Tuesday, December 13, 2016

13 Keyakinan terhadap jalan dakwah







Jalan Dakwah adalah Jalan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam

Kita perlu meyakini terhadap jalan dakwah yang kita lalui supaya tidak timbul lagi sebarang keraguan di dalam penyerahan hidup kita.

Oleh itu matlamat dan jalan kita mestilah jelas. Matlamat kita rabbani dan jalan kita juga rabbani. Dengan ini barulah akan terjamin masa depan kita. Segala pengorbanan kita tidak sia-sia apabila kita bertemu dengan Allah Subhanahuwata’ala.

Dakwah kita mempunyai matlamat, jalan, panduan dan kaedah yang berdasarkan syarak, bukan rekaan akal semata-mata.  Mustafa Masyhur menyatakan dalam bukunya Tariq ad-Dakwah, bahawa jalan dakwah kita bukanlah rekaan atau sengaja diada-adakan tetapi jalan kita ialah jalan yang telah dirintis oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang kemudiannya diikuti oleh para sahabat baginda. Jalan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam itu adalah ketentuan Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:



وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ
“Ia (Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam) tidak berkata-kata mengikut hawa nafsunya sendiri, melainkan adalah wahyu yang telah diwahyukan kepadanya”. An-Najm: 3-4



وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Dan bahawa (yang kami perintahkan ini) adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalanNya, yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertakwa”. Al-An’am: 153


Ini bermakna bahawa jalan dakwah yang sebenarnya ialah jalan yang dilalui oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan jalan yang diikuti oleg para sahabat baginda. Jalan tersebutlah yang patut diikuti. Ini kerana Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah uswah atau qudwah (contoh atau teladan) dalam hidup kita.

Hendaklah kita berada di atas jalan dakwah yang sebenar kerana kita akan mengajak diri kita dan orang lain untuk mempersembahkan hidup  di atas jalan ini. Kita mengajak kepada sutu perniagaan dengan Allah Subhanahuwata’ala yangmana Allah Subhanahuwata’ala telah berjanji akan membeli jiwa dan harta para mukminin dengan bayaran yang tinggi dan tiada bandingannya, iaitu al-jannah (syurga). Firman Allah Subhanahuwata’ala:


إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ 
“Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang yang beriman itu diri mereka dan harta mereka dengan ganjaran syurga”.  At-Taubah: 111


Hendaknya kita yakini bahawa berada dalam jalan dakwah ini adalah satu tuntutan syarak untuk melaksanakan deen Islam.

Keyakinan kita terhadap jalan dan uslub Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah berdasarkan iman. Iman yang terbentuk dalam hati telah meletakkan kita thiqah (percaya) terhadap jalan dan uslub Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan tidak lagi yakin terhadap jalan-jalan yang lain.


Persoalan Asas ialah Mendapat Redha Allah

Persoalan asas kita ialah untuk mendapat keredhaan Allah Subhanahuwata’ala. Rugilah bagi orang bermati-matian dalam sesuatu perkerjaan atau perjuangan yang tidak mendapat keredhaan Allah Subhanahuwata’ala. Demikian juga orang yang menyangka dirinya berjaya sedangkan, sebenarnya, ia berada dalam kerugian pada nilai Allah Subhanahuwata’ala.


Firman Allah Subhanahuwata’ala:


قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا
“Katakanlah: Apakah akan kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling rugi perbuatannya?
Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahwa mereka berbuat sebaik-baiknya”. Al-Kahfi: 103-104


Abu al-Hasan ‘Ali al-Husni an-Nadawi di dalam kitabnya: Maza Khasira al-’Alam Bi Inhitat al-Muslimin, menjelaskan bahawa contoh amalan yang rugi itu seperti yang berlaku di dunia Barat yang mana kebanyakan manusia berkorban (bermatian-matian berjuang) kerana berbagai-bagai matlamat kebendaan seperti untuk mendapat pujian dan sanjungan orang ramai, untuk tercatat nama mereka dalam sejarah, untuk menonjolkan kejaguhan (ketokohan), untuk mendapat pujian daripada masyarakat dan untuk kebanggaan bangsa. Orang mukmin amat takut kemungkinan berlaku penyelewengan dalam kerja-kerja atau amalan-amalan mereka. Kelak akan sia-sia segala amalan.


Menjaga Keikhlasan

Sehubungan dengan keikhlasan, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah ditanya mengenai seorang lelaki yang berjuang (berperang) kerana keberanian dan seorang lelaki yang berjuang kerana riyak, maka siapakah yang akan berada di jalan Allah Subhanahuwata’ala? Maka jawab Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (yang bermaksud):
“Sesiapa yang berjuang untuk menjadikan kalimah Allah itu tinggi maka dia berada di jalan Allah”.


Sayyidina ‘Umar al-Khattab Radhiallahu ‘anhu pernah berdoa (yang bermaksud):


“Ya Allah jadikanlah seluruh amalanku itu amalan soleh dan jadikan semuanya semata-mata ikhlas untuk Engkau dan janganlah Engkau jadikan sesuatu pun di dalamnya amalanku itu untuk yang lain daripada Engkau”.


Sentiasa Mengikut Nilai Syarak

Usaha kita dalam amal Islami hendak diukur dengan neraca syarak sama ada dalam hal matlamat mahupun dalam hal jalan-jalannya.

Orang mukmin tidak seharusnya mengambil neraca dan nilai yang lain daripada syarak di dalam penentuan antara hak dan batil, baik dan buruk, pertunjuk dan kesesatan. Kaedah syarak menjelaskan:

“Perkara yang baik itu ialah apa yang dikatakan baik oleh syarak dan perkara yang buruk itu ialah apa yang dikatakan buruk oleh syarak”.

Demikian juga nilai kejayaan yang sebenar, mestilah berdasarkan nilai syarak. Kejayaan di sisi Allah Subhanahuwata’ala adalah kejayaan yang hakiki dan abadi. Konsep al-falah, an-najah atau al-fauz al-’azim (kejayaan yang besar) itu dilihat dari kaca mata syarak bukan berdasarkan penilaian manusia.

Jika kita lihat kepada sirah, kebanyakan orang Arab pada zaman awal Islam dahulu menolak ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam dan para sahabat baginda. Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam dan para sahabat yang menerima rintangan dan  penyiksaan bukan bererti mereka berada di jalan salah atau kalah.

Mustafa Masyhur menjelaskan bahawa apa yang berlaku ke atas Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam dan para sahabat itu adalah sunnah atau ketetapan yang ditentukan oleh Allah Subhanahuwata’ala di atas jalan dakwah. Meskipun terdapat dalam kalangan mereka yang terkorban akibat penyiksaan, tetapi mereka berjaya di sisi Allah Subhanahuwata’ala. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah memberi jaminan kepada keluarga Yasir yang telah disiksa oleh tuannya. Sabda baginda:


“Bersabarlah keluarga Yasir, sesungguhnya janji kamu adalah jannah”.


Hal ini menunjukkan nilai kebenaran dan kejayaan itu adalah menurut nilai Allah Subhanahuwata’al  bukan berdasarkan nilai-nilai yang lain.


Hakikat Penglibatan dalam Jama’ah

Hendaklah kita yakin bahawa kewujudan kita di atas jalan dakwah adalah li khidmati li dinillah (untuk berkhidmat dengan din Allah Subhanahuwata’ala) dan penglibatan kita dengan harakah Islamiah adalah untuk melaksanakan tuntutan Islam. Islam menuntut agar permasalahan Islam (atau apa yang disebut sebagai Qadhiyah Islamiah) diselesaikan.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, yang telah mendapat petunjuk Allah Subhanahuwata’ala, telah melakukan penyelesaian permasalahan Islam melalui wasilah (jalan) harakah atau pembentukan jama’ah Islamiah.

Baginda membentuk jama’ah sejak hari pertama baginda diperintahkan oleh Allah Subhanahuwata’ala untuk menyampaikan seruan Islam. Baginda berjuang bersama-sama jama’ah itu sejak  zaman Makki hinggalah ke zaman Madani.

Oleh kerana Qadhiyah Islamiah itu wajib diselesaikan dan penyelesaiannya adalah melalui wasilah harakah atau jama’ah Islamiah (seperti yang telah terbukti dalam sunnah dan sirah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam), maka mewujudkan harakah atau jamaah Islamiah adalah juga wajib. Ini berdasarkan kaedah syarak:


ما لا يتم الواجب الا به فهو واجب
“Tidak sempurna sesuatu kewajipan itu melainkan dengannya (sesuatu) maka ia menjadi wajib”.


Atas dasar inilah maka  penglibatan kita di dalam harakah Islamiah adalah berdasarkan aqidah Islam atau dengan istilah lain, seperti yang disebut oleh Fathi Yakan, sebagai intima’ al-’aqidi.

Penglibatan kita dalam jama’ah bukanlah bersifat sementara, tetapi penglibatan sepanjang hayat sehingga kita dipanggil pulang oleh Allah Subhanahuwata’ala. Sirah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan para sahabat baginda membuktikan bahawa penglibatan di jalan dakwah adalah terus-menerus sehingga kembali ke rahmatullah.

Oleh itu penglibatan kita adalah berterusan meskipun berlaku kehilangan pemimpin. Sirah membuktikan bahawa selepas kewafatan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, risalah baginda diteruskan oleh para sahabat dan disambung pula oleh generasi kemudian. Firman Allah Subhanahuwata’ala:



وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ
“Nabi Muhammad itu tidak lain melainkan seorang Rasul yang telah didahului oleh para Rasul lain. Sekiranya baginda wafat atau dibunuh apakah kamu akan berpaling tadah? Dan sesiapa yang berpaling tadah maka ia sesekali tidak dapat memudaratkan Allah dan Allah  akan memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersyukur”. Ali ‘Imran: 144


Benarlah seperti yang pernah dilafazkan oleh Abu Bakr as-Siddiq ketika ia melihat kegelisahan orang ramai di atas kewafatan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Antara katanya:


“Sesiapa yang menyembah Muhammad maka sesungguhnya Muhammad telah wafat dan sesiapa yang menyembah Allah maka Allah tetap hidup dan tidak akan mati”.


Oleh yang demikian yakinlah bahawa perjuangan menegakkan kalimah Allah Subhanahuwata’ala itu bukanlah kerana pemimpin, tetapi kerana tuntutan Allah Subhanahuwata’ala. Pemimpin dan mereka yang dipimpin adalah umpama imam dan makmum di dalam solah berjama’ah, semuanya bertujuan untuk mematuhi perintah Allah Subhanahuwata’ala dan mengabdikan diri kepada-Nya semata-mata.


Tugas Kita Hanya Berkerja

Setelah kita mengetahui bahawa jalan dakwah kita tertegak di atas akidah Islamiah dan penglibatan kita bukan bersifat sementara, maka hendaklah kita berusaha bersungguh-sungguh menuju matlamatnya dengan mengikut jalan-jalan dan kaedah-kaedah yang betul. Kita tidak boleh rasa rasa jemu dan bosan, kerana kerja-kerja ini telah menjadi kewajipan kita. Kewajipan kita adalah bekerja dan berusaha mengikut peraturan syarak manakala natijahnya adalah ketentuan Allah Subhanahuwata’ala.

Seandainya kita tidak sempat melihat hasil pada masa hayat kita, kita tetap yakin bahawa kita berada di atas Jalan Allah Subhanahuwata’ala. Kita telah termasuk dalam golongan yang menjalankan tanggungjawab di sisi Allah Subhanahuwata’ala. Sesiapa yang sabar dan istiqamah di atas jalan ini bermakna ia berjalan di atas jalan dakwah yang benar.
Kepentingan Tarbiah

Tarbiah adalah salah satu ciri asas bagi jalan dakwah yang bercontohkan jalan dakwah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Hendaknya kita ingat bahawa sebarang kegelencongan daripada tarbiah akan menjauhkan kita daripada jalan dakwah yang sebenar.

Mustafa Masyhur menjelaskan bahawa kegelencongan akan berlaku dan menjauhkan kita daripada jalan dakwah yang sebenar apabila kita memandang ringan terhadap tarbiah,  peraturan dan pembentukannya. Atau, memandang ringan terhadap keiltizaman (komitmen) dengan ta’lim (pengajaran) Islam atau mengambil uslub siyasi (politik) semata-mata (seperti yang berlaku dalam parti-parti politik biasa) tanpa tarbiah.

Di kala itu kita akan tertipu dengan sokongan orang ramai yang bertujuan untuk mendapat sesuatu keuntungan duniawi semata-mata tanpa iltizamat tarbawiyah (komitmen tarbiah). Cara ini amat merbahaya bagi dakwah, tidak selamat untuk melahirkan natijah (tidak lahir natijah Islam sebenar) dan tidak boleh dianggap sebagai asas yang kukuh untuk diletakkan tanggungjawab bagi mencapai kejayaan dan kekuatan Islam.

Kita sebenarnya tidak kekurangan kuantiti (bilangan) tetapi kita kehilangan kualiti (mutu). Kita kehilangan contoh-contoh Islamik dari segi iman, amal da’wi, pengorbanan dan istiqamah di atas jalan Allah Subhanahuwata’ala.

Oleh itu kita iltizam dengan tarbiah dan kita tidak redha dengan yang lain sebagai ganti.


Kesimpulan

1)    Matlamat dan jalan dakwah kita mestilah Rabbani.
2)    Jalan dakwah kita mestilah sentiasa mengikut panduan syarak.
3)    Keyakinan kita terhadap jalan dan uslub Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah kerana iman kita yang  thiqah atau yakin kepada baginda.
4)    Nilai atau neraca kebenaran dan kejayaan ialah menurut nilai atau neraca Allah Subhanahuwata’ala.
5)    Perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah Subhanahuwata’ala hendaklah bersih daripada matlamat-matlamat lain. Matlamat yang kita pegang ialah mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala semata-mata.
6)    Islam menuntut agar Qadhiyah Islamiah diselesaikan. Penyelesaiannya adalah melalui harakah Islamiah.
7)    Penglibatan kita dalam harakah Islamiah adalah berasaskan akidah Islamiah. Penglibatan kita juga berterusan sehingga kita kembali menemui Allah Subhanahuwata’ala.
8)    Khidmat kita adalah li dinillah, bukan kerana pemimpin. Pemimpin dan orang yang dipimpin adalah ibarat imam dan makmum dalam solah jamaah. Yang lebih baik ialah yang lebih dalam mempersembahkan ibadah kepada Allah Subhanahuwata’ala.
9)    Tarbiah adalah ciri asas dalam jalan dakwah Islamiah. Kita perlu iltizam dengan tarbiah.



No comments:

Post a Comment