Monday, December 05, 2016

5 Perbaikilah diri kamu dan serulah orang lain








Sebelum kita mengajak manusia kepada Islam, hendaklah kita bersedia dengan persediaan ilmu, iman dan amal. Begitulah contoh yang telah diperlihatkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam di hari pertama baginda berdakwah.


Usbah Pertama

Baginda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memulakan dakwah dengan seorang diri. Kemudian, baginda mengumpulkan para sahabat atau sahibah yang hampir dengan baginda. Bermula dengan isteri baginda iaitu Sayidatina Khadijah Radhiallahu’anha.

Kemudian, ahli keluarga baginda seperti Sayidina Ali Radhiallahu’anhu yang tinggal bersama baginda. Kemudian, sahabat  yang terdekat iaitu Sayidina Abu Bakr Radhiallahu’anhu. Kemudian, melalui Sayidina Abu Bakr Radhiallahu’anhu, dakwah Islamiyah berkembang kepada  Sayidina Usman bin Affan, Zubir bin Awwam, Abd Rahman bin Auf dan lain-lain. Inilah Usbah pertama yang bersama dengan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Usbah pertama ini dididik oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam di belakang Bukit Safa’ iaitu di rumah Arqam bin Abi Arqam.

Melalui pendidikan Islam yang dijalankan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, maka Islam bersinar di dalam kehidupan mereka. Sahsiyah Islamiyah yang dimiliki oleh usbah pertama ini telah membimbangkan orang-orang kafir. 

Kebimbangan mereka mencetuskan penentangan terhadap usbah pertama ini. Bilal ditangkap dan disiksa. Keluarga Yathir disiksa. Sumayyah dibunuh. Ammar disiksa. Rumah Yathir dibakar. Ketika Yathir dan keluarganya disiksa, maka Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memberikan khabar gembira dengan sabda baginda:


“Wahai keluarga Yathir, bersabarlah, sesungguhnya janji kamu adalah syurga”.


Anggota-anggota usbah yang lain juga menghadapi pelbagai ancaman yang menakutkan. Usbah di bawah asuhan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ini tidak mengenal penat, lelah dan putus asa. Pelbagai penyiksaan dan ancaman yang datang menambahkan lagi keyakinan mereka terhadap Allah Subhanahuwata’ala dan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. 

Sesungguhnya usbah pertama benar-benar yakin terhadap janji Allah Subhanahuwata’ala dan RasulNya. Bagi mereka aqidah tidak boleh ditukar dengan ganti yang lain. Keimanan mereka adalah satu kenyataan dan realiti untuk dicontohi. 


Bermula Dengan Diri Sendiri

Dalam usaha usbah pertama mengajak manusia kepada Islam, mereka bermula dengan diri sendiri. Mereka membentuk rakizah atau kumpulan-kumpulan asas yang memahami dan menghayati Islam. 

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam mengutip, mengumpul dan membentuk mereka dengan acuan Islam. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bukan sekadar  mengumpul tetapi juga membentuk mereka.

Dakwah yang sebenarnya adalah terdiri daripada usaha-usaha  mengajak dan membentuk yang berjalan serentak. Apabila terabai prinsip pokok ini, maka akan berlakulah kegelencongan daripada konsep dakwah yang sebenar.


Perbaikilah Dirimu dan Serulah Orang Lain

Ustaz Mustafa Al-Masyhur telah mengeluarkan kata-kata nasihat yang sangat bernilai kepada kita, iaitu: “Perbaikilah diri kamu dan serulah orang lain”.

Pertamanya, kita perlu tegakkan iman, kefahaman dan sahsiyah dalam diri kita dengan bersumberkan wahyu Allah Subhanahuwata’ala dan sunah serta sirah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan para sahabat baginda.

Islam perlu ditegakkan di dalam diri kita. Apabila Islam tertegak di dalam diri kita, maka akan berkembanglah Islam laksana pokok. Semakin menunjang akar pokok maka semakin merendang daun dan semakin menjulang pucuk. Sesiapa sahaja yang beriman dan menghayati Islam, maka wajib baginya mengajak orang lain kepada Islam.

Islam adalah hak Allah Subhanahuwata’ala. Islam bukanlah semata-mata milik orang-orang Arab, ustaz-ustaz, sheikh-sheikh atau institusi-institusi Islam. Islam adalah untuk semua manusia. Semua manusia berhak menerimanya.     

Islam boleh difahami dan dihayati melalui tarbiyah Islamiyah atau pendidikan Islam. Sebenarnya, ilmu tanpa tarbiyah tidak dapat membentuk sahsiyah.  Ilmu berkehendakkan kepada tarbiyah untuk melahirkan natijah Islam. Berkata AlMarhum Abul Ala al Maududi:
“Islam adalah nama bagi ilmu dan menjelmakan  ilmu itu ke dalam amalan”.


Kita Perlu Bersyukur kepada Allah Subhanahuwata’ala

Kita perlu banyak bersyukur kepada Allah Subhanahuwata’ala. kerana telah  memilih kita untuk berada di dalam satu saf yang ingin kembali menegakkan Islam. Manusia yang berhajat kepada  Allah Subhanahuwata’ala. adalah pilihan Allah Subhanahuwata’ala jua.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah menegaskan bahawa akan sentiasa lahir pada zaman mana pun satu taifah atau kumpulan yang berdiri di atas kebenaran sehingga datang perintah Allah Subhanahuwata’ala. Meski pun khilafah Islamiyah sudah tidak ada, namun taifah Islam tetap wujud bagi menggantikan peranan khilafah. Taifah Islam boleh berada di mana-mana. 

Jatuhnya Khilafah ‘Uthmaniyyah di Turki tidaklah bererti  akan jatuh atau terhapus taifah Islam di dunia ini. Taifah Islam tetap wujud dan terus mengembangkan sayapnya. Taifah Islam tidak semestinya satu. Taifah Islam boleh wujud di merata-rata tempat. Kesatuan mereka adalah berdasarkan matlamat yang satu, jalan yang satu dan sistem yang satu.


Islam Dagang Kali Kedua

Kita  perlu faham bahawa Islam berada di peringkat dagang kali kedua. Islam telah dagang kali pertama pada zaman Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Kita perlu merasai hakikat dagangnya Islam kini. Masyarakat kita telah menyisihkan Islam sehingga Islam itu dagang. 

Di dalam suasana Islam dagang kini, kita adalah pedagang-pedagang yang ingin meletakkan kembali Islam di tempatnya yang asal. Inilah tugas yang besar dan mencabar. Kita ingin menjadi orang-orang yang beruntung sepertimana yang dimaksudkan oleh hadis Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bahawa Islam bermula dengan dagang dan akan kembali dagang, maka beruntunglah pedagang-pedagang.

Kita berdoa kepada Allah Subhanahuwata’ala supaya meletakkan kita ke dalam golongan pedagang-pedagang yang berbahagia. Pedagang-pedagang yang ingin memperjuangkan Islam agar kembali  diagungkan dan dimuliakan. Sesungguhnya Islamlah satu-satunya deen yang diredhai Allah Subhanahuwata’ala.


No comments:

Post a Comment