Tuesday, December 06, 2016

6 Tiga bekalan pendakwah menurut Mustafa Masyhur







Di atas jalan dakwah yang mulia inilah kita hidup sehingga kita bertemu kematian. Di atas jalan yang mulia inilah kita menghulurkan tenaga untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah mengajak  masyarakat kembali kepada deen Allah Subhanahuwata’ala yang suci. Semua ini kita lakukan untuk mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala. Inilah sifat setiap mukmin yang setia dengan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Amanah yang ditinggalkan oleh Rasulullah Sallahu’alaihiwasallam kepada kita adalah amanah besar. Iaitu amanah untuk hidup  mati sebagai orang beriman dan memperjuangkan deen Allah Subhanahuwata’ala.

Melihat kepada amanah yang dipikul oleh para du’at terlalu besar, maka amanah ini tidak mampu dipikul oleh da’i secara individu, tambahan pula jalan ini amat jauh dan penuh kesusahan. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bermaksud:


“Dilingkungi syurga itu dengan kesukaran dan dilingkungi neraka itu dengan syahwat.”


Sesungguhnya kita amat berhajatkan bekalan untuk menjalankan ‘ibadah dakwah agar sampai kepada matlamat yang dituju. Kita memerlukan bekalan untuk terus Istiqamah, ikhlas, redha dan sabar dengan ketentuan Allah Subhanahuwata’ala.

Sebagai da’i, kita hanya berusaha menyampaikan kebenaran Islam kepada manusia, manakala yang memberikan hidayah ialah Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:



إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

“Sesungguhnya engkau (Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam) tidak dapat memberikan hidayah kepada sesiapa yang engkau kasihi tetapi Allah jua yang akan memberi hidayah kepada sesiapa yang Ia kehendaki”. Al-Qasas: 56


Bekalan untuk Pendakwah

Menurut Mustafa Masyhur di dalam kitabnya Zadun ‘Ala At-Thariq, bekalan yang sangat diperlukan oleh pendakwah ialah:


1.        Iman
2.        Taqwa
3.        Al-Quran


Bekalan Pertama: Iman

Bekalan pertama ialah beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala. Sahabat telah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam: Apakah amalan yang afdhal (paling utama)? Jawab baginda: Iman kepada Allah dan jihad di jalanNya.

Seorang da’i yang benar-benar beriman memiliki iman yang memenuhi segenap sudut dan ruang hatinya. Iman yang hidup dan positif. Iman yang memancarkan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam semua aspek kehidupan. Juga iman yang mampu dan bersedia untuk memikul tanggungjawab dakwah dan kerja-kerja Islam.

Iman sedemikianlah yang telah dididik oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam jiwa generasi awal para sahabat Radhiallahu ‘anhum. Mereka tidak memperolehi kejayaan melainkan dengan kekuatan iman, kebersihan jiwa, erat hubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala dan terikat dengan al-masir (tempat kesudahan iaitu negeri akhirat). Firman Allah Subhanahuwata’ala:


تِلْكَ الدَّارُ الْآخِرَةُ نَجْعَلُهَا لِلَّذِينَ لَا يُرِيدُونَ عُلُوًّا فِي الْأَرْضِ وَلَا فَسَادًا ۚ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ

“Negeri akhirat itu, Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan tidak berbuat kerosakan di muka bumi, dan kesudahan yang baik (syurga) itu adalah bagi orang-orang yang bertaqwa”. Al-Qasas: 83


Dengan iman, da’i akan merasa ‘izzah, mulia, puas, seronok dan gembira dengan Islam dan kerja-kerja mendaulatkan deen Allah Subhanahuwata’ala. Kata-kata seorang sahabat yang ‘izzah dengan Islam, Ruba`i bin `Amir kepada Rustam Panglima Parsi:


إن الله بعثنا لنخرج الناس من عبادة العباد إلى عبادة الله وحده
و من ضيق الدنيا إلى سعتها و من جور الأديان إلى عدل الإسلام .

“Sesungguhnya Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama hamba kepada menghambakan diri kepada Allah yang Maha Esa, (mengeluarkan manusia) daripada kesempitan dunia kepada keluasannya dan  (mengeluarkan manusia) daripada kezaliman agama yang lain  kepada keadilan Islam.”


Dengan iman seseorang da’i akan merasai ma’iyyatullah, yakni Allah Subhanahuwata’ala bersama-sama dengannya.

Dengan Iman akan tertanamlah dalam jiwa da’i keyakinan kepada deen Allah Subhanahuwata’ala sebagai deen yang sempurna dan sebaik-baik peraturan yang membawa manusia kepada kebaikan hidup di dunia dan akhirat. Manakala peraturan-peraturan lain adalah sesat dan batil.

Iman adalah langkah pertama dakwah Islamiyah. Dengan iman, seorang da’i berada di atas titik tolak yang betul dalam dakwah. Abu ‘Ammar menyatakan: Futur selepas bermujahadah (berjihad) adalah disebabkan rosak langkah pertama (ibtida’) dalam memulakan dakwah.

Tanpa iman, ditakuti lambat laun, para dua’t akan menyisihkan diri daripada jalan dakwah disebabkan tidak tahan menghadapi gangguan-gangguan. Antara gangguan-gangguan ialah:

1. Hati yang didatangi oleh pelbagai bisikan, samada bisikan hawa nafsu atau iblis, yang 
    mencetuskan pertarungan dalam hati. Pertarungan ini yang tidak kunjung tamat 
    sepanjang hayat.

2. Harta benda dan anak-anak, yang menyebabkan da’i rasa sayang untuk membelanjakan
    harta di jalan Allah Subhanahuwata’ala (kerana ditakuti kehilangan harta atau anak-anak
    kelaparan).

Dengan kekuatan iman sahaja akan menguatkan da’i untuk ikhlas berkerja untuk Islam, bercakap di jalan dakwah dan berkorban. Maka da’i sentiasa mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala dan mengharap balasan baik daripadaNya tanpa mengharapkan keuntungan duniawi, nama, gelaran, dan pangkat. Bahkan da’i menjadi sebagai jundi (tentera atau pahlawan) bagi  fikrah dan aqidah. Dengan itu jelaslah baginya prinsip: Allahu Ghayatuna

Dengan iman juga, da’i tidak akan merasa takut atau condong kepada serangan atau pujukan musuh-musuh Islam. Seterusnya akan merasa kuat untuk menentang musuh-musuh Islam.

Para sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, dengan kekuatan iman, bersifat zahid terhadap dunia dan mengutamakan kepentingan orang lain melebihi diri mereka sendiri. Kisah zahid mereka meninggalkan kesan yang mendalam serta menjadi contoh untuk dihayati dalam kehidupan para du’at Islam. Firman Allah Subhanahuwata’ala:


وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ ۚ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (ansar) sebelum (kedatangan) mereka (muhajirin), mereka (ansar) 'mencintai' orang yang berhijrah kepada mereka (muhajirin). dan mereka (ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (muhajirin), dan mereka mengutamakan (orang-orang muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan, dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung”. Al-Hasyr: 9

Merekalah yang menjadi contoh bagi para du’at Islam.


Bekalan Kedua: Taqwa

Zat yang kedua bagi para du’at ialah taqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan kamu muslim”. Ali Imran: 102


 وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ ۚ وَاتَّقُونِ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ
“Berbekallah kamu dan sebaik-bekalan ialah taqwa dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang beraqal”. Al-Baqarah: 197


Untuk menjaga taqwa, maka hati perlu sentiasa dididik. Taqwalah yang mencernakan kehidupan seorang muslim untuk benar-benar ta’at kepada Allah Subhanahuwata’ala. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bermaksud:


“Kebaikan tidak boleh datang (tercapai) dengan kejahatan, kebaikan hanya datang (tercapai) dengan kebaikan”.


Pesanan Saidina ‘Umar Ibn Khattab kepada Sa’ad Ibn Abi Waqqas yang bermaksud:

“Amma ba’du, maka sesungguhnya aku memerintahkan kamu dan sesiapa yang bersama kamu agar bertaqwa kepada Allah dalam semua keadaan. Bertaqwa kepada Allah adalah sebaik-baik persiapan (persediaan) untuk menghadapi musuh dan sekuat-kuat tipu daya (terhadap mereka)”.

Taqwa telah menghiasi peribadi generasi awal para sahabat Radhiallahu ‘anhum. Abi Umamah meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda yang bermaksud:


“Kema’rufan itu menghasilkan (menatijahkan) orang bertaqwa yang melawan keburukan, sadaqah yang dilakukan secara sembunyi memadamkan kemarahan Rabb dan silaturrahim akan bertambah dalam umur”. Riwayat Tabrani


Mu’az meriwayatkan daripada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bahawa baginda bersabda yang bermaksud:


“Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada, ikutilah keburukan itu dengan kebaikan, maka ia yang menghapuskannya (keburukan) dan bergaullah dengan manusia akhlaq yang baik”. Riwayat Turmizi


Para sahabat sentiasa menjadikan taqwa sebagai bekalan di jalan dakwah mereka.


Bekalan Ketiga: Al-Quran Al-Karim

Al-Quran merupakan kitab bagi dakwah ini. Ia adalah ruh,  peransang, pengawal, pemelihara, perlembagaan, sumber sistem dan  rujukan tertinggi  bagi dakwah.  Ia menjadi tempat sandaran para du’at untuk mengetahui wasa’il dalam beramal, manhaj dalam berharakah dan bekalan dalam perjalanan

Para du’at menjadikan al-quran al-karim sebagai bekalan  dalam perjalanan dakwah sehingga Allah Subhanahuwata’ala memberikan kejayaan kepada mereka. Mereka berusaha, berdakwah dan berjuang di atas manhaj al-quran al-karim, manakala hasil di tangan Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:


إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
“Sesungguhnya kamu (Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam) tidak boleh memberikan hidayah kepada sesiapa yang kamu cintai, melainkan Allah sahaja yang akan memberikan hidayah kepada sesiapa yang Ia kehendaki”. Al-Qasas: 56


Panggilan al-quran al-karim hidup dan meresap ke dalam jiwa para du’at. Firman-firman Allah Subhanahuwata’ala:


وَمَا لَكُمْ لَا تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۙ وَالرَّسُولُ يَدْعُوكُمْ لِتُؤْمِنُوا بِرَبِّكُمْ وَقَدْ أَخَذَ مِيثَاقَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ
“Dan mengapa kamu tidak beriman kepada Allah padahal Rasul menyeru kamu supaya beriman kepada Rabb kamu. Dan sesungguhnya Ia telah mengambil perjanjian kamu (yang telah mengaku beriman sebelum kamu dilahirkan) jika kamu adalah oarng-orang yang beriman”. Al-Hadid: 8


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
“Hai oraang-orang yang beriman jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Ia akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukan kamu.” Muhammad: 7


أَرَضِيتُمْ بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ
“Apakah kamu merasa puas kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat, pada hal kenikmatan hidup di dunia ini (jika dibandingkan dengan nikmat kehdupan di akhirat) hanyalah sedikit”. At-Taubah: 38


لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَاتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنْ بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ ۚ
“Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka mengikuti kamu, tetapi tempat yang ditujui itu amat jauh terasa oleh mereka”. At-Taubah: 42


No comments:

Post a Comment