Friday, July 31, 2020

Pengajaran kepada pemimpin





Bekas perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah menerima hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kerana didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC). 

Hukuman dijatuhkan oleh Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hakim Mahkamah Tinggi.

Jumlah keseluruhan hukuman penjara adalah 72 tahun namun beliau hanya perlu menjalani tempoh 12 tahun kerana semua hukuman penjara berjalan serentak.

Kes ini merupakan sejarah Malaysia kerana kali pertama bekas perdana menteri dan menteri kewangan yang dijatuhkan hukuman penjara. Malah hukuman yang diterimanya menjadi pengajaran kepada pemimpin politik dan kerajaan supaya menggunakan kuasa dan kedudukan yang diberi dengan baik.

Penyelewengan kuasa dalam kalangan pemimpin politik mencemarkan imej negara apatah lagi Malaysia sering dilihat sebagai ‘negara Islam yang progresif’ dan menjadi inspirasi banyak negara membangun mengejar pembangunan.

Kesan pemenjaraan Najib Abdul Razak ke atas imej dan peribadi beliau amat ketara. Ia memudarkan rekod baik perkhidmatan beliau sebagai pemimpin di peringkat negeri, negara dan kerajaan serta menjejaskan popularitinya di peringkat antarabangsa.

Beliau juga termasuk dalam senarai pemimpin negara-negara yang menyalahguna kuasa dan pengaruh, sebaris dengan pemimpin dari Korea Selatan, Afrika Selatan dan kebanyakan pemimpin dari benua Afrika dan Amerika Selatan.

Dalam negara, imej beliau turut terjejas kerana dipalit dengan kes 1MDB selain daripada projek pembangunan mega, 1Malaysia dan GST yang memberi kesan ke atas kehidupan rakyat. Penglibatan beliau bersama Jho Low atau Low Taek Jho menjadi ‘saluran panas’  dihantar ke Penjara Sungai Buloh, iaitu tempat yang pernah didiami oleh bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, Anwar Ibrahim.

Imej ‘tertindas’ menjadikan penyokong beliau lebih agresif dan mahukan sesuatu yang lebih baik bagi menghalang perjalanannya ke Sungai Buloh. Gesaan diadakan pilihan raya umum sudah mula disuarakan oleh penyokongnya di samping kenyataan presiden UMNO, Zahid Hamidi yang menyatakan parti itu akan mengambil keputusan politik.

‘Namun, tentunya kita akan mengambil sesuatu keputusan politik yang agak besar hasil daripada keputusan yang dibuat pada hari ini’.

Melihat kepada rentetan dakwaan ke atas Najib ini, ia bermula apabila kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pimpinan kerajaan apabila memenangi pilihanraya ke-14 pada tahun 2018. Siri pendakwaan ke atasnya dimulakan oleh peguam negara ketika itu, Tommy Thomas yang berazam mahu membuktikan terdapat salah laku Najib dalam kes SRC.Ia juga membawa hasrat bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengheret Najib ke mahkamah kerana salah guna kuasa.

Hari ini, mahkamah telah membuat keputusan yang penting sebagai peringatan kepada semua pemimpin politik negara supaya tidak menggunakan kuasa yang ada untuk kepentingan peribadi. Banyak lagi keperluan rakyat yang boleh diberi melalui cara yang sah dan mengikut undang-undang. 

Terdapat kes-kes yang sedang disiasat oleh pihak berkuasa yang melibatkan pemimpin politik masih dalam siasatan dan sedang dalam perbicaraan. Jika undang-undang diletakkan pada tempat yang wajar dan dihormati, pemimpin yang salah akan menerima nasib yang sama seperti pemimpin-pemimpin terdahulu. 

Penafian melakukan kesalahan tidak hanya berakhir melalui sumpah, sebaliknya harus melalui pelbagai prosiding sehingga mendapat keputusan yang akhir. 

‘Sebagai orang Islam, wallahi wabillahi watallahi saya tidak meminta, saya tidak merancang atau ditawarkan RM42 juta itu’.

Biarpun Najib Abdul Razak menyatakan beliau tidak melakukan kesalahan, ruang untuknya masih terbuka untuk membuktikannya. Biarlah beliau dan pasukan peguamnya merancang dan berusaha melalui pelbagai strategi supaya masyarakat dapat melihat akibat pemimpin yang culas dalam melaksanakan amanah.

Selepas dikenakan penjara 12 tahun, kita menunggu kes yang melibatkan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang dibicarakan kerana menuntut bayaran RM187.5 juta daripada projek solar hibrid yang bernilai RM1.25 bilion.

Saturday, July 25, 2020

COVID-19: Masyarakat leka undang gelombang kedua





Bilangan kes positif COVID-19 yang meningkat kepada dua digit memberi kerisauan kepada banyak pihak khususnya Kementerian Kesihatan yang sentiasa mengingatkan rakyat Malaysia untuk mengikut SOP, menjaga jarak dan mencuci tangan.

Pertambahan kes ini kerana warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang baru pulang ke dalam negara membawa sekali virus korona ke dalam masyarakat. Mereka yang dikenal pasti ini diminta berada di rumah sebagai sebahagian daripada proses kuarantin selama 14 hari. Bagi mengawal pergerakan, mereka dipasang gelang tangan berwarna merah jambu sehingga selesai tempoh kuarantin.

Dalam keadaan begitu pun, terdapat juga yang keluar dari kawasan rumah dan makan secara terbuka di restoran. Apabila kedapatan, ia menggemparkan masyarakat dan menggesa pihak berkuasa melihat kembali dasar sedia ada supaya orang yang dikuarantin ini mengikut peraturan yang ditetapkan.

Kementerian Kesihatan mengenal pasti 13 kluster baru yang muncul sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seperti seperti kluster restoran di Brickfields, Kuala Lumpur, kluster Stutong di Sarawak, kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Pitakwa, kluster PUI Shirala, kluster Pusat Perubatan Kuching dan kluster Jupiter.

Kluster yang pulang dari luar negara menyumbang kepada peningkatan kes positif yang tidak dapat dihalang. Antara kes import ini dari Singapura, Australia, Filipina, Pakistan dan Qatar.

Tiga kluster baru yang diumumkan ialah kluster Elsa yang melibatkan bukan warganegara (krew kapal) dan kluster yang melibatkan warganegara kluster PUI (Pesakit Dalam Siasatan) Ramnad (India) dan kluster PUI Al Khobar (Arab Saudi).

Perdana menteri ketika menyuarakan kebimbangan ini menyatakan, ‘Lebih membimbangkan saya, kes positif kembali mencatatkan dua digit sejak beberapa hari lalu’.

Perkara utama yang digusarkan ialah leka dan lalai mengikut SOP kerana menyangka penularan COVID-19 telah berkurangan dan tidak berbahaya. Ia menyumbang kepada penularan tempatan yang sangat merisaukan.

Tanda-tanda kelalaian dalam mengikut SOP dilihat melalui peningkatan kes positif yang meningkat dua digit. Beberapa hari lalu telah berkurang kepada satu atau dua kes sahaja. Angka ini tidak bertahan lama kerana masyarakat dilihat semakin senang dengan suasana sekitar.

Langkah-langkah kawalan yang ketat patut disegerakan supaya masyarakat mengikut SOP yang disediakan di samping menjaga jarak dan kerap mencuci tangan. Pihak berkuasa wajar kerap melakukan rondaan supaya peniaga dan pemilik premis perniagaan menyediakan keperluan sanitasi tangan kepada pelanggan masing-masing.

Wednesday, July 22, 2020

Integrasi bantuan dalam Sistem Kebajikan Negara




Dalam perutusan sambutan hari ulang tahun ke-74 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, baginda telah mengumumkan pelaksanaan Sistem Kebajikan Negara (SKN) iaitu platform bersepadu yang memudahkan orang awam membuat permohonan bantuan kebajikan secara dalam talian.

SKN bermula pada 15 Julai 2020 dan dibangunkan bagi menyelaraskan dan menjajarkan proses pemberian bantuan yang dikendalikan oleh empat agensi iaitu Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Majlis Ugama islam Brunei, Kementerian Pendidikan dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Ia juga merupakan satu saluran kerjasama peringkat tertinggi untuk memastikan pembahagian yang adil dan tidak berlaku ketirisan atau salah guna penerimaan dalam kalangan penerima bantuan.

Pada masa yang sama kerajaan dapat membuat penilaian status penerima dengan lebih telus dan jelas serta tiada ketirisan dan keciciran.

Sebelum sistem ini dibangunkan, bantuan kebajikan diberikan secara berasingan mengikut agensi. Melalui kaedah ini, penerima bantuan boleh menerima bantuan lebih daripada satu agensi. Kaedah penerimaan bantuan juga pelbagai iaitu melalui ketua kampung atau akaun.

Dalam SKN, semua permohonan dipusatkan seterusnya diagihkan mengikut klasifikasi jenis bantuan untuk dimajukan kepada agensi berkaitan. Syarat utama ialah pemohon berdaftar dan proses menerima keputusan dikatakan lebih cepat dan objektif.

SKN dikatakan lebih tersusun, teratur dan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi sepenuhnya. Oleh kerana kebanyakan penerima bantuan terdiri daripada mereka yang kurang mahir menggunakan teknologi maklumat, pihak urus setia menyediakan tutorial membuat permohonan yang lengkap.

Pemohon boleh terdiri daripada sesiapa sahaja yang merasakan dirinya layak dan kelulusan diberikan berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

Pelaksanaan SKN merupakan satu lagi lonjakan kejayaan kerajaan Brunei ke arah mengintegrasikan sistem penyampaian sosial dalam memperkasa kebajikan rakyat. Ia juga menjadi bukti hasrat Sultan Hassanal Bolkiah untuk mempeduli kesejahteraan rakyat Brunei supaya selari dengan Wawasan Brunei 2035.

Tuesday, July 21, 2020

COVID-19: Timbang wajibkan pelitup muka




Perutusan perdana menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin mengenai pertambahan kluster COVID-19 di seluruh negara menimbulkan persoalan sama ada akan berlaku gelombang kedua pandemik ini ataupun tidak.

Kebanyakan kluster ini muncul daripada warganegara dan bukan warganegara yang baru balik dari luar negara, meningkatkan bilangan kes baru yang dikesan di seluruh negara. Ia bukan sahaja berlaku di Semenanjung Malaysia malah terdapat kluster di Sarawak.

Dalam ucapan beliau, perdana menteri turut menyentuh mengenai kunci kepada pembedungan kes iaitu kerap mencuci tangan, mengambil langkah jarak sosial dan memakai pelitup muka di tempat awam. SOP yang disyorkan perlu dipatuhi jika masyarakat mahu terus merasai kebebasan bergerak pada masa ini.

Ketegasan beliau terhadap kebebasan yang diberi dapat diteliti dalam nada keras iaitu kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan orang ramai memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam. Pasar raya, pasar basah, sekolah, kaunter pejabat dan restoran merupakan tempat-tempat yang kerap dikunjungi orang ramai.

Biarpun tempat-tempat ini menyediakan laluan masuk dan keluar, peringatan menuci tangan dan pelaksanaan penjarakan sosial. Ia kurang diikuti kerana lalai dan lupa dengan pandemik yang sedang berlaku. Bergesel bahu, bersentuh tangan dan tidak kisah dengan cecair nyahkuman adalah pandangan yang kerap dilihat di tempat-tempat awam ini.

Di kaunter bayaran, petugas kaunter tidak memakai sarung tangan atau pelitup muka memulangkan baki bayaran dengan menyentuh tapak tangan pelanggan tanpa rasa bersalah.

Begitu juga di kedai runcit, pemilik kedai tidak endah dengan SOP keluar masuk seperti buku catatan masuk pelanggan, botol cecair nyahkuman yang semakin kosong atau pengimbas suhu yang kehabisan bateri.

Senario ini berlaku kerana pelbagai sebab namun yang utama ialah tidak mahu mengeluarkan kos sendiri. Kesannya terhadap perniagaan amat perit apabila pelanggan yang masuk ke premis dikenal pasti sebagai mangsa COVID-19 ini. Antara impak tersebut ialah orang ramai tidak mahu lagi datang ke kedai, memandang negatif premis yang tidak mempedulikan SOP dan menyumbang kepada ekonomi tidak produktif.

Tahap kesedaran yang realtifnya masih rendah terhadap kepentingan penjagaan kesihatan diri turut menyumbang kepada sikap tidak peduli dengan kesihatan orang ramai. Ia boleh dikaitkan dengan kempen yang kurang meresap ke dalam fikiran orang ramai untuk mematuhi SOP dan menjaga kepentingan kesihatan diri dan keluarga.

Dalam fasa PKPP ini, instrumen propaganda kerajaan wajar menggiatkan tindakan pemakluman dan melaksanakan perdampingan sosial yang lebih kerap supaya mesej perdana menteri ini dapat disampaikan ke semua segmen masyarakat.

Proses pemantauan dan amaran perlu digandakan kepada premis yang gagal menyediakan SOP atau catatan log masuk pelanggan mereka. Ketegasan melaksanakan arahan ini bermakna melemahkan penularan COVID-19 dengan lebih pantas.

Kita semua tidak mahu lagi berada di rumah selama dua bulan tanpa melakukan kerja produktif.

Tuesday, July 14, 2020

COVID-19: Kluster luar negara Rusia 'Novgorod'





Kluster terbaru COVID-19  ‘Novgorod’ yang dikesan di Melaka baru-baru ini telah dikenal pasti berada di Durian Tunggal. Mangsa yang tinggal di kawasan taman perumahan telah pun bergerak di banyak tempat khususnya di kawasan awam  yang mendedahkan virus korona kepada masyarakat.

Mangsa yang bekerja di Rusia merupakan kes terbaru COVID-19 yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam tempoh pelaksanaan PKPP yang akan berakhir pada 31 Ogos 2020.

Pendedahan ini memberi kebimbangan kepada masyarakat khususnya di Melaka kerana mereka perlu mengambil tindakan yang lebih teliti apabila keluar dari rumah dan berada di tempat-tempat awam seperti di pasar raya, restoran dan pasar basah. 

Tindakan lain yang perlu diamalkan ialah mengekalkan jarak sosial, kerap mencuci tangan dan mengambil langkah bekerja dari rumah.

Kumpulan pelajar dan kanak-kanak wajar diberi perhatian apabila kes ini muncul kerana pembukaan sekolah dan tadika memberi ruang yang sangat besar kepada penularan COVID-19 memandangkan golongan tersebut kurang pendedahan kepada bahaya wabak ini.

Di sekolah, guru berperanan mengingatkan para  pelajar supaya sentiasa memastikan  tiga langkah utama iaitu mencuci tangan, memakai penutup hidung dan mulut serta mengamalkan penjarakan sosial dipatuhi. Sekiranya guru dan pelajar dapat mendisiplinkan diri masing-masing ketika sesi pembelajaran berlangsung, penularan wabak COVID-19 dapat dibendung.

Andainya berlaku gejala yang cenderung kepada ciri-ciri yang menyebabkan COVID-19, tindakan segera wajar dilakukan supaya keselamatan guru dan pelajar di sekolah diberi keutamaan. 

Hal ini boleh sahaja berlaku kerana mangsa kluster Novgorod ini dimaklumkan telah berjalan di banyak tempat yang berkemungkinan meninggalkan virus korona di tempat tempat yang beliau telah pergi.

Justeru kebimbangan masyarakat harus diredakan dengan langkah-langkah proaktif oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melalui pelbagai pendekatan nyahkuman yang dapat mengembalikan keyakinan masyarakat untuk keluar dari rumah dan menguruskan keperluan mereka.

Perkembangan kes ini harus juga dimaklumkan melalui media rasmi kerajaan berkaitan tahap penularan COVID-19  di Melaka. Maklumat yang berterusan dan bersifat terus terang dapat membantu masyarakat membendung penularan wabak ini ke kawasan yang lebih luas.

Makluman yang tidak tepat akan mengundang reaksi negatif masyarakat. Perkara ini seharusnya dielakkan kerana teknologi media massa dan media sosial yang lebih pantas disebarkan kadangkala  menyebarkan maklumat yang salah dan tidak tepat.

Jika hal ini berlaku, tidak balas segera komuniti kerja dan perniagaan sudah tentu akan menghalang pelbagai jenis urusan jual beli  yang menjadi rutin harian masyarakat.

Monday, July 13, 2020

Jumaat Hari Jawi





Tulisan Jawi merupakan refleksi kepada ruh tauhid dan pandangan semesta simbol jati diri bangsa Melayu. Tulisan Jawi telah mencorakkan gaya berfikir dan sikap bangsa Melayu sejak zaman-berzaman.

Kegemilangan dan kekayaan khazanah tulisan Jawi berkembang seiring dengan kejayaan bangsa Melayu di nusantara melalui empayar kesultanan di Tanah Melayu, Sumatera, Selatan Thai, Selatan Filipina dan Borneo.

Tulisan Jawi juga berkembang sebagai alat perantara dalam komunikasi dua hala peringkat serantau dan global ketika Melaka menjadi sebuah pusat perdagagangan terkemuka.

Dua buah negara yang masih mendaulatkan tulisan Jawi adalah Brunei dan Malaysia. Sistem pendidikan di Brunei sentiasa mengukuhkan kedudukan tulisan Jawi seperti mewajibkan semua pelajar tanpa mengira kaum belajar tulsian itu di sekolah kebangsaan. Justeru ramai pelajar Cina yang mahir menulis dan membaca Jawi.

Sekitar tahun 2000-an terdapat surat khabar Harian Ekspres yang menyediakan helaian dalam tulisan Jawi.

Di Malaysia, sistem pendidikan menerapkan elemen tulisan Jawi dalam kurikulum dan diperkukuhkan melalui pengenalan tulisan Jawi di papan tanda jalan di kebanyakan negeri.

Surat khabar Utusan Melayu berperanan sebagai medan generasi muda mengasah kemahiran membaca dan menulis Jawi biarpun akhbar itu tidak lagi diterbitkan.

Di Selatan Thai, Singapura, Kemboja, Vietnam dan Selatan Filipina, penggunaan tulisan Jawi tidak meluas kerana ia tidak popular dan tidak ada nilai bisnes.

Namun tindakan kerajaan yang meluluskan kempen hari Jumaat sebagai Hari Jawi membangkitkan kembali semangat dan kesungguhan umat Islam di Malaysia untuk memartabatkan tulisan Jawi dalam hidup mereka.

Banyak aktiviti yang dilihat dapat mengajak masyarakat menghayati tulisan jawi ini seperti dijadikan urusan rasmi berkomunikasi dalam surat, pertandingan menulis dan membaca serta penerbitan buku. Galakan lain ialah membanyakkan tulisan Jawi bersama tulisan rumi di papan tanda, potongan cukai ke atas papan tanda bisnes yang menggunakan tulisan Jawi dan insentif kelas tulisan Jawi di seluruh negara.

Perkara utama yang harus difikirkan ialah sejauh mana tulsian Jawi memberi nilai komersial ke atas pengguna kerana keperluan penggunaan tulisan ini dilihat semakin tersisih berbanding tulisan rumi.


Friday, July 10, 2020

COVID-19: Kluster Perhimpunan Sri Petaling berakhir





Kluster Perhimpunan Sri Petaling yang menjadi pencetus kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 di Malaysia diisytiharkan tamat pada 8 Julai 2020 apabila tidak ada kes selama 28 hari. 

Kluster ini merupakan penyumbang terbesar kepada kes-kes positif COVID-19 dan bermula pada 11 Mac 2020, melibatkan 36 kematian.

Penularan virus dikatakan dibawa dari luar negara dan bergerak bebas dalam kalangan 16,000 orang peserta. Seramai 1,500 peserta bukan warganegara telah membawa pulang virus ini ke negara masing-masing dan menggesa kerjasama serantau bagi menangani penularan wabak.

Kementerian Kesihatan Brunei telah memberi maklum balas kepada Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai kes positif COVID-19 rakyat negara itu yang baru pulang dari perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling. 

Tindakan kerajaan Malaysia ialah mengumumkan langkah drastik menghalang penularan wabak dalam masyarakat melalui pelbagai langkah keras yang telah berjaya mengekang virus daripada terus merebak.

Pihak polis menggesa peserta perhimpunan tampil ke pusat kesihatan untuk membuat saringan kesihatan. Masyarakat juga memberi bantuan maklumat kepada polis apabila diketahui peserta perhimpunan berada di sekitar mereka. 

Malah polis mengambil tindakan terhadap peserta yang enggan tampil secara sukarela. Usaha ini telah berjaya menyaring ribuan peserta dan kejayaan pada hari ini merupakan impak besar ke atas semua inisiatif yang dijalankan.

Penamatan kluster perhimpunan terbesar ini memberi sinar kepada keadaan hidup seperti biasa yang dilalui oleh rakyat Malaysia.

Thursday, July 09, 2020

COVID-19: IPT dibuka Ogos





Pelajar universiti di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti serta institusi pengajian tinggi swasta boleh menarik nafas lega apabila Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan kemasukan sesi akademik 2020/2021 bermula pada 1 Julai.

 

Pelajar baru peringkat ijazah sarjana muda, asasi dan diploma di universiti awam akan masuk ke tempat belajar masing-masing pada awal 1 Ogos. Pelajar lama akan berada di kampus masing-masing pada awal Oktober.

 

Kunci kepada kemasukan ke institusi pengajian ini adalah pembelajaran dalam talian, mematuhi prosedur operasi standard dan penjarakan sosial. Keperluan ini bermakna semua proses pengajaran dan pembelajaran dilakukan tanpa bersemuka sehingga akhir tahun.

 

Namun begitu, kementerian memberi pengecualian kepada lima kategori pelajar untuk kembali ke kampus. Pertama, pelajar pasca siswazah mod penyelidikan yang perlu meneruskan proses pembelajaran dengan segera.

 

Kedua, pelajar semester akhir atau tahun akhir yang perlu melaksanakan kerja-kerja klinikal, latihan amali, makmal, bengkel, studio reka bentuk, praktikal atau berkeperluan peralatan khusus.

 

Ketiga, pelajar yang tidak ada akses kepada persekitaran kondusif pembelajaran. Kelompok ini boleh menggunakan infrastruktur di kampus secara dalam talian.

 

Keempat, pelajar berkeperluan khas program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di politeknik dan kolej komuniti yang perlukan bimbingan bersemuka.

 

Kelima, pelajar baharu yang ditawarkan ke institusi pengajian bagi sesi akademik 2020/2021.

 

Pendidikan tinggi amat penting kepada pembangunan negara dan mengehadkan tempoh kemasukan ke kampus akan melambatkan kemajuan masyarakat. Biarpun begitu, aspek keselamatan yang diberi penekanan dalam menilai keizinan ke kampus harus diberi perhatian oleh pengurusan universiti itu sendiri. Pelaksanaan SOP yang ketat dapat memastikan setiap pelajar tidak dijangkiti COVID-19 dan proses pembelajaran dilaksanakan dalam suasana aman dan berhati-hati.

 

Pelajar luar negara dari negara berisiko wajar dihalang dari meneruskan pengajian melalui permohonan penangguhan pengajian manakala pelajar luar negara yang sedia berada di dalam negara dan bebas COVID-19 wajar diberi kebenaran meneruskan pengajian mereka.

 

Kita ingin melihat sektor pendidikan kembali seperti biasa dan proses pembelajaran dilakukan dalam norma baharu. Kejayaan pembelajaran ini akan membantu memulihkan keyakinan masyarakat bagi mengharungi gempita COVID-19.