Showing posts with label Belajar Mencari Wang. Show all posts
Showing posts with label Belajar Mencari Wang. Show all posts

Tuesday, November 06, 2018

Kaki cantik







Tunjuk kaki pun boleh dapat wang!

Seorang wanita Britain, Sykes yang berusia 31 tahun mendapat hampir RM50,000 setahun hanya dengan menjual stokin dan kasut terpakai kepada peminatnya.

Bagaimana beliau melakukannya?

Jawabnya terletak pada sepasang kakinya yang cantik.

Sykes tidak menunjukkan wajahnya tetapi memiliki 10,000 pengikut di Instagram dalam masa sebulan. Beliau tidak perlu menunjukkan wajah kerana kakinya sudah memadai untuk menunjukkan kecantikan dirinya.

Oleh kerana sering dipuji oleh rakan-rakannya, beliau berasa yakin untuk membuka akaun media sosial dan mula berkongsi kecantikan kakinya.

Peringkat awal beliau menjual stokin dengan harga RM100 dan RM1000 untuk kasut. Empat tahun kemudian, pendapatannya berlipat kali ganda.

Produk bisnes tidak semestinya barang yang jauh dari kita sebaliknya berada dekat diri sendiri. Walaupun model menggunakan kecantikan sebagai pelaris jualan, setiap anggota badan kita boleh menjadi pemikat dan pelaris bisnes asalkan kita tahu bagaimana mempromosi dan menguruskannya.

Semakin unik produk yang kita tawarkan, semakin ramai yang berminat hendak berkongsi. Di sinilah dikatakan bisnes.

Wednesday, November 13, 2013

Bisnes musim cuti sekolah




Tempat melancong di Melaka
 

Cuti sekolah yang akan tiba pada minggu hadapan membuka peluang kepada usahawan-usahawan baru untuk mencari wang. Musim cuti sekolah tidak patut dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa memberikan sebarang keuntungan kepada usahawan khususnya "usahawan segera".

Ada beberapa jenis bisnes yang boleh diusahakan. Pertama, menyediakan perkhidmatan sewa kereta dan pemandu. Bisnes jenis ini perlukan komitmen yang tinggi di samping pengetahuan yang mendalam tentang jalan raya dan tempat-tempat pelancongan tumpuan. Caj yang dikenakan bergantung kepada jenis kereta dan tempat yang hendak dituju. Biasanya RM120 hingga RM200 adalah caj yang boleh diterima.

Kedua, pemandu pelancong sampingan. Walaupun pemandu pelancong perlukan lesen khusus, menjadi pemandu pelancongan sampingan ini dapat menambah pendapatan, cuma perlu tingkatkan pengetahuan tentang sejarah dan kemahiran komunikasi. Usahawann jenis ini boleh dapatkan pelancong yang mahukan perkhidmatan dengan harga yang murah dan cepat. Bagaimanapun bisnes ini perlukan beberapa kemahiran yang lebih baik. 

Ketiga, bisnes inap desa atau homestay. Bisnes ini sangat menguntungkan waktu cuti sekolah kerana biasanya satu keluarga yang bergerak serentak. Mereka inginkan tempat tinggal yang besar, mudah meletakkan kenderaan dan boleh bersantai bersama. Inap desa adalah pilihan terbaik kerana biasanya rumah yang disediakan terdapat tiga hingga lima bilik dengan kemudahan asas yang sempurna. Harganya bergantung kepada keadaan rumah, jarak dari bandar dan akses jalan raya.

Keempat, bisnes jual barangan mainan kanak-kanak. Bisnes jenis ini sangat popular di kawasan tumpuan pelancong, contohnya di kawasan bulatan Masjid Putra, Putrajaya. Sebelah malam akan ramai dengan pelancong yang membawa anak-anak bersiar-siar dan di sinilah kesempatan kepada usahawan untuk menjual pelbagai jenis mainan. Harga serendah lima ringgit masih menguntungkan kerana pelanggan akan ada pada setiap malam. Jika dijual di Bandar Hilir, Melaka, tentulah lebih banyak keuntungannya kerana musim cuti sekolah menjadikan laluan dari Tol Ayer Keroh hingga ke Bandar Hilir sentiasa sesak dengan pelancong.  


Cari wang dengan menghiburkan pengunjung


Kelima, menjadi badut. Bisnes ini sangat mudah tetapi lebih baik berkumpulan supaya tidak bosan. Usahawan boleh tawarkan diri untuk menjadi maskot kepada mana-mana organsasi untuk promosi atau perkenalkan produk syarikat. Di samping badut, boleh juga dibuat persembahan silap mata.

 

Friday, October 11, 2013

Peluang untuk usahawan muda





Impak lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Amerika Syarikat baru-baru ini ialah pengumuman penubuhan 1MET iaitu 1Malaysia EnTrepreneur yang memberi galakan kepada pembudayaan keusahawanan peringkat nasional. Usahawan muda akan dilatih dan dibimbing melalui pelbagai kemahiran dan peluang.
 
Ahli perniagaan yang muflis turut mendapat suntikan baru apabila kerajaan mewujudkan mekanisme khusus bagi memberi peluang kedua kepada mereka untuk berjaya dalam perniagaan.
 
Hasrat ini selari dengan inisiatif kerajaan Amerika Syarikat yang akan menubuhkan jawatankuasa keusahawanan global yang membimbing kejayaan usahawan di seluruh dunia. Pusat Kegiatan Keusahawanan akan melatih 500,000 usahawan termasuk Malaysia.
 
Penubuhan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya bakal merancakkan lagi kegiatan keusahawanan di negara ini. Pusat ini berfungsi sebagai pusat sehenti kepada usahawan merangkumi segenap aspek termasuk permohonan pembiayaan kepada institusi perbankan serta penyaluran modal teroka kepada syarikat inkubator serta syarikat baharu yang berdaya maju. Selain itu, pendaftaran harta intelektual dan penyediaan kemudahan latihan, bimbingan serta pementoran akan disediakan. 
 
MaGic dilihat akan menjadi sebuah entiti yang besar dan mempunyai langsung dengan arena global apabila kerajaan turut berhasrat untuk melihat MaGIC menjalinkan kerjasama dengan Pusat Kegiatan Keusahawanan yang diilhamkan penubuhannya oleh Obama.
 
Perdana menteri turut memberi saranan yang signifikan dalam mengembangkan keusahawan di Malaysia dan peringkat global iaitu melalui menilai kembali maksud kegagalan dalam keusahawanan. Beliau menyatakan kegagalan perlu dilihat dari pendekatan berbeza agar para usahawan bersikap lebih berani untuk mencuba sesuatu yang dianggap mustahil untuk dilakukan. Pendekatan lain ialah penggubalan dasar yang menggalakkan inovasi dan penyediaan dana bagi membiayai penyelidikan. Seterusnya ialah mempermudah usaha memulakan perniagaan, meneruskan pelaburan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di semua peringkat dan berusaha ke arah memperluaskan integrasi serantau serta antarabangsa.
 
!MET dan MaGic merupakan dua produk baru yang mampu merancakkan bidang keusahawan dalam kalangan usahawan muda khususnya yang baru menamatkan pengajian. Bimbingan pertama yang harus diberikan ialah galakan dan minat untuk menjadi usahawan, seterusnya peluang dan modal yang bersesuaian supaya mereka terus berjaya.

Wednesday, June 16, 2010

Perniagaan internet lubuk rezeki generasi milineum

Hari ini perniagaan internet di Malaysia bukanlah sesuatu yang asing lagi. Perniagaan seumpama ini semakin digemari lantaran keberkesanan Internet sebagai medium komunikasi dan pemasaran.

Sehubungan itu, peningkatan jumlah pengguna internet juga dilihat sebagai tanda positif untuk berkecimpung dalam perniagaan seumpama itu. Bagi usahawan internet, Mohd Suhaimy Abu Bakar, 30, atau lebih dikenali sebagai Shuth, perniagaan internet adalah satu bentuk perniagaan untuk masa depan kerana kebanyakan perniagaan dan kedai baru akan dibuka dalam bentuk perniagaan internet berbanding perniagaan kovensional.


“Kedai buku terbesar di dunia bukanlah terletak di Amerika, China atau Jepun tetapi di internet iaitu amazon.com manakala pasar raya terbesar di dunia pula ialah eBay. Tidak mustahil suatu hari nanti semua orang akan lebih gemar membeli-belah di internet berbanding pasar raya,” katanya kepada Bernama.

Menceburi bidang perniagaan bukanlah impian Shuth ketika kecil. Tetapi setelah memasuki alam pekerjaan, beliau mula bercita-cita menjadi usahawan. Hal ini kerana Shuth menyedari kebaikan dan keburukan antara bekerja makan gaji dengan bekerja sendiri.

Pada masa ini Shuth menjalankan beberapa jenis perniagaan internet yang lebih menumpukan kepada perkhidmatan penyewaan ‘webhosting’, penerbitan serta penjualan ‘eBook’.


Sebelum menceburi bidang perniagaan, anak kelahiran Muar ini pernah bekerja sebagai eksekutif IT yang menguruskan bahagian multimedia dan juga pembangunan web di sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Menyedari betapa pentingnya memiliki kebebasan masa dan juga kewangan, beliau cuba menceburi bidang perniagaan kerana percaya bidang ini mampu memberikan semua itu. ‘Saya sedar, cara terbaik untuk memiliki kedua-dua kebebasan itu ialah dengan menceburi diri ke dalam dunia perniagaan,’ jelasnya.

Sedia mengambil tanggungjawab 100 peratus dan sentiasa berfikiran positif ialah prinsip hidup Shuth untuk menjadi seorang usahawan berjaya. Beliau juga berpendapat, untuk menjalani kehidupan yang lebih gembira dan bebas, berniaga dan menjadi seorang usahawan adalah pilihan paling tepat.

Menurut Shuth, ada kajian yang menyatakan bahawa golongan yang bekerja sendiri dan berniaga mempunyai kehidupan yang lebih gembira dan memuaskan berbanding golongan yang makan gaji.

Bagi lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini, setakat ini tiada halangan terlalu besar dihadapi beliau kecuali sedikit kritikan ketika melancarkan ‘eBook’ yang pertama pada 2005.

“Saya menerima e-mel dan juga panggilan telefon daripada seseorang yang mencerca saya dan mengatakan saya penipu sebab menjual ‘eBook’ di internet.

Pada masa itu, saya sedikit kecewa tetapi kembali bersemangat apabila melihat semakin ramai orang membeli ‘eBook’ dari sehari ke sehari.

“Pada pendapat saya, saya menjual ilmu dan maklumat, bukannya menjual fail kosong. Dunia sudah maju dan zaman sudah berubah, zaman ini ialah zaman informasi dan maklumat. Pada zaman ini, maklumat ialah sesuatu yang sangat penting dan berharga, jadi tidak hairanlah jika orang ramai akan mula memperdagangkannya di alaf baru ini,” jelasnya.

“Kejayaan yang saya rasa paling besar dalam hidup saya selepas menceburi bidang ini ialah apabila saya dapat meluangkan banyak masa bersama keluarga dan melihat anak-anak saya membesar di hadapan mata saya setiap hari,” katanya bangga.

Penulis buku terlaris, Rahsia Blogger ini didorong oleh seorang rakannya yang mahu beliau berkongsi ilmu mengenai blog kepada orang ramai. Buku itu menceritakan peluang yang ada untuk mendapatkan wang di internet.

Harapan Shuth adalah selepas membaca buku berkenaan, mereka dapat melihat dan bertindak merebut peluang yang ada.

Generasi milineum atau nama lainnya, generasi Y, yang membesar dengan kewujudan internet, lebih gemar menggunakan internet untuk tujuan bersosial dan berhibur seperti Facebook, Myspace, ‘games’ (permainan mata) dan sebagainya.

Menurut Shuth, golongan ini mempunyai peluang cerah dalam bidang perniagaan internet selagi mereka mempunyai minat untuk berniaga serta menyedari kepentingan internet bagi tujuan perniagaan.

Shuth berkata golongan belia harus bijak mengambil peluang dan menggunakan ruang sedia ada ke arah sesuatu yang berfaedah dan menguntungkan. – BERNAMA

(Berita Harian, 16 Jun 2010)

Wednesday, March 03, 2010

Bisnes bermula dengan percaya kepada diri sendiri

Perbincangan saya dengan beberapa rakan yang terlibat dengan bisnes, kata-kata mereka umpama besi berani yang menarik seluruh fikiran dan minat saya untuk memulakan bisnes hari ini juga. Kesimpulan yang boleh saya kongsi bersama ialah percaya kepada kejayaan yang akan dicapai adalah motivasi terbesar untuk memulakan bisnes.

Tidak ada istilah ‘tidak boleh’ dalam diari hidup mereka. Semua boleh dan pasti berjaya. Mereka boleh berkata seperti ini kerana telah melalui susah-payah dan jerih-perih mendaki tangga-tangga kejayaan.

Salah seorang daripadanya ialah kontraktor elektrik untuk Tenaga Nasional Berhad yang telah melibatkan diri dalam bisnes selama sebelas tahun. Beliau baru sahaja balik mengerjakan umrah bersama isteri, anak-anak dan ibu bapanya. Banyak belanja untuk membawa keluarganya tetapi pendapatan daripada bisnes yang diusahakannya membolehkan mereka sekeluarga menunaikan umrah selama dua minggu.

Orang yang cemerlang hasilkan kejayaan dan orang yang gagal berikan alasan. Untuk berjaya dalam bisnes, elakkan memberi alasan. Walaupun kadangkala alsan ini memberikan ketenangan kepada hati anda, ianya tidak dapat menyelesaikan masalah sebenar.

Setelah anda yakin untuk memulakan bisnes hari ini, mulakan langkah pertama dengan niat yang jelas. Dapatkan maklumat dan segerakan perancangan yang praktikal. Jika anda berjaya, ia merupakan satu pengalaman yang menggembirakan, jika gagal, pengalaman gagal memberi panduan untuk membaiki langkah-langkah songsang usaha anda.

Selain niat, berfikir positif tentang masa depan, berfikir tentang perancangan dan berfikir positif bahawa Allah swt akan membantu usaha-usaha anda biar susah macam mana sekalipun. Ini kerana berfikir dan berprasangka positif memberi kesan yang baik kepada setiap usaha yang anda lakukan kerana ia membantu mengarah seluruh kekuatan anda ke arah menjadikan bisnes anda suatu realiti.

Tidak perlu takut dengan kegagalan, takut ditertawakan orang, di pandang rendah atau diejek kerana gagal. Takut gagal lebih dahsyat daripada tidak mencuba kerana sebahagian besar usahawan yang berjaya pada hari ini pernah mengalami kegagalan dalam usaha pertama mereka.

Andainya anda setiap hari memikirkan kegagalan sehingga tidak berusaha bersungguh-sungguh mengikhtiarkan sesuatu, akhirnya anda tidak lagi percaya kepada diri dan dikongkongi dengan ribuan keraguan. Berhasilnya usaha anda adalah setelah berjaya meruntuhkan pagar-pagar mental yang bersarang di sekitar pemikiran hebat anda.Jadi, untuk melakukan langkah pertama bisnes anda hari ini, lebih baik dimulakan dengan perasaan optimis dan percaya kepada diri sendiri. Bina kata-kata semangat yang akan menggegarkan gayutan fikiran negatif supaya ia gugur satu per satu.

Tuesday, February 23, 2010

Menyemai impian yang membara

Apabila Arnold Schwarzenegger ditanya apakah yang menyebabkannya berjaya sebagai ahli bina badan profesional, dia menjawab sepatah perkataan: impian.

Sebahagian besar kejayaan bermula dengan idea tetapi yang menjadikannya sebuah realiti ialah impian yang ada di dalam diri. Idea hanya dapat memberi keinginan sementara tetapi membakar impian dapat melepas semua halangan.

Fikirkan sebentar matlamat yang anda telah tetapkan. Apakah anda benar-benar hendak merealisasikannya? Apabila anda memberi 100 peratus komitmen untuk mencapai cita-cita tersebut, anda sedang bergerak daripada harapan kepada realiti. Dengan pendekatan yang betul, sesiapa sahaja dapat menyuburan impian ke arah komitmen yang menyeluruh.

Jadi, bagaimana hendak menyemai impian yang membara ini? Ada enam langkah yang anda boleh lakukan.

1. Mulakan dengan niat

Jika anda benar-benar ingin menjadikan usahawan sebagai pilihan yang terbaik, anda boleh mula memberi komitmen untuk menyediakan diri dan masa sebagai usahawan.


Dalam buku The Art of War, Sun Tzu menyatakan askar-askar berperang dengan bersungguh-sungguh jika mereka menyedari berperang adalah untuk mati. Jika anda benar-benar ingin menunaikan niat, anda mesti bersedia untuk bekerja bersungguh-sungguh.

2. Penuhi fikiran anda dengan impian

Katakan anda sangat berhajat untuk memulakan bisnes mobile income melalui SMS. Dapatkan poster yang memaparkan mereka yang telah berjaya, lekatkan di tempat strategik di rumah atau pejabat anda, cari maklumat di preview atau seminar yang dianjurkan, seterusnya tumpukan usaha anda dengan berbincang tentang kejayaan bisnes tersebut dengan mereka.

3. Berkawan dengan orang yang berfikir positif

Kongsi matlamat anda dengan mereka yang akan membantu merealisasikan impian anda, bukannya meruntuhkan semangat anda. Elakkan pengkritik atau pelemah semangat kerana mereka ingin melihat anda berputus asa dan sengsara. Berkawan dengan mereka yang bersemangat, inginkan kejayaan dan kemakmuran kewangan sangat berbeza. Pengaruh mereka umpama besi berani yang akan menarik seluruh pemikiran dan tindakan anda kepada kejayaan kewangan yang sebenar.


Seterusnya mula rapatkan diri anda sebagai ahli dewan perniagaan atau kelab usahawan berjaya. Buatlah apa sahaja usaha yang dapat membantu menambah rakan-rakan dalam senarai bisnes anda. Salah satu kegagalan usahawan ialah mereka lebih banyak bercakap dengan pekerja, bukannya dengan tuan punya bisnes. Pemikiran boleh berjangkit, jadi peruntukkan masa anda dengan mereka yang mempunyai pemikiran yang berjangkit ini.

4. Isikan minda anda dengan maklumat yang bertenaga setiap hari

Buku-buku inspirasi dan motivasi serta program audio video adalah sumber terbaik untuk menyemai impian anda. Jika mahu menjadi usahawan dengan bisnes berjuta-juta, mulakan sedikit demi sedikit, tingkatkan semangat dan rangsang diri anda dengan membaca buku-buku tulisan pakar motivasi terkenal seperti Anthony Robbins, Zig Ziglar tetapi jangan lupa untuk membaca kitab suci al-quran setiap hari kerana inilah sumber tenaga motivasi utama anda.


Hadir seminar, berkongsi cerita dengan mentor anda (kalau ada) dan bergambar dengan usahawan yang memenangi anugerah di peringkat kebangsaan supaya impian anda sentiasa membara. Pastikan setiap hari anda mendengar kata-kata motivasi atau membaca buku inspirasi selama 10 hingga 15 minit tanpa terlepas.

Kalau ingin membuka bisnes kopi, dapatkan buku Pour Your Heart Into It oleh Howard Schultz, CEO Starbuck. Dia sangat berminat dengan kopi dan mahu merealisasikan impiannya.

5. Gantikan pemikiran negatif dengan positif

Pastikan maklumat yang anda proleh melalui proses membaca, dengar dan tonton televisyen serta memerhati orang lain memberi tindak balas positif kepada sikap anda. Jika anda ingin menonton televisyen, dapatkan filem yang memberi idea dan semangat, elakkan tragesi, cerita hantu atau konflik. Cari filem komedi, uruskan meja anda kerap bermain dengan kanak-kanak. Dengar muzik yang memberi kekuatan daya fikir dan merangsang impian anda.

6. Bertindak segera

Sekali anda menetapkan matlamat, bertindak serta-merta kerana matlamat cepat berubah. Bina pelan perancangan, kenal pasti halangan dan bergerak ke arah matlamat anda. Kekalkan momentum motivasi di dalam diri anda setiap hari dengan doa, ikhtiar, usaha dan tawakkal. Insya Allah, kejayaan anda di dalam bisnes akan menjadi kenyatan.


Jika anda mempunyai cukup tenaga-tenaga positif yang masuk ke dalam pemikiran, kekuatan dalaman dan luaran bersedia untuk menerobos semua halangan. Petua-petua berniaga seperti memulakan bisnes pada awal pagi, mengutamakan solat apabila masuk waktu, kerap mengerjakan solat dhuha dan banyak bersedekah dapat membantu melonjakkan rezeki anda kelak.

Tuesday, February 16, 2010

Buat wang dengan SMS

SMS atau khidmat pesanan ringkas amat berguna untuk menjana wang. Di Malaysia, terdapat 84 juta SMS yang dihantar sehari dengan purata seorang menghantar 4 SMS dan sebanyak RM33.2 bilion dibelanjakan pada tahun 2006 untuk perkhidmatan ini.

Bisnes SMS adalah perniagaan yang memaklumkan keputusan, maklumat, hiburan, peristiwa atau berita terkini. Di mana-mana sahaja hari ini khususnya di akhbar, radio atau televisyen malah Internet, iklan mengenai bisnes ini sentiasa ada.

Cabaran utama bisnes SMS ialah cara pemasaran yang cepat dan betul. Banyak aplikasi SMS yang sesuai digunakan untuk memulakan perniagaan Internet. Dengan menggunakan platform Internet, anda mampu menghantar sehingga 15,000 SMS pada satu-satu masa dengan kadar dari RM0.10 sehingga RM5.00.

Salah satu bisnes SMS yang bertahan lama ialah nada dering (ringtones). Iklan-iklan nada dering kerap muncul di televisyen dan surat khabar malah boleh dikatakan setiap hari. Untuk satu tempoh tertentu, harga yang perlu dibayar boleh mencecah beribu ringgit. Dalam erti kata lain, bisnes SMS sebenarnya memberi wang yang sangat banyak dan mudah.

Bagaimana anda boleh memulakan bisnes ini?

Langkah pertama ialah dapatkan maklumat apa yang perlu dilakukan. Maklumat sangat penting untuk anda betul-betul memahami konsep dan teori penjanaan SMS yang sebenar. Anda boleh hadir ke preview, seminar atau bertemu mereka yang telah bergelar jutawan SMS ini.

Langkah kedua ialah memilih SMS Gateway dan penyediaan bahan SMS. Di sini anda dapat memeriksa jualan dan trafik SMS, melihat laporan, memulakan kempen dan membuat konfigurasi SMS hanya dari rumah.

Dan langkah ketiga, membuat unjuran belanjawan dan jualan serta memilih cara pengiklanan yang betul.

Jadi, bagaimana wang dapat dijana setiap hari?

Setiap SMS yang diterima, anda mendapat RM0.50. Katakan anda menyediakan kuiz dan pelanggan anda menjawab. Sekiranya ada 1,000 SMS sehari, anda mendapat RM500. Pendapatan harian yang anda dapat tidak terhad malah boleh mencecah ribuan ringgit.

Selain kuiz, anda boleh sediakan khidmat waktu solat, promosi jualan, seminar, saham, ramalan cuaca, jemputan kahwin dan berita sensasi. Senarai ini akan berpanjangan setelah anda menyertai bisnes ini secara serius. Setelah setahun bekerja, anda boleh goyang kaki melihat wang masuk ke akaun bank anda.

Tuesday, February 09, 2010

Permainan tag lazer

Ingin mencari bisnes yang memberikan anda kejutan kerana diserbu pelanggan? Baik anda fikirkan pusat permainan tag lazer yang mula terkenal di luar negara.

Permainan tag lazer kian popular seperti mana paint ball, dan memulakan pusat rekreasi tag lazer menjadikan anda bebas menjana pendapatan sendiri. Walaupun banyak melibatkan kos bagi memulakan bisnes seperti ini tetapi keuntungan yang diperolehi tidak mampu ditolak begitu sahaja.

Anda perlu memikirkan kos untuk membeli peralatan permainan ini dari RM10,000 hingga RM50,000 bergantung pada jenama dan kualiti.

Pendapatan dalam bisnes ini dijana daripada pelanggan yang datang dan ketagih untuk bermain. Anda juga boleh adakan kad keahlian secara bulanan. Pelanggan dalam bisnes ini juga boleh dipelbagaikan seperti korporat, sekolah dan kelab. Pada masa yang sama , strategi pemasaran anda harus juga lebih luas dan meliputi perlawanan tag lazer, penyediaan makanan dan minuman termasuk majlis-majlis sosial.

Ada sesetengah usahawan bisnes ini membentuk pasukan dan mengadakan perlawanan setiap bulan dengan menyediakan hadiah kepada pemenang. Barangan yang berkaitan dengan perlawanan ini seperti baju, topi dan pelekat dapat melonjakkan bisnes ini dengan cepat.

Objektif awal apabila anda meneroka bisnes ini ialah mendapatkan seberapa ramai pelanggan untuk datang dan mencuba permainan ini, dan tentunya sebahagian besar akan datang kembali sebagai pelanggan tetap.

Bagi menggalakkan mereka terus bermain, sediakan kupon 2+1 di mana dua kali bermain akan diberi percuma untuk satu perlawanan ataupun anda boleh bekerjasama dengan masyarakat di sekitar untuk perlawanan persabahatan sebagai sebahagian daripada promosi tag lazer ini.

Wednesday, January 20, 2010

"Backpacker" di tepi pantai

Mengembara adalah aktiviti yang sangat seronok dan memberi kepuasan. Budaya mengembara dan menjadi backpacker banyak kedapatan di kalangan masyarakat Barat. Kalau kita bersiar-siar di pantai peranginan di Terengganu seperti Pulau Perhentian, kita akan lihat beberapa orang lelaki dan wanita berkulit putih yang mengambil pesan minuman kita.

Ada di antara mereka ini yang sedang mengisi masa lapang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Kesempatan ini digunakan untuk menjelajah ke seluruh dunia.

Pelancongan tidak pernah surut daripada orang ramai khususnya di kawasan pulau lebih-lebih lagi jika ada pantai yang cantik. Pasir Panjang atau lebih dikenali sebagai Long Beach menjadikan backpacker sebagai identiti mereka. Kehadiran mereka menjadi pintu rezeki kepada penduduk di sini.

Contohnya, jika kita mahu menyewa payung untuk berjemur di kawasan pantai, kita dikenakan caj RM2 sehari. Backpacker ini juga rajin membaca, jadi disediakan sebuah kedai yang khusus menjual dan menyewa novel yang terletak di celah-celah restoran dan kafe. Cara inilah penduduk tempatan dapat menjana pendapatan sendiri.

Jika anda tinggal di kawasan Port Dickson, bisnes backpacker juga boleh anda lakukan. Contohnya seperti menyediakan khidmat jet ski, pelampung untuk mandi, kanoe atau perahu kecil untuk bersiar-siar. Kalau anda kreatif, bolehlah dijual secara kecil-kecilan barang kraftangan dan cenderamata.

Jika kawasan peranginan agak luas dan pantainya memanjang, anda boleh tawarkan bisnes snorkling dan membawa pelancong meninjau persekitaran dengan teksi air atu bot.

Ketika berkursus di Labuan tidak lama dulu, saya terlihat sebuah tempat penginapan yang tertera "Backpacker Hotel" yang diusahakan oleh orang tempatan. Ia bukannya hotel tetapi rumah kedai dua tingkat yang diubah suai menjadi tepat tinggal.

Ramai juga pelancong asing yang menginap di sini. Harganya tidak mahal, sekitar RM15 hingga RM30 sehari. Lagipun backpacker tidak mahu berbelanja besar kerana hendak menjimatkan kos.

Labuan yang kerap dibanjiri pelancong asing terus menjadi lubuk kepada mereka yang ingin mencari wang dengan menjadikan backpacker sebagai penjana pendapatan utama.

Wednesday, January 13, 2010

Broker bergerak menjual rumah

Menjadi broker bergerak menjual rumah tidak memerlukan lesen di kebanyakan negara. Ini berita baik bagi anda untuk memulakan bisnes dengan modal minimum tetapi dapat menjana wang yang maksimum. Pendapatannya sangat lumayan.

Bisnes ini boleh bermula di rumah anda sendiri dan dibuat secara separuh masa. Alat paling penting ialah telefon bimbit. Kalau anda dapat mengadakan hubungan yang baik dengan syarikat hartanah, tentulah idea ini menjadi lebih sempurna kerana ada tempat untuk berbincang dan memberi penerangan.

Anda boleh sebarkan maklumat tentang bisnes anda melalui risalah yang diletakkan di kawasan meletak kenderaan, papan notis dan juga dihantar kepada rakan-rakan melalui e-mail. Lebih menarik jika anda mempunyai laman web sendiri kerana bakal pelanggan dapat melihat dengan jelas rumah yang mereka inginkan.

Anda juga boleh menyertai e-groups yang mempunyai ramai ahli dan membuat iklan anda di situ. Maklumatnya boleh disusun dengan pelbagai cara. Salah satunya seperti berikut:

Studio unit (serviced apartment) untuk dijual, Bukit Merah Lake Town Resort hendak dijual pada harga RM140,000.00 (boleh dirunding). Berminat hubungi: En. XXX (012-3456789)

Caj yang dikenakan adalah dari lima hingga enam peratus apabila dapat membuat jualan.


Seorang rakan saya melibatkan diri dalam bisnes ini dan pernah mendapat komisyen RM20,000 dengan sekali jualan di Kuala Lumpur. Beliau telah tiga tahun bersara dari sektor kerajaan dan menjalankan bisnes ini sekadar suka-suka saja.


Cara pemasarannya juga mudah. Cara orang tua-tua. Rakan saya ini akan membawa kain rentang yang tercatat "House for sale. Please contact ..." di dalam keretanya. Kalau ada rumah kosong yang beliau berkenan, kain rentang tadi akan dipasang bagi tempoh tertentu. Oleh kerana dia ada hubungan yang baik dengan sebuah syarikat hartanah, segala urusan penerangan dan perbincangan dilakukan di syarikat berkenaan.

Menjadi seorang broker seperti ini tidak memerlukan banyak peralatan kerana kelayakan utama kepada kejayaan bisnes broker bergerak menjual rumah ialah kemahiran pemasaran.

Thursday, November 19, 2009

Tapak semaian anak pokok

Pertanian adalah perniagaan. Sektor pertanian tidak lagi dipandang rendah kerana kerajaan sendiri memberi galakan kepada usahawan muda untuk menceburi bidang pertanian moden. Seperti kata pepatah, ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.’

Gigihnya seseorang usahawan sangat akrab dengan minat dan kecenderungan bidang yang diterokainya.

Sejak akhir-akhir ini harga getah bertambah baik. Jika dulu ramai pekebun getah berminat dengan kelapa sawit dan tanaman lain, sebaik sahaja harga getah melambung tinggi di pasaran, ramai yang kembali menanam pokok getah. Jadi, bisnes semaian anak getah adalah bisnes yang menguntungkan.

Permintaan benih getah yang tinggi menjadikan seorang peneroka, Mohd Izani, tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pekebun getah. Bermula dengan beberapa ribu anak pokok getah, kini beliau menjual lebih 80,000 anak pokok getah dengan pendapatan di antara RM12,000 hingga RM15,000 sebulan. Jika sekadar menjadi penoreh getah semata-mata, beliau mungkin mendapat RM3,500 sebulan sahaja.

Anak pokok getah boleh dijual dengan harga RM2.20 hingga RM2.40 sepokok mengikut saiz. Pendapatan bulanan yang diperoleh telah menjadikannya seorang yang hidup senang mengusahakan ladang getah sendiri seluas 16 hektar. Pasarannya ialah pekebin getah di sekitar Gua Musang dan Kuala Krai, Kelantan.

Wednesday, November 04, 2009

Usahawan cendawan

Nor Sanusi masih muda, umur 25 tahun dan pernah belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Diploma Pengurusan Perniagaan. Tetapi dia tidak berminat dengan kerja makan gaji.

Pendapatannya sekarang secara kasar ialah RM12,000 sebulan. Bisnesnya ialah cendawan tiram.

Bermula pada 2004, kini cendawan tiramnya menghasilkan sehingga 70 kilogram. Dari mana beliau dapat idea untuk bisnes yang lumayan ini?

Di Hatyai, Thailand.

Teknologi di sana sangat ringkas. Bahan-bahan untuk membina rumah cendawan sangat mudah: kayu pokok gelam, batang nibung dan atap rumbia. Teknologi cendawan petani Thailand ini sangat mudah dan ringkas tetapi dapat menghasilkan kualiti cendawan yang sangat tinggi. Inilah yang membuatkan Nor Sanusi tertarik untuk membina bisnes cendawan tiram di kampungnya.

Susah payah Sanusi membuat rumah cendawan, berjumpa pakar di Jabatan Pertanian dan tidak jemu menimba pengalaman dalam selok-belok cendawan ini. Pasaran cendawan juga semakin berkembang kerana permintaan daripada bisnes masakan tomyam dan cendawan goreng di sekitar Kelantan dan Terengganu.

Satu kilogram cendawan biasanya dijual dengan harga RM5.80, dia boleh dapat RM400 sehari. Pasaran cendawan semakin popular dan akhirnya kejayaan Nor Sanusi mendapat tempat di akhbar supaya contoh kejayaan ini menjadi ikutan orang ramai.

Bekerja sendiri kadangkala sangat sukar pada awalnya, tetapi setelah berhempas-pulas, akhirnya menjadi berjaya dan hidup senang-lenang.

Wednesday, October 28, 2009

Bisnes kepala tali pinggang

Mencipta reka bentuk kepala tali pinggang yang unik dan mengikut fesyen semasa dapat membina kreativiti dan membuat wang.

Bisnes ini boleh dibuat di rumah yang mana memberi fokus kepada perkilangan. Untuk memulakan bisnes ini, perbelanjaan awal tidak lebih daripada RM3,000 tetapi keuntungannya adalah bagi jangka masa panjang. Kunci kepada kejayaan bisnes perkilangan ini ialah kepala tali pinggang mestilah yang asli.

Tambahan pula, barang-barang logam boleh dikitar semula untuk mengurangkan kos tetapi yang lebih penting ialah ia menjadi alat pemasaran yang sangat baik. Anda juga boleh membeli barang kitar semula yang dijual ditempat jualan barang terpakai dan dibuat pelbagai bentuk kepala tali pinggang.

Untuk mendapatkan kepala tali pinggang yang ranggi dan nampak perkasa tetapi murah, anda boleh mengunjungi kedai-kedai jualan di sekitar Rantau Panjang dan Pengkalan Kubur di Kelantan atau Padang Besar dan Wang Klian di Perlis. Walaupun murah, ia nampak cantik dan boleh dijadikan koleksi sendiri.

Kalau anda hendak mendapatkan yang asli, perlulah berbelanja lebih.

Pasaran bisnes ini lebih kepada golongan muda, remaja dan mereka yang suka mengumpul barang seperti ini. Ada juga pembeli yang terdiri daripada mereka yang mahu menukar kepala tali pinggang sedia ada dengan rakan-rakan di luar negara dan sanggup membeli dengan harga yang istimewa.

Wednesday, October 21, 2009

Jual e-book dan video tutorial

Perniagaan Internet tidak terbatas. Dengan konsep "apa sahaja yang boleh dijual, semuanya boleh dimasukkan ke dalam Internet." Dari jual minyak kelapa, lintah hinggalah percutian ke Maldives, bisnes melalui Internet terus berkembang biak.

Ada bisnes Internet hanya bermula dengan menjual peta dan bendera.

Menjual e-book dan video tutorial tentang apa sahaja perkara menjadi trend untuk mencari wang. Usahawan Internet akan menggunakan apa sahaja cara untuk memasarkan produk supaya maklumat berkenaan sampai kepada pengguna.

Jualan produk seperti ini semakin mendapat mendapat sambutan kerana tidak ada had masa untuk berniaga di Internet. Dengan laman web yang ringkas, bisnes ini boleh menjana RM500 sehari, RM2,500 seminggu dan RM10,000 sebulan.

Produk yang hendak dipasarkan boleh jadi hobi, idea, kemahiran, pengalaman, pengetahuan, teknik, MLM, kisah kejayaan atau apa-apa sahaja yang boleh dijual. Internet adalah medium yang sangat berkesan untuk membantu produk anda ke seluruh dunia. Operasi bisnes di Internet ialah 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 365 hari setahun.

Tanpa mengambil kira latar belakang anda, tips dan panduan yang diperolehi daripada e-book dan video tutorial dapat membantu anda menjana pendapatan sehingga empat angka sebulan.

Bagi menarik bakal pelanggan membeli produk anda, perkataan yang mempunyai kuasa tarikan berganda boleh digunakan seperti "Video tutorial buat duit dengan blog," "Buat duit percuma dengan blog anda," "Cara membuat wang dari bilik tidur" dan "Rahsia Jutawan Internet." Ayat-ayat begini dapat menarik perhatian dan keinginan pelayar Internet untuk memiliki produk yang anda tawarkan itu.

Wednesday, September 30, 2009

Jual barang elektrik terus dari kilang ke pengguna

Ada sesetengah barang yang dijual di luar negara lebih murah dan berkualiti daripada yang dijual di dalam negara. Antaranya hi-fi, walkman, komputer atau telefon bimbit.

Kita juga kerap membaca laporan di akhbar dan menonton berita di televisyen mengenai rampasan barang elektronik seperti telefon bimbit tiruan ini. Tiruan kerana ada sesetengah komponen di dalam telefon berkenaan dikeluarkan dan dijual sebagai alat ganti yang kadangkala lebih mahal daripada harga pasaran yang disyorkan. Contohnya bateri, yang asli digantikan dengan tiruan dan dijual pada harga lebih tinggi.

Telefon bimbit tiruan sebenarnya memberi masalah kepada pengguna yang prihatin dengan kualiti. Di samping harga mahal, jaminan kualiti juga tidak ada. Sebab itulah kedengaran sekali sekala ada telefon bimbit yang meletup ketika bateri sedang dicaj.

Peluang anda untuk menjual telefon bimbit asli sangat luas dengan harga yang lebih murah dan berkualiti. Bisnes anda hanyalah sebagai agen pemasaran.

Caranya ialah anda mesti mendapatkan bakal pelanggan khusus yang mempunyai kemungkinan tinggi untuk membeli seperti penyelia di kilang, syarikat telekomunikasi dan elektronik. Mereka ini lebih cepat memahami kelebihan produk telefon bimbit yang anda cuba promosi.

Anda dapatkan bakal pelanggan melalui pertemuan bersemuka, hubungi pengedar di luar negara dan dapatkan perkhidmatan penghantar. Untuk satu telefon bimbit, anda dapat menjana RM100 hingga RM150 bergantung pada jenama dan kos penghantaran.

Kemahiran penting yang anda perlu ada jika hendak memulakan bisnes ini ialah ada rakan niaga di luar negara dan dapat membuat jaringan bisnes.

‘Kalau hendak seribu daya,’ anda boleh melakukannya jika anda mahu.

Wednesday, September 23, 2009

Potong rumput

Ada di antara kita yang malas hendak memotong rumput di halaman. Barangkali kerana tidak ada masa, tidak biasa atau inginkan orang lain memotong rumput dengan kemahiran mereka. Kalau memotong sendiri mungkin ia tidak secantik tukang potong rumput.

Rakan saya di Bangi, Hanizam, meminjamkan sebuah mesin pemotong rumput kepada jiran sebelah rumah yang menganggur kerana tidak mahu bekerja. Banyak sudah tempat yang dipohon tetapi semuanya tidak berjaya. Dengan mesin potong rumput itu, dia mula memotong rumput di kawasan rumah Hanizam dan rumahnya sendiri.

Untuk membiasakan diri dengan kerja potong rumput, dia memberikan khidmat percuma kepada jiran-jiran yang ada halaman dan ingin dipotong rumput. Setelah dua bulan, timbul difikirannya untuk mengambil upah memotong tumput dari rumah ke rumah.

Peringkat awal, dia mengenakan bayaran RM15 hingga RM30 mengikut saiz kawasan. Kos ini untuk menampung minyak petol dan selebihnya untuk bisnes. Setiap hari dia akan bergerak dari rumah ke rumah, bertanyakan sesiapa yang ingin mendapatkan khidmatnya. Kadangkala dalam sehari boleh dapat 7 hingga 10 rumah. Kalau hari minggu, bisnesnya lebih baik.

Selepas setahun menjadi pemotong rumput sepenuh masa, Hanizam memberitahu, ‘Pemotong rumput kini sudah ada pekerja.’ Terkejut saya dibuatnya. Seorang yang tidak mahu bekerja, duduk di rumah dan akhirnya menjadi bos sendiri. Bisnesnya pula bukanlah susah sangat. Namun kesungguhan dan ingin berusaha sendiri menjadikannya berubah.

Dengar kata kini dia sudah membeli sebuah van second hand untuk membawa mesin pemotong rumput dan pekerjanya. Kawasan bisnes mereka juga tidak lagi di sekitar Bangi, malah menjangkau ke Sepang, Nilai dan Semenyih.

Peralatan yang diperlukan sebagai pemotong rumput sangat mudah iaitu mesin potong rumput, cermin mata keselamatan, alat ganti dan sedikit pengetahuan mengenai teknik memotong rumput di lereng bukit, kawasan rata dan mencantikkan potongan.

Rezeki pemotong rumput amatlah senang jika mahu melakukannya. Banyak kawasan yang masih dilitupi rumput hijau yang tidak diurus yang memerlukan seseorang untuk memotongnya.


Bagaimana pula pendapatan menjadi bos sendiri dalam bisnes ini? RM5,000 hingga RM6,000 sebulan.

Bagi melengkapkan kemahiran anda demi bisnes masa depan, alangkah baiknya jika anda dapat mempelajari teknik dalam penceriaan taman, hiasan dan perkebunan. Manalah tahu jika anda berminat, bisnes seperti ini dapat menjadi penjana wang untuk anda kelak.

Wednesday, September 16, 2009

Dapat wang dengan hobi kumpul setem

‘Dulu saya tidak faham nilainya, kini saya tahu hobi yang diamalkan bermanfaat,’ demikian kata seorang pesara guru, Mohd Kalam yang suka mengumpul setem dan sampul surat hari pertama. Beliau mengumpul setem sejak dari sekolah dan sanggup mengeluarkan belanja yang besar untuk memilikinya.

Antara setem dan sampul surat hari pertama yang masih disimpannya ialah setem hari kemerdekaan yang tertera cop 31 Ogos 1957. Sehingga kini beliau masih menyimpan lebih 25 jenis setem dan sampul surat yang menjadi barang bernilai untuk diri dan anak cucunya.

Sehingga sekarang beliau masih meneruskan hobi ini.


Bagaimana mengumpul setem dan sampul surat hari pertama memberi wang kepada beliau?

Seorang doktor pernah menawarkan RM1,000 untuk membeli satu setem dan sampul surat miliknya. Beliau sedia menjual setem dan sampul surat dalam simpanannya dengan harga RM200 sebagai kenang-kenangan.


Selain setem yang berkaitan dengan hari kemerdekaan, beliau turut menyimpan koleksi setem setahun selepas merdeka dan 10 tahun selepas merdeka. Tarikh-tarikh penting seperti pertabalan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong turut disimpannya sebagai bahan kenangan.

Menghayati hari-hari penting dalam sejarah negara seperti kemerdekaan, ulang tahun kemerdekaan atau pertabalan pembesar negara melalui setem dan sampul surat hari pertama. Sejarah akan terus diingati jika anda mengambil usaha mengumpulkan semua detik bersejarah ini.

Selain daripada setem, hobi-hobi yang dulunya disimpan di rumah anda kini boleh dikomersialkan. Bagaimana?

Anda rancang adakan persembahan solo di karnival, bilik pameran atau ekspo yang berkaitan dengan hobi anda itu. Setiap hobi ada peminat fanatik yang sanggup menghabiskan masa mereka melawat dan berbincang tentang hobi berkenaan. Bagi setiap kali pameran, katakan anda mengenakan bayaran masuk sebanyak RM5.00 bagi kumpulan keluarga, ia sudah dikira banyak kalau bilik pameran hobi anda dikunjungi 100 orang sehari.

Bagi anda yang telah lama mengumpul gambar bangunan, pemandangan atau lukisan berharga, anda patut berkongsi hobi itu dengan orang ramai. Jika hobi anda membuat bunga hiasan, melukis di atas kaca, menghias tanah liat atau dekorasi bahan-bahan terbuang, inilah masanya untuk anda menyertai aktiviti di sekitar anda. Kenakan bayaran supaya orang ramai dapat menghargai kreativiti dan hobi anda ini.

Wednesday, September 02, 2009

Usahawan kemeja T muslimah

Kesedaran masyarakat Islam untuk memakai pakaian yang menutup aurat semakin meningkat. Berbanding 20 atau 30 tahun lalu, tahap kesedaran masyarakat Islam terhadap pakaian yang menepati ciri-ciri tuntutan agama mereka bertambah baik.

Berdasarkan pengalaman susahnya mencari pakaian kemeja T yang menepati kehendak dan tuntutan agama, bisnes Sumayya Design yang bersesuaian dengan kanak-kanak dan orang dewasa berkembang pantas kerana menyediakan penyelesaian kepada masyarakat Islam.

Diusahakan oleh dua sahabat, Norashikin dan Salmi, bisnes yang bermula di rumah telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Bermula dengan kemeja T untuk anak-anak sendiri, mereka mula menerima tempahan yang datangnya daripada kawan-kawan, jiran dan saudara-mara. Dari kanak-kanak, permintaannya berjangkit kepada orang dewasa. Proses mereka bentuk, memilih fabrik, warna dan mencari pasaran di lakukan sendiri.

Pasaran Sumayya melonjak selepas mereka mempromosi produk ini menerusi laman web pada pertengahan 2007. Sehingga rekaan untuk orang dewasa masih terhad kepada wanita.

Kalau dulu mereka menerima 10 hingga 20 helai, kini menerima 500 helai bagi setiap reka bentuk. Istimewanya kemeja T keluaran Sumayya ialah reka bentuk dan corak yang menarik di samping menggunakan kain kapas sepenuhnya.


Rancangan masa depan bisnes Sumayya Design?

Membuka bilik pameran, menambah baik laman web dan memanfaatkan teknologi sepenuhnya untuk menambah bilangan pelanggan. Di samping itu mencari idea-idea baru khususnya mereka bentuk tempahan eksklusif.

Bagi kedua-dua sahabat ini, mereka akan terus berusaha dan tidak akan duduk goyang kaki untuk maju depan bisnes yang berjaya ini. Sumbangan mereka menyelesaikan satu keperluan umat Islam memberi makna yang sangat besar kerana telah menunaikan fardhu kifayah dalam berpakaian menutup aurat.

Monday, August 31, 2009

Menjahit telekung untuk keselesaan

Selepas bersara, kebanyakan orang akan berehat panjang sama ada selalu berjemaah di masjid, makan angin, mengambil cucu di sekolah setiap hari atau berniaga. Pesara yang berniaga lebih baik kerana dia sudah ada jaringan bakal pelanggan yang terdiri daripada rakan-rakan sepejabat, saudara-mara dan adik-beradik yang beranak cucu.

Bagi makcik Sabariah, 63 tahun, minat membuat telekung pada peringkat awal hanyalah untuk suka-suka sahaja bagi mengisi masa lapang selepas bersara. Dia ada sedikit asas dalam jahitan dan memilih telekung sebagai permulaan. Pelanggan awalnya ialah saudara-mara, anak-anak dan rakan-rakan yang tahu.

Tiga tahun selepas itu, beliau memberanikan diri untuk menerima tempahan di samping membaiki telekung pelanggan. Kejayaan makcik Sabariah terletak pada kesabaran, minat dan rasa tanggungjawab. Jadi, rasa penat dan pengorbanan menyediakan telekung yang terbaik kepada pelanggan dan orang ramai akhirnya berbalas juga apabila dapat menjenamakan Sabariah Telekung.

Masa kerja ialah selepas subuh dan berhenti apabila masuk waktu solat. Kadangkala berterusan sehingga pukul 2 pagi.

Pelanggan menyukai jahitan makcik Sabariah kerana keselesaan jahitan pada bahagian dagu dan dahi. Kemahiran menjahit telekung khususnya pada dua bahagian ini memerlukan latihan dan maklum balas beterusan daripada pemakainya supaya bahagian muka telekung lebih kemas, selesa dan sedap dipakai.

Minat yang pada awalnya digerakkan oleh hobi dan suka-suka akhirnya menjadi bisnes yang berjaya. Sambutan dan sokongan daripada pelanggan, saudara-mara dan rakan-rakan menjadikan makcik Sabariah serius untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa apa sahaja bidang yang kita ceburi, insya Allah pasti akan berjaya jika sentiasa berusaha, berdoa dan bertawakkal. Untuk memajukan diri dalam bisnes, kerajinan dan minat menjadi prasyarat tambahan.

Wednesday, August 26, 2009

Urut kaki untuk kesihatan

Kaki kita sentiasa digunakan untuk bergerak ke sana-sini, berlari, menyepak atau menekan sesuatu. Kaki juga yang menjadi penghubung dari satu tempat ke tempat lain. Kaki yang baik adalah kaki yang sentiasa dijaga. Untuk menjaga kaki ini, Sazani, seorang yang cacat penglihatan mencari kerja dengan mengurut kaki pelanggan yang datang ke pusat rawatan badan di Brickfields.

Kemahiran mengurut kaki yang ada pada Sazani sangat memuaskan hati ramai pelanggan. Ada di antara mereka yang telah dua tahun mendapatkan khidmat beliau kerana lenggok dan sentuhan tangannya sangat serasi.

Sazani mendapat latihan ini di Persatuan orang Buta Malaysia (MAB) dan dari semasa ke semasa berusaha meningkatkan kemahirannya mengurut dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Beliau tidak sahaja mengambil upah mengurut di situ, sebaliknya ada pelanggan yang meminta beliau ke hotel. Di situ bukan sahaja seorang pelanggan, malah dua atau tiga orang. Biasanya Sazani mengenakan bayaran RM40 hingga RM50 seorang. Jika ada tiga orang, wang yang diperolehi sudah cukup untuk belanja makan anak-beranaknya selama seminggu.

Sazani bercita-cita hendak memiliki premis perniagaan sendiri supaya dapat berdikari. Sehingga kini dia masih mengumpulkan wang untuk merealisasikan cita-citanya itu.