Para
pendakwah Islam yang sedar dan insaf memahami betapa perlunya satu metod dan
sistem (manhaj) dakwah yang jelas untuk melaksanakan tugas mereka yang besar
dan suci. Yakni, satu manhaj atau uslub yang tersusun dengan teliti,
terperinci, jelas matlamatnya dan terang jalannya.
Kita perlu
meyakini dasar-dasar, keistimewaan-keistimewaan dan ciri-ciri khas dakwah Islamiah
yang telah ditunjukkan oleh pendakwah agung, iaitu Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam,
yang telah dikurniakan kejayaan yang besar oleh Allah Subhanahuwata’ala.
Kita sepatutnya
menumpukan fikiran kita kepada suatu aspek khas di dalam sejarah Islam, dan
meneliti sedalam-dalamnya, iaitu berhubung dengan kaedah mengajak manusia
kepada Islam dan cara-cara latihannya seperti yang telah dilakukan oleh Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam. Ini adalah suatu hakikat atau faktor yang amat
penting untuk dijadikan pedoman dan garis panduan agar setiap pendakwah tidak meraba-raba
di tengah-tengah perjalanan, tidak bersimpang siur dalam menghayun langkah dan
tidak pula menghabiskan masa dan tenaga dengan sia-sia. Hendaklah setiap pendakwah
janganlah melakukan sesuatu yang merugikan Islam padahal dia menyangka
melakukan kebaikan terhadap Islam.
Titik Permulaan Dakwah
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam
Satu perkara
asas bagi pendakwah yang ingin menegakkan kembali ajaran Islam dan mendaulatkan
manhaj Ilahiyah di muka bumi ialah kembali mengikuti setiap jejak langkah
mahaguru dan pendidik pertama iaitu Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah qudwah hasanah.
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam
dalam dakwah baginda telah mengemukakan
satu uslub yang tersusun rapi berdasar pimpinanan Allah Subhanahuwata’ala yang sentiasa mengawal dan melindungi perjalanan
baginda. Dengan kehendak dan kekuasaan-Nya, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam
telah menyarankan bahawa titik permulaan dakwah
mestilah dimulakan dengan menegakkan ma’aruf al-akbar (ma’aruf terbesar) dan di waktu yang
sama meruntuhkan munkar al-akbar (munkar terbesar)
Inilah hakikat
yang perlu difahami oleh setiap pendakwah. Sekiranya tidak tertegak ma’aruf al-akbar, maka ma’aruf yang lain tidak akan
dapat dilahirkan atau ditegakkan. Segala usaha-usaha kita tidak akan berhasil
sama sekali. Umpama mencurahkan air di daun keladi. Setiap kerja kita akan sia-sia
dan terbengkalai.. Masa yang kita habiskan, wang ringgit yang kita curahkan
serta segala jihad dan pengorbanan tidak akan mendatangkan natijah yang betul
lagi memuaskan untuk mencapai matlamat Islam sebenar.
Oleh yang
demikian, permulaan dakwah kita ialah menyeru manusia supaya membebaskan diri
daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah
Subhanahuwata’ala semata-mata. Dakwah
yang betul mestilah dimulakan dengan memerangi hakikat hidup yang menolak Islam
sebagai ad-deen. Atas sebab inilah di awal-awal lagi, dakwah ini akan
ditentang, diperangi dan dimusuhi sepertimana hal yang berlaku pada jama’ah
pertama yang pimpinan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.
Seruan sebegini
adalah bertujuan untuk mendaulat dan mentauhidkan Allah Subhanahuwata’ala
semata-mata dalam kehidupan. Pada masa
yang sama membangunkan masyarakat yang bersih daripada pengaruh kemungkaran.
Sistem hidup jahiliah
sentiasa menolak peraturan-pertauran dan syariat Allah Subhanahuwata’ala daripada mengatur kehidupan manusia. Dalam
usaha menegakkan ma’aruf yang terbesar
ini para sahabat telah mengorbankan pangkat, harta benda dan kedudukan mereka,
bahkan ada di antara mereka terpaksa berpisah nyawa dari badan.
Satu lagi
perkara yang mesti diyakini dan diberikan perhatian ialah, telah terbukti
ketika mana tertegaknya keimanan kepada Uluhiyah Allah Subhanahuwata’ala pada diri anggota-anggota ummah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam,
maka barulah Allah Subhanahuwata’ala menurunkan syariatNya. Apabila diturun segala syariat,
maka setiap undang-undang dan peraturan itu dipatuhi dengan mudah tanpa
dipaksa-paksa dan tanpa perlu diawasi setiap masa. Bahkan mereka berlumba-lumba
untuk mematuhi dan mentaati setiap perintah yang datang daripada Allah
Subhanahuwata’ala dan RasulNya.
Cara Bergerak dan
Bekerja
Cara bergerak
dalam harakah Islamiah adalah berbeza dan tidak menyerupai mana-mana pergerakan
dan pertubuhan biasa. Gerakan dan pertubuhan yang berasaskan ciri-ciri jahiliah
selalunya mendokong mabda’ ciptaan akal fikiran manusia. Mereka membawa tafsiran
yang salah terhadap sirah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam serta tidak jelas
matlamat dan uslubnya.
Mereka yang
tidak memahami hakikat ma’aruf al-akbar
dan munkar al-akbar ini akan terperangkap dengan kaedah yang menyatakan bahawa
matlamat dapat membersihkan atau menghalalkan jalan. Fahaman ini bertentangan
dengan konsep dakwah sebenar. Dakwah yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam
adalah bersih matlamat dan
jalan-jalannya.
Setiap tindakan
dan gerak kerja kita tidak boleh berlawanan dengan syarak dan sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Pendek
kata kita tidak mengikuti apa jalan yang diharamkan oleh Allah
Subhanahuwata’ala .
Mana-mana pertubuhan,
samada sedar atau tidak sedar, jika
mendukung mabda’ ciptaan aqal manusia sudah tentu berlawanan
dengan konsep dakwah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Pendakwah yang faham
dan sedar, tidaklah boleh sama sekali terpengaruh atau cuba-cuba meniru sikap
atau cara mereka dalam menjalankan apa-apa aktiviti dakwah. Meskipun pada
zahirnya mereka mendapat sambutan ramai, popular dan mempunyai kekuatan
kebendaan yang manakjubkan tetapi pendakwah mestilah tetap iltizam dan intizam
dengan uslub yang sebenar.
Segala
cadangan, saranan dan tindak-tanduk yang hendak dilaksanakan mestilah dirujuk
terus kepada syarak. Sesuatu keputusan dan tindakan yang diluluskan syarak
sahaja yang boleh dilaksanakan manakala yang menyeleweng daripada syarak adalah
tertolak. Apa yang baik bagi syarak maka
baiklah bagi kita dan apa yang buruk
bagi syarak maka buruklah bagi kita.
Kita mestilah
mengikut langkah-langkah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam samada
dalam dakwah, dalam pembentukan Ummah mahupun dalam perlaksanaan hukum-hukum Islam.
Penekanan
Tauhid di Tahap Awal
Sejarah telah
membuktikan bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memulakan dakwah dengan mengajak manusia
mengikrarkan kalimah tauhid: لا اله الا الله.
Apabila konsep
ini benar-benar difahami dan meresapi serta menjiwai hati-hati umat Islam maka
tertegaklah ma’aruf al-akbar seperti
yang telah dijelaskan di atas. Ini kerana di atas keteguhan akidah akan dibina
syari’ah Islamiah dengan penuh gigih dan berani tanpa takut kepada apa jua
halangan dan rintangan. Mereka juga tidak mudah dipujuk dengan harta kekayaan,
pangkat dan kebesaran. Bahkan mereka tidak mengalah sama sekali dengan jahiliah.
Maka berfungsilah di muka bumi ini syariat Allah Subhanahuwa’atala.
Setelah akidah لا اله الا الله benar-benar menjiwai
dan bertapak kukuh di hati generasi muslim pertama di bawah pimpinan Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam, setelah terbentuk satu barisan yang benar-benar
mendukung konsep dakwah yang dibawa oleh baginda, maka gugurlah sistem jahiliah,
adat resamnya, nilai-nilainya dan konsep-konsepnya.
Inilah satu revolusi
yang meruntuhkan segala bentuk ciri-ciri jahiliah dan membangunkan semula
kedaulatan Allah Subhanahuwata’ala. Kita perlu mendalami dan meneliti akan
hakikat dakwah yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam
tidak memulakan dakwah dengan meruntuhkan berhala-berhala atau adat-adat resam jahiliah,
bahkan langkah pertama baginda ialah membina akidah dan keimanan kepada Rabb
Yang Maha Esa.
Baginda tidak
juga memulakan dakwah dengan memerintah para sahabat terlibat dalam arena
politik, pembangunan ekonomi dan aktiviti sosial. Baginda tidak juga terus
menegakkan pemerintahan dan pentadbiran dengan tujuan untuk mengambil alih
pucuk pimpinanan ketika itu. Dengan lain perkataan, baginda tidak memulakan dakwah
dengan menyelesaikan permasalahan cabang atau ranting, tetapi baginda memulakannya
dengan menegakkan akidah dan keyakinan terhadap Allah Subhanahuwata’ala.
Allah
Subhanahuwata’ala tidak menghendaki
perkara-perkara cabang dan ranting itu ditegakkan sebelum akidah dan keimanan benar-benar
sebati dalam jiwa raga para sahabat, sehinggalah setiap amalan dan tindakan
semata-mata lahir daripada pancaran akidah. Mereka hanya menerima sesuatu yang
diperkenankan oleh akidah dan menjauhkan diri daripada apa jua perkara yang
bertentangan dengan akidah.
Sebagai pendakwah,
kita tidak layak mengabaikan sunnah yang penting yang didapati dari perjuangan Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam. Kecuaian kita dalam aspek ini boleh membawa kepada
penyelewengan daripada uslub yang telah diwahyukan oleh Allah Subhanahuwata’ala.
Jika kita memandang sepi terhadap faktor ini, maka ia boleh mendatangkan bahaya
kepada dakwah dan juga pendakwah.
Kita tidak
sewajarnya mudah terpengaruh dengan trend yang ada dalam masyarakat sehingga menjadi
pendakwah yang memuja politik dan kekuasaan. Bukan pendakwah bagi akidah Islamiah.
Jangan kita menumpukan sepenuh perhatian kepada politik tanpa memperdulikan aspek yang penting dalam dakwah.
Kita adalah penegak panji-panji لا اله الا الله. Kita bukan penegak politik semata-mata.
Kita perlu
sedar bahawa saudara-saudara kita adalah jujur dan ikhlas dengan dakwah Islamiah.
Kita takut, dalam usaha menuju kepada matlamat Ilahi, secara tidak sedar, mereka
terjatuh ke dalam kerja-kerja yang
merugikan mereka sendiri dan merugikan Islam.
Tahap-Tahap
dalam Dakwah
Tanggungjawab
dakwah yang paling besar dan segera ialah menyediakan saudara-saudara kita
dengan persediaan Islam yang tulen tanpa bercampur dengan fikrah rekaan
manusia. Dakwah Islamiah sekali-kali tidak menerima campur aduk. Jika dakwah
ini bercampur-aduk dengan fahaman kebangsaan, demokrasi dan ideologi-ideologi lain,
maka akan jauhlah dakwah ini daripada hakikat Islam sebenar.
Dakwah
kita hendaklah mencontohi Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang
telah melalui beberapa tahap dakwah sehingga baginda menikmati kejayaan yang
gemilang bersama-sama sahabat-sahabat baginda. Pada masa yang sama mereka
mendapat keredhaan Allah Subhanahuwata’ala
Pada dasarnya dakwah
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam melalui
tiga tahap. Tahap-tahap tersebut ialah:
1. Tahap
penyebaran, pengenalan dan penyampaian fikrah Islamiah kepada
masyarakat agar lahir kefahaman dan
kesedaran Islam sebenar.
2. Tahap pembentukan
dan pemilihan ansar serta memperkemaskan barisan
dalam kalangan mereka yang menerima dakwah.
3. Tahap
penghasilan dan perlaksanaan natijah daripada usaha-usaha yang
telah dijalankan seperti di atas.
Walaupun
tahap-tahap ini dibahagikan sedemikian rupa, namun dari segi pelaksanaannya, ia
boleh berjalan serentak dari semasa ke semasa.
Islam kini
sangat memerlukan barisan pendakwah yang mampu mengenengahkan ajaran Islam
dengan bahasa yang mudah difahami. Pendakwah yang dapat mendekatkan manusia (bukan
menjauhkan) dengan Islam. Juga pendakwah
yang mampu memberi penjelasan dengan jelas dan terang bukan kabur lagi membingungkan. Pendakwah itu pula
menjadi contoh yang baik untuk manusia.
Suatu perkara
yang menyedihkan apabila terdapat pendakwah yang memburukkan-burukkan Islam dengan
fahaman yang sempit dan keliru. Mereka merosakkan Islam meskipun mereka
menyangka melaksana dan berbuat baik terhadap Islam. Memang tepat kata-kata Hasan
al-Basri (yang bermaksud): “Orang yang bekerja tanpa pengetahuan dan
perancangan sama seperti orang yang berjalan meraba-raba di luar jalan raya
yang terbentang. Dan orang yang bekerja tanpa tujuan lebih banyak merosakkan
daripada membangun”.
Kata ulama yang
lain: “Sesiapa menempuh jalan tanpa pertunjuk maka ia akan sesat dan
barangsiapa yang berpegang teguh kepada sesuatu yang bukan pokok (dasar) tentu
akan gagal”.
Marilah kita
berdoa pada Allah Subhanahuwata’ala agar diberi petunjuk dan hidayah dalam
usaha-usaha kita yang kecil agar kita sentisa berjalan di atas landasan yang
diredhaiNya.
No comments:
Post a Comment