sunnatullah yang tidak dapat dielakkan. Rasulullah saw telah menunjukkan contoh agung dalam menghadapinya dengan sabar, doa dan istiqamah dalam perjuangan. Meneladani akhlak baginda bukan sahaja dapat membantu umat Islam menghadapi tekanan hidup dengan tenang, tetapi juga memperkukuh hubungan spiritual dengan Allah swt.

Sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar perayaan sejarah tetapi peluang untuk memperbaharui tekad agar kehidupan kita kembali berasaskan nilai-nilai Islam yang membawa ketenangan, keadilan dan kesejahteraan sejati.


Thursday, May 22, 2025

Wajarkah umur bersara dinaikkan?

Umur purata rakyat Malaysia telah melepasi 70 tahun. Jabatan Statistik Malaysia mencatatkan umur purata rakyat Malaysia adalah 75.2 tahun yang mana umur lelaki adalah 73 tahun dan perempuan 77.8 tahun. Dari segi kaum, orang Melayu berumur 74.4 tahun, Cina 77.1 tahun dan India 71.7 tahun.

Selangor mencatatkan umur paling panjang iaitu 78.8 tahun manakala paling pendek adalah Terengganu iaitu 72.2 tahun. Pendek kata, umur rakyat Malaysia bertambah panjang dari setahun ke setahun.

Jangka hayat yang semakin panjang ini sudah tentu ada kaitan dengan kemajuan dalam penjagaan kesihatan, kesedaran terhadap gaya hidup sihat, kemajuan teknologi kesihatan dan penambahbaikan dalam sistem sosial dan ekonomi.

Menarik juga kerana baru-baru ini seorang menteri telah mengutarakan umur bersara pekerja di Malaysia dinaikkan kepada 65 tahun. Ia bukanlah cadangan pertama kerana sebelum ini MTUC pernah mencadangkan usia persaraan dinaikkan. Cadangan ini dibuat sejak tahun 2019.

Namun, ada juga cadangan yang mahukan usia tersebut dinaikkan kepada 66 tahun. Walaupun begitu, semua cadangan ini tidak dilaksanakan kerana masih perlukan kajian lebih lajut kerana ia bakal memberi impak kepada peluang pekerjaan untuk golongan muda.

Di peringkat global, sudah banyak negara yang telah menaikkan had umur bersara. Belanda, Itali dan Norway menaikkan umur bersara pekerja mereka kepada umur 67 tahun. Negara-negara Barat lain turut menaikkan umur persaraan pekerja mereka.

Persoalannya, kenapa negara-negara ini bertindak menaikkan had umur persaraan? Apakah yang sedang berlaku dalam sektor pekerjaan mereka?

Banyak faktor yang menyumbang kepada tindakan ini. Antaranya adalah peningkatan bilangan penduduk yang berumur lebih 60 tahun dan masih kuat fizikal, tenaga kerja muda yang semakin berkurang dan penambahbaikan dalam sistem kebajikan negara.

Tekanan terhadap penduduk yang semakin tua ini menjadi pemicu kepada had umur bersara dinaikkan kerana banyak masalah yang akan muncul apabila berhenti kerja.

Masalah besar dalam sistem kebajikan negara adalah penurunan dalam sumbangan kewangan kepada sistem persaraan. Jumlah penduduk muda yang berkurangan bermakna sumbangan dalam sistem kebajikan persaraan akan terjejas. Dalam erti kata lain, sistem persaraan adalah berdasarkan sumbangan pekerja semasa untuk membayar kebajikan pesara.

Jika jumlah penduduk terus menurun, ia bakal menyebabkan defisit pembayaran kepada pesara akan berlanjutan.

Negara-negara yang menaikkan had umur bersara sedang berhadapan dengan bantahan umum khususnya golongan muda yang khuatir bakal hilang peluang pekerjaan. Ia dilihat sebagai ketidakadilan kepada peluang mereka dan tidak mendapat jumlah pencen yang mencukupi apabila bersara kelak.

Di Malaysia, peningkatan umur persaraan tidak dapat dielakkan lagi. Jumlah penduduk yang meningkat usia telah bertambah setiap tahun dan memberi tekanan ke atas sistem keselamatan sosial negara.

Jadi, apakan tindakan yang perlu dilakukan oleh kerajaan sebagai persediaan?

Antaranya adalah menawarkan pekerjaan dalam sektor awam tanpa ada sistem saraan. Tindakan ini sangat kritikal tetapi perlu dilaksanakan.

Langkah lain adalah mengukuhkan sistem persaraan dengan memperkasa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya pesara mempunyai lebih banyak simpanan, menambah baik skim kesihatan seperti potongan harga perkhidmatan dan rawatan serta akses kepada pembelajaran sepanjang hayat yang lebih meluas untuk peningkatan kemahiran diri.

Selain itu galakan latihan berterusan dalam teknologi digital dapat membantu pekerja untuk kekal relevan dalam sektor pekerjaan sedia.

Jadi, warga emas yang masih kuat dan berkemampuan dapat terus bekerja untuk menjana pendapatan sendiri di samping dapat mengekalkan kesihatan, menambahkan peluang ekonomi dan mengukuhkan sosialisasi diri.

Cadangan menaikkan umur persaraan boleh dilihat dari perspektif yang berbeza untuk berhadapan dengan perubahan penduduk bagi tempoh jangka masa panjang. Situasi ini akan dihadapi dan kerajaan harus menyediakan ruang kepada masyarakat untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang bakal berlaku ini.


Monday, February 10, 2025

Cabaran memajukan etnik dalam pembangunan sosioekonomi di Malaysia


Malaysia sebuah negara yang daripada pelbagai etnik dan tiga etnik yang utama adalah Melayu, Cina dan India manakala di Sabah dan Sarawak adalah etnik Kadazan-Dusun dan Iban merupakan etnik terbesar di kedua-dua buah wilayah.

Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian etnik, budaya dan agama. Keanekaragaman ini sebahagian besarnya disebabkan oleh sejarah penghijrahan, penjajahan, perdagangan dan perkembangan ekonomi di rantau Asia Tenggara. Terdapat beberapa asal usul etnik ini ada di Malaysia.


Melayu

Orang Melayu merupakan kumpulan etnik majoriti di Malaysia. Mereka berasal dari rantau Nusantara (kini Indonesia, Malaysia dan sekitarnya) dan telah mendiami Semenanjung Tanah Melayu sejak berabad-abad lalu. Orang Melayu memiliki budaya yang dipengaruhi oleh agama Islam yang dibawa oleh pedagang Arab dan India pada abad ke-14. Dalam Perlembagaan Malaysia, seseorang dikira sebagai Melayu jika mereka beragama Islam, berbahasa Melayu, salah seorang ibu atau bapa berketurunan Melayu dan mengamalkan adat resam Melayu [1].


Cina

Komuniti Cina di Malaysia bermula dari penghijrahan besar-besaran semasa era penjajahan British (abad ke-19 hingga awal abad ke-20). Kedatangan mereka ke Malaysia (dulu dikenali sebagai Tanah Melayu) disebabkan oleh peluang kerja dalam sektor perlombongan bijih timah, perladangan getah dan perdagangan. Terdapat juga faktor kesukaran hidup akibat kebuluran dan kelaparan. Kebanyakan pendatang Cina berasal dari wilayah selatan China seperti Fujian, Guangdong dan Hainan. Komuniti ini membawa budaya, bahasa dan adat resam mereka sendiri termasuk ajaran Taoisme, Buddha dan Kristian.


India

Komuniti India di Malaysia juga datang semasa era penjajahan British khususnya untuk bekerja di ladang getah dan pembinaan landasan kereta api. Kebanyakan mereka berasal dari selatan India iaitu Tamil Nadu namun ada juga yang berasal dari Kerala, Andhra Pradesh dan wilayah lain. Komuniti India membawa pengaruh budaya Hindu, Islam dan Kristian serta tradisi bahasa Tamil, Hindi dan bahasa-bahasa India lainnya.


Orang Asli

Orang Asli merujuk kepada kelompok peribumi yang telah mendiami Semenanjung Malaysia sebelum kedatangan orang Melayu atau bangsa lain. Mereka terdiri daripada pelbagai sub-etnik seperti Semai, Temiar, Jakun dan banyak lagi. Orang Asli biasanya tinggal di kawasan pedalaman dan memiliki gaya hidup yang lebih tradisional, bergantung kepada alam untuk keperluan harian mereka. Walaupun minoriti dalam konteks demografi moden, mereka dianggap sebagai penduduk asal tanah air ini.




Etnik-etnik Lain

Selain etnik utama, Malaysia juga memiliki komuniti etnik lain yang lebih kecil seperti Sikh (kebanyakannya dari Punjab, India), Eurasia (keturunan campuran Eropah dan tempatan) serta kelompok suku kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak (seperti Kadazan-Dusun, Iban, Bidayuh, Melanau dan lain-lain). Sabah dan Sarawak mempunyai kepelbagaian etnik yang sangat unik dan kompleks dengan ratusan sub-kumpulan etnik dan bahasa.

Kewujudan pelbagai etnik di Malaysia adalah hasil daripada beberapa faktor, pertama ialah perdagangan antarabangsa di mana pedagang dari India, China, Arab dan negara-negara Eropah yang telah singgah di rantau ini untuk bertukar barang dan mencari hasil dagangan. Kedua adalah penjajahan British, yang mana British menggalakkan penghijrahan buruh dari China dan India untuk memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor pertanian dan perlombongan. Ketiga adalah kedudukan strategik Malaysia di persimpangan laluan perdagangan dunia menjadikannya destinasi bagi pelbagai bangsa.

Kepelbagaian ini mencipta masyarakat yang kaya dengan budayanamun memberi cabaran dalam integrasi sosial dan politik. Namun, Malaysia terus berusaha mengekalkan harmoni melalui dasar-dasar yang mempromosikan perpaduan dan toleransi antara pelbagai kumpulan etnik.

Perkembangan semasa menunjukkan pertumbuhan penduduk Malaysia yang semakin menurun sejak 1970. Ketika itu, jumlah penduduk adalah 10.9 juta dengan kadar pertumbuhan 2.6 peratus, namun kadar ini berkurangan kepada 2 peratus pada 2024 dengan jumlah penduduk seramai 34.1 juta orang [2].




Pertambahan penduduk ini menambahkan lagi kerencaman dan kepelbagaian budaya. Ketika ini adalah sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang disambut oleh masyarakat Cina dengan majlis rumah terbuka. Perayaan sebegini diberi cuti umum dua hari dengan promosi separuh harga tol lebuh raya, harga istimewa jualan kenderaan dan barangan keperluan rumah serta diskaun di kedai dalam talian.

Fabrik sosial masyarakat Malaysia menjadi tarikan kepada banyak negara untuk mengkaji bagaimana negara ini boleh mengurus kepelbagaian sehingga berkembang dan maju. Slogan pelancongan iaitu ‘Malaysia Truly Asia’ menggambarkan betapa dekatnya Malaysia dengan cara hidup pelbagai bangsa di Asia. Berbeza budaya, bahasa dan agama tidak menjadi masalah untuk hidup dengan lebih harmoni dalam sebuah negara. Keadaan ini menunjukkan perbezaan ini bukan menjadi faktor kepada kelemahan negara sebaliknya ada faktor lain yang menjadi tarikan untuk menguatkan perpaduan negara.

Jika kita mengambil pendekatan global dalam menilai kemajuan sesebuah negara, terdapat tiga indikator yang menentukan status negara maju iaitu ekonomi, pendidikan dan kesihatan. Indikator ekonomi untuk mengukur tahap pendapatan rakyat, indikator pendidikan untuk menentukan kadar celik huruf dan indikator kesihatan untuk menentukan umur yang panjang. Perbandingan antara negara dapat dilihat dalam dalam Indeks Pembangunan Manusia (Human Development Index, HDI) [3] yang digunakan sebagai alat mempertimbangkan dan menilai pilihan dasar sebuah negara dengan mengemukakan soalan tentang bagaimana dua buah negara yang memiliki tahap Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita yang serupa boleh mencapai hasil pembangunan manusia yang berbeza. Perbezaan sedemikian berpotensi untuk memulakan perbincangan intelektual yang mendalam mengenai keutamaan dan keberkesanan dasar kerajaan dalam menguruskan aspek-aspek sosioekonomi masyarakat.

Apabila indikator-indikator ini diberi tumpuan dalam pembangunan negara, ia mengatasi indikator kaum yang sering kali menjadi penghalang kepada pembangunan sosial kerana keperluan kepada memenuhi keperluan sesuatu kaum yang masih menghadapi kelemahan dan perlu dibantu.

Kerumitan yang dihadapi oleh kerajaan Malaysia untuk mengatasi jurang ekonomi, pendidikan dan kesihatan diterjemahkan dalam pelbagai dasar yang dirangka untuk merapatkan jurang berkenaan. Satu dasar yang sangat signifikan dan masih menjadi rujukan sehingga kini ialah Dasar Ekonomi Baru yang memberi tumpuan kepada pembasmian kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Kedua-dua sasaran ini dapat dilihat pelaksanaannya dalam semua aktiviti masyarakat yang memberi impak secara langsung kepada rakyat Malaysia.

Contohnya dalam merancang pembasmian kemiskinan masyarakat yang berada dalam kategori miskin dalam masyarakat Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak. Pelajar pelajar yang cemerlang di kawasan luar bandar telah dipilih dan diberi bantuan ke sekolah berasrama penuh dan sekolah bantuan kerajaan yang berasrama supaya mereka mendapat pendidikan terbaik. Pelajar-pelajar yang berjaya di sekolah menengah ini dihantar belajar ke universiti di dalam dan luar negara. Selepas tamat pengajian mereka akan memenuhi pasaran kerja dengan pendapatan yang lebih baik untuk membantu adik-beradik yang masih belajar di kampung. Kitaran ini terus berlaku sehingga semua adik-beradik selesai belajar.

Impak yang paling menonjol ialah kadar kemiskinan di luar bandar dapat dikurangkan dalam tempoh satu generasi sahaja. Keluarga di luar bandar tidak lagi terbeban dengan tekanan ekonomi kerana anak-anak yang berpendidikan dengan sendirinya mempunyai peluang untuk meneroka pekerjaan yang dapat memberikan pendapatan yang lebih banyak di bandar.

Impak dalam pendidikan adalah lebih hebat dan menjangkau dalam pelbagai bidang. Contohnya apabila sesebuah negara mempunyai ramai bijak pandai, maknanya lebih banyak kolej dan universiti akan dibina bagi melahirkan tenaga kerja dan pakar dalam pelbagai bidang. Keperluan untuk pembangunan tidak terhad kepada menyediakan apa yang tidak ada malah menaik taraf apa yang telah ada. Kolej dan universiti ini juga boleh menawarkan tempat untuk pelajar antarabangsa memajukan negara masing-masing sepertimana yang dilakukan oleh Malaysia.

Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru ini telah menghakis syak wasangka sesama kaum dan mencipta platform baharu dalam pengelompokan berdasarkan kelas sosial. Pengelompokan kelas sosial seperti B40, M40 dan T40 tidak lagi melihat kaum sebagai punca kepada kemiskinan tetapi mengguna pakai indikator ekonomi iaitu jumlah tertentu sebagai pendapatan yang dijadikan ambang bagi sesuatu kategori kelas sosial. Pergerakan di satu kelas ke satu kelas yang lebih tinggi ditentukan oleh jumlah pendapatan keluarga yang boleh dijadikan ukuran untuk mendapatkan bantuan kerajaan.

Apabila sistem ini telah stabil, ia akan dapat mengurangkan pengenalan kaum dan digantikan dengan kelas sosial berpendapatan. Dari sini, kita akan dapat melihat kaum yang masih berada dalam kelompok sosial B40 atau M40. Jika masih belum dapat keluar dari kelompok B40, mereka akan dibantu supaya mendapat akses kepada peluang-peluang ekonomi yang disediakan. Jika masih berada dalam kelompok M40, mereka akan dibantu dengan kaedah lain yang sesuai untuk mengurangkan beban ekonomi isi rumah.

Kerajaan Malaysia memperkenalkan banyak bantuan untuk meringankan beban ekonomi rakyat. 'Bantuan Sara Hidup' atau BSH adalah bantuan bersasar untuk kategori penerima tertentu. Bantuan diberikan secara tunai kepada penerima yang layak mengikut kriteria yang telah diumumkan oleh kerajaan. 

Skim bantuan secara bersasar ini bermula dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ketika pentadbiran Najib Razak. Seterusnya pertukaran pentadbiran menggunakan pelbagai nama dengan kaedah bantuan yang lebih bersasar dan merangkumi pelbagai kategori.





BR1M

Bantuan ini dimulakan oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 7 Oktober 2011. Pada mulanya ia hanya bantuan RM500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan tidak melebihi RM3,000. Setiap tahun selepas itu, BR1M sentiasa ditambah baik, justeru nilai bantuan ditambah menjadi RM1,000 dalam Bajet 2016.


BSH

Pada 2018, BR1M kemudian ditukar kepada Bantuan Sara Hidup (BSH). Menerusi BSH, isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah menerima bantuan berjumlah RM1,000. Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM2,001 hingga RM3,000 ke bawah menerima bantuan berjumlah RM750. Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM3,001 hingga RM4,000 menerima bantuan berjumlah RM500.


BPR

November 2020, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan BSH akan digantikan dengan Bantuan Prihatin Rakyat. Isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dengan seorang anak menerima bantuan sebanyak RM1,200 manakala isi rumah yang mempunyai dua anak atau lebih menerima RM1,800. Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM2,501-RM4,000 dan mempunyai seorang anak menerima bantuan RM800 manakala isi rumah yang mempunyai 2 orang anak atau lebih menerima RM1,200.

Sementara itu, isi rumah berpendapatan bulanan antara RM4,001-RM5,000 dan seorang anak menerima RM500 manakala isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih, RM750.


BKM

Pada tahun 2022, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) telah menggantikan insentif kewangan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) pada tahun sebelum ini. Bagi mereka yang telah menerima Bantuan BPR tidak perlu membuat sebarang permohonan baru kerana hanya perlu kemas kini dan membuat semakan jika ada sebarang perubahan maklumat. Menerusi pembayaran itu, setiap penerima menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masing dengan bayaran secara berperingkat.

Pengagihan bantuan dibuat lebih menyeluruh seperti warga emas tiada pasangan dan golongan bujang masing-masing menerima RM600 dan RM350, bergantung kepada had pendapatan. Bantuan sebanyak RM3,000 bayaran maksimum turut diberikan kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan anak iaitu kenaikan RM500 berbanding RM2,500 sebelum ini.






Selain daripada skim bantuan BSH yang popular, terdapat skim bantuan lain yang ditawarkan iaitu MySalam, rebat elektrik, myRAPID, Bantuan Awal Persekolahan, i-SURI, i-SINAR dan Skim Peduli Kesihatan untuk B40 [4].



Kesimpulan

Etnik di Malaysia terdiri daripada Melayu, Cina, India, Orang Asli serta pelbagai kumpulan etnik lain di Sabah dan Sarawak. Keanekaragaman ini sebahagian besarnya disebabkan oleh faktor sejarah seperti perdagangan antarabangsa, penjajahan British dan kedudukan strategik Malaysia sebagai pusat perdagangan global. Walaupun kepelbagaian ini menjadi aset kepada negara, ia juga membawa cabaran dalam isu-isu integrasi sosial dan politik.

Bagi mengatasi jurang ekonomi, pendidikan dan kesihatan antara kumpulan etnik, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan pelbagai dasar termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula struktur masyarakat. Dasar ini telah memberikan impak positif seperti pengurangan kemiskinan dalam kalangan masyarakat luar bandar, peningkatan akses kepada pendidikan berkualiti dan penciptaan platform baru berdasarkan kelas sosial (B40, M40, T40) bagi menggantikan pengelompokan berdasarkan kaum.

Selain itu, kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai skim bantuan kewangan seperti BR1M, BSH, BPR dan BKM untuk meringankan beban ekonomi rakyat. Skim-skim ini menunjukkan usaha kerajaan untuk menyediakan sokongan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana tanpa mengira etnik.

Secara keseluruhan, Malaysia berjaya mengurus kepelbagaian etnik dengan harmoni melalui dasar-dasar yang inklusif dan berfokus kepada pembangunan manusia. Walau bagaimanapun, cabaran-cabaran seperti ketidakseimbangan sosioekonomi masih wujud dan memerlukan penyelesaian berterusan untuk memastikan kesejahteraan semua rakyat Malaysia.


Rujukan

[1] https://sainsinsani.usim.edu.my/index.php/sainsinsani/article/view/174
[2] https://open.dosm.gov.my/ms-MY/dashboard/population
[3] https://hdr.undp.org/data-center/human-development-index#/indicies/HDI
[4] https://www.pmo.gov.my/governments-aid-for-the-people/


Monday, January 20, 2025

Impak kenaikan gaji penjawat awam terhadap ekonomi negara

Bulan ini penjawat awam menerima gaji yang lebih tinggi selepas kerajaan memperkenalkan skim baharu perkhidmatan awam atau popular di panggil SSPA. Kenaikan antara RM100 hingga RM400 adalah satu kelegaan kerana dapat mengurangkan tekanan hidup khususnya memenuhi keperluan membeli barangan makanan, pengurusan rumah tangga, yuran persekolahan, insurans, sedekah dan sebagainya.

Memiliki lebihan tunai di tangan bermakna lebih banyak tunai yang boleh disimpan sama ada dalam Tabung Haji atau simpanan masa hadapan.

Pelarasan gaji yang dilaksanakan ini merupakan satu bentuk penambahbaikan dalam sektor awam bagi menggalakkan penjawat awam lebih bersemangat untuk bekerja. Di samping gaji, penjawat awam juga mendapat faedah yang membantu melapangkan fikiran. Contohnya pembelian rumah pertama, penjawat awam boleh memohon pinjaman melalui LPPA untuk mendapatkan rumah idaman. Kadar faedahnya juga rendah iaitu 4%. Selepas pencen, penjawat awam turut menikmati kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh kerajaan seperti mendapat kemudahan wad yang lebih baik ketika menerima rawatan, diskaun bayaran hotel dan tambang perkhidmatan awam yang lebih rendah.

Pertambahan gaji menjadi satu motivasi kepada penjawat awam untuk bekerja dengan lebih bersemangat. Terdapat kajian yang menyatakan bahawa salah satu pendorong kepada kecemerlangan penjawat awam ialah kenaikan gaji [1][2][3].

Impak kenaikan gaji memberi input yang positif kepada kualiti hidup keluarga. Rata-rata sebuah isteri rumah di Malaysia adalah sekitar lima orang iaitu bapa sebagai ketua isi rumah bersama ibu dan tiga orang anak. Keperluan makan, minum dan tempat tinggal isi rumah adalah berdasarkan kawasan tempat tinggal mereka. Jika di bandar, lebih banyak pendapatan yang perlu digunakan kerana kos harga barang dan perkhidmatan yang lebih tinggi. Di luar bandar, dengan kos harga barang dan perkhidmatan yang relatifnya lebih rendah, isi rumah mempunyai lebih banyak tunai di dalam tangan.

Perbezaan bandar dan luar bandar ialah di bandar terdapat lebih banyak peluang untuk menambahkan pendapatan.

Kualiti hidup tidak sahaja bergantung kepada wang sebalikya dipengaruhi oleh persekitaran tempat kerja. Umumnya seseorang yang bekerja akan memperuntukkan lapan hingga sepuluh jam untuk menguruskan hal ehwal pekerjaannya. Sekiranya bekerja di dalam pejabat, aktiviti mesyuarat, berbincang, menyiapkan laporan dan berkomunikasi akan banyak berkisar di dalam pejabat. Jika suasana pejabat tidak selesa, kurang dinamik dan tidak produktif, pekerja akan terperangkap dengan gejala reaktif, lembap dan tidak mahu berlawan dengan cabaran.

Keadaan ini tidak membawa apa-apa kebaikan kepada pekerja dan syarikat sebaliknya boleh menimbulkan penolakan terhadap sebarang usaha reformasi kehidupan.

Untuk mengubah persekitaran kerja, kita boleh mencari syarikat hiasan dalaman yang banyak menawarkan cita rasa pejabat yang lebih selesa. Ada juga syarikat yang menyediakan ruang pejabat yang lebih menarik dan merangsang semangat bekerja.

Impak kepada ekonomi negara juga dapat dilihat apabila gaji penjawat awam dinaikkan. Apabila kesemua penjawat awam berbelanja dalam tempoh seminggu selepas mendapat gaji bulanan mereka, aktiviti di premis perniagaan akan rancak dan aktif. Pembelian produk, belanja makan dan minum serta pembayaran perkhidmatan sentiasa menggerakkan rantaian ekonomi tempatan.

Contohnya, apabila sebuah keluarga membeli barangan keperluan rumah untuk tempoh sebulan, perbelanjaan yang dikeluarkan adalah sebanyak RM500 hingga ke RM700. Bayangkan jika jutaan keluarga membayar sejumlah ini pada tempoh yang sama di seluruh negara, ia akan menggerakkan ekonomi domestik dengan pantas. Kilang terpaksa menggandakan pengeluaran apabila peniaga minta ditambah produk, justeru penghantaran produk melibatkan pertambakan kenderaan di jalan-jalan raya.

Sebaik sahaja lori memulakan perjalanan, syarikat minyak akan menerima bayaran, syarikat tol juga bakal mendapat keuntungan dan kedai-kedai makan, gerai tepi jalan malah bengkel kereta turut menerima tempias keuntungan.

Semua orang yang terlibat dalam sistem ini bakal mendapat habuan masing-masing untuk memenuhi keperluan asas hidup.

Satu-satunya golongan yang tidak mendapat untung ialah orang yang tidak bekerja atau menganggur. Oleh kerana tidak bekerja, mereka tidak merasai gerak kerja putaran ini. Mereka tidak dapat memegang wang, tidak dapat membeli dan tidak merasai kegembiraan berbelanja.

Bagi mengatasi keadaan ini, agensi kerajaan mewujudkan strategi latihan semula, wang ehsan, bantuan sara hidup dan apa sahaja program yang dapat menyalurkan wang kepada kumpulan sasar dengan harapan dapat menggerakkan putaran wang supaya ekonomi negara terus dinamik. Kenaikan gaji penjawat awam memberi impak besar kepada keseluruhan ekonomi negara.


Rujukan

[1} Abu Hassan Asaari, Muhammad & Mat Desa, Nasina & Loganathan, Subramaniam. (2024). Influence of Salary, Promotion, and Recognition toward Work Motivation among Government Trade Agency Employees. International Journal of Business and Management. 14, 48-48.
[2] Amanda Jaisingh. (2019). The Impact of a Good Remuneration Package to Public Servants on the Enhancement of the Delivery of Public Services. Texila International Journal of Management, Volume 5, Issue 1, DOI: 10.21522/TIJMG.2015.05.01.Art024
[3] Lee Lam Thye. (28 December 2023). Better pay will motivate public servants. https://www.nst.com.my/opinion/letters/2023/12/994793/better-pay-will-motivate-public-servants

Monday, January 06, 2025

Maruah diri: Antara harga diri, adab dan penghormatan


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi reaksi yang amat mendalam dan bermakna ketika mengulas insiden seorang peniaga minuman dalam satu ceramah yang telah dipermalukan di khalayak. Perkataan yang diucapkan oleh seorang penceramah kepada peniaga tersebut disifatkan tidak wajar biarpun disambut ketawa terbahak-bahak oleh seorang rakan di sisinya. Ramai penonton yang menyaksikan peristiwa ini. Ada yang mengikut tertawa dan ada yang berwajah serius.

Antara ucapan Anwar adalah, “Ini satu contoh bahawa keangkuhan dan kesombongan bukan saja dalam kalangan orang yang tidak tahu agama, tetapi juga mereka yang memahami agama, bercakap tentang Islam, akidah, dan solat, tetapi kadangkala masih boleh menghina”.

Maruah seseorang ada nilainya sama ada ketika masih hidup mahupun sudah meninggal dunia. Maruah adalah lambang kehormatan yang menentukan kewibawaan, kemuliaan dan penerimaan orang lain terhadap diri sendiri. Dalam bahasa yang mudah, maruah disebut harga diri iaitu sejumlah nilai yang wujud dalam diri yang dipersepsikan sebagai satu bentuk pandangan yang patut diterima dengan rela hati oleh orang lain.

Harga diri yang tinggi sudah tentu akan mendapat penghormatan manakala harga diri yang rendah, ia lebih cenderung dipandang hina, malah mungkin tidak dihiraukan.

Maruah atau harga diri wajar selalu dinilai supaya kita tahu di mana dan bagaimana keadaan diri kita. Penilaian ini mungkin berbeza-beza pada setiap orang namun Dr Azahari Ismail, pensyarah saya di universiti memberikan tujuh dimensi maruah diri. Ia merangkumi ekonomi, politik, sosial, psikologi, agama, budaya dan estetika.

Ekonomi

Ia merujuk kepada jumlah pendapatan yang kita boleh dapat daripada pekerjaan sama ada bekerja sendiri, sambilan atau makan gaji. Andainya kita baharu bekerja sebagai pegawai, gaji asas dan elaun tidak sebanyak mana tetapi agak selesa. Selain itu, jumlah perbelanjaan yang digunakan semasa tempoh belajar juga boleh menentukan maruah diri kerana semakin tinggi aras pendidikan, perbelanjaan juga semakin meningkat biarpun mendapat bantuan kewangan dalam bentuk biasiswa atau dermasiswa.

Satu lagi adalah keringat yang dikeluarkan untuk membuat kerja-kerja sambilan bagi menambah pendapatan. Semakin rajin bekerja, In shaa Allah pendapatan turut meningkat dan sifat-sifat insaniah juga berkembang dengan lebih cepat, justeru dapat membuka watak diri yang lebih matang dan berpandangan jauh.

Kita mesti berusaha meningkatkan pendapatan dan menambah baik status ekonomi supaya dapat membeli dan berbelanja bagi memudahkan urusan harian, membantu keluarga dan saudara mara, bersedekah, beramah mesra dengan masyarakat demi membina kesenangan hidup masa hadapan.

Politik

Maksud politik di sini adalah kebebasan diri untuk membuat pilihan dan kita bersetuju dengan pilihan tersebut supaya hidup sejahtera. Bagi mencapai maruah politik, kita sendiri wajar mempunyai prinsip hidup dan idea sendiri yang dapat mempengaruhi orang lain. Tidak kiralah di rumah, tempat kerja atau persatuan. Keazaman untuk membuat perubahan ini harus bermula dari dalam diri sendiri, diketengahkan kepada orang sekeliling dan digerakkan sehingga mendapat sokongan ramai.

Memiliki maruah politik bermakna kita mempunyai pandangan sendiri yang boleh mempengaruhi orang lain ke arah memenuhi kemahuan diri. Di sini, lahirlah kata-kata semangat untuk berpolitik iaitu ‘play the game, follow the rules; win the game, change the rules”. Jika tidak menjadi pempegaruh yang hebat pun, sekurang-kurangnya keluarga dan rakan taulan mengetahui bahawa kita ada pandangan sendiri.

Sosial

Bahagia atau kecewa dalam hidup ditentukan oleh bagaimana berinteraksi dengan orang lain. Penerimaan orang lain terhadap kita boleh menjadi ukuran kepada tinggi atau rendah maruah diri. Interaksi dengan pelbagai jenis orang, status sosial atau rencam budaya boleh meluaskan jaringan sosial melangkaui sempadan bangsa, agama atau budaya.

Jika sebagai orang biasa, jaringan sosial yang sesuai dan memadai adalah dimuliakan rakan-rakan sekerja, kawasan tempat tinggal ataupun kariah masjid. Jika ada jawatan di peringkat daerah atau bahagian, pertemuan dengan berbilang-bilang orang dalam suasana mesra adalah satu lambang yang kita memiliki maruah sosial yang tinggi. Kebahagiaan ini tidak harus bertukar serta-merta kepada kekecewaan walaupun kadang kala interaksi sosial ini tidaklah seperti yang diharapkan. Biasalah kerana ‘langit tidak selalu cerah’ malah ‘poket tidak selalu kering’.

Psikologi

Minda yang cergas, ceria dan pintar adalah imbasan daripada jiwa yang tenang dan damai, dua perkara ini orang sangat mencari, ada yang sanggup berhabis beribu-ribu ringgit untuk mendapatkan ketenangan dan merasai kedamaian hidup. Banyak orang berhabis wang kerana mencari kawasan hutan, gunung, pantai atau ke mana sahaja yang dapat membuatkan mereka dapat berehat sebentar menjauhi kata-kata toksik dan merupakan seketika muka-muka yang meresahkan. Memiliki maruah bermakna memiliki minda yang dapat menjadi penentu kepada jiwa yang bahagia dengan kehidupan. Pengayaan minda boleh ditambah dengan membaca buku, menulis pandangan dan berkongsi pelbagai isu untuk menyelesaikan masalah.

Agama

Dalam Islam, solat lima waktu sehari semalam adalah satu kewajipan. Di dalam tafsir disebutkan ‘Allah Maha Besar’ iaitu manifestasi yang menyatakan ada Tuhan yang mesti diingat. Manifestasi ini dibawa ke dalam kehidupan sejak bangun dari tidur hingga kembali tidur pada sebelah malamnya. Kendurlah sedikit keinginan untuk ponteng kerja, membazir masa atau tidak bersungguh-sungguh di tempat kerja. Sebabnya dalam fikiran kita terbayang Allah SWT akan menilai setiap kerja yang dibuat. Malangnya bagi orang yang lupa dan lalai dengan slogan ‘Allah Maha Besar’ ini, mereka menggunakan slogan ‘Member Akhbar’ iaitu kebergantungan kepada kawan-kawan. Sifat bergantung inilah yang menjadikan maruah diri boleh dijual beli. Jika rakan-rakan membantu, kepada merekalah diberi kesetiaan dan harapan. Biarlah setiap masa dan keadaan kita menjaga maruah diri dengan tetap berterusan mengingati ‘Allah Maha Besar’ kerana Tuhan tidak pernah bercuti untuk mendengar doa dan memberi penyelesaian.

Budaya

Setiap bangsa berkembang dan kuat dengan tradisi dan budaya yang diamalkan. Adab dibentuk melalui amalan budaya yang diwarisi dari satu generasi ke generasi sehingga ia menjadi sempurna. Maruah diri yang dipandang mulia diiringi dengan adab diri yang tinggi juga. Adab juga dibentuk oleh peraturan-peraturan dalam beragama yang digaul sekali dengan tradisi supaya akan wujud satu budaya yang kuat dan unik. Contohnya, orang yang mempunyai maruah diri meletakkan adab mengatasi ilmu kerana adab adalah cermin kepada citra diri. Adab menjadikan seseorang lebih banyak ilmu dapat diperoleh tetapi ilmu yang tinggi belum tentu dapat membuahkan adab yang mulia. Biasa sahaja kita mendengar orang mengatakan ‘ilmu tinggi tetapi tidak ada adab’.


Estetika

Maksudnya ialah keindahan, kecantikan atau keelokan fizikal iaitu tubuh badan kita. Setiap anggota badan dari hujung rambut ke hujung jari kaki adalah ciptaan yang sangat sempurna. Setiap satunya harus digunakan secara berkesan supaya maruah diri berada pada tahap tertinggi. Amat malanglah bagi seseorang anak muda yang mencederakan paru-parunya dengan aktiviti yang boleh merosakkan kesihatan diri, begitu juga anak muda yang yang merasa bangga selepas menyedut bahan-bahan terlarang masuk ke dalam badannya. Maruah diri adalah bersyukur dengan kurniaan Tuhan. Pertanyaan yang perlu disoal kepada diri sendiri supaya kita sentiasa menjaga maruah diri adalah, pertama, sepuluh sebab orang lain perlu kenal diri kita; kedua, sepuluh sebab kenapa kita perlu berada di sini; dan, ketiga, sepuluh sebab kenapa orang lain mesti ikut kita.

Oleh kerana itulah apabila ada penilaian negatif ataupun penghinaan ke atas diri kita, kita mesti segera menilai diri dengan menambah baik aspek-aspek yang masih berkurangan supaya orang tahu kita ada harga diri dan harus dimuliakan.

Sebagai kesimpulan, maruah diri adalah aset berharga yang mencerminkan keperibadian, kewibawaan dan kehormatan diri kita. Ia merangkumi pelbagai dimensi seperti ekonomi, politik, sosial, psikologi, agama, budaya dan estetika yang semuanya saling berkait rapat dalam menentukan kedudukan kita di mata masyarakat dan di sisi Tuhan. Oleh itu, kita perlu sentiasa menilai dan memperbaiki diri, menjaga tingkah laku dan berpegang teguh kepada prinsip hidup yang mulia. Dengan menjaga maruah diri, kita bukan sahaja dihormati oleh orang lain tetapi juga mampu menjalani kehidupan dengan penuh keberkatan dan kebahagiaan.


Rujukan

https://sarangburung.net/ini-respon-pmx-selepas-tular-video-pendakwah-gelar-penjual-air-sebagai-bodoh/



Sunday, December 15, 2024

Perkemas pengurusan banjir

Banjir yang melanda beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia pada tahun lepas disifatkan sebagai terburuk, sekurang-kurangnya untuk tempoh sembilan tahun lepas. Kelantan dan Terengganu adalah adalah negeri yang paling terkesan yang mana lebih daripada 30,000 mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Banjir (PPB) yang disediakan.

Di TikTok, kawasan banjir yang menjadi tumpuan adalah sekitar Rantau Panjang kerana bersebelahan sempadan Thailand yang turut dilanda banjir. Terdapat sebahagian mangsa-mangsa banjir ini berkongsi video bagi menghiburkan hati untuk mengurangkan tekanan kerana trauma akibat rumah dimasuki air. Manakala di lebuh raya laluan Jitra, laluan dilencongkan kerana air menutupi keseluruhan jalan yang ditenggelami air.

Di Malaysia, bulan November dan Disember adalah bulan banjir. Kawasan yang menerima air hujan yang banyak akan mengalami banjir kilat dan banjir termenung. Keadaan ini turut menenggelamkan rumah dan kawasan kelapa sawit bertukar menjadi tasik.

Kerugian yang ditanggung pula tidak terkira sama ada di pihak orang awam atau yang bekerja makan gaji tidak begitu risau. Namun bagi mangsa banjir yang bekerja sendiri sudah tentu rungsing memikirkan bagaimana hendak berniaga.

Psikologi mangsa banjir jauh berbeza dengan musibah bencana alam yang lain. Mereka mudah rasa kecewa, marah dan ada masanya mudah hilang sabar. Semuanya mudah kerana perubahan mendadak yang berlaku dan kurang persediaan dalam beberapa aspek penting terutama kawalan stres.

Tidak dinafikan tekanan perasaan akibat banjir membuatkan perubahan besar dalam hidup. Jika peniaga, kerosakan barang jualan cukup memeningkan kepala. Barang rosak bermakna produk tidak dijual dan tiada pendapatan. Tanpa sokongan mental dan psikologi, peniaga boleh hilang pertimbangan dan bertindak di luar kewarasan.

Trauma banjir memberikan kesan berpanjangan kepada mangsa-mangsa banjir khususnya kanak-kanak. Mereka akan resah dan gelisah apabila berada dalam persekitaran berair yang lebih daripada kebiasaan biarpun dalam kolam renang.

Justeru orang awam sama ada berkumpulan atau perseorangan, pertubuhan bukan kerajaan atau badan korporat wajar diberi pendedahan tentang psikologi menyantuni mangsa-mangsa banjir lebih-lebih lagi di Pusat Pemindahan Banjir. Selain membantu membersihkan rumah, petugas atau sukarelawan ini harus memiliki sifat empati dan sentiasa mengambil pendekatan yang dapat mententeramkan hati mangsa melalui pertuturan, air muka dan tingkah laku.

Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di sini perlu mengambil kira keperluan menghilangkan kerisauan dan kebimbangan hati semua pihak yang terlibat. Susunan aktiviti biarlah bersesuaian mengikut tahap umur mangsa seperti warga emas, ibu bapa, remaja dan kanak-kanak. Contoh aktiviti untuk kanak-kanak ialah melukis dan permainan setempat yang menghiburkan. Bagi remaja pula, mereka suka aktiviti berbentuk persaingan manakala warga emas sudah cukup dengan menyediakan ruang untuk berbual-bual.

Bagaimanapun kreativiti aktiviti lebih menarik jika sukarelawan dapat memenuhi kehendak mangsa banjir bagi mengisi rasa bosan di pusat pemindahan. Antara aktiviti berkesan yang dapat mengurangkan kerisauan ialah lawatan tokoh masyarakat dan pemimpin negara seperti perdana menteri, menteri ataupun menteri besar yang sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan hati.

Oleh itu, lawatan pemimpin yang silih berganti ke pusat pemindahan ini dapat menceriakan suasana dan mewujudkan atmosfera ketenangan.

Banjir bermula bulan November dan Disember setiap tahun sebahagiannya disebabkan bencana alam. Namun, kita harus berfikir mengurangkan impak berkenaan melalui strategi pengurusan banjir yang sistematik seperti pengurusan perparitan, amaran awal banjir di sungai, pembinaan kawasan tadahan air dan pengurusan yang lebih menepati keperluan kebajikan mangsa banjir di pusat pemindahan. Banjir bukan sahaja membawa bencana tetapi juga beban kewangan kepada negara, justeru, pengurusan banjir yang berkesan dapat mengurangkan perbelanjaan yang di luar jangka.