Showing posts with label Membaca. Show all posts
Showing posts with label Membaca. Show all posts

Friday, October 24, 2025

Sutan Baginda: Novel tipis, sindiran tajam terhadap politik negara

Membaca buku ini membuatkan kita berfikir tentang sesuatu keadaan, suasana atau peristiwa yang kita pernah alami dahulu, ketika suasana politik negara memanas dan menggelabahkan sesiapa sahaja yang terkena. Pada akhir buku ini dimasukkan nama-nama projek yang pernah dibuat oleh Tun Dr. Mahathir yang diselindungkan sebagai Nirwan.

Sutan Baginda teringin mendapatkan mahkota PARAYU, parti terbesar dan terkuat. Nama lain yang muncul ialah PARANA dan PARANU yang diselindungkan sebagai parti Cina dan parti India.

Pada pandangan saya, tiga watak wanita iaitu Uji, Dahlia dan Fidah rasanya bukanlah individu sebenar, tetapi gagasan pemikiran dan dasar yang diperkenalkan oleh Dr. Mahathir. Uji berwatak alim dan ustazah yang melambangkan dasar penerapan nilai-nilai Islam. Dalam buku ini diceritakan Sutan Baginda membahasakan dirinya ana dan mahu belajar menyebut ayat-ayat al-Quran. Uji ialah isteri pertamanya yang setia tidak berbelah bahagi.

Dahlia pula merupakan wanita berpendidikan tinggi, memiliki PhD dan menjadi isteri kedua Sutan Baginda. Bercakap dengannya pun perlu berhati-hati dan menjaga kata-kata. Dahlia dilihat sebagai dasar yang memajukan pelbagai bidang; sebab itulah diperkenalkan istilah-istilah canggih seperti The Naked Power dan The Blunt Power, serta dimasukkan unsur power dan glory.

Fidah ialah wanita ketiga, namun dalam buku ini sebutan Fidah diringkaskan kepada F sahaja. Dia digambarkan sebagai wanita perosak reputasi yang boleh diprogramkan. Mungkin sebutan “F” itu sendiri sudah membawa konotasi yang tidak baik. Watak Fidah mungkin berkaitan dengan perancangan politik untuk menjatuhkan sesama sendiri iaitu pelbagai cara boleh dilakukan jika mahu.

Walaupun panjang buku ini hanya 158 halaman, ia memberikan kesan besar kepada pembaca yang dapat mengaitkannya dengan pentadbiran negara 20 atau 30 tahun lalu. Kisah tiga watak yang digarap dengan rapi ini membuka ruang pemikiran kritis yang lebih mendalam.

Kritikan melalui novel yang ringkas dan santai ini merupakan saluran untuk mengajak khalayak merenung dan berfikir tentang apa yang telah dan sedang berlaku dalam politik negara. Ia juga menjadi rujukan tentang perjalanan pemimpin politik dan fiil mereka.

Kesimpulannya, Sutan Baginda karya Shahnon Ahmad merupakan sebuah alegori politik yang tajam dan berani, memperlihatkan keupayaan Sasterawan Negara ini menterjemahkan realiti politik Malaysia ke dalam simbol dan watak yang berlapis makna. Melalui tokoh Sutan Baginda dan tiga watak wanita iaitu Uji, Dahlia dan Fidah, Shahnon tidak sekadar menulis tentang manusia tetapi tentang dasar, ideologi dan permainan kuasa yang membentuk wajah kepimpinan negara.

Novel ini menyentuh sisi satira politik dan psikologi kepemimpinan, memperlihatkan bagaimana kuasa, agama dan intelektualisme digunakan sebagai alat legitimasi. Uji menjadi lambang dasar Islamisasi, Dahlia mewakili kecerdikan dan kemajuan dasar pembangunan, manakala Fidah mencerminkan manipulasi dan kemerosotan moral dalam gelanggang politik.

Walaupun hanya tidak banyak halaman, karya ini mempunyai kedalaman falsafah dan sindiran sosial yang mengajak pembaca berfikir di luar teks iaitu mengenali kembali sejarah politik yang tersirat, serta menilai watak-watak sebenar di sebalik tabir kuasa. Gaya Shahnon yang bersahaja namun tajam menjadikan Sutan Baginda bukan sekadar bacaan kreatif, tetapi dokumen reflektif tentang manusia, kuasa dan negara. Novel ini menegaskan bahawa sastera mampu menjadi cermin nurani bangsa iaitu mengkritik tanpa menuduh dan menyedarkan tanpa menggurui.

Friday, May 04, 2018

Tegas terhadap rasuah sukan







Pemain badminton Malaysia, Zulfadli Zulkifli dan Tan Chong Seang telah dikenakan hukuman masing-masing 20 tahun dan 15 tahun tidak boleh melibatkan diri dalam sebarang permainan badminton sama ada dalam acara rasmi ataupun menjadi jurulatih. Kedua-duanya terlibat dalam kegiatan rasuah dalam lima kejohanan pada tahun 2013 dan 2014.

Zulfadli terlibat dalam 31 kesalahan berkaitan pertaruhan dan manipulasi pertandingan termasuk manipulasi empat pertandingan di tiga kejohanan. Chun Seang terlibat dalam 26 kesalahan.

Siasatan ke atas mereka berdua bermula apabila seorang pemberi maklumat membuat laporan terhadap kegiatan rasuah Zulfadli pada satu kejohanan di Brazil pada tahun 2016.

Kedua-dua pemain badminton ini telah merosakkan sukan badminton di Malaysia dan seluruh dunia. Kedua-duanya juga tidak perlu lagi diberi muka kerana telah menjejaskan imej badminton negara. Hukuman 20 tahun dan 15 tahun itu merupakan hukuman yang menutup terus peluang mereka untuk menjadi pemain badminton profesional.

Rasuah dalam sukan seringkali berlaku tetapi dalam badminton, inilah kali pertama kita mendengarnya. Banyak faktor yang menyebabkan kedua-dua pemain ini terlibat dalam mengatur perlawanan di siri kejohanan peringkat dunia. Sehingga kita mendengar kisah sebenar daripada mulut mereka, kita boleh membuat pelbagai telahan ke atas mereka kerana kes ini telah pun diadili.

Rasuah sukan adalah fenomena gobal yang terus-menerus mengancam integriti industri sukan, menjadi cabaran utama kepada pengurusan sukan. Dalam beberapa dekad lalu, industri sukan mengalami pelbagai bentuk rasuah seperti penipuan dan sogokan yang berlaku sama ada secara individu ataupun secara sistematik dalam pelbagai konteks seperti organisasi yang tidak mahu utamakan keutungan atau mencari keuntungan, kos kewangan, pengurangan reputasi, kehilangan pekerjaan dan peningkatan penawaran.

Kebimbangan rasuah sukan ini menyebabkan sarjana pengurusan sukan bersama-sama ahli akademik berbincang tentang rasuah. Kemunculan agensi-agensi siasatan yang memberi fokus kepada elemen rasuah yang lebih khusus seperti ujian dadah terlarang, penetapan perlawanan, pemalsuan dadah dan perjudian haram menjadikan langkah-langkah ke arah membendung rasuah menjadi lebih sistematik.

Sel-sel rasuah menjalar semua peringkat sosial masyarakat. Ia berlaku di negara-negara maju apatah lagi di negara-negara dunia ketiga. Bezanya tahap kesedaran rasuah di negara-negara maju lebih baik sedikit kerana pelbagai faktor seperti pendidikan, pendapatan yang lebih dan tahap advokasi terhadap rasuah yang lebih menonjol.

Agensi yang bertanggungjawab terhadap rasuah dalam sukan di Malaysia perlu membuka mata terhadap rasuah dalam sukan badminton. Tindakan tegas wajar diambil terhadap mana-mana pemain supaya integriti dalam sukan itu dapat dikekalkan.

Wednesday, September 10, 2014

Uji perbendaharaan kata anak-anak






Anak-anak yang berusia dua tahun dan ke atas dan baru mula belajar bercakap sangat aktif. Mereka hendak hendak tahu semua perkara dalam keadaan perbendaharaan kata yang terhad dan kosa kata yang berterabur. Ada perbezaan anak lelaki dan perempuan. Biasanya anak perempuan lebih cepat hendak belajar dan lebih banyak perkataan yang diketahui. Mereka juga aktif mengulang perkataan baru setiap hari.

Kita boleh menguji keupayaan anak-anak ini dengan beberapa soalan mudah untuk mengetahui tahap kefahaman dan jenis perkataan yang diungkapkan. Kefahaman dan jenis ungkapan dipengaruhi oleh corak pembesaran dan keadaan persekitaran membesar.

Jika persekitarannya sentiasa dengan orang yang suka bercakap, sudah tentu anak-anak ini lebih cepat bertutur dan memahami setiap perkataan.Tahap intelektual pun akan turut bertambah.

Antara ujian yang kita boleh berikan ialah soalan-soalan mudah berkaitan kehidupannya seperti pampers, makan, susu, mandi, kencing, pakai baju dan berak. Jawapan bagi setiap perkataan ini menentukan sejauh mana perbendaharaan kata mereka dan tahap kefahaman setiap perbuatan tersebut. Kita boleh tanyakan soalan-soalan berikut dan jangkaan jawapan yang diberi.

Soalan: Adik dah makan?
Jawapan: Dah.

Soalan: Adik dah susu?
Jawapan: Dah.

Soalan: Adik dah pakai pampers?
Jawapan: Dah.

Soalan: Adik dah mandi?
Jawapan: Dah.

Soaan: Adik dah pakai baju?
Jawapan: Dah.

Semua jawapan yang diberi adalah "Dah". Jawapan ini menunjukkan dua kemungkinan iaitu mereka faham dengan soalan atau tidak faham dengan soalan. Sama ada faham atau tidak, jawapannya adalah sama.

Kenapa begitu?

Besar kemungkinan jawapan "tidak" atau "belum" tidak ada dalam perbendaharaan kata. Jadi, bagaimana reaksi mereka untuk menunjukkan "tidak" atau "belum" ini?

Biasanya mereka memalingkan muka, geleng kepala atau buat-buat tidak tahu.



Tuesday, March 30, 2010

Kajian tentang kanak-kanak membaca







Kajian-kajian berkaitan membaca dalam kalangan kanak-kanak telah banyak membantu ibu bapa, penjaga dan guru berfikir tentang masa depan. Membaca adalah proses yang melibatkan aktiviti tahu huruf, faham, lancar dan memberi rangsangan.

Perkara yang sering dilupai oleh ibu bapa ketika kanak-kanak di peringkat prasekolah ialah umur tiga hingga 5 tahun memberi kesan besar ke atas keupayaan membaca mereka. Menjadi pembaca yang baik, kanak-kanak perlukan rakan yang dimulai dari rumah dan berterusan di sekolah. Kita boleh menyediakan kanak-kanak dengan minat membaca melalui menyanyi bercerita bersama-sama, berbual-bual tentang persekitaran, menyanyi atau bersoal jawab.

Sebagai panduan, banyak kajian mengenai membaca yang kita tidak ambil peduli dan tidak tahu langsung. Terdapat beberapa penemuan menarik untuk kita fikirkan di bawah ini.

- Membaca adalah kemahiran asas kepada pembelajaran di sekolah.
- Walaupun keupayaan membaca dan menulis berkembang sepanjang hayat, peringkat awal kehidupan kanak-kanak iaitu dari usia lahir hingga 8 tahun adalah tempoh paling penting untuk perkembangan membaca dan menulis.
- Perkembangan kemahiran membaca dan menulis boleh didedahkan melalui buku dan penceritaan dikaitkan dengan kejayaan membaca.
- Hanya lima peratus kanak-kanak belajar tanpa berusaha bersungguh-sungguh (maksudnya ramai daripada mereka ini mahu belajar).
- 20 hingga 30 peratus kanak-kanak mudah belajar membaca apabila didedahkan kepada pembelajaran formal.
- 60 peratus kanak-kanak berhadapan dengan cabaran sukar:



120-30 peratus menyatakan membaca adalah satu tugas sukar dan perlu dikuasai.
290-95 peratus yang lemah membaca boleh dibantu sehingga ke tahap yang lebih baik melalui program pencegahan dan intervensi yang menggabungkan kaedah fonik, pembangunan kefasihan dan strategi meningkatkan kefahaman setelah diajar oleh guru terlatih.
388 peratus yang lemah membaca dalam tahun satu, mungkin juga lemah membaca dalam tahun empat.
475 peratus yang lemah membaca dan tidak dibantu sehingga umur 9 tahun akan mengalami detik-detik sukar pembelajaran di sekolah menengah.
510-15 peratus kanak-kanak yang lemah membaca akan tercicir dari sekolah, hanya 2 peratus yang dapat menamatkan pengajian 4 tahun di universiti atau kolej.
680 peratus kanak-kanak yang dikenal pasti menghadapi masalah membaca sebenarnya sukar membaca sejak awal.
7separuh daripada orang dewasa dan remaja yang terlibat dengan jenayah ada masalah membaca.
8separuh daripada remaja yang ada sejarah dianiaya atau didera ada masalah membaca.

Tuesday, March 23, 2010

Perkembangan bahasa kanak-kanak

Aiman menyergah secara tiba-tiba ‘Ah!’ bagi menyatakan yang dia tahu imej di kulit buku yang baru dihadiahkan. Tindakan tersebut adalah tindak balas yang mengaitkan bahasa dan otak. Sebaik sahaja kanak-kanak tahu perkataan, mereka boleh gunakannya bagi mewakili objek dan tindakan.

Bahasa adalah sistem komunikasi perkataan dan tatabahasa. Melalui bahasa ini, kanak-kanak dapat berhubung dengan orang di sekitar mereka bagi menyatakan perasaan, keperluan dan idea.

Perkembangan bahasa adalah gambaran sejauh mana interaksi berlaku. Ia membantu mempercepatkan literasi iaitu keupayaan menulis dan membaca. Sebelum kanak-kanak menggunakan perkataan, mereka hanya tahu merengek dan menangis, ‘babbling’ (ma-ma-ma, ta-ta-ta) dan ‘cooing’ (menjerit, menggelobok dan membunyikan perkataan) seterusnya meniru gelagat dan apa sahaja yang mereka dengar. Mereka juga berupaya mengenal pasti bunyi dan suara orang dewasa dengan cepat.

Menangis bagi bayi yang baru lahir adalah komunikasi. Nada, corak dan penguatan (intensity) ke atas bunyi suara menyatakan ada maksud tertentu seperti lapar, tidak cukup tidur, marah atau merajuk.

Pada usia bayi enam minggu sehingga tiga bulan, mereka mula mendekut (cooing) apabila rasa seronok. Mereka juga suka bermain dengan bunyi-bunyi perkataan yang didengari dari persekitaran.

Mengagah (babbling) pula berlaku di antara enam bulan hingga sepuluh bulan. Ia bukannya bahasa sebenar dan tidak ada makna. Penerimaan ke atas bunyi-bunyi bahasa berterusan dilakukan oleh bayi yang berumur 9 bulan hingga 10 tahun namun belum memahami sepenuhnya perkataan-perkataan tersebut.

Keupayaan membezakan bunyi-bunyian sangat penting untuk perkembangan bahasa. Ia bermula sebelum kelahiran dan sangat kritikal ketika tahun pertama kehidupan. Bayi dapat membiasakan diri dengan perkataan apabila mereka kerap mendengar dan mula menggunakannya.

Monday, July 20, 2009

Panduan merancang aktiviti prasekolah

Penulis: Ahmad Shahabudin Che Noh dan Shahizan Hassan
Tahun: 2005
Penerbit: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Muka Surat: 228

Buku ini ditulis bagi meningkatkan kemahiran dan kreativiti guru prasekolah. Ia boleh dijadikan rujukan para pelajar pusat pengajian pendidikan dan para guru prasekolah. Ia membantu guru mengelola dan mengurus pengajaran dan pembelajaran prasekolah.

Prakata

Bahagian 1: Pengenalan

1. Siapa Kanak-kanak Prasekolah

Pendapat Tokoh Perkembangan Kanak-kanak
Peranan Guru Prasekolah
Pendekatan Developmental Counseling Therapy
Melihat Kanak-kanak Prasekolah dari Sudut DCT
Ciri-ciri Soalan Terbuka dan Tertutup
Masalah-masalah Ketika Bertanya

2. Pembinaan Jati Diri

Kanak-kanak Membina Jati Diri
Kanak-kanak Prasekolah
Biarkan ‘Kanak-kanak Bekerja’
Cara Kanak-kanak Menggunakan Akal
Cara Kanak-kanak Menguruskan Masa
Cara Kanak-kanak Menjaga Keselamatan
Kemahiran Asas Kanak-kanak
Komunikasi kanak-kanak

3.Persepsi Kanak-kanak

Daya Persepsi
Merangsang Minda Melalui Bahan Permainan
Peranan Komputer kepada Pemikiran Kanak-kanak
Cabaran-cabaran yang Perlu diberi Perhatian dalam Meningkatkan Kualiti Pendidikan Prasekolah ‘Annex’ Kementerian Pendidikan

Bahagian 2: Aktiviti Prasekolah

4.Penggunaan Bongkah

Praktikal Menggunakan Bongkah
A. Kemahiran Gerakan Psikomotor
B. Konsep Pra Nombor
C. Pengalaman Awal Sains
D. Kemahiran Bahasa
E. Perhubungan Sosial dan Kreatif
F. Kesan Psikologi dan Peluang Melahirkan Perasaan yang Terpendam (Psychological and Therapeutic Effects)
G. Kemahiran Menjalankan Penilaian secara Sendiri

5.Pusat Bermain Pondok-pondok

Apakah Pusat Bermain Pondok-pondok
Contoh Pelan Pusat Bermain Pondok-pondok
Cara Menggunakan Pusat Bermain Pondok-pondok dengan Berkesan
Cadangan Aktiviti
Aktiviti:Mengumpulkan Bahan Makanan
Aktiviti: Pergi ke Pasar
Aktiviti: Menyediakan Bahan-bahan Memasak
Aktiviti: Memasak Makanan
Aktiviti: Menyediakan Meja, Menghidang, Melayan dan menikmati Makanan
Aktiviti: Mengemas Meja Makan dan Membasuh Pinggan Mangkuk
Aspek Lain Mengenai Pusat Bermain Pondok-pondok
Bahan dan Alatan
Peranan Guru

6. Pusat Sains

Mengapa Pusat Sains Perlu Diwujudkan?
Bahan-bahan yang Digunakan
Aktiviti: Mengenal Biji Benih
Aktiviti: Mengenal Haiwan
Aktiviti: Mengenal Batu-batan
Aktiviti: Mengenal Tumbuh-tumbuhan

7.Penggunaan Bahan Bergambar

Hasil Pembelajaran
Aktiviti: Menggunakan Carta ataupun Kad Bergambar
Aktiviti: Menggunakan Kad Padanan
Aktiviti: Menggunakan Kad Perkataan
Aktiviti: Kad Bergambar Perbualan
Aktiviti: Menggunakan Kad Gambar Cerita Berurutan
Aktiviti: Buku Bergambar

Bahagian 3: Lampiran

8.Lampiran Aktiviti

Lampiran 1: Jenis Bongkah
Lampiran 2: Cadangan Membolehkan Bongkah Diubahsuai
Lampiran 3: Alat atau Bahan Pra Nombor dan Awal Sains
Lampiran 4: Carta Atau Kad Bergambar
Lampiran 5: Rancangan Tahunan Kurikulum Prasekolah

9. Rancangan Tahunan Kurikulum Prasekolah

10. Bibliografi

Program pendidikan prasekolah adalah program tidak formal bagi kanak-kanak berumur antara 4 hingga 6 tahun. Program ini menyediakan kanak-kanak dengan kehidupan seharian dan juga persediaan menghadapi pendidikan formal sekolah rendah. Sejak tahun 1950-an lagi pendidikan prasekolah di Malaysia telah dijalankan di kawasan bandar oleh pihak swasta pada tahun 1970-an oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dengan memberi tumpuan pada murid di kawasan luar bandar. Manakala Jabatan Perpaduan Negara pula memberi tumpuan kepada murid-murid miskin di pinggir bandar pada tahun 1980-an. Program ‘Annex’ anjuran Kementerian Pendidikan sudah dimulakan pada tahun 1992 bagi menambah peluang kepada 53% kanak-kanak yang memiliki latar belakang yang tidak mengizinkan mereka mendapat pendidikan prasekolah atau tadika.

Perkembangan pertumbuhan tadika yang tidak terkawal menyebabkan pelbagai pendekatan, hala tuju dan kurikulum digunakan. Ini menyebabkan kanak-kanak dididik dengan pelbagai acuan dan tidak menepati kehendak negara yang sedang membangun. Menyedari keadaan ini buku yang bertajuk Panduan Merancang Aktiviti Prasekolah dihasilkan sebagai bahan rujukan kepada pusat-pusat pengajian dan guru-guru prasekolah Malaysia. Buku ini merangkumi buku yang sudah dihasilkan oleh penulis-penulis yang ber-pengalaman dalam kaunseling dan pendidikan prasekolah Malaysia.

Buku ini mendedahkan para guru kepada beberapa pendekatan aktiviti serta pengelolaan pengajaran dan pembelajaran serta beberapa perkara yang berkaitan dengan pengurusan kurikulum di tadika. Oleh itu buku ini sesuai dijadikan rujukan kepada guru bagi membuat pengubahsuaian supaya pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan jayanya.

Wednesday, July 08, 2009

Interaksi sosial dan persediaan membaca

Bagi memahami tulisan, kanak-kanak mesti menguasai beberapa kemahiran prabacaan. Kemahiran-kemahiran ini seiring dengan pengetahuan dan sikap mereka terhadap aktiviti membaca dan menulis.

Pramembaca termasuk kemahiran asas membaca seperti perbendaharaan kata, sintaks, struktur naratif dan dapat memahami bahasa untuk komunikasi, kemahiran khusus yang meningkatkan keupayaan mengaitkan bunyi dengan gabungan perkataan.

Kanak-kanak yang diajar mengenal huruf dan kemahiran membaca yang lain sebelum masuk ke alam persekolahan formal biasanya menjadi pelajar yang pintar.

Interaksi sosial dapat menggalakkan literasi yang lebih pantas. Kanak-kanak cenderung menjadi pembaca dan penulis yang baik sekiranya ibu bapa menyediakan ruang untuk kanak-kanak menambah perbendaharaan kata dengan banyak bertanya dan berbual-bual. Oleh kerana kanak-kanak biasanya lebih rapat dengan ibu, pengaruh ibu membantu kanak-kanak mengaitkan kebanyakan peristiwa dengan insiden atau kejadian yang dilalui bersama.

Tuesday, July 07, 2009

Perkembangan bahasa kanak-kanak

Umur 3 tahun, umumnya kanak-kanak tahu bagaimana menggunakan 900 hingga 1,000 perkataan. Jumlah ini meningkat kepada 2,600 perkataan apabila mencapai umur 6 tahun. Apabila kanak-kanak mula menjejakkan kaki ke sekolah, perbendaharaan kata mereka bertambah dari semasa ke semasa sehingga mencecah 80,000 perkataan.

Perkembangan pesat bahasa ini disumbangkan oleh kepesatan minda kanak-kanak mengingat makna perkataan baru selepas mendengarnya bagi kali pertama atau bercakap sekali dua dengan rakan-rakannya. Walaupun kadang-kadang sebutan sesuatu perkataan kurang tepat, ia diperbaiki dengan teguran dan kekerapan bercakap dengan orang dewasa seperti ibu, bapa atau adik-beradik saudara.

Kanak-kanak mula bercakap menggunakan ayat yang ringkas dan mudah. Jawapan mereka juga mudah dan singkat. Semakin lama bercakap, mereka dapat memahami sebab dan akibat, kerana perkembangan mental yang bertambah baik. Sebutan dan tatabahasa yang baik menjadikan orang dewasa dapat memahami bahasa mereka. Jika tidak difahami, mereka cuba menerangkannya dengan lebih jelas.

Thursday, February 12, 2009

Bagaimana kanak-kanak belajar membaca?

Beberapa perkara asas diperlukan untuk kanak-kanak belajar membaca di peringkat awal. Ianya berkait di antara satu sama lain. Antaranya ialah belajar bagaimana kaitkan bunyi huruf, bina kelancaran dan beri makna ke atas setiap huruf yang dibaca.

Perkara asas yang susah untuk memulakan proses membaca ialah keupayaan kaitkan bunyi huruf di atas kertas atau dalam buku yang bercetak.

Untuk membaca, kanak-kanak ini mesti dapat tentukan hubungan di antara huruf dan bunyi. Sebaik-baiknya mereka menguasai bunyi huruf dan diftong supaya tidak terganggu semasa membaca kelak.

Memahami bagaimana hubung kait di antara bunyi dan huruf dapat membantu pembinaan kemahiran membaca yang cepat dan betul. Kenapa perkaitan ini sangat penting? Kerana besar kemungkinan kanak-kanak menghadapi masalah untuk rekodkan bunyi perkataan tersebut apabila dibaca dengan pantas. Contohnya perkataan 'ja', jika tidak dapat sebut dengan tepat perkataan 'saja' ia akan mengganggu kelancaran membaca.

Keupayaan membaca setiap perkataan sememangnya dapat menambah kemahiran membaca, kelajuan membaca juga menjadi faktor kritikal ke atas pemahaman apa yang sedang dan telah dibaca.

Secara purata, kanak-kanak perlukan empat hingga 14 kali pendedahan untuk kenal perkataan baru. Jadi, untuk belajar membaca, adalah mustahak bagi kanak-kanak membaca teks bacaan yang besar. Latihan mengeja juga dapat melonjakkan perkembangan membaca yang lebih lancar.

Dengan ejaan, kanak-kanak menerima berbagai-bagai contoh sesuatu huruf diterjemahkan kepada bunyi-bunyian. Ia juga memberitahu bahawa tulisan dibentuk oleh gabungan huruf dan perkataan yang lebih banyak.

Pada tahap membaca seterusnya, mereka dapat membuat rumusan sendiri iaitu membaca adalah kombinasi yang lebih banyak daripada hanya melihat perkataan demi perkataan.

Matlamat utama dalam langkah-langkah proses membaca ialah mempastikan kanak-kanak faham bahan-bahan yang dibaca. Keupayaan memahami apa yang dibaca boleh dilihat daripada beberapa faktor.

Kanak-kanak yang dapat faham dengan jelas, didapati boleh kaitkan maklumat atau pengetahuan mereka ketika membaca. Dalam erti kata lain, mereka dapat aktifkan pengetahuan tersebut yang dikaitkan dengan proses tumbesaran yang sedang dialami.

Kefahaman mereka juga terserlah dalam perbendaharaan kerana amat sukar untuk memahami sesuatu perkara yang belum dapat dikuasai sepenuhnya.

Keupayaan menyoal turut menjadi rangkuman kepada proses memahami, meringkaskan, meramal dan memperjelaskan apa-apa yang dibaca. Semakin banyak bertanya, lebih banyak maklumat dapat dicari dan ianya dapat membantu dalam proses membuat keputusan.

Membina kemahiran membaca di dalam kehidupan kanak-kanak perlu dilakukan oleh guru yang terlatih kerana guru seperti itu mampu menyusun peluang-peluang untuk menambah baik pembacaan khususnya ketika kanak-kanak berhadapan dengan kesukaran ketika membaca. Ibu bapa yang tidak mendapat pendedahan tentang kaedah khusus mengajar membaca tentu sekali sukar menentukan peluang-peluang berkenaan.

Apakah yang mempengaruhi keupayaan membaca?

Membaca sehingga lancar adalah satu proses yang panjang. Ia bermula dari peringkat awal perkembangan kanak-kanak dan sebelum mereka melangkah ke alam persekolahan formal.

Ibu bapa yang prihatin mula memberi rangsangan kepada pengalaman pembelajaran anak-anak mereka bermula sejak belum lahir hingga umur dua tahun. Anak-anak yang membesar dengan pendedahan seperti ini lebih pintar dan cerdas kerana mampu berkomunikasi lebih cepat, perbendaharaan kata yang lebih banyak, faham matlamat membaca dan dapat bina kerangka pembacaan yang kemas dan sistematik.

Kanak-kanak yang lancar membaca pada awal usia terdedah kepada pelbagai jenis bunyi bahasa, konsep rima dan juga bahasa-bahasa lain di sekitar mereka. Pendedahan ini menjadi asas kukuh kepada pembinaan bahasa yang lebih kompleks dan menyeluruh.

Keupayaan membaca kanak-kanak memang lebih banyak dikaitkan dengan latar belakang pengetahuan mereka. Jika diberikan peluang, keupayaan berfikir dan bercakap mengenai perkara yang mereka minat, kita akan dapati banyak maklumat diperoleh melalui membaca.

Thursday, February 05, 2009

Bantu kanak-kanak menulis

Menulis dan membaca adalah sebahagian daripada pembelajaran yang dialami di sekolah dan kedua-dua kemahiran asas ini sangat penting. Adalah menjadi sangat mustahak untuk menggalakkan kanak-kanak mahir menulis seberapa kerap yang mereka mampu.

Memahami proses membina kemahiran menulis dapat merangsang prestasi kanak-kanak dalam pelajaran. Wajar bagi ibu bapa dan penjaga mengetahui beberapa tips mudah untuk membantu kecemerlangan kanak-kanak.

Antaranya ialah:

1. Peruntukkan masa berkualiti untuk berbual-bual dengan kanak-kanak setiap hari.
2. Bacakan berita yang pelbagai jenis supaya anak-anak dapat idea yang lebih luas.
3. Galakkan kanak-kanak menulis di sisi, bukannya berhadapan.
4. Pilih bahan-bahan tulisan yang menyeronokkan.
5. Bentuk peluang-peluang melibatkan diri dalam aktiviti menulis seperti membuat poster atau karangan ringkas.
6. Berbual-bual tentang hasil tulisan kanak-kanak.
7. Memberi pujian kerana mahu mencuba.
8. Elakkan mengkritik kerana kesilapan, fokus pada kandungan.
9 .Bina kreativiti menulis melalui ejaan, mewarna atau menyediakan alat bantu dalam perisian komputer yang ringkas dan mudah.

Friday, January 30, 2009

Membaca dengan kaedah fonik







Fonik adalah satu kaedah pengajaran membaca yang sentiasa mendapat perhatian. Kaedah ini menekankan bunyi huruf.

Bunyi huruf konsonan ialah b c d f g h j k l m n p q r s t v w x y z. Manakala huruf vokal ialah a e i o u.
Fonik adalah siri peraturan di mana kanak-kanak mengingat dan menggunakannya apabila bertemu dengan perkataan-perkataan baru.

Kanak-kanak didedahkan dengan peraturan tertentu seperti menyebut huruf ‘u’ dengan bunyi u (muncungkan bibir) bukannya ‘yu’. Kemudian mereka diminta menyebut dan menulis ‘u’ berulang kali sehingga dapat menggabungkan huruf dan bunyi serentak.

Kadangkala pengulangan bunyi perkataan tidak begitu menyeronokkan seperti ‘ali lari cari ubi.’ Walau bagaimanapun ia membuatkan kanak-kanak berikhtiar untuk mempraktikkan bacaan.

Masalah paling utama dalam kaedah fonik ialah kanak-kanak yang sedang belajar mengingat dengan pendekatan fonik tidak berupaya mengaplikasi kaedah berkenaan apabila membaca bahan bercetak.

Fonik mesti diajar dalam cara yang membenarkan kanak-kanak boleh menggunakannya sebaik sahaja diperkenalkan kepada mereka. Setiap kali bunyi baru diajar, mereka patut diberi bahan bacaan terpilih sebagai pengukuhan.

Kanak-kanak tidak mampu membaca tanpa pengetahuan yang baik dalam fonik. Jika mereka tahu peraturan-peraturan fonik, sudah pasti mereka dapat membaca dengan lancar.

Thursday, January 22, 2009

Mengenal pasti keperluan membaca kanak-kanak

Kemahiran membaca diibaratkan seperti membina blok-blok. Untuk belajar membaca dengan baik, kanak-kanak perlu tahu membunyikan huruf dan memahami maksud perkataan, tatabahasa dan semantik (maksud ayat). Bagi membina asas membaca yang kukuh, kanak-kanak mesti mendapat garis panduan pembelajaran yang berkesan.

Cara yang terbaik untuk mengenal pasti keperluan membaca kanak-kanak ialah berbincang dengan guru, mendengar penerangan mereka apa yang perlu dilakukan sepanjang hari dan memeriksa tugasan sekolah yang diberi.

Guru kelas lebih arif prestasi pembelajaran kanak-kanak dan mereka lebih berkelayakan untuk memberi panduan bagaimana meningkatkan kemahiran membaca. Sekiranya ada saranan yang baik, usah tunggu lama untuk bertindak kerana kemahiran membaca perlu dikuasai dalam masa yang pantas.

Selain guru, pusat membaca juga menjadi institusi tidak formal yang dapat membantu proses memahirkan bacaan kanak-kanak. Tidak seperti di Amerika Syarikat atau Jepun, pusat membaca baru berkembang di negara kita dan masih banyak lagi kekurangannya. Beberapa panduan berikut boleh menjadikan kriteria pemilihan pusat membaca sesuatu yang berbaloi kepada pelaburan kita.

1. Menyesuaikan kanak-kanak dengan kaedah terbaik untuk mereka. Di pasaran terdapat berbagai-bagai jenis kaedah tetapi umumnya ada tiga iaitu mengeja, suku kata dan fonik. Ketiga-tiga kaedah ini boleh dipelajari berdasarkan kebolehan kanak-kanak. Jika bijak, semua kaedah cepat membantu bacaan mereka.

2. Setiap kanak-kanak perlukan tempoh bacaan yang berbeza-beza. Peringkat umur kadangkala menentukan kepintaran mereka. Bagi menghadapi perbezaan ini, terdapat pusat membaca yang memanjangkan tempoh kelas bacaan dan mempelbagaikan teknik pengajaran supaya kanak-kanak mampu membaca walaupun kemajuannya perlahan.

3. Mengenal pasti program membaca yang komprehensif. Ada pusat membaca yang menawarkan program intensif membaca khususnya ketika cuti sekolah. Ia diadakan setiap hari dengan latih tubi yang bersesuaian. Tidaklah rugi untuk menghantar kanak-kanak ke program seperti ini kerana ia membantu mempercepatkan proses membaca, tambahan pula ia meningkatkan kefahaman mereka semasa membaca buku.

4. Mempunyai pengajar atau trainer yang terlatih dari segi komunikasi, psikologi kanak-kanak dan meningkatkan pengetahuan dalam perbendaharaan dan tatabahasa. Walaupun kanak-kanak masih belum belajar membuat ayat yang tepat tetapi penggunaan bahasa yang baik sejak awal dapat mendedahkan mereka kepada penggunaan bahasa yang lebih berkualiti apabila memasuki alam persekolahan kelak.

5. Tanda-tanda yang menunjukkan kanak-kanak suka belajar di pusat membaca ialah mereka ingin datang lagi, bercakap-cakap tentang buku dan membaca buku yang diajar oleh pengajar di rumah. Jika ada tanda seperti ini, harapan anda untuk melihat kanak-kanak cepat membaca akan cerah.

Menentukan keperluan membaca tidak hanya terhad kepada aspek luaran seperti membeli buku yang banyak untuk belajar atau membawa kanak-kanak ke pameran buku, sebaliknya bermula sejak umur setahun lagi supaya proses membaca akan lebib pantas ketika berumur 3 hingga 5 tahun.

Ramai ibu bapa melepaskan peluang keemasan mendedahkan kanak-kanak kepada proses membaca di peringkat umur ini kerana tidak tahu bila dan bagaimana harus bermula. Selepas ini, kita perlu mempastikan kanak-kanak seusia itu mampu diberi pendedahan awal membaca kerana masa depan dalam pendidikan akan menentuka apa dan siapa mereka kelak.

Thursday, January 15, 2009

Komponen membaca

Jarang sekali kita berjumpa dengan remaja berusia 16 tahun yang tidak boleh membaca. Namun itulah yang berlaku di sesetengah tempat apabila kemahiran membaca tidak diberi keutamaan semasa peringkat awal perkembangan kanak-kanak.

Sewajarnya para pelajar di sekolah bukannya bodoh, malas atau menghadapi masalah tingkah laku, sebaliknya pelajar hari ini diletakkan di dalam kelas yang terbaik dan diajar oleh guru khas bagi membantu mereka. Kaedah pengajaran yang terbaik juga disediakan supaya dapat membaca dengan lancar.

Beberapa tahun yang lepas, pakar-pakar bahasa dan pendidik berusaha mengenengahkan kaedah pembacaan yang mudah, berkesan dan menyeronokkan untuk kanak-kanak. Sama ada kaedah mengeja, fonetik atau suku kata, setiap kaedah ini ada kekuatan tersendiri namun masih ramai kanak-kanak yang bersekolah belum berupaya membaca dengan lancar. Bagi mengatasi masalah ini, saintis bahasa menjalankan penyelidikan untuk mengenal pasti bagaimana kanak-kanak belajar membaca.

Hasil kajian memberikan beberapa keputusan yang menarik. Antaranya ialah 90 hingga 95 peratus kanak-kanak boleh belajar membaca dengan lancar jika ada program intervensi yang bersesuaian.

Ibu bapa boleh membuat penambahbaikan tahap bacaan anak-anak dengan memperuntukkan 15 minit sehari bersama mereka menggunakan bahan-bahan atau maklumat dari buku, aktiviti membina daya ingatan atau membacakan buku-buku yang baik bersama-sama.

Membaca bermula daripada mendengar atau menggunakan deria pendengaran. Apabila ibu bapa atau orang dewasa bercakap kepada kanak-kanak, maklumat dimasukkan ke telinga mereka melalui bunyi bahasa percakapan terus ke otak untuk diproses. Bahagian otak yang diprogramkan dengan pendengaran akan memberi tindak balas untuk tindakan seterusnya. Dari semasa ke semasa, perbendaharaan kata kanak-kanak akan berkembang kepada beribu-ribu perkataan.

Lebih banyak perkataan diucap, dinyanyi dan dibacakan kepada mereka, keupayaan untuk bercakap menjadi semakin menyerlah. Ini kerana otak kanak-kanak tidak secara automatik dihubungkan dengan kemahiran membaca. Kanak-kanak perlukan bantuan dan sokongan daripada orang lain seperti ibu bapa, adik-beradik dan guru untuk menjadi pembaca yang berkesan.

Persediaan membaca yang aktif bermula apabila pendengaran kanak-kanak telah bersedia. Terdapat beberapa perkara yang kita boleh lakukan untuk mendapatkan perhatian kanak-kanak. Di antaranya ialah mengajar mereka membentuk rima melalui aktiviti bermain dan membacakan pantun atau puisi yang ada elemen rima.

Ajar kanak-kanak nama huruf dan bunyi serentak. Cara ini merupakan bahagian yang mustahak dan utama dalam proses membaca. Elakkan daripada meletakkan sepenuh keyakinan ke atas kebolehan membaca anak-anak di dalam kelas kerana sesetengah huruf mempunyai bunyi yang hampir sama, dan ini boleh mengelirukan kanak-kanak.

Apabila kanak-kanak belajar membunyikan huruf, ajarkan mereka untuk mengenalkan huruf tersebut supaya dapat mengenal pasti bunyi baru. Pengetahuan ini boleh membantu mereka membaca lebih banyak perkataan baru yang sukar.

Dapatkan beberapa perkataan dan ayat yang mudah, minta mereka sebut dengan betul. Antara contoh perkataan ialah ‘amal’, ‘ramal’, ‘awal’, ‘kawal’, ‘ha’, dan ‘mahal. Manakala ayat yang mudah ialah ‘hari ini hari rabu, hari rabu sani suka baca buku’.

Ibu bapa wajar membantu anak-anak membaca buku-buku terpilih setiap hari. Melalui kebiasaan seperti ini, sedikit demi sedikit minat membaca dapat disuburkan sejak kecil. Dengan pengetahuan yang lebih awal, anak-anak akan belajar sehingga mampu membentuk persepsi sendiri terhadap membaca.

Kanak-kanak sangat gemar dengan buku yang berwarna-warni dan terang. Jika kita bercerita tentang gambar dan membaca perkataan yang tertera, ia dapat membantu membina kemahiran bahasa mereka. Secara langsung mereka belajar memahami bahawa kandungan buku tidak berubah.

Kita akan dapat melihat beberapa perubahan ke atas tabiat mereka terhadap buku seperti menunjukkan minat berkongsi buku, bermain-main dengan aktiviti membaca, mencari-cari muka surat yang mengandungi cerita kegemaran atau membaca dengan nada yang lantang.

Thursday, January 08, 2009

Mengajar bunyi huruf

Setiap kanak-kanak mesti tahu membunyikan huruf untuk membaca. Mereka juga mesti berupaya mengingat dengan pantas iaitu melihat huruf dan menyebutnya dengan segera tanpa ragu-ragu.

Kita dapat melakukannya dengan langkah-langkah berikut:

1. Uji tahap pengetahuan kanak-kanak tentang bunyi huruf dari a hingga z. Tunjukkan huruf berkenaan dan tanya mereka ‘Bagitau mama apa bunyi huruf ini?’ Di samping itu, untuk menguji tahap pengetahuan dan ingatan mereka, senaraikan huruf-huruf yang tidak mempunyai gambar dan minta mereka membunyikan huruf berkenaan. Dalam ujian ini, kanak-kanak bergantung sepenuhnya kepada kekuatan daya ingatan.

Adalah penting untuk benar-benar memahami peringkat ini kerana kita tidak meminta kanak-kanak menyebut nama huruf sebaliknya membunyikan huruf.

Andai kata kanak-kanak tidak dapat membunyikan huruf dengan lancar atau langsung tidak tahu, bantu mereka dengan menyebut dan menulis dengan betul huruf tersebut. Semasa menyebut, gunakan jari telunjuk mereka untuk belajar menulis huruf berkenaan dengan cara yang betul.

2. Jika kanak-kanak perlu belajar untuk mengingat bunyi-bunyi huruf, bantu mereka membuat buku huruf sendiri. Letakkan gambar-gambar yang menjadi kebiasaan dan sering dilihat, berwarna-warni dan bersaiz besar. Minta kanak-kanak lukis atau tampal gambar yang bermula dengan setiap huruf.

3. Latih proses menyebut bunyi huruf dengan carta huruf bersama gambar. Tunjukkan setiap huruf yang disebut dan dibunyikan serentak. Kaitan di antara mendengar dan melihat sangat berkesan untuk memperkenalkan huruf atau perkataan baru kepada kanak-kanak. Ulang proses ini setiap hari sehingga mereka dapat mengingat dan menunjukkan huruf dan membunyikan bunyi huruf dengan betul.

Kanak-kanak mempunyai tahap pembelajaran yang berbeza. Mereka akan belajar bunyi huruf dengan cepat melalui latihan yang berterusan.

Thursday, January 01, 2009

Berkongsi membaca

Berkongsi membaca menggalakkan minat kanak-kanak untuk membaca dari peringkat awal. Kaedah ini amat sesuai untuk kanak-kanak prasekolah yang mahu membaca dan menunjukkan kesediaan ke arah tersebut.

Bersama-sama membaca dapat membantu kanak-kanak yang memulakan persekolahan tetapi kurang yakin dengan teknik membaca yang diajar oleh guru. Bagi yang tidak lancar membaca, rakan kongsi membaca mampu memberi keyakinan diri untuk berani mencuba dan melancarkan bacaan.

Kanak-kanak sangat gemar melakukan sesuatu kerja secara bersama-sama.Ia adalah pendekatan yang mudah dan ringkas khususnya ibu bapa yang jarang bersama dengan anak-anak. Cara ini bertujuan membina keyakinan diri dan rasa selamat untuk membaca dan TIDAK difokuskan pada kesilapan.

Jika berlaku kesilapan menyebut bunyi huruf atau membunyikan patah perkataan, rakan kongsi membaca mesti membetulkannya serta-merta supaya dia tidak ulang kesilapan tersebut pada bacaan yang seterusnya.

Berkongsi membaca ada dua peringkat. Peringkat pertama adalah membaca bersama-sama. Apa yang patut dilakukan ketika ini ialah:

1. Membiarkan kanak-kanak memilih buku yang disukai. Apa sahaja tema atau bentuk buku yang dipilih, banyak gambar atau tulisan, serahkan kepada minat mereka. Anda hanya memerhati dan memuji pilihan buku berkenaan sambil berjanji akan membaca bersama-sama.

2. Suara mesti jelas, intonasi mengikut cerita dan memegang jari telunjuk kanak-kanak di bawah huruf atau ayat yang dibaca. Kelebihan menggunakan jari ialah dapat membantu kanak-kanak memberi fokus kepada apa yang dibaca dan mengelakkan gangguan daripada persekitaran.

3. Kesilapan ketika membaca adalah biasa. Jadi, cara menegur dan membetulkan kesilapan juga sangat penting kerana salah tegur akan mengurangkan minat untuk membaca. Kanak-kanak boleh diajar dan dibetulkan kesilapan bacaan.

4. Ulang sesi membaca 2 hingga 3 kali sehari. Setiap sesi tidak perlu panjang, cukup hanya 15 minit kerana pada kanak-kanak, mereka merasakan lima minit adalah satu tempoh yang panjang.

Peringkat kedua ialah berkaitan keselesaan membaca. Pengetahuan rakan kongsi membaca yang baik dapat membantu memberi rasa seronok dan menambah minat kanak-kanak membaca. Jika anda bijak memujuk kanak-kanak yang sentiasa lari ke sana-sini untuk duduk sebentar membaca, anda adalah seorang pendidik yang hebat.


Menarik perhatian kanak-kanak untuk duduk di sebelah dan membuka buku kegemaran mereka akan menjadi lebih mudah jika ada ruang khas membaca. Misalnya di rumah, jika ada ruang membaca yang dibuat untuk semua orang menggunakannya, ia dapat membantu kanak-kanak meniru perbuatan orang dewasa mentelaah.

Semasa membaca, biasakan diri anda berada di sebelah atau meriba mereka supaya wujud semangat yang berkobar-kobar untuk membaca. Anda juga dapat memberi perhatian ke atas setiap kesilapan huruf yang disebut.

Andai kata kanak-kanak tidak mahu diganggu ketika mereka sedang asyik membaca, biarkan saja keadaan itu. Sebenarnya mereka sedang berada dalam alam yang mengasyikkan. Kadangkala kita akan perasaan mereka bercakap seorang diri ketika membelek buku.

Thursday, December 25, 2008

Memilih bacan bacaan

Kesilapan umum yang dilakukan oleh ibu bapa ialah mendesak kanak-kanak membaca keseluruhan buku. Cara ini jauh lebih menyukarkan daripada membaca sedikit demi sedikit atau bab demi bab.

Cara yang terbaik ialah membaca helaian demi helaian atau perenggan demi perengan mengikut kemampuan kanak-kanak. Bermula dari bahagian yang senang dan berakhir dengan bahagian yang sukar.

Jika kita meminta kanak-kanak membaca buku yang sesuai dengan tahap keupayaannya, kesilapan umum yang dilakukan ialah satu atau dua kesalahan daripada 20 perkataan. Jika kesilapan yang dilakukan lebih daripada jumlah ini, ia memberi kekecewaan dan menghalangnya daripada meneruskan pembacaan.

Bagi mengelakkan kita memaksa kanak-kanak membaca dan menyebabkan minat membaca semakin berkurangan, langkah-langkah berikut boleh difikirkan. Semuanya dilakukan sebanyak dua kali.

1.Baca satu atau dua helai muka surat.
2.Baca bersama-sama.
3.Akhir sekali, minta kanak-kanak membaca semula.

Teknik seperti ini iaitu mengulang baca dapat merangsang ingatan yang berterusan di samping melatih sebutan huruf atau gabungan ayat dengan betul. Ia juga dapat membantu mereka belajar dan praktis membaca dengan lebih lancar.

Pada masa yang sama meningkatkan kefahaman iaitu kemahiran-kemahiran penting untuk membaca.

Thursday, December 18, 2008

Bantu kanak-kanak belajar membaca

Apabila ibu bapa dan penjaga membantu kanak-kanak belajar membaca, mereka membantu membuka pintu kepada dunia baru masa depan. Sebagai ibu bapa, kita sebenarnya telah memulakan rantaian pembelajaran yang tidak ada noktah.

Membaca kepada kanak-kanak bererti membina minat terhadap cerita, puisi, pantun, peribahasa, drama dan keinginan berusaha sendiri. Setiap kali mereka praktis membaca, sedikit demi sedikit akan terpupuk dalam diri mereka bahawa maklumat untuk membuat tindakan.

Secara tidak langsung menerapkan pemikiran baru yang dapat meluaskan dunia kehidupan mereka.

Apakah yang aktiviti yang baik untuk kanak-kanak berumur 3 hingga 10 tahun?

1.Baca bersama anak-anak dan jadikan ia masa bergembira bersama.
2.Rangsang minat anak dalam pembacaan dan bahasa.
3.Mengambil tahu kaedah membaca kanak-kanak di sekolah dan cuba bantu mereka untuk membaca di rumah.


Kita tidak perlu menjadi pengajar membaca yang hebat atau mengambil banyak masa untuk membaca bersama kanak-kanak. Perkara paling penting ialah menggunakan masa yang berkualiti, berterusan dan memenuhi keperluan membaca mereka.

Kelancaran membaca bergantung kepada dua kemahiran kritikal iaitu keupayaan mengenal pasti dan memproses ayat yang bercetak dan kedua ialah keupayaan memahami bahasa yang ditulis.

Kanak-kanak yang telah sedia memahami bahasa yang dituturkan, lancar dan cepat menangkap perkataan yang ditulis tidak mempunyai masalah besar untuk memahami buku yang dibaca. Bagaimanapun kanak-kanak yang ingin maju dalam pelajaran mesti menguasai kedua-dua keupayaan tadi, jika tidak proses membaca akan terbantut.

Di akhir sesi membaca, kanak-kanak sepatutnya berupaya menceritakan kembali kefahaman mereka dalam bentuk bahasanya tentang watak, plot cerita dan pengalaman-pengalaman yang menarik. Para penyelidik pembacaan menyifatkan pembaca mahir adalah seorang yang memahami apa yang ditulis di samping faham petikan-petikan tersebut apabila bercakap.

Thursday, December 04, 2008

Kemahiran mendengar

Para penyelidik cuba melihat otak kanak-kanak ketika menjalankan kerja-kerja literasi mereka bagi mengenal pasti bahagian yang menentukan keupayaan membaca. Dengan menggunakan magnetic resonanse imaging (MRI), mereka membuat rumusan bahawa pembaca yang lemah menunjukkan perbezaan dalam aktiviti otak berbanding mereka yang boleh membaca dengan lancar. Bahagian tersebut adalah di pusat bahasa.

Apakah maksud penemuan ini? Dari segi fizikal, kanak-kanak yang berusaha untuk membaca menunjukkan perbezaan apabila cuba untuk membunyikan perkataan yang tidak biasa disebut. Mereka sukar mengingati bunyi huruf yang membentuk perkataan kerana kemahiran mendengar sangat lemah. Oleh itu mereka tidak dapat mengenal pasti perkataan yang mereka lihat sebelumnya.

Hasil kajian juga mendapati bahagian-bahagian lain otak berfungsi dengan baik dan mereka dapat dibentuk menjadi pembaca yang hebat. Berita baik ialah otak kanak-kanak tidak keras seperti batu sebaliknya boleh dirangsang dan ditingkatkan keupayaannya. Kemahiran berbahasa dan mendengar boleh ditambah.

Kanak-kanak boleh menjadi seorang pembaca yang baik dengan bantuan ibu bapa atau penjaga mereka dan proses ini hanya mengambil masa selama 15 sehari.

Dalam keadaan normal, kanak-kanak belajar membaca dengan menggunakan kombinasi tiga kaedah iaitu mengeja, fonetik dan suku kata. Jika hanya salah satu kaedah membaca digunakan, ia hanya dapat membantu beberapa orang kanak-kanak.


Malah jika menggunakan dua daripada tiga kaedah ini juga masih terdapat ramai kanak-kanak yang tidak mampu membaca dengan lancar. Bagaimanapun apabila ketiga-tiga kaedah ini digabungkan dan diajar kepada kanak-kanak yang sesuai, kemahiran membaca akan meningkat dengan mendadak.

Thursday, November 27, 2008

Menilai kanak-kanak prasekolah yang lembap







Dalam tempoh 25 tahun yang lalu, taraf kesihatan dan pemakanan kanak-kanak di negara ini telah meningkat. Ini menjadi faktor utama menurunnya kadar kematian bayi dan kanak-kanak berbanding masa lalu. Bilangan anak dalam sesebuah keluarga pula semakin berkekurangan. Justeru ibu bapa menumpukan perhatian yang lebih kepada perkembangan intelek anak-anak. Mereka sangat khuatir jika anak-anak yang berada dalam lingkungan usia tiga hingga lima tahun atau di peringkat prasekolah didapati lembap.

Kecacatan-kecacatan yang serius biasanya mudah dikenal pasti oleh ibu bapa sebelum anak menjangkau usia tiga tahun. Ini termasuklah cacat penglihatan, rencat akal yang teruk serta cacat fizikal yang mengakibatkan ketidakupayaan untuk mengerakkan tangan dan kaki seperti lazimnya. Namun, ada sesetengah ibu bapa yang merasakan anak mereka terlalu lembap dibandingkan dengan kanak-kanak yang sebaya walaupun pada zahirnya kelihatan normal. Ibu bapa yang bersikap demikian sebenarnya membuat kesimpulan daripada pemerhatian mereka terhadap pencapaian kefahaman bahasa atau keupayaan pertuturan anak mereka yang dirasakan lebih lambat berbanding dengan kanak-kanak yang sebaya.

Ibu bapa sering membandingkan kebolehan anak mereka dengan adik-beradik yang lain atau dengan anak jiran tetangga. Namun, pada hakikatnya kanak-kanak berbeza antara satu sama lain dari segi pencapaian sesuatu ciri perkembangan. Ibu bapa mungkin menganggap anak mereka lembap jika si anak lebih lambat memperoleh kemahiran bertutur, membaca, bergaul dan berdikari berbanding dengan adik-beradik yang lain. Ada juga ibu bapa yang ditemui tidak langsung berasa bimbang tentang prestasi intelek anak mereka walaupun si anak memang lembap jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang sebaya. Oleh itu, persepsi ibu bapa terhadap anak akan mempengaruhi mereka dalam membuat penilaian tentang prestasi intelek anak.

Kadangkala, persekitaran dan cara gaya keibubapaan yang tidak menggalakkan perkembangan anak boleh menjadi punca sesetengah kanak-kanak prasekolah lembap dari segi pencapaian bahasa, kemahiran sosial dan kebolehannya melakukan aktiviti-aktiviti tanpa bantuan orang lain seperti makan, minum, menukar pakaian dan sebagainya.

Tidaklah menghairankan mengapa kanak-kanak di pusat-pusat jagaan yang tidak mendapat cukup perhatian didapati lembap dalam banyak aspek. Ini dibuktikan melalui satu projek penyelidikan yang pernah dijalankan di pusat jagaan kanak-kanak tempatan oleh Jabatan Pediatrik, UKM dalam tahun 1983.

Kanak-kanak tersebut telah dibahagikan kepada dua kumpulan dan diuji daya intelek mereka. Satu kumpulan telah diberikan program pengayaan (enhancement programme) yang memerlukan juga penglibatan sekumpulan wanita secara sukarela yang telah dilatih tentang cara-cara merangsang bayi dan kanak-kanak. Mereka telah meluangkan banyak masa untuk berinteraksi, bercakap, bercerita, bermain, membelai, mengasuh serta melayan kanak-kanak ini makan, minum, pakai baju dan buka seluar sendiri.

Selepas dua bulan, setiap kanak-kanak dalam kedua-dua kumpulan telah diuji inteleknya. Didapati bahawa kanak-kanak dalam kumpulan yang telah mendapat rangsangan lebih cepat mencapai kemahiran bertutur, berdikari, bersosial dan sebagainya. Ini menunjukan betapa kuatnya faktor stimulasi dalam proses meningkatkan prestasi intelek seseorang kanak-kanak itu.

Pakar kanak-kanak menyarankan agar kanak-kanak yang mengalami masalah perkembangan dikenal pasti dari awal-awal lagi supaya rancangan pemulihan atau pengayaan dapat diatur untuknya. Faktor-faktor negatif yang mempengaruhi perkembangannya perlu dikenal pasti untuk membolehkan pakar-pakar merancang program pemulihan dari peringkat awal lagi. Banyak kajian telah menunjukkan bahawa intervensi awal lebih membawa manfaat daripada intervensi yang dijalankan apabila si anak sudah dewasa.

Punca seseorang anak itu lembap prestasi inteleknya boleh dikaitkan dengan faktor biologi (baka) dan faktor budaya atau kekeluargaan. Faktor baka banyak mempengaruhi prestasi intelek seseorang kanak-kanak tetapi tanpa persekitaran yang optimum, kanak-kanak itu tidak dapat mencapai potensi yang optimum. Jika penilaian terhadap kanak-kanak prasekolah yang lembap dilakukan dari awal-awal lagi, dapatlah program pembelajaran masa depannya diaturkan. Ibu bapa perlu mengetahui kekutan-kekuatan dan kelemahan-kelemahan anak mereka. Mereka perlu dibimbing oleh para profesional tentang cara gaya keibubapaan dan strategi-strategi pembelajaran yang betul supaya intervensi awal dapat di jalankan di rumah.

Kanak-kanak prasekolah yang bagaimanakah yang perlu dinilai?

Pengetahuan tentang perkembangan kanak-kanak telah berkembang dengan pesatnya melalui sumbangan-sumbagan pakar kanak-kanar, pakar psikologi, pakar pendidikan dan pakar patologi pertuturan (speech pathologist). Memandangkan perkembangan yang pesat dalam bidang ini, pendekatan yang bercorak multidisiplinari telah digunakan di negara-negara maju. Walau bagaimanapun, pendekatan ini amat sukar dilaksanakan di negara-negara membangun seperti Malaysia yang masih kekurangan pakar dalam bidang-bidang berkenaan. Bagi menilai seseorang kanak-kanak prasekolah yang lembap, pengetahuan dalam bidang perubatan pediatrik (paediatrics medicine), sains urat saraf dan psikologi (nuerilogical and psychological sciences), embriologi, patologi pertuturan, pendidikan, perubatan sosial jurulatih cara kerja dan jurupulih cara anggota diperlukan.

Doktor dan pakar kanak-kanak merupakan golongan profesional yang mula-mula berhadapan dengan kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan atau perkembangan. Merekalah yang perlu memastikan sama ada kanak-kanak tersebut menghidap sebarang penyakit lain yang memerlukan rawatan atau tidak. Mereka juga perlu memastilkan sama ada tumbesaran yang dihadapi oleh kanak-kanak itu disebabkan oleh penyakit, kurang zat pemakanan atau lain-lain. Masalah pendengaran atau penglihatan perlu dikenal pasti. Pakar tersebut juga akan menentukan sama ada masalah perkembangan yang dialami oleh seseorang kanak-kanak adalah disebabkan oleh faktor baka, kurang zat pemakanan atau kurang rangsangan. Merekalah yang bertanggungjawab mengatur penilaian lanjut oleh pakar-pakar psikologi dan para profesional dalam bidang yang berkaitan, jika perlu.

Para profesional dalam bidang perkembangan kanak-kanak mempunyai teknik mereka sendiri untuk menilai kanak-kanak yang bermasalah. Apa yang agak merumitkan ialah keadaan di mana seseorang kanak-kanak itu mengalami masalah rencat akal akibat sesuatu penyakit atau lain-lain keadaan yang memerlukan rawatan. Contohnya ialah seorang kanak-kanak yang berusia tiga tahun yang dikatakan lembap. Dia mula pandai berjalan hanya pada usia dua tahun serta masih belum pandai bertutur, sukar memahami sesuatu arahan yang diberi, kurang aktif dan bantut. Kebetulan, dia mengalami keadaan yang dinamakan congenital hypothyroidism dan memerlukan penilaian doktor untuk memastikan keadaan ini. Dianggarkan satu daripada seribu orang kanak-kanak yang mengalami congenital hypothyroidism. Kanak-kanak yang mengalami perkembangan perlu dipasti sama ada menghidap keadaan di atas atau tidak.

Keadaan ini boleh dirawat dengan menggunakan hormon tiroksina. Pakar psikologi atau pakar pendidikan perlulah benar-benar pasti bahawa kanak-kanak yang lembap mengalami masalah perubatan dan merujukkan kes-kes berkenaan kepada pakar kanak-kanak atau doktor untuk pemeriksaan selanjutnya.

Jika si anak dinilai oleh seorang pakar psikologi atau pakar pendidikan, pendiagnosan penyakit tidak akan dibuat kecuali pakar tersebut berhubung rapat dengan doktor atau pakar kanak-kanak.

Penyakit sawan yang terbiar tanpa rawatan boleh menjejaskan prestasi intelek kanak-kanak yang menghidapinya. Ahli profesional yang tidak mempunyai latar belakang perubatan mungkin tidak akan terfikir untuk menimbangkan kemungkinan ini. Oleh itu, penyakit sawan kanak-kanak itu kemungkinan lambat atau tidak akan dirawat langsung. Saya pernah bertemu seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang telah menghidap penyakit sawan selama tiga tahun. Daripada sejarah latar belakang, sungguh ketara sekali yang dia menghidap penyakit tersebut. Pemeriksaan electroen-cephalogram (EEG ) menyokong diagnosis ini dan telah dirawat dengan ubat tahan sawan .

Sawan ada berbagai-bagai jenis. Sejenis sawan yang dinamakan petit mal epilepsy yang sering menyerang kanak-kanak akan mengakibatakan si mangsa secara tiba-tiba termenung beberapa ketika walaupun sejurus sebelum itu dia bercakap atau sedang menjalankan sesuatu aktiviti. Peristiwa ini mungkin berlaku 10 hingga 20 kali dan perlu dirawat dengan ubat. Tanpa rawatan, dia tidak akan dapat menumpukan perhatian kepada pelajarannya di dalam bilik darjah.

Kanak-kanak yang bagaimana yang memerlukan penilaian?


Dari pengalaman saya, kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak yang bermasalah dapat mengesan jika ada sesuatu yang tidak kena pada anak mereka itu. Namun, sama ada mereka akan mengambil perhatian berat dan mendapatkan nasihat para profesional dengan segera tidaklah dapat dipastikan.

Pada pandangan saya, bilangan kanak-kanak prasekolah yang dikenal pasti lembap dan diberi intervensi awal oleh para profesional adalah terlalu kecil. Golongan yang mempunyai taraf sosioekonomi rendah biasanya mempunyai ratusan kanak-kanak prasekolah lembap yang lebih tinggi dibandingkan dengan golongan yang mempunyai tahap sosioekonomi dan taraf pendidikan yang tinggi.

Kanak-kanak yang termasuklah dalam golongan di bawah mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami masalah pembelajaran. Penilaian para profesional yang arif tentang masalah ini perlu di peroleh.

Mereka yang dilahirkan ringan timbangan beratnya (kurang daripada 2.5kg) terutamanya jika mereka pernah menerima rawatan intensif selepas dilahirkan akibat kelemasan (perinatal aspyxia) atau penyakit kuning yang serius (septicaemia).

1. Mereka yang mempamerkan ciri-ciri perkembangan yang lambat.
2. Mereka yang sering berpenyakit.
3. Mereka yang menunjukan prakelakuan seperti kurang tumpuan perhatian (attenspan deficit disorder), masalah pergaulan dan masalah komunikasi.
4. Mereka yang tinggal dalam suasana rumah tangga dan keluarga yang kucar-kacir sehingga mereka berasa kurang tenteram.

Bagaimana menilai kanak-kanak prasekolah yang lembap?

Sejarah hidup kanak-kanak yang terperinci perlu dicatatkan. Maklumat-maklumat yang diperoleh dapat membantu doktor menentukan sama ada kanak-kanak itu benar-benar mempunyai masalah pembelajaran dan sebab-sebab timbulnya masalah tersebut.

Contohnya kanak-kanak berusia 3 1/2 tahun yang hanya boleh menuturkan beberapa patah perkataan sahaja tetapi boleh menuturkan beberapa patah perkataan sahaja tetapi boleh memahami dan mengikut arahan-arahan yang diberikan walaupun kepintarannya dianggarkan hanya setaraf dengan kanak-kanak yang berusia dua tahun.

Keupayaan dari segi pelaksanaan aktiviti-aktiviti harian seperti makan minum, tukar pakaian, berjalan dan sebagainya adalah memuaskan. Dia dilahirkan prematur (32 minggu sahaja) dan telah disahkan menghidap sawan pada hari pertama kelahirannya. Ini disebabkan oleh kekurangan bahan glukosa dalam darahnya pada masa itu.

Maklumat ini penting untuk memahami punca asa kelembapan pemikiran si anak ini. Pakar kanak-kanak sudah lama mengetahui bahawa sawan di peringkat pranatal yang disebabkan oleh kekurangan bahan kimia glukosa boleh mengakibatkan seseorang anak itu lembap pemikirannya apabila dia meningkat dewasa. Itulah sebabnya setiap bayi yang dilahirkan prematur diawasi supaya tahap glukosa dalam darahnya sentiasa berada pada paras normal.

Satu lagi kes melibatkan seorang kanak-kanak lelaki yang berusia tiga tahun yang telah dibawa berjumpa doktor kerana didapati tahap pemikirannya lembap. Apabila dikaji sejarah hidupnya secara terperinci, didapati bahawa dia pernah mendapat penyakit meningitis atau lembam otak pada usia tiga tahun. Penyakit meningitis boleh mengakibatkan rencat otak, pekak atau sawan.

Kedua-dua kes ini menunjukkan betapa pentingnya kajian yang terperinci ke atas sejarah hidup seseorang kanak-kanak itu untuk mengetahui punca-punca atau sebab-sebab pemikirannya lembap.

Kajian terhadap perkembangan bahasa seseorang kanak-kanak juga amatlah penting kerana kanak-kanak yang lembap mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami masalah pembelajaran apabila meningkat dewasa .

Lazimnya, pada usia tiga tahun seorang kanak-kanak yang normal sudah boleh bercakap menggunakan ayat yang penuh, umpamanya, “Mak, adik haus, nak minum air oren.” Kanak-kanak berusia tiga tahun yang rencat akal mungkin hanya boleh bertutur satu atau dua patah perkataan sahaja.

Ada berbagai-bagai punca yang menyebabkan seseorang kanak-kanak lambat bercakap. Antaranya ialah kurang daya pendengaran, kurang peluang bergaul dan berinteraksi dengan orang di sekelilingnya, rencat akal dan mungkin juga kerosakan di bahagian otak yang menguasai fungsi pertuturan. Saya pernah bertemu kanak-kanak yang lambat bercakap walaupun dia boleh memahami dan mengikuti arahan-arahan yang diberikan. Kanak-kanak yang sebegini seolah-olah kurang mempunyai motivasi untuk bercakap.

Pemeriksaan fizikal tidak menunjukan apa-apa masalah seperti kurang pendengaran, kerosakan pada alat pertuturan dan sebagainya. Perkembangan dari segi yang lain juga memuaskan. Apabila dikaji latar belakang keluarganya, didapati ayahnya juga lambat bercakap sewaktu kecilnya dahulu. Oleh itu, masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak itu kelihatannya ada kaitan dengan baka dan tidak perlu bimbangkan kerana dia bercakap dengan normal apabila dewasa. Memang tepat seperti yang diduga, kemahiran pertuturannya meningkat dalam tempoh masa beberapa bulan kemudian.

Pemeriksaan perkembangan kanak-kanak prasekolah yang lembap perlu dijalankan untuk menentukan tahap perkembangannya dalam aspek seperti pergerakan motor halus, kemahiran kendiri dan juga kemahiran sosialnya. Jika dia mempamerkan tingkah laku yang abnormal seperti kurang tumpuan perhatian, terlalu aktif, tidak mahu bergaul dengan orang lain atau asyik bersendirian, perhatian yang sewajarnya perlu diberikan kerana ini boleh menjejaskan perkembangan bahasanya. Jika perkembangan pertuturannya berlainan daripada kanak-kanak lain, perhatian juga perlu diberikan.

Kebolehan melukis, meniru gambar lukisan atau membuat sesuatu bentuk dengan kiub boleh memberi maklumat tentang prestasi inteleknya. Umpamanya, kanak-kanak yang berusia tiga tahun lazimnya sudah boleh meniru bentuk bulatan dengan pensil jika disuruh dan boleh mengecam serta menunjukan gambar-gambar binatang dengan tepat seperti yang di arahkan oleh si penguji.

Dalam menilai prestasi intelek seseorang kanak-kanak, penguji perlulah meninjau kebolehannya dari berbagai-bagai segi termasuklah kemahiran pertuturan, keupayaan memahami bahasa yang digunakan oleh orang lain, kebolehan menggunakan tangannya untuk melukis, mereka bentuk model, meniru susunan kiub dan memasukkan sesuatu bentuk geometrik ke dalam acuannya.


Dari bahasa dan percakapan kanak-kanak, dapatlah seseorang penguji itu menganggarkan tahap pemikirannya. Namun, jika seseorang kanak-kanak itu pekak atau tidak berupaya bersuara seperti kanak-kanak biasa, ujian-ujian ini akan diubahsuaikan. Umpamanya kecerdasan pemikiran seorang kanak-kanak yang pekak dan tidak boleh bercakap seperti kanak-kanak biasa boleh diukur berdasarkan keupayaannya mematuhi arahan-arahan si penguji.

Satu kaedah ujian yang digunakan bagi kanak-kanak pekak yang berusia dua tahun ialah dengan menyuruh dia menunjukkan mulut, rambut, mata, hidung dan telinganya. Satu cara lagi ialah dengan menyuruh dia menunjuk ke arah gambar kucing, kereta, botol susu dan sebagainya. Gambar-gambar yang dipilih mestilah sesuai dengan tahap intelek kanak-kanak itu.

Pakar kanak-kanak dan pakar psikologi perkembangan kanak-kanak yang mahir boleh menilai tahap perkembangan seseorang kanak-kanak dari pelbagai segi hanya dengan memerhatikan kanak-kanak itu menjalani ujian-ujian yang diaturkan, meneliti tingkah lakunya. Pergaulan dan cara berinteraksi dengan orang lain juag boleh memberi maksud tertentu. Pakar tersebut juga boleh memerhatikan tingkah laku kanak-kanak tersebut tatkala dia bermain-main seorang diri atau bersama-sama kanak-kanak lain dan juga dengan mendengar pertuturannya yang secara tidak langsung dapat memberikan gambaran tentang apa yang terkandung dalam pemikirannya (thought content).

Satu kaedah yang saya gunakan untuk kanak-kanak yang berusia dua hingga tiga tahun ialah dengan menunjukkan gambar-gambar serta menyuruh dia bercerita tentang setiap gambar itu. Gambar-gambar yang biasa saya gunakan ialah gambar pemandangan di tepi laut, lapangan terbang, suasana di pasar, pemandangan di tengah-tengah kota raya dan sebagainya. Kanak-kanak yang bijak akan menunjukkan kebolehannya bercerita dengan baik tentang setiap gambar itu.

Kebanyakan pakar kanak-kanak tidak mempunyai masa yang cukup untuk meneliti perkembangan kanak-kanak prasekolah yang lembap. Mereka hanya sekadar dapat membuat pendiagnosan masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak itu mungkin terpaksa merujuk pada ahli psikologi untuk mendapat keputusan ujian intelek yang lebih terperinci.


Dalam menjalankan pemeriksaan, pakar kanak-kanak akan meninjau prestasi tumbesaran kanak-kanak itu dengan menggunakan carta tumbesaran (growth chart). Dia akan memastikan yang kanak-kanak itu tidak mengalami masalah pendengaran dan penglihatan. Kanak-kanak yang bermasalah akan dirujukkan kapada pihak-pihak yang berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Pakar-pakar yang menjalankan pemeriksaan perkembangan urat saraf (neurodevelopmental examinition) akan memastikan sama ada si anak itu boleh menggerakkan kaki dan tangannya tanpa rasa kekok atau mempamerkan sebarang ciri-ciri kelemahan dan gerakan yang tidak normal. Dia juga perlu meninjau sama ada tumpuan perhatian kanak-kanak itu singkat atau tidak dan sama ada kemahiran pengamatan (perceptual skills), daya ingatan (memory), cara memproses sesuatu maklumat atau stimulasi yang diberikan serta tingkah laku kanak-kanak itu memuaskan atau tidak.

Kadangkala, pemeriksaan terhadap kanak-kanak yang lembap mungkin mendedahkan kelainan-kelainan tertentu seperti rabit lelangit (cleft palate), buah zakar tidak turun (undescended testis), masalah jantung dan katarak mata. Penyakit-penyakit seperti lelah, resdung, sawan tidak membesar (failure to thrive), pucat dan sebagainya perlu dirawat terlebih dahulu sebelum penilaian intelek kanak-kanak prasekolah yang lembap ini boleh dilakukan dengan memuaskan. Kanak-kanak yang pucat (anaemic) mungkin mengalami masalah kecacingan. Dia juga sering mengantuk, tidak bermaya dan tidak menunjukan minat untuk belajar.
Intervensi awal
Penilaian ke atas kanak-kanak dari peringkat prasekolah awal adalah penting supaya program-program intervensi awal dapat diaturkan. Program-program intervensi juga perlu disesuaikan untuk setiap kanak-kanak menurut diagnosis, kekuatan dan kelemahan kanak-kanak itu sendiri.

Sesuatu program yang diatur itu mempunyai objektif tersendiri yang perlu difahami oleh ibu bapa. Umpamanya, jika seseorang kanak-kanak itu tidak mempunyai motivasi untuk bercakap, usaha-usaha untuk merangsang minatnya, membina keyakinan diri dan memberi dia peluang berinteraksi serta bergaul dengan dengan rakan-rakan sebaya boleh dijalankan.

Kanak-kanak yang berusia tiga hingga empat tahun yang masih tidak mempamerkan kemahiran pengamatan (perceptual skills) boleh diberikan pendidikan khas. Jika penguasaan bahasanya lemah, dia haruslah digalakkan supaya lebih banyak berbual serta mengikuti sesi-sesi bimbingan khas untuk mempertingkatkan kefahaman bahasanya.

Sebagaimana yang telah diterangkan, kemahiran bahasa mempunyai kaitan yang rapat dengan pencapaian akademik. Oleh itu , perhatian yang sewajarnya haruslah diberikan terhadap perkembangan bahasa seseorang kanak-kanak.


Intervensi mungkin memerlukan rawatan ubat. Contohnya, kanak-kanak yang sering mendapat sawan perlu diberikan ubat cegah sawan. Kanak-kanak yang mengalami kekurangan hormon tirod (hypothyroidism) akan dibekalkan dengan hormon tersebut seumur hidup.

Bagi kanak-kank yang hiperaktif, intervensi awal yang merangkumi program pengubahsuaian tingkah laku bagi membantunya mengawal diri (self-control) perlu diaturkan. Ubat-ubat tertentu boleh digunakan untuk mengurangkan keresahan anak itu sewaktu menjalani program pemgubahsuaian tingkah laku. Bagi kanak-kanak yang menghadapi masalah pengamatan dan tidak boleh mengenal abjad, berbagai-bagai kaedah pembelajaran boleh digunakan untuk mempertingkatkan prestasi inteleknya.
Kesimpulan
Kanak-kanak prasekolah yang lembap perlu menjalani penilaian yang terperinci supaya pendiagnosan dapat dibuat dan ciri-ciri kekuatan serta kelemahan anak itu dapat dikenal pasti. Ini amatlah penting agar program pemulihan beserta objektif-objektif yang telah disesuaikan bagi seseorang kanak-kanak itu dapat diatur. Biasanya, seseorang kanak-kanak yang lembap akan mempamerkan ciri-ciri perkembangan bahasa yang lembap. Setiap kanak-kanak yang didapati lambat bercakap perlulah mendapatkan penilaian lanjut. Perlu ditegaskan lagi bahawa pencapaian bahasa amatlah penting kerana ini adalah asas bagi menguasai kebolehan membaca dan menulis.

Penilaian awal ke atas kanak-kanak prasekolah yang dikhuatiri lembap akan membantu para profesional, ibu bapa dan Jabatan Pendidikan menentukan sama ada dia boleh ditempatkan di sekolah biasa, sekolah yang menawarkan pendidikan khas ataupun di pusat-pusat pengajian yang mempunyai program-program pendidikan di luar sistem persekolahan yang formal.

[Sumber:
Sabahdaily.com. Artikel ini telah diedit]

Thursday, November 13, 2008

Kemahiran pra membaca

Sebelum membaca, kanak-kanak belajar membaca dengan banyak cara. Mereka perlukan kemahiran-kemahiran yang mendorong ke arah minat membaca supaya apabila sampai masanya, proses membaca menjadi lebih mudah.

Antara kemahiran-kemahiran tersebut ialah:

Padanan – kanak-kanak belajar memadankan bentuk, corak, huruf dan bunyi.

Rima – kajian menunjukkan kanak-kanak yang dapat memahami rima perkataan mempunyai keupayaan membaca dan mengeja yang baik.

Mengecam – sebaik sahaja melihat huruf, kanak-kanak perlu menyembunyikan huruf tersebut.

Arah baca – dari kiri ke kanan. Kanak-kanak perlu mempraktikkan kaedah ini dari semasa ke semasa.

Psikomotor – keupayaan mengawal pensel.

Konsep cetak – bagaimana melihat buku, cara membelek buku dan menyelak muka surat.

Berbahasa – lebih banyak pengalaman bahasa pada kanak-kanak, mereka lebih cenderung minat membaca di mana pengalaman ini diperoleh melalui perbualan, cerita dan puisi.

Membina kemahiran membaca secara sistematik mempastikan skop intelektual kanak-kanak berkembang dengan sempurna. Ibu bapa dan penjaga yang mengambil berat strategi dan kaedah mengajar membaca yang betul tentu ingin melihat anak-anak mereka cemerlang sejak dari awal.