Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Tuesday, March 12, 2024

Ramadhan bawa perubahan


1 Ramadhan, Melaka cuti. Anak-anak dan keluarga dapat bersama-sama membersihkan rumah dan juga menguruskan persekitaran rumah dengan lebih berkesan. Cuti satu hari ini merupakan satu tempoh yang singkat namun memberi makna yang sangat besar kepada mereka yang bercuti kerana ia dapat menjadikan puasa lebih teratur susun. Tidak banyak negeri yang memilih satu Ramadhan sebagai cuti awam berbanding memilih malam isra’ dan mi’raj atau nisfu sya'ban  sebagai cuti umum.

Bulan puasa adalah bulan yang memiliki tiga kelebihan, pertama sebagai bulan rahmat, kedua adalah bulan pengampunan dan yang ketiga adalah bulan yang bebas daripada api neraka. Ketiga-tiga kelebihan ini menjadikan umat Islam sentiasa berlumba-lumba untuk membuat sebanyak-banyaknya kebaikan dan memohon keampunan serta memberikan infak beserta sedekah.

Ada juga memilih untuk belanja berbuka puasa secara berkumpulan.

Jika diimbau pengalaman berpuasa ketika kita kanak-kanak dahulu, dalam suasana kampung yang tenang dan damai, kita akan kembali bernostalgia apabila orang kampung beramai-ramai pergi ke madrasah, surau atau masjid untuk menunaikan solat tarawih.

Di sini orang kampung berkumpul beramai-ramai bagi menunaikan solat sunat tarawih yang sangat digalakkan dilaksanakan secara berjemaah sama ada lapan rakaat ataupun 20 rakaat. Suasana keramaian inilah yang dapat membina jaringan sosial dan rangkaian ekonomi yang terbaik sesama ahli masyarakat.

Imam atau ketua kampung dapat mengetahui siapa yang tidak dapat datang ke surau dan masjid untuk berjemaah. Mungkin mereka ada halangan-halangan tertentu seperti bekerja lebih masa, tidak ada pengangkutan ataupun ada masalah-masalah lain seperti sakit dan keuzuran.

Apabila tibanya bulan puasa, perkara yang sering menjadi perbincangan adalah bagaimana mereka boleh berbuka puasa bersama-sama. Seingat saya, ketika saya di kampung, amalan bertukar-tukar juadah berbuka puasa adalah lumrah. Saling bertukar makanan menjadikan hubungan kejiranan lebih erat dan akrab.

Pada malam hari, kanak-kanak adalah kelompok yang paling gembira kerana dapat menunaikan solat tarawih dan bermain mercun. Sebaik sahaja solat Isyak selesai, mereka bertempiaran lari meninggalkan saf solat untuk turut serta dengan rakan-rakan yang sedang membakar mercun dan bunga api.

Tahun 80-an dahulu, harga mercun tidak begitu mahal kerana mata wang ringgit agak tinggi, jadi anak-anak yang banyak duit berkongsi mercun beramai-ramai. Bagi yang kreatif, mereka ubah suai serbuk mercun untuk jadikan bahan letupan baharu yang mengeluarkan bunyi lebih kuat.

Rakan sekampung saya, namanya Basuni, terkenal kerana berani mencuba sesuatu yang baru. Dia kumpulkan belerang mercun untuk jadikan bahan letupan yang lebih besar dan tahan lama. Pernah sekali ketika orang kampung solat tarawih di madrasah, letupan kuat telah menggegarkan persekitaran madrasah dan ada ahli jemaah yang terkejut.

Antara mercun yang popular adalah mercun gasing, katak, ayam dan roket.

Selain mercun, yang popular juga adalah main tikam iaitu kita membeli dengan meneka beberapa gambar untuk mendapatkan mercun atau bunga api. Biasanya sekali tikam dalam sepuluh sen. Kalau ada tuah, dapatlah merasa main mercun pada sebelah malam, kalau tidak, tumpang kawan untuk main mercun bersama-sama.

Kita membesar dengan suasana ini setiap tahun. Ada ada solat tarawih, mercun dan juga persekitaran orang berbuka puasa serta bazar ramadhan. Setiap tahun kita mengulangi budaya yang sama dan tidak memberi tumpuan kepada amalan yang sepatutnya difokuskan iaitu membanyakkan beribadah dan juga memohon keampunan.

Antara amalan yang kita perlu tambah semasa bulan Ramadan ini ialah kita membanyakkan bacaan al-quran, mendengar tazkirah dan juga bersedekah. Membanyakkan bacaan al-quran boleh diatur setiap hari iaitu lima muka surat setiap kali selepas solat fardhu. Dalam sehari kita dapat sempurnakan 20 muka surat dan dalam sebulan boleh khatam 30 juzuk. Manakala mendengar tazkirah boleh dibuat pada bila-bila masa kerana boleh sahaja memilih mana-mana topik dan mendengarnya di YouTube.

Amalan yang sangat menonjol dan menjadi rebutan adalah sedekah. Tempat untuk bersedekah terbuka luas jika kita mahu. Contohnya memberikan makanan dan minuman untuk berbuka puasa di surau atau masjid, mengunjungi orang sakit dan mendoakan mereka, membantu orang yang dalam kesusahan mendapatkan makan dan minum dan juga meraikan anak-anak yatim dan orang susah.

Wajar bagi kita untuk berusaha meningkatkan amalan lahir dan batin pada bulan Ramadhan ini supaya dapat menepati objektif berpuasa iaitu bertaqwa. Dengan memenuhi ketiga-tiga ciri tadi iaitu mendapat rahmat, pengampunan dan bebas dari api neraka, mudah-mudahan Allah swt menganjarkan kita dengan taqwa.

Tidak juga lupa merebut pencarian malam lailatul qadar yang boleh dimulakan pada malam pertama lagi. Latihan awal dapat mengekalkan momentum sepanjang bulan khususnya sepuluh malam terakhir, jadi tidaklah terkial-kial berjaga malam dan keletihan sepanjang hari berpuasa.

Monday, March 27, 2023

Pembinaan ruh Badar Al-Kubra di madrasah ramadhan



1. Puasa Dari Persepektif Pelbagai Agama

Puasa merupakan sebuah praktik keagamaan yang dapat dilihat dalam pelbagai agama di dunia. Meskipun setiap agama memiliki perbezaan dalam cara dan tujuan pelaksanaannya, namun ada beberapa persamaan dan perbezaan antara amalan puasa ini.

Berikut ini adalah perbandingan puasa antara beberapa agama.



Rajah 1: Puasa dalam kepelbagaian agama



2. Puasa Dalam Islam

Puasa merupakan salah satu praktikal ibadah yang sangat penting dalam agama Islam. Sejarah puasa dalam Islam bermula sejak awal kenabian (nubuwwah) Nabi Muhammad SAW pada abad ke-7 Masihi di Mekah. Ketika itu, amalan puasa telah terkenal dalam agama-agama sebelumnya, seperti Yahudi dan Kristian. Namun, amalan berpuasa dalam Islam memiliki karakteristik yang berbeza dan memiliki aturan serta tujuan yang unik.

Puasa diwajibkan pada bulan Ramadhan tahun ke-2 Hijrah (624 Masihi), setelah Nabi Muhammad SAW berpindah dari Mekah ke Madinah. Sebelumnya, umat Muslim hanya dianjurkan untuk berpuasa namun pada tahun tersebut, Allah SWT menetapkan kewajiban berpuasa selama sebulan penuh pada bulan Ramadhan.



Rajah 2: Maksud dan tujuan puasa dalam Islam


Dalam sejarah, puasa dalam agama Islam telah menjadi salah satu amalan ibadah yang paling penting dan dihormati oleh umat Muslim di seluruh dunia. Puasa Ramadhan dianggap sebagai salah satu dari lima Rukun Islam yang menunjukkan betapa pentingnya puasa dalam membangun keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

3. Arahan Berpuasa

Terdapat ayat khusus yang mengarahkan umat Islam berpuasa iaitu ayat 183-187 Surah Al-Baqarah.

Ayat-ayat ini menjelaskan bahawa tujuan utama puasa adalah mencapai ketaqwaan, melaksanakan aturan-aturan tertentu dan disempurnakan prosesnya. Yang menarik ialah dalam ayat 185 yang menerangkan kelebihan bulan Ramadhan iaitu al-quran diturunkan sebagai petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan salah.

Saya memetik maksud ayat 186 dalam surah yang sama iaitu “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul”.



Rajah 3: Arahan berpuasa di dalam al-quran


Dalam Tafsir Fi Zilal, Syed Qutb mengungkapkan dua perkara iaitu doa dan kesediaan Allah memperkenankannya dan yang kedua adalah doa orang yang berpuasa itu mustajab.

Syed Qutb berkata dalam surah ini Allah memanggil hamba-Nya dengan ayat yang menarik seperti mencurah ke dalam hati orang yang beriman iaitu kelembutan yang manis, kemesraan yang ramah, kerelaan yang tenteram, kepercayaan dan keyakinan yang mana hidupnya seorang mukmin di bawah keredhaan ilahi, kehampiran ilahi yang amat lembut dan di bawah naungan ilahi yang amat tenteram serta di tempat yang amat teguh.

Bagi mengukuhkan lagi ayat-ayat ini, terdapat hadis dari Abu Daud, At-Tirmizi dan Ibnu Majah dengan isnadnya dari Salman Al-Farisi daripada Nabi SAW yang menyatakan bahawa,

“Sesungguhnya Allah Ta’ala merasa malu andainya seorang hamba menghulurkan kedua tangan kepadanya memohon suatu kebaikan lalu dia mengembalikan keduanya dengan keadaan kosong”.

Yang kedua, dikeluarkan oleh At-Tirmizi daripada Abdullah ibn Abdul Rahman Ad-Darami dengan isnad dari Ibnu Taubah dan diriwayatkan oleh Abdullah ibnu Al-Imam Ahmad dengan isnadnya dari ‘Ubadah ibn As-Samit, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud,

“Tiada seorang muslim di muka bumi ini yang memohon kepada Allah Azzawajalla sesuatu permohonan melainkan dikurniakan Allah kepadanya atau dijauhkan sesuatu yang tidak baik darinya selama ia tidak memohon melakukan sesuatu dosa ataupun permusuhan hubungan rahim”.

Jadi, di sini yang paling penting kepada kita ialah kita membanyakkan doa pada bulan puasa ini kerana ketika inilah masa yang Allah bagi kepada kita untuk memohon sebanyak-banyaknya apa yang kita hendak seperti memohon keampunan, memohon kebahagiaan, kesejahteraan hidup dan sebagainya.

Diriwayatkan oleh Al-Imam Abu Daud Al-Tayalisi dalam musnadnya dengan isnad dari Abdullah ibn ‘Umar katanya aku dengar Rasulullah SAW bersabda,

“Bagi orang berpuasa ketika dia berbuka doa yang mustajab”.

4. Kaitan Puasa Dengan Badar Al-Kubra

Badar al-Kubra adalah peristiwa penting dalam sejarah Islam yang terjadi pada 17 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah (13 Mac 624 M). Peristiwa ini merupakan pertempuran besar pertama yang terjadi antara umat Muslim dan musuh-musuh mereka di Mekah, yang dipimpin oleh Abu Sufyan.

Peperangan ini memberi impak besar bagi hati dan jiwa umat Islam. Kemenangan pasukan Muslim dalam pertempuran tersebut memberikan kepercayaan diri dan keyakinan yang lebih kuat kepada para pengikut Islam.

1. Kepercayaan kepada Allah SWT: Para sahabat Rasulullah SAW percaya bahawa mereka akan menang dalam perang tersebut kerana kepercayaan mereka kepada Allah SWT. Oleh kerana itu, mereka berserah diri sepenuhnya kepada kehendak Allah SWT.

2. Perjuangan dalam mempertahankan kebenaran: Perang Badar al-Kubra adalah perang yang dilakukan untuk mempertahankan kebenaran dan menegakkan keadilan. Para sahabat Rasulullah SAW berjuang dengan gigih untuk mempertahankan agama dan ajaran Islam.

3. Persatuan dalam perjuangan: Dalam perang Badar al-Kubra, para sahabat Rasulullah SAW bersatu dalam perjuangan dan saling mendukung satu sama lain. Mereka tidak memandang perbezaan suku, ras atau status sosial tetapi bersatu sebagai umat Islam dalam mempertahankan agama dan ajaran Islam.

4. Kepimpinan yang adil: Rasulullah SAW adalah seorang pemimpin yang adil dan bijaksana. Ia memberikan arahan dan motivasi kepada para sahabatnya dan memimpin mereka dengan bijaksana dalam perang tersebut.

Mengambil ruh perang Badar al-Kubra dapat diwujudkan dengan mengaplikasikan pelajaran-pelajaran moral dan spiritual tersebut dalam kehidupan sehari-hari. Dalam kehidupan moden, kita dapat meneladani kepercayaan kepada Allah SWT, berjuang untuk mempertahankan kebenaran dan keadilan, bersatu dalam perjuangan dan menjadi pemimpin yang adil dan bijaksana. Dengan demikian, kita dapat mengambil ruh perang Badar al-Kubra untuk menjadi peribadi yang lebih baik dalam membangun masyarakat.

Saturday, May 27, 2017

10 aktiviti Ramadhan








Kehadiran ramadhan pada tahun ini amat bermakna kepada orang-ornag beriman. Peluang melakukan pelbagai aktiviti yang menambah pahala boleh dikatakan wujud setiap masa. Bermula dari waktu sahur hingga berbuka dan berterawih, pahala kebaikan itu sentiasa ada asalkan kita melakukannya secara berterusan walaupun sedikit.

Berikut sepuluh aktiviti yang dapat dilaksanakan secara berterusan biar pun sedikit dengan harapan pahalanya dapat diperoleh.

Pertama, membaca al-quran. Saya berpendapat membaca al-quran boleh dilakukan pada bila-bila masa tetapi harus ada disiplin. Contohnya, peluang mengkhatam al-quran amat luas terbentang pada bulan ini jika kita dapat menyusun jadual pembacaan. Jika kita ingin menghabiskan 30 juzuk al-quran sepanjang bulan ramadhan, lebih baik kita membaca lima muka surat setiap kali selepas solat fardhu. Jika terlepas, ia perlu digandakan kepada sepuluh muka surat.

Kedua, banyak berdoa. Doa adalah otak ibadah. Lebih baik kita berdoa untuk kebaikan hidup di dunia dan akhirat dengan memberi keutamaan kepada harapan supaya Allah menerima amalan kita dan menjauhi azab kubur. Kita menambah baik adab dan tertib berdoa di samping terus berdoa dalam solat-solat malam yang kita lakukan. Sekiranya kita mempunyai hajat khusus, berdoalah dengan sepenuh hati.

Ketiga, bersahur di hujung waktu atau melewat-lewatkan sahur. Kekuatan berpuasa sepanjang hari terletak pada jumlah makanan yang ada di dalam tubuh badan kita. Kebaikan melewatkan sahur antaranya adalah memberi lebih tenaga untuk bergerak sepanjang hari. Amalan ini juga menjadikan kita dapat mengerjakan solat subuh secara berjemaah di masjid. Justeru, ketika ramadhan inilah keadaan orang ramai yang bersolat subuh seolah-olah seperti keadaannya bersolat jumaat.

Keempat, masa menghafal surah-surah pilihan. Waktu rehat tengah hari adalah masa terbaik untuk memulakan hafalan surah-surah yang digalakkan untuk menghafal seperti al-kahfi, al-mulk dan al-waqiah. Baik juga jika kita dapat menggunakan teknik hafalan yang mudah iaitu mengulangi setiap ayat yang hendak dihafal itu sebanyak 19 kali. Saya telah mencuba kaedah ini dan berjaya menghafal surah al-kahfi biar pun mengambil masa agak lama.

Kelima,  ziarah kubur. Kita yang sempat menyambut ramadhan harus bersyukur sebanyak-banyaknya kerana dapat melakukan amalan yang mana pahalanya digandakan. Ada rakan-rakan kita yang tidak sempat bersama ramadhan kali ini kerana Allah menjemput mereka lebih awal. Dua orang rakan saya yang masih muda turut dijemput Allah hanya beberapa hari sebelum ramadhan tiba. Menziarahi kubur dapat menginsafkan kita di samping memberi motivasi ke arah melakukan amalan yang baik-baik sahaja.

Keenam, banyakkan syukur. Konsep syukur ini berbeza-beza. Orang  yang banyak wang mereka boleh meraikan majlis berbuka di surau atau masjid, orang yang kurang mampu boleh bersyukur dengan bertasbih dan beristighfar sepanjang masa yang terluang sebelah pagi dan petang.

Ketujuh, jangan lupa terawih di masjid berhawa dingin. Hari ini, rata-ratanya surau dan masjid sudah memasang pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada jemaah. Ia juga sebagai daya penarik kepada orang-orang muda untuk datang ke masjid dan mengimarakan ibadah. Jika tidak ada pendingin hawa, kipas gergasi sudah memadai kerana ia juga dapat memberi keselesaan. Di samping mendinginkan, imam hafiz yang dijemput dapat meningkatkan kemanisan bersolat lebih-lebih lagi jika dibuat 20 rakaat. Lepas terawih jangan lupa pula makan moreh yang disediakan.

Kelapan, bersedekah tidak kira masa. Ganjaran orang yang bersedekah ketika ramadhan amatlah banyak. Jadi, sedekahlah apa sahaja yang kita ada dari wang ringgit kepada ilmu dan kemahiran. Jika tidak dapat buat pada waktu siang, buatlah pada waktu malam atau pada masa yang kita senang. Kalau ada wang lebih, sedekahkan seikhlas-ikhlasnya kepada pembinaan masjid atau tempat mencari ilmu kerana kedua-dua tempat ini merupakan lubuk amal jariah paling hebat.

Kesembilan, rajin solat malam. Inilah ketikanya kita dapat mendirikan solat tahajjud yang memberi pelbagai kelebihan khususnya kekuatan jati diri muslim. Pemimpin yang bersolat malam akan menjadikan kepimpinannya dalam keadaan mendapat bantuan Allah, mendapat ilham untuk mengatasi masalah masyarakat dan menambat hati setiap rakyat, bukannya melalui wang yang banyak atau kedudukan pangkat yang tinggi.

Kesepuluh, memberi sebanyak-banyaknya maaf. Maafkan sesiapa sahaja yang kita pernah bertelingkah, tidak setuju atau menyampah. Maaf memberi kelebihan kepada kita kerana di hati kita sudah tidak ada perasaan dendam yang menyakitkan hati. Maaflah setiap malam sebelum kita tidur supaya ketika bangun keesokan harinya fikiran dan kehidupan kita dalam keadaan tenang dan tenteram.


Thursday, May 19, 2016

Milik ayah







Saya sering bertanya-tanya apakah samgungan untuk kata-kata yang memuliakan ibu kita iaitu syurga anak di bawah tapak kaki ibu.

Umum mengetahui maksud kata-kata ini ialah memuliakan ibu, berbuat baik kepadanya, mengambil tahu keadaan hidupnya dan memberi keutamaan kepada ibu biarpun umurnya sudah tua.

Ia sesuai sekali dengan maksud sebuah hadis yang meletakkan keutamaan kepada ibu.

Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya, aku bertanya Rasulullah saw: Siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik? Rasulullah saw menjawab, ibumu. Kemudian aku bertanya, lagi siapa? Rasulullah saw menjawab, ibumu. Kemudian aku bertanya, lagi siapa? Rasulullah saw menjawab, ibumu. Kemudian aku bertanya, lagi siapa? Rasulullah saw menjawab, bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya.  (Hadis Riwayat Tirmizi)

Ibu sangat dimuliakan dan diberi perhatian oleh umat Islam kerana pengaruhnya terhadap perkembangan emosi, rohani dan fizikal yang sanagt besar. Kita ambil contoh peranan ibu dalam membina emosi anak-anak.

Pembinaan emosi ini berlaku sebaik sahaja ibu mengandung. Walaupun terdapat banyak perubahan emosi sepanjang proses kehamilan ini, ibu akan memastikan anak dalam kandungan sentiasa dalam keadaan selamat. Ibu juga tidak membenarkan keadaan emosi negatif mengganggu anaknya kerana hubungan ibu dan anak sangat akrab ketika ini dan sebarang gangguan boleh menjejaskan emosi anak.

Sejak kelahiran hingga berumur tujuh tahun, ibu memastikan anak mendapat belaian emosi yang cukup seperti sentiasa memberi pujian, mempamerkan kasih sayang dan galakan untuk sabar dan tabah. Malah, walaupun anak sudah berkeluarga, ibu tetap mengambil berat makan dan minum anak supaya anak berasa bahagia.

Sikap mengabil berat ibu berterusan sehinggalah dia menutup mata. Amat tepat kata orang bijak pandai bahawa kasih ibu sepanjang hayat.

Bagaimana pula dengan ayah? Adakah ayah tidak mempunyai apa-apa keistimewaan?

Jika dilihat pada hadis tadi, ayah masih ada bahagiannya, cuma keutamaannya berbeza.

Jika kita rajin sedikit untuk mencari dan mentelaah hadis-hasid Nabi saw, kita akan tahu juga yang ayah mempunyai kelebihan.

Dari Jabir bin Abdillah radhiyallahu ‘anhu bahwa ada seorang laki-laki datang kepada Rasulullah saw, dia berkata: Wahai Rasulullah, aku memiliki anak dan harta, namun ayahku ingin mengambil hartaku. Rasulullah saw bersabda; Engkau dan hartamu adalah milik ayahmu. (HR. Ibnu Majah)

Berdasarkan hadis ini, ternyata ayah memiliki harta yang sangat bernilai iaitu anak-anak.

Dapat dirumuskan bahawa sambungan terhadap kata-kata syurga anak di bawah tapak kaki ibu boleh dipadankan dengan rasa mulia terhadap ayah dengan kenyataan dirimu sendiri dan hartamu itu adalah milik ayah.

Pada hemat saya, berbakti kepada kedua-dua ibu dan ayah adalah sangat mustahak.


Friday, February 12, 2016

Persiapan dalam hidup








Kalau kita hendak melihat keadaan malam pertama di alam barzakh nanti, cubalah kita pandang diri kita pada hari ini. Agak-agaknya kalau kita meninggal dunia pada malam ini, adakah kita dapat merasai suasana indah yang digambarkan oleh al-quran atau hadis (berdasarkan tafsiran para ulamak)? Jika tidak boleh, maknanya kita belum lagi mengukir keindahan amalan dalam kehidupan kita untuk bersiap menghadap Allah swt nanti.

Dalam hidup kita ini, janganlah sampai peringkat kita dimasukkan Allah swt dalam keadaan tidak bersiap sedia untuk menghadap-Nya.

Matilah pada saat dan ketika kita benar-benar bersedia. Sepanjang hidup kita sentiasa diajar supaya bersiap sepanjang masa. Lihatlah pakaian kita, cara tutur kata kita dan amalan-amalan perbuatan kita yang sepatutnya menggambarkan bagaimana keadaan selepas kita meninggal dunia. Rasulullah saw menyebut orang yang cerdik bukannya yang memiliki rumah besar, bukannya yang menjawat jawatan besar, bukannya yang memiliki wang yang banyak... tidak..., Rasulullah saw berkata orang yang cerdik adalah orang yang hidupnya mempersiapkan diri dan beramal dengan amalan untuk mengahdapi kematian nanti.

Daripada Abi Ya’la Syaddad bin Aus r.a daripada Rasulullah S.A.W sabdanya, “Orang yang cerdik ialah orang yang selalu memperhitungkan dirinya dan dia suka beramal untuk bekalan sesudah mati, sedangkan orang yang lemah (tidak cerdik) ialah orang yang selalu mengikutinya hawa nafsunya dan hanya banyak berangan-angan kepada Allah SWT (untuk mendapat kebahagian dan pengampunan daripadanya tanpa beramal soleh). (Hadith riwayat Imam Al-Turmuzi)

Jika ada orang yang bertanya kepada kita kenapa sibuk dengan menderma ke sana sini, beritahu kepada mereka bahawa kita sibuk menderma kerana tidak mahu menyesal dengan derma-derma yang telah dilakukan itu. Jika ada orang yang bertanya lagi kenapa kita kelihatan kalut hendak solat berjemaah di masjid, katakan kepada mereka yang kita tidak mahu kalut seperti itu ketika menghadap Allah swt kelak.

Janganlah kita berbohong dengan kematian kerana kematian tidak pernah berbohong. Apabila kita cuba berbohong dengan kematian, ada dalam kalangan kita suka sangat berbohong dengan perbuatan padahal kita mengakui hakikat yang kematian akan datang. Menghadap Allah swt, biarlah kita mati dalam keadaan penuh kelazatan iman yang kita bina dengan diri kita sendiri supaya menjadi hamba Allah yang soleh sepanjang hidup kita.


Tuesday, September 22, 2015

Kelebihan berpuasa di hari Arafah








Oleh Ust Hasnizatul Azri bin Zainudin

Berpuasa di hari Arafah bagi orang yang tidak menunaikan ibadah haji adalah satu kelebihan dan kenikmatan bagi orang yang tiada rezeki mahupun tidak berpeluang menunaikan ibadah haji di Baitullah Al Haram. Atas sebab ini juga, bagi orang Islam yang tidak pergi menunaikan haji boleh melakukan ibadah ini iaitu berpuasa sunat hari Arafah. Hal ini kerana, daripada perkara sunat ini, kita dapat merasakan nikmat seperti orang yang  sedang menunaikan ibadah  haji walaupun hakikat dan kebenarannya kita hanya berada di tanah air sendiri.
Puasa sunat hari Arafah ini hukumnya sunat bagi orang yang tidak menunaikan ibadah haji untuk melakukakannya. Namun, bagi Jemaah haji pula,amalan sunat ini adalah tidak disunatkan bagi mereka untuk berpuasa sunat di hari Arafah bahkan disunatkan bagi mereka agar berbuka sepertimana yang dilakukan oleh baginda Rasulullah saw ketika sedang berada di Arafah. Hal ini adalah kerana jemaah haji memerlukan tenaga dan kekuatan untuk meneruskan ibadah mereka. Jemaah haji juga akan tetap kuat dan sentiasa istiqamah dalam berzikir dan membanyakkan doa di hari Arafah tersebut.

Antara kelebihan-kelebihan orang yang berpuasa di hari Arafah ialah:
1) Diampuni dosa mereka setahun yang lepas dan setahun yang akan datang.

Dari Abu Qatadah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah saw pernah  ditanya tentang puasa hari Arafah, kemudian baginda menjawab:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَ الْبَاقِيَة

“Puasa itu (puasa hari Arafah) dapat menebus dosa setahun yang telah berlalu dan setahun akan datang”. (HR  Muslim, Tarmizi,dan Baihaqi)
2) Amalan yang baik yang amat disukai oleh Allah.
Dari Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhuma bahawa Nabi saw bersabda:
مَا مِنْ اَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا اَحَبُّ اِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الْاَيَّامِ, يَعْنِي اَيَّامَ الْعَشْرِ, قَالُوا:  يَا رَسُولَ اللهِ, وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ؟  قَالَ:  وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ, اِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ شَيْءٌ

“Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain dari hari-hari yang sepuluh ini (pada bulan Zulhijjah)”. Para sahabat bertanya: “Walaupun berjihad di jalan Allah?” Rasulullah saw bersabda:  “Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar berjihad membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid)”. (HR Bukhari)
3) Hari manusia dibebaskan paling ramai daripada api neraka.
Dari `A’isyah radhiAllahu `anha berkata bahawa Rasulullah saw  bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنْ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَة

“Tidak ada hari yang lebih ramai AllahTa`ala membebaskan hamba-Nya daripada api neraka lebih daripada hari Arafah". (Hadis isnad sohih dikeluarkan oleh Ibnu Abu Syaibah dan Baihaqi)
10 Zulhijjah bakal menggamit lagi menandakan ketibaan Eidil Adha bersama dengan laungan tahmid memuji Allah di atas segala nikmat kurniaannya termasuk nikmat berhari raya. Kemeriahan Eidil Adha akan lebih terasa apabila umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji di Mekah sama-sama menunaikan puasa sunat hari Arafah. Kelebihan berpuasa pada hari ini ialah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang. Ini bermakna Islam sentiasa mengawal setiap tindak tanduk umatnya yang mana setiap amalan yang dikerjakan dan bertepatan dengan kehendak syarak akan diganjari pahala termasuklah juga perkara makan dan minum.
Pusat Islam UTeM

Friday, September 18, 2015

Musibah bukan bererti berhenti beribadah







Tidak beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Eidul Adha. Bagi mereka yang berada di Tanah Suci sekarang ini mereka akan membuat persediaan untuk meneruskan ibadah mereka sehinggalah di Arafah. Walaupun pelbagai ujian yang diberikan oleh Allah swt terhadap Jemaah kali ini tetapi ianya merupakan salah satu cara untuk Allah swt mengangkat darjat seseorang hambaNya itu. Moga-moga saudara kita yang ditimpa musibah di sana berada dan bersama-sama dengan golongan para syuhada’ insyaallah. Kerana Rasulullah s.a.w ada menyebutkan melalui hadis baginda yang bermaksud:

“Sesiapa yang keluar untuk mengerjakan haji lalu mati, ditulis baginya pahala haji sehingga Hari Kiamat. Siapa yang keluar menunaikan umrah lalu mati, ditulis baginya pahala umrah sehingga Hari Kiamat. Dan siapa yang keluar untuk berjihad lalu mati, ditulis baginya pahala berjihad sehingga Hari Kiamat. (H.R. Abu Ya’la, disahihkan oleh Ahmad & Albani)

Ini juga merupakan di antara tanda-tanda seseorang itu mati dalam keadaan Husnul Khatimah seperti sabda Nabi s.a.w:

الشُّهَدَاءُ خَمْسٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّه

Maksudnya: “Syuhada’ (orang-orang yang mati syahid) itu ada lima, “orang mati kerana terkena penyakit Taun, orang yang meninggal kerana sakit perut, orang yang mati tenggelam(lemas), orang yang ditimpa bangunan rumah atau tembok; dan orang yang gugur di jalan Allah. (H.R. Bukhari & Muslim)

Moga-moga saudara-saudara kita yang telah pergi meninggalkan dalam kejadian di Tanah Suci tersebut memperolehi Husnul Khatimah dan seterusnya emndapat ganjaran orang yang mati syahid seperti yang dijanjikan oleh Allah swt dan Rasulullah s.a.w.

Seterusnya kita di sini yang masih berpeluang meneruskan kehidupan serta pengabdian kepada Tuhan sekalian alam ini Jalla waa’la jangan pula lena dibuai mimpi tanpa memperteguhkan lagi tali keledar ibadah serta memperketatkan lagi baju keimanan kita dengan amalan-amalan wajib serta sunah yang telah dituntut kepada kita.

Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban pada minggu hadapan disunnatkan agar tidak memotong kuku dan membuang rambut mulai 1 Zulhijjah sehinggalah selesai melaksanakan ibadah korban ..Sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

“Apabila masuk 10 haribulan Zulhijjah, sedangkan salah seorang dari kamu mahu berkorban, maka janganlah membuang sesuatu anggota rambut dan kulit (atau kukunya)”. (H.R. Muslim)
Sabda baginda lagi:

“Jika telah masuk 10 hari pertama bulan Zulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya walau sedikit”. (H.R. Muslim)

Larangan memotong rambut ini termasuk juga mencabut mahupun mencukur atau apa-apa cara yang boleh menghilangkan segala jenis rambut dan bulu di badan.Menurut Imam al-Nawawi r.h:

“Yang dimaksudkan dengan larangan memotong kuku dan rambut adalah larangan menghilangkan kuku dengan memotong,menghilangkan rambut baik sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar,bahagain anggota badan yang lain”. (Syarah Muslim, Imam al-Nawawi)

Diriwayatkan dari Ummu Salamah r.ha dari Rasulullah s.a.w baginda bersabda.
Maksudnya: “Apabila sepuluh hari pertama (Zulhijjah) telah masuk dan seseorang di antara kamu hendak berkurban, maka janganlah menyentuh rambut dan kulitnya sedikitpun”. (H.R. Muslim)

Pendapat para ulama tentang larangan memotong rambut dan kuku

Imam Syafie: Jika memasuki sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, maka barangsiapa yang berniat untuk menyembelih korban, disunahkan baginya untuk tidak mencukur rambut dan memotong kukunya hingga dia selesai menyembelih korban. Menurut Imam Syafie memotong kuku dan mencukur rambut hukumnya makruh tanzih, bukan haram.

Imam Abu Hanifah: Mencukur rambut dan memotong kuku adalah harus, tidak dimakruhkan dan tidak pula disunnahkan.

Imam Malik mempunyai tiga pendapat dalam hal ini pendapat pertama, hukumnya tidak makruh, pendapat kedua, hukumnya makruh, dan pendapat ketiga, hukumnya haram jika korbannya itu korban sunnah (Nailul Authar, Imam Syaukani Bab Maa Yajtanibuhu fi al-‘Asyari Man Araada al-Tadhiyyah).

Imam Ahmad: Mengharamkan perbuatan(memotong rambut dan kuku) tersebut.
Imam al-Son’ani dalam Subulus Salam mengenai masalah ini berkata,” Terdapat qarinah bahawa larangan itu bukanlah pengharaman”.

Ini kerana terdapat hadith lain yang menjadi qarinah iaitu hadith Aisyah r.ha. yang bermaksud:

“…………Rasulullah s.a.w pernah dihadiahkan 2 ekor kibasy untuk dikorbankan, lalu aku bermain-main dan memintal bulu kibasy tersebut dan Rasulullah s.a.w tidak mengharamkan apa yang diharamkan bagi orang yang berihram”. (H.R. Bukhari)

Kesimpulanya kita sebagai umat Islam yang hidup dengan berpaksikan al-Quran dan sunah hendaklah sentiasa berkejar-kejar di dalam mendapatkan ganjaran pahala daripada Allah swt, terutamanya dalam ibadat sunah selagi mana ianya tidak membebankan serta menyusahkan maka hendaklah kita buat dan sempurnakan sehabis baik. 


Pusat Islam
Universiti Teknikal Malaysia Melaka


Friday, August 28, 2015

Sebatang paku







Marah adalah sikap kebiasaan manusia , namun sikap pemarah yang berlebihan akan mendatangkan kebinasaan. Kita semua pasti  pernah melaluinya di mana kemarahan kita tidak tertahan lagi. Lalu kita lepaskan kemarahan itu dengan pelbagai cara. Antara cara yang amat mudah dan amat melegakan ialah dengan lisan, iaitu mengeluarkan pelbagai kata-kata sama ada kata-kata kesat, kata perli dan biadap, atau penghinaan terhadap seseorang atau sesiapa sahaja yang menyebabkan kemarahan. Justeru bagi mengetahui betapa dasyatnya implikasi marah ini mari bersama kita hayati kisah dibawah ini.

Si anak yang pemarah itu disuruh oleh bapanya untuk memaku ke dinding setiap kali dia merasa marah. Si anak merasa penat kerana setiap kali marah dia perlu untuk memaku ke dinding hingga akhirnya secara tidak langsung mendidik anak tadi untuk bijak mengendalikan amarah. Lantas si anak berjumpa dengan bapanya dengan penuh rasa bangga memberitahu perubahan dirinya.

Lalu bapa tersebut dengan lembut berkata “Kamu telah berhasil dengan baik anakku, tapi lihatlah lubang-lubang di pagar ini. Pagar ini tidak akan boleh sama seperti sebelumnya begitulah juga ketika kamu mengatakan sesuatu dalam kemarahan. Kata-katamu akan meninggalkan bekas di hati orang lain seperti lubang-lubang ini.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

“Orang kuat itu bukanlah yang menang dalam berdebat tetapi orang kuat adalah yang mampu menahan nafsu amarahnya.”
(H.R. Bukhari & Muslim)

Analogi diatas sangat signifikan, dalam sehari dua mungkin saja kita memohon maaf pada mereka yang telah kita marahi, namun adakah kata nista yang berbau penghinaan yang telah dilemparkan pada mereka mampu dipadam dalam tempoh yang singkat. Ramai diantara kita sering berhujah “sedangkan nabi ampunkan umat” saat kita memohon maaf pada orang lain namun sejauh mana pengaplikasian sikap insan mulia ini dalam diri kita. Introspeksi diri dan berhentilah menunding jari.

Solusi masalah ini baginda Muhammad s.a.w telah pun memberikan teknik kepada kita semua melalui hadis yang diriwayatkan antaranya oleh Imam Ahmad dalam 'al-Musnad' dan juga Imam al-Bukhari dalam 'al-Adab al-Mufrad':


وإذا غضبتَ فاسكت   
Maksudnya: Dan apabila kamu marah, maka diamlah.

Ditangan kita telah pun punya pilihan, amalkan atau tinggalkan, Pepatah Melayu sering ingatkan “Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya” Jangan kerana lidah yang tidak bertulang  kita kehilangan orang yang kita sayang.

Pusat Islam UTeM



Friday, August 21, 2015

The one minute reprimand







You are nothing! Pernahkah anda mengalami atau mendengar dialog seperti ini sama ada dari rakan setugas mahupun dari majikan. Pastinya ucapan tadi mampu memberikan implikasi yang sangat mendalam kepada pendengar ucapan ini. Menegur bukanlah suatu yang salah tetapi apabila teguran itu disulami dengan kata-kata yang berbau penghinaan dan cacian ia mampu mendatangkan masalah. Firman Allah dalam surah Taha: 44,


‫فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى

"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang
lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut". 


Ayat di atas tidaklah menjadi dalil bahawa para ibu bapa, guru, majikan dan sebagainya tidak boleh menegur orang bawahan tetapi sebagai piawaian dan etika yang perlu kita fahami dalam berdakwah atau pun menegur.

Di dalam buku The One Minute Manager antara mekanisme penting yang perlu dititikberatkan oleh seorang pengurus (orang yang berkuasa) ialah  “The One Minute Reprimand”, reprimand diterjemahkan sebagai menegur dalam konteks di atas. Ini membawa maksud kuasa menegur seorang pengurus samada teguran kepada pekerja itu mampu meningkatkan prestasi ataupun menjejaskan reputasi.

Kaedah ini mengandungi dua aspek berkembar yang sama penting: menegur dan memperteguh. Jika anda hanya menegur tanpa memperteguh emosi orang yang mendengar teguran tersebut, anda mungkin akan tidak digemari oleh ramai individu manakala motivasi mereka yang ditegur makin merosot lantaran tiada susulan bagi teguran anda.

Konklusinya memetik kata-kata Sayidina Ali r.a.

“ Bercakaplah kepada manusia mengikut kemampuan akal mereka”.

Terkadang menegur itulah perlu juga dilakukan dengan tegas mengikut tindak tanduk dan gaya orang yang ditegur namun teguran perlu dibuat serta-merta dan secara profesional dan spesifik. Selesai teguran, berjabatlah tangan dan nyatakan kepada pekerja tersebut sejauh mana kepentingannya terhadap kejayaan matlamat organisasi tersebut. Amalan tegur menegur ini perlu dan sangat baik diaplikasikan namun ia perlu diimbangi dengan rasional dan penghargaan supaya matlamat teguran dicapai.

Apalah gunanya akal dan ilmu kalau kita tidak pandai menilai dan menghargai? Apresiasi merupakan satu asas yang utama dalam psikologi khususnya bidang changing human behavior. Kalau asyik memandang negatif, sudah pasti ‘semua’ perkara dalam dunia ini ‘tidak patut, tidak lengkap, tidak bagus’.



Sumber: Pusat Islam UTeM

Friday, August 14, 2015

Pelayar yang hebat







Sempena Jumaat yang mulia ini, banyak amalan yang baik yang boleh diamalkan dan rasanya semua telah maklum mengenainya. Antaranya, perbanyakkan berselawat ke atas Nabi saw., banyakkan berdoa kerana sepanjang hari ini ada waktu-waktu yang mustajab, bacalah surah al-Kahfi dan lakukanlah segala amalan baik dan tinggal.

Kembali kepada tajuk di atas yang memberi maksud yang agak mendalam. Walaupun kita merasakan laut yang tenang itu sangat damai, namun bagi seorang pelayar ia tidak mengharapkan lautan itu tenang kerana hanya lautan yang berombak kencang  sahaja yang dapat menjadikannya seorang pelayar yang hebat.

Begitu jugalah dengan hidup kita, setiap ujian yang diberikan oleh Allah swt  adalah bersesuaian dengan diri kita dan semuanya itu tidak lain hanyalah untuk memantapkan iman kita. Firman Allah swt:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: "Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Kami akan uji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (QS al-Anbiya:35)

Meskipun kita merasakan ianya satu kesusahan yang mengganggu perjalanan hidup kita, hakikatnya ia memberikan kesan hidup yang lebih bermakna selepas itu.

Lebih merisaukan ada yang tidak sanggup lagi untuk meneruskan hidup dalam keadaan yang susah sehingga berputus asa untuk hidup. Maka tidak hairanlah ada dikalangan orang Islam sendiri yang sanggup membunuh dirinya sendiri kerana terlalu sedih, ataupun terlalu kecewa. Tindakan ini sangat dilaknat oleh Allah swt.

Hadis Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah saw bersabda:

الَّذِي يَخْنُقُ نَفْسَهُ يَخْنُقُهَا فِي النَّارِ وَالَّذِي يَطْعُنُهَا يَطْعُنُهَا فِي النَّارِ

Maksudnya: “Orang yang mencekik dirinya (bunuh diri) maka dia akan mencekik dirinya di neraka, dan orang yang menusuk dirinya maka dia akan menusuk dirinya di neraka.”
 (HR Al Bukhari (1365))

Walaupun kita diminta untuk ingat kepada mati, tetapi bukanlah bermakna kita boleh meminta untuk mati. Seperti mana yang disarankan oleh Rasulullah saw supaya tidak mengharapkan untuk mati.

Dari Anas bin Malik r.a dia berkata: Rasulullah saw telah bersabda:

لَا يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدُكُمْ الْمَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ فَإِنْ كَانَ لَا بُدَّ مُتَمَنِّيًا فَلْيَقُلْ اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتْ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتْ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي

Maksudnya : “Janganlah seseorang di antara kalian mengharapkan kematian kerana tertimpa kesengsaraan. Walaupun terpaksa ia mengharapkannya, maka hendaknya dia berdoa, “Ya Allah, berilah aku kehidupan apabila kehidupan tersebut memang lebih baik bagiku dan matikanlah aku apabila kematian tersebut memang lebih baik untukku.”
 (HR. Al-Bukhari no. 5671 dan Muslim no. 2680)

Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah saw bahawa beliau bersabda:

لَا يَتَمَنَّى أَحَدُكُمْ الْمَوْتَ وَلَا يَدْعُ بِهِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَهُ إِنَّهُ إِذَا مَاتَ أَحَدُكُمْ انْقَطَعَ عَمَلُهُ وَإِنَّهُ لَا يَزِيدُ الْمُؤْمِنَ عُمْرُهُ إِلَّا خَيْرًا

Maksudnya: “Janganlah seseorang mengharapkan kematian dan janganlah dia berdoa untuk mati sebelum datang waktunya. Kerana orang yang mati itu amalnya akan terputus, sedangkan umur seorang mukmin tidak akan bertambah melainkan menambah kebaikan.” (HR. Muslim no. 2682)


Hidup kita adalah berpandu. Jangan melakukan sesuatu keputusan dengan hanya mengikut kata hati kerana hati yang sakit biasanya banyak terpengaruh dengan hawa nafsu dan juga hasutan syaitan. Banyakkan berdoa supaya sentiasa diberi petunjuk untuk meneruskan hidup supaya tidak terpesong dari kebenaran.

Pusat Islam UTeM