Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts
Friday, May 30, 2025
Pemikiran Hamka: strategi membina peradaban Melayu-Islam
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang telah berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur kembali dengan lebih banyak buku dan pempamer. Kemunculan reruai yang lebih kreatif bersama pelbagai genre buku amat menggembirakan.
Biasanya, di aras bawah penuh dengan tarikan terhadap buku kanak-kanak, novel remaja dan keagamaan. Cuma kali ini aras bawah tidak begitu padat kerana setiap ruang digunakan termasuk dewan Pusat Dagangan Dunia.
Laluan ke setiap aras tidak begitu sesak malah amat lancar dan lebih mudah untuk melihat dan meninjau setiap reruai yang ada.
Tahun lepas saya memberi fokus kepada buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka khususnya novel-novel tulisan Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad. Semua novelnya saya beli seperti Srengenge. Namun novel popular 'PM' yang hangat dan mendapat sambutan pada tahun 1999 tidak ada pula.
Menariknya, novel 'PM' ini adalah kepintaran kesusasteraan dalam memberikan pandangan mereka terhadap politik. Ternyata, pandangan mereka berada di luar kotak pemikiran biasa; seharusnya cara ini boleh dijadikan sebagai satu konsep pemikiran kritis dan kritikal.
Tahun ini saya tidak memberi fokus kepada novel sebaliknya mencari buku-buku tulisan Hamka. Saya lebih tertarik dengan pemikirannya berbanding novelnya.
Antara buku yang saya telah beli ialah Pengembaraan Hamka di Malaysia, Kenangan-kenanganku di Malaya, Falsafah Ketuhanan dan Pesan Hamka kepada Pendidik. Terselit juga sebuah buku yang berkaitan dengan Za'ba iaitu Inspirasi Za'ba.
Secara keseluruhan, saya membeli sembilan buah buku berkaitan Hamka.
Barangkali saya boleh mempelajari sesuatu tentang pemikiran Hamka terhadap kemajuan bangsa Melayu, strategi perubahan sikap dan pandangannya terhadap keupayaan orang-orang Melayu dalam membina peradaban.
Masih banyak buku Hamka yang saya perlu dapatkan supaya saya boleh melihat dengan lebih luas dan mendalam tentang Hamka.
Pengalamannya menghidupkan syiar Islam dan budaya ilmu masyarakat Melayu di Sumatera boleh menjadi contoh tentang kesedaran dan kesungguhan membangunkan masyarakat Islam yang lebih realistik dan berpijak di bumi nyata.
Strateginya yang menggunakan penulisan untuk berkongsi fikiran dengan masyarakat umum boleh kita contohi. Pada zaman dahulu, orang ramai tidak dapat membaca hasil pemikiran Hamka kerana jumlah penerbitan yang kecil, masyarakat berpendidikan yang relatifnya sedikit, dan keadaan ekonomi yang miskin.
Zaman sekarang jauh berbeza; sesiapa sahaja boleh berkongsi fikiran di media sosial dan membina pengaruh. Justeru, capaian media sosial yang lebih jauh dan pantas boleh menjadi strategi terbaik untuk berkongsi fikiran dan pandangan tatkala buku tidak lagi menjadi bahan popular ketika ini.
Orang yang gemar menulis akan mencari platform yang serasi dengan gaya penulisan dan peminatnya. Apabila tulisannya bertambah dan peminat semakin ramai, semua tulisan itu boleh menjadi koleksi tahunan untuk dibukukan.
Sebelum media sosial, artikel di surat khabar dikumpulkan untuk dibukukan. Kini tulisan di media sosial boleh dijadikan buku. Apa sahaja yang ditulis, diulang atau gambar-gambar yang dikongsi boleh ditukar menjadi buku.
Ia bergantung pada kemahuan sahaja.
Monday, March 17, 2025
Berubah kerana hidayah
Kisah seorang pelakon filem dari Jepun yang berubah penampilan dan keyakinan hidup telah mendapat sorotan yang meluas dalam kalangan masyarakat Islam. Media sosial dipenuhi dengan komentar pujian dan kritikan. Pujian kerana dia sanggup mengubah penampilan diri selepas menjadi seorang muslimah dan kritikan kerana beranggapan tindakan itu sekadar memenuhi kandungan di media sosial bagi menarik perhatian pengguna khususnya orang Islam.
Dalam temu bual dengan media, Reel Lil Black mengatakan perjalanan hijrahnya bermula selepas beliau tiba di Kuala Lumpur dari Bali, Indonesia. Ketika ditanya apa kaitan antara Malaysia dan perubahan dirinya, beliau mengatakan Malaysia telah membuatkan hatinya berubah.
Di Kuala Lumpur, beliau melawat masjid dengan memakai jubah dan berjumpa dengan orang-orang Islam yang baik hati dan menyambutnya dengan tangan terbuka. Sifat ini membuatkannya ingin mengetahui lebih lanjut budaya orang Islam di Malaysia.
Dalam hatinya, “Orang-orang ini sangat baik, kenapa saya tidak cuba memahami budaya mereka?”
Selepas melihat keindahan budi bahasa dan tingkah laku orang Islam, beliau mula belajar bersolat melalui YouTube, pergi ke masjid dan dapat merasai terdapat perubahan dalam hidupnya yang semakin hari semakin tenang.
“Saya rasa keadaan saya bertambah baik dari semasa ke semasa”.
Bermula dengan solat maghrib yang pertama, beliau mulai mengerjakan solat-solat lain setiap hari.
Rae Lil Black, 29 tahun adalah nama samaran kepada Kae Asakora yang lahir di Osaka, Jepun. Pengikutnya di Instagram berjumlah dua juta manakala di Tiktok sebanyak sejuta. Namanya memuncak naik ketika ini apabila beliau berkongsi pengalaman berpuasa sebagai seorang muslim ketika masyarakat Islam Malaysia mula berpuasa pada 2 Mac lalu.
Sebelum ke Kuala Lumpur, beliau berada di Singapura untuk bertemu peminatnya lalu dihadiahkan sejadah dan kelengkapan bersolat semasa kembara.
Malaysia menjadi tempat yang sangat bermakna kerana suasana persekitaran yang dilaluinya telah memberi impak yang sangat besar kepada hati dan jiwanya kerana beliau tidak pernah melihat dan merasai suasana kehidupan masyarakat Islam di mana-mana negara sebelum ini. Tiga tarikan yang beliau alami di Malaysia adalah bersolat di masjid, memakai tudung dan budi bahasa orang Islam.
Pengalaman ini telah membuka hatinya untuk menerima Islam sebagai cara hidupnya kerana merasakan Islam adalah jalan yang benar untuk hidupnya.
Semasa ditanya bagaimana seseorang boleh memahami Islam, beliau mencadangkannya supaya melawat negara-negara Islam dan berjumpa dengan orang-orang tempatan, melawat masjid dan menghayati setiap lawatan tersebut.
Secara sedar, perubahan Rae Lil Black telah menerima banyak pujian dan kritikan. Pujian datangnya dari kalangan orang yang memahami bahawa perubahan diri berlaku pada sesiapa sahaja tanpa mengambil kira masa silamnya. Manakala kritikan pula adalah kerana mungkin terdapat muslihat di sebalik perubahan yang dilakukannya iaitu mencipta kandungan di media sosial supaya sensasi dan dapat menambah bilangan pengikut di media sosialnya.
Bagi menyangkal semua kritikan negatif ini, beliau menjelaskan tindakannya hanya dinilai oleh Allah swt yang tahu niat sebenarnya.
“Islam mengajar saya tentang niat antara saya dan Allah swt. Jika saya masuk syurga selepas mati atau dosa-dosa saya dihapuskan atau tidak, itu bukannya urusan manusia. Kamu patut memberi tumpuan kepada niat saya untuk berubah. Jangan bimbang tentang kehidupan saya sebaliknya fokus hidup kamu”.
Penghijrahan Rae Lil Black ini boleh menjadi satu lagi kisah sensasi kerana latar belakang kerjayanya yang dilihat bergelumang dengan nilai-nilai yang bercanggah dengan Islam dan norma masyarakat umum. Perlakuan maksiat masa silamnya menimbulkan kesangsian kepada orang ramai untuk menilai sejauh mana kejujurannya untuk mengamalkan cara hidup Islam.
Walau bagaimanapun seharusnya kita sedar bahawa hidayah Allah swt tidak kira siapa. Allah swt memberi petunjuk dan hidayah kepada siapa yang dimahukan-Nya, sesuai dengan maksud Surah Ibrahim ayat keempat, “Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa
lagi Maha Bijaksana”.
Monday, January 20, 2025
Masa hadapan geopolitik monarki di Timur Tengah
Di Timur Tengah, satu per satu negara Arab yang diperintah oleh satu-satu dinasti telah mulai jatuh dan berakhir. Beberapa tahun lalu, Libya, sebuah negara yang ditadbir oleh pemimpin tentera Muamar Gadafi, yang terpaksa lari menyelamatkan diri selepas kebangkitan rakyat dalam siri Arab Springs. Sebelum itu, Saddam Hussein turut menerima nasib di mana semua waris dan keluarga berpecah-belah.
Legasi yang masih ada hanyalah Jordan, Arab Saudi, Kuwait, Bahrain dan Qatar serta beberapa buah negara Arab yang dipimpin oleh keturunan raja berdinasti [1][2].
Adakah negara-negara ini akan turut menerima nasib yang sama seperti pemimpin-pemimpin sebelum ini? Hanya masa yang akan menentukannya.
Masanya akan tiba apabila penguasaan minyak berakhir dan hasil mahsul negara hanya bergantung pada industri, pelancongan dan perkhidmatan. Kekayaan dan kesenangan yang sedang dinikmati bakal memberikan seribu macam kesengsaraan hidup. Pendapatan yang terhad bermakna kualiti hidup turut merosot.
Jadilah mereka pekerja yang perlu berusaha siang dan malam untuk menyara hidup. Untunglah jika masih ada pekerjaan, jika tidak, mereka harus mencari pekerjaan di negara lain.
Sejarah negara-negara beraja dalam abad ini menunjukkan trend menolak sistem monarki. Tahun 2008, Nepal membuat keputusan membuang sistem monarki. Ia berlaku selepas peristiwa pembunuhan keluarga diraja pada 1 Jun 2001 di Istana Narayanhiti. Sembilan ahli keluarga terbunuh iaitu Raja Birendra dan Permaisuri Aishwarya. Pembunuhan dilakukan oleh Putera Mahkota Dipendra yang kemudiannya meninggal dunia kerana membunuh diri dengan cara menembak kepala sendiri. Waris takhta seterusnya diberikan kepada adik Raja Birendra iaitu Raja Gyanendra. Keadaanya berubah selepas pungutan suara untuk menentukan hala tuju Nepal pada masa hadapan. Hari ini Nepal adalah sebuah negara republik selepas rakyat menolak sistem monarki mutlak [3][4].
Raja dan sultan yang masih kekal di negara-negara Arab adalah kerana sistem kebajikan yang dilaksanakan. Umumnya rakyat di negara-negara beraja ini menikmati tahap hidup yang agak baik kerana kerajaan banyak memberi subsidi dan bantuan kebajikan hidup yang menarik. Keadaan ini menjadikan rakyat cukup menikmati kehidupan sedia ada.
Antara subsidi yang diberi ialah harga petrol dan barangan keperluan makanan yang lebih rendah. Subsidi yang banyak membolehkan harga barang direndahkan dan semua orang dapat menikmatinya.
Seperkara lagi ialah rendah atau tiada langsung cukai pendapatan. Rakyat terus menikmati gaji penuh tanpa potongan, sudah tentu mereka mempunyai lebih banyak tunai untuk berbelanja. Ada juga negara yang kaya dengan hasil minyak memberikan gaji yang lumayan kepada warganya walaupun kelulusan akademik tidak begitu tinggi.
Perubahan yang berlaku di Syria patut mengundang rasa cemas dan bimbang kepada negara-negara Arab yang masih mengamalkan sistem monarki. Kebebasan yang dinikmati oleh Syria ketika ini boleh menjadi pendorong untuk melakukan perubahan awal khususnya dalam politik dan sosial negara-negara jiran.
Mungkinkah dalam tempoh 20 tahun yang akan datang perubahan geopolitik di Timur Tengah berlaku?
Rujukan
[1] List of current monarchies. https://en.wikipedia.org/wiki/List_of_current_monarchies.
[2] Absolute monarchy. https://en.wikipedia.org/wiki/Absolute_monarchy.
[3] Nepal. https://www.cia.gov/the-world-factbook/countries/nepal/#introduction.
[4] Nepalese royal massacre. https://en.wikipedia.org/wiki/Nepalese_royal_massacre.
Sunday, March 17, 2024
Kebersihan bazar Ramadhan
Bazar Ramadhan tahun ini nampaknya meriah seperti tahun-tahun lepas. Lebih banyak pengunjung bazar yang muncul antara pukul 5 hingga 6.30 petang sehingga laluan di hadapan gerai jualan menjadi padat, pergerakan perlahan dan kadangkala bersentuh bahu sesama sendiri.
Kewujudan zon bazar Ramadhan di seluruh negeri umpama pesta makanan tahunan. Mungkin kerajaan negeri boleh memasukkan bazar Ramadhan sebagai satu produk pelancongan dan dipromosi di seluruh negara. Kawasan strategik yang dipilih sebagai bazar memberikan lebih banyak keuntungan kepada ekonomi negeri kerana dapat menarik lebih ramai pengunjung. Namun lokasi bukanlah satu-satunya faktor yang memberi untung sebaliknya ada lagi faktor lain.
Antaranya ialah kebersihan makanan dan kepelbagaian juadah yang disediakan.
Pengunjung hari ini adalah pengguna yang bijak dan celik kebersihan. Mereka boleh memilih jenis makanan yang diingini bersama dengan penilaian kebersihan yang meliputi penyediaan, premis penyedia dan juga penampilan penjual makanan sendiri. Pakej ini menjadikan persepsi pengunjung menjadi lebih fokus dan dapat memberikan penilaian yang tepat terhadap makanan yang dibeli.
Oleh kerana itu, ada pengguna yang kurang peka telah terbeli makanan yang rosak atau kurang bersih akan berkongsi pengalaman mereka di media sosial bagi menarik perhatian orang ramai. Bazar yang terkesan ini akan segera dikritik dan mengundang kehadiran pihak berkuasa untuk melakukan pemantauan dan pemeriksaan. Jika terbukti benar, tindakan denda dan sita ke atas premis berkenaan sudah tentu akan memberi amaran kepada penjual lain untuk memastikan makanan mereka bersih dan selamat untuk dibeli.
Tahun lepas, 14 premis yang menjual pelbagai pilihan makanan telah diarah tutup oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan Malaysia kerana gagal mematuhi peraturan dan keselamatan makanan. Undang-undang yang ada dalam Akta Makanan 1983 menjadi panduan kepada penyediaan makanan yang selamat supaya orang ramai kekal yakin dengan makanan yang mereka beli dan akan makan ketika berbelanja di bazar Ramadhan.
Statistik kejadian keracunan makanan dari 2011 hingga 2015 adalah sebanyak 279 kes yang berlaku di seluruh negara. Kes yang paling banyak berlaku adalah di Bazar Ramadhan Kolej Matrikulasi Johor, Ledang pada tahun 2015 yang melibatkan 64 kes dan puncanya adalah nasi tomato. Pengendali makanan ini telah menyediakan nasi tomato empat jam lebih awal dan proses pengendalian yang tidak bersih.
Punca-punca keracunan makanan ialah tiada bekalan air selamat, menggunakan bekalan air dari tandas awam, tidak peduli dengan kebersihan persekitaran, pengendali makanan yang tidak menjalani pemeriksaan kesihatan, tiada suntikan pelalian tifoid dan pengetahuan bertahap rendah terhadap kaedah pengendalian makanan bersih.
Sebenarnya, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan Bazar Ramadhan sejak 2013 dan ditambah baik pada edisi kedua tahun 2016 bagi diguna pakai oleh Pihak Berkuasa Tempatan seluruh negara.
Garis panduan ini sangat baik kerana menerangkan secara menyeluruh pengurusan bazar dari sebelum dan selepas bulan Ramadhan, penilaian risiko dan peranan agensi dan pihak berkuasa seperti majlis daerah, hospital dan klinik.
Memilih bazar Ramadhan untuk membeli makanan adalah pilihan masing-masing. Apabila ada tarikan di mana-mana gerai jualan, pengguna akan sebarkan kepada rakan-rakan dan kenalan untuk bersama-sama merasai keenakan makanan biarpun hanya minuman air balang.
Apatah lagi kalau makanan itu menyelerakan seperti kambing perap, ayam tempayan atau sotong bakar ‘special’.
Di sebalik harga barang yang meningkat naik, orang ramai masih lagi berbelanja dengan kadar yang sesuai di samping membeli bahan mentah untuk di masak. Keadaan ini menunjukkan perubahan tabiat berbelanja orang ramai yang sedar bahawa mereka perlu berjimat cermat untuk perbelanjaan ketika menyambut hari raya.
Harga barangan masih dapat dikawal selagi minyak dan bahan bakar berada pada harga semasa. Kawalan harga ini memberi banyak kelegaan kepada orang ramai supaya mereka dapat berbelanja pada kadar kemampuan masing-masing.
Tuesday, March 12, 2024
Ramadhan bawa perubahan
1 Ramadhan, Melaka cuti. Anak-anak dan keluarga dapat bersama-sama membersihkan rumah dan juga menguruskan persekitaran rumah dengan lebih berkesan. Cuti satu hari ini merupakan satu tempoh yang singkat namun memberi makna yang sangat besar kepada mereka yang bercuti kerana ia dapat menjadikan puasa lebih teratur susun. Tidak banyak negeri yang memilih satu Ramadhan sebagai cuti awam berbanding memilih malam isra’ dan mi’raj atau nisfu sya'ban sebagai cuti umum.
Bulan puasa adalah bulan yang memiliki tiga kelebihan, pertama sebagai bulan rahmat, kedua adalah bulan pengampunan dan yang ketiga adalah bulan yang bebas daripada api neraka. Ketiga-tiga kelebihan ini menjadikan umat Islam sentiasa berlumba-lumba untuk membuat sebanyak-banyaknya kebaikan dan memohon keampunan serta memberikan infak beserta sedekah.
Ada juga memilih untuk belanja berbuka puasa secara berkumpulan.
Jika diimbau pengalaman berpuasa ketika kita kanak-kanak dahulu, dalam suasana kampung yang tenang dan damai, kita akan kembali bernostalgia apabila orang kampung beramai-ramai pergi ke madrasah, surau atau masjid untuk menunaikan solat tarawih.
Di sini orang kampung berkumpul beramai-ramai bagi menunaikan solat sunat tarawih yang sangat digalakkan dilaksanakan secara berjemaah sama ada lapan rakaat ataupun 20 rakaat. Suasana keramaian inilah yang dapat membina jaringan sosial dan rangkaian ekonomi yang terbaik sesama ahli masyarakat.
Imam atau ketua kampung dapat mengetahui siapa yang tidak dapat datang ke surau dan masjid untuk berjemaah. Mungkin mereka ada halangan-halangan tertentu seperti bekerja lebih masa, tidak ada pengangkutan ataupun ada masalah-masalah lain seperti sakit dan keuzuran.
Apabila tibanya bulan puasa, perkara yang sering menjadi perbincangan adalah bagaimana mereka boleh berbuka puasa bersama-sama. Seingat saya, ketika saya di kampung, amalan bertukar-tukar juadah berbuka puasa adalah lumrah. Saling bertukar makanan menjadikan hubungan kejiranan lebih erat dan akrab.
Pada malam hari, kanak-kanak adalah kelompok yang paling gembira kerana dapat menunaikan solat tarawih dan bermain mercun. Sebaik sahaja solat Isyak selesai, mereka bertempiaran lari meninggalkan saf solat untuk turut serta dengan rakan-rakan yang sedang membakar mercun dan bunga api.
Tahun 80-an dahulu, harga mercun tidak begitu mahal kerana mata wang ringgit agak tinggi, jadi anak-anak yang banyak duit berkongsi mercun beramai-ramai. Bagi yang kreatif, mereka ubah suai serbuk mercun untuk jadikan bahan letupan baharu yang mengeluarkan bunyi lebih kuat.
Rakan sekampung saya, namanya Basuni, terkenal kerana berani mencuba sesuatu yang baru. Dia kumpulkan belerang mercun untuk jadikan bahan letupan yang lebih besar dan tahan lama. Pernah sekali ketika orang kampung solat tarawih di madrasah, letupan kuat telah menggegarkan persekitaran madrasah dan ada ahli jemaah yang terkejut.
Antara mercun yang popular adalah mercun gasing, katak, ayam dan roket.
Selain mercun, yang popular juga adalah main tikam iaitu kita membeli dengan meneka beberapa gambar untuk mendapatkan mercun atau bunga api. Biasanya sekali tikam dalam sepuluh sen. Kalau ada tuah, dapatlah merasa main mercun pada sebelah malam, kalau tidak, tumpang kawan untuk main mercun bersama-sama.
Kita membesar dengan suasana ini setiap tahun. Ada ada solat tarawih, mercun dan juga persekitaran orang berbuka puasa serta bazar ramadhan. Setiap tahun kita mengulangi budaya yang sama dan tidak memberi tumpuan kepada amalan yang sepatutnya difokuskan iaitu membanyakkan beribadah dan juga memohon keampunan.
Antara amalan yang kita perlu tambah semasa bulan Ramadan ini ialah kita membanyakkan bacaan al-quran, mendengar tazkirah dan juga bersedekah. Membanyakkan bacaan al-quran boleh diatur setiap hari iaitu lima muka surat setiap kali selepas solat fardhu. Dalam sehari kita dapat sempurnakan 20 muka surat dan dalam sebulan boleh khatam 30 juzuk. Manakala mendengar tazkirah boleh dibuat pada bila-bila masa kerana boleh sahaja memilih mana-mana topik dan mendengarnya di YouTube.
Amalan yang sangat menonjol dan menjadi rebutan adalah sedekah. Tempat untuk bersedekah terbuka luas jika kita mahu. Contohnya memberikan makanan dan minuman untuk berbuka puasa di surau atau masjid, mengunjungi orang sakit dan mendoakan mereka, membantu orang yang dalam kesusahan mendapatkan makan dan minum dan juga meraikan anak-anak yatim dan orang susah.
Wajar bagi kita untuk berusaha meningkatkan amalan lahir dan batin pada bulan Ramadhan ini supaya dapat menepati objektif berpuasa iaitu bertaqwa. Dengan memenuhi ketiga-tiga ciri tadi iaitu mendapat rahmat, pengampunan dan bebas dari api neraka, mudah-mudahan Allah swt menganjarkan kita dengan taqwa.
Tidak juga lupa merebut pencarian malam lailatul qadar yang boleh dimulakan pada malam pertama lagi. Latihan awal dapat mengekalkan momentum sepanjang bulan khususnya sepuluh malam terakhir, jadi tidaklah terkial-kial berjaga malam dan keletihan sepanjang hari berpuasa.
Sunday, March 10, 2024
Menanti Ramadhan 2024
Sehari lagi kita akan menyambut kehadiran bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam iaitu Ramadan. Bulan yang penuh dengan barakah khususnya rahmat dan keampunan. Orang-orang yang bersedia untuk menempuh sebulan puasa adalah orang yang kuat, bersemangat dan mahu mengambil semua ganjaran yang disediakan.
Girangnya hati orang yang menunggu ketibaan Ramadan boleh kita umpamakan seseorang yang sedang melihat hasil tanamannya. Jika kita boleh ambil contoh, kita ambil pengalaman pengusaha kebun buah mempelam Harumanis ya akan berasa sangat gembira apabila melihat kulit buah mempelamnya sudah mula hijau kekuningan.
Dia akan memastikan setiap buah yang ada di tangkai akan disarungkan supaya tidak diganggu oleh musuh-musuh buah yang sentiasa mengintai untuk mencicip rasa manis dan bau harum. Kadangkala disemburkan baja penguat batang dan menggebukan buah supaya lebih baik dan berkualiti.
Apabila buah Harumanis sedia berbuah, pekebun akan memetiknya dan bersama-sama keluarga merasai kemanisan buah yang istimewa. Jadi tak hairanlah sekilo Harumanis boleh menjangkau 40 hingga 60 ringgit sekilo. Penjanaan yang agak kurang boleh dijual sekitar 25 hingga 35 ringgit sekilo.
Jika pekebun Harumanis hanya untuk merasai kenaikan rasa harum dan manis, bagi kita yang akan menjalani ibadat puasa tentulah perlu buat persediaan dengan lebih baik.
Sejak malam pertama Ramadhan, seharusnya kita sudahpun berlumba-lumba untuk melakukan sebanyak-banyaknya kebajikan supaya tidak tertinggal ganjaran pahala. Umpamanya mulai membaca ayat al-quran dan kekal berterusan sehingga akhir bulan.
Perkara-perkara yang merosakkan amalan juga wajar dikurangkan dan dilenyapkan supaya akan lahir sifat dan nilai yang baharu, bertenaga dan mencetuskan gaya kehidupan yang lebih berkualiti sama ada dari segi tingkah laku, pemikiran atau kejiwaan.
Banyak juga perkataan dan perbuatan yang kerapkali kita lakukan kerana cuai dan terlupa boleh diatasi semasa Ramadhan ini. Jika banyak salah kerana cuai, kita banyakkan istighfar dan berdoa mohon keampunan. Dalam hidup, tidak ada manusia yang sentiasa melakukan perkara yang betul sepanjang masa, pasti ada salah dan silap di sana sini.
Jika salah dengan orang lain, boleh saja berjumpa untuk bermaaf-maafan dan melupakan sengketa lama. Namun jika rasa susah atau rasa malu, maafkan saja dan berharap semuanya dalam keadaan baik-baik saja. Ada orang berkata, ‘maafkan dan teruskan hidup’ atau ‘forgive and forget’ mungkin dapat menjadi panduan bagaimana kita boleh menguruskan emosi dengan baik.
Ramadhan menjadi bulan pilihan yang mesti diraikan dengan sepenuh hati. Andai kita meninggalkan bulan ini tanpa merasai kesungguhan melakukan amalan-amalan baik, rugilah kita, hilanglah seri dan tidak merasai nikmatnya impak daripada puasa.
Tuesday, January 02, 2024
Ahli parlimen wajar kuasai dasar awam
Saranan bekas ahli parlimen, Tony Pua supaya ahli-ahli parlimen Malaysia memahami dan menguasai dasar-dasar awam sangat menarik untuk diberi perhatian. Alasannya adalah bagi memudahkan perbahasan di parlimen supaya dapat menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan. Dasar-dasar awam ini merangkumi ekonomi, sains, budaya dan pelbagai bidang yang boleh meleraikan masalah masyarakat.
Beliau melihat topik perbincangan masa kini yang cenderung membahas dan memberi penekanan kepada satu dimensi iaitu mengenai kaum, agama, alkohol dan pemakaian.
Bagi merungkai perspektif Tony Pua ini, kita harus melihat sejarah pembangunan negara yang bertitik tolak daripada isu pembangunan, kaum dan agama. Penentangan politik masyarakat Melayu ketika berhadapan dengan penjajahan bukannya singkat.
Pemimpin-pemimpin Melayu ketika itu berhempas-pulas memastikan masyarakat mereka terpelihara daripada godaan dan tekanan penjajah yang mahu mengubah status agama khususnya ketika berhadapan dengan Portugis.
Kesultanan Melaka berperang dengan Portugis untuk memastikan agama Islam terus hidup subur di bumi Melaka dan empayarnya dengan cara bekerjasama dengan kesultanan Acheh dan kesultanan Melayu dari Sumatera supaya masyarakat Melayu terus beristiqamah dengan agama Islam.
Kesungguhan ini terus disambung oleh pemimpin dan pendekar Melayu yang menentang penjajah Inggeris biarpun Inggeris lebih mengutamakan hasil kekayaan Tanah Melayu untuk dibawa ke London.
Apabila merdeka, kekhuatiran tentang nasib agama dan bangsa Melayu terus dibincangkan dan empat perkara utama dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan sehingga sekarang. Empat perkara tersebut adalah agama Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak keistimewaan orang Melayu dan kedaulatan Raja-raja Melayu.
Sepanjang 60 tahun merdeka, penguasaan UMNO dalam politik Malaysia telah memastikan keempat-empat perkara itu dipertahankan dan diperkuatkan. Lebih banyak ruang dan peluang diberikan kepada masyarakat Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak untuk memajukan diri dalam pendidikan dan pekerjaan.
Dalam pendidikan, pelajar dari latar belakang luar bandar diberi keutamaan untuk belajar di sekolah berasrama penuh dan maktab sains, ruang untuk melanjutkan pelajaran di universiti berasaskan kouta dan kemasukan lebih mudah ke dalam perjawatan di sektor awam.
Hari ini kita dapat melihat semakin ramai orang Melayu dan bumiputera yang mampu bersaing dalam pelbagai bidang yang mencabar kerana kejayaan dasar-dasar awam negara yang melahirkan dan membentuk pemikiran baharu masyarakat Melayu yang lebih progresif dan dinamik.
Keadaan ini mewujudkan kestabilan hubungan kaum yang masing-masing dapat merasai kekayaan negara. Kejayaan ini dapat dilihat melalui kadar peratusan kemiskinan di seluruh negara yang semakin berkurangan dan berada di bawah paras lima peratus. Begitu juga dengan kecenderungan agensi kerajaan yang menggunakan lapis sosial seperti B40 atau M40 untuk menggambarkan keadaan tahap pendapatan yang mengetepikan rujukan kaum.
Saranan Tony Pua ini mungkin boleh dikaitkan dengan perubahan tahap pendidikan dan pendapatan rakyat Malaysia yang semakin baik. Isu-isu peminggiran dan ketinggalan tidak lagi serius seperti dahulu sebaliknya semua kaum masing-masing merasai susah dan payah untuk mencari pendapatan sendiri ketika ekonomi dunia yang tidak menentu keadaannya.
Justeru beliau melihat adanya keperluan ahli parlimen mengembangkan pemahaman mereka dalam isu-isu yang besar dan dapat menjangkau penyelesaian masalah.
Menyatakan bahawa ahli parlimen sebelum ini tidak peka dengan dasar--dasar awam adalah satu kejanggalan kerana ramai juga ahli parlimen yang memiliki kelayakan akademik yang tinggi dapat berbahas dan memberi input penting dalam pembangunan negara. Ada parti politik yang memberi keutamaan kepada pemimpin berlatar belakang profesional untuk menjadi calon parti di kawasan parlimen.
Mereka berbahas dan membangkitkan isu-isu nasional untuk dijadikan perhatian kepada agensi kerajaan agar dapat bertindak. Buah fikiran dan usaha mereka telah dapat menyelesaikan banyak isu tertangguh sama ada di bandar atau luar bandar seluruh negara.
Cumanya, sentimen untuk menarik sokongan kepada ideologi parti yang nampaknya kekal sepanjang masa. Parti yang berideologi sosialis sudah tentu akan berkempen menarik lebih ramai calon pengundi dengan janji dan tindakan ke arah sekularisme manakala parti yang bertemakan kaum dan agama akan melakukan perkara yang sama.
Perubahan akan berlaku juga namun ia mengambil masa, mungkin 20 tahun lagi. Tahap kematangan pengundi akan meningkat seiring dengan kemajuan negara dan liberalisasi pendidikan. Ketika masa tersebut sampai, perbahasan di parlimen akan menyentuh lebih banyak isu-isu umum yang ada pada setiap kawasan.
Tuesday, January 10, 2023
Persekitaran sentiasa berubah
Persekitaran sentiasa berubah lebih-lebih lagi pada hari ini. Masyarakat berubah seiring dengan perubahan di sekitar mereka.
Perubahan ini berlaku dalam pelbagai bentuk sama ada fikiran, sikap, tingkah laku ataupun dikatakan bersifat objektif dan subjektif. Jadi kita wajar mengamalkan sikap terbuka terhadap perubahan ini.
Orang yang memandang ke hadapan mengambil pendekatan mengalu-alukan perubahan yang dapat mencetuskan kemajuan, dinamik dan inklusif.
Hanya dengan membuat penelitian dan melihat kembali idea dan pendapat kita baharulah kita dapat bergerak maju.
Monday, January 09, 2023
Tumpang hidup
Kecantikan lahir dan batin terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu. Kata-kata dari Confocius sangat baik untuk kita renungi iaitu ‘Ciri orang yang beradab ialah dia sangat rajin dan suka belajar, dia juga tidak malu untuk belajar daripada orang yang berkedudukan lebih rendah daripada’.
Memupuk adab sejak kecil tentulah menyerlahkan peribadi yang tinggi budi pekerti memiliki nilai-nilai berprestasi tinggi dan memberi manfaat kepada orang lain.
Personaliti sebeginilah yang membuatkan orang lain boleh menumpang hidup.
Sunday, January 08, 2023
Fikir dengan rasional
Jangan mengukur kebijaksanaan seseorang hanya kerana kepandaian berkata-kata sebaliknya perlu dinilai buah fikiran dan tingkah laku.
Petah berkata-kata tanpa ada makna, tentulah tidak membawa impak kepada perubahan jika tidak disertai dengan fakta-fakta yang kukuh.
Bercakap dan mengeluarkan pandangan positif mempunyai banyak kesan ke atas kehidupan yang berkualiti seperti mampu membuat keputusan yang realistik berdasarkan pertimbangan.yang rasional.
Jadi, lebih baik bagi kita untuk memikirkan sesuatu perkara berasaskan fakta berbanding emosi.
Saturday, January 07, 2023
Bina hidup untuk bahagia
Hidup memerlukan pengorbanan, pengorbanan memerlukan perjuangan, perjuangan memerlukan ketabahan, ketabahan memerlukan keyakinan, keyakinan pula menentukan kejayaan, seterusnya kejayaan menentukan kebahagiaan.
Kitaran kehidupan kita kerapkali bermula dengan pengorbanan kerana pengorbanan membentuk hati yang cekal dan berkeyakinan tinggi.
Jarang merasa terancam dengan perkataan atau perbuatan yang remeh, sebaliknya tumpuan ke arah mencapai matlamat.
Kita menjadi arkitek kepada kehidupan dan masa hadapan. Marilah kita membina masa hadapan kita untuk kebahagiaan.
Friday, January 06, 2023
Ujian jadikan hidup lebih maju
Ujian hidup membina kekuatan mental, spiritual dan fizikal kita. Banyak jenis ujian hidup yang kita alami dari semasa ke semasa.
Ada yang mengalami ujian kekeluargaan, pekerjaan, persahabatan, kejiranan dan sebagainya.
Ada orang yang dapat menahan ujian-ujian ini dan ada yang tidak sanggup menghadapinya. Bagi mereka yang sabar menghadapinya, masa hadapannya lebih cerah kerana kesabaran melahirkan keberkahan dan redha Allah swt.
Kesabaran yang saya maksudkan bukannya tidak melakukan apa-apa tindakan sebaliknya berfikir dan berusaha mencari strategi paling baik untuk menghadapi ujian-ujian hidup pada masa akan datang.
Thursday, January 05, 2023
Mengeluh tanpa kerja
Ramai yang mengeluh kerana hidup yang susah. Memanglah sesiapa pun tidak boleh berkata kehidupan ini sesuatu yang mudah tetapi satu-satunya cara untuk keluar daripada masalah ialah dengan rajin bekerja.
Buatlah apa-apa kerja yang boleh memudahkan kehidupan.
Apabila kita sedar bahawa rajin bekerja adalah penyelesaian kepada hidup yang susah ini, kita akan berhenti merungut kerana rungutan tidak akan menyelesaikan masalah hidup tidak akan menjadikan kita orang yang senang.
Ada orang yang memilih kerja dan sehingga setahun masih belum mendapat kerja yang sesuai.
Ada orang yang sanggup bekerja sementara mencari kerja yang lebih sesuai dengan kelayakan akademik dan pengalaman.
Maknanya, lebih baik bekerja daripada tidak bekerja ataupun menganggur.
Wednesday, January 04, 2023
Kekal aktif walaupun telah bersara
Beberapa tahun lepas, seorang rakan saya yang berumurnya 72 tahun telah meninggal dunia sedang ketika tidur akibat serangan jantung.
Berita kematiannya amat mengejutkan kerana dua atau tiga hari sebelumnya dia tidak menunjukkan sebarang perubahan fizikal yang ketara. Beliau kekal aktif dan memberi tumpuan kepada kerjanya sebagai pensyarah bahasa Inggeris.
Walaupun bekerja dengan skim kontrak, beliau masih mahu bekerja mengajar, berkongsi pengalaman dan menurunkan ilmu kepada orang-orang muda.
Ada orang yang mungkin telah bersara 10 tahun lalu tetapi terus memberi khidmat.
Namun ada sesetengah orang yang bersara memilih untuk merehatkan diri bersantai tanpa mahu bekerja dan tidak mengambil berat kecergasan diri atau keadaan kesihatan diri.
Mulai pada hari ini, kita perlu mengubah mentaliti bersara supaya kekal aktif walaupun umur semakin bertambah.
Monday, January 02, 2023
Usaha sendiri ubah hidup
Apabila kita terlalu selesa dan biasa dengan bantuan yang diterima, kita tentu akan malas untuk berusaha memajukan diri. Sikap sering menerima bantuan sama ada bantuan kewangan, subsidi, barangan keperluan hidup atau dalam perniagaan diberi pinjaman modal tanpa mahu berusaha akhirnya akan merendahkan maruah dan harga diri.
Penerima bantuan subsidi mungkin menjadi terlalu bergantung pada bantuan sehingga mereka kehilangan motivasi untuk mencari pekerjaan. Keadaan ini dapat menyebabkan mereka menjadi lebih bergantung pada pelbagai jenis bantuan pada masa depan yang menyebabkan kehidupan mereka terkongkong dengan budaya meminta-minta.
Peruntukan yang sepatutnya diberikan kepada pembangunan dan kelestarian masyarakat umum terpaksa dialihkan kepada penerima bantuan yang tidak berkelayakan. Sebagai ganti, kerajaan boleh menaikkan kadar cukai atau memperkenalkan cukai baharu bagi menampung peruntukan yang telah diberikan kepada program bantuan ini. Bagi tempoh jangka masa panjang, gangguan dalam belanjawan dapat mempengaruhi pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
Bantuan subsidi dapat memengaruhi kualiti hidup dengan mengurangi insentif untuk bekerja dan mencari pendapatan yang lebih baik. Hal ini dapat membatasi kemampuan mereka untuk membeli barang keperluan dan perkhidmatan yang meningkatkan kualiti hidup mereka seperti pendidikan dan rawatan kesihatan. Jika bantuan subsidi tidak diurus dengan baik, jurang pendapatan dan kemiskinan akan bertambah luas.
Sesiapa sahaja dari kalangan kita yang cukup sifat fizikal, sihat, mental dan waras sebaik-baiknya berusaha sendiri untuk mengubah keadaan hidup ke arah yang lebih baik. Bantuan daripada kerajaan ini hanya bersifat pencetus di peringkat awal dan yang selebihnya terletak kepada usaha diri kita sendiri.
Ramai orang yang telah berjaya dan saya yakin kita boleh melakukan perubahan pada diri kita dari semasa ke semasa.
Thursday, October 06, 2022
Persaingan jadikan kita maju
Pening kepala kerana tidak dapat memilih dengan sempurna pusat jagaan anak-anak yang paling berkualiti kerana banyak pusat jagaan anak-anak yang semakin baik.
Banyak lagi contoh persaingan yang bermula sejak kita dilahirkan sehinggalah kita meninggal dunia.
Di sekolah, tempat kerja mahupun kawasan kejiranan, semuanya ada elemen persaingan yang tidak dapat dielakkan kerana persaingan menjadikan kita lebih aktif, berwaspada dan maju.
Bagaimana hendak berhadapan dengan persaingan ini?
Perkara utama adalah melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran, teknik dan strategi yang dapat membantu mengembangkan potensi diri.
Contohnya, untuk memilih institusi pengajian tinggi yang hebat dan bersesuaian dengan bidang yang diminati, kita perlu melakukan kajian, melihat perbandingan dan mengkayakan maklumat. Pencarian maklumat ini perlukan kemahiran.
Siapa yang cepat mencari ilmu, dialah yang akan menang.
Wednesday, October 05, 2022
Masa telah berlalu
Sebahagian besar daripada hidup kita, sama ada bekerja sebagai pelajar, anak remaja malah ibu bapa, banyak dihabiskan di luar rumah, sekolah, universiti, institusi latihan mahupun di pejabat. Ini bermakna kita mengheret diri kita ke tempat kerja, sekolah dan sebagainya dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.
Kitaran hidup ini berulang sepanjang hari, minggu, bulan dan tahun sehingga kita pencen. Ibu bapa melihat anak-anak membesar ketika perjalanan pergi dan pulang dari sekolah.
Kita yang bekerja di pejabat melihat perubahan pada raut wajah rakan-rakan sekerja. Jika dulu kulitnya gebu licin kini sudah tumbuh di celah-celah rambut yang hitam rambut putih.
Masa telah berlalu pergi dan tidak dapat diputar kembali.
Lalu kita bertanya tanya apakah amal ibadah yang kita lakukan sepanjang usia hingga kini?
Apakah kita masih ada masa untuk menggencarkan amal yang lebih banyak ketika kekuatan tubuh badan semakin menurun dan penuaan semakin menebal?
Tuesday, October 04, 2022
Kualiti sinonim dengan kecemerlangan
Kualiti sangat akrab, intim dan rapat dengan kecemerlangan. Kualiti adalah satu keadaan yang cemerlang atau amat baik, tetapi kebaikan itu tidak terhad dan boleh pula berubah ke satu tahap. Ia tidak statik tetapi dinamik dan bergerak sepanjang masa.
Jadi, apabila sahaja kita mencapai kualiti, tentu kita akan mendapati ada kualiti yang lebih hebat mesti dikejar. Jika ada lagi kualiti yang baru dicapai di depan, ada lagi bahagian-bahagian yang boleh ditambah baik.
Maknanya, usaha membina dan membentuk kualiti ini tidak akan habis-habis, tidak ada hadnya.
Prinsip utama kualiti ialah apa sahaja yang kita buat pada hari ini seharusnya lebih baik daripada semalam.
Monday, October 03, 2022
Gembira dan kecewa
Bagaimana anda pada hari ini? Seronok? Happy? Kecewa. Saya doakan anda dalam keadaan gembira. Kadang-kadang kita perhatikan orang yang kurang gembira di tempat kerja mereka juga jarang rasa gembira di rumah.
Gembira dan kecewa adalah tabiat mental. Jika kita memiliki ciri-ciri periang, positif dan buat kerja apa pun di mana-mana sahaja, kita akan berasa gembira, seronok dan akan berasa puas hati. Kegembiraan inilah yang membawa tuah, rezeki dan kejayaan.
Jadi, jika kita mahukan perubahan kejayaan, kenaikan pangkat, gaji dan sebagainya, kita kena suntik unsur-unsur sukakan bekerja dan suka apa yang kita lakukan.
Biarlah kita suka bekerja, suka belajar dan suka beri buah, fikiran, idea dan sebagainya. Melalui cara ini, tentulah masyarakat dan negara akan maju.
Sunday, October 02, 2022
Beza bekerja bersunguh-sungguh dan separuh hati
Beza di antara orang yang bekerja, belajar atau bermain bersungguh-sungguh dan malas boleh dikenal pasti dengan jelas.
Disiplin ketika datang bekerja, kemahiran melengkapkan tugasan atau menghasilkan produk yang sangat baik adalah antara elemen yang boleh digunakan untuk membezakan orang yang bekerja dengan bersungguh-sungguh dengan orang yang bekerja hanya untuk gaji.
Orang yang bekerja bersungguh-sungguh ini dapat merasai kenikmatan hasil bekerja keras seperti mendapat anugerah kecemerlangan, sentiasa merasa puas dan hormat diri sendiri.
Orang yang malas buat kerja akan melakukan kerja dengan separuh hati, lebih suka bekerja kerana hendak dapatkan gaji. Setiap hari akan cuba memenuhi masa untuk melepak atau bersembang sehinggalah cukup bulan.
Hari-hari bekerja adalah membosankan, justeru tidak ada perubahan, peningkatan ataupun pertambahan ilmu.
Perbezaannya sangat banyak di antara mereka yang bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja dengan mereka yang bekerja hanyalah untuk tujuan tertentu sahaja.
Keyakinan untuk bekerja ini akan menjadikan seseorang itu jauh ke hadapan ataupun tertinggal di belakang. Inilah perbezaan yang paling ketara apabila kita membuat penilaian ke atas kemajuan setiap pekerja dalam organisasi.
Subscribe to:
Posts (Atom)
