Showing posts with label Belia. Show all posts
Showing posts with label Belia. Show all posts

Friday, March 13, 2015

Remaja harapan negara








Anak muda harapan negara dan bangsa. Kita sentiasa menghargai anak-anak sama ada mereka masih lagi kanak-kanak, remaja atau belia. Keluarga besar adalah lumrah masyarakat majmuk Malaysia suatu ketika dulu. Pada tahun 1980, kadar kesuburan jumlah ialah 4.2 berbanding 2.8 pada 2004. Walaupun jumlah ini telah berkurangan lebih daripada separuh, masyarakat Malaysia umumnya masih lagi tinggal dalam keluarga besar. Mereka percaya bahawa bilangan anak yang ramai diharap dapat menjaga ibu bapa apabila usia tua menjelang nanti.

Namun, ramai ibu bapa kini yang tidak begitu fikirkan mengenai keluarga besar. Hanya apabila anak-anak semakin besar, barulah terperasan yang mereka tidak dapat memberikan perhatian sepenuhnya kepada setiap anak.

Dilema yang paling besar kemungkinannya ialah ketidakcukupan perbelanjaan. Bagi yang mempunyai keupayaan kewangan mencukupi, ia tidak menjadi masalah tetapi bagi yang tidak cukup, keluarga besar memberi beban yang bukannya sedikit. Hal ini bermakna kuranglah perbelanjaan bagi setiap kanak-kanak. Baju, kasut dan buku-buku akan dikongsi bersama dari seorang ke seorang adik-beradik.

Masyarakat Malaysia kini sangat beruntung kerana kerajaan telah menyediakan banyak peruntukan untuk mempastikan setiap rakyat mendapat pendidikan yang berkualiti. Dengan jumlah mereka yang berumur 5 hingga 19 tahun menjangkau 8 juta orang, peranan pendidikan dalam memajukan negara adalah sesuatu yang sangat diperhati. Tetapi pendidikan yang berfokuskan kemajuan akademik semata-mata tanpa penglibatan kegiatan kokurikulum adalah satu hal yang wajar dilihat kembali. Kejayaan Nur Amalina Che Bakri mencatat rekod cemerlang 17A1 dalam Sijil pelajaran Malaysia (SPM) 2004 bukanlah kerana keupayaannya menjawab kertas soalan semata-mata malahan kerana keunggulan peribadinya.

Kesungguhan, disiplin dan tekad yang membara di samping pembinaan karakter menjadikan dirinya boleh digambarkan sebagai “towering personality” sepertimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi dan sentiasa diulang-ulang tanpa jemu di dalam ucapannya.

Menyertai 50 pertandingan sayembara puisi dan lagu, syarahan, pidato, bercerita, kuiz, melukis, menggubah, bersajak dan sebagainya adalah contoh aktiviti luar kelas yang telah membentuk peribadi Nur Amalina untuk melakar kejayaan manis dalam hidupnya.

Bagi keluarga yang mampu, anak-anak boleh dihantar ke kelas muzik atau tarian atau kegiatan sukan kerana mereka menyedari kepentingan merangsang minat anak-anak, bukan sekadar akademik. Tetapi bagi anak-anak dari keluarga berpendapatan kecil, keperluan utama mereka adalah makanan dan pakaian.

Tentulah ibu bapa tidak dapat memberi fokus mereka kepada semua anak dalam satu masa. Jadi proses belajar dari pagi hinggalah ke petang diserahkan kepada anak-anak untuk menentukannya sendiri. Mahu ataupun tidak, anak-anak ini terpaksa membuat kerja sekolah walaupun pada masa yang sama perlukan ibu bapa berada di sisi membantu dan memberi dorongan.

Kebiasaannya, anak sulung diberi tanggungjawab membimbing adik-beradik yang lain. Seperti pepatah Melayu ”Untung sabut timbul, untung batu tenggelam” samalah juga dengan proses membimbing ini. Jika perhatian dan bimbingan yang diberikan itu molek, adik-beradik yang lain akan menjadi anak yang salih dan berguna, kalau sebaliknya, boleh kita gambarkan apa yang akan berlaku terhadap masa depan mereka.

Kurangnya disiplin dalam membimbing ini akan membawa kepada kurangnya hemah. Kanak-kanak yang tidak dididik dengan akhlak dan adab oleh ibu bapa lebih cenderung tidak bertimbangrasa kepada orang lain, tidak berupaya membezakan di antara tingkah laku yang wajar dan tidak wajar diikuti.

Keluarga besar bermakna rumah dan kereta yang lebih besar dan tentunya belanja juga bertambah. Dengan rumah dan kereta yang besar, hutang juga barangkali besar kerana bukan sekadar mendapatkan wang yang banyak untuk membelinya malah menyelenggara juga memerlukan belanja yang besar.

Kerajaan Malaysia dengan sifat prihatin dan mementingkan jangka masa panjang rakyat, memberi terlalu banyak kemudahan khususnya pendidikan dan persaraan. Pada dekad-dekad yang akan datang, skim persaraan boleh berubah bentuk. Bagi golongan muda, beringat-ingat sehingga ke tua wajar dijadikan panduan semasa merancang perbelanjaan. Masih ramai di antara kita yang tidak begitu kisah dengan masa tua dan membelanjakan wang ada dengan tidak berhemah. Masalah timbul apabila tibanya persaraan, sedangkan wang yang ada tidak banyak dan masih ada anak-anak yang perlu diberikan keutamaan khususnya pelajaran dan kesihatan mereka.

Mungkin sebahagian daripada kita sangat beruntung jika anak-anak telah bekerja ketika kita bersara. Tetapi macam mana dengan mereka yang masih ada tanggungan? Cukup membimbangkan. Jika mereka masih tidak mencari sumber pendapatan lain, di mana mereka akan mendapatkan wang untuk membantu keluarga? Hakikatnya, pihak kerajaan juga yang akan berhadapan dengan masalah untuk membantu setiap orang jika skim kebajikan dilaksanakan sepenuhnya.

Rumusannya, pihak kerajaan wajar mewajibkan polisi tertentu yang memberi faedah jangka panjang kepada rakyat keseluruhannya. Bagi mereka yang menghadapi masalah membantu keluarga yang besar, polisi ini diharap akan mengurangkan beban dan kebergantungan terhadap seseorang apabila tibanya masa persaraan kelak.


14 November 2005


Tuesday, January 25, 2011

Hidup mesti ada cita-cita

Dalam kelas hari ini, saya memberitahu pelajar bahawa seorang pengutip sampah yang telah melalui berbagai-bagai jenis pekerjaan sehinggalah memilih untuk mengutip sampah enam tahun yang lalu, kini memperoleh pendapatan RM14 ribu sebulan. Tempoh masa yang diambil untuk mendapat wang sebanyak itu bukanlah mudah kerana Zabidi yang memiliki enam orang anak, harus lalui 30 tahun untuk berada dalam keadaan sekarang.

Zabidi, si pengutip sampah telah berjaya di Kuala Lumpur kerana dia memiliki keberanian dan mahu mengharungi semua cabaran hidup. Pernah bekerja sebagai pemandu lori dan menjual di pasar malam, kini dia berbangga apabila memiliki tiga buah lori dan lima orang pekerja. Paling penting di sini ialah Zabidi memiliki cita-cita untuk berjaya dalam hidup biarpun sebagai pengutip sampah.

Saya membawa contoh ini kepada pelajar supaya mereka melihat bahawa masa depan adalah di tangan orang-orang yang memiliki cita-cita yang membara, mekar dan sentiasa diberi suntikan semangat untuk dicapai. Orang-orang yang malas dan tidak sanggup menghadapi cabaran akan ditinggalkan di belakang dan terus hilang. Begitu juga pelajar yang bising dalam kelas, tidak mahu memberi tumpuan kepada syarahan dan makan tidak tentu masa tetap akan berada di belakang kerana keseluruhan hidupnya penuh dengan masalah adab dan disiplin.

Kejayaan hidup ramai orang yang terkenal adalah disebabkan kerana mereka memiliki tahap adab yang sangat tinggi, mendisiplinkan diri dan sentiasa mendekati idea-idea baru yang boleh diterapkan dalam hidup. Biar apa pun kita, kejayaan adalah bersama orang-orang yang memiliki cita-cita hidup yang selalu segar dan menarik orang lain untuk bersama dengannya.

Tuesday, October 12, 2010

Pandu arah tuju pelajar

Hari ini lima kumpulan pelajar mengambil giliran membentangkan kajian masing-masing. Tajuk pembentangan ialah Sains dan teknologi dalam pengklonan, Adakah kita wajar atau tidak menggunakan ICT dalam pendidikan awal kanak-kanak? Baby hatch (manfaat dan implikasi), Teknologi nuklear dan Barangan buatan Malaysia. Semuanya menampilkan pembentangan yang menarik dan memenuhi cita rasa audiens.

Keupayaan pelajar mencari bahan sangat memberangsangkan kerana mereka sangat terdedah kepada semua punca maklumat. Kemudahan internet tanpa wayar memberi ruang kepada mereka untuk meneroka setiap pelusuk alam maya bagi mencungkil sebanyak mungkin maklumat berkaitan topik yang dipilih. Teknik pembentangan juga dipelbagai supaya pensyarah dan rakan-rakan yang lain tidak jemu.

Sejarah membuktikan golongan pelajar menjadi kelompok yang sangat dinamik dengan idea dan ciptaan baru. Mereka juga kelompok yang sangat mudah dieksploitasi untuk sebarang tujuan. Di Indonesia, gerakan pelajar mencetuskan keghairahan masyarakat untuk membina Indonesia yang bebas dari kongkongan pemerintah. Hari ini setiap hari terdapat demonstrasi di negara itu. Di Jepun, pembaharuan Meiji menggerakkan golongan muda untuk keluar mencari ilmu dan kembali ke Jepun bagi membina negara. Kini, Jepun berbangga dengan pelbagai idea dan menjadi ekonomi kedua terbesar selepas Amerika Syarikat.

Di Malaysia, golongan pelajar mesti diberi pendedahan dan bimbingan untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang. Kerajaan mesti berfikir jauh untuk melihat generasi pelajar yang sedang menimba ilmu ini menjadi pemangkin kepada negara maju dan mampu bersaing dengan negara-negara besar yang jauh lebih berjaya. Dengan penduduk 28 juta orang dan sebahagian besarnya adalah generasi muda, tidak dapat tidak kita mesti memantau dan memandu arah tuju mereka. Kelompok yang dengki dan iri hati akan sentiasa mengintai peluang untuk merobek keghairahan generasi pelajar menimba ilmu dan membina negara.

Apa guna kita menggunakan ruang dan peluang untuk membina negara dan pada masa yang sama membiarkan pembangunan negara hancur sekelip mata? Bantu pelajar membentuk arah tuju hidup dan kembangkan sikap dan minat mereka terhadap kemajuan masa depan negara.

Friday, January 16, 2009

Kajian nasional hak reproduktif, kesihatan seksual dan reproduktif wanita di Malaysia







Pembangunan dan perancangan kesihatan, ekonomi dan pendidikan yang strategik telah meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat Malaysia seterusnya mewujudkan kesejahteraan kesihatan. Hasil perancangan yang rapi daripada kerajaan, petunjuk kesihatan di negara ini telah memperlihatkan perubahan yang lebih baik. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meyakini bahawa Malaysia mempunyai rangkaian sistem perkhidmatan antara yang terbaik di rantau ini.

Kesihatan reproduktif ditampilkan sebagai satu keadaan fizikal dan mental yang lengkap serta kesejahteraan sosial, bukan sahaja ketiadaan penyakit, dalam semua permasalahan berkaitan sistem reproduktif dan fungsi serta prosesnya (ICPD, 1999).


Walaupun pendidikan di negara ini menunjukkan perkembangan yang begitu positif mengenai pencapaian wanita, namun masih terdapat jurang tahap kesihatan yang agak ketara di antara wanita di bandar dan luar bandar. Wanita yang miskin di luar bandar masih ketinggalan dari segi mendapat hal dan peluang yang sama untuk menikmati kesihatan yang berkualiti.

Keprihatinan kerajaan terhadap perkembangan wanita dinyatakan secara jelas dalam Rancangan Malaysia Keenam (1991-1995) apabila satu bab mengenai wanita dalam pembangunan dimuatkan. Perbincangan dan cadangan yang khusus mengenai isu-isu ekonomi dan sosial yang melibatkan wanita seperti politik, media dan keganasan terhadap wanita dibentangkan.

Projek kajian nasional hak reproduktif, kesihatan seksual dan reproduktif wanita di Malaysia bertujuan untuk mengumpul data komprehensif berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif dalam kalangan wanita di negara ini. Tujuan khusus kajian ini ialah:

•Mendapatkan data yang lebih sahih, menyeluruh dan pemahaman yang lebih mendalam tentang hak reproduktif dan kesihatan reproduktif wanita Malaysia.


•Menambah maklumat untuk menggubal dasar dan program bagi memperkukuh strategi pelan tindakan untuk meningkatkan kesihatan reproduktif wanita Malaysia.

•Mendapatkan reaksi dan pandangan responden terhadap kemudahan berkaitan hak reproduktif dan kesihatan reproduktif seperti kemudahan kesihatan, perundangan, kaunseling dan sebagainya.

•Mengenal pasti pelbagai faktor struktural seperti budaya, sosial, ekonomi dan politik yang mempengaruhi hak reproduktif wanita dan kesihatan reproduktif wanita.

•Menganalisis proses membuat keputusan dalam kitaran kehidupan wanita Malaysia dan impaknya terhadap hak reproduktif, kesihatan seksual dan reproduktif wanita di semua peringkat umur bermula dari remaja.

•Mengenal pasti masalah-masalah yang berkaitan kemudahan dan aksesibiliti program-program memperbaiki hak reproduktif dan kesihatan reproduktif wanita Malaysia.

•Mengumpul data dan maklumat yang boleh digunakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan jabatan-jabatan lain serta organisasi bukan kerajaan dalam menjalankan program memperkasa wanita dari segi hak reproduktif dan kesihatan reproduktif mereka.

Sejak beberapa dekad yang lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi perhatian kepada hak dan isu-isu kesihatan wanita seperti Dana Pembangunan untuk Wanita PBB (UNIFEM), Konvensyen Menghapuskan Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Persidangan Lima Tahun Wanita Sedunia dan Deklarasi PBB Menghapuskan Keganasan Terhadap Wanita.

Kajian reproduktif merangkumi skop yang luas berkaitan dengan kehamilan, kelahiran, kontraseptif, pengguguran, pembuangan kandungan, kitaran haid, menopaus, jangkitan hubungan seks, jangkitan saluran reproduktif, seksualiti dan keganasan.

Isu kesihatan reproduktif sangat dititikberatkan dan wajar diberi keutamaan dalam pembangunan negara kerana pengabaian terhadap isu ini boleh melibatkan kos yang sangat tinggi untuk rawatan dan pencegahan seperi dalam kes HIV/AIDS.

Usaha-usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap kesihatan reproduktif adalah sebahagian daripada kejayaan selepas merdeka. Kadar kematian bayi yang rendah, kadar celik huruf yang lebih baik, pertambahan pendaftaran ke sekolah, sistem perlindungan dan air yang bersih, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan nutrisi yang baik adalah impak kejayaan polisi-polisi awam melalui Rancangan Malaysia Pertama (1960-65) hingga ke Rancangan Malaysia Kelapan (2001-2005).

Namun begitu, sehingga kini masih belum ada kajian komprehensif tentang kesihatan seksual reproduktif wanita yang dijalankan di Malaysia. Kebanyakan kajian lebih kepada melihat isu kesihatan seksual reproduktif secara berasingan dan kurang menyeluruh. Contohnya ialah kajian oleh Siti Norazah Zulkifli (1995) yang melihat aspek aktiviti seks di kalangan remaja Malaysia, Takeshita (1986) pula menyentuh sikap masyarakat terhadap isu pengguguran dan Suhaimi (1996) mengkaji isu kaedah kontraseptif.

Oleh itu, melalui kajian ini, kepekaan orang awam mengenai hak reproduktif mereka telah diketahui. Justeru ia menjadi langkah pertama kepada wanita untuk menyedari hak mereka bagi memperkasa golongan itu untuk mempunyai kawalan lebih ke atas keperluan seksual dan reproduktif serta mengambil tindakan menentang pencabulan.

Skop kajian ini tertumpu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Pahang, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan yang mewakili strata bandar dan luar bandar.

Sampel kajian berjumlah 4,005 yang terdiri daripada 2,005 responden belia dan 2,000 responden dewasa. Data untuk kajian diperoleh melalui kaedah survei secara temu bual peribadi menggunakan soal selidik berstruktur. Dua set soal selidik digunakan iaitu set soal selidik bagi responden berumur 15 hingga 24 tahun untuk golongan belia dan set soal selidik bagi responden berumur 25 hingga 59 tahun untuk golongan dewasa.

Soal selidik yang dibentuk adalah berdasarkan kerangka konseptual yang mengandungi lima bahagian iaitu maklumat sosiodemografi, latar belakang perkahwinan dan hubungan antara keluarga, pengetahuan, sikap dan kelakuan atau tingkah laku terhadap kesihatan reproduktif, aksesibiliti kepada maklumat dan perkhidmatan kesihatan reproduktif dan hak reproduktif. Ujian rintis diadakan bagi mengenal pasti sebarang masalah dan kelemahan setiap soalan.

Penambahbaikan instrumen kajian ke atas borang soal selidik dan buku panduan enumerator telah dilakukan selaras dengan maklum balas daripada ujian rintis yang telah dilaksanakan.

Data kajian responden belia

Hasil analisis merangkumi aspek-aspek latar belakang, hubungan kekeluargaan, pengetahuan, sikap dan tingkah laku terhadap kesihatan reproduktif, aksesibiliti kepada maklumat serta perkhidmatan kesihatan reproduktif dan hak reproduktif wanita.

Jumlah belia yang terlibat dalam kajian ini seramai 2005 orang berumur di antara 15 hingga 24 tahun.

Hasil kajian menunjukkan kesedaran responden terhadap kesihatan reproduktif seperti haid, menopaus dan melancap, kehamilan, kontraseptif, HIV/AIDS dan pandangan mereka terhadap seks adalah baik.

•Pengetahuan responden terhadap haid hampir sama di antara bandar dan luar bandar.

•Kaeah kontraseptif yang paling diketahui ialah kondom diikuti pil kontraseptif selain daripada pil buih, ubat agar-agar dan jampi. Bagaimanapun tahap penggunaan kaedah kontraseptif adalah rendah.

•Kefahaman responden terhadap HIV/AIDS berada pada tahap sederhana di mana responden bandar dan luar bandar serta etnik Melayu, Cina dan India masing-masing mempunyai tahap pengetahuan yang hampir sama.

•Pandangan terhadap seks menunjukkan responden mengambil berat betapa pentingnya hubungan seks selepas berkahwin dan hanya boleh dilakukan oleh pasangan yang telah berkahwin.

•Dilihat pandangan responden terhadap seks, responden Cina dapat menerima seks sebelum kahwin berbanding responden India dan Melayu.

Data kajian responden dewasa
Hasil analisis merangkumi aspek-aspek latar belakang, hubungan kekeluargaan, pengetahuan, sikap dan tingkah laku terhadap kesihatan reproduktif, aksesibiliti kepada maklumat serta perkhidmatan kesihatan reproduktif dan hak reproduktif wanita.

Jumlah responden dewasa yang terlibat dalam kajian ini ialah seramai 2000 orang berimur di antara 25 hingga 59 tahun yang melibatkan responden Melayu, Cina, India dan lain-lain di bandar dan luar bandar.

Data yang dianalisis merangkumi pengetahuan, sikap dan tingkah laku terhadap kesihatan reproduktif seperti menopaus, kehamilan, pengguguran, kontraseptif, HIV/AIDS, rokok dan alkohol, pandangan mereka terhadap seks dan gaya hidup.

•Umur purata perkahwinan ialah 22.1 tahun dengan paling awal berkahwin pada usia 13 tahun dan paling lewat 54 tahun di mana dua per tiga responden memilih sendiri calon suami.

•Umur responden mengalami menopaus ialah dari 32 tahun hingga 59 tahun dengan masalah utama ialah sukar tidur dan sering kepanasan.

•Pengguguran dianggap pembunuhan dan tidak wajar dilakukan, namun responden bersetuju dengan pengguguran mesti disahkan oleh undang-undang sebelum tindakan tersebut dilakukan.

•Lima kaedah kontraseptif yang diketahui oleh responden dewasa ialah pil, kondom, elak persetubuhan, waktu selamat dan alat dalam rahim. Seperti responden belia, mereka juga tidak terdedah dengan pil buih, ubat agar-agar, jamu atau susuk hormon.

•Kefahaman responden terhadap HIV/Aids berbeza mengikut negeri di mana responden di negeri pantai barat seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan mempunyai tahap kesedaran yang tinggi berbanding Kelantan, Terengganu dan Pahang.

•Majoriti responden melihat seks sebagai sesuatu yang intim dalam konsteks kasih-sayang dan penting untuk mengukuhkan ikatan perkahwinan mereka.

•Perbandingan di antara tahap pendidikan mendapati responden yang berpendidikan tinggi tidak pernah bersenam berbanding responden tidak bekerja, dapatan juga memperlihatkan semakin tinggi tahap pendidikan, responden cenderung untuk tidak bersenam.

Cadangan

•Program pendidikan seksual di sekolah dan di IPT.

•Kempen yang agresif dan meluas merangkumi semua lapisan masyarakat.

•Kempen dan program kesihatan yang m,elibatkan orang positif HIV/AIDS, penghuni pusat pemulihan, pesakit dan bekas pesakit.

•Galakan kepada PIBG sekolah, kelab dan persatuan menjadikan isu kesihatan seksual dan reproduktif sebagai agenda penting.

•Kajian semula undang-undang berkaitan pengguguran dan menambahkan bilangan pusat khusus bagi wanita yang hamil di luar perkahwinan untuk menangani pengguguran, kelahiran yang tidak selamat dan buang bayi.

•Pengukuhan sistem sokongan pesakit HIV/AIDS, pesakit kanser dan keluarga mereka.

Ketua projek ialah Prof. madya Dr Hajjah Jariah Mohd Jan, Jabatan Bahasa Inggeris, Fakulti Bahasa dan Linguistik di Universiti Malaya. Manakala ahli kumpulan terdiri daripada Prof. Dr Sarinah Low Abdullah, Prof. madya Dr Rohana Jani, Prof. madya Dr Hajjah Halimah Awang dan Dr Wong Li Ping. Konsultan ialah Profesor Datin Dr Roziah Omar. Kajian ini telah memenangi pingat emas di ekspo penyelidikan UM baru-baru ini.

Sunday, September 02, 2007

Cabaran mahasiswa bagi mengisi kemerdekaan

Institusi pendidikan di Malaysia memberi peluang yang luas dan saksama kepada pelajar lelaki dan perempuan untuk berjaya sehingga ke institusi pengajian tinggi. Keadaan ini sangat berbeza jika dibandingkan zaman sebelum merdeka. Kini, persaingan untuk mendapat tempat di kolej atau institusi pengajian tinggi semakin sengit kerana pelajar yang lebih bijak dan mempunyai keupayaan intelek yang lebih baik.

Kelompok pelajar atau mahasiswa yang rata-ratanya di bawah umur 25 tahun berkembang sebagai kelompok yang sangat istimewa di dalam masyarakat kerana mereka bakal menentukan hala tuju baru dalam era kepimpinan Malaysia 50 tahun yang akan datang. YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi ketika membentangkan impiannya bagi 50 tahun kehadapan turut ingin melihat masyarakat Malaysia yang lebih maju, dinamik dan mampu meraih kejayaan. Harapannya kini sebenarnya berada di bahu mahasiswa yang disediakan dengan pelbagai kemudahan, sama ada secara fizikal, mental ataupun spiritual melalui bantuan kewangan, infrastruktur yang selesa dan motivasi dari semasa ke semasa.

Mohamad Sofee Razak (Berita Harian, 20 Jun 2007) ketika mengulas keadaan mahasiswa berkata:

"Kelompok masyarakat ini sebenarnya masih ada yang keliru dan hilang arah tujuan serta masih lagi mencari-cari identiti dan entiti mereka sebagai mahasiswa sebenar di mana mereka menjadi insan harapan nusa dan bangsa. Mereka kadangkala seolah-olah tidak tahu apa yang seharusnya dilakukan dan mungkin juga ada yang langsung tidak mengambil berat dan endah tak endah berkenaan perkara itu sehinggakan terbawa-bawa hingga ke alam pekerjaan. Keadaan ini menyebabkan mereka masih tidak yakin pada diri sendiri; hilang rasa bangga sebagai seorang mahasiswa; malu berhadapan masyarakat; takut kepada cabaran; kurang persediaan dan persiapan yang amat ala kadar; tidak bersungguh di dalam melaksanakan sesuatu tugasan; hilang arah tujuan dan matlamat hidup; semangat kerja yang mundur dan tiada motivasi serta pelbagai lagi sikap negatif yang sering kali menghantui mahasiswa semasa pengajian dan selepas tamat pengajian."

Peringkat hidup mahasiswa juga ada identiti tersendiri. Agak malang jika di peringkat ini mereka masih lagi tidak dapat membentuk identiti yang mantap sebagai persediaan ke alam pekerjaan. Kematangan amat penting bagi menjamin kejayaan dalam pencarian kerja selain daripada keputusan peperiksaan yang cemerlang.

Kerisauan ramai pihak mengenai jumlah pelajar perempuan yang lebih ramai di universiti adalah cabaran kepada masa depan negara. Banyak faktor yang menyumbang kepada keadaan ini dan memerlukan tindakan konkrit untuk menstabilkan keadaan. Walau bagaimanapun sebab musabab kepada keadaan ini tidak susah untuk difikirkan.

Keupayaan mahasiswa perempuan berhadapan halangan dalam kursus seperti ini mendedahkan realiti betapa pelajar perempuan di peringkat sekolah menengah lebih matang, sedia menempuh cabaran dan enggan mengalah. Manakala pelajar lelaki masih lagi dibuai mimpi indah mendapat keputusan cemerlang di peringkat sekolah menengah sedangkan realiti belajar di universiti sangat berbeza.

Perbezaan pelajar lelaki dan perempuan di universiti sangat ketara lebih-lebih lagi apabila diminta untuk membentangkan hasil kerja kumpulan. Ketika mahasiswi bersungguh-sungguh untuk membentangkan hasil perbincangan kumpulan, mahasiswa lebih banyak mencari dalih dan hilang tumpuan apabila diminta menjawab soalan yang berada di luar daripada kursus seperti isu-isu semasa.


Apa yang difikirkan oleh mahasiswa juga agak sukar diramal. Jika dikatakan mereka tidak punya idealisme, susah juga diramal kerana keadaan persekitaran yang semakin bersifat global mendedahkan mereka kepada pelbagai sumber maklumat. Apakah ketiadaan sensitiviti dan kesedaran terhadap dunia luar kampus menjadikan mereka kaku, tidak sedar dan leka dengan dunia sendiri.

Semakin ramai pelajar yang dapat menjejakkan kaki ke universiti bererti persaingan dalam pekerjaan akan bertambah. Jika mahasiswa masih hanya dengan bidang pelajarannya tanpa ada nilai tambah, sukar bagi mereka untuk bersaing. Kemahiran yang ada, sama ada ditambah atau ditingkatkan, bergantung sepenuhnya kepada diri sendiri. Keputusan kerajaan untuk mengkelaskan empat buah universiti menjadi universiti penyelidikan membantu Malaysia melahirkan lebih ramai bijak pandai yang lebih dinamik. Justeru, bersediakah mahasiswa hari ini untuk belajar sehingga ke peringkat tertinggi?

Cabaran yang hebat sedang menunggu mahasiswa yang memenuhi institusi pengajian tinggi hari ini. Perancangan masa depan wajar dibuat ketika hari pertama melangkah ke universiti dan secepat mungkin mencari nilai tambah yang bersesuaian. Tidak ada siapa yang akan mengambil tahu nasib diri mahasiswa jika diri sendiri tidak bersedia untuk mencarinya.

Thursday, July 05, 2007

Belajar untuk berdikari di menara gading

Keluhan seorang bapa mengenai jenis orientasi pelajar-pelajar baru di salah sebuah universiti baru-baru ini sangat mendukacitakan. Antara perlakuan tersebut ialah diarahkan menari yang dinamakan "cheer" yang melampau sehingga lewat pukul 3 pagi dan bercampur lelaki dan perempuan seperti dalam konsert.

Juga dinyatakan terdapat senior yang menjadi fasilitator tetapi tidak menitikberatkan soal solat. Lebih malang apabila tidak dibenarkan bersolat kerana dihalang oleh fasilitator.

Kesimpulan bapa ini yang mengaitkan kejatuhan dalam senarai 200 universiti terbaik dunia dengan minda mahasiswa yang dicemari hiburan jelas menggambarkan betapa marahnya beliau kepada bentuk pelaksanaan orientasi demikian.

Setiap kali pelajar baru mendaftar di mana-mana institusi pengajian tinggi, terdapat rungutan sama ada dari pelajar ataupun ibu bapa mengenai bentuk orientasi yang diadakan. Bagi institusi yang telah matang, seharusnya pelajar senior memperlakukan pelajar baru dengan lebih rasa hormat, mempunyai sifat ingin membantu dan bersedia dengan segala soalan mengenai bentuk pembelajaran di universiti atau kolej. Hanya senior yang belum matang yang tidak mampu membuat perubahan kerana keadaan pelajar sekarang jauh berbeza daripada pelajar sebelum ini.

Kelakuan fasilitator yang mencipta watak garang hanya meninggalkan kesan negatif yang mendalam kepada pelajar baru. Kenangan pertama yang buruk pasti akan dibawa sepanjang tiga atau empat tahun pengajian dan menjadi dendam yang berpanjangan. Keadaan ini tentulah membina hubungan yang tidak harmoni di antara pelajar lebih-lebih jika tinggal di satu kampus atau fakulti.

Era 80-an dahulu terdapat institusi pengajian tinggi yang tercemar kerana perlakuan "ragging" pelajar senior. Istilah yang agak terkenal ialah "kipas pusing" yang berlaku di kalangan pelajar baru lelaki. Walau bagaimanapun keadaan selepas itu semakin reda dan digantikan dengan perlakuan yang lebih lembut seperti berkokok di atas almari, berenang di atas lantai dan sembunyi di bawah katil. Bagi mahasiswa senior yang beranggapan hidup di universiti sama seperti hidup di kem askar, beliau akan memperlakukan keadaan begitu kerana pengalamannya sebelum ini pun penuh dengan kepayahan. Payah kerana terpaksa berjuang untuk belajar dan menamatkan pengajian.

Seminggu sebelum pelajar-pelajar baru mendaftar, biasanya fasilitator sibuk merancang agenda untuk melengkapkan orientasi supaya lebih padat, menarik dan yang penting, memberi faedah kepada pelajar. Ada yang menjemput pasukan perunding untuk melaksanakan kursus singkat kaedah orientasi yang berkesan dan ada yang hanya berbincang sesama sendiri sambil menjemput pensyarah yang dikenali boleh mengendalikan modul orientasi ini.

Bagi pentadbiran institusi pengajian tinggi yang peka dengan keperluan ilmu dan kemahiran membimbing pelajar, mereka tidak akan teragak-agak untuk melantik syarikat perunding luar untuk mengadakan program kepimpinan fasilitator yang berkesan supaya wujud keseragaman ketika minggu orientasi diadakan kelak. Melabur sedikit untuk kebaikan fasilitator dan pelajar baru tidak akan membazir kerana impak yang bakal diterima oleh kedua-dua pihak menjadi lebih positif.

Keadaan orientasi yang berlaku di institusi pengajian tinggi terkemuka di ibu negara seperti keluhan bapa ini memberi gambaran yang sangat negatif seolah-olah ianya berlaku ke atas seluruh institusi berkenaan. Ibu bapa yang tinggal di kampung dan mendidik anak-anak dengan nilai tradisi dan solat pasti akan terkejut besar apabila mendengar anaknya tidur jam tiga pagi dan dihalang daripada menunaikan solat. Perasaan mereka bercampur-baur dan keliru di antara prestij universiti dan realiti.

Alasan yang sering digunakan oleh fasilitator dan senior ini biasanya berkait dengan alam hidup di universiti iaitu pelajar harus berdikari tanpa mengira masa untuk meraih kejayaan. Jika terpaksa belajar lewat malam demi kejayaan, hal itu wajar dilakukan. Malah cabaran hidup di universiti bukannya sedikit. Mereka perlu berani untuk mencuba dan berikhtiar hidup. Kerapkali berlaku apabila wang biasiswa atau pinjaman lambat masuk, terpaksalah pelajar-pelajar ini mengikat perut dan berhutang bagi tempoh yang tertentu. Keadaan inilah yang cuba diberi pendedahan oleh fasilitator supaya pelajar tidak dimanjakan dan tahu apa yang patut dan wajar dilakukan bagi survival masa depan mereka.

Aspek memperkenalkan survival hidup ini sangat terkenal semasa orientasi tetapi aspek memperkenalkan cara hendak menjadi pelajar cemerlang di universiti jarang didedahkan. Tidak banyak orinentasi yang memasukkan kaedah untuk berkenalan dengan pensyarah, mendapat tips bagi keputusan peperiksaan 100 peratus atau kaedah belajar yang lebih berkesan di universiti. Pembentukan nilai-nilai yang menjurus kepada pembentukan jati diri turut tidak ditekankan, justeru itu lahirlah seperti dikeluhkan oleh bapa berkenaan yang menganggap hiburan adalah matlamat akhir kepada orientasi sehingga meminggirkan solat.

Kaedah pelaksanaan orientasi di universiti dan kolej wajar berubah dengan peredaran kematangan pelajar. Di negara-negara yang lebih baik tahap pendidikan, pelajar dilayan dengan lebih hormat dan tidak ada halangan bagi mereka untuk mencapai kejayaan. Diharap selepas ini pihak universiti berkenaan memikirkan semula perancangan bagi mendedahkan fasilitator mereka dengan keseragaman pelaksanaan orientasi kepada pelajar-pelajar baru. Hanya mereka yang pernah bergelar mahasiswa yang tahu betapa bertuahnya hidup di menara gading.

Tuesday, July 03, 2007

Kawalan berterusan ke atas tabiat merokok

Fenomena merokok adalah fenomena global. Ketika kadar penggunaan rokok di kalangan negara-negara membangun meningkat, di Barat keadaannya jauh berbeza. Dengan tahap kesedaran terhadap bahaya rokok ke atas kesihatan yang tinggi, penagihan rokok tidak lagi menjadi punca kepada barah dan penyakit jantung.

Malaysia adalah antara negara membangun yang aktif melaksanakan kempen kesedaran bahaya merokok. Kempen Tak Nak yang dilancarkan sebelum ini turut mempengaruhi cara berfikir masyarakat mengenai bahaya rokok. Dan terbaru, duti eksais ke atas rokok telah dinaikkan kepada 15 sen. Dengan kenaikan itu, duti bagi satu paket 20 batang rokok kini meningkat sebanyak 60 sen. Langkah itu adalah selari dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan gaya hidup sihat serta menangani masalah sosial akibat merokok, khususnya di kalangan golongan muda.

Pada tahun 1970-an, banyak kajian telah dilakukan ke atas kesan merokok pada kesihatan di Barat. Kerajaan dan pihak berkuasa merancang strategi bagi mendedahkan keburukan merokok melalui penguatkuasaan undang-undang. Iklan rokok dan larangan penjualan di tempat-tempat tertentu segera dilaksanakan. Dalam beberapa keadaan, terdapat perokok yang mendapat barah paru-paru menyaman syarikat pengeluar rokok dan memenangi saman tersebut.

Asakan demi asakan ke atas pengeluar rokok menyebabkan penjualannya merosot. Bagi meneruskan operasi, strategi pemasarannya telah dialihkan ke negara-negara membangun di Asia dan Afrika. Di Malaysia, syarikat rokok menggunakan strategi pengiklanan secara besar-besaran melalui media massa dan elektronik. Suatu ketika dulu kita sering melihat iklan rokok dan penajaan sesuatu filem oleh syarikat rokok. Beberapa tahun yang lepas, terdapat syarikat rokok yang menjadi penaja utama bagi acara sukan dan rancangan hiburan berbentuk kuiz.

Bagaimanapun dengan pengenalan beberapa peraturan, iklan rokok dan penajaan sukan telah dihentikan manakala petani yang menanam tembakau digalakkan menanam tanaman lain. Ada juga pemimpin masyarakat yang menegur amalan merokok ini sebagai kurang beradab yang mana sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran dan sikap rakyat.

Keinginan untuk merokok bermula di peringkat belasan tahun. Dalam erti kata lain, ianya melibatkan umur awal remaja. Pendedahan terhadap rokok yang boleh diperolehi dengan mudah menjadikan mereka tidak segan-silu untuk merokok. Antaranya di kedai runcit, restoran dan gerai bergerak yang menjual makanan ringan. Sehingga terdapat larangan penjualan rokok kepada mereka yang berusia di bawah 18 tahun, barulah penjualan yang lebih ketat diambil kira. Soalnya bagaimana larangan ini benar-benar dipatuhi oleh penjual rokok?

Punca merokok boleh dilihat daripada faktor psikobiologi dan sosiobudaya. Afghanistan, sebuah negara pengeluar candu utama dunia, anak-anak kecil menjadi ketagih candu melalui susu ibunya. Namun untuk membuat rumusan umum mengenai punca merokok berdasarkan faktor psikobiologi adalah kurang tepat kerana terdapat juga anak-anak yang tidak merokok walaupun ibu bapa mereka adalah perokok yang tegar. Lagi pun, sehingga kini tidak terdapat kajian yang tepat mengenai pengaruh genetik terhadap kecenderungan merokok.

Pengaruh persekitaran turut dilihat sebagai punca kepada merokok. Ia memberi kesan terhadap pemikiran calon perokok kerana sangat berkait dengan persepsi. Jika dalam masyarakatnya rokok dianggap baik dan diterima, perbuatan merokok tidak memberi apa-apa kesalahan. Peluang inilah yang digunakan oleh syarikat pengeluar rokok untuk menggandakan strategi iklan mereka. Antaranya ialah mengaitkan rokok dengan barangan berjenama dan mewah, rokok dengan hidup harmoni bermasyarakat dan rokok untuk menghilangkan tekanan hidup.

Kenaikan duti eksais rokok adalah salah satu mekanisme yang digunakan kerajaan bagi menghalang perokok remaja. Ia diharap dapat mengurangkan perbelanjaan perokok secara umum seterusnya mengurangkan tabiat merokok dan menjadikan rakyat Malaysia lebih sihat tanpa rokok. Strategi ini ada kaitnya dengan kempen Sihat Sepanjang Hayat yang diperkenalkan pada tahun ini.

Kesan kenaikan harga rokok memberi implikasi positif kepada penyeludup. Usaha-usaha membawa masuk rokok seludup pasti akan lebih giat dan aktif kerana permintaan ke atas rokok sentiasa ada. Rokok jenis murah akan menjadi sasaran bagi melepaskan ketagihan merokok ini. Syarikat rokok pula sedang memikirkan kaedah untuk mempastikan rokok mereka dapat dijual walaupun dihalang dengan berbagai-bagai cara seperti mengubah suai saiz rokok ataupun memperkenalkan kotak rokok yang lebih menarik.

Cadangan untuk meletakkan gambar-gambar berkaitan kesan merokok pada bahagian luar kotak masih belum dilaksanakan walaupun telah lama diutarakan. Apakah kita menunggu untuk melihat lebih ramai remaja terjebak dengan tabiat merokok seterusnya berjinak-jinak dengan penagihan dadah?

Langkah kawalan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dilihat mampu memberi impak yang besar ke atas kesedaran masyarakat tentang bahaya merokok. Harga rokok yang tinggi ketika ini diharap dapat memberi mesej jelas kepada semua rakyat Malaysia betapa merokok membahayakan kesihatan dan mengundang masalah ekonomi yang lebih serius. Kawalan ke atas kawasan merokok juga wajar diperluaskan dan undang-undang sedia ada hendaklah dilaksanakan dengan penuh integriti supaya merokok tidak lagi menjadi pilihan.

Friday, June 22, 2007

Cabaran mahasiswa di institusi pengajian tinggi

Institusi pendidikan di Malaysia memberi peluang yang luas dan saksama kepada pelajar lelaki dan perempuan untuk berjaya sehingga ke universiti. Keadaan ini sangat berbeza pada tahun-tahun sebelum dan 30 tahun selepas merdeka. Kini, persaingan untuk mendapat tempat di menara gading, kolej atau institusi pengajian tinggi swasta mengalami gelombang pelajar yang lebih bijak dan mempunyai keupayaan intelek yang lebih baik.

Kelompok pelajar atau mahasiswa yang rata-ratanya di bawah umur 25 tahun berkembang sebagai kelompok yang sangat istimewa di dalam masyarakat kerana mereka bakal mencetuskan hala tuju baru dalam era kepimpinan Malaysia 50 tahun yang akan datang. YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi ketika membentangkan impiannya bagi 50 tahun yang akan datang turut ingin melihat masyarakat Malaysia yang lebih maju, dinamik dan mampu meraih kejayaan di peringkat dunia. Harapannya kini sebenarnya berada di bahu mahasiswa masa sekarang yang diberi dengan pelbagai kemudahan, sama ada secara fizikal, mental ataupun spiritual melalui bantuan kewangan, infrastruktur yang selesa dan motivasi dari semasa ke semasa.

Mohamad Sofee Razak (Berita Harian, 20 Jun 2007) ketika mengulas keadaan mahasiswa berkata:

"Kelompok masyarakat ini sebenarnya masih ada yang keliru dan hilang arah tujuan serta masih lagi mencari-cari identiti dan entiti mereka sebagai mahasiswa sebenar di mana mereka menjadi insan harapan nusa dan bangsa.


Mereka kadangkala seolah-olah tidak tahu apa yang seharusnya dilakukan dan mungkin juga ada yang langsung tidak mengambil berat dan endah tak endah berkenaan perkara itu sehinggakan terbawa-bawa hingga ke alam pekerjaan.

Keadaan ini menyebabkan mereka masih tidak yakin pada diri sendiri; hilang rasa bangga sebagai seorang mahasiswa; malu berhadapan masyarakat; takut kepada cabaran; kurang persediaan dan persiapan yang amat ala kadar; tidak bersungguh di dalam melaksanakan sesuatu tugasan; hilang arah tujuan dan matlamat hidup; semangat kerja yang mundur dan tiada motivasi serta pelbagai lagi sikap negatif yang sering kali menghantui mahasiswa semasa pengajian dan selepas tamat pengajian."

Peringkat hidup mahasiswa juga ada identiti tersendiri. Agak malang jika di peringkat ini mereka masih lagi tidak dapat membentuk identiti yang mantap sebagai persediaan ke alam pekerjaan. Kematangan amat penting bagi menjamin kejayaan dalam pencarian kerja selain daripada keputusan peperiksaan yang cemerlang.

Ketika mengendalikan kursus peningkatan diri kepada sekumpulan mahasiswa dari institusi pengajian tinggi awam tempatan baru-baru ini, saya juga melihat terdapat aspek yang sangat ketara kelemahannya pada diri seorang mahasiswa. Sebahagian besar peserta lelaki begitu pendiam, takut untuk mencuba dan lebih gemar menunggu soalan daripada cuba untuk bertanya. Berbanding peserta perempuan, semuanya menunjukkan tahap penglibatan yang sangat aktif dan mampu menghidupkan suasana perbincangan dalam kumpulan.

Keupayaan mahasiswa perempuan mendepani halangan dalam kursus seperti ini mendedahkan realiti betapa pelajar perempuan di peringkat sekolah menengah lebih matang, sedia menempuh cabaran dan enggan mengalah. Manakala pelajar lelaki masih lagi dibuai mimpi indah mendapat keputusan cemerlang di peringkat sekolah menengah sedangkan realiti belajar di universiti sangat berbeza.

Perbezaan pelajar lelaki dan perempuan di universiti sangat ketara lebih-lebih lagi apabila diminta untuk membentangkan hasil kerja kumpulan. Ketika mahasiswi bersungguh-sungguh untuk membentangkan hasil perbincangan kumpulan, mahasiswa lebih banyak membebel dan hilang tumpuan apabila diminta menjawab soalan yang berada di luar daripada kursus seperti isu-isu semasa. Namun semuanya mempamerkan sikap yang tidak wajar apabila tidak tahu nama naib canselor atau rektor universiti mereka sendiri.

Apa yang difikirkan oleh mahasiswa juga agak sukar diramal. Jika dikatakan mereka tidak punya idealisme, susah juga diramal kerana keadaan persekitaran yang semakin bersifat global mendedahkan mereka kepada pelbagai sumber maklumat. Apakah ketiadaan sensitiviti dan kesedaran terhadap dunia luar kampus menjadikan mereka kaku, tidak sedar dan leka dengan dunia sendiri.

Semakin ramai pelajar yang dapat menjejakkan kaki ke universiti bererti persaingan dalam pekerjaan akan bertambah. Jika mahasiswa masih hanya dengan bidang pelajarannya tanpa ada nilai tambah, sukar bagi mereka untuk bersaing. Kemahiran yang ada, sama ada ditambah atau ditingkatkan, bergantung sepenuhnya kepada diri sendiri. Keputusan kerajaan untuk mengkelaskan empat buah universiti menjadi universiti penyelidikan membantu Malaysia melahirkan lebih ramai bijak pandai yang lebih dinamik. Justeru, bersediakah mahasiswa hari ini untuk belajar sehingga ke peringkat tertinggi?

Cabaran yang hebat sedang menunggu mahasiswa yang memenuhi institusi pengajian tinggi hari ini. Perancangan masa depan wajar dibuat ketika hari pertama melangkah ke universiti dan secepat mungkin mencari nilai tambah yang bersesuaian. Tidak ada siapa yang akan mengambil tahu nasib diri mahasiswa jika diri sendiri tidak bersedia untuk mencarinya.

Friday, January 19, 2007

Sekolah khas untuk pelajar lelaki

Artikel Zin Mahmud (Wartawan Utusan) mengenai pelajar lelaki yang tidak suka belajar dan tidak mahu menyertai pertandingan serta aktiviti di sekolah kerana kebanyakannya ditadbir dan dimonopoli oleh wanita sangat menarik untuk dikritik. Beliau berpendapat, pencapaian pelajar lelaki yang lemah dalam peperiksaan, aktiviti persatuan dan sukan di sekolah adalah kerana dominasi wanita yang telah memberi impak yang negatif terhadap pelajar-pelajar lelaki.

Di antara petikan negatif tersebut ialah, “Sudahlah di rumah kena leter dengan emak, di sekolah kena leter pula dengan guru wanita,” (Utusan Malaysia, 18 Januari 2007).

Pendidikan di Malaysia telah mengalami banyak perubahan khususnya memberi peluang kepada setiap pelajar, lelaki dan perempuan untuk mencari ilmu bagi masa depan mereka. Sekolah-sekolah yang dibina semakin canggih, lengkap dengan kemudahan ICT, tempat rekreasi dan tenaga pengajar yang profesional. Pendidikan negara telah mengalami evolusi sejajar dengan pembangunan dan kemampuan negara. Terdapat lima evolusi yang melibatkan fasa (Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010, Kementerian Pelajaran Malaysia) :


1. Zaman Pramerdeka (sebelum 1957)
2. Zaman Pasca Merdeka (1957-1970)
3. Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990)
4. Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000)
5. Zaman Dasar Wawasan Negara (2001-2010)


Pembangunan pendidikan sejak sebelum merdeka hingga sekarang telah banyak mencapai kemajuan. Bilangan pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah meningkat khususnya bagi pelajar-pelajar perempuan. Justeru, penambahan mereka di institusi pengajian tinggi adalah sangat dicemburui. Sistem pendidikan yang sedang dilaksanakan bukannya memilih gender tetapi memberi peluang yang sama rata kepada pelajar lelaki dan perempuan. Orientasi peperiksaan banyak memberi kelebihan kepada pelajar perempuan untuk cemerlang dalam peperiksaan utama yang diduduki. Ketika yang sama, profesion perguruan menggamit kehadiran ramai guru wanita yang merasakan diri mereka layak untuk mengajar. Tidak pula dinafikan, mereka lebih sesuai untuk mengajar tetapi bukannya dalam semua bidang.

Impak jangka masa panjang apabila kemerosotan guru lelaki ialah kebantutan aktiviti yang sedia ada dimonopoli oleh pelajar lelaki seperti bolasepak, ragbi dan pengakap. Sepuluh tahun yang akan datang, pemain sukan yang berkemahiran ini di peringkat daerah dan negeri pasti akan berkurangan. Sekiranya guru lelaki ingin ditambah, mereka harus dipilih berdasarkan kelayakan dan mempunyai minat dalam aktiviti-aktiviti di sekolah, bukannya bertingkah laku seperti perempuan juga.

Tidak dinafikan, pencapaian pelajar perempuan yang lebih baik telah menggusarkan perancang dasar pendidikan bagi menentukan hala tuju pendidikan negara pada masa depan. Bilangan pelajar wanita yang terpelajar akan menggugat kestabilan sosial masyarakat khususnya bidang-bidang pekerjaan tertentu seperti jurutera, ahli sains dan ahli kaji bumi. Sektor pekerjaan ini perlu dilakukan oleh lelaki kerana ia memerlukan ketangkasan fizikal, lasak dan keras.

Asas kepada keseimbangan dan kesejahteraan sosial dalam masyarakat adalah pendidikan. Perancang-perancang dasar tentunya melihat kegelisahan rakan-rakan mereka di Britain yang sedang berhadapan dengan keadaan seperti ini di mana pelajar-pelajar lelaki di sekolah yang pelajarnya bercampur di antara lelaki dan perempuan didapati ketinggalan di belakang dalam peperiksaan. Mereka tidak boleh bersaing dengan pelajar perempuan yang lebih rajin, berfokus dan bersedia menghadapi saingan. Bagi menyelesaikan kemelut ini, pihak berkuasa pendidikan memikirkan langkah untuk memisahkan pelajar lelaki dan perempuan dengan mewujudkan sekolah untuk lelaki dan sekolah untuk perempuan. Walaupun ia melibatkan peruntukan yang banyak, kesan jangka masa panjang akan membantu menstabilkan masyarakat Britain bagi mengekalkan dominasi kuasa di Eropah.

Barangkali kita boleh memikirkan kembali keberkesanan cara ini supaya Malaysia, dalam setiap masa melahirkan pelajar lelaki dan perempuan yang sentiasa terpelajar, bersemangat tinggi dan bersedia memimpin. Walaupun kerajaan berusaha mempastikan 30 peratus wanita memenuhi jawatan-jawatan utama, usaha memperkukuh bakat kepimpinan di peringkat pendidikan rendah dan menengah tidak harus dibiarkan begitu sahaja.

Monday, November 06, 2006

Mat Rempit simbol jiwa remaja memberontak

Sejak akhir-akhir ini kegiatan pelumba haram motosikal ataupun dikenali sebagai Mat Rempit mendapat perhatian yang ketara daripada masyarakat. Malah terdapat sebuah filem yang menceritakan kisah Mat Rempit ini dan mendapat sambutan. Filem ”Remp-It” ini menambah lagi keprihatinan khalayak untuk mengetahui kewujudan golongan remaja dan belia yang rata-ratanya anak muda dan cukup sempurna fizikalnya.

Istilah Mat Rempit telah dipopularkan oleh media. Perkataan ”Rem” adalah perlakuan memulas pedal tangan pada motosikal bagi memerah minyak sebagai aksi memecut. Semakin kuat pulasan, semakin lajulah motosikal berkenaan. Si Rempit akan bersorak jika dapat memecut dan memintas rakan-rakan yang lain. Manakala ”Pit” adalah dari perkataan ”pit stop” yang ada di litar lumba. Gabungan perkataan ini membentuk ”Rempit” yang menggambarkan pelumba motosikal melakukan pelbagai aksi kreatif, menarik dan membahayakan. Mat merujuk kepada pelaku atau penunggang motosikal ini. Perkataan baru yang boleh dipopularkan ialah ”merempit” yang bermaksud melakukan aksi lumba motosikal dan boleh mendatangkan mudarat kepada penunggang dan pengguna jalan raya yang lain.

Mat Rempit menjadi beban sosial kepada masyarakat dan negara. Beban kepada diri mereka sendiri adalah perilaku jenayah apabila dikaitkan dengan kematian dan mendatangkan kecederaan. Sehingga kini beberapa kes kematian melibatkan pelumba haram motosikal dikaitkan secara langsung dengan mereka termasuk kes bergaduh dan berakhir dengan kematian Mat Rempit Kampung Pandan, Kuala Lumpur baru-baru ini. Di Pulau Pinang pula, sekumpulan Mat Rempit membaling batu ke arah Balai Polis Kubang Semang kerana tidak puas hati dengan tindakan polis menahan dua orang rakan mereka yang sedang merempit.

Mat Rempit diberikan imej negatif kerana tindakan mereka dan kegiatan jenayah yang lain seperti ragut, minum arak, berzina, tingkah laku ganas dan memakan dadah. Awal-awal lagi kriteria Mat Rempit adalah gambaran yang negatif dan buruk. Ini memberi mesej bahawa Mat Rempit memberi dan membawa masalah. Rata-rata mereka yang merempit berumur 16 hinga 25 tahun kerana peringkat umur ini kebanyakannya masih bujang. Majoriti adalah lelaki dan pelbagai latar belakang keluarga. Kegiatan merempit akan berkurangan setelah mereka yang terlibat berkahwin dan beranak-pinak.

Kewujudan Mat Rempit adalah simptom kecil daripada penyakit utama yang lebih besar. Keadaan jiwa mereka yang sentiasa bergelora dan ingin memenuhi pelbagai impian. Banyak perkara yang mahu dicapai dan dimiliki. Ketika peringkat inilah, mereka terdedah kepada bermacam-macam tarikan seperti hiburan dan fesyen serta sukan yang ada baik buruknya. Pendedahan dan tarikan yang kuat serta berterusan mempengaruhi hati, pemikiran dan sikap remaja terhadap hidup. Aspirasi terhadap hidup juga rendah umpamanya tidak ada perancangan masa depan, berserah kepada nasib dan kurang berusaha untuk membaiki diri.

Pembentukan watak Mat Rempit dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Tiga faktor yang menonjol adalah keluarga, pendidikan dan persekitaran.


Keluarga


Peribadi bermula di rumah. Pengaruh keluarga terhadap bentuk personaliti, arah pemikiran dan tingkah laku memainkan peranan penting bagi pembesaran yang positif. Ibu bapa yang mengambil berat kegiatan siang dan malam anak-anak mereka tidak akan membiarkan aktiviti salah laku sosial berlaku. Sebaliknya akan mengambil berat perilaku dan aktiviti sosial seperti dengan siapa anak-anak keluar, ke mana tujuannya dan apa yang dibuat dengan rakan-rakan.

Keganasan rumah tangga, konflik diri, masalah kewangan keluarga dan kurang kemahiran keibubapaan menyumbang kepada kerapuhan ikatan kekeluargaan. Keluarga yang kurang stabil tidak mampu memenuhi keperluan emosi dan spiritual yang minimum kepada ahli-ahli khususnya anak-anak remaja. Kekosongan jiwa ini diisi dengan bercampur dengan rakan-rakan melalui kumpulan motosikal yang memberi keseronokan.


Pendidikan

Tahap pendidikan adalah penentu dan pengukur kelayakan untuk melakukan semua perkara tetapi tidak berpelajaran tinggi bukanlah bererti tidak boleh bersaing menjadi kaya-raya. Cuma corak pemikiran yang berbeza. Orang yang berpelajaran tinggi dengan caranya sendiri dan orang yang berpelajaran rendah dengan caranya pula.

Pembentukan pemikiran, nilai dan sikap dimantapkan di sekolah. Remaja yang tidak mantap cara berfikir, lemah nilai dan sikap serta malas belajar akan menyumbang kepada masalah sosial bukan sahaja Mat Rempit malah tingkah laku delikuensi yang lain. Peranan guru sangat penting bagi membantu kelompok yang dijangka tercicir dari alam persekolahan ini. Kira-kiranya mudah, pelajar yang tercicir tidak mempunyai peluang untuk belajar. Pada zaman ini, graduan di universiti masih belum tentu mendapat pekerjaan yang sesuai dengan tahap kelayakan mereka apatah lagi yang mempunyai tahap pelajaran yang rendah.


Persekitaran

Aktiviti lumba haram kini menular ke pekan-pekan kecil. Dulunya berlegar di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar, kini orang kampung turut resah kerana menghadapi tekanan bunyi bising motosikal. Mat Rempit di bandar lebih canggih. Mereka berani, agresif dan membahayakan keselamatan dan nyawa orang ramai. Mereka berbangga apabila aksi yang dilakukan menjadi tontonan dan menerima pujian.

Di gelanggang lumba motosikal inilah minat dan keinginan menjadi jaguh lumba bermula. Terpulang kepada Mat Rempit untuk memilih sama ada kejayaan atau kegagalan. Keadaan jalan raya yang lebih baik dan lurus membantu Mat Rempit menjadi lebih aktif.

Mat Rempit tidak pernah serik walaupun operasi oleh agensi penguatkuasa dilaksanakan dari semasa ke semasa. Mereka akan serik setelah putus tangan atau hilang biji mata. Justeru bagi mengelakkan perkara ini berlaku, kempen kesedaran yang berterusan di samping penguatkuasaan yang lebih ketat perlu diberi perhatian. Saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak agar merampas motosikal, menggantung lesen memandu dan mengenakan tindakan ke atas penganjur lumba haram boleh diberi perhatian yang serius. Beliau juga turut prihatin ke atas nasib kedua-dua pihak iaitu penunggang dan pengguna jalan raya yang lain.

Mat Rempit akan selesai apabila penunggang motosikal lebih berhemah di jalan raya dan menghargai hak diri dan orang lain.

Saturday, November 04, 2006

Kemahiran menjamin kecemerlangan masa depan







Pepatah Melayu menyatakan pemuda harapan negara, pemudi tiang negara sebagai perangsang dan penguat semangat. Memetik kata-kata aluan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sempena Minggu dan Hari Belia Negara 2005, beliau mengingatkan bahawa para belia adalah waris kepimpinan negara pada masa hadapan dan menaruh keyakinan yang tinggi kepada generasi muda negara. Belialah yang menjadi tenaga penggerak kepada usaha untuk menyuburkan kemakmuran dan keharmonian yang telah terbina sekian lamanya di Malaysia. Maksud tersirat dan tersurat daripada pemikiran YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ini ialah beliau mahu melihat penglibatan golongan belia memainkan peranan yang maha penting ke arah mempercepatkan dan melonjakkan arus pembangunan dan kemajuan negara yang dicintai ke satu tahap yang akan dikenang dan dibanggakan oleh pewaris generasi yang akan datang.

Golongan belia di negara ini pada keseluruhannya berjumlah 9.8 juta orang yang berumur di bawah 40 tahun. Angka ini adalah satu jumlah yang besar dan dapat digunakan oleh negara bagi pelbagai aspek perancangan pembangunan. Apatah lagi menghadapi cabaran globalisasi yang muncul dalam pelbagai bentuk dan rupa serta tidak menentu. Mengimbas ucapan YB Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Datuk Othman Said, belia yang berjaya menempuh dan mengatasi halangan-halangan adalah kelompok generasi muda yang telah memperlengkapkan diri masing-masing dengan ilmu, kemahiran dan jati diri yang mantap.

Kelompok belia adalah aset terpenting dalam pembangunan negara. Malaysia memerlukan keupayaan tenaga manusia yang berterusan agar momentum kecemerlangan negara akan terus dipertahan dan dipertingkatkan. Pembinaan keupayaan manusia ini perlu dikemaskini supaya kepakaran dan kemahiran dari satu generasi ke generasi dapat diperturunkan dan dilebarkan ke peringkat persaingan antarabangsa supaya setiap cabaran yang wujud dalam era globalisasi dapat dihadapi dengan pantas dan cekap.

Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan dilihat sangat proaktif dalam usaha pembangunan belia sama ada dari segi fizikal, intelektual ataupun spiritual. Program-program yang berterusan di peringkat kampung, daerah dan negeri telah melonjakkan iltizam dan semangat para belia untuk mencipta kecemerlangan. Keyakinan ini dapat diperhati melalui sejarah dasar dan program pembangunan belia di negara ini. Bermula dengan penubuhan Majlis Belia Malaysia (1948), penubuhan Kementerian Belia dan Sukan (dulunya dikenali sebagai Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan 1964), pelancaran Majlis Perundingan Belia Negara (1972), penggubalan Dasar Belia Negara (1997) seterusnya Pelan Tindakan Pembangunan Belia Negara (Pembina) 2001-2010, Program Latihan Khidmat Negara (2004) dan terkini Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) yang akan berfungsi sebagai pusat penyelidikan yang mengkaji pelbagai aspek aliran dan pembangunan generasi muda dan kaitannya dengan perubahan yang berlaku di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.

Melalui IPPBM ini, harapan kita ialah pelbagai program penyelidikan yang dilaksanakan nanti dapat dijadikan input untuk meningkatkan pembangunan positif belia dan negara. Di samping itu juga hasil kajian berkenaan dapat menilai semula dan mempertingkatkan dasar dan rancangan-rancangan pembangunan sumber tenaga manusia dengan mengambilkira kepentingan penilaian pendidikan, teknikal, vokasional dan rancangan-rancangan yang berhubungkait dengan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Tidak juga keberatan jika kita mengusulkan agar IPPBM dapat mencetuskan formula menyeluruh yang terbaik untuk mencapai tujuan personaliti unggul (towering personality) seperti yang diketengahkan oleh YAB Perdana Menteri. Melalui formula ini, kebolehan, keupayaan, kepakaran, kemahiran, fleksibiliti, ilmu pengetahuan, sikap, semangat ingin maju dan keunggulan kepimpinan dapat ditanam dan disuburkan dalam setiap individu belia Malaysia.

Kejayaan yang hendak kita bina untuk belia memang menjadi agenda yang sentiasa dibincangkan. Aspek kejayaan ini sangat subjektif dan boleh kita tumpukan pada tiga kemahiran yang menjadi tema Hari Belia Negara 2005 iaitu kemahiran, kepimpinan dan keusahawanan (3K). Keupayaan Persatuan Rangkaian Pemuda Pemudi Rawai (Rapera) Marang, Terengganu meraih Anugerah Perdana Pertubuhan Belia 2005 boleh dijadikan jelmaan kepada tema 3K ini. Kerjasama penduduk kampung dalam kegiatan sosioekonomi telah mengurangkan kadar pengangguran dan pada masa yang sama membentuk minda belia yang terarah dan berorientasikan kemahiran, kepimpinan dan keusahawanan.


Dari segi kemahiran umpamanya, belia Kampung Rawai telah berjaya menggilap dan mencanai keupayaan pembangunan sumber manusia melalui kegiatan keusahawanan yang terdiri daripada projek pertanian seperti penanaman limau madu , kelapa sawit dan penternakan biri-biri. Latihan dan kemahiran melalui aktiviti keusahawanan ini diperkasakan dengan perusahaan kedai runcit dan perusahaan simen. Kelangsungan kejayaan membentuk kemahiran dan semangat keusahawanan sangat bergantung kepada kualiti kepimpinan. Kerjasama belia Kampung Rawai untuk memberi kemudahan tuisyen percuma, kelas agama, aktiviti sukan dan program-program sosial telah menyerlahkan potensi dan bakat kepimpinan belia-belia di Kampung Rawai ini. Dengan RM17,000 yang telah dimenangi itu, aktiviti-aktiviti di Kampung Rawai khususnya untuk golongan belia akan terus bersemarak dan rancak serta menjadi sumber inspirasi kepada belia-belia Malaysia di seluruh negara.Isu semasa: pengangguran di kalangan belia
Malaysia yang mempunyai penduduk 25.6 juta orang mencatatkan lebih 18,070 siswazah yang menganggur. Sebahagian besar daripada mereka tentunya golongan belia yang mempunyai potensi besar ke arah pembangunan dan kemajuan negara. Pelbagai sebab musabab diberikan untuk mewajarkan lambakan pengangguran ini. Datuk Johan Jaafar berpandangan bahawa wujud dua mitos mengenai kewujudan siswazah menganggur. Mitos pertama ialah tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik dan lancar sementara mitos kedua ialah menganggur kerana salah memilih kursus iaitu kursus yang tidak ada nilai ekonomi selepas keluar dari universiti. Jika dianalisis secara terperinci, apakah dua mitos ini sahaja yang menjadi punca sebenar kepada pengangguran? Tidakkah terdapat faktor-faktor lain yang begitu besar pengaruhnya terhadap kewujudan penganggur ini?

Pendidikan di Malaysia boleh diletakkan dalam kategori yang tersendiri kerana telah berjaya melahirkan ribuan tenaga kerja dalam pembangunan negara. Pada tahun 70-an dulu, kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk menghantar anak-anak belia kita yang pintar ke luar negara bagi menambah tenaga pakar. Mereka ini mengambil pelbagai jurusan kritikal seperti kejuteraan, perubatan, ekonomi, sains, teknologi, undang-undang dan sebagainya seterusnya kembali ke tanah air menjadi kelompok elit dalam pentadbiran dan pembangunan negara. Mereka inilah yang menjadi birokrat, teknokrat dan pemimpin negara. Di tangan merekalah corak pembangunan negara dibentuk dan dicanai.

Ketika kita mengungkit siswazah yang memiliki mentaliti memilih kerja selepas menamatkan pengajian di universiti dan agak malas untuk melaksanakan kerja yang tidak sepadan dengan kelayakan, pekerja-pekerja dari Indonesia, India, Vietnam, Nepal, Bangladesh dan Kampuchea memilih untuk bekerja di Malaysia. Apakah masalah sebenarnya? Kerajaan telah mengambil inisiatif memperkenalkan pelbagai skim seperti Skim Latihan Siswazah Menganggur sebagai jalan keluar sementara kepada persoalan ini. Namun, apakah program ini berjaya seratus peratus menunjuk jalan keluar kepada para siswazah ini yang rata-ratanya adalah golongan belia?


Kementerian Belia dan Sukan turut mempunyai institusi tersendiri untuk membekalkan khidmat kepakaran seperti Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara yang telah diperuntukkan RM800 juta dalam Rancangan Malaysia Kelapan. Bagi mengelak siswazah menganggur, Kementerian Belia dan Sukan turut mewujudkan Rakan Belia Tani dan Rakan Tani dengan harapan dapat mendekatkan golongan belia dengan sektor pertanian. Perkongsian pintar di antara Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Perindustrian dan Indistri Asas Tani ini adalah langkah bijak kerajaan bagi menyediakan peruntukan kewangan dan latihan kepada kelompok belia bagi membantu membangunkan sektor pertanian yang dikenalpasti memberi pulangan yang lumayan jika dilaksanakan dengan betul dan berkesan.

Budaya berniaga

Pembangunan dalam kegiatan ekonomi dan keusahawanan adalah di antara jalan keluar kepada masalah ini. Walau bagaimanapun, penglibatan golongan belia dalam aktiviti keusahawanan sehingga kini masih berada pada tahap rendah dan tidak signifikan. Cabaran utama kerajaan ialah mewujudkan masyarakat belia yang tidak takut untuk menghadapi risiko berniaga dan pada masa yang sama menyubur biak budaya niaga supaya akan lahir kelak belia-belia yang mempunyai ciri-ciri berdaya saing, jujur dan cemerlang. Peranan kerajaan sewajarnya digalas bersama oleh pihak swasta.

Bagi membantu usaha-usaha kerajaan ini, kita tidak mahu sekadar Majlis Amanah Rakyat (Mara) sahaja yang menjadi ”amanah” untuk mewujudkan usahawan, malah pihak swasta juga patut turut berperanan melaksanakan tanggungjawab mereka. Mari kita ambil contoh pertandingan LiveWIRE yang telah merangsang semangat belia di Negara Brunei Darussalam.


Program kesedaran keusahawanan ini telah dilancarkan pada Ogos 2001 anjuran Syarikat Minyak Brunei Sendirian Berhad yang objektif pertamanya ialah memberi bantuan dan motivasi kepada para belia supaya berani meceburkan diri dalam perniagaan dan mengambil kedudukan sebagai asas pembentukan golongan belia korporat pada masa depan. Cuma dua modul latihan yang diperkenalkan iaitu Bright Ideas Workshop dan Become A Successful Owner Manager di mana kedua-dua modul ini akan dipastikan keberkesanannya melalui pertandingan yang kreatif dan realistik. Hasilnya sangat memberangsangkan! Seramai 300 orang belia yang terpilih telah diberi suntikan kesedaran dan semangat serta bimbingan untuk menceburi bidang yang sangat mencabar ini.

Kita mengharapkan peranan dan penglibatan pihak swasta dalam usaha membentuk usahawan belia di Malaysia akan turut membantu berganding bahu bersama-sama membina masyarakat usahawan. Melalui kerjasama inilah kita mampu melahirkan budaya berniaga dan belia berjiwa besar dalam keusahawanan.
Cabaran-cabaran kecemerlangan
Ketika memberi titah di Majlis Perasmian Muzakarah Ulama sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak ke 77, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mengingatkan bahawa penguasaan ilmu adalah prasyarat yang akan menentukan kekuatan umat Islam khususnya dalam persaingan ekonomi global. Pemikiran umat Islam perlu berani berhijrah, dibawa keluar dari kepompong pemikiran yang mengamalkan pendekatan lama yang semakin jumud dan usang.

Memang diakui betapa pentingnya penguasaan ilmu terhadap sesebuah negara. Kita ingin sekali melihat para pelajar, remaja dan belia kita mendapat bukan sekadar 17A malahan 20A atau 30A supaya sepuluh universiti terbaik di dunia akan dipenuhi oleh belia-belia pintar dari Malaysia. Soalnya, apakah kita mempunyai satu bentuk program khusus yang akan merealisasikan hal ini ataupun masih lagi bergelut dengan mencari pendekatan terbaik bagi menangani belia yang melepak, lumba haram dan ketagihan dadah? Antara cabaran-cabaran yang perlu untuk merealisasikan kemahiran sebagai teras kecemerlangan ialah :-

a) Jati diri

Belia termasuk remaja kini terpaksa berhadapan dengan cabaran sosial seperti dadah, gangsterisme, budaya hedonisme dan siber seks. Justeru itu kekuatan dalaman sangat mustahak sebagai pendinding kepada pengaruh gejala-gejala ini. Kita tidak mempunyai tanda aras yang piawai untuk mengukur tahap-tahap jati diri seseorang tetapi kita boleh membuat pemerhatian dan penilaian berdasarkan kepada penerimaan terhadap nilai-nilai norma dalam masyarakat. Asalkan memenuhi piawai masyarakat dan memberi kebanggaan kepada mereka, sudah cukup untuk kita memberi kredit cemerlang kepada jati diri belia yang berkenaan.


Secara umumnya kita dapat jadikan aspek pendidikan, nilai-nilai agama dan budaya hidup yang positif sebagai asas kepada pembentukan jati diri belia yang hebat. Program Latihan Khidmat Negara yang dilaksanakan buat kali pertama pada tahun 2004 dilihat sebagai program bersepadu dari segi mental, fizikal, intelektual dan spiritual supaya di akhir program ini, para pelatih dapat menjiwai diri mereka sebagai “orang baru” dan mendapat kekuatan yang boleh menjadi pendorong kepada kejayaan dan kecemerlangan pada masa depan.

Program pembangunan diri yang dianjurkan oleh pelbagai pihak seperti sekolah, maktab, universiti dan syarikat swasta seperti menjadi aktiviti wajib ketika cuti sekolah turut menyumbang kepada usaha-usaha kerajaan untuk melahirkan personaliti unggul di kalangan remaja dan belia. Hal ini bertepatan dengan slogan 3K yang menjurus kepada kemahiran, kepimpinan dan keusahawanan supaya program sedemikian mempunyai fokus dan rentak yang sepadan dengan agenda kerajaan. Dengan kesungguhan kerajaan dan keupayaan pihak swasta ini akan memberi nafas baru seterusnya melonjak paradigma generasi muda negara untuk lebih berasa yakin dengan masa depan Malaysia bagi mencapai Wawasan 2020.
b) Pendidikan sepanjang hayat
Tidak ada sesiapa pun yang menafikan kepentingan ilmu pengetahuan sebagai asas kecemerlangan. Tamadun Eropah dahulu masih berada dalam kegelapan ketika tamadun Islam menelusuri setiap pelosok dunia dan menjadi antara tamadun yang mencorak hala tuju dunia sehinga ke hari ini.

Tokoh-tokoh ilmuan Islam seperti Umar Khayyam, Ibnu Khaldun, Ibnu Arab, Ibnu Haitam dan Ibnu Maskawah akan dikenang sebagai pelopor kepada kejayaan pertemuan demi pertemuan. Kejayaan Kesultanan Melayu Melaka menjadi pusat perdagangan di Asia Tenggara ketika zaman kegemilangannya dahulu juga tidak dapat dipisahkan dengan ketinggian budaya ilmu penduduknya. Bak kata pepatah, ”Ilmu Pelita Hidup”, ilmu pengetahuan menjadi penyuluh ketika melalui lorong-lorong kegelapan untuk menuju kejayaan. Bagaimanapun, ilmu tanpa amal tidak ada makna dan faedahnya.

Di Malaysia, keprihatinan kerajaan dalam usaha memberi pendidikan kepada rakyat khususnya kanak-kanak, remaja dan belia sangat dibanggakan. Umpamanya, bagi Bajet 2005, sebanyak RM21.5 bilion iaitu kira-kira satu perempat daripada peruntukan mengurus dalam tahun 2005 dilaburkan untuk sektor pendidikan. Kesungguhan kerajaan untuk membekalkan ilmu dan kemahiran kepada para pelajar dan belia ditambah lagi dengan peruntukan sebanyak RM670 juta bagi membina institusi kemahiran teknikal dan vokasional yang baru. Penekanan terhadap bidang teknikal dan vokasional ini diharap akan memberikan peluang yang lebih kepada golongan pelajar dan belia untuk memperbaiki taraf hidup diri dan keluarga. Latihan dan pembinaan kemahiran adalah proses yang berterusan. Dengan diberi sedikit masa dan peluang, penguasaan ilmu akan dicapai seterusnya konsep pendidikan sepanjang hayat dapat dijelmakan kepada seluruh masyarakat Malaysia tanpa mengira umur, bangsa dan tempat.

Projek-projek seperti Projek Belia Peladang, Projek Belia Berniaga, Koperasi Belia dan Rancangan Tanah Belia amat sesuai menggalakkan belia hidup berdikari di samping memaju dan memodenkan sektor pertanian khususnya. Melalui projek-projek ini, belia yang berkelayakan akan diberi kursus dan latihan dalam jangka masa tertentu bagi membolehkan mereka bekerjasama menyelesaikan isu dan konflik tempatan di samping membolehkan mereka memenuhi keperluan asas sosioekonomi.

c) Soft skills

Negara yang maju pada hari ini adalah negara yang meletakkan aspek kemahiran sebagai kunci kejayaan dalam semua bidang hidup. Jepun umpamanya, berbekalkan Revolusi Meiji yang menekankan semangat samurai telah berjaya membentuk kelompok automotif yang mempunyai kelas tersendiri. Sehingga kini jenama Toyota, Honda dan Nissan telah menjadi jenama setiap rumah di dunia. Bagaimana orang-orang Jepun yang kita pernah anggap membuat kereta menggunakan tin milo dahulu telah berjaya dengan cemerlang di pasaran eokonomi dunia. Mereka bukan sekadar membawa imej Jepun malah membawa keyakinan, kualiti dan kepercayaan terhadap kemahiran yang dimiliki kepada masyarakat dunia.

Apakah rahsia kejayaan Jepun? Kita patut perhati sejenak corak kerja orang-orang Jepun yang mempunyai budaya dan kemahiran tersendiri. Cukuplah kita fokuskan kepada pembinaan kemahiran yang digilap oleh para pekerja mereka. Saya yakin bahawa barang-barang ”Made In Japan” tidak akan ke mana jika masyarakat Jepun hanya mempunyai kemahiran asas teknikal dan vokasional sahaja untuk membuat kereta, radio dan peti ais tetapi mereka mempunyai kemahiran yang lebih daripada itu. Kemahiran yang dimaksudkan ialah soft skills yang merangkumi kemahiran negosiasi, perbualan, kepimpinan, ketrampilan diri, keupayaan mengurus, memberi pandangan dan sebagainya. Kemahiran-kemahiran ini tidak akan diperolehi melalui pembacaan semata-mata malah perlu berhadapan dengan realiti sebenar. Negara tidak akan dapat melahirkan seorang belia yang mempunyai ”personaliti magnet” iaitu personaliti yang mempunyai daya penarik jika para belia masih enggan berpersatuan dan lebih suka bersantai dengan aktiviti-aktiviti yang bersifat hiburan dan melalaikan.

Kemahiran negosiasi umpamanya, banyak buku yang boleh menceritakan teori dan praktikal untuk menjadi seorang perunding yang cemerlang tetapi akan tinggal teori sahaja jika tidak dipraktikkan dalam kehidupan seharian khususnya di dalam organisasi yang mempunyai struktur yang tersusun. Kejayaan untuk menghazam dan menjadikan setiap aspek kemahiran itu sebagai rutin tidak mungkin akan diperolehi dalam sekelip mata malah memerlukan kesungguhan dan keazaman yang kukuh. Soft skills ini adalah kemahiran yang akan melonjakkan belia ke arah membentuk peribadi yang berjiwa besar, berani menanggung risiko dan bersedia untuk berubah demi kejayaan negara.
d) Nilai dan budi bahasa
Kehidupan masyarakat di Malaysia khususnya di bandar berlaku dengan sangat cepat berbanding di kampung. Pada masa dahulu, nilai-nilai positif yang diterap melalui pendidikan formal dan tidak formal menjadikan masyarakat dihormati dan disegani. Melalui nilai-nilai inilah budaya hidup dan ketamadunan dibentuk. Namun kini, keadaan hidup dan persekitaran dunia telah berubah dengan setiap masyarakat di dunia sentiasa terdedah dengan persekitaran yang sentiasa berubah. Atas nama pembangunan, adakalanya melunturkan nilai-nilai yang disepakati bersama dan mampu untuk memusnahkan nilai-nilai ini jika tidak diseimbangkan di antara pembangunan yang berorientasikan ekonomi dan pembangunan sosial.

Nilai-nilai umum yang disepakati ialah seperti hormat kepada orang tua, tatacara pakaian yang sopan, tingkah laku yang baik, ketinggian adab dan mengetahui aspek-aspek yang mengangkat maruah diri dan tidak melanggar batasan moral masyarakat.

Bagaimanapun pembangunan berterusan seolah-olah meminggirkan pembentukan nilai budaya ke atas personaliti individu menjadikan mereka tidak matang. Penekanan berterusan ke atas ekonomi yang memperlihatkan kepentingan nilai materialistik dan pembangunan yang menampilkan kecanggihan infrastruktur serta sektor pendidikan yang menekankan mengenai pencapaian akademik menyebabkan pembangunan sosial seolah-olah sukar beriringan dengan transformasi tersebut dan rongga-rongga yang mengikat nilai dan budaya tidak melalui transformasi yang sewajarnya.

Cabaran utama belia apabila berhadapan dengan ancaman nilai ini ialah keupayaan mengekalkan keluhuran nilai dan budi bahasa yang menjadi lambang kemegahan masyarakat Malaysia zaman-berzaman berteraskan kepada tolak ansur dan sikap saling memahami sesama kaum. Kata orang ”sekali ombak lalu, sekali pantai berubah” sebenarnya adalah hakikat tetapi perubahan itu bergantung kepada persediaan para belia untuk melakukan proses trasformasi dan penyesuaian diri terhadap bentuk perubahan yang akan dialami.


Sepuluh tahun yang lalu kita hanya mengenal fungsi telefon bimbit hanyalah untuk berkomunikasi, kemudiannya bergerak kepada perkongsian maklumat yang sangat terhad melalui penghantaran data secara Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan Khidmat Pesanan Multimedia (MMS). Kini, pada 2005 kita didedahkan pula dengan kepelbagaian teknologi komunikasi dengan jaringan telekomunikasi selular generasi ketiga atau 3G. Perkhidmatan yang ditawarkan mampu mengubah persekitaran sosial masyarakat keseluruhannya.

Kesimpulan

Menurut Philip G. Zimbardo dalam bukunya Economic Distribution, pendapatan bergantung kepada produktiviti, nilai perkerjaan dan jangka masa melakukan kerja. Apabila kemahiran dan pengalaman meningkat, produktiviti turut meningkat seterusnya keupayaan untuk menambah pendapatan menjadi lebih baik dan stabil. Sekiranya seseorang belia itu mempunyai tahap pendidikan dan kemahiran yang tinggi, tentulah dia akan mencapai tahap pendapatan maksimum yang lebih pantas. Oleh itu tidaklah diragui lagi bahawa kemahiran adalah salah satu aspek terpenting dalam mencipta siri-siri kecemerlangan.


Rujukan (Sila hubungi editor)

Peranan institusi keluarga bagi mengatasi jenayah pelajar







Kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar mengenai pembabitan pelajar sekolah dalam kegiatan jenayah yang semakin membimbangkan wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak. Perangkaan yang dikeluarkan oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia menunjukkan aliran peningkatan kes sejak tiga tahun lalu dengan purata kes sebanyak 200 dan melibatkan 120 tangkapan setiap bulan. Kegiatan pelajar ini merangkumi penyalahgunaan dadah, gangsterisme dan perilaku seks bebas.

Peredaran masa dari setahun ke setahun memberi peluang kepada golongan remaja menjadi cepat matang. Perkembangan teknologi maklumat, kemudahan pendidikan dan kewujudan era globalisasi telah mempercepatkan penerimaan budaya dan nilai luar ke atas masyarakat muda di negara kita. Golongan yang mudah terpengaruh dengan nilai-nilai ini tentulah golongan remaja yang akhirnya dikaitkan dengan setiap masalah sosial. Antara tiga kegiatan tersebut, penyalahgunaan dadah merupakan ancaman terbesar dan serius kepada negara kerana kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah RM5.17 juta setahun untuk memeranginya.

Kegiatan samseng nampaknya telah mula menular ke sekolah yang diyakini oleh ibu bapa sebagai tempat mendidik anak-anak. Kematian Asrin Mohsin selepas dibelasah sekumpulan remaja di Pulau Pinang dan pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Agama Datuk Kelana Petra Maamor, Ampangan, Negeri Sembilan, Muhammad Farid Ibrahim adalah contoh remaja kita sedang bergerak ke arah menjadikan keganasan sebagai pilihan bagi menyelesaikan masalah mereka. Soalan yang kita perlu fikirkan bersama ialah apakah benar remaja kita khususnya pelajar semakin ganas dan sanggup membunuh ?

Jika diperhati anak-anak remaja kita di pusat membeli-belah, perhentian bas dan di dataran, sebahagian besar pengunjungnya adalah pelepak. Mereka boleh diibaratkan ”sambil menyelam minum air” kerana di samping melepak, mereka juga akan mengacau dan mengurat gadis dan wanita yang lalu lalang. Di pekan-pekan besar, tempat popular lebih terserlah lalu ada yang berani minum arak dan sekali sekala mencuba dadah. Tarikan remaja dan pelajar untuk lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah memang kita maklumi kerana mereka kini terdedah dengan pengaruh media seperti televisyen, filem, majalah, internet dan wireless communication.

Pelbagai langkah dan pendekatan telah diambil oleh kerajaan bagi mengatasi masalah dan jenayah pelajar ini. Penubuhan Jawatankuasa Kabinet Bagi Membanteras Masalah Sosial pada tahun 1996 lalu merangkumi enam kumpulan kerja iaitu media, undang-undang, kerajaan tempatan, pendidikan, kesihatan dan agama. Kita yakin program-program yang telah dirancang itu telah dilaksanakan dan berharap ianya akan memberi kesan yang positif terhadap tahap sosial di Malaysia. Walau bagaimanapun perkara asas bagi kejayaan semua program yang dirancang ini terletak kepada institusi kekeluargaan. Keluarga yang menjadi punca kepada pembentukan komuniti dan negara wajar diberi penekanan dalam apa juga perkara. Tiga langkah pelaksanaan pengawalan sosial seperti yang dipraktikkan sekarang iaitu pencegahan, intervensi dan pemulihan wajar menekankan aspek nilai yang akan menentukan sesebuah institusi keluarga sama ada dalam keadaan bahagia atau sengsara.

Kita sudah kerap dan lali dengan kempen yang saban tahun dilaksanakan. Kita juga sudah biasa dengan program komuniti yang sekali sekala gah semasa pelancaran tetapi kita kurang perancangan dan pelaksanaan bagi memupuk nilai-nilai dalam masyarakat kita. Mungkin faktor inilah yang menyumbang kepada peningkatan jenayah pelajar di sekolah?

Nilai kekeluargaan yang dikatakan sebagai punca utama jenayah pelajar ialah perubahan tingkah laku. Pendidikan sejak kecil adalah penentu kepada tingkah laku yang positif. Nilai-nilai yang ditanam ini meliputi emosi, fikiran, pertembungan ideologi dan sebagainya boleh menimbulkan sahsiah salihah yang akan memberi kesan kepada nilai dan budaya dalam sesebuah keluarga. Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika merasmikan Konvensyen Perkembangan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Putrajaya baru-baru ini pernah menyatakan bahawa tidak perlu bagi pengusaha taska menyediakan program pendidikan yang susah difahami oleh kanak-kanak tetapi cukup mengajar mereka bagaimana menghormati rakan-rakan, guru, ibu bapa dan masyarakat. Melalui kesedaran inilah kita dapat mempertahankan nilai dan adab sopan generasi akan datang berbanding penjaga atau pengasuh asing yang tidak begitu memahami budaya masyarakat Malaysia.

Selain itu pengaruh persekitaran juga menjadi cabaran besar dalam menentukan hala tuju dan pembentukan nilai. Tanpa penerapan dan amalan nilai-nilai murni yang memberi penghargaan terhadap keluarga, sukar untuk mempunyai jati diri bagi menghadapi cabaran pada masa akan datang. Pemahaman Dasar Sosial Negara (DSN) sebagai dasar pembangunan sosial yang berteraskan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai kesepaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat wajar dijadikan sebagai teras di peringkat prasekolah lagi. Objektif dasar ini ialah mempastikan keperluan asas individu, keluarga dan masyarakat dipenuhi serta membangunkan dan memperkasakan insan sepanjang hayat supaya penerapan nilai-nilai murni dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Pendidikan agama sejak kecil dan dimulakan di rumah seharusnya menjadi elemen yang penting dalam membentuk moral dan mengatasi masalah sosial ini. Ramai bertanya kenapakah pendidikan agama di sekolah kurang berkesan untuk membentuk peribadi pelajar seperti yang diharap-harapkan. Adalah sesuatu yang janggal apabila sistem pendidikan agama di sekolah aliran agama gagal membentuk akhlak dan moral pelajar. Pengkajian haruslah dilakukan bagi menjadikan pendidikan agama sebagai satu saluran penting bagi mendidik generasi pelajar walaupun terpaksa menukarkan seluruh kakitangan sekolah seperti yang berlaku di sebuah sekolah agama di Pahang sedikit masa lalu. Barangkali pendidikan agama selama ini telah agak tersasar dari tujuan asasnya untuk memberi pengetahuan yang secukupnya kepada para pelajar dalam menghadapi pelbagai cabaran termasuk cabaran sosial dan moral. Mereka tidak mendapat ilmu agama bagi menyuluh perjalanan hidup di dunia juga tidak memahami cabaran kehidupan moden dan global dalam konteks agama dan moral. Faktor agama memainkan peranan yang dominan bagi membentuk sikap dan nilai yang betul terhadap kehidupan. Pendidikan agama wajar dikaji semula mekanisme dan teknik pengajaran supaya dapat diwujudkan satu budaya baru pelajar yang berorientasikan kemodenan, pertumbuhan ekonomi dan tahap toleransi yang memuaskan.

Membuat perbandingan sistem pendidikan dengan negara lain juga boleh memberikan idea kepada kita untuk disesuaikan dengan iklim masyarakat kita. Umpamanya di Jepun, penekanan pendidikan bukan lagi kepada 3M tetapi untuk memupuk hubungan kasih sayang di antara guru dan pelajar serta menyuburkan jiwa berdikari dalam diri pelajar. Malah sejak sekolah tadika dan sekolah rendah, para pelajar diajar berdamping dengan komuniti melalui penjelajahan kerjaya seperti turun ke sawah padi, membersihkan kawasan sekolah dan sebagainya. Didikan seperti inilah yang bakal melahirkan ahli masyarakat yang peka dengan persekitaran dan tahu menjaga diri.

Buku Malaysia Isu-Isu Sosial Semasa Terbitan Institut Sosial Malaysia yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri tahun lalu barangkali boleh memberi sedikit panduan kepada agensi-agensi pelaksana supaya menilai kembali pendekatan yang telah digunakan selama ini untuk menangani masalah sosial keseluruhannya. Kepentingan pelbagai pihak memahami Dasar Sosial Negara dapat membantu mereka merangka pelan tindakan yang mantap untuk mengubah keadaan hidup masyarakat, sama ada ke arah yang lebih baik iaitu meningkatkan kesejahteraan hidup atau sebaliknya. Dengan empat objektif utama ke arah pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat, Dasar Sosial Negara dapat menjadi teras pembangunan sosial bertunjangkan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan setiap insan. Nah, dengan dasar yang lengkap dan indah ini, sejauh mana agensi pelaksana memahami dan menghadam setiap objektif DSN ini bagi mengatasi pelencongan sosial dalam masyarakat?

Cabaran mengatasi jenayah pelajar sangat besar dan semakin membesar. Apatah lagi dengan persekitaran yang pantas berubah, gaya hidup kekeluargaan turut berubah. Semakin kerap ibu bapa bekerja di luar, orang tua dan sanak saudara tinggal berasingan daripada keluarga. Akhirnya peratusan keluarga telah bertambah kepada 60 peratus pada 1991 kepada 68 peratus pada 1994 dan dijangka melebihi 70 peratus pada 2000. Kewujudan jurang keluarga asas ini menyebabkan perubahan nilai-nilai yang memberikan pelbagai kesan dalam kehidupan individu. Kesan ini juga turut membawa kesan ke atas pembangunan sosioekonomi kerana keluarga tidak lagi dapat melaksanakan peranannya sebagai penjamin keharmonian keluarga bagi mendidik, membimbing, membentuk akhlak, kasih sayang dan perhatian. Ikatan perhubungan yang semakin longgar ini mewujudkan bibit-bibit kelemahan institusi keluarga dan peningkatan tingkah laku pelajar khususnya.

Pendidikan yang dipelajari di sekolah bukan sekadar ”kena belajar” malah merupakan alat untuk perubahan. Pengkayaan nilai dan sikap bagi membentuk peribadi mulia dan terpuji lebih berkesan jika dibuat melalui pendidikan yang bersistematik dan berterusan. Di sinilah letaknya kepentingan kesedaran terhadap keutuhan keluarga supaya sokongan dan perhatian serta kasih sayang di antara ibu bapa dan anak-anak terus subur sepanjang masa.

Penempatan dan kesan sosial







Perkembangan pesat dalam sektor industri negara telah memberi kesan kepada peningkatan peluang pekerjaan. Keadaan ini telah merubah struktur sosial dan ekonomi negara yang menjurus kepada perkembangan pesat perindustrian dan perbandaran lalu memberi lebih banyak peluang ekonomi di pusat-pusat bandar. Penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar untuk turut serta dalam pembangunan ekonomi negara telah mengakibatkan penduduk di pusat-pusat bandar bertambah dengan cepat tetapi sektor perumahan tidak mampu menampung kepesatan ini menyebabkan wujudnya penempatan segera yang tidak tersusun atau lebih dikenali sebagai setinggan.

Fenomena setinggan telah menjadi masalah utama negara sejak dari dulu lagi dan sering dikaitkan dengan gambaran atau imej yang berlawanan dengan nilai-nilai kekeluargaan. Antara imej yang sering dipaparkan ialah keadaan bangunan yang buruk dan berselerak, kemiskinan, masalah sosial, tidak ada kemudahan infrastruktur dan menjadi tempat tumpuan pendatang asing.


Setinggan secara umumnya dirujuk kepada seseorang atau segolongan orang yang mendiami atau menduduki sesuatu tanah secara haram atau melalui cara yang tidak sah dari segi undang-undang sama ada dengan cara pencerobohan ataupun melalui kaedah-kaedah yang lain. Berdasarkan kajian setinggan di seluruh negara, terdapat sebanyak 114,944 unit bangunan kediaman setinggan dengan anggaran penduduk setinggan berjumlah 557,679 orang yang ada di seluruh Malaysia. Jumlah kampung setinggan adalah 1032 buah yang tertumpu di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sabah. Kebanyakan penempatan setinggan wujud di kawasan pantai, bekas-bekas lombong, rizab jalan, rizab sungai, rizab kereta api dan kawasan-kawasan pinggiran bandar yang belum dibangunkan. Setinggan berbeza dengan bandar kerana definisi bandar ialah kawasan yang diwartakan serta kawasan tepubina yang bersempadan dengannya dan gabungan kedua-dua kawasan ini mempunyai sejumlah penduduk seramai 10,000 atau lebih.

Hasil kajian yang diterbitkan oleh Buku Laporan Jabatan Perdana Menteri 1999 mendapati hampir semua penduduk setinggan adalah warga asing kecuali di Melaka dan Negeri Sembilan. Peratusan yang paling tinggi adalah di Sabah (warga Filipina) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (warga Indonesia). Penghijrahan warga asing tanpa kawalan ini telah menyebabkan wujudnya pelbagai implikasi seperti penempatan warga asing, masalah sosial dan jenayah. Analisis juga mendapati terdapat isi rumah setinggan yang berpendapatan kurang daripada RM460.00 sebulan (garis kemiskinan) dan berpendapatan kurang daripada RM300.00 sebulan (golongan termiskin). Ada juga sebilangan penduduk setinggan yang tidak mempunyai pelajaran formal dan berpendidikan sekolah rendah. Keadaan ini menyebabkan mereka ketinggalan dan terpinggir dari sektor pekerjaan dan pembangunan.

Kewujudan kawasan-kawasan setinggan ini telah memberi kesan buruk terhadap keharmonian masyarakat kerana ini dikatakan menjadi lubuk kepada pelbagai masalah sosial seperti mana yang berlaku di kawasan setinggan Jalan Klang Lama pada Mac 2001 yang lalu hingga menyebabkan enam orang mati dan lebih 40 orang cedera. Salah satu punca kejadian ini ialah faktor kemiskinan di samping kehadiran pendatang asing tanpa izin yang mengeruhkan lagi keadaan.

Takrif kemiskinan

Kemiskinan adalah satu konsep yang sukar ditafsir. Oleh yang demikian, ia bersifat subjektif dan memerlukan pertimbangan nilai yang mendalam. Kemiskinan pada umumnya meliputi elemen-elemen yang berikut : golongan yang tidak mempunyai keupayaan pendapatan, golongan yang tiada akses kepada sumber kuasa sosial dan golongan yang tidak menikmati keperluan asas (perlindungan, pemakanan, pendidikan asas, kesihatan, pekerjaan dan sebagainya) yang mengikut piawaian ukuran sara hidup sesuatu masyarakat bandar dan luar bandar (Berita Harian, 9 Disember 2004).

Menurut Rohana Yusof (1997), kemiskinan secara umumnya ditakrifkan sebagai ketidakupayaan untuk memenuhi keperluan-keperluan asas yang minimum untuk hidup seperti keperluan makanan, perumahan, pakaian, pelajaran, kesihatan, kebajikan dan kemudahan sosial yang lain.

Bagi mengatasi masalah kemiskinan yang turut dikaitkan dengan setinggan, kerajaan telah merancang membina lebih banyak rumah kos rendah atau rumah mampu milik untuk dijual dan disewa bagi penempatan semula setinggan. Melalui Program Perumahan Rakyat (PPR), kerajaan menetapkan beberapa kriteria bagi pemilikan rumah iaitu : suami isteri mestilah warganegara Malaysia; telah berkahwin dan mempunyai anak; berdaftar dengan Jabatan Perumahan Bandaraya; dan pendapatan ketua keluarga atau pendapatan terkumpul suami dan isteri tidak kurang daripada RM201 dan tidak melebihi RM1200.

Mengapa wujudnya masalah-masalah sosial?

Tidak dapat siapapun menafikan bahawa dunia pada hari ini penuh dengan berbagai-bagai ragam dan masalah, sama ada kecil ataupun besar, remeh ataupun sukar, melibatkan golongan atasan ataupun bawahan dan sesiapa sahaja sepertimana yang berlaku pada peristiwa tsunami yang melanda sekitar Asia pada 26 Disember 2004 yang lalu. Pokoknya, sebahagian besar daripada masyarakat bersetuju bahawa dunia hari ini mengalami masalah sosial. Timbulnya masalah-masalah sosial ini yang berpunca daripada pendapatan rendah memang boleh dijangkakan. Bezanya cuma dari segi keseriusan masalah tersebut dan sejauh mana kita mampu mengambil langkah-langkah pencegahan dan rawatan.

Mohd Shatar Sabran (2003) memberikan definisi masalah sosial sebagai satu masalah apabila sebahagian besar daripada ahli masyarakat ataupun sekumpulan masyarakat yang mempunyai pengaruh merasakan bahawa sesuatu perkara yang berlaku itu tidak baik dan bercanggah dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat. Lanjutan daripada itu, masyarakat dan kumpulan yang terlibat akan berusaha untuk mengubah ataupun memperbetulkan keadaan berkenaan.

Berpandukan kepada definisi masalah sosial ini, ia sebenarnya bersifat subjektif di mana berlakunya perubahan mengikut tempat, keadaan dan masa. Sesuatu perkara yang dianggap menyalahi dan menyimpang daripada norma masyarakat pada masa lalu tidak lagi dianggap sebagai masalah pada masa sekarang.

Bagi tujuan perbincangan ini, masalah sosial yang muncul setelah wujudnya penempatan yang tidak tersusun adalah sepantas penambahan setinggan yang berselerakan. Munculnya masalah yang berkaitan dengan komuniti setinggan yang tentunya sebahagian besarnya berpendapatan rendah menuntut setiap pihak untuk menilai semula perancangan bandar dan memaksa pihak kerajaan khususnya untuk menghapuskan kemiskinan tegar di negara kita yang dianggarkan kira-kira 50,000 keluarga atau satu peratus daripada keseluruhan 25 juta orang penduduk negara (Utusan Malaysia, 3 Jun 2004). Daripada jumlah ini, seramai 10,000 keluarga tinggal di kawasan bandar dan memenuhi kawasan setinggan. Dengan keadaan persekitaran yang tidak kondusif dan tidak ada sistem yang baik, golongan ini gagal untuk mendapatkan pekerjaan kerana tidak mempunyai kelayakan akademik, di samping terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan gangsterisme.

Walaupun usaha gigih kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri dan pelbagai agensi yang terlibat, kadar kemiskinan belum dapat dihapuskan sepenuhnya, hanya dapat dikurangkan dari 16.5 peratus pada tahun 1990 ke 5.1 peratus pada tahun 2002. Bagi tempoh yang sama juga, kemiskinan di kawasan bandar telah berkurangan daripada 7.1 peratus ke 2.0 peratus. Walau bagaimanapun maklumat yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan 2004 melalui Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah menyatakan kadar kemiskinan tegar di negara ini ialah 0.7 peratus yang melibatkan 36,500 isi rumah.

Bagi sesetengah orang, memiliki rumah sendiri adalah salah satu keperluan primer yang perlu dipenuhi sebagai syarat bagi kesempurnaan hidup mereka. Misi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mahu merealisasikan hasrat kerajaan untuk mencapai matlamat setinggan sifar “menjelang tahun 2005” diharap dapat mempercepatkan proses pembangunan perbandaran yang lebih tersusun dan bersistematik.


Menurut kajian oleh Lawrence (1995), Nurizan (1991) dan Shahnaz (1996) (dalam Nurizan dan Laily Paim, 1999) menyatakan bahawa keadaan perumahan yang tidak menepati kelayakan minimum keperluan sesuatu projek perumahan akan memberi kesan yang negatif terhadap komuniti berkenaan seperti kesesakan, pencemaran persekitaran, tidak puas hati dan wujudnya kesan-kesan gejala sosial. Cabaran yang dihadapi oleh kerajaan ialah bagaimana mengatasi peningkatan yang mendadak penduduk bandar akibat daripada penghijrahan penduduk luar bandar yang meningkat dari 29 peratus pada 1970 ke 34 peratus pada 1980 seterusnya 50.5 peratus pada 1990 (Sixth Malaysian Plan, 1991).

Pembukaan bandar dan kawasan industri yang baru menarik minat penduduk luar bandar untuk mencari kerja di tempat-tempat ini di samping kemasukan tenaga buruh pekerja asing telah meningkatkan populasi di kawasan bandar yang memberi kesan secara langsung dan serius ke atas perkhidmatan perbandaran termasuk perumahan.

Teori dan pendekatan sosiologikal dalam memahami masalah sosial

Akhir-akhir ini banyak pihak yang melahirkan rasa gusar ke atas peningkatan tahap masalah sosial di kalangan masyarakat. Kerisauan golongan ini mungkin ada benarnya apabila melihat dan mengambil kira aliran semasa yang menunjukkan peningkatan terutama dalam kes jenayah dan salah laku. Dalam mengaitkan aliran-aliran ini dengan gejala sosial, adalah menarik sekali kita meneropong Laporan Awal Pihak Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat (November 1999) kepada Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Sosial diambil kira.


Menurut laporan yang dikemukakan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesahkan bahawa kebanyakan aktiviti kumpulan salah laku bermula atau berlaku di kalangan penduduk yang berpendapatan rendah dan menetap di kawasan-kawasan berisiko tinggi seperti setinggan, rumah panjang dan rumah pangsa murah. Terdapat juga faktor-faktor lain yang turut mempengaruhi gejala sosial ini seperti keciciran sekolah, penceraian dan kawasan persekitaran perumahan yang tidak mempunyai prasarana yang sempurna (Yayasan Strategik Sosial 2002).

Beberapa faktor telah dikenal pasti sebagai menyumbang kepada masalah sosial yang berlaku di negara ini dan boleh dilihat daripada perspektif yang berbeza-beza. Ada yang melihat daripada perspektif ekonomi, pendidikan, persekitaran dan sebagainya. Walaupun pelbagai jenis pendekatan yang ditangani bagi memahami masalah sosial ini, hasil akhir ialah mengenal pasti punca dan cara mengatasi isu-isu sosial berkenaan.

Setelah mengetahui perbezaan persepsi terhadap masalah sosial, para intelektual dan sarjana pula berpendapat bahawa perbezaan persepsi tersebut dapat dibahagikan kepada dua iaitu yang pertama berpendapat bahawa “masalah sosial adalah suatu yang objektif seperti pembunuhan, penderaan dan masalah dadah” manakala persepsi yang kedua pula berpendapat “masalah sosial adalah suatu yang subjektif dengan mengambil kira lokasi, siapa dan bila ia dibincangkan”.

Bagi memahami masalah sosial dengan lebih terperinci, apa yang perlu diberi perhatian ialah mengenal pasti bagaimana sesuatu masalah yang melibatkan sesebuah masyarakat itu memberikan maklum balas atau reaksi terhadap gejala sosial tersebut. Bagi memudahkan huraian, Herbert Blumer (dalam Zaid Ahmad, 2002) mencadangkan pusingan hidup sebagai masalah sosial dibahagikan kepada : 1) penemuan masalah sosial, 2) pengesahan masalah tersebut sebagai masalah sosial, 3) langkah-langkah pencegahan, 4) menyediakan pelan rasmi untuk tujuan pembasmian, dan 5) pelaksanaan keputusan.


Blumer menyatakan dengan lebih lanjut bahawa kelima-lima peringkat ini berlaku secara evolusi. Sesuatu masalah sosial perlu melalui kelima-lima peringkat di atas secara tidak langsung. Pada peringkat pertama, masyarakat akan merasakan wujudnya masalah sosial tetapi tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang boleh memudaratkan.

Peringkat seterusnya ialah masyarakat mula menyedari kesan yang berlaku akibat daripada masalah sosial yang terjadi. Mereka menyedari bahawa masalah yang dihadapi sememangnya tidak baik dan boleh menjejaskan nilai serta norma masyarakat tersebut. Pada peringkat ini juga masalah sosial yang berlaku sudah mula menunjukkan kesan-kesan negatif yang perlu dibendung dengan segera.

Apabila masyarakat menyedari bahawa masalah sosial yang timbul itu sememangnya boleh memberikan kesan buruk dalam jangka masa panjang, maka masyarakat tersebut akan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan masalah itu menular. Pada peringkat ini pelbagai langkah telah diambil bagi mengurangkan kesan negatif akibat daripada masalah sosial yang berlaku.

Pada peringkat terakhir pusingan evolusi masalah sosial ini, masyarakat telah mula menyedari bahawa langkah-langkah pencegahan dan penyelesaian yang telah diambil sebelum ini dapat dilaksanakan dengan baik. Masalah sosial yang sebelum ini berlaku dapat dibanteras dengan baik dan situasi ini wajar terus dikekalkan. Masalah sosial yang berlaku di Malaysia dalam apa keadaan sekalipun boleh dikupas dan dibahas dengan lebih mendalam menggunakan pendekatan-pendekatan tertentu. Antaranya ialah pendekatan sosiologikal iaitu satu bidang saintifik yang mengkaji perlakuan individu secara khusus dan masyarakat amnya.


Intipati utama yang menjadi fokus kepada bidang sosiologi ialah bagaimana perlakuan manusia dapat dipengaruhi oleh sekumpulan individu yang membentuk sesebuah masyarakat di dalam sesuatu kawasan. Ia juga meletakkan fokus kepada interaksi sosial yang berlaku dalam sesebuah masyarakat dan bukan kepada individu itu.

Pada dasarnya terdapat lima teori atau pendekatan utama yang boleh membincangkan masalah sosial yang berlaku. Teori-teori yang dimaksudkan ialah teori patologi sosial, teori kecelaruan sosial, teori konflik nilai, teori salah laku dan teori melabel.

Teori patologi sosial menerangkan bahawa seseorang individu yang terlibat dengan masalah sosial dan melakukan perbuatan yang bercanggah dengan nilai dan norma masyarakat adalah dianggap sebagai individu yang tidak sihat mentalnya dan perlu dikenakan hukuman. Jika sesebuah masyarakat itu terdiri daripada individu yang mempunyai mental yang bersih dan waras, teori ini berpendapat bahawa masalah sosial tidak akan berlaku.


Contoh berlakunya masalah sosial mengikut teori ini sangat mudah dan jelas. Ianya terpampang di dada-dada akhbar setiap masa iaitu sumbang mahram yang semakin mendapat perhatian ramai. Sehingga bulan Jun dan Julai 2002 sahaja, dilaporkan sebanyak 170 kes telah direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia.

Daripada jumlah ini, 43 kes melibatkan bapa dengan anak manakala 37 kes lagi melibatkan bapa saudara. Kejadian ini memperlihatkan wujudnya ketidakwarasan mental sesetengah individu di dalam masyarakat yang sanggup menghancurkan masa depan anak sendiri. Keadaan ini boleh menjadi lebih serius dan menjadi-jadi jika golongan berpendapatan rendah dan mempunyai tahap pendidikan yang rendah tidak mampu mengawal nafsu akibat terdedah kepada bahan-bahan porno.

Teori kedua yang dibincangkan ialah teori kecelaruan sosial. Teori ini menjelaskan bahawa masalah sosial yang berlaku adalah disebabkan oleh kegagalan peraturan-peraturan yang digubal untuk berfungsi dengan baik dan berkesan. Dalam erti kata yang mudah, apabila berlakunya masalah yang melibatkan masyarakat tertentu, masyarakat tersebut seolah-olah tiada hala tuju kerana tidak ada undang-undang dan peraturan khusus yang dijadikan panduan.

Bagi teori ini, ia ada kaitan rapat dengan kesan penghijrahan ke bandar yang menimbulkan masalah sosial. Peranan yang longgar oleh pihak yang bertanggungjawab menangani hal ini menyebabkan penduduk setinggan dan penghuni rumah pangsa seringkali berhadapan dengan masalah sosial.

Teori seterusnya ialah teori konflik nilai yang menyatakan bahawa konflik akan wujud sekiranya terdapat jurang perbezaan sosial yang luas di antara satu kelompok masyarakat dengan kelompok masyarakat lain. Konflik juga akan berlaku jika sesuatu kelompok itu tidak menghormati adat dan sensitiviti kelompok yang lain. Bagi menerangkan teori ini, contoh yang mudah ialah pengelompokan sesuatu puak mengikut negeri di sesuatu kawasan perumahan setinggan. Akibat perbezaan adat dan budaya, seringkali berlaku tuduh-menuduh dan salah faham sesama sendiri hingga menimbulkan rasa dendam dan benci. Sikap chauvinistic dan menganggap budaya dan nilai yang dipunyai kelompok sendiri lebih hebat daripada kelompok yang lain menambahkan lagi kerumitan konflik dan salah faham.

Bagi teori salah laku pula, masalah sosial yang wujud di dalam sesebuah masyarakat itu akan mendapat perhatian daripada masyarakat yang lain.


Oleh yang demikian, masyarakat yang memerhati tadi akan berpandangan negatif dan mula menunjukkan reaksi menolak. Teori ini menjelaskan bahawa peraturan yang ada mendapat tentangan daripada golongan yang tidak berpuas hati dan sebagai langkah untuk menunjukkan rasa tidak puas hati ini, mereka mula terlibat dengan pelbagai masalah sosial. Sebagai contoh, remaja yang melepak dan membuat bising di kawasan perumahan kerana mengalami krisis kekeluargaan. Lama-kelamaan mereka berkumpul dan mewujudkan kumpulan yang berunsurkan bantahan seperi “punk” dan “Mat Rempit.”

Teori yang terakhir ialah teori melabel yang sangat berkait dengan aspek pengukuhan tingkah laku. Akibat daripada label yang terus menerus dilakukan, individu yang mendapat label tersebut akan beranggapan bahawa tindakan yang dilakukan olehnya memang patut diberikan label yang sedemikian rupa. Sebagai contoh, jika kita memberi label seseorang kanak-kanak itu nakal, tindakannya selepas itu pun akan turut memperlihatkan sikap nakalnya. Pelabelan yang terus menerus akan menyebabkannya selesa dengan tingkah laku berkenaan dan akhirnya terlibat dengan pelbagai jenis masalah sosial.

Jika kita perhatikan senario masalah sosial di Malaysia, tidak ada satupun faktor terkuat yang dikenal pasti mempengaruhi gejala sosial ini. Terdapat faktor seperti kemiskinan dan ketidakseimbangan pendapatan. Disebabkan desakan dan hidup, ada segolongan individu tidak dapat bertahan yang menyebabkan timbulnya masalah ragut, dadah, mencuri, gangsterisme, buli dan bermacam-macam lagi.

Masalah-masalah sosial yang timbul


a) Kemerosotan pencapaian akademik

Banyak perkara yang boleh mempengaruhi tahap pencapaian akademik seseorang pelajar. Antaranya ialah tahap pendidikan ibu bapa, pekerjaan, pendapatan keluarga dan saiz sesebuah keluarga. Menurut Noraini (dalam Zarinah Arshat dan Rozumah Baharudin,1999), anak-anak dari keluarga yang mempunyai status sosioekonomi yang tinggi adalah lebih maju dalam persekolahan dan memperolehi lebih tinggi gred pencapaian berbanding anak-anak dari keluarga yang mempunyai status ekonomi yang rendah. Ini adalah kerana dalam keadaan status sosioekonomi yang tinggi, ibu bapa mampu dan boleh menyediakan kemudahan dan persekitaran yang selesa untuk perkembangan pelajaran yang cemerlang.

Ramai pengkaji sosial sama ada di dalam ataupun luar negara membuat kajian ke atas perkaitan di antara faktor latar belakang keluarga dengan tahap pencapaian akademik. Zainah dan Rozumah (1999) telah membuat kajian mengenai faktor-faktor yang membantu kepada pencapaian akademik para pelajar di sekitar Kuala Lumpur. Kajian ini melibatkan seramai 102 orang ibu bapa yang dipilih secara rawak. Anak-anak yang berumur di antara 10 hingga 11 tahun telah terpilih dalam kajian ini. Hasil kajian mendapati jumlah tahun pendidikan yang diterima oleh ibu bapa mempunyai perkaitan yang signifikan dengan pencapaian akademik anak-anak. Ini bertepatan dengan kajian-kajian sebelumnya oleh Anuar (1990) yang menyatakan bahawa semakin tinggi tahap pendapatan ibu bapa, pencapaian anak-anak lebih baik.

Dari segi Teori Hirarki Maslow, didapati kefahaman kita terhadap perkara ini lebih jelas jika kita dapat mengaitkan keperluan manusia dan tahap-tahap pencapaian yang akan diperolehinya. Menurut Maslow, manusia didorong oleh keperluan-keperluan tertentu iaitu keperluan yang rendah atau bawah perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum dapat meningkat ke tahap yang lebih tinggi. Ibu bapa yang berpendapatan rendah lebih banyak menumpukan usaha mereka untuk memenuhi keperluan asas seperti mendapatkan makanan dan tempat tinggal yang lebih selesa.


Apabila keperluan-keperluan asas tidak dapat memenuhi kehendak mereka, isu-isu lain yang lebih penting sering diabaikan seperti pendidikan anak-anak dan tahap kesihatan keluarga. Jika dikaitkan dengan Teori Hirarki Maslow ini, ternyata pendidikan anak-anak tidak banyak diberikan perhatian oleh ibu bapa sehinggalah keluarga tersebut menikmati status ekonomi keluarga yang memuaskan. Adalah sukar bagi anak-anak untuk memberi perhatian yang lebih terhadap pelajaran sedangkan pada masa yang sama memikirkan apa yang perlu dimakan untuk mengelakkan kelaparan, tempat belajar yang tidak kondusif dan tidak ada duit untuk beli makanan dan minuman semasa ke sekolah. Keghairahan anak-anak yang masih muda ini untuk belajar hanya tinggal impian dan seterusnya kejayaan yang diingini tidak akan kesampaian.

b) Masalah penyalahgunaan dadah di kalangan remaja

Penyalahgunaan dadah dewasa ini telah dianggap sebagai masalah sejagat. Daripada kes mencuri kasut di masjid, penceraian keluarga hinggalah sanggup membunuh ibu bapa sendiri, ia menjadi episod yang tiada penghujung. Setiap hari sama ada di media massa ataupun elektronik, berita mengenai dadah tidak pernah habis hingga ia menjadi imun kepada sesetengah orang. Jika kita menyelusuri statistik penyalahgunaan dadah di Malaysia, kajian yang dilakukan oleh V. Ravaratnam dan C.P Spencer, 1976 (dalam Mahmood Nazar,1989) boleh dijadikan panduan. Menurut pengkaji ini, kebanyakan individu mula-mula mengambil dadah di Malaysia adalah mereka yang berumur 16 hingga 20 tahun.


Statistik yang diperolehi juga menyatakan bahawa kebanyakan daripada mereka yang mula menggunakan dadah adalah di antara umur 10 hingga 20 tahun, satu penemuan yang jelas memberitahu kita bahawa remaja mula mengenal dadah seawal usia 10 tahun. Soalnya ialah, bagaimana masalah dadah ini boleh menembusi dan menjadi sebahagian daripada hidup remaja pada awal usia 10 tahun ? Dan itupun telah dikenal pasti 29 tahun yang lalu! Apakah pada tahun 2005 ini yang dianggap sebagai era teknologi maklumat dan digital, ditambah pula dengan kepesatan pembangunan negara, anak-anak yang berumur 7 tahun sudah pun mengenal dadah ? Tepuklah dada dan fikirkan kesannya.

Mahu ataupun tidak, faktor ekonomi keluarga dan perkembangan persekitaran turut membantu mewujudkan masalah dadah biarpun pada peringkat awal usia. Kajian ini telah mengenal pasti lapan sebab penagih terjebak dengan dadah iaitu perasaan ingin tahu, melupakan masalah, pengaruh kawan sebaya, membantu proses pembelajaran, untuk memahami diri sendiri, inginkan keseronokan, ingin bebas dan mahu memahami rasa yang berbeza. Daripada lapan sebab tersebut, separuh daripadanya boleh dikaitkan secara langsung dengan kekeluargaan yang terdiri daripada pelbagai alasan.

Jiwa remaja penuh dengan impian yang kadangkala boleh merosakkan masa hadapan. Suka mencuba, tidak mahu dikongkong dan ingin bebas sepenuhnya. Mereka akan cuba menunggang motosikal dengan laju, berambut “punk”, menghisap rokok seperti gaya seorang “hero”, berpasang-pasangan dan menyertai kumpulan rakan sebaya yang menyimpang daripada norma-norma masyarakat setempat.

Masalah sosial yang paling utama ini, jika dirujuk kepada teori psikososial Erikson, beliau percaya bahawa konflik psikososial yang dihadapi oleh remaja hanyalah satu iaitu mencari identiti. Mereka akan melakukan semua perkara demi untuk memenuhi impian sendiri. Kemudaratan akan muncul dan bertukar menjadi tragedi sekiranya penerokaan diri ini tersalah sasar kepada penyalahgunaan dadah.

Kerapkali ibu bapa terperangkap di antara memenuhi kehendak mereka sendiri dengan keperluan perkembangan anak-anak remaja. Sekali lagi punca masalah ini tidak dapat tidak dikatakan berpunca daripada keluarga. Dadah tidak terikat hanya kepada keluarga berpendapatan rendah kerana ia boleh menjangkau sesiapa sahaja. Hanya kesedaran dan langkah-langkah pencegahan yang mampu membendung gejala ini berterusaan menjadi barah dalam masyarakat.


Di sinilah peranan ibu bapa, pihak sekolah, jawatankuasa kampung atau taman seterusnya agensi-agensi penguatkuasa benar-benar diharapkan. Pengemblengan sumber-sumber ini dapat menangani penularan penyalahgunaan dadah untuk jangka masa panjang khususnya di kalangan remaja.

c) Keciciran sekolah

Kanak-kanak yang tercicir dari sekolah (school dropout) adalah salah satu faktor langsung yang ada kaitannya dengan keupayaan keluarga berpendapatan rendah terhadap kepentingan pendidikan kepada anak-anak. Bagi kanak-kanak ini yang tercicir dan tidak lagi menyambung pelajaran mereka, kesan jangka panjang ialah kesukaran mencari pekerjaan terutama yang melibatkan kemahiran teknologi. Jika mendapat pekerjaan sekalipun, jumlah pendapatan yang akan diperolehi amat berkurangan berbanding pelajar yang memiliki diploma atau ijazah. Peluang mereka untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi amat tipis apatah lagi wujudnya persaingan yang sangat sengit dalam pasaran kerja pada masa kini.


Golongan yang tercicir ini juga terpaksa berhadapan dengan kesusahan dan kesempitan hidup kerana tekanan ekonomi yang dihadapi. Kesan jangka pendek yang menjadi pilihan golongan ini ialah melibatkan diri dalam kegiatan anti sosial seperti mencuri, meragut, merompak, gangsterisme, mengedar dadah dan menyeluk saku. Kegiatan anti sosial ini akan lebih ketara apabila pendapatan yang diperolehi tidak konsisten dengan kos hidup yang semakin meningkat.

Keciciran dari sekolah akan menjadi-jadi dan bertambah buruk apabila faktor kemiskinan dan hidup merempat meliliti kehidupan keluarga terutama di kawasan setinggan. Adalah lebih mudah bagi ibu bapa untuk memutuskan bahawa menamatkan pendidikan anak-anak akan mengurangkan beban keluarga kerana mereka boleh membantu mencari sumber pendapatan untuk keluarga. Maknanya di sini, beban mencari sumber kewangan telah ditanggung bersama-sama. Akhirnya, dengan kata lain, kanak-kanak yang tercicir ini akan menghadapi masa depan yang sama seperti yang dialami oleh ibu bapa mereka sebelum ini.

Kajian yang dijalankan oleh Yayasan Strategik Sosial (2002) ke atas faktor-faktor yang mempengaruhi keciciran ini telah mengenal pasti lima penyebab utama iaitu kekeluargaan, sikap pada diri sendiri, sistem persekolahan, kesihatan dan persekitaran. Apa yang menarik daripada kajian ini ialah meletakkan faktor keluarga sebagai punca utama masalah keciciran yang berlaku dan sebab utama ialah pendapatan ekonomi keluarga yang rendah. Kehidupan yang miskin dan daif memaksa ibu bapa merelakan anak-anak mereka khususnya yang sulung berhenti sekolah dan mula mencari pendapatan sendiri.

Faktor persekitaran juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi minda dan perlakuan seseorang. Segolongan kanak-kanak lebih mudah mengikut apa yang berlaku di sekitar mereka tanpa mengetahui baik dan buruknya. Kajian Setinggan Lembah Klang oleh Yayasan Strategik Sosial pada 2001 menunjukkan kebanyakan pelajar tercicir dari sekolah berasal dari perkampungan setinggan.


Apabila seseorang pelajar bergaul dengan rakan yang tercicir, besar kemungkinan pelajar itu pun turut tercicir dari sekolah. Secara psikologi, gerak geri dan perlakuan pelajar yang tercicir lebih kuat pengaruhnya ke atas pelajar yang berkawan dengannya. Dalam kes-kes tertentu, pelajar yang tercicir cuba mempengaruhi kawan-kawannya yang lain untuk menyertai tindakannya yang lebih menyeronokkan. Di samping itu kegelojohan pihak sekolah yang memberi pengiktirafan terhadap pencapaian akademik di kalangan pelajar memberi tekanan ke atas pelajar yang lemah dalam pelajaran.

d) Keganasan rumah tangga

Keganasan rumahtangga bukan satu perkara yanag baru wujud di negara kita, malah telah lama. Cuma bentuknya yang berbeza dari generasi ke generasi. Ia termasuk penderaan atau penganiayaan terhadap suami, isteri atau anak-anak. Keganasan dalam rumahtangga dapat ditakrifkan sebagai perbuatan yang melibatkan serangan, sentuhan, gangguan, kekejaman mental dan fizikal, penganiayaan seksual atau apa-apa perbuatan pencerobohan atau aniaya (Roslee Hj Abbas, 1999).

Di antara punca terkuat berlakunya keganasan rumahtangga ini ialah tekanan hidup dan kaitannya dengan kedudukan kewangan keluarga yang tidak kukuh. Ada kalanya sikap kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri yang saling tidak memahami di antara satu sama lain. Sikap isteri yang suka meminta-minta akan menyebabkan jiwa suami akan merasa tertekan. Bagi mengatasi masalah ini, suami akan menggunakan kata-kata kesat, herdikan atau pukulan bagi mengatasi tekanan. Malahan keadaan akan menjadi lebih parah jika suami mengambil jalan singkat bagi mengatasi tekanan dengan meminum alkohol secara berlebihan dan pertimbangan akal yang rasional tidak mampu mengawal diri. Apabila suami pulang ke rumah dalam keadaan mabuk, ia akan mencetuskan pergaduhan atau konflik yang berkisar mengenai isu-isu kewangan, peranan isteri dan sebagainya.

Kesempitan wang dan tekanan hidup sedikit sebanyak akan memaksa keluarga mencari jalan singkat untuk keluar daripada masalah yang sementara tersebut. Meminjam wang daripada ceti haram atau “Along” dirasakan menjadi pilihan. Akibat tidak mampu membayar balik pinjaman, suami atau isteri takut untuk pulang ke rumah kerana bimbang akan “dikenakan” oleh samseng yang dihantar oleh Along. Bermulalah episod hitam dalam keluarga dengan suami menyalahkan isteri dan isteri menyalahkan tindakan suami. Mangsanya ialah anak-anak. Minda anak-anak yang telah dicemari dengan pertelingkahan, pergaduhan dan penderaan bapa ke atas ibu memberi mesej bahawa keganasan dalam rumahtangga adalah satu bentuk hukuman yang diiktiraf dan dibolehkan.

Bagi mengatasi masalah ini, keganasan rumahtangga ini wajar dibendung dan diatasi supaya sikap kasih sayang, toleransi dan hormat menghormati akan terus kekal mekar dalam keluarga. Walaupun terdapat Akta Keganasan Rumahtangga 1994, diharap ia akan menjadi pilihan terakhir bagi menyelesaikan kemelut sesebuah rumahtangga.


Menangani kesan-kesan sosial

Perkembangan ekonomi Malaysia yang pesat pada tahun 1990-an telah mewujudkan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum menyertai setiap aspek pertumbuhan ekonomi. Mengejar kekayaan telah menjadi rutin sebilangan besar masyarakat khususnya di bandar berbanding di luar bandar menjadikan kita tidak terlepas daripada mengalami pelbagai cabaran dan rintangan dalam bentuk isu-isu sosial yang bermacam-macam.

Jika perbandaran dijadikan sebagai contoh, kebanyakan daripada penduduk di kawasan perumahan khususnya setinggan adalah penghijrah dari luar bandar. Penghijrah ini mempunyai perasaan kebersamaan yang sangat sedikit kerana masih merasakan diri mereka adalah sebahagian daripada komuniti asal. Pada ketika nilai-nilai seperti tolong menolong, gotong-royong, bertanya khabar dan mesra tetap utuh diamalkan di kampung, setibanya di bandar dan berhadapan dengan suasana baru yang serba berbeza, mereka mudah dan rela untuk membiarkan nilai-nilai ini luntur sedikit demi sedikit. Oleh yang demikian, tidak hairanlah jikalau sebahagian masyarakat di bandar lebih mengharapkan bantuan daripada agensi-agensi awam untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Kita boleh juga menangani masalah sosial secara teknikal melalui susun atur dan perancangan yang teratur kawasan perumahan. Di mana-mana sahaja tanpa dapat dinafikan bahawasanya perumahan merupakan dasar dan asas utama bagi pembentukan keluarga yang sejahtera seterusnya masyarakat harmoni. Oleh yang demikian, kemudahan-kemudahan asas di kawasan perumahan seperti padang permainan, taman dan jalan pengangkutan serta sistem pendidikan wajar diutamakan. Semua elemen ini akan mewujudkan iklim hidup yang lebih kondusif dan menyihatkan melalui interaksi, tegur menegur dan bertanya khabar. Kepentingan menyediakan kawasan perumahan yang diisi dengan tempat rekreasi dan sistem pendidikan yang lengkap harus dijadikan fokus kepada perancangan sesuatu penempatan.

Kerajaan Malaysia melalui Laporan Mid Term Review of Eighth Malaysia Plan menyatakan bahawa dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh, pelbagai program pembangunan perumahan telah dilaksanakan dan prestasi keseluruhan program perumahan ini amat menggalakkan dengan pencapaiannya melepasi sasaran Rancangan. Kelangsungan pencapaian ini diteruskan lagi dalam Rancangan Malaysia Kelapan dengan keutamaan akan terus diberikan kepada pembangunan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah. Bersesuaian dengan matlamat tersebut, perkhidmatan perumahan yang baik akan meningkatkan lagi kualiti hidup, menyemai nilai-nilai positif dan menggalakkan sikap berdikari seterusnya akan memperbaiki kehidupan sosial.

Oleh kerana kepadatan penduduk di kawasan setinggan yang tinggi dikatakan sebagai salah satu faktor timbulnya masalah-masalah sosial, tindakan proaktif pihak kerajaan dalam mencari punca kepada masalah tersebut sangatlah dihargai. Dalam usaha mencapai setinggan sifar, sejumlah 800,000 unit rumah telah dirancang untuk dibina bagi memenuhi keperluan rumah (RMKe-7).


Bagi rumah kos rendah, beberapa langkah telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi meningkatkan kualitinya. Antaranya ialah memperkenalkan reka bentuk baru dengan keluasan lantai 60 meter persegi termasuk tiga bilik tidur serta ruang untuk mencuci dan menjemur pakaian. Berbanding dengan dua bilik sebelum ini yang menimbulkan kesesakan di dalam rumah, ruang lantai yang lebih luas dan penambahan satu bilik menjadikan urusan harian penghuninya yang terdiri daripada ibu bapa dan anak lelaki serta perempuan dapat menerapkan dan mengukuhkan nilai-nilai Islam dalam keluarga tersebut.

Bagi mempercepatkan pelaksanaan program perumahan khususnya rumah kos rendah, kerajaan telah memperkenalkan tiga program perumahan iaitu :

a) Proram Yayasan Perumahan Untuk Termiskin (YPUT) untuk disewa oleh peserta. Program ini dibiayai oleh Bank Negara Malaysia dan mensasarkan sejumlah 20,963 unit rumah di seluruh negara.

b) Program Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Jabatan Perumahan Negara (JPN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. PPR telah diperkenalkan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dengan sasaran pembinaan sejumlah 54,679 unit rumah untuk disewakan kepada setinggan di seluruh negara.

c) Program Perumahan Rakyat (PPR) Dasar Baru telah mensasarkan pembinaan sejumlah 90,000 unit PPR di seluruh negara. 50,000 unit daripadanya akan disewakan sementara 40,000 unit pula akan dijual. PPR Dasar Baru ini akan dilaksanakan berdasarkan peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan.

Usaha kerajaan menubuhkan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pada 1997 dan memperkenalkan skim harga baru telah meningkatkan bekalan rumah yang berharga tidak melebihi RM150,000.00 melalui kemudahan pembiayaan dan skim harga empat peringkat yang menetapkan harga rumah kos rendah dalam lingkungan RM25,000.00 hingga RM42,000.00. Insentif ini dilaksanakan bagi memberi galakan kepada pemaju perumahan supaya bergiat dengan lebih aktif dalam menyediakan rumah kos rendah untuk rakyat.

Institusi kewangan juga turut menawarkan pelbagai insentif seperti pembiayaan sehingga 95 peratus, pengecualian yuran pemprosesan dan tempoh bayaran bagi pinjaman dilanjutkan sehingga 30 tahun. Yuran guaman bagi perjanjian jual beli dan pinjaman juga telah dikurangkan. Keazaman pihak kerajaan dan kesedaran sosial pihak swasta telah mewujudkan “win-win situation” yang mana pemenang mutlaknya ialah rakyat.

Berdasarkan pada Banci 2000, jumlah unit perumahan di Malaysia telah meningkat daripada 4.06 juta pada 1991 ke 5.55 juta pada 2000 iaitu sebanyak 37 peratus dalam tempoh 9 tahun ini. Sejajar dengan pertambahan unit rumah dalam rancangan kerajaan, sewajarnya jugalah kemudahan-kemudahan asas diperbaiki bagi keselesaan penghuninya. Kemudahan bekalan air paip yang dirawat, bekalan elektrik dan kutipan sampah adalah tiga asas utama yang patut diperhati dan dibaikpulih apabila sesuatu projek perumahan hendak dibangunkan. Selain daripada itu, sistem penyelenggaraan yang teratur dimantapkan bagi memastikan bangunan dan kemudahan yang disediakan serta kemudahan awam yang lain dapat diselenggarakan dengan baik, bersih dan selamat.

Satu perkara yang sangat ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi ketika satu tahun menjadi pemimpin Malaysia ialah memberikan fokus terhadap pertumbuhan ekonomi luar bandar dan agenda kesejahteraan sosioekonomi rakyat Malaysia di samping memberi tumpuan kepada pelaksanaan program ekonomi global
. Pelaksanaan pelbagai dasar seperti Dasar Sosial Negara (DSN) yang dilancarkan pada 2003 ketika Datuk Seri Abdullah menjadi Timbalan Perdana Menteri menandakan satu strategi yang dinamik ke arah pelaksanaan dan pengurusan pembangunan sosial di Malaysia.

Perspektif “sosial” dalam DSN merujuk kepada kehidupan dan jalinan perhubungan yang wujud di kalangan individu dan keluarga dengan anggota-anggota masyarakat dalam mencapai persekitaran yang baik dan memberangsangkan, merangkumi aspek kebajikan masyarakat, kesihatan, pendidikan, perumahan, penghayatan nilai dan budaya, keselamatan dan persekitaran yang sihat.

Dasar yang lengkap dan praktikal ini menetapkan empat objektif sebagai sasaran bagi keseimbangan pembangunan insan dan negara. Objektif-objektif tersebut ialah :

1.Memastikan keperluan asas individu, keluarga dan masyarakat dipenuhi
2.Membangun dan memperkasakan insan sepanjang hayat
3.Memperkukuh dan membangunkan sistem sokongan sosial dan perkhidmatan sosial
4.Menjana sinergi multisektor

Kelangsungan kejayaan DSN ini kini diteruskan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan strategi yang lebih mantap dan berorientasikan pembangunan sosial serta memberi fokus kepada wanita, keluarga dan masyarakat.

Dari segi keprihatinan kepimpinan, Perdana Menteri telah menyatakan dengan jelas di dalam pembentangan Bajet 2006 bahawa dua daripada empat strategi pokok bajetnya ialah menumpukan kepada pembangunan manusia iaitu :

1.Membangunkan modal insan
(human capital)
2.Meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat

Bagi menjayakan agenda sosial ini, Datuk Seri Abdullah telah membuat keputusan memberi peruntukan kewangan 2006 kepada sektor sosial sebanyak 9.9 bilion ringgit berbanding 5.6 bilion ringgit untuk sektor pertahanan dan 3.6 bilion ringgit untuk pentadbiran pembangunan. Bagi pembangunan sumber manusia atau human capital, beliau membuat keputusan memperuntukkan 29 bilion ringgit atau satu per lima daripada peruntukan Bajet 2006 untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Sebanyak 5 bilion ringgit telah diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan pelajaran dan latihan untuk guru, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi. Di samping itu, peruntukan sebanyak 493 juta ringgit disediakan bagi menampung 98 ribu pelajar di sekolah teknikal, vokasional dan institusi latihan kemahiran.

Selain itu, peruntukan hampir satu bilion ringgit disediakan bagi latihan perdagangan dan industri yang sedang dilaksanakan di Institut kemahiran MARA, Pusat Giat MARA, Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Latihan Perindustrian dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi. Nampaknya usaha bersungguh-sungguh kerajaan untuk mengatasi punca masalah sosial diberi penekanan yang sangat jelas dan menyeluruh, bukan sekadar usaha mudah seperti “melepaskan batuk di tangga”.

Kepemurahan kerajaan terhadap golongan miskin tegar di bandar terserlah dengan peruntukan sebanyak RM94.2 juta bagi Program Bantuan Rumah, Program Peningkatan Pendapatan, Program Tambahan Makanan Seimbang dan Program Pembangunan Minda Insan. Program Perumahan Rakyat untuk penduduk setinggan Kuala Lumpur dan bandar utama diperuntukan sebanyak RM778 juta ringgit bagi membina 21 ribu unit rumah kos rendah. Sebanyak RM177 juta ringgit diperuntukan secara pinjaman kepada kerajaan negeri bagi meneruskan pembinaan 3,000 ribu unit rumah di bawah Projek Perumahan Awam Kos Rendah. Selain daripada itu, peruntukan untuk Projek Perumahan Mesra Rakyat akan ditambah sebanyak RM100 juta ringgit.

YAB Datuk Seri Abdullah dalam temuramah dengan pihak media sering menunjukkan kebimbangan yang agak sangat dalam peningkatan aliran gejala sosial. Bagi membanteras gejala dadah umpamanya, satu Jawatankuasa Khas Kabinet untuk memerangi gejala dadah dengan melibatkan beberapa buah kementerian dan agensi kerajaan ditubuhkan. Matlamat Jawatankuasa ini ialah untuk memerangi isu dadah dengan lebih efektif dan strategi yang komprehensif dengan mewujudkan program-program pembangunan insan kepada generasi muda dan pelajar sekolah serta mempertingkatkan usaha untuk memulih penagih dadah.

Kita berharap agar usaha yang bersungguh-sungguh ini dapat mengelakkan pertelingkahan kaum seperti mana yang berlaku di Kampung Medan dahulu di antara kaum Melayu dan India yang berpendapatan rendah. Keseimbangan kaum adalah sangat perlu bagi mengelakkan kesan negatif tersebut berulang. Agenda sosial kerajaan yang diberi penekanan oleh Perdana Menteri adalah satu inisiatif ke arah melahirkan masyarakat Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Petikan ucapan Datuk Seri Abdullah mengenai kepentingan agenda sosial beliau boleh difikirkan bersama iaitu :

“Kemajuan dan kekuatan ekonomi bukanlah segala-galanya. Ia perlu dilihat sebagai landasan untuk mencapai kesejahteraan hidup dan keutuhan sosial. Lantas, perseimbangan kebendaan dan kerohanian sangatlah penting supaya akan lahir tamadun yang agung. Kita perlu bersama-sama mengambil langkah memperkaya jiwa bangsa. Tradisi, budaya dan agama tidak seharusnya menjadi halangan kepada kejayaan sebaliknya perlu digarap sebagai tunjang mendaki ke mercu kecemerlangan yang akan mengangkat martabat bangsa dan kewibawaan negara di mata dunia.”

Kesimpulan

Masalah sosial yang berlaku kesan daripada ketidakupayaan memiliki rumah sendiri perlu kepada pemahaman yang mendalam dan menyeluruh. Keunikan pada susun atur dan pola masyarakat Malaysia yang rencam dan pelbagai sifatnya tidaklah dapat difahami dengan mudah. Demikian juga tindakan dan reaksi yang bersifat “knee jerk” mungkin boleh menyelesaikan masalah jangka pendek tetapi tidak untuk jangka panjang.

Kesan-kesan program dan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan baik jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang wajar dibuat pamantauan dan penilaian yang lebih kerap. Ini adalah kerana putaran masa sangat pantas dalam arus globalisasi. Sedang kita cuba mencari penyelesaian tentang sesuatu masalah, datang pula masalah lain. Masalah yang cuba diselesaikan sekarang dengan dasar-dasar yang baru akan terbantut dengan kedatangan masalah baru.

Menyediakan perumahan yang selesa dan selamat kepada rakyat menjadi satu tanggungjawab besar bagi kerajaan yang memerintah. Persekitaran rumah yang selesa ini boleh menyelamatkan anak-anak muda daripada tergelincir dalam aktiviti kurang sihat seterusnya membantu kita mengelakkan pelbagai masalah sosial.



Rujukan
Banci Penduduk dan Perumahan 2000. Januari 2001. Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dasar Sosial Negara 2003. Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat. Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Malaysia Bhd.

Denisan Jayasooria. Pak Lah's Social Agenda: Relevance and Impact into Income Families. Kertas kerja Seminar Kebangsaan Abdullah Ahmad Badawi Satu Tahun di Putrajaya: Perubahan Dalam Kesinambungan. 20 November 2004.

Denisan Jayasooria. 2005. Urban Poor: Issues and Concern. Malaysia Social Matters, Vol No.4. April: 1-2.
http://www.kpkt.gov.my/jpn/

Kenyataan Dasar Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga dan Rancangan Malaysia Kelapan. 2001. Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Malaysia Bhd.

Malaysia. 1991. Rancangan Malaysia Ketujuh 1996-2000. Kuala Lumpur: Jabatan Percetakan Negara.

Mid-Term Review of he Eight Malaysia Plan 2001-2005. 2003. Economic Planning Unit, Prime Minister's Department. Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Malaysia Bhd.

Mohammad Shatar Sabran. 2003. Mengapa Wujudnya Masalah Sosial? Jurnal Kebajikan Masyarakat, Vol No. 252 Dis: 31-43.

Mohd Razali Agus. 2004. Urban Poverty: The Role of Local Authorities in Malaysia. Malaysian Social Matters, Vol. No. 1 Nov: 1-5

Mohd Taib Haji Dora. 2005. Pendekatan Bantuan Bagi Golongan Miskin Tegar di Melaka. Prosiding Konvensyen Kecemerlangan Sosial dan Pembangunan Komuniti. Melaka: Penerbit Universiti KUTKM.

Norliah Kudus dan Mahadi Abu Hassan. 2005. Masalah Sosial: Isu dan Cabaran Institusi Keluarga. Prosiding Konvensyen Kecemerlangan Sosial dan Pembangunan Komuniti. Melaka: Penerbit Universiti KUTKM.

Nurizan Yahya. 2005. Perumahan dan Persekitaran Ke Arah Kecemerlangan Isi Rumah dan Komuniti. ISM Minda, Institut Sosial Malaysia, Vol. No. 4 Dis:14-18.

Nurizan Yahya dan Laily Paim. 1999. Housing and Social Environment of Industrial Women Workers in Peninsular Malaysia. Jurnal Kebajikan Masyarakat, Vol. No. 212 Dis: 13-25.

Yayasan Strategik Sosial. 2002. Kajian Kelaziman Gejala Sosial di Kalangan Masyarakat India di Malaysia. Kuala Lumpur: Ingara Promotion.

Zaid Ahmad. 2002. Perspektif Sosiologi Dalam Memahami Gejala Sosial. Kertas kerja yang dibentangkan dalam Konvensyen Khidmat Sosial anjuran Institut Sosial Malaysia, 16-17 Disember 2002.

Zainal Kling. 2005. Islam Hadhari dan Pembangunan Sosial: Nilai dan Modenisasi. ISM Minda, Institut Sosial Malaysia, Vol. No. 3 Jun: 28-31.

Rujuk laman web Polis Diraja Malaysia : http://www.rmp.gov.my untuk maklumat lanjut sertakertas kerja Memacu Ke Arah Wawasan 2020 dan Millennium Development Goals-Agenda Pembangunan Sosial Abdullah Ahmad Badawi, 20 November 2004, Kuala Lumpur.