Fikrah Islamiah ialah Islam sebagai deen Allah
Subhanahuwata’ala yang sempurna dan
mencakupi semua bidang (kamil dan syamil). Manusia tidak ada kuasa atau hak
untuk menambah dan mengurangkan mana-mana bahagian dari deenNya. Manusia juga tiada kuasa atau hak untuk mendahuluinya.
Firman Allah Subhanahuwata’ala:
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu
mendahului Allah dan RasulNya. Al-Hujurat: 1
Oleh itu jelaslah, kita hamba-hamba Allah tidak
boleh mendahului Islam. Sikap kita ialah menjadi pengikut Islam bukan mubtadi’
(pereka). Kita wajib memahami Islam sebagaimana ia mesti difahami bukan
mengikut selera kefahaman sendiri. Kita wajib berada di belakang Islam.
Kebanyakan manusia hari ini menyesuaikan Islam
dengan hawa nafsu mereka, bukan menyesuaikan hawa nafsu dengan Islam. Kita
perlu meneliti kehendak Islam yang sebenar dan tidak boleh mencampuradukkan
Islam dengan fikrah-fikrah lain seperti kapitalis, sosialis, nasionalis,
komunis dan sebagainya. Fikrah-fikrah ini adalah fikrah-fikrah yang mendatang. Fikrah-fikrah
ini memasuki pemikiran orang-orang Islam kini kerana permasalahan pokok iaitu
aqidah Islamiah tidak selesai. Jika selesai permasalahan aqidah, maka tidak
akan berlaku campur aduk sedemikian.
Membentangkan Islam dengan Jelas
Islam bersifat
syumul dan lengkap. Jahiliah juga merupakan suatu millah (anutan). Kita
perlu sedar akan nama-nama atau istilah-istilah asing yang dimasukkan ke dalam
Islam. Kita mesti faham bahawa nama-nama atau istilah-istilah itu dimasukkan ke
dalam Islam untuk mempengaruhi kita. Kita mesti bentangkan fikrah Islamiah dengan
jelas dan tidak boleh berkompromi dengan kehendak penganut-penganut fikrah lain.
Maksud membentangkan Islam dengan jelas dan
terang ialah para du’at mestilah berdiri, beramal dan bertindak dengan
sifat-sifat Islam yang sebenar. Jika seseorang itu bercakap fikrah tetapi tindak tanduknya tidak
berdasarkan fikrah, maka dia dikatakan tidak fikrah juga. Kita dapati wujud
dalam masyarakat Islam hari ini orang yang memperkatakan Islam dengan betul
tetapi tidak beramal selaras dengan fikrah yang diperkatakan. Ini bukanlah
hakikat fikrah Islam yang betul.
Kita perlu jelaskan fikrah Islam tanpa
kesamaran atau berbelit-belit. Kita perlu menjadi mithali Islam di segi lisan
dan perbuatan. Apabila kita memperkatakan Islam kita hidupkan kesyumulan Islam dalam
amalan kita walaupun kita keseorangan. Begitulah caranya Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam berdakwah.
Matlamat Bersih dan Jalan Bersih
Kita tidak boleh sama sekali menggugurkan satu
huruf, satu segi, satu aspek dan satu perkara pun dari Islam, meskipun di atas
hasrat untuk meraikan dakwah-dakwah lain. Kaedah kita ialah - matlamat tidak menghalalkan
cara atau matlamat tidak membersihkan jalan.
Tidak boleh berlaku musawwamah ‘alal fikrah
(bertolak ansur dalam fikrah). Musawwamah ‘alal fikrah dikira sebagai satu kesalahan besar, dianggap
sebagai jenayah besar dan dikira sebagai terlalu berani dengan Allah
Subhanahuwata’ala (yakni berani
menggugurkan sebahagian daripada Islam lantaran untuk menyesuaikan diri dengan
masyarakat).
Kita perjuangkan Islam dengan mengikut
kaedah-kaedah yang diatur dan disusun oleh Islam sendiri. Apabila kita bertolak
dari sini, sekiranya kita sampai kepada matlamat Islam, maka Alhamdulillah.
Jika kita gugur dan kembali kepada Allah Subhanahuwata’ala maka kita telah pun dikira berjaya kerana
telah di atas jalan Islam.
Deen adalah Milik Allah Subhanahuwata’ala
Sebab-sebab kita tidak boleh bertolak ansur
dalam fikrah ini kerana kita tidak mempunyai hak untuk berbuat demikian. Deen
Islam adalah milik Allah Subhanahuwata’ala, bukan milik kita. Apa yang perlu
kepada kita ialah menerima Islam seperti yang dikehendaki dalam keadaan syumul.
Orang-orang Islam kini sebenarnya tidak ditarbiah
untuk menerima Islam yang syumul. Mereka memasuki Islam secara warisan kerana
ibu bapa mereka menganut Islam. Bukan bermakna kita menyalahkan warisan tetapi orang-orang Islam perlu dididik
kembali supaya memiliki kefahaman dan kesedaran sebenar (sebagaimana yang telah
dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam mendidik para sahabat baginda).
Kesalahan Mencampuradukkan Islam dengan Fikrah
lain
Kesalahan mencampuradukkan Islam dengan fikrah
lain merupakan kesalahan yang besar. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam,
dalam rangka berdakwah kepada Islam, telah diuji dan diduga oleh pembesar
Quraisy untuk menerima sedikit tuntutan mereka iaitu apabila mereka solah
jangan ada bersama mereka orang-orang fakir miskin. Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam tidak melayan permintaan mereka kerana baginda tidak
mahu berkompromi dengan masyarakat jahiliah. Baginda pernah bersabda (yang
mafhumnya antara lain):
“Sekiranya mereka dapat meletakkan matahari di
tangan kananku dan bulan di tangan kiriku nescaya aku tidak tinggalkan Islam”.
Kita perlu Mendalami Fikrah Islam
Apa yang dinyatakan di sini merupakan garis
panduan sahaja. Kita perlu memahami dan mengetahui fikrah Islam secara detail.
Kita perlu meneliti buku-buku fikrah
untuk tujuan ini. Kita perlu mengawasi pembacaan kita agar tidak terpengaruh
dengan mana-mana buku yang dikarang oleh penulis yang berampuraduk fikrahnya.
Buku-buku karangan ulama muktabar sahaja yang patut kita terima dan baca dalam
rangka untuk mendalami fikrah Islam sebenar.
Bersyukur kerana kita menjadi Du’at (Barisan
Pendakwah)
Berdakwah, yakni menyeru manusia kepada Islam adalah
tugas yang wajib dilaksanakan. Kita bersyukur kepada Allah Subhanahuwata’ala kerana kita terpilih sebagai du’at. Maka, kita
perlu menyiapkan diri kita untuk menjadi du’at di jalan Allah Subhanahuwata’ala,
lebih-lebih lagi dalam suasana masyarakat yang dikuasai jahiliah.
Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam
(yang bemaksud):
“Islam itu bermula dengan gharib (dagang), dan
ia akan kembali gharib sepertimana permulaan. Bertuahlah mereka yang berpegang
dengan Islam ketika gharib”.
Islam dalam masyarakat kini telah menjadi
dagang. Walaupun masyarakat tidak dagang dari sudut melaksanakan solah dan
ibadah-ibadah khusus, namun mereka dagang dari sudut melaksanakan Islam yang
syamil dan kamil. Sehinggakan mereka
yang mendapat ijazah dalam pengajian Islam pun mengalami kedagangan Islam dalam
banyak hal.
Kesyukuran kita kepada Allah Subhanahuwata’ala
tidak memadai dilahirkan secara lisan sahaja, bahkan kesyukuran kita itu mesti
dibuktikan dengan menjalankan usaha dan kerja dakwah mengajak manusia kembali
ke pangkuan Islam.
Kita perlukan Jamaah
Usaha-usaha dakwah tidak boleh dilakukan
seorang diri, kerana seorang pendakwah secara bersendirian pasti tidak akan mampu
untuk memikul tanggungjawab dakwah yang besar. Tugas untuk menghapuskan
kefasadan yang bermaharajalela di muka bumi
tidak mungkin akan mampu dilakukan secara bersendirian atau
berseorangan. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sendiri tidak pernah berdakwah
seorang diri. Baginda mengumpulkan para sahabat baginda dan membentuk jamaah
bagi melaksanakan tanggungjawab dakwah.
Firman Allah Subhanahuwata’ala:
وَلْتَكُنْ
مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ
وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat
yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh
kepada ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran, mereka itulah golongan yang
berjaya. Ali Imran: 104
Oleh itu kita ditugaskan memikul tanggungjawab
dakwah. Kita juga ditugaskan untuk mendidik orang-orang yang menerima dakwah sehingga
mereka juga menjadi pendakwah. Dengan wujudnya barisan pendakwah, maka barulah
kewajipan dakwah ini dapat dilaksanakan secara berpasukan seperti yang dituntut
oleh Allah Subhanahuwata’ala dalam ayat di atas.
Kaedah Al-Harb
Kita menggunakan kaedah Al-Harb dalam berdakwah
(harb bermakna peperangan. Peperangan yang dimaksudkan di sini ialah
peperangan fikrah).
Pada tahap sekarang ini, kita melawan dan
berperang dengan jahiliah dengan cara Harb Al-Fikri (peperangan fikrah). Harb
Al-Fikri terbahagi kepada dua:
1) Menyebarkan fikrah Islamiah
2) Mendedahkan kekufuran
Pada tahap ini, kedua-dua cara peperangan ini
mesti dilaksanakan dalam menlancarkan peperangan kita dengan jahiliah.
Penyebaran Fikrah Islamiah tiada Hudnah
Hudnah bermakna
berhenti sementara atau menangguhkan peperangan. Dalam penyebaran fikrah Islamiah
kita tidak boleh berhudnah (berhenti atau tangguh). Ini bermakna penyebaran
fikrah Islamiah adalah kerja-kerja yang perlu berjalan terus menerus tanpa
henti sama ada dalam suasana susah atau senang, aman atau terancam dan
bersendirian atau berkumpulan. Atau dengan kata lain, kita sama sekali tidak boleh berhenti daripada tugas menyampaikan
Islam kepada manusia.
Setiap tindakan kita sebagai pendakwah hendak
mendokong risalah dakwah. Atau dengan kata lain, setiap kerja kita hendaklah
mengarah kepada penyebaran fikrah Islamiah. Jika kerja-kerja kita tidak
mengarah kepada penyebaran fikrah Islamiah maka kerja-kerja itu dianggap
sebagai ‘amal dha’if (kerja yang lemah).
Semua tindakan kita seharusnya tindakan yang
melancarkan peperangan dengan jahiliah (dalam konteks ini ialah penyebaran
fikrah Islamiah). Ini bermakna setiap diri kita mestilah sentiasa berada dalam
peperangan fikrah. Kita boleh menyebarkan fikrah Islamiah melalui pelbagai cara
yang mungkin dan munasabah apabila berdepan dengan realiti yang kita hadapi. Kita
boleh memilih cara yang sesuai untuk berdakwah seperti melalui ceramah,
penyebaran risalah, memberi khidmat, ziarah, bimbingan dan sebagainya.
Setidak-tidaknya kita boleh berdakwah dengan
cara memperlihatkan sahsiah Islam yang sempurna. Kita mendokong sahsiah Islam
yang menjadi contoh yang baik (qudwah hasanah) kepada manusia lain. Bahkan berdakwah
melalui qudwah hasanah ini sangat berkesan untuk mempersaksikan Islam secara
amali kepada masyarakat. Masyarakat akan mempelajari Islam dari semasa ke
semasa melalui qudwah hasanah atau mithal amali yang dipamerkan oleh kita.
Justeru itu kita mestilah mendokong sahsiah Islamiah
kamilah. Atau dengan kata lain, kita mestilah sentiasa memelihara tarbiah
terhadap diri kita sendiri (atau iltizam dengan tarbiah) agar sahsiah Islamiah
itu kekal dan mantap pada diri kita.
Mendedahkan Kekufuran ada Hudnah
Untuk mendedahkan kekufuran atau keburukan jahiliah
(dalam realiti sekarang) kita boleh berhudnah pada masa atau zuruf tertentu.
Apabila zuruf munasabah maka kita mendedahkan kekufuran atau keburukan jahiliah
kepada manusia. Namun apabila zuruf tidak munasabah maka kita boleh tangguhkan
(atau berhudnah). Inilah kaedah yang telah ditentukan oleh syarak. Kita
berkerja di atas kaedah syarak.
InsyaAllah, Allah Subhanahuwata’ala akan menolong kita, apabila kita mengikut
syarak.
No comments:
Post a Comment