Wednesday, November 14, 2018

Tambah kesedaran umum terhadap penderaan







Penderaan kanak-kanak yang berlaku dalam tempoh seminggu ini amat membimbangkan. Dua kejadian yang menyebabkan kematian mengundang persoalan yang tidak ada jawapan. Kes pertama, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun didera sehingga mati oleh bapa tiri. Kes kedua, bayi perempuan berusia sebelas bulan dipukul dan didera oleh suami pengasuh dan meninggal dunia dua hari selepas dimasukkan ke hospital.

Senarai kes penderaan yang berlarutan menjadikan kisah sedih ini berpanjangan.

Sejak kes penderaan pertama pada Mei 1990 melibatkan seorang kanak-kanak berketurunan India, Baladundram a/l Balakrishnan, kes penderaan mula mendapat perhatian masyarakat. Kes-kes selepas itu melibatkan kecederaan parah dan kematian kepada mangsa.

Pada Mei 1993, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Kong Sim Yee didera, seterusnya pada Julai 1994, seorang kanak-kanak berusia dua tahun, Mohd Afiq Yusof meninggal dunia selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur selama sepuluh hari.

Banyak faktor yang menyumbang kepada kes penderaan fizikal, emosi dan seksual kanak-kanak. Penderaan ini melibatkan individu yang terdekat dan mempunyai hubungan yang rapat dengan kanak-kanak seperti ibu bapa, datuk, jiran, ibu dan bapa tiri, penjaga atau pengasuh. Dalam erti kata lain, penderaan dilakukan oleh individu yang rapat dengan kanak-kanak.

Individu-individu ini memiliki kuasa dominan ke atas kanak-kanak dari segi fizikal, emosi dan seksual untuk mendatangkan kecederaan, kesakitan atau membunuh. Dalam mencari mangsa, pendera tidak memilih jenis bangsa, jantina atau peringkat umur.

Dalam kedua-dua kes penderaan baru-baru ini, pendera berniat mencedera dan membunuh mangsa tanpa mengira umur kanak-kanak dan bayi berkenaan.

Terdapat persepsi umum terhadap penderaan kanak-kanak. Pertama, golongan yang prihatin dan mengambil berat keperluan kanak-kanak yang menjadi mangsa dera ini. Kumpulan ini berusaha melalui pertubuhan bukan kerajaan, melobi dan mencadangkan undang-undang yang lebih tegas. Antara kejayaan ini adalah mencadangkan kerajaan menyediakan talian teledera untuk melaporkan penderaan. Usaha mereka sehingga banyak menyedarkan masyarakat tentang penderaan di sekitar mereka.

Kedua, kumpulan yang kurang kesedaran terhadap penderaan. Contohnya jiran yang enggan melaporkan sebarang kes penderaan yang berlaku kerana tidak mahu dilibatkan dalam sebarang kes penderaan kerana beranggapan masalah berkenaan tidak ada kaitan dengannya. Selain itu sikap mendiamkan diri menjadi pilihan khususnya di bandar.

Inisiatif yang dilakukan oleh kumpulan pertama wajar dibantu sehingga masyarakat sedar tentang keburukan penderaan. Kumpulan kedua pula wajar diberi kesedaran dan diajak untuk mengambil berat apa yang berlaku di sebelah rumah.

Agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan perlu menggiatkan kempen dan program kesedaran ke arah menjadikan masyarakat Malaysia sebuah masyarakat penyayang.

Ahli parlimen juga boleh memainkan peranan mereka melalui penggubalan undang-undang yang lebih berat. Mereka boleh mencadangkan akta yang menghalang ibu bapa atau penjaga daripada menyentuh kanak-kanak dengan tujuan memukul. Akta ini telah dilaksanakan di Sweden. Negara itu mengamalkan ‘no spanking law’ iaitu undang-undang yang melarang ibu bapa menghukum anak dengan cara memukul.

Undang-undang ini ada kebaikannya iaitu membendung kes penderaan. Namun, kesannya ialah anak-anak menjadi degil, biadap dan menuntut hak sama rata dengan orang dewasa. Anak-anak juga menjadi penentu dalam keluarga seperti memilih masa hendak makan, masa tidur atau menonton YouTube di Internet.

Keganasan terhadap bayi dan kanak-kanak di sebalik penderaan wajar diberi perhatian oleh semua pihak. Kempen-kempen kesedaran dan masyarakat penyayang perlu digandakan supaya masyarakat dapat memilih kebaikan dalam hidup berkeluarga. Kerajaan juga wajar menggubal akta supaya tidak ada lagi bayi dan kanak-kanak yang menjadi mangsa.


Tuesday, November 06, 2018

Kaki cantik







Tunjuk kaki pun boleh dapat wang!

Seorang wanita Britain, Sykes yang berusia 31 tahun mendapat hampir RM50,000 setahun hanya dengan menjual stokin dan kasut terpakai kepada peminatnya.

Bagaimana beliau melakukannya?

Jawabnya terletak pada sepasang kakinya yang cantik.

Sykes tidak menunjukkan wajahnya tetapi memiliki 10,000 pengikut di Instagram dalam masa sebulan. Beliau tidak perlu menunjukkan wajah kerana kakinya sudah memadai untuk menunjukkan kecantikan dirinya.

Oleh kerana sering dipuji oleh rakan-rakannya, beliau berasa yakin untuk membuka akaun media sosial dan mula berkongsi kecantikan kakinya.

Peringkat awal beliau menjual stokin dengan harga RM100 dan RM1000 untuk kasut. Empat tahun kemudian, pendapatannya berlipat kali ganda.

Produk bisnes tidak semestinya barang yang jauh dari kita sebaliknya berada dekat diri sendiri. Walaupun model menggunakan kecantikan sebagai pelaris jualan, setiap anggota badan kita boleh menjadi pemikat dan pelaris bisnes asalkan kita tahu bagaimana mempromosi dan menguruskannya.

Semakin unik produk yang kita tawarkan, semakin ramai yang berminat hendak berkongsi. Di sinilah dikatakan bisnes.