Dalam memperkatakan ittisal fardhi, marilah
kita sama-sama merenung firman Allah Subhanahuwata’ala:
عَبَسَ وَتَوَلَّىٰ
أَنْ
جَاءَهُ الْأَعْمَىٰ
وَمَا
يُدْرِيكَ لَعَلَّهُ يَزَّكَّىٰ
أَوْ
يَذَّكَّرُ فَتَنْفَعَهُ الذِّكْرَىٰ
أَمَّا
مَنِ اسْتَغْنَىٰ
فَأَنْتَ
لَهُ تَصَدَّىٰ
وَمَا
عَلَيْكَ أَلَّا يَزَّكَّىٰ
وَأَمَّا
مَنْ جَاءَكَ يَسْعَىٰ
وَهُوَ
يَخْشَىٰ
فَأَنْتَ
عَنْهُ تَلَهَّىٰ
“Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling
(kepada pembesar Quraisy), kerana telah datang seorang buta (Abdullah Bin Ummu
Maktum) kepadanya. Tahukah kamu barangkali dia ingin membersihkan dirinya (dari dosa) atau ia (ingin) mendapatkan
pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya? Adapun orang yang
merasakan dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya. Pada hal tiada (celaan) ke atasmu kalau ia
tidak membersihkan diri. Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera
(untuk mendapatkan pengajaran), sedang ia takut (kepada Allah), maka kamu mengabaikannya. Sesekali
jangan (demikian), sesungguhnya ajaran Tuhan itu satu peringatan, maka barangsiapa yang
mengkehendaki, tentulah Dia memperhatikannya, di dalam kitab-kitab yang
dimuliakan, yang ditinggikan lagi disucikan, di tangan para penulis (utusan)
yang mulia lagi berbakti“. ‘Abasa: 1-16
Ayat ini diturunkan oleh Allah Subhanahuwata’ala
sebagai teguran kepada sikap Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam terhadap Ibn
Maktum, seorang sahabat buta, yang mengharapkan agar baginda membacakan
kepadanya wahyu yang telah diterima dari Allah Subhanahuwata’ala. Ketika itu
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sedang berbicara dengan pemuka-pemuka
Quraisy dan baginda berharap agar mereka menerima Islam.
Dari ayat tersebut menunjukkan kepada kita
cara Allah Subhanahuwata’ala mentarbiah RasulNya untuk melaksanakan ittisal
fardhi. Walaupun Ibn Maktum seorang yang buta, tetapi beliau ikhlas datang
kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam untuk mempelajari Islam.
Konsep Ittisal Fardhi
Ittisal fardhi ialah berhubung secara individu.
Yang dimaksudkan dengan individu dalam konteks ini ialah mad’u yang menjadi
sasaran dakwah. Ittisal fardhi merupakan
muqaddimah bagi tarbiah Islamiah dalam usaha menjelaskan Islam kepada manusia.
Hubungan yang dibina dengan mad’u adalah dalam
jangka masa tertentu supaya kita dapat melihat setiap perkembangan yang berlaku
ke atasnya. Hubungan ini berterusan dan dirancangkan dengan baik tanpa pengetahuannya. Daripada hubungan
sebegini akan diketahui hati-hati yang ikhlas untuk dibawa masuk ke dalam
proses tarbiah Islamiah harakiah.
Aktiviti dalam ittisal fardhi boleh dijalankan
berdasarkan realiti orang yang kita hubungi.
Misalnya dalam suasana kampus, kita boleh ziarah, belajar bersama,
membeli belah bersama dan makan bersama. Manakala bagi mereka yang berjauhan kita boleh berhubung melalui surat
atau telefon.
Contoh-Contoh Ittisal Fardhi
Pertama, ittisal fardhi banyak berlaku dalam sirah
para sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Misalnya dalam kisah Abu Zar
Al-Ghifari.
Suatu hari, Abu Zar Al-Ghifari, yang masih
muda, memasuki kota Makkah dengan tujuan untuk mengenali Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam
dan risalah yang dibawa baginda. Beliau
terus menuju ke Ka’abah dan duduk di
situ sambil memerhatikan orang ramai. Ada di antara mereka didekati oleh Abu
Zar untuk bertanyakan tentang Muhammad. Tetapi tiada seorang pun yang mengetahui
di mana Muhammad berada. Pada masa yang
sama, Sayyidina Ali memerhatikan Abu Zar. Sayyidina Alimendekati beliau dan
bertanya khabar tanpa menyentuh sesuatu mengenai Islam.
Abu Zar dilayan oleh Sayyidina Ali dan dijamu makanan. Perkara ini berlangsung selama tiga hari. Setiap
kali Sayyidina Ali hendak pulang maka Abu Zar akan bertanyakan tentang
Muhammad. Namun Sayyidina Ali tetap tidak menjawab apa-apa. Pada hari ketiga, barulah
Sayyidina Ali mengajak Abu Zar ke markaz Arqam bin Abi Arqam. Abu Zar disuruh
berjalan di belakang agar tidak membahayakan dirinya. Abu Zar kemudiannya dapat
bertemu Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam dan beriman dengan baginda.
Di sini dapat kita perhatikan cara Sayyidina Ali
melakukan ittisal fardhi yang mengambil
masa beberapa hari untuk mengenali hati Abu Zar. Oleh itu mengenali sahsiah
orang yang dihubungi merupakan tugas asas dalam ittizal fardhi.
Kedua, ittisal fardhi juga berlaku dalam dakwah
Ikhwanul Muslimin.
Seorang pemain kugiran mengenali seorang murabbi
Ikhwan. Beliau mengingatkan
rakan-rakannya yang lain agar jangan mengadakan hubungan dengan murabbi
tersebut. Tetapi salah seorang ahli kugiran itu merasakan bahawa ada sesuatu yang
tersirat (ekoran dari peringatan kawannya). Maka pada suatu hari, beliau menggagahkan
dirinya untuk bertemu dengan murabbi Ikhwan tadi. Beliau tertarik dengan
peribadi murabbi itu. Murabbi itu terus berhubung dengannya dan berbual tanpa menyentuh
secara langsung tentang Islam. Beliau diajak minum dan berbincang mengenai
dirinya. Akhirnya ahli kugiran itu diberikan Allah Subhanahuwata’ala petunjuk
dan hidayah sehingga beliau dapat mengikuti tarbiah dan memutuskan hubungannya
dengan kumpulan kugirannya. Beliau kemudiannya menjadi salah seorang mu’azzin
di sebuah masjid di Mesir.
No comments:
Post a Comment