Showing posts with label Kualitatif. Show all posts
Showing posts with label Kualitatif. Show all posts

Thursday, August 28, 2014

Temubual pemandu pelancong






Soalan (S): Boleh terangkan sedikit mengenai latar belakang bapak khususnya berkaitan pendidikan, perniagaan yang dilakukan dan keadaan kesihatan ketika ini.

Bapak Edi (BE): Saya bergerak dalam sektor ini sejak tahun 1992. Belajar di sekolah SMA atau setaraf dengan SPM di Malaysia. Berumur 42 tahun dan bertahan dalam sektor ini atau industri ini yang cukup menjanjikan kerana saya minat dalam bahasa, minat dalam budaya, dalam sosial dan lain-lain lagi. Saya juga suka membaca.

Saya sudah berkeluarga, saya seorang bapa, anak lima orang, yang sulung sudah 17 tahun. Tahun depan masuk universitilah. Isteri tidak bekerja. Tinggal di kota Bukit Tinggi, Sumatera Barat. Alhamdulillah, saya masih sihat. 

S: Adakah bapak libatkan diri dalam persatuan atau organisasi berkaitan usahawan atau masyarakat sama ada di kawasan tempat tinggal atau di peringkat kabupaten?

BE: Ya, dalam kerjaya kita yang pertama, sebagai seorang pemandu pelancong, kita akan masuk satu organisasi yang namanya HPI (Himpunan Parawisata Indonesia) dalam pelancongan. Kemudian Alhamdulillah, tahun kebelakangan ini saya sudah berusaha sendiri dengan menubuhkan syarikat Platinum Holidays dan ini kita buat untuk tour operator, all over Indonesia dengan satu orang partner.

S: Semasa menjadi ahli HPI, adakah bapak mendapat kerjasama dalam membantu meningkatkan prestasi syarikat?

BE: Ya. Dalam peningkatan, kalau HPI sebuah organisasi dalam syarikat pelancongan. Kalau di Malaysia dikenali dengan nama Matta, kalau di Indonesia dikenali dengan Asita (Asosiasi Travel Agent Indonesia). Kita mendapatkan satu pengarahan informasi dari pemerintah juga bagaimana untuk mengembangkan human resources dan satu usaha ke depan dengan baik.

S: Kalau tidak keberatan, berapakah pendapatan kasar bulanan bapak?

BE:Kalau bidang pelancongan ini ia sangat fluctuate, tergantung pada keadaan dan kekuatan marketing kita. Kalau sebagai pemandu pelancong dapat dalam Rp30 juta dalam sebulan. Itu pun dalam keadaan musimnya. Ada kalanya pemandu pelancong itu tidak bekerja sama sekali. Jadi, kita tidak audit per bulan, kita audit per year.

S: Itu boleh menampung kehidupan keluarga bapak di sinilah?

BE: Pada dasarnya kalau kita bekerja sebagai pemandu pelancong, kita dapat bantu ekonomi keluarga. Jadi, saya salah seorang owner dalam travel agency yang punya satu tanggungjawab yang besar.

S: Adakah bapak masuk dalam organisasi masyarakat yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti seperti memberi sumbangan dari segi idea, kemahiran pada belia-belia untuk libatkan diri dalam perusahaan?

BE: Itu kadang-kadang kalau diminta pada satu organisasi. Organisasi ini menguruskan kita, kita akan memberi sumbangan yang kita boleh. Jadi, organisasi akan mengatur. Kalau ada demand atau sumbangan pemikiran, sumbangan yang berbentuk moral dan material adalah.

S: Semasa melibatkan diri dalam aktiviti masyarakat ini, adakah bapak mendapat kepuasan?

BE: Oh ya, pasti. Memberi dengan ikhlas itu memberi satu kepuasan.

S: Semasa di HPI dulu, adakah kursus-kursus training, seminar untuk tingkatkan kemahiran atau pengetahuan?

BE: Oh ya ada. Banyak kategorinya. Kita mendapat banyak manfaatnya. Apabila kita mendapat pelantikan dan tergantung pada aktivitinya. Kalau ada satu pelantikan yang kita dapat informasinya, kita akan membantu.

S: Apakah yang mendorong bapak hendak berusaha sendiri? Adakah kerana minat, kawan-kawan atau dorongan daripada pemerintah?

BE: Pertama, saya sudah melalui karier ini sejak tahun 1992. I took this is as one of my choice. Dengan segala risiko dan segala keadaan. Saya ingin jadi profesional, sesuai dengan apa yang diinginkan. Jadi, ini adalah pilihan sendiri, bukannya pengaruh orang lain. Saya punya wife juga, dia punya latar belakang adalah pelancongan juga.

S: Sepanjang membuat usaha ini, apakah cabaran yang bapak hadapi?

BE: Oh ya. Yang pertama, dalam bidang marketing kita menghadapi satu pasaran yang kompetitif. Kedua, walaupun di sini, kita kena tunjukkan layanan yang betul-betul, kerana itulah kita menamakan perusahaan ini sebagai Platinum Holidays. Nama ini melambangkan satu tanggungjawab yang berat. Kita tidak akan berkompetitif di dalam harga yang di bawah tetapi kita akan berkompetitif dalam market yang mengengah ke atas. Dalam bidang pelancongan ini servis yang utama.

Yang diberikan adalah kos. Kos ini ada harganya yang special. Jadi, sekiranya kos rendah, kita tidak dapat berikan servis yang dijanjikan, yang terbaik yang dapat memuaskan customer kita.

S: Dari segi pembiayaan, adakah bapak mendapat pembiayaan dari mana-mana pihak atau modal sendiri?

BE: Ya pertama, kita memang menggunakan modal sendiri. Kalau kita bergerak dalam bidang pelancongan ini adalah zero capital. The most important adalah servis. So, how you create the link with the other travel agencies? Then bagaimana kita memberikan servis yang baik. So, nanti capital akan datang sendiri. Boleh dikatakan dengan modal sendiri kita usahakan syarikat kita.

S: Jadi bapak tidak pernah mendapat pembiayaan daripada pemerintah?
BE: Sejauh ini kita belum memulakannya tetapi bank mempunyai satu trust kepada kita. Ya bank melihat kepada akaun kita dan mereka ada satu trust, tapi kita tidak perlukan ketika ini. Mungkin untuk pengembangan, kita akan fikirkan nanti.

S; Berapa ramai staf bapak sekarang ini?

BE: Staf yang di office ada empat orang tetapi kebanyakan kita gunakan freelance agent.

S: Adakah melalui perusahaan in bapak dapat menyimpan modal untuk membeli aset bagi kehidupan keluarga?

BE: Ya ada. Dari modal ini kita sudah dapatkan bangunan sendiri tiga tingkat, sebuah bas dan dua buah can. Our concept is slow but sure, pasti kerana pelancongan ini sangat kompetitif. Apabila kita terlalu gunakan van, kita tidak pasti setiap bulan itu berapa banyak income yang akan dapat kerana ia melibatkan kos dan tambahan pembayaran loan. Jadi, sementara kita ingin bergerak dengan kompetitif, kita bergerak secara wait and see, what we can do, kita buatlah.

S: Apakah harapan bapak dalam industri pelancongan ini untuk bisnes dan pengembangan bisnes ini?

BE: Ya. Kita selalu berfikir tentang pengembangan dan di sini kita selalu buat marketing. Kita juga berharap akan ada satu situasi yang kondusif di Indonesia, yang aman, tertib yang menyebabkan pelancong tidak ragu datang ke Indonesia. This is part of our responsibility. Setiap perkembangan kita sudah bersedia. kita boleh handle all over around Indonesia. Di samping beberapa syarikat yang saling bantu-membantu.


  

Friday, August 15, 2014

Temubual penjual cendol








Soalan (S): Boleh terangkan sedikit mengenai latar belakang makcik khususnya pendidikan, perniagaan yang dilakukan dan keadaan kesihatan ketika ini.


Puan Foziah (PF): Makcik datang dari keluarga susah…kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Macam tu lah keadaannya. Adik-beradik makcik ramai… sepuluh orang. Mak ayah kerja kampung, kami adik-beradik ada yang tak habis sekolah. Makcik sendiri nasib baik sikit, tamat sekolah rendah. Lepas sekolah makcik tolong mak jual nasi lemak…berjalan keliling kampung.

Sekarang ni makcik duduk dengan anak-anak, dua orang. Suami dah meninggal…sakit jantung. Makcik kena bekerja untuk anak-anak makcik. Biar anak-anak berjaya dalam pelajaran.

Selepas suami meninggal, hidup makcik sangat susah. Makcik pernah tinggal di garaj kereta. Macam-macam kerja makcik buat, cari upah. Anak laki-laki ambil upah cuci pinggan, anak perempuan ambil upah sebagai pencuci rambut. Kalau ada orang nak buang barang-barang, kalau masih elok makcik minta untuk anak-anak.

Sebelum ni pun makcik pernah jual cendol tepi jalan tapi tak ada lesen. Pernah cuba mohon dulu tapi tak pernah dapat. Tak tahulah apa sebabnya. Kali ini makcik rasa hidup lebih baik. Bantuan dari pusat zakat untuk perniagaan cendol ni bolehlah makcik start kembali, dengan modal RM500 sudah cukup untuk makcik, lesen berniaga pun dah ada.

Alhamdulillah, kesihatan makcik masih baik, harap-harap Allah bagilah tubuh badan yang kuat untuk makcik bekerja demi anak-anak makcik.


S: Adakah makcik libatkan diri dalam persatuan atau organisasi berkaitan usahawan atau masyarakat sama ada di kawasan tempat tinggal atau di peringkat negeri?


PF: Makcik tak masuk mana-mana persatuan. Macam mana nak masuk, hari-hari nak uruskan perniagaan. Pagi-pagi lagi dah kena urus barang-barang jualan, kemudian jaga gerai sampai ke petang. Lepas tu berkemas dan cari barang lain pula untuk esok.

Kalau di surau tu adalah…dengan kawan-kawan jemaah, tapi tak adalah nak masuk persatuan mana-mana.


S: Pada pandangan makcik, sejauh mana aktiviti dalam masyarakat dapat membantu saudari lebih aktif untuk mengubah keadaan hidup.


PF: Makcik rasa bagus kalau masuk persatuan…macam-macam aktiviti boleh buat. Kalau kita susah, mereka dapat bantu. Tapi kerja makcik sehari suntuk, susah nak joint. Tak ada masa.


S: Adakah makcik merasai perubahan keadaan hidup selepas menyertai persatuan masyarakat seperti menghadiri kursus-kursus berkaitan keusahawanan atau peningkatan kemahiran?


PF: Susah la nak cakap. Setakat ni makcik lebih senang dengan kerja makcik. Mungkin ke depan ni makcik boleh masuk persatuan. Bantuan zakat pun dah cukup.


S: Adakah makcik mempunyai pekerja untuk membantu perniagaan sekarang? Jika ada bagaimana ia membantu pekerja makcik untuk mengubah hidup? Di samping itu apakah cabaran-cabaran yang dihadapi?


PF: Makcik kerja seorang…kadang-kadang anak-anak bantu. Beli barang semuanya makcik dan anak-anak buat. Tak harap bantuan orang lain.

Cabaran yang makcik hadapi sekarang ni keperluan nak bergerak ke sana-sini, nak beli barang, nak hantar cendol. Kadang-kadang ada pelanggan yang minta hantar cendol, mereka beli borong. Jadi kalau makcik ada motosikal rasanya lebih baik sikitlah.

Cabaran lain makcik rasa tempat berniaga kurang ramai orang. Tepi jalan ni kadang-kadang orang fikir kebersihan. Kalau makcik dapat ke kawasan ramai orang, perniagaan cendol ni lebih baik sikit.


S: Adakah makcik mendapat pembiayaan perniagaan untuk menjalankan bisnes ini?


PF: Setakat ni pusat zakat banyak memberi bantuan dan sokongan. Makcik baru dapat gerai tolak ni, mudah sikit nak berniaga. Bantuan lesen berniaga pun mereka bantu dapatkan. Modal yang makcik ada boleh bantu sikit-sikit.

Makcik tak ada pinjam dari mana-mana bank, bantuan dari pusat zakat saja setakat ni. Rasa malu pula nak minta bantuan lagi.


S: Adakah makcik menerima galakan dari mana-mana pihak untuk menyimpan wang atau membeli aset?


PF: Ada…dari pusat zakat sendiri. Mereka bagi sokongan untuk makcik berniaga, beri tunjuk ajar cara nak simpan duit buat modal pusingan. Jual cendol ni pendapatan kecil tapi sikit-sikit lah makcik simpan.

Makcik kena bahagikan pendapatan untuk keperluan harian, untuk anak-anak sekolah.


S: Pada pandangan makcik, hidup telah berubah kerana melibatkan diri dalam perniagaan.


PF: Berubah tu ada, lebih baik. Ada pendapatan sendiri…walaupun tak banyak. Makcik akan terus berusaha. Hidup susah mengajar makcik untuk jimat-cermat.



Sunday, August 10, 2014

Temubual peniaga makanan








Soalan (S): Boleh terangkan sedikit mengenai latar belakang saudara khususnya pendidikan, perniagaan yang dilakukan dan keadaan kesihatan ketika ini.
 
Encik Omar (EO): Saya belajar sehingga peringkat diploma ukur tanah, Universiti Teknologi Malaysia tahun 1972 hingga 1975. Selepas itu saya bekerja dengan Felda selama 20 tahun. Penswastaan Felda menyebabkan saya dipencenkan, jadi saya pencenlah. Felda tubuhkan anak syarikat untuk cari duit sendiri. Saya tak nak. Dapat saja duit pencen, saya berhenti. Lepas tu saya bekerja dengan consultant buat highway, jadi ketua juruukur. Lebih kurang setahun saya kerja dengan consultant ni.
 
Selepas tu saya bekerja dengan developer selama 13 tahun. Saya beralih arah dari juruukur kepada landlaw. Semua urusan tanah saya handle. Apa saja berkaitan tanah, saya handle lah. Sehingga tak ada projek lagi, mereka bagi VSS. Saya ingat nak balik kampung, tapi adik Tan Sri Azman minta saya jaga property selama tujuh tahun. Bila bisnes property pun dah tak ada income, syarikat pun tak boleh bayar gaji saya lagi, saya berhentilah. Saya hanya makan duit pencen.

Mula-mula nak joint bisnes pasar malam, tiba-tiba terjumpa pasar tani Fama dekat sini, buat hari-hari. Tak perlu pindah. Dekat dua tahun dah saya kat sini.
 
Sebenarnya sepanjang hidup saya tak pernah berniaga, inilah kali pertama berniaga.
 
Saya mula berniaga pada September 2012. UTC baru buka beberapa bulan saja. Berniaga ni kalau dapat kena jaga kualiti, pelanggan. Kalau pelanggan ada, kualiti tak ada, pun habis. Masa mula-mula berniaga, sampaikan kalau pelanggan makan, sisa makanan saya perhatikan. Habis ke tak habis. Kalau tak habis, apa sebab agaknya. Dia kenyang atau masakan kita yang tak sedap. Kita kena kaji itu semua. Harga pun kena tengok juga. Apabila orang dapat terima masakan kita, orang pun Insya Allah, sekali makan dan rasa sedap, dia akan datang lagi.
 
Saya tinggal di Bukit Katil, di rumah sewa. Kesihatan saya turun naik. Sebenarnya semasa saya bekerja dengan property company, saya dah ada penyakit jantung. Umur 50 thun dah kena sakit jantung. Saya buat angioblasting tahun 2004. Sepuluh tahun jangka masa. Tahun 2014 kena serang sekali lagi dan masih follow-up dengan IJN. Bypass pada bulan sepuluh lalu. Umur saya sekarang dah 60 tahun.

S: Adakah saudara libatkan diri dalam persatuan atau organisasi berkaitan usahawan atau masyarakat sama ada di kawasan tempat tinggal atau di peringkat negeri?
 
EO: Setakat ini saya tidak libatkan diri dengan mana-mana persatuan usahawan. Fama pun taka da. Cuma melalui pengalaman dan internet. Saya masukkan maklumat perniagaan saya dan iklankan melalui internet.
 
Kalau nak masuk persatuan, saya ingat persatuan peniaga-peniaga nilah. Peniaga-peniaga Fama mungkin ada persatuan tapi tak boleh sangatlah bergantung pada dia.

S: Pada pandangan saudara, sejauh mana aktiviti dalam masyarakat dapat membantu saudara lebih aktif untuk mengubah keadaan hidup.
 
EO: Setakat ni tidak ada kerana masa sudah terlalu banyak pada perniagaan. Waktu berniaga ni lama 10 pagi hingga 10 malam tapi saya kena bersedia lebih awal untuk ke pasar beli barang. Balik malam pun begitu juga. Saya cuba balik dalam pukul 8.30 malam atau 9 malam dan terus ke supermarket. Taka da masa untuk aktiviti dalam masyarakat.

S: Adakah saudara merasai perubahan keadaan hidup selepas menyertai persatuan masyarakat seperti menghadiri kursus-kursus berkaitan keusahawanan atau peningkatan kemahiran?
 
EO: Setakat ni tak ada. Saya banyak joint aktiviti yang dianjurkan Fama seperti kursus kesihatan dan penyediaan makanan.
 
Ha…ha…ha…saya suka kursus penyediaan makanan, itu penting. Lepas tu saya ingat tak nampak kursus lain yang lebih penting.

S: Adakah saudara mempunyai pekerja untuk membantu perniagaan sekarang? Jika ada bagaimana ia membantu pekerja saudara untuk mengubah hidup? Di samping itu apakah cabaran-cabaran yang dihadapi?
 
EO: Saya memang perlukan pekerja sebenarnya tapi nak dapatkan pekerja sangat susah. Saya pernah ada dua orang pekerja sementara. Untuk cari pekerja saya pernah buat iklan dan pamerkan di bus stop. Cari pekerja memang payah dapat sebab syarat penting ialah warganegara Malaysia. Syarat Fama memang ketat iaitu kalau bekerja mesti ambil warganegara Malaysia. Mungkin ada baiknya tetapi kepada peniaga lebih susah. Orang-orang sekarang lelaki dan perempuan lebih suka kerja kilang atau kedai. Nak kerja pembantu gerai ni payah. Mungkin boleh dapat, saya masih lagi berusaha untuk mencari pekerja.
 
Dulu saya ada la pekerja suri rumah tangga buat semetara waktu. Masalahnya masa perniagaan yang panjang. Kalau pedapatan tak seberapa kita pun tak berani nak tawarkan kerja sangat. Habis masa sehari suntuk dekat sini, pendapatan tak seberapa, itu pun payah.
 
Kalau ada pekerja memang dapat majukan perniagaan saya. Paling-paling tidak urusan menyediakan makanan ni cepat. Sekarang saya dengan isteri saja.
 
Cabaran yang dihadapi setakat  ini adalah syarat yang terlalu banyak. Ini pun susah juga. Contohnya kalau diberi permit jual asam pedas, tak boleh buat air, tak boleh tambah menu makanan lain. Apa saja yang nak buat kena minta kebenaran. Kalau tak ada kebenaran maknanya tahun depan dah tak boleh renew permit. Syaratnya terlalu ketat mungkin menyenangkan Fama tetapi bagi peniaga agak susah.
 
Cabaran-cabaran lain saya ingat tak  ada sangatlah.

S: Adakah saudara mendapat pembiayaan perniagaan untuk menjalankan bisnes ini?
 
EO: Setakat ini, orang lain dapat pinjaman Tekun, Amanah Ikhtiar Malaysia, Bank Rakyat dan sebagainya, tapi disebabkan umur saya dah 60 tahun, semuanya tak dapat (ketawa). Usaha dapatkan pinjaman ada tapi dah diberitahu tak layak, jadi tak dapatlah.
 
Kebetulan dulu saya masih ada duit simpanan, boleh la buat modal bisnes.
 
Masa depan saya nak dapatkan van bergerak untuk menjual makanan kerana saya tengok tempat ni tak kekal.

S: Adakah saudara menerima galakan dari mana-mana pihak untuk menyimpan wang atau membeli aset?
 
EO: Setakat ni semangat nak berjaya datang dari diri sendiri. Semasa mula-mula buat bisnes ni, saya terus buka akaun syarikat, dapatkan lesen dari agensi berkaitan untuk persediaan saya.
 
Memang hasrat saya nak kembangkan bisnes ni tapi masalahnya umur saya. Saya hanya harapkan pada orang rumah saya. Tenaga untuk bekerja kuat tak banyak lagi.

S: Pada pandangan saudara, hidup telah berubah kerana melibatkan diri dalam perniagaan.

EO: Bekerja sendiri tak semudah kerja makan gaji. Masa selalunya tak cukup untuk masyarakat dan rakan-rakan. Dalam bisnes ni, saya gunakan pengalaman kerja dulu-dulu untuk pastikan saya boleh berjaya.


Sunday, January 06, 2008

Etika dalam penyelidikan

Isu-isu etika sangat penting dalam penyelidikan sebagai panduan untuk melengkapkan setiap kajian yang dijalankan. Penyelidik yang tidak mematuhi etika penyelidikan akan merosakkan reputasi penyelidikan sosial.

Tingkah laku beretika diberikan perhatian yang serius dalam sains sosial kerana ia melibatkan manusia sebagai subjek. Ia memberi kaitan langsung terhadap kehidupan subjek yang dikaji. Elemen penting dalam etika ini ialah:


Bahasa – penyelidik menyediakan maklumat lengkap dan bahasa yang mudah difahami. Penerangan juga perlu supaya responden memahami apa yang diinginkan oleh penyelidik.

Perasaan responden – beri masa yang cukup untuk responden menjawab soalan dan tidak boleh bertanya soalan-soalan yang memalukan, menyebabkan kekacauan emosi atau pengalaman yang tidak menyenangkan. Secara umum, penyelidik tidak boleh mendedahkan responden kepada tekanan mental atau fizikal.

Etika dalam semua peringkat kajian – penyelidik harus pentingkan etika pemilihan permasalahan kajian, tentukan kaedah penyelidikan, pengumpulan data, penganalisisan data, interpretasi dan melaporkan kajian.

Mengetahui tahap pendidikan responden – mengambil kira tahap pendidikan sampel yang ingin dikaji. Tidak boleh memberi tugas yang tidak wajar atau rumit kepada responden. Keadaan ini jika berlaku akan menyukarkan proses penyelidikan dan akan mendatangkan tindak balas yang negatif daripada sampel yang dikaji.

Berterus-terang dengan responden – berikan penjelasan kepada responden tentang matlamat dan tujuan kajian. Semua maklumat perlu dijelaskan termasuk prosedur yang terlibat dalam kajian. Dengan itu, responden akan secara sukarela melibatkan diri dalam kajian berkenaan.

Utarakan data yang tepat – bertindak memberikan data yang tidak lengkap, terkeluar dari konteks, memalsukan penemuan atau kemukakan fakta yang mengelirukan dianggap melanggar tatasusila penyelidikan.

Menjaga kerahsiaan responden – penyelidik sama sekali tidak boleh mendedahkan maklumat mengenai sampel kajian sehingga ia boleh menggugat keselamatan atau maruah responden. Hak-hak peribadinya harus dipelihara dan tidak boleh jatuh ke tangan pihak ketiga.

Mematuhi etika penyelidikan adalah tanggungjawab penyelidik. Kegagalan mematuhi etika berkenaan akan menggugat kesahan dan kebolehpercayaan kajian yang dilakukan.

Sunday, December 30, 2007

Kesahan dan kebolehpercayaan

Dalam kajian yang saintifik, tumpuan utama ialah memastikan ukuran ke atas pemboleh ubah bersandar itu sah dan mempunyai kebolehpercayaan.

Perancangan ke atas reka bentuk sesuatu kajian yang baik akan meningkatkan kesahan sesebuah kajian. Seterusnya sesebuah kajian yang mempunyai kredibiliti yang tinggi akan memastikan kesahan sesebuah kajian.

Kesahan digunakan untuk mengukur ketepatan sesuatu ukuran yang digunakan. Ia bertujuan untuk memastikan sama ada ukuran/indikator yang digunakan itu mengandungi semua ciri atau gagasan yang harus ada dalam konsep yang diukur itu. Contohnya ialah ukuran yang sah untuk mencatat ketinggian ialah kayu pembaris, pita ukur dan sebagainya. Terdapat dua jenis kesahan iaitu:

a. Kesahan dalaman (internal validity) iaitu sejauh mana perkaitan antara pemboleh ubah itu dapat dipastikan.


b. Kesahan luaran (external validity) iaitu sejauh mana data itu dapat dipanjangkan pada populasi dan dalam konteks yang berbeza-beza.

Bagi menentukan kesahan dalaman, penyelidik boleh mengunakan beberapa kaedah seperti tringulasi, pemeriksaan rakan, semakan rakan, kenyataan pengalaman, pilih kasih atau pengharapan.


Manakala bagi kesahan luaran, ia boleh dilihat dalam ketebalan atau banyaknya penerangan, penggunaan pelbagai tema dan variasi yang maksimum. Kebolehpercayaan atau reliability ialah satu konsep yang merujuk kepada ketekalan (consistency) dan kestabilan (stability) sesuatu ukuran, alat ukur kajian atau soal selidik.

Ia bertujuan untuk mengetahui sama ada ukuran itu memberikan jawapan yang sama apabila ia digunakan untuk mengukur konsep yang sama kepada populasi atau sampel atau responden yang sama.

Terdapat dua jenis kebolehpercayaan yang sering kali digunakan oleh penyelidik iaitu kebolehpercayaan luaran dan dalaman.

Bagi memastikan kebolehpercayaan dalam kajian kualitatif, kaedah yang boleh digunakan ialah tringulasi, kedudukan penyelidik (teori yang digunakan, asas kepada pemilihan sampel) dan dan audit.

Dalam mini kajian kualitatif yang dijalankan, saya mempastikan kedua-dua kesahan dan kebolehpercayaan digunakan seiring dengan data-data yang diperolehi supaya kaedah ini dapat memberikan keputusan atau penemuan yang memuaskan. Sebagai contoh, tringulasi digunakan untuk mengukuhkan reka bentuk kajian dan sekali gus data kajian. Kombinasi gabungan, reka bentuk eksperimen,data kualitatif, anaisis gabungan dan analisis statistik digunakan bagi mengkaji fenomena ini.

Sunday, December 23, 2007

Melapor dan menilai penyelidikan kualitatif

Dalam kajian kualitatif, tidak ada format yang tetap dan standard untuk menulis laporan kerana kandungannya bergantung kepada minat pembaca dan tujuan penyelidikan dilakukan. Walau bagaimanapun, beberapa faktor menyumbang kepada proses penulisan laporan ini.

Pertama, tidak ada masa khusus untuk tamat dan memulakan penulisan. Kedua, data yang banyak perlu dipilih dan dipecahkan kepada kategori, tema atau teori. Ketiga, tidak ada format khusus untuk menulis laporan. Bagaimanapun laporan yang telah siap boleh disampaikan dalam bentuk lisan, bergambar atau tulisan.

Menulis laporan melibatkan langkah-langkah berikut:

1. Mengenal pasti audiens atau pembaca untuk menentukan apa yang perlu dimasukkan ke dalam laporan, bahagian yang wajar diberi perhatian dan tahap kesukaran yang perlu disediakan. Kehendak audiens dapat membantu penyelidik menstruktur kandungan laporan dan merancang perubahan jika perlu.



2. Menentukan fokus kerana ianya ditentukan oleh audiens, tujuan kajian dan ekstrak yang didapati semasa menganalisis data. Fokus ini boleh jadi pada bentuk laporan, metodologi atau analisis hasil dapatan.


3. Merangka laporan di mana sebelum menulis laporan, semua data berkaitan mesti disemak dan disusun. Langkah-langkah berkenaan ialah kumpulkan data dan kenal pasti matlamat audiens; tentukan tema kajian; dan menulis draf yang pertama.

Menulis laporan kualitatif memerlukan tumpuan diberikan kepada kandungan kajian. Perkara-perkara penting persoalan kajian, metodologi dan hasil dapatan, analisis dan membuat kesimpulan. Sekiranya kualiti kajian berkenaan baik, ianya boleh diterbitkan sebagai sebuah buku.

Bogdan dan Biklen memberi beberapa cadangan bagi meningkatkan kemahiran menulis laporan kualitatif seperti menggunakan nada yang aktif (nyatakan secara terus-terang), menggunakan kamus dan thesaurus, banyak membaca artikel dan buku berkaitan kajian kualitatif, mengkaji kaedah penulis-penulis berkenaan membentangkan data, membuat sesi soal-jawab, menyusun ayat dan mengatur format laporan mereka.

Sunday, December 16, 2007

Analisis data

Pengumpulan data dan analisis data adalah aktiviti spontan dalam kajian kualitatif. Analisis bermula dengan temuduga pertama, pemerhatian awal dan kali pertama dokumen dilihat.

Bogdan dan Biklen menyifatkan analisis data sebagai proses yang sistematik untuk mencari dan menguruskan teknik pengumpulan data. Proses-proses analisis data ialah dapatkan data, uruskan data tersebut, pecahkan data kepada unit kecil, sintesiskan, kenal pasti bahagian yang penting dan persembahkan kepada orang lain yang menjadi sasaran.

Terdapat berbagai-bagai cara untuk menganalisis data, bagaimanapun dua bentuk sahaja yang jelas iaitu, pertama; analisis seiring dengan pengumpulan data. Kaedah ini kerap digunakan oleh penyelidik yang berpengalaman. Kedua, mengumpulkan data sebelum memulakan analisis.

Secara umum terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan oleh penyelidik untuk menganalisis data seperti:

1. Mengecilkan skop kajian supaya lebih jelas untuk membuat analisis akhir.
2. Menentukan bentuk kajian seperti kajian kes, sejarah hidup dan sebagainya.
3. Sentiasa bertanya soalan dan dapatkan maklumat atau maklum balas daripada pemerhatian yang dibuat.
4. Dapatkan maklum balas tentang idea sedia ada bagi membentuk toeri yang formal.
5. Ingatkan diri tentang apa yang telah dilakukan bagi mendapatkan maklumat baru untuk menghubungkan dapatan sedia ada dengan maklum balas pemerhatian.
6. Sentiasa mencari maklumat ketika di lapangan bagi meningkatkan kualiti analisis.

Sebagai penyelidik, membuat analisis memerlukan beberapa kekuatan. Yang penting ialah tidak takut membuat spekulasi kerana spekulasi memberi idea dan menjadikan kajian lebih produktif. Tetapi spekulasi harus dikawal oleh data yang sedia ada. Maklumat yang ada harus sentiasa dipantau supaya ianya selari dengan objektif kajian dan sentiasa dalam keadaan terkini.

Sunday, December 09, 2007

Pengumpulan data

Data dikumpulkan melalui tiga cara utama dalam kajian kualitatif iaitu rekod awam, dokumen peribadi dan peralatan fizikal. Sumber-sumber data dikenali dengan nama seperti dokumen, artifak ataupun data. Bagaimanapun istilah yang digunakan oleh Merriam ialah dokumen.

Dokumen adalah sumber data sedia ada dan senang untuk digunakan oleh penyelidik. Huraian mengenai tiga cara berkenaan adalah seperti berikut:


1. Rekod awam – sijil lahir, kematian dan perkahwinan, bancian, laporan polis, keputusan mahkamah, media, arkib, keratan akhbar, memo dan minit mesyuarat.

2. Dokumen peribadi – diari, surat, filem peribadi, khutbah, rekod perkembangan anak-anak, album gambar, buku skrap, kalendar, biografi dan dokumen perjalanan. Dokumen jenis ini menjadi sumber yang boleh dipercayai untuk mengenal pasti sikap, kepercayaan dan pandangan seseorang. Bagaimanapun keseluruhan kajian boleh menggunakan dokumen peribadi seperti perpindahan sesuatu kaum ke tempat lain secara bersar-besaran.

3. Peralatan fizikal – juga dikenali sebagai artifak iaitu sebarang perubahan dalam persekitaran fizikal kerana tindakan manusia.

Terdapat limitasi tertentu dalam penggunaan dokumen-dokumen ini seperti kebanyakan dokumen yang ada bukannya disediakan untuk tujuan penyelidikan. Besar kemungkinan ianya tidak lengkap. Kadangkala maklumat yang disediakan juga tidak berguna sepenuhnya. Juga terdapat dokumen yang tidak tepat seperti laporan kejadian jenayah oleh pasukan polis.

Teknik dalam pengumpulan data ialah temuduga, pemerhatian lapangan dan analisis dokumen. Dalam sesetengah kes, hanya satu teknik manakala dalam kes yang lain, ianya melibatkan ketiga-tiga teknik. Walau bagaimanapun semua teknik yang digunakan adalah untuk memahami sesuatu fenomena.

Sunday, November 25, 2007

Data kualitatif dan pengumpulan data

Data ialah maklumat mentah yang dikumpulkan oleh penyelidik daripada lapangan kajian yang menjadi asas kepada sesuatu analisis. Contoh-contoh data merangkumi transkrib temuduga, catatan pemerhatian, diari, gambar, dokumen rasmi dan artikel surat khabar. Data memberi bukti dan panduan bagi melaksanakan sesuatu kajian kualitatif.

Dalam kajian kualitatif, nota lapangan ialah maklumat yang didengar, dilihat, pengalaman yang dilalui dan apa yang difikirkan serta menjadi imbasan ke atas data yang ada. Maklumat yang diperolehi adalah seperti idea, strategi dan refleksi yang mempelbagaikan corak maklumat berkenaan. Kepentingan nota lapangan ialah:

1. memberi tumpuan dalam pemerhatian
2. menjelaskan konteks sesuatu temuduga dilaksanakan
3. menyediakan log peribadi bagi penyelidik menjejak perkembangan kajian
4. memberi gambaran terhadap pelan penyelidikan yang berkaitan dengan pengumpulan data
5. memberi kesedaran kendiri terhadap pengaruh data


Bagaimanapun kepentingan utama nota lapangan ialah meningkatkan kualiti penulisan sama ada kualiti isi, ejaan dan memberi rangsangan bagi membentuk ketajaman pemerhatian penyelidik.

Bagaimana nota lapangan diatur? Ia dipecahkan kepada dua iaitu:

1. Muka hadapan mengandungi maklumat tarikh dan masa, nama penemuduga, tempat berjumpa, nombor set dan tajuk setiap lapangan.

2. Perenggan dan sisi. Susun atur nota lapangan harus mengambil kira perubahan yang berlaku seperti topik baru dan maklumat baru. Apabila penyelidik ragu-ragu, dia harus memulakan perenggan baru manakala di ruang sebelah kiri, boleh dibiarkan kosong supaya catatan tambahan boleh dilakukan jika perlu.

Sunday, November 18, 2007

Kerangka teoritikal

Kerangka teoritikal menentukan persoalan kajian yang hendak dilakukan. Ia menjadi panduan bagi menentukan orientasi penyelidikan yang akan dilakukan. Ia juga mengenal pasti apa yang menjadi minat pengkaji, soalan-soalan yang berlegar-legar di mindanya dan yang menjadi teka-teki.

Satu kaedah untuk menentukan kerangka pemikiran ialah melalui tinjauan literasi dengan pembacaan yang berkait rapat dengan tajuk yang sedang dikaji. Tajuk jurnal, kata kunci dan maklumat-maklumat lain yang didapati sepanjang pencarian berkenaan, penyelidik akan berjumpa dengan konsep, model dan teori yang berbagai-bagai jenis. Yang boleh dibuat ialah memberi pengkelasan terhadap hasil dapatan tersebut untuk menjadi kunci utama kepada kerangka teoritikal nanti.

Kepentingan kerangka teoritikal


Kerangka teoritikal membentuk konsep, terma, definisi, model dan teori yang menjadi asas dan orientasi disiplin bagi kajian yang hendak dilaksanakan. Seterusnya akan membentuk "masalah" bagi kajian, soalan kajian, pengumpulan data dan analisis serta bagaimana hendak mentafsir data.

Penyelidik harus bijak memilih kerangka teoritikal kerana ia akan menjadi panduan dalam proses penyelidikan bagi mengenal pasti terma yang relevan dengan konsep, definisi pemboleh ubah, soalan-soalan khusus yang hendak diselidik, memilih responden kajian, prosedur pemilihan, strategi pengumpulan data, teknik menganalisis dan interpretasi hasil dapatan kajian.

Perkara yang harus diberi perhatian ialah semua aspek kajian akan mendapat kesan daripada kerangka teoritikal yang telah dibentuk tadi. Ciri-ciri kerangka teoritikal yang baik meliputi:


-Membantu penyelidik mengenal pasti topik yang hendak dikaji.
-Panduan mencari kajian-kajian lepas.
-Memilih aspek yang difokus.
-Merapatkan jurang di antara maklumat yang diketahui dan tidak diketahui.
-Memberi panduan kepada pengkaji memilih responden yang sesuai.

Kajian lepas

Bagi mengenal pasti dan mengesahkan kerangka teoritikal, membuat tinjauan terhadap hasil kajian lepas dapat memberi penjelasan terhadap bidang kajian dan asas data kajian mengenai seseorang yang telah melaksanakan kajian, mengumpul dan menganalisis data.

Melengkapkan kerangka teoritikal bukanlah satu proses yang mendatar sahaja seperti membaca literatur, mengenal pasti dan menulis pernyataan masalah. Tetapi adalah proses yang aktif. Soalan-soalan yang ditimbulkan akan menjurus kepada hasil kajian yang berkait dengan fenomena kajian yang sedang dilakukan.


Kajian-kajian dahulu boleh dianalisis, dikritik dan diulas supaya ruang lingkup kajian berkenaan lebih menarik. Literatur mengandungi tiga bahagian iaitu pengenalan, isi mengenai kajian-kajian lepas dan kesimpulan.

Sunday, November 11, 2007

Asas penyelidikan kualitatif

Penyelidikan kualitatif adalah satu konsep yang menaungi beberapa jenis penyelidikan bagi memahami dan menerangkan fenomena sosial dengan cara pemecahan kepada susunan topik tertentu. Kaedah ini juga dikenali dengan nama yang berbeza seperti kajian semula jadi, kajian interpretasi, kajian lapangan, pemerhatian ke atas bahan kajian, kajian induktif, kajian kes dan etnografi.

Salah satu daripada tujuan penyelidikan kualitatif ialah memahami bagaimana manusia memenuhi keperluan asas mereka. Ia menggabungkan pengalaman dan persepsi. Justeru, penggunaan istilah atau frasa sangat jelas jika dibandingkan dengan kuantitatif. Salah satu perbezaan tersebut ialah sampel atau responden kajian.

Bilangan responden yang diperlukan bagi kajian kualitatif adalah kecil berbanding kuantitatif. Penyelidik kuantitatif sering merasa ragu-ragu mengenai bilangan responden yang kecil ini. Hakikatnya ialah bilangan sampel yang kecil ini sudah cukup untuk menjelaskan fenomena yang dikaji. Kefahaman sesuatu fenomena adalah dari perspektif bahan yang dikaji, bukannya penyelidik. Walau bagaimanapun penyelidik adalah instrumen utama bagi pengumpulan data dan analisis.

Bilangan sampel yang kecil memberi ruang yang sangat luas kepada penyelidik untuk membuat pemerhatian ke atas tingkah laku yang dikaji. Cara ini dapat mengekalkan hubungan yang berterusan di antara pengkaji dan responden tersebut. Ketika temu bual dilakukan, penyelidik akan melibatkan diri dengan cara yang tidak mengganggu proses yang hendak dikaji. Lagi pun soalan yang hendak ditanya adalah mendalam supaya subjek dapat menceritakan pengalaman, keprihatinan atau pandangan terhadap isu yang dikaji.

Secara umum, penyelidikan kualitatif adalah langkah untuk memahami sesuatu situasi berdasarkan konteks dan interaksi yang unik. Ia bukannya satu cubaan untuk meramalkan masa depan sebaliknya memahami keadaan apa yang berlaku dan akan berlaku selepas itu.


[Kritik ke atas penyelidikan kualitatif 1 & 2]

Sunday, November 04, 2007

Pandangan umum tentang penyelidikan kualitatif

Penyelidikan kualitatif digunakan untuk mengkaji suasana atau proses yang sukar diukur dengan nombor seperti imej diri, tingkah laku atau perasaan ibu bapa apabila berhadapan dengan anak-anak yang nakal.

Contoh-contoh kajian seperti ini ialah bagaimana pelajar dewasa membahagikan keseimbangan antara kerja, keluarga dan pembelajaran, peranan kenaikan gaji terhadap produktiviti kakitangan kerajaan dan keberkesanan larangan kawasan merokok di kalangan pembantu am kesihatan di kawasan hospital.


Penyelidikan kualitatif mempunyai lima jenis iaitu;

1. Fenomenologi
Ia berkaitan kajian terhadap sesuatu keadaan. Ianya mungkin dalam bentuk peristiwa, situasi, pengalaman atau konsep. Fenomena yang ada walaupun banyak, kita belum dapat memahaminya dengan lebih mendalam. Biasanya pengkaji berminat ingin memahami lebih mendalam mengenai tindak balas keseluruhan manusia dan memahami pengalaman individu.


2. Etnografi
Istilah ethnos adalah dari Greek yang bermaksud manusia, bangsa atau budaya. Graphy bererti penjelasan mengenai sesuatu. Justeru, etnografi merupakan sejenis kajian lapangan yang berbentuk pemerhatian yang sering digunakan dalam kajian sosiologi dan anthropologi. Ia berkait dengan keinginan pengkaji untuk memahami pengaruh budaya ke atas tingkah laku manusia dan kesihatan.

Etnografi juga dianggap sebagai kajian paling asas dalam penyelidikan sosial. Ia juga merangkumi penjelasan bertulis mengenai sesuatu budaya tentang adat, kepercayaan, tingkah laku dan sebagainya.


3. Kajian Kes
Ia merupakan sejenis kajian untuk mengkaji dan menjelaskan satu kelompok yang kecil secara mendalam. Ia melibatkan pengumpulan maklumat yang ektensif untuk memahamkan sesuatu entiti yang dikaji sama ada individu, organisasi atau situasi di mana tingkah laku yang tidak dijangka atau tidak jelas dijadikan sebagai fokus kajian.

Kajian kes memberikan penjelasan mendalam secara deskriptif dan penghuraian satu unit tertentu. Kajian ke atas individu boleh dipelbagaikan kepada kelompok seperti penagih dadah, eksekutif, remaja delikuen atau kumpulan etnik.


Ciri-ciri kajian kes ialah ia dilakukan pada jangka masa panjang dan merangkumi keseluruhan tingkah laku yang berlaku dalam keadaan semula jadi. Jadi, ia dapat memberikan kefahaman yang mendalam.

Di samping itu memberikan takrifan dari sudut emosi terhadap situasi yang dikaji. Jadi, ia memberikan ruang untuk pengembangan idea atau hipotesis yang hendak dikaji oleh penyelidik.


4. Analisis Naratif
Ia berdasarkan pada perkataan yang digunakan oleh pembeli maklumat untuk menjelaskan pengalaman responden. Analisis naratif tidak memberi perhatian yang ketara pada kuantiti subjek sebaliknya kepadatan maklumat atau fakta, pemerinciannya, interaksi yang terlibat yang mana mungkin terlepas pandang oleh orang lain.

5.
Grounded Theory
Dua tokoh yang dikaitkan dengan kajian jenis ialah Glaser dan Strauss. Kaedah ini muncul daripada disiplin sosiologi dan sangat berguna untuk menerangkan jenis masalah yang wujud di dalam masyarakat dan proses seseorang untuk menanganinya. Kerapkali mereka berkongsi simbol dan makna-makna umum berkenaan dengan simbol berkenaan.


Dua buah buku yang menjadi rujukan penyelidikan kualitatif ialah "Qualitative Research and Case Study Applications in Education" oleh Sharan B. Merriam, seorang profesor dalam pendidikan dewasa dan pengembangan di University of Georgia, Athens, Amerika Syarikat. Bidang tumpuan beliau ialah pendidikan dewasa, pembangunan dan pembelajaran dewasa dan kaedah penyelidikan kualitatif. Di Malaysia, beliau telah beberapa kali datang ke Universiti Putra Malaysia, Serdang.

Buku kedua ialah "Qualitative Research for Education: An introduction to theory and methods" oleh Robert C. Bogdan dan Sari Knopp Biklen. Manakala buku tambahan yang boleh dijadikan rujukan ialah "Penyelidikan sains sosial: Pendekatan pragmatik" oleh Sabitha Marican.

Siri-siri artikel yang akan datang adalah berkaitan penyelidikan kualitatif yang semakin mendapat tempat di kalangan pelajar sarjana, masters dan PhD.