Showing posts with label Kemiskinan. Show all posts
Showing posts with label Kemiskinan. Show all posts

Sunday, May 18, 2025

Kematian dalam sekelip mata, kesedihan tak terhingga

Jumaat lepas, rakan lama saya di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menaikkan status semasa beliau di Facebook. Berita yang sangat mengejutkan iaitu anak perempuannya yang sedang belajar di sebuah pusat pengajian tinggi di Kota Tinggi telah meninggal dunia.

Anak perempuan tunggalnya telah meninggal dunia ketika sedang tidur. Sekitar pukul tiga pagi, rakan-rakan sebilik mendengarnya menarik nafas yang agak keras kemudiannya senyap sehinggalah ke subuh. Apabila dikejutkan, tubuhnya tidak ada lagi tindak balas.

Di bawah mesej terdapat gambar jenazah anaknya di dalam keranda van jenazah yang akan dibawa pulang ke Setiu, Terengganu. Dia sendiri meletakkan kepala dan tangannya di atas usungan jenazah, menerima takdir yang tidak disangka-sangka itu.

Anaknya berusia 20 tahun itulah satu-satunya anak yang dia ada bersama suaminya, Luqman.

Saya turut bersedih dan meninggalkan ucapan takziah di ruang komen.

Selepas itu muncul pula kematian yang sangat tragik. Lapan orang kakitangan FRU (Federal Reserve Unit) telah terkorban kerana kemalangan jalan raya di Teluk Intan, Perak. Kemalangan ini melibatkan trak FRU dan sebuah lori pasir. Kematian ini bukannya kisah sedih yang biasa sebaliknya menghimpunkan semua perasaan kecewa, marah, sedih dan bimbang yang berterusan.

Selain kematian, mangsa-mangsa juga mengalami kecederaan parah kerana terhimpit dan hentakan yang kuat secara tiba-tiba.

Kita sedih dan kecewa kerana jumlah kematian yang besar dalam kemalangan jalan raya ini menyebabkan lapan keluarga hilang tempat bergantung dan pasukan FRU hilang anggota yang berkemahiran.

Kita marah, bimbang dan merasa cemas kerana punca kemalangan adalah kegagalan teknikal pada lori pasir. Sudah tentu lori ini tidak diselenggara dengan baik, dibawa di atas jalan raya yang mana setiap kenderaan ada kemungkinan besar untuk terlibat dalam kemalangan dan akhirnya takdir menetapkan kemalangan harus berlaku kepada kenderaan yang membawa anggota FRU tadi.

Kematian adalah pemutus hidup. Mati ini boleh berlaku pada bila-bila masa, ke atas sesiapa sahaja dan di mana-mana saja. Al-Quran menyebut hal kematian ini dalam surah An-Nisa’ ayat 78 iaitu, “Di mana pun kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu walaupun kamu berada di dalam benteng yang tinggi dan kukuh”.

Konsep mati dalam Islam jauh berbeza dengan agama-agama lain. Mati hanya menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang manusia yang akan berakhir dengan penentu sama ada di syurga mahupun di neraka.

Apabila memahami dan menerima konsep ini, orang-orang Islam tidak terlalu emosional dalam meratapi orang-orang yang meninggal dunia. Sehabis-habis tinggi ratapan mereka hanyalah ucapan ‘innalillah…” ataupun membaca Al-Fatihah, selepas itu ada sedikit tahlil, itu pun diadakan mengikut kemampuan keluarga.

Tidak ada iringan muzik, pukulan gendang atau bunga jambak besar untuk mengiringi jenazah. Sebaliknya bacaan talkin sebaik sahaja jenazah dikebumikan. Semua proses ini diselesaikan dalam tempoh yang singkat, mungkin dua hingga tiga jam dan sesegera yang boleh.

Berhampiran kawasan kejiranan rumah saya terdapat perkuburan pelbagai agama. Bermula dengan kawasan kubur orang-orang Buddha, di sebelahnya terdapat perkuburan Khatolik, di depannya pula ada kawasan perkuburan penganut Hindu dan Bahai. Manakala di hujung sekali adalah kawasan perkuburan orang-orang Islam.

Oleh kerana setiap hari saya melalui kelima-lima kawasan perkuburan ini, rasa gentar dan berdebar-debar sudah tidak ada lagi. Namun, ada sedikit perasaan apabila melalui kawasan kubur orang Islam. Timbul sedikit sebanyak rasa cemas kerana suatu hari nanti saya juga mungkin ditempatkan di situ.

Ketika itu ingatan kepada kematian agak kuat.

Sebagai orang yang masih hidup, setiap hari kita berada di atas jalan raya dengan kenderaan kita sama ada dengan kereta atau motosikal. Kebarangkalian terlibat dalam kemalangan jalan raya adalah tinggi kerana kita tidak tahu kenderaan yang mana satu dalam keadaan terbaik, selalu diselenggara dan sesuai di atas jalan raya. Kita juga tidak tahu perangai dan sikap pemandu kerana silap hari bulan kita berhadapan dengan pemandu yang agresif dan baran.

Kematian tidak mengenal tempat, masa dan keadaan. Ia boleh datang pada bila-bila masa. Bersedia untuk menghadapi kematian adalah peringatan yang terbaik. Ada orang yang sentiasa bersedia dan ada pula yang bersikap sambil lewa. Apabila ajal telah sampai, tidak ada apa-apa yang dapat dicapai lagi.

"Setiap yang bernyawa akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan". (Surah Al-Anbiya’, ayat 35)

Saturday, May 17, 2025

Lapan ringgit


Setiap kali sambutan Hari Guru, saya teringatkan guru-guru saya yang pernah mengajar di sekolah rendah dan sekolah menengah. Sekolah saya ialah Sekolah Kebangsaan Kodiang di Kedah dan kemudian di sebuah sekolah asrama di Beseri, Perlis.

Semasa di sekolah rendah, barangkali saya antara pelajar yang bernasib baik kerana pernah belajar di sekolah lama dan juga sekolah baharu.

Sekolah lama terletak di dalam pekan Kodiang, iaitu bersebelahan pasar basah, arah jalan menuju ke kawasan Pida.

Bangunan sekolah lama ini terdiri daripada bangunan utama yang mempunyai kantin, kelas, bilik guru dan sebuah rumah guru. Tandas dan bilik air pula terletak di kawasan luar bangunan kelas.

Saya belajar dari tahun satu hingga tahun tiga, kemudian berpindah ke bangunan baharu yang terletak di tengah-tengah sawah bendang di Jalan Kodiang-Jitra. Bangunan ini mempunyai tiga tingkat dan sebuah kantin. Hari ini, sudah ada bangunan tambahan dan rumah guru yang dibina bersebelahan kantin. Saya yakin bilangan pelajar juga semakin bertambah.

Kali ini, saya mengimbau kembali zaman tahun 1980-an ketika saya berada di tahun empat hingga tahun enam. Ketika itu, simpang empat pekan Kodiang belum lagi mempunyai lampu isyarat, manakala restoran pasembor Hussain yang terkenal sentiasa dipenuhi pelanggan dan kedai buku Toko Othman menjadi tumpuan orang ramai dan pelajar untuk membeli surat khabar dan peralatan sekolah. Tuan punya kedai ini kami panggil "Pak Man".

Semua orang Kodiang kenal Pak Man.

Kenangan yang ingin saya ceritakan adalah tentang seorang guru kelas yang sentiasa bertanyakan saya tentang bayaran lawatan ke Cameron Highlands.

Namanya Cikgu Saad.

Lawatan ini melibatkan pelajar tahun lima yang telah selesai Peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Kami akan pergi dengan bas sewa khas.

Untuk bayaran lawatan, semua pelajar diminta membayar lapan ringgit seorang. Lalu, saya beritahu kepada ayah saya jumlah ini dan meminta agar ia dibayar segera kerana Cikgu Saad akan bertanya setiap kali beliau masuk ke kelas.

Sayangnya, saya tidak dapat memberi wang tersebut kerana ayah saya belum mempunyai wang pada masa itu. Setiap kali Cikgu Saad meminta wang, semua pelajar dalam kelas akan melihat saya yang tersipu-sipu malu sambil memaklumkan bahawa ayah saya masih belum memberi duitnya.

“Zahir, mana duitnya?”

Pertanyaan tersebut berulang-ulang dalam tempoh seminggu sehingga saya berasa sangat malu kepada rakan-rakan.

Sehinggalah suatu pagi, ayah saya akhirnya memberikan wang syiling sebanyak lapan ringgit yang saya masukkan ke dalam poket seluar sekolah. Saya ke sekolah bersama ayah saya dengan motosikal kapcai tanpa memakai topi keledar.

Ketika mendapat wang ini, saya sangat gembira dan tidak lagi berasa malu jika Cikgu Saad bertanya. Wang syiling lapan ringgit ini saya masukkan ke dalam laci meja dalam kelas.

Suatu hari, apabila Cikgu Saad masuk dan bertanyakan wang lawatan, saya segera mengambil duit syiling tersebut dan berjalan ke arahnya untuk menghulurkan duit itu.

Saya berikan kepada Cikgu Saad dan berasa sangat puas. Cikgu Saad juga tersenyum.

Fikiran dan hati saya berasa lapang kerana tidak lagi tertekan setiap kali Cikgu Saad masuk ke kelas dan bertanyakan wang lawatan.

Kisah ini masih saya ingat kerana ia amat dekat dengan hati saya. Perasaan malu dan tertekan selama beberapa hari menjadikan saya beremosional dan berfikir panjang.

Mendapatkan lapan ringgit bagi seorang petani bukanlah perkara yang mudah. Petani tidak mempunyai kerja tetap dan masa lebih banyak dihabiskan di sawah. Apabila musim menuai tiba, barulah ada wang untuk membayar hutang dan belanja keluarga.

Jika belanja agak banyak, ayah saya akan menjual padi yang disimpan di jelapang, membawanya ke kilang padi dan dapatlah tujuh atau lapan puluh ringgit. Jumlah ini dianggap besar pada tahun 1980-an kerana nilai ringgit ketika itu sangat tinggi.

Untuk belanja harian di sekolah, saya diberi empat puluh sen, cukup untuk membeli sepinggan nasi dan air sirap. Jumlah ini sudah memadai untuk mengisi perut sepanjang sesi persekolahan.

Cikgu Saad dan duit syiling lapan ringgit akan terus saya ingat. Kedua-duanya menjadi motivasi untuk saya tidak lagi memaksa sesiapa sahaja tanpa mengetahui masalah dan latar belakang hidup yang dihadapi.

Saya mesti sedar bahawa tidak semua orang mempunyai wang yang diminta, sebaliknya saya perlu mengambil tahu masalah mereka dan bersedia untuk membantu.

Setiap kali kelas pertama di awal semester, saya akan bertanya kepada pelajar-pelajar tentang keadaan mereka, pekerjaan ibu bapa dan masalah yang mereka hadapi supaya saya dapat membantu mereka, tidak kira dari kampung atau bandar.

Saya juga meminta mereka tidak malu-malu untuk berkongsi keadaan hidup keluarga masing-masing supaya saya dapat menawarkan bantuan yang sesuai.

Beberapa tahun lalu, kita pernah mendengar ada pelajar yang terpaksa menahan lapar sepanjang hari atau membeli nasi dengan kuah kari sahaja kerana tidak mempunyai wang. Pelajar-pelajar ini datang dari keluarga miskin, mempunyai adik-beradik yang masih bersekolah, dan ibu atau bapa yang menghadapi masalah kesihatan.

Untuk pelajar-pelajar ini, saya sentiasa membantu dan mendoakan kejayaan mereka di universiti. Seterusnya, semoga mereka mendapat pekerjaan yang baik supaya dapat mengubah kehidupan keluarga.

Cikgu Saad telah memberikan inspirasi positif kepada saya untuk tabah dan menghargai kesungguhan ayah saya untuk memberikan rasa bahagia. Walaupun hanya lapan ringgit, ia telah membentuk set minda yang tangguh dan sentiasa menghargai kisah-kisah ketika zaman persekolahan.

Friday, January 26, 2024

Strategi kolektif berencana dalam pembasmian kemiskinan


Kerajaan Malaysia memperkenalkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada golongan miskin dan miskin tegar di seluruh negara. Penerimanya mestilah berada dalam senarai nama eKasih, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri. Jumlah bantuan yang diberikan adalah mengikut kategori yang ditentukan iaitu warga emas, bujang dan is rumah.

Istimewa untuk is rumah, jumlah bantuan dinaikkan kepada RM1200. Bentuk bantuan ini disalurkan tanpa tunai untuk memenuhi keperluan makanan asas, barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan keperluan persekolahan. Program SARA tahun 2024 memberi manfaat kepada 700,000 penerima dengan bantuan RM700 juta. 

Mereka layak memberi barangan tersebut di kedai runcit berdaftar menggunakan myKAD. Bantuan subsidi bersasar ini menyasarkan untuk meningkatkan taraf ekonomi golongan yang terkesan dengan kenaikan harga barang dan memenuhi prinsip kesaksamaan dalam Ekonomi MADANI.

Pelaksanaan berbentuk strategi kolektif berencana ini tidak begitu diutamakan dalam program perlindungan sosial pada masa kini namun ia menjadi pilihan bagi jangka masa pendek kerana sifatnya yang merancakkan ekonomi dan menjadikan pemimpin politik lebih terkenal.

Program seperti ini dikenali dengan pelbagai nama seperti Poverty Reduction Support Credit oleh Bank Dunia yang dilaksanakan di Sri Lanka, Azerbaijan dan beberapa buah negara di Afrika.

Objektif utamanya adalah untuk mencapai dasar yang lebih jelas dan memberi tumpuan kepada pertumbuhan dan pengurangan kemiskinan yang mana dua matlamat disatukan iaitu pengurangan kemiskinan dan elemen makroekonomi. Salah satu implikasi ini adalah bahawa agensi yang menyediakan bantuan luaran perlu mengubah cara program yang menyokong usaha pihak berkuasa negara yang disasarkan.

Justeru, program yang disokong oleh PRGF adalah cerminan strategi pertumbuhan dan pengurangan kemiskinan keseluruhan yang harus berdasarkan integrasi dasar makroekonomi, struktur dan dasar sosial.

Berbalik kepada program SARA dan program-program seumpamanya yang pernah dilaksanakan di Malaysia, ia membantu peserta membeli barangan keperluan untuk tempoh tertentu seperti musim cuti sekolah atau sambutan perayaan utama. Ia tidak dapat membantu peserta keluar dari lingkaran kemiskinan kerana tujuan program tersebut adalah berbeza.

Walaupun terdapat kekangan seperti ini, program bantuan sara hidup ini tidak boleh dikatakan gagal kerana ia dilaksanakan untuk tempoh terhad dengan keperluan berbeza. Jika kita ingin membasmi kemiskinan sehingga sifar miskin, langkah yang lebih menyeluruh boleh dilaksanakan seperti menggunakan model pembangunan sosial.

Model ini menggabungkan dasar sosial dan dasar ekonomi untuk mengeluarkan kelompok miskin daripada keadaan hidup yang susah. Strategi yang digunakan ialah perusahaan individu, masyarakat popular dan kolektif berencana. 

Contoh untuk perusahaan individu ialah perusahaan kecil-kecilan yang dapat membantu isi rumah memulakan usaha mencari pendapatan sendiri. Contoh kolektif berencana ialah pemberian wang tunai, penetapan gaji minimum atau subsidi makanan yang disediakan oleh kerajaan, dan contoh masyarakat popular ialah menggerakkan komuniti desa melalui pembinaan klinik atau dewan kemasyarakatan dan sebagainya.

Tuesday, November 07, 2023

Program bantuan tunai di pelbagai negara

Kenaikan harga barang dan upah yang masih rendah menjadi sebab kepada kepayahan hidup masyrakat yang berpendapatan rendaha ketika ini. Pekerja yang mendapat gaji atau upah di bawah paras garis kemiskinan tidak dapat membantu isi rumah untuk keluar daripada lingkaran kemiskinan.

Pelbagai usaha yang diambil kerajaan Malaysia untuk membantu kelompok yang terkesan dengan kenaikan harga barang ini. Tumpuan kerajaan adalah ke arah menyediakan bantuan tunai bulanan khusus untuk keluarga yang tidak dapat mencari nafkah kerana lanjut usia atau masalah kesihatan. Peranan bantuan ini adalah bagi membanteras kemiskinan tegar.

Bantuan tunai bulanan khas ini dapat membantu isi rumah yang tidak dapat menyertai aktiviti menjana pendapatan supaya tidak terus berada dalam kesusahan dan kepayahan hidup seharian.


Negara

Program

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

Laporan PBB mengesyorkan negara-negara membangun melancarkan program besar-besaran pemberian wang tunai percuma bernilai $465 bilion untuk membantu memperlahankan penyebaran COVID-19.

Bank Dunia

90 negara telah mengumumkan program pemindahan tunai yang baharu untuk mengurangkan kesan sekatan COVID-19. Program-program ini melibatkan kerajaan memasukkan wang terus ke dalam poket rakyat.

Sepanyol

Sepanyol telah melaksanakan program pendapatan minimum yang dijamin untuk membantu mengurangkan kemiskinan dan mengurangkan ketidaksamaan. Program ini menyediakan bantuan kewangan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan disasarkan kepada mereka yang tidak dapat memenuhi keperluan asas mereka. Amaun bayaran berbeza-beza bergantung pada saiz isi rumah dan faktor-faktor lain.

Itali

Itali telah melaksanakan beberapa program pemindahan tunai untuk membantu mengurangkan kemiskinan dan mengurangkan ketidaksamaan. Salah satu program ialah Reddito di Cittadinanza (Pendapatan Kewarganegaraan) yang menyediakan bantuan kewangan kepada isi rumah berpendapatan rendah. Program ini disasarkan kepada isi rumah yang tidak dapat memenuhi keperluan asas mereka dan menyediakan bayaran bulanan sehingga $870.

Finland

Finland melaksanakan program pendapatan asas universal untuk membantu mengurangkan kemiskinan dan mengurangkan ketidaksamaan. Program ini menyediakan bayaran bulanan sebanyak $625 kepada kumpulan 2,000 penganggur yang dipilih secara rawak. Program ini direka untuk menguji keberkesanan pendapatan asas universal dalam mengurangkan kemiskinan dan ketidaksamaan.

Brazil

Program Bolsa Familia Brazil ialah salah satu program pemindahan tunai terbesar di dunia yang menyediakan bantuan kewangan kepada keluarga berpendapatan rendah. Program ini telah membantu mengurangkan kemiskinan dan ketidaksamaan dalam negara.

Mexico

Program Prospera Mexico menyediakan pemindahan tunai kepada keluarga yang hidup dalam kemiskinan tegar. Program ini juga menyediakan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan kepada waris.

India

Pradhan Mantri Jan Dhan Yojana (PMJDY) India ialah program rangkuman kewangan yang menyediakan perkhidmatan perbankan kepada isi rumah berpendapatan rendah. Program ini juga menyediakan kemudahan overdraf dan perlindungan insurans kepada pemegang akaun.

China

Pada 2023, Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Perbandaran Beijing melancarkan program pemberian tunai untuk membantu penduduk berpendapatan rendah mengimbangi kesan kenaikan harga makanan. Program ini menyediakan subsidi tunai bulanan sebanyak $6 kepada lebih 300,000 orang berpendapatan rendah.

Zambia

Zambia adalah salah satu daripada 13 negara yang terlibat dalam penilaian impak Projek Pemindahan di sub-Sahara Afrika. Kini terdapat sekurang-kurangnya 30 program perlindungan sosial di rantau ini berdasarkan aplikasi jangka panjang strategi pemindahan tunai.

Afrika Selatan

Kerajaan Afrika Selatan melaksanakan beberapa program pemindahan tunai untuk membantu mengurangkan kemiskinan dan mengurangkan ketidaksamaan. Salah satu program sedemikian ialah Geran Sokongan Kanak-Kanak yang menyediakan bantuan kewangan kepada keluarga yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun. Geran ini diuji dengan cara dan menyediakan bayaran bulanan sebanyak $30 setiap kanak-kanak.

Kenya

Kerajaan Kenya melaksanakan beberapa program pemindahan tunai untuk membantu mengurangkan kemiskinan dan mengurangkan ketidaksamaan. Salah satu program tersebut ialah Program Jaring Keselamatan Kelaparan yang menyediakan pemindahan tunai kepada isi rumah yang terdedah di kawasan kering dan separuh kering di negara ini. Program ini disasarkan kepada isi rumah yang tidak dapat memenuhi keperluan makanan asas mereka dan menyediakan bayaran bulanan sebanyak $18.

Thailand

Pada tahun 2021, Thailand menubuhkan program pemberian tunai $7 bilion untuk membantu penduduknya yang berpendapatan semasa wabak itu. Kira-kira 45 peratus penduduk dibantu oleh perkhidmatan awam digital seperti pemindahan tunai dan perkhidmatan kebajikan.

Indonesia

Kerajaan Indonesia telah melaksanakan beberapa program pemindahan tunai untuk membantu mengurangkan kemiskinan dan mengurangkan ketidaksamaan. Salah satu program tersebut ialah Program Keluarga Harapan (Program Keluarga Harapan) yang menyediakan bantuan kewangan kepada keluarga miskin yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun. Program ini disasarkan kepada isi rumah yang tidak dapat memenuhi keperluan asas dan menyediakan bayaran $38.

Filipina

Kerajaan Filipina telah melaksanakan beberapa program pemindahan tunai untuk membantu mengurangkan kemiskinan dan mengurangkan ketidaksamaan. Salah satu program tersebut ialah Program Pantawid Pamilyang Pilipino (4Ps) yang menyediakan bantuan kewangan kepada keluarga miskin yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun. Program ini disasarkan kepada isi rumah yang tidak dapat memenuhi keperluan asas mereka dan menyediakan bayaran bulanan $15-$28.


Selain daripada memberi bantuan tunai, pembasmian kemiskinan boleh dilakukan melalui usaha dan program naik taraf rumah, penyediaan modal perniagaan, latihan kemahiran dan aktiviti menjana pendapatan.


Friday, August 03, 2018

Intervensi dalam kemiskinan








Laporan media berkaitan kemiskinan yang dihadapi lima buah keluarga yang mendiami sebuah rumah di Pendang, Kedah amat mengejutkan kita. Di dalam rumah tersebut terdapat 32 orang yang tinggal berhimpit-himpit antara satu sama lain.

Kenapa keadaan ini boleh berlaku?

Kemiskinan merupakan satu simptom kepada kelemahan dalam  pengurusan komuniti.  Maksudnya ialah, komuniti gagal memastikan ahli dalam kumpulan mereka mendapat pembelaan untuk mengubah keadaan hidup yang dihadapi. Dalam kes ini, komuniti setempat tidak dapat membantu keluarga ini mungkin kerana komuniti juga berhadapan dengan situasi yang serupa. Perubahan tidak dapat dilakukan kerana secara keseluruhan keadaan hidup komuniti hampir sama sepertimana yang dihadapi oleh keluarga berkenaan.

Manakala pemimpin komuniti tidak mendapat maklumat sebenar berkaitan keadaan hidup lima keluarga  berkenaan. Barangkali pemimpin-pemimpin tersebut tidak memiliki strategi yang berkesan untuk mendapatkan maklumat berkaitan keadaan hidup kelompok yang dikategorikan sebagai miskin dalam lingkungan mereka. Barangkali juga pemimpin-pemimpin  itu tidak dapat memberikan masa mereka menjenguk keadaan hidup sebahagian daripada kelompok masyarakat kurang bernasib baik.

Banyak agensi kerajaan yang sedia ada tidak menang tangan mencari masyarakat miskin di Kedah apatah lagi di kawasan luar bandar dan terpencil. Mungkin juga kegagalan dalam melaksanakan tugas yang diberikan sehinggakan ada kelompok yang tercicir daripada sasaran. Justeru, di sinilah pentingnya peranan media untuk menyiarkan masalah yang dihadapi oleh keluarga berkenaan. Kita lihat sebaik sahaja kisah ini disiarkan media, muncullah wakil dari organisasi kerajaan ataupun pertubuhan bukan kerajaan yang menunjukkan kecaknaan mereka membantu ahli-ahli keluarga di rumah berkenaan. Nampaknya laporan media sangat berkesan untuk mengenengahkan isu-isu kemiskinan yang dihadapi oleh sebahagian daripada masyarakat kita.

Apa yang berlaku di Pendang, Kedah itu menunjukkan bahawa pendidikan tidak menjadi keutamaan kepada sebahagian daripada komuniti miskin untuk mengubah keadaan hidup sedia ada. Pada awal abad ke-20, kita dapati salah satu strategi yang diguna pakai oleh banyak negara yang baru merdeka ialah menggunakan pendidikan sebagai batu loncatan untuk memajukan negara dengan memperkasa rakyat mereka. Malaysia adalah antara negara yang memperuntukkan banyak wang bagi membangunkan sektor pendidikan dari peringkat prasekolah sehingga ke universiti. Malahan pada hari ini mereka yang hendak melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah kedoktoran turut diberi peluang berbuat demikian melalui pelbagai inisiatif yang digerakkan oleh kerajaan sendiri. Manakala sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dalam keadaan dhaif telah diberi peruntukan naik taraf supaya para pelajar dapat mengikuti pelajaran mereka dalam keadaan selesa.

Ada sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil di Perak iaitu sekolah yang tidak jauh dari kawasan rehat dan rawat Sungai Perak yang suatu masa dulu sangat dhaif keadaannya telah menjadi lebih baik, cantik dan menarik apabila kerajaan membuat keputusan untuk membantu infrastruktur sekolah itu.

Kadar kemiskinan di Malaysia berada pada kadar 0.6 peratus yang menunjukkan kepada kita bahawa kemiskinan adalah satu keadaan hidup yang boleh diubah. Berbanding keadaan masyarakat kita sebaik sahaja kita merdeka dahulu, kadar kemiskinan dalam kalangan penduduk Malaysia  berada di sekitar 40 hingga 50 peratus. Maksudnya ialah rata-rata rakyat Malaysia pada masa tersebut berada dalam kelompok miskin. Namun pembangunan negara yang mengambil kira pendidikan sebagai satu strategi intervensi kerajaan, kadar kemiskinan tersebut berkurangan dari semasa ke semasa sehinggalah sekarang. Bagaimanapun dalam pada itu masih juga terdapat golongan yang terpinggir dan terpisah dari arus pembangunan yang menyebabkan mereka tidak mendapat peluang kepada akses perubahan hidup ini.

Barangkali ada faktor-faktor yang menyebabkan kenapa keadaan ini berlaku seperti budaya hidup yang  melingkari keluarga berkenaan dari satu generasi ke satu generasi. Budaya hidup yang dimaksudkan ialah set pemikiran yang menerima keadaan hidup miskin tidak dapat diubah. Jika mereka hidup sebagai seorang petani ataupun penoreh getah, set pemikiran yang wujud pada diri mereka adalah kehidupan sebagai petani atau penoreh getah tersebut tidak dapat ditukar. Justeru, pemikiran begini menyebabkan ibu bapa tidak mengambil inisiatif ataupun berusaha menghantar anak-anak ke sekolah untuk mendapat pendidikan. Mereka lebih cenderung mengajak anak-anak pergi ke sawah atau ke kebun getah untuk membantu mereka melakukan aktiviti-aktiviti yang diwarisi. Akhirnya anak-anak membesar tanpa mendapat peluang pendidikan yang sememangnya disediakan oleh kerajaan disebabkan oleh set pemikiran yang kurang produktif disebabkan budaya hidup yang telah lama berakar umbi.

Dalam kes kemiskinan di Pendang, Kedah ini, peranan ahli-ahli dalam komuniti sangat penting. Seseorang yang berpengaruh ataupun memiliki kesedaran untuk mengubah keadaan hidup keluarga seharusnya bertindak segera dengan menawarkan peluang pekerjaan dan juga mengubah tempat kediaman mereka supaya keadaan hidup tersebut tidak mengganggu keinginan mereka untuk membuat perubahan. Anak-anak yang ramai  perlu diberi peluang ke sekolah supaya masa hadapan diri dan keluarga mereka dapat berubah. Kerajaan negeri juga perlu melakukan proses intervensi kepada penghuni dewasa melalui aktiviti sara diri yang dapat menjana pendapatan. Mereka juga perlu didedahkan dengan persekitaran yang lebih positif seperti bergaul dengan masyarakat sekitar dan juga sedia menerima lawatan dari pemimpin-pemimpin masyarakat yang ingin membantu mereka.

Pusat pembangunan komuniti yang boleh kita contohi adalah yang berlaku Indonesia. Di sesetengah kawasan, pemimpin komuniti bersama-sama komuniti bertindak membantu ahli-ahli mereka yang miskin melalui program-program keusahawanan yang dicetuskan oleh ahli-ahli dalam komuniti sendiri. Antara program keusahawanan adalah kraftangan yang mana bahan-bahan untuk membuat kraftangan ini diambil daripada barang-barang terbuang yang dikitar semula. Seterusnya mereka ini dibimbing untuk menghasilkan produk kraftangan yang menarik dan hasil kraftangan ini dipasarkan di kawasan-kawasan yang berpotensi mendapat sambutan. Semua ini dilakukan oleh komuniti  setempat berdasarkan kepercayaan bahawa komuniti yang bertanggungjawab membuat perubahan hidup kepada ahli-ahli yang miskin dan terpinggir.

Namun di Malaysia, usaha-usaha seperti ini banyak di pertanggungjawabkan kepada kerajaan di pelbagai agensi sosial dan kebajikan. Peranan komuniti tidak begitu ketara kerana kita tidak didedahkan dengan konsep pembangunan komuniti yang bertanggungjawab. Di sinilah peranan pemikir-pemikir dalam kerajaan untuk membuat perubahan dalam membangunkan negara kita melalui pembangunan komuniti. Walaupun kita agak berjaya dalam menggerakkan aktiviti kesukarelawanan tetapi kita masih gagal untuk menggerakkan ahli-ahli komuniti memiliki kesedaran untuk membantu komuniti setempat supaya kelompok miskin yang ada dalam komuniti itu dapat dibantu dan dikeluarkan daripada kemiskinan hidup.

Kita perlu lebih ramai orang untuk melibatkan diri dalam pembangunan komuniti yang mengambil peduli apa yang sedang dihadapi oleh komuniti sendiri. Jika perlu kerajaan boleh menggerakkan latihan kepada pemimpin-pemimpin komuniti tentang bagaimana hendak mengenal pasti kelompok miskin dan perlukan bantuan. Latihan ini melibatkan agensi bantuan sosial yang bertugas membantu kumpulan sasar membuat saraan hidup sendiri dengan sedikit bantuan awal. Melalui gandingan tenaga, kelompok miskin yang dikenal pasti berupaya dikeluarkan dari kemiskinan.


Tuesday, December 02, 2014

Contohi pembangunan Baling









Terdapat 81 daerah pentadbiran di Semenanjung Malaysia dan daerah paling mundur ialah Kuala Krai, Kelantan. Kemunduran daerah ini di kenal pasti melalui 23 jenis ukuran pemboleh ubah di bawah Indeks Umum Kemunduran (GID). Selain Kelantan, daerah-daerah di Terengganu dan Kedah turut menghadapi keadaan yang sama.

Kajian selama 30 tahun dari 1990 hingga 2010 menunjukkan terdapat jurang pembangunan yang ketara antara daerah. Impaknya dapat dilihat ke atas pembangunan sosioekonomi penduduk di daerah-daerah tersebut.

Dua faktor yang menyebabkan kemunduran daerah adalah penyediaan kemudahan asas yang terhad dan kurang kemudahan tempatan. Kemudahan asas yang dimaksudkan adalah jalan raya, bekalan air dan kemudahan elektrik. Tiga kemudahan asas ini menjadi pemangkin kepada pembangunan daerah untuk menarik lebih ramai penduduk bergerak ke sini.

Salah satu daerah yang telah mengalami transformasi pembangunan di Kedah adalah Baling. Suatu masa dahulu daerah ini dikenali kerana kemiskinan penduduk yang rata-ratanya bekerja sebagai petani dan penoreh getah. Demonstrasi pelajar berkaitan kemiskinan di Baling pada 1974 boleh menjadi pemula untuk kita melihat transformasi daerah ini.

Selepas 40 tahun, Baling mula berkembang sebagai daerah yang menjadi tumpuan. Sepanjang laluan ke Baling sudah ada jalan raya yang berkualiti, lampu jalan di kira dan kanan, kemudahan air bersih, klinik desa dan hospital. Masyarakat kampung yang dianggap “hulu” sudah membuka hati dan minda kepada teknologi dan kemajuan. Anak-anak yang mendapat pendidikan telah keluar meninggalkan kampung halaman dan kembali bersama Proton dan Perodua yang memenuhi segenap ruang halaman rumah. Internet dan Astro sudah menjadi pemandangan biasa di atas bumbung kebanyakan rumah. Pelajar seusia enam tahun sudah boleh membaca dan memahami buku cerita bahasa Inggeris dengan baik.

Perancang pembangunan daerah boleh mengguna pakai kaedah pembangunan Baling untuk membangunkan Kuala Krai.



 

Tuesday, August 19, 2014

Kemiskinan bukan penghalang untuk capai kejayaan - Najib








Kemiskinan bukan penghalang untuk mencapai kejayaan jika ia disertai dengan semangat serta keinginan yang kuat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata, semangat yang kental, kesabaran, sentiasa berusaha serta mempunyai cita-cita tinggi merupakan pendorong utama untuk berjaya dan semua itu mampu mengatasi kekayaan harta benda yang dimiliki.

"Ia bukan sama ada kamu miskin harta namun apa yang penting jika kamu kaya dari segi peribadi, kuat semangat, tekun, mempunyai keazaman dan impian yang tinggi.

"Itu lebih penting daripada kemudahan dari segi material, kejayaan dari segi kewangan. Kalau kita ada semangat tabah dan cekal...ia asas kepada kejayaan," katanya ketika berucap melancarkan program TV 1Malaysia Ikon di sini, hari ini.

Najib menarik perhatian apabila berkata Malaysia merupakan sebuah bumi bertuah kerana terdapat banyak peluang yang diwujudkan oleh kerajaan untuk rakyat daripada pelbagai latar belakang mengubah khidupan masing-masing ke arah yang lebih baik. – BERNAMA

(Utusan Malaysia, 19 Ogos, 2014)


 

Thursday, May 01, 2014

Peratusan kemiskinan di Malaysia

 
 
 
 

 

Dalam Rancangan Rangka Panjang Ketiga yang merangkumi dasar Wawasan Negara dan Wawasan 2020, kerajaan masih lagi menekankan kepada usaha-usaha memenuhi keperluan pendidikan dan latihan kemahiran sebagai teras utama untuk meningkatkan taraf hidup golongan miskin. Ini kerana pendidikan dilihat sebagai satu alat jangka panjang yang dapat membasmi kemiskinan dan salah satu kaedah terbaik untuk merangsang integrasi sosial (ICEG, 1995, Noor Azizah dan Zalinah, 2005). 

Sehubungan itu, usaha-usaha ke arah membekalkan pendidikan kepada golongan miskin ini diteruskan. Bantuan kewangan yang sewajarnya turut disalurkan kepada golongan ini bagi membolehkan mereka mendapatkan pendidikan yang sepatutnya. Selain daripada itu, bantuan turut diberikan dalam bentuk buku teks, makanan tambahan dan pembinaan asrama di kawasan sekolah bagi memastikan golongan ini tidak tercicir dalam pelajaran. 

Infrastruktur yang berkaitan dengan pendidikan di kawasan luar bandar terus dipertingkatkan termasuklah usaha menaik taraf sekolah sedia ada supaya setaraf dengan sekolah di bandar.

Usaha peningkatan taraf hidup juga difokuskan kepada penyediaan program latihan kemahiran. Tujuannya ialah membolehkan golongan miskin dan berpendapatan rendah mendapat pekerjaan dalam sektor ekonomi yang menguntungkan. Hal ini kerana kemahiran yang diterapkan melalui program latihan dapat memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing dalam pekerjaan. 

Merujuk kepada Rancangan Malaysia Kelapan, kerajaan membina lebih banyak kolej komuniti bagi menyediakan latihan kemahiran kepada lepasan sekolah dan pekerja termasuk di kawasan luar bandar dan estet. Kerajaan juga menyediakan satu kolej komuniti di setiap kawasan parlimen dalam usaha menyediakan tenaga kerja mahir bagi keperluan pembangunan negara. 

Kolej komuniti bertujuan memberi peluang kepada komuniti setempat untuk mendapatkan pendidikan dan latihan kemahiran yang terancang. Hal ini kerana permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi dijangka meningkat dengan bertambahnya pelaburan industri berintensif modal dan berasaskan pengetahuan serta penggunaan teknologi baru. Berdasarkan kepada RJP3, kerajaan memperuntukkan lebih banyak pelaburan dalam pembangunan negara terutama dalam latihan dan latihan semula bagi meningkatkan daya saing Malaysia di pasaran antarabangsa (Noor Azizah dan Zalinah, 2005).

Pada tahun 1970, satu daripada dua isi rumah dikategorikan sebagai miskin (Ozay Mehmet, 1988). Kini, kadar kemiskinan di luar bandar telah pun berkurangan daripada 14.8 peratus pada tahun 1999 kepada 11.9 pada 2004.  

Walaupun kadar kemiskinan di kawasan luar bandar berkurangan, namun kemiskinan masih ketara sebagai fenomena luar bandar dengan 70.6 peratus daripada isi rumah miskin tinggal di kawasan luar bandar (Malaysia, 2006). 

Fenomena kemiskinan boleh dilihat daripada pelbagai dimensi antaranya ekonomi, sosiobudaya, agama, pendidikan, kesihatan, temporal, ruang, gender, alam sekitar dan sebagainya.


 

Friday, March 07, 2014

Ucapan Perdana Menteri pada Sidang Kemuncak Dialog Ekonomi Kebangsaan

 
 
 
 



 Tuan-tuan dan Puan-puan

1. Saya mengucapkan terima kasih kepada BERNAMA dan ASLI atas penganjuran Sidang Kemuncak Ekonomi ini dan menjemput saya untuk berucap. 

2. Sejak beberapa bulan lepas, ekonomi Malaysia menjadi topik hangat. Semua orang bercakap mengenai subsidi, tol dan cukai. Ahli politik dan golongan cerdik pandai membuat pelbagai kenyataan mengapa harga semakin meningkat atau apa yang kita perlu lakukan.

3. Saya faham rakyat merasakan tekanan akibat peningkatan kos. Saya menyedari rakyat mendapati harga semakin naik, namun mereka tidak mengetahui puncanya. Saya sedar sebahagian rakyat menganggap kita terlalu banyak membuat pembaharuan, terlalu pantas.

4. Itu sebab saya mahu mengambil peluang ini untuk bercakap secara terus dengan rakyat. Hari ini, saya akan menjelaskan cabaran yang dihadapi negara, mengapa kerajaan perlu bertindak dan apa yang dilakukan untuk membantu. Saya akan menunjukkan cara kerajaan membangunkan Malaysia yang lebih kukuh dan makmur.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

5. Sejak merdeka, pembangunan ekonomi menawarkan peluang pekerjaan dan prospek yang lebih cerah untuk rakyat Malaysia. Kita lebih sihat, memperoleh pendidikan yang lebih baik dan lebih baik berbanding sebelumnya.

6. Ini semua dicapai hasil kerja keras - dan perancangan baik dan penyampaian berkesan oleh kerajaan. Berdasarkan sejarah negara, kerajaan telah memacu pertumbuhan negara menerusi pelan strategik bagi memastikan ekonomi berada pada kedudukan yang baik.

7. Pendekatan ini berjaya. Sejak tiga puluh tahun, kadar kemiskinan secara menyeluruh turun 97 peratus. Kita berjaya membasmi kemiskinan tegar. Jangka hayat telah meningkat sebanyak 7 tahun, purata persekolahan sudah meningkat sebanyak 5 tahun. Sejak 1992, pendapatan isi rumah meningkat tiga kali ganda. Kita sudah mencatat perbezaan sebenar -- terhadap prospek rakyat biasa dan kehidupan golongan paling miskin dalam masyarakat.

8. Namun kemajuan ada harganya. Berdekad lamanya perbelanjaan subsidi kerajaan telah meningkat. Pada 2010, kita membelanjakan 15% bajet ke atas subsidi dan insentif. Pada 2012, angkanya mencatatkan 21.4% - atau 44 bilion ringgit. Berikutan harga pasaran telah meningkat, kos subsidi juga turut meningkat dan kebanyakan subsidi ini merupakan subsidi menyeluruh - yang bermakna semua orang menerimanya, termasuk rakyat asing, golongan perniagaan dan jutawan. Ia tidak adil - sebagai contoh, subsidi petrol, lebih besar kereta, lebih banyak manfaat dinikmati.

9. Ini bermakna wang terbabit yang sepatutnya dibelanjakan untuk membina hospital atau sekolah, digunakan untuk membayar bahan api lebih murah untuk pelancong dan ekspatriat. Kos itu semakin meningkat. Pada 2009, defisit bajet - perbezaan antara apa yang kita dapat dan kita belanjakan - sebanyak 6%. Kos subsidi adalah antara faktor yang meningkatkan defisit.

10. Defisit bajet itu sendiri tidak selalunya negatif. Malaysia berada dalam defisit sejak lewat tahun 1990-an, dan ia tidak menghalang kita untuk membangun. Banyak negara berjaya - seperti Jepun - mempunyai hutang yang tinggi.

11. Namun ada masanya apabila hutang dan defisit menimbulkan situasi bahaya. Seperti yang kita ketahui, krisis 1997, perubahan berlaku dengan pantas. Jika prestasi ekonomi global lemah, orang akan berfikir dua kali untuk melabur di negara yang mempunyai defisit yang terlalu besar. Jika pihak yang meminjamkan wang menganggap sesebuah negara tidak mampu membayar hutang, mereka mengenakan kadar faedah yang tinggi. Lebih buruk lagi jika sentimen tidak memihak kepada negara itu, ia boleh mencetuskan perang modal - dan dalam dunia yang saling berhubung kini, ia boleh berlaku dalam sekelip mata.

12. Apabila ini berlaku, keputusannya boleh mengakibatkan kemusnahan. Dalam krisis kewangan baru-baru ini, penarafan kredit beberapa negara di Eropah diturunkan. Kos pinjaman meningkat dan hutang melambung di luar kawalan, menakutkan pelabur asing dan membuat mata wang tertekan. Rakyatlah yang paling teruk menderita.

13. Mereka hilang pekerjaan - di beberapa negara Eropah, satu dalam tiga penduduk menganggur. Mereka hilang jaringan keselamatan dengan kerajaan terpaksa mengurangkan pembiayaan untuk kebajikan rakyat. Mereka hilang kebebasan kerana terpaksa melepaskan kawalan ekonomi kepada IMF.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

14. Sebagai Perdana Menteri, tanggungjawab utama saya ialah untuk melindungi rakyat Malaysia. Saya tidak akan membenarkan kemajuan negara, kesejahteraan rakyat atau kedaulatan negara terancam. Sebab itulah kerajaan bertindak untuk mengawal kewangan negara.

15. Empat tahun lepas, kerajaan melakukan pembaharuan subsidi, mengurangkan bayaran untuk gula dan bahan api. Penjimatan itu bukan sahaja untuk mengurangkan defisit bajet - malah untuk membuka Klinik 1Malaysia dan menyediakan lebih banyak biasiswa untuk pelajar. Dengan beralih daripada subsidi menyeluruh kepada bersasar, kita menggunakan wang itu untuk kesihatan awam dan pendidikan. 

16. Bagaimanapun, kos subsidi terus meningkat dan jelas bahawa kedudukan ekonomi Malaysia menjadi tidak mampan. Para pelabur, bank-bank dan agensi penarafan mula memberi fokus terhadap hutang, defisit Malaysia - selain ke atas perbelanjaan untuk subsidi.

17. Memang kita tertarik untuk mengatakan 'kita tidak perlu bimbang terhadap apa yang difikirkan oleh penganalisis asing - kita hanya perlu memberi tumpuan ke atas usaha untuk menyokong rakyat’. Tetapi isu kritikal ini tidak boleh diketepikan.

18. Seperti negara lain, kita perlukan pelaburan untuk berjaya. Pelaburan asing membantu perniagaan Malaysia berkembang, mewujudkan peluang pekerjaan dan membangunkan ekonomi Malaysia. Ia membantu membina latar langit Kuala Lumpur, tebingan pantai Iskandar dan taman perindustrian Kuantan. Ia membantu membina landasan kereta api dan lebuh raya yang membolehkan kita bergerak ke seluruh negara. Pelaburan asing mewujudkan ratusan ribu pekerjaan dengan gaji tinggi, apabila firma antarabangsa membuka kilang, pejabat dan ibu pejabat di Malaysia. Pelaburan asing penting. Kita perlu memastikan kita terus menarik mereka.

19. Seperti negara lain, kita juga meminjam wang untuk membuat pembayaran seperti jalan baharu atau hospital. Kita membiayai perbelanjaan ini dengan menjual bon kerajaan; janji yang kita akan bayar kemudian.

20. Seperti negara lain, kita mesti bertindak untuk mengukuhkan kewangan. Ini disebabkan pelaburan dan pinjaman bergantung kepada satu perkara: keyakinan. Mereka yang melabur di Malaysia, atau membeli bon kita, sudah pasti mempunyai keyakinan bahawa Malaysia adalah negara yang mampu membayar hutangnya.

21. Ini menunjukkan bahawa kita boleh membuat keputusan yang sukar dan perlu untuk menurunkan hutang dan perbelanjaan, dan menambah pendapatan. Itulah sebabnya pada September tahun lepas, kerajaan mengumumkan langkah lanjut untuk menyusun semula program subsidi dan memperkenal GST - bukan serentak, tetapi program berperingkat-peringkat, bagi mengukuhkan kewangan negara.

22. GST pada 6% cukai ke atas barang dan perkhidmatan berbanding tanggapan sesetengah pihak, akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada dan bukan menambah kadarnya.

23. Banyak barang dan perkhidmatan akan dimasukkan dalam GST, namun banyak yang akan dikecualikan - termasuk makanan asas seperti beras, tepung, dan minyak dan perkhidmatan penting seperti bekalan air di rumah dan pengangkutan awam. Daripada 193 negara di dunia, 160 melaksanakan GST. Kita memerlukan cukai baharu yang lebih adil ini memandangkan hanya 1 dalam 10 rakyat Malaysia membayar cukai pendapatan. Jika ekonomi kita hendak terus berkembang kukuh, kita perlu bukan sahaja mengurangkan perbelanjaan yang tidak produktif, malah juga untuk mempelbagaikan aliran pendapatan, membolehkan kita untuk melabur untuk masa depan. GST akan membolehkan kita meningkatkan perbelanjaan pembangunan. Daripada membayar untuk subsidi, kita boleh menggunakan lebih banyak wang untuk pelaburan yang produktif - ke atas infrastruktur, sekolah dan penjagaan kesihatan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

24. Saya tidak memandang ringan ketika mengambil keputusan untuk mengurangkan subsidi - atau untuk memperkenal GST. Saya berfikir panjang dan mendalam tentang risiko dan kesan yang mungkin timbul kepada rakyat. Namun saya memutuskan bahawa kerajaan perlu bertindak: untuk menjamin keselamatan masa depan, kebebasan dan pertumbuhan negara. 

25. Malaysia sedang melakukan perjalanan. Destinasinya jelas: status negara berpendapatan tinggi. Sama seperti mana-mana perjalanan, mungkin ada beberapa halangan di sepanjang jalan. Kita mungkin perlu menyesuaikan laluan bagi mengelak halangan. Namun destinasi kita tidak berubah.

26. Apabila kabinet meluluskan pembaharuan subsidi, kami melakukannya hasil cadangan kukuh daripada Perbendaharaan, Bank Negara dan Unit Perancang Ekonomi. Kita melakukannya dengan mata tertumpu kepada destinasi akhir.

27. Mentadbir adalah tindakan untuk membuat keputusan yang betul untuk esok dan bukan hanya untuk hari ini. Kegagalan untuk bertindak sekarang adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab. Sebagai ahli politik, memang mudah untuk menabur janji manis, menawarkan apa sahaja yang dikehendaki rakyat dan menangani akibatnya kemudian. Namun kepimpinan adalah untuk membuat apa yang betul dan bukan apa yang mudah. Jika kita silap membuat keputusan sekarang, pembangunan akan terjejas. Saya bersedia meletakkan kepentingan jangka panjang negara mengatasi populariti jangka pendek saya. Saya yakin pembaharuan ini akan berjaya. Rekod ekonomi kita membuktikannya.

28. Dalam tahun-tahun sukar, kerajaan mengekalkan ekonomi kita dalam keadaan selamat dan kukuh. Apabila saya mengambil alih jawatan, dunia sedang menghadapi krisis kewangan yang sukar. Banyak negara di ambang bencana. Namun ekonomi negara terus berkembang. Sejak 2009, KDNK kita berkembang pada kadar purata 5.7% setiap tahun dan pendapatan isi rumah 24% lebih tinggi. 

29. Pembaharuan subsidi terkini disambut baik oleh pelabur dan agensi penarafan. Defisit bajet kita turun: ia kini pada 3.9%, lebih rendah daripada sasaran kita sendiri. Kita dalam perjalanan ke arah bajet seimbang pada 2020. Walau apa pun yang diperkatakan oleh penganalisis politik, ekonomi Malaysia terus berkembang. 

30. KDNK meningkat 5.1% pada suku yang lepas - lebih tinggi daripada yang dijangkakan. Jualan runcit, pembinaan, perdagangan dan eksport semakin meningkat. Tahun lepas menyaksikan dagangan mencatat rekod, tertinggi dalam sejarah - begitu juga dalam pelaburan asing, yang mengembangkan perniagaan Malaysia, termasuk perusahaan kecil dan sederhana yang memberi pekerjaan kepada berjuta-juta rakyat Malaysia.

31. Pertumbuhan dan pelaburan ini menambah bilangan pekerjaan dan peluang baharu. Selain angka yang tinggi, kehidupan isi rumah Malaysia juga bertambah baik, gaji purata terus meningkat: gaji tahun lepas meningkat secara purata sebanyak 6%, lebih tinggi daripada inflasi pada 2.1%.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

32. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, keadaan kini semakin baik. Namun saya tahu bahawa ia tidak begitu. Saya memahami bahawa pertumbuhan KDNK dan aliran ekonomi nampak tidak relevan ketika isi rumah cuba untuk meneruskan kehidupan. Jadi biar saya jelaskan apa yang sedang kita lakukan untuk membantu.

33. Pertama, kerajaan akan terus membantu rakyat Malaysia menangani kos sara hidup. Tahun ini, kerajaan akan membelanjakan lebih 40 bilion ringgit untuk subsidi makanan, bahan api dan pendidikan dan sokongan untuk isi rumah berpendapatan rendah. Dengan beralih daripada subsidi menyeluruh kepada subsidi bersasar, kita akan memperoleh nilai yang lebih baik untuk wang. 

34. Tahun ini, pembayaran BR1M mencecah 7 juta rakyat Malaysia, termasuk buat pertama kalinya mereka yang berpendapatan antara 3,000 ringgit dan 4,000 ringgit sebulan. BR1M adil dan progresif - ia diberikan atas dasar keperluan sahaja dan ia memenuhi matlamatnya: sejak pembayaran terakhir, pendapatan bulanan kira 17,000 rakyat telah meningkat dan mereka telah keluar daripada golongan berpendapatan rendah.

35. Sepanjang lima tahun akan datang, kami akan meningkatkan BR1M kepada 1,200 ringgit setahun, untuk membantu menampung kos hidup yang meningkat. Kerajaan menawarkan bantuan kewangan sehingga 30,000 ringgit untuk membina rumah kos rendah baharu yang dibina menerusi skim MyHome, untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia mendiami rumah moden yang lebih selamat. Kerajaan membuka kedai-kedai 1Malaysia untuk membantu kos barangan asas dan Klinik 1Malaysia untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang berpatutan. Kerajaan telah memperkenalkan gaji minimum untuk melindungi golongan berpendapatan rendah dan menjamin standard asas hidup.

36. Kerajaan juga membantu isi rumah berpendapatan sederhana, menerusi pengurangan cukai 1%, dan pengecualian cukai 2,000 bagi mereka yang berpendapatan sehingga 8,000 ringgit sebulan. Kami sedang berunding dengan majikan untuk memastikan mereka memain peranan. Pekerja Malaysia membawa pulang sekitar satu pertiga daripada KDNK sebagai gaji; dalam ekonomi maju, angkanya hampir kepada separuh. Rakyat dan kerajaan melabur untuk masa depan Malaysia - syarikat mesti turut serta dan membuat sumbangan dengan memastikan jurang gaji antara anggota lembaga pengarah eksekutif dan di pekerja kilang tidak berbangkit.

37. Berikutan lebih ramai rakyat Malaysia melanjutkan pelajaran tinggi, kita telah memulakan siri projek intensif untuk membantu graduan memulakan kerjaya mereka. Dalam jangka hayat mereka, siswazah akan memperoleh gaji lebih tinggi berbanding bukan siswazah, namun agak sukar untuk memadankan kemahiran dengan keperluan. Oleh itu kerajaan melaksanakan program seperti Skim Latihan 1Malaysia dan KATA 1Malaysia untuk meningkatkan kemahiran graduan dan mempersiapkan mereka untuk mula bekerja.

38. Kerajaan juga memberikan tumpuan ke arah menjadikan kerajaan lebih cekap. Ketua Setiausaha Negara bertindak atas Laporan Ketua Audit Negara 2012: mengurangkan kos bekalan elektrik kerajaan sebanyak lima peratus, mengurangkan kos pengangkutan dan memotong bajet keraian untuk menteri. Kecekapan kita secara keseluruhannya semakin meningkat menerusi program transformasi kerajaan.

39. Kerajaan juga meningkatkan usaha dalam memerangi rasuah. Rasuah sudah lama wujud dan memeranginya menjadi keutamaan saya. Jika kita mahu berjaya sebagai sebuah negara dalam usaha ini, kita mesti bekerja bersama-sama merentas jurang politik untuk menjadikan rasuah tidak diterima masyarakat. Dalam kerajaan, sebagai contoh, perolehan kini kebanyakannya melalui tender terbuka dengan beberapa rundingan terus. Rasuah perlu ditangani di semua peringkat - bukan sahaja 'ikan besar', malah rasuah peringkat rendah yang menjejaskan kehidupan seharian rakyat.

40. Ada yang mengatakan jika kita dapat menghapuskan rasuah- semalaman- kita tidak memerlukan pembaharuan subsidi atau GST. Namun kita mesti jujur. Kita tidak boleh memetik jari dan rasuah lenyap dalam sehari, sebulan atau setahun. Oleh itu kita mesti menangani rasuah, menyusun semula subsidi dan memperkenal GST untuk menjadikan bajet simbang.

41. Hong Kong sebagai contoh. Pada tahun 1970-an, ia dibelenggu rasuah; hari ini ia adalah antara bandar raya di dunia yang tahap rasuahnya paling rendah. Namun kejayaan ini mengambil tempoh berdekad lamanya. Ya, kita mesti menangani rasuah, ya... kita mesti menyusun semula kewangan. Kecuali kita sama-sama bertindak, ekonomi akan lemah dan pelabur dan peminjam akan berfikir dua kali untuk melabur di Malaysia.

42. Kerajaan juga terus menangani kenaikan harga. Langkah yang kita ambil sudah membuahkan hasil. Kami memberi tumpuan ke atas paparan untuk memastikan tidak berlaku kenaikan harga. Jika mendapati harga meningkat lebih tinggi daripada sepatutnya, kerajaan tidak teragak-agak untuk campur tangan dan melindungi pengguna Malaysia. Suruhanjaya Persaingan Malaysia akan terus melindungi proses persaingan untuk manfaat perniagaan, pengguna dan ekonomi.

43. Kerajaan juga menyediakan tenaga kerja untuk memacu industri baharu. Program transformasi kerajaan bukan sekadar angka; ia membabitkan usaha untuk mewujudkan pekerjaan baharu dan menyiapkan rakyat Malaysia untuk merebut peluang baharu yang muncul. Enam tahun lepas, ramai yang bekerja di ladang. 30 tahun lepas, di kilang. Hari ini ramai yang bekerja di pejabat. Kita mesti bersedia untuk anjakan berikutnya. Pekerjaan untuk masa depan- pekerjaan untuk anak-anak kita - pelaburan dan kemahiran baharu.

44. Contohi kisah Kabilah Hussein, petani rumput laut di Sabah. Beberapa tahun lepas, beliau berhempas-pulas mencari wang untuk kelangsungan hidup. Namun selepas mengiklankan perniagaannya dalam talian, beliau kini memberi pekerjaan kepada hampir separuh penduduk kampung dan menjual produk ke seluruh dunia. Saya mahu lebih ramai Kabilah yang mampu meraih manfaat peluang baharu. Ialah sebenarnya yang diharapkan menerusi program transformasi ekonomi.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

45. Saya tahu rakyat bimbang tentang kenaikan harga. Kerajaan selalu berkata bahawa harga akan meningkat apabila pembaharuan subsidi berkuat kuasa. Sebabnya perlu diketahui.

46. Jika hutang dan defisit kita terus meningkat dan dibiarkan, ekonomi Malaysia akan menghadapi risiko, menjejaskan kehidupan dan pendapatan berjuta-juta orang. Kerajaan bertindak kerana jika tidak, ia merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab.

47. Sejak merdeka, kita telah mencapai kejayaan besar. Namun kita tidak boleh selesa dan mengambil mudah kejayaan. Ekonomi boleh berubah semalaman; kita mesti bersedia. Kita mesti berjimat hari ini, supaya kita lebih kuat esok. Kita perlu berbuat demikian berdasarkan terma kita sendiri. Seperti pepatah: 'sediakan payung sebelum hujan'. 

48. Pembaharuan subsidi adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang berhati-hati dalam memastikan ekonomi yang lebih adil, kukuh dan lebih stabil. Ini bermakna rakyat akan terus melabur dalam perniagaan Malaysia dan mewujudkan peluang pekerjaan di negara ini. Ini bermakna pembangunan luar biasa Malaysia akan diteruskan, dengan lebih banyak peluang untuk anak-anak kita serta taraf hidup yang lebih baik untuk semua. Perancangan itu berjalan lancar.

49. Kerajaan memahami kebimbangan rakyat dan kerajaan akan membuat penyesuaian dasar apabila perlu. Sama seperti memandu di lebuh raya, jika ada trafik di hadapan, anda menukar gear dan berubah laluan; namun destinasi kita tetap sama.

50. Destinasi kita tidak berubah. Kita semakin hampir merealisasikan status negara maju. Jika kita ada komitmen, bersama-sama, untuk membangunkan ekonomi yang kukuh untuk Malaysia, ganjarannya hebat. Dengan beralih kepada subsidi menyeluruh kepada subsidi bersasar, kita membantu negara untuk kekal pada kedudukan untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. Dengan memastikan kewangan terkawal, kita melabur untuk masa depan - keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita.

51. Terima Kasih.


(Utusan Malaysia, 7 Mac 2014)

Friday, February 28, 2014

Keluarga angkat Polis Pulau Pinang

 
 
 
 
(nst.com.my)
 

Kesediaan Kontinjen Polis Pulau Pinang menjadikan ibu tua berusia 100 tahun, Meliah Md Diah dan Abd. Rahman Saud yang berusia 62 tahun yang juga orang kurang upaya sebagai keluarga angkat amat menyentuh hati. Kisah kedua-dua beranak ini pernah disiarkan oleh akhbar.

Mereka berdua tinggal di Kampung Bukit Nambua, Belimbing Kanan, Padang Terap, Kedah. Tentu ada kisah di sebalik kesediaan Datuk Abdul Rahman Hanafi, Ketua Polis Pulau Pinang membuat keputusan itu selepas yang melawat keluarga berkenaan.

Kita boleh bayangkan ketabahan ibu menjaga anaknya yang perlukan jagaan rapi ini. Mungkin ada orang kampung yang mengambil berat keluarga ini namun tentulah bantuan berkenaan terhad kerana orang kampung juga perlu menjaga keluarga masing-masing.

Huluran tangan kontinjen polis ini sedikit sebanyak membantu kedua-dua beranak menguruskan hidup dengan lebih baik. Contohnya dari segi keperluan makan minum dan pakaian. Perhatian ke atas pemakanan sangat penting kerana si ibu tentu perlukan makanan yang sesuai dengan tahap umur manakala anaknya perlukan makanan khusus untuk perkembangan fizikal. 

Begitu juga dengan pemeriksaan kesihatan. Selepas ini kesihatan kedua-duanya akan lebih diberi perhatian kerana pihak polis sudah tentu ingin melihat mereka berdua dalam keadaan sihat dan ceria. Mungkin si anak perlu disediakan kerusi roda, tempat mandi yang istimewa dan juga peralatan mandian yang sesuai. Jika semua dapat disediakan, kehidupan Makcik Meliah dan anaknya akan lebih bererti.

Bagi masyarakat awam, mereka juga boleh membantu dengan memberi pelbagai bantuan memenuhi keperluan harian seperti beras, pakaian, lampin pakai buang dan tambah baik infrastruktur rumah supaya sesuai dengan keadaan kedua-dua beranak.

Kontinjen Polis Pulau Pinang boleh dijadikan contoh dalam mendekatkan keprihatinan polis terhadap golongan masyarakat yang kurang berkemampuan. Walaupun akan melibatkan kos kewangan dan masa untuk memberi perhatian kepada kedua-dua beranak ini, kita yakin Datuk Abdul Rahman dan semua anggota polis Pulau Pinang akan berasa puas selepas melihat kehidupan keluarga angkat mereka bertambah baik dan sejahtera.



Friday, December 27, 2013

Jasin perkasa tulisan jawi






Keputusan Majlis Daerah Jasin, Melaka yang akan memperkenal tulisan jawi secara berperingkat-peringkat di kawasan jajahan itu amat membanggakan. Selain mengukuhkan kembali tulisan jawi, tindakan itu juga dilihat dapat memastikan syiar Islam terus ditonjolkan dalam masyarakat Jasin.

Pengenalan tulisan jawi di premis pentadbiran majlis daerah itu menjadi permulaan kepada penggunaan jawi di premis perniagaan, bangunan dan jalan-jalan utama.

Walaupun dilihat kecil keputusan ini, ia memberi impak besar kepada pecinta tulisan jawi dan bangsa Melayu kerana bahasa dan tulisan orang Melayu ada hubungan yang akrab dengan Islam. Secara langsung, menonjolkan apa-apa syiar yang ada kaitan dengan Islam akan turut menaikkan imej dan maruah orang Melayu.

Di Asia Tenggara, selain Brunei, negeri-negeri di Malaysia ada yang telah menetapkan tulisan jawi di papan-papan tanda peniagaan dan jalan raya. Di Kelantan dan Terengganu, penggunaan tulisan jawi ini telah lama dilaksanakan.

Terdapat tafsiran yang berbeza berkaitan tulisan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi Perkara 152 berkaitan bahasa Melayu sebagai bahasa persekutuan. Ada tafsiran yang mengaitkan bahasa tersebut dengan tulisan rumi kerana bahasa Melayu boleh ditulis sama ada dengan tulisan jawi atau tulisan rumi. Ada tafsiran lain mengatakan tulisan jawi sepatutnya didahulukan. Bagaimanapun dalam urusan harian, sistem pendidikan dan maklumat, masyarakat Malaysia lebih selesa dan senang dengan tulisan rumi bahasa Melayu.

Dengan semangat yang dizahirkan oleh Majlis Daerah Jasin ini, kita boleh jadikan azam tahun 2014 untuk memperkasa penggunaan tulisan jawi di semua tempat. Kesedaran masyarakat yang semakin baik terhadap kepentingan tulisan jawi tentu akan mendorong lebih banyak pihak tampil untuk menggunakan tulisan ini dalam urusan harian mereka.

Saturday, May 25, 2013

Intervensi keluar daripada lingkaran kemiskinan




 
Kadar bayaran balik hutang pinjaman sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) adalah tinggi iaitu lebih daripada 99 peratus. Justeru, dalam mengusahakan perniagaan peruncitan, perikanan dan pertanian yang dibantu oleh AIM, peserta-peserta ini mampu mengembangkan perniagaan masing-masing dan mencapai perolehan hasil pendapatan yang lebih baik. 
 
Perniagaan menggunakan model ini membantu sahabat AIM keluar daripada belenggu kemiskinan dengan memperoleh pendapatan purata antara RM3,000 atau RM3,500 ke atas sebulan hasil daripada pembiayaan yang disalurkan AIM. 

Jumlah peserta AIM ketika ini ialah 330,000 seluruh negara dan sasaran itu akan ditingkatkan kepada 500,000 pada 2015.

AIM telah melaksanakan konsep Qard Hassan sejak 25 tahun lalu bagi menggerakkan minat dan kecenderungan sahabat AIM untuk keluar daripada lingkaran kemiskinan melalui perusahaan yang dipilih. Mereka diberi pembiayaan dengan peruntukan bersesuaian. Tahun ini AIM menggunakan konsep Tawarruq  dengan menyediakan pinjaman modal antara RM3,000 hingga RM50,000 bersama institusi kewangan Islam terpilih.
 

Wednesday, March 20, 2013

Malaysia negara kebajikan




Kemakmuran Malaysia


Pencapaian kadar kemiskinan sangat membanggakan bagi Malaysia. Sejak merdeka hingga kini, program pembasmian kemiskinan telah menunjukkan perubahan yang ketara ke atas kelompok miskin khususnya di luar bandar.
 
Dalam pembentangan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara, Datuk Sri Najib Tun Razak menyatakan kadar kemiskinan telah menurun daripada lebih 60 peratus pada awal kemerdekaan kepada 1.7 peratus pada tahun 2012 lalu. Angka ini sangat signifikan dengan usaha dan peranan yang dimainkan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan selama ini.
 
Mengurangkan kadar kemiskinan merupakan matlamat dalam negara kebajikan (welfare state). Pierre Pestieau (2006) menyatakan pandangannya dalam buku The Welfare State in the European Union: Economic and Social Perspectives dengan memberi dua sebab utama idea negara kebajikan dilaksanakan iaitu, pertama adalah mengurangkan kemiskinan, dan kedua adalah menyediakan perlindungan kepada rakyat. Namun begitu, terdapat institusi lain yang menyokong peranan bagi mencapai matlamat kedua-dua inisiatif tersebut seperti pasaran dan isi rumah. Contohnya ialah menyediakan gaji minimum atau bantuan kewangan yang berpatutan.
 
Fungsi negara kebajikan bukannya sebagai halangan kepada berbelanja sebaliknya berada di bawah undang-undang dan peraturan tertentu. Ia perlu dikawal supaya tidak memberi beban dan implikasi buruk kepada pasaran dan isi rumah itu sendiri.
 
Laporan yang dibentangkan itu menunjukkan ciri-ciri negara kebajikan telah pun terserlah di Malaysia. Ia memberi kelegaan kepada pembangunan negara kerana mengurangkan ketakpastian dan memberi pengaruh yang positif kepada ekonomi. Walau bagaimanapun konsep negara kebajikan pada masa akan datang sedang berhadapan dengan konteks yang lebih besar dan dominan iaitu perpecahan keluarga, persaingan cukai, globalisasi dan penguncupan pasaran buruh.
 
Penggerak utama negara kebajikan bergantung kepada struktur insentif yang mengepalai produktiviti dan agihan. Contohnya ialah dana yang disediakan oleh kerajaan belum tentu sampai kepada kumpulan sasar jika struktur operasinya terlalu banyak proses dan dokumentasi. Pilihannya ialah menyediakan struktur insentif dalam bentuk perkhidmatan yang mengguna pakai beberapa sumber pembiayaan.
 
Di Malaysia, kejayaan mengurangkan kadar kemiskinan telah disokong oleh komitmen politik yang stabil dan dasar-dasar yang diperkukuh dari semasa ke semasa. Sokongan politik membantu kelancaran program yang disusun dan diagihkan serta-merta. Kementerian dan agensi kerajaan berganding bahu dengan pertubuhan bukan kerajaan menyediakan pelan pembasmian kemiskinan dengan mengutamakan kumpulan sasar yang dikenal pasti melalui portal e-Kasih. Justeru, lebih 100,000 orang berjaya dikeluarkan daripada belenggu kemiskinan dalam tempoh tiga tahun di bawah program tersebut.
 
Proses transformasi dalam negara kebajikan bukannya mudah. Ia berhadapan dengan beberapa pilihan dan tindakan yang sukar. Perkara utama ialah memasukkan manfaat yang bakal diterima oleh kumpulan sasar supaya sokongan kepada parti pemerintah terus diperkasa. Kedua ialah komitmen. Penting bagi negara kebajikan untuk menunjukkan komitmen dalam memenuhi beberapa tanggungjawab. Sesetengah orang mahu mengetahui bagaimana program perlindungan sosial pada masa hadapan namun pada masa yang sama mereka juga perlu menerima beberapa perubahan drastik dalam ekonomi atau teknologi.
 
Memansuhkan beberapa faedah untuk menyelesakan hidup rakyat boleh menyebabkan  tahap kecekapan sosial menurun. Justeru, memahami konsep negara kebajikan menjadi sangat penting supaya negara tidak dibebankan dengan kos dan salah perkiraan. Negara kebajikan tidak seperti dinasor tetapi boleh jadi seperti Titanic. Hanya kefahaman dan perancangan yang jelas dapat membawa kemakmuran kepada rakyat.

 

Monday, August 06, 2012

Nilai dan kepercayaan terhadap kemiskinan







Nilai dan kepercayaan tentang kemiskinan mempengaruhi kaedah yang dipilih untuk mencegah kemiskinan. Idea kepercayaan ini dapat dikelompokkan dalam tujuh kategori iaitu pengajaran agama tentang kebajikan, kemiskinan adalah jenayah, kemiskinan sebagai motivasi hidup, pendekatan modal insan, budaya kemiskinan, peluang-peluang yang terhalang dan miskin selama-lamanya. 

Pengajaran agama tentang kebajikan

Kebajikan menjadi sebahagian daripada topik penting dalam ajaran agama-agama di dunia. Buddhisme mengajar bahawa “emancipation of the art through love and charity” adalah lebih baik daripada menjadi warak. Dalam Islam, kebajikan adalah kerana Allah dan tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima. Agama Yahudi melihat orang miskin wajar menerima keadilan iaitu orang miskin ada hak untuk menerima kebajikan. Manakala dalam Kristian, mengambil berat hal ehwal orang miskin adalah berkaitan dengan keadilan dan kebajikan. 

Pendekatan agama dalam kemiskinan tidak cuba menerangkan kenapa sesetengah orang miskin dan sesetengahnya tidak miskin. Kemiskinan dilihat sebagai keadaan masyarakat keseluruhan bagi menawarkan peluang dan melaksanakan kebajikan dalam pelbagai bentuk. Pandangan ini amat bertentangan dengan pendekatan yang melihat kemiskinan sebagai jenayah.

Kemiskinan adalah jenayah

Tindak balas yang lebih keras terhadap kemiskinan adalah kepercayaan bahawa sebahagian daripada orang miskin adalah pemalas dan perlu dihukum untuk mengatasi masalah hidup mereka. Kumpulan miskin yang dimaksudkan ini ialah individu yang sihat tetapi tidak mahu bekerja. Salah satu pendapat Alexis de Tocqueville selepas melawat Amerika Syarikat sebagai sebuah sebuah negara baru ialah terdapat hanya satu jenayah di negara itu iaitu menjadi miskin. Di England, pada abad ke-16, individu yang sihat tetapi menjadi peminta sedekah dikenakan hukuman sebat. 

Pendekatan moden terhadap orang miskin jarang sekali bersifat demikian. Orang miskin hari ini tidak lagi disebat tetapi dimalukan dan dipisahkan seperti tindakan pejabat kebajikan New York dalam notis di pintu pejabat: “Tidak kira pukul berapa temu janji anda, jika anda tidak berada di sini ada pukul 8.30 pagi, anda tidak akan dilayan.”

Kemiskinan sebagai motivasi

Sesetengah pihak berpendapat tidak ada kemiskinan individu sebaliknya kemiskinan di peringkat keluarga, komuniti dan negara keseluruhannya. Namun, individu tidak dibiarkan menghadapi saat-saat miskin seorang diri dan tidak pula diasing dan dibeza-bezakan. Konsep kemiskinan sebagai satu bentuk motivasi sangat diberi perhatian dalam ekonomi kapitalis kerana mereka perlukan kelompok miskin untuk memenuhi pasaran buruh. Kuat bekerja dan ada sifat malu dikaitkan dengan pengangguran adalah faktor pendorong yang membuatkan pekerja sanggup menerima gaji yang lebih rendah dan bersedia untuk bekerja dalam suasana kurang selesa. 

Pendekatan modal insan 

Sesetengah pihak pula menghuraikan dengan panjang lebar bahawa kemiskinan amat akrab dengan kemahiran, pendidikan dan pengalaman ataupun diistilahkan sebagai “modal insan” yang dibawa oleh seseorang ke dalam pasaran kerja. Menurut pandangan ini, orang miskin adalah mereka yang tidak punya atau tidak cukup kemahiran dan pengalaman kerja. Kedua-duanya iaitu individu atau komuniti tidak bertanggungjawab terhadap kemiskinan.

Dengan kepesatan perubahan teknologi, pekerja perlu sentiasa mengembangkan kemahiran-kemahiran baru, jika tidak, mereka tidak dapat bersaing dalam pasaran kerja dan kebarangkalian untuk dibuang kerja sentiasa ada. Seterusnya, pekerja ini mendapat gaji yang rendah dan dikatakan “dead end” iaitu tidak mendapat pendidikan atau latihan kemahiran yang boleh mendorong ke arah mendapat kerja yang lebih baik. 

Pengukuran tahap pendidikan dengan kadar kemiskinan seringkali menjadi perhatian. Jelas, orang yang berpendidikan tinggi menikmati risiko yang amat rendah untuk menjadi miskin. Satu cara yang popular untuk menguragkan kemiskinan melalui konsep ini ialah intervensi yang dikaitkan dengan latihan dan pendidikan kepada kelompok miskin. Pendekatan ini sangat berkesan dalam negara yang sedang berkembang maju khususnya negara dunia ketiga yang masih berusaha menyediakan peluang pendidikan kepada rakyat masing-masing.

Budaya kemiskinan 

Istilah budaya kemiskinan telah dicetuskan oleh Oscar Lewis, seorang pengkaji yang membuat kajian ke atas keluarga miskin di Mexico dan Puerto Rico. Baginya, budaya kemiskinan ialah penyesuaian dan tindak balas orang miskin terhadap peminggiran hidup dalam kelas sosial komuniti, bersifat individu dan cenderung kepada ekonomi kapitalis. Ia mewakili suatu usaha yang dicakupi oleh sifat tidak ada harapan dan kecewa yang terbina daripada keadaan tidak berupaya mencapai kejayaan mengikut nilai dan matlamat komuniti yang lebih besar. 

Budaya kemiskinan dilihat sebagai set nilai yang muncul dalam konteks tidak ada harapan. Nilai-nilai ini merangkumi orientasi masa kini yang nampaknya perlu diberi perhatian dalam jangka masa panjang. Pandangan ini melihat kemiskinan disebabkan oleh sifat malas, persepsi hidup yang singkat dan tidak ada kegembiraan. Tingkah laku miskin yang ditunjukkan adalah penyesuaian terhadap kehidupan yang turun-temurun dalam kemiskinan.

Antara tingkah laku ini penagihan dadah, hamil di luar nikah dalam kalangan remaja, jenayah dan kegagalan rumah tangga. Mangsa kemiskinan tidak dapat menggunakan peluang yang ada disebabkan oleh tidak mampu lagi membaiki kerosakan dalam budaya hidup mereka. Keinginan untuk merancang masa depan hampir tidak ada kerana nilai-nilai tadi telah mempengaruhi pemikiran mereka. Jalan keluar kepada budaya ini ialah pendidikan kepada generasi muda dan mengajar kanak-kanak tentang nilai-nilai baru yang lebih baik. 

Halangan peluang 

Teori ini muncul pada abad ke-21 yang memberi tumpuan kepada halangan-halangan struktur yang menyekat individu daripada mendapat pendidikan dan pekerjaan untuk memperoleh pendapatan. Konsep ini melihat terdapat diskriminasi institusi berasaskan gender, bangsa atau ciri-ciri lain yang menghalang kepada pencapaian pendapatan yang meningkatkan risiko kemiskinan. 

Antara anggapan ini ialah ketua ini rumah wanita lebih banyak halangannya berbanding lelaki, bangsa selain Caucasians lebih miskin, orang kurang upaya cenderung berpendapatan kurang dan kanak-kanak yang membesar tanpa cukup pemakanan menghadapi kemungkinan miskin adalah lebih besar. 

Miskin selama-lamanya 

Idea ini tidak unik dalam abad ke-20. Di bawah konsep ini, sistem kebajikan mewujudkan “pauper” atau orang miskin selama-lamanya iaitu kepercayaan bahawa kebajikan tidak melenyapkan kemiskinan tetapi menyebabkan kemiskinan dengan membentuk sikap bergantung kepada sistem yang memusnahkan keinginan untuk bekerja. 

Ancaman besar kepada dasar kemiskinan ialah hubungan yang sangat rapat antara nilai dan kepercayaan serta kerangka intervensi untuk mencegah atau menghalang kemiskinan. Apabila kemiskinan dilihat sebagai peluang untuk lebih ramai merasai keselesaan hidup, kebajikan dilihat dengan pandangan terbuka. Apabila kemiskinan dilihat sebagai satu jenayah, tindak balasnya ialah hukuman. Jika kemiskinan adalah sebagai motivasi yang mendorong kepada pekerjaan, ia satu tindakan sangat penting.

Jika kemiskinan adalah hasil daripada pengehadan kepada sumber manusia, jawapannya adalah pendidikan dan latihan kepada orang miskin. Jika wujud budaya kemiskinan, nilai dan kepercayaan dalam diri kanak-kanak  dan orang dewasa dengan pendapatan rendah mesti diubah. Jika kemiskinan adalah hasil daripada peluang yang terhad, mendapat kesaksaman peluang dapat meleraikan masalah ini. Jika kemiskinan disebabkan oleh kebajikan, jadi, dasar sosial harus mengurangkan penderitan orang miskin.